Laman Webantu   KM2A1: 3634 File Size: 11.9 Kb *



TJ MT MGG: Memperingati Tun Abdul Razak - 25 Tahun Kemudiannya
By M.G.G. Pillai

23/1/2001 12:38 am Tue

MGG1601

[Rencana ini mengimbau pemergian Tun Abdul Razak, salah seorang perdana menteri Malaysia yang cukup berjasa kepada negara. Beliau seorang pakar strategis yang amat dihormati semua kaum di negara ini.

Beliau bukan seorang yang sempurna, tetapi itu tidak mengapa kerana beliau telah melakukan apa yang terbaik buat semua, bukan buat Umno sahaja. Malangnya pemimpin hari ini sudah mengumnokan semua yang ada, sehingga sampin sekolah pun ditukarkan warna. Jangan terkejut jika satu hari nanti murid sekolah ditemui tidak bernyawa angkara kerbau yang buta warna. - Editor (terkenang bermain di tepian sungai)]


Penterjemah: -MT-

(Tulisan ini termuat dalam HARAKAH edisi 1-15 Februari dan berada di pasaran pada 17 Januari 01)

Memperingati Tun Abdul Razak - 25 Tahun Kemudiannya
(Remembering Tun Abdul Razak - 25 Years later)

Oleh: MGG Pillai

Perdana Menteri yang kedua, Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein, 53, meninggal dunia kerana penyakit mononucleosis, dan bukannya leukemia seperti yang dicatatkan oleh New Straits Times. Dia menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di London pada 14 Januari 1976. Ketika itu Malaysia sudah kukuh dengan arus politik yang menekankan ketuanan Melayu. Inilah arus gelombang yang terus mengalir, tetapi sudah robak-rabik dan compang-camping kerana digugat dan diliwat.

Kebijaksanaan Tun Razak itu bukanlah disebabkan beliau seorang ahli generasi aristokrat ataupun ningrat Melayu, ataupun seorang ahli politik yang mudah diajak berbicara semata-mata. Dia merupakan seorang ahli politik yang sedar apa sebenarnya yang baik untuk Malaysia dan itulah yang direncanakannya agar dapat dicapai oleh rakyatnya walaupun dia sudah lama meninggal dunia. Dia tidak memperibadikan politik, ataupun menghampakan amanah yang diserahkan kepadanya oleh rakyat jelata, baik yang gadang mahupun yang kecil. Itu sebabnya dia berusaha dengan segala keperitan melakar satu wawasan untuk Malaysia yang diimpikannya sejak dia menjadi timbalan perdana menteri selepas kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos, 1957.

Sebagai seorang anak lelaki kepada seorang pemimpin aristokrat, Tun Razak memegang jawatan Dato Shah Bandar Sungai Pahang. Pangkat aristokrat itu adalah satu warisan budaya yang tidak menjanjikan beliau menjadi kaya raya. Untuk mengungkit kisah kemiskinan beliau ketika berkaki ayam ke sekolah rendahnya dulu tentu bererti memperlekehkan satu ketokohan memori indah yang mewarnai dirinya dan juga sejarah bangsanya.

Kalau dibandingkan keadaan hidup di waktu itu, hidupnya bolehlah dianggap lumayan juga, kerana faedah kebesaran yang ada dan warisan yang dinikmatinya memberikan tarikan istimewa ketika British masih lagi berkuasa. Dia masuk menjadi penuntut Raffles College di Singapura pada 1939, di waktu anak-anak rakyat biasa memang tidak punya peluang memasuki maktab itu. Kalaulah bapanya seorang rakyat biasa, tentunya dia tidak akan dikenali. Namun peluang yang diberi diterimanya dengan balasan yang bijak bistari.

Dalam satu laporan menghargainya pada 14 Januari 01, The New Straits Times, telah melakukan satu kesilapan memperlekehkannya kerana menonjolkan keperibadiannya dan bukan kejayaannya. Akhbar itu cuba tetapi gagal melakukannya untuk menonjolkan Tun sebagai seorang yang baik hati yang memang disanjung oleh negaranya. Dia adalah seorang insan yang mempunyai ketokohan yang melampaui semua itu. Sepatutnya akhbar itu mencuba untuk menilai segala pengorbanannya.

Tun telah menganjurkan satu projek pembangunan di waktu negara masih membangun. Selama dua puluh tahun rencana itu mampu bertahan sehingga terbentuk satu sistem yang tersusun rapi. Malangnya segala usaha itu hancur berkecai oleh tindak-tanduk kerakusan seorang insan yang memegang jawatan yang pernah disandang oleh Tun itu, untuk satu waktu yang lebih lama lagi dari tempoh yang dipegangnya. Sebagai seorang pakar strategi yang bijaksana dia berjaya menarik sokongan parti pembangkang untuk menganggotai Barisan Nasional selepas pemilu 1969 dulu, sehinggakan Barisan itu mampu berdiri kukuh pada 1973 untuk menjadi satu parti komponen yang besar dan berpadu. Kaedah yang sama cuba ditiru oleh perdana menteri yang ada sekarang, berdasarkan semangat Ketuanan Melayu. Sayang, kilat tidak mudah memancar di tempat yang sama secara berulang, apatah lagi terhadap UMNO yang semakin malang.

Tun adalah seorang insan yang berwibawa yang muncul tepat pada waktunya, seperti juga dengan ramai lagi rakyat Malaysia ketika negara berada di ambang kemerdekaan. Dia adalah salah seorang di kalangan segelintir kumpulan kecil aristokrat yang berkhidmat dengan kerajaan ketika masih berusia lingkungan tiga puluhan dan naik menerajui kedudukan tinggi dalam negara yang baru merdeka dengan segala cabaran yang belum pernah dilalui dan dapat difikirkan bebannya.

Ketika Tengku Abdul Rahman merancang kabinet pertama beliau, ada dua orang calon untuk menjadi timbalan perdana menteri dan juga merangkap timbalan presiden UMNO. Mereka adalah Tun Razak dan Tun Ismail bin Dato' Abdul Rahman. Tun Razak menang; Tun Ismail berlepas ke luar negara untuk menjadi duta Malaysia pertama di Amerika Syarikat. Dia kekal di sana sehinggalah Malay bertukar nama menjadi Malaysia. Namun, dia melepaskan jawatan itu untuk bebas beberapa tahun dan masuk berkhidmat semula selepas tercetusnya keributan Mei 13. Dia dilantik oleh Tengku untuk menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Tun mempunyai satu visi yang jelas untuk berkhidmat kepada bangsanya setelah dibekalkan satu pengalaman yang dinaungi oleh tradisi berkhidmat tanpa mementingkan diri sendiri. Dia telah menggerakkan satu tindakan dengan sokongan pemimpin Romania ketika itu, Nicolae Ceascescu untuk menjalin hubungan dengan Beijing. Pada tahun 1974 dia melawat China untuk merasmikan hubungan diplomatik itu.

Rakyat amat menghormati Tun, tetapi dia juga tidak berapa rapat dengan mereka kerana pada lahiriahnya beliau adalah seorang insan yang pemalu, yang merasa lega dan selesa ketika berada di kalangan para sahabatnya. Dia mudah mengharapkan sokongan lapisan para pekerja awam, ahli politik dan kakitangannya. Di antara mereka termasuklah bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Zain Azrai Zainal Abidin, Tan Sri Abdullah Ahmad yang menjadi setiausaha politiknya dan Encik Abdullah Majid, setiausaha akhbar yang kini berusia 70-an dan sedang terbaring disebabkan serangan angin ahmar yang membuatkan beliau tidak mampu berkata-kata.

Ketika Tun Razak meninggal dunia, para pengumpatnya telah menuduh para juaknya sebagai tali barut komunis. Kerana itu Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid ditahan di bawah akta I.S.A untuk enam tahun lamanya. Tan Sri Zain dihantar menjadi Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, satu tindakan pantas yang dilakukan oleh biras dan juga penggantinya, Tun Hussein Onn.

Tengku Abdul Rahman memang selalu mencurigai keikhlasan dan sikap lurus bendul Tun Razak dalam cara beliau berpolitik. Keraguan itu tertumpu kepada jiran mereka Singapura. Kerana itu apabila Singapura keluar daripada gagasan Malaysia pada 1965, Tengku bertindak untuk memperbetulkan keadaan. Tun Razak dan Mr. Lee Kuan Yew pernah menuntut di Raffles College di waktu yang sama. Perhubungan mereka adalah satu jalinan yang tidak setara kerana Lee Kuan Yew mampu mengatasinya.

Tetapi, Tengku mempunyai kepintaran untuk menguasai Lee Kuan Yew dalam hubungan mereka berdua. Inilah satu kepintaran yang memang diakui oleh Lee dalam tulisan 'memoir'nya. Apakah sikap Tun itu sesuatu yang merupakan tindakan untuk mengganyang Tengku? Kemunculan pertengahan 60-an telah menunjukkan betapa beliau bertindak untuk meminggirkan Tengku. Inilah waktunya Tengku mula bergantung-harap kepada Tun Ismail yang ketika itu merupakan seorang ahli parlimen di kerusi belakang sahaja.

Versi apa yang sebenarnya berlaku masih belum terbuku lagi. Ia tidak menyerupai apa yang diberitahu secara lisan di waktu ini. Sebagai seorang wartawan politik kepada Malay Mail ketika itu, saya mempunyai beberapa versi berbeza daripada rekod rasmi negara. Di antara pengalaman saya itu termasuklah satu peristiwa bersejarah di satu pagi di kediaman rasmi Tun di Seri Taman. Sebelum hari itu meninggi, Kuala Lumpur sudah menyala dek kebakaran yang menggila.

Mei 13 adalah satu waktu di mana orang Melayu dan Cina berantakan sesama mereka pada kali pertama. Semangat Revolusi Budaya yang diapikan oleh Mao Zedong telah bermula di Penang ketika dilancarkan gerakan 'hartal' pada 1967. Ketika itu orang Melayu bertindak secara beremosi jua. Tersebut kisah seorang aktivis Parti Buruh yang ditembak mati ketika merentang kain memboikot pilihanraya di Kepong, telah disahut oleh ribuan orang Cina yang mengadakan perbarisan di jalan raya Kuala Lumpur satu hari sebelum diadakan pilihanraya umum. Inilah yang telah menyemarakkan keadaan tegang antara kaum ketika itu.

Ketegangan ini disadur pula dengan desas-desus ketegangan dalam hubungan antara Tengku dengan Tun Abdul Razak, yang memang tidak dilaporkan. Yang menjejaskan sedikit reputasi Tun Razak ialah berhubung rapat dengan perbuatan kurang hormatnya terhadap Tengku setelah beliau terpaksa melepaskan jawatannya. Gratuiti yang diterima oleh Tengku telah dirampas dengan cepat oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri untuk menyelesaikan cukai lama yang tidak diselesaikannya.

Tiga orang perdana menteri Malaysia walaupun berasal-usul daripada golongan ningrat, mati tanpa banyak kekayaannya. Tengku mempunyai sebuah rumah di Pulau Pinang, tetapi dua perdana menteri selepasnya tidak pun mempunyai rumah sendiri. Balu mereka masih lagi menetap di rumah kerajaan. Tetapi, nasib yang sama tidak pula akan ditiru oleh orang yang akan mengekori kematian mereka bertiga. Tidak juga oleh menteri kabinet yang ada, kerana semua akaun dalam bank yang ada memang penuh sampai ke bibirnya. Ini membayangkan betapa rakusnya mereka ketika masih berjawatan sehingga mampu memiliki kereta mewah yang tidak setara dengan pendapatan gaji dan elaun ketika berkhidmat kepada rakyatnya.

Walau bagaimana pun, Tun Razak adalah laksana seorang gergasi di kalangan manusia biasa. Ketika dia jatuh sakit pada 1976, dia dihantar ke London tanpa diiringi isterinya kerana dia tidak membenarkannya. Perbendaharaan negara terlalu dhaif ketika itu dan dia sendiri tidak mampu membayar tiket isterinya. Kalau ingatan saya tidak silap, ketika itu ketua eksekutif Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengeluarkan belanja untuk membolehkan isterinya pergi ke London untuk berada di sisinya. Dia melepaskan nafas terakhir di London. Jenazahnya dibawa pulang untuk disemadikan di makam pahlawan Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Selama lima tahun Tun menjadi perdana menteri, dia telah menukar ketokohan negara Malaysia. Dia merupakan seorang mahaguru strategi yang tidak dapat ditandingi oleh orang Cina ataupun orang India. Yang membantunya ketika itu ialah tindakan MCA untuk menarik diri daripada menyertai pemerintah selepas pemilu 1969. Keputusan yang silap itu telah menghantui parti itu sehingga hari ini. Inilah yang menjadi bahan kutukan bersama oleh UMNO dan jua masyarakat Cina yang dilaungkan sebagai diwakili oleh MCA itu.

-MGG Pillai-