Laman Webantu   KM2A1: 3619 File Size: 10.4 Kb *



TAG MT 2: China Dan Vietnam
By Allen T. Cheng

18/1/2001 6:54 pm Thu

Siri TAG 002

[Ada sesuatu yang hidup di Vietnam sehingga ia mampu untuk bangun berdiri sendiri walaupun begitu teruk dipunah-ranahkan oleh sistem yang telah lama bertapak dan menggila di negara mereka. Semua pihak memainkan peranan masing-masing dan tidak disentuh dengan budaya berwawasan menggila. Maka akhirnya setiap pohon dapat tumbuh dan berbunga tidak kira kecil atau besar, tua ataupun muda. Semuanya mengindahkan suasana.

Itulah semangat yang hidup dalam reformasi atau doimoi. Ia menghidupkan sesuatu yang disentuhnya tidak kira siapa mereka. Kisah lalu itu dimanfaat secukupnya untuk belajar memperbaiki diri tanpa perlu mengemis hutang menggila sana-sini. Atau berpeluk-pelukan dan bersidang mega sehingga riuh rendah bergema seantero negeri.

Semangat itu tidak berada disitu, tetapi ia tumbuh di dalam hati. Tetapi di negara kita, ia sengaja dibiarkan terpinggir untuk mati. Kisah industri al Arqam yang ranap itu sudah cukup untuk kita menilai keikhlasan pemimpin negara kita selama ini. - Editor]


Penterjemah: -MT-

China Dan Vietnam
(China And Vietnam)

Oleh: Allen T. Cheng

Asiaweek: Wednesday, January 10, 2001.

Walaupun parti komunis yang memerintah negara mereka, tetapi China dan Vietnam mempunyai perwatakan yang amat berbeza. Saya terpesona dengan fenomena itu ketika menjelajahi Vietnam di hari lebaran Krismas yang berlalu. Dua puluh lima tahun sudah berlalu sejak Vietnam Utara bersatu dengan bahagian di selatannya, negara itu sudah pun berubah menjadi satu ekonomi kapitalis. Inilah pembangunan yang ditiup oleh semangat doimoi (reformasi) ataupun dasar pintu terbuka sejak 1990 dulu. Namun, Vietnam masih perlu menandingi kemajuan ekonomi China yang memulakan tiupan reformasi pada 1978 lagi. Namun, ada sesuatu yang istimewa dalam pembangunan Vietnam dulu; ia tidak dihenyak oleh Revolusi Kebudayaan yang sungguh bersejarah itu.


Tidak seperti Mao Zedong, pemimpin Vienam, Ho Chi Minh, tidak pernah mengejar ideologi yang radikal. Kerana itu jiwa masyarakat Vietnam masakini mempunyai nilai jatidiri. Ramai golongan karyawan Cina dan penduduk negara China yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Nasionalis pra-1949 dulu yang masih menyimpan parut-parut luka psykologi daripada memori Revolusi Kebudayaan yang sungguh ngeri. Sekitar 1966-1976, dianggarkan seramai 20 juta manusia yang tidak berdosa mati terbunuh ataupun kebuluran gara-gara kempen anti-borjuis yang tidak berperi-kemanusiaan. Berjuta-juta lagi yang tidak terkira yang diheret dan dihalau ke desa-desa untuk melakukan kerja-paksa dalam perkampungan 'kommiun', sedangkan masyarakat yang sengaja dicipta dengan ideologi menggila dihantar untuk menggantikan keluarga tradisi yang sudah pun disuruh pergi.


Sekitara 1970 merupakan pertama kali keluarga saya menjejakkan kaki di Amerika Syarikat daripada Taiwan. Saya masih ingat ibu menulis kepada abangnya di Nanjing, China. Mereka berdua memang lama tidak bersua muka sejak 1949, ketika ibu lari ke Taiwan bersama dua orang tuanya. Datuk saya sebelah ibu pernah menjadi seorang timbalan menteri keretapi dalam kerajaan Koumintang. Dia tidak mempunyai pilihan lain ketika mengarahkan dua anak lelakinya untuk terus menetap di Chian. Ketika itu pergolakan kebangsaan sedang dilakukan untuk memusnahkan pemerintahan Nasionalis. Semasa hidup di Taiwan, Ibu terpaksa memendam rasa tidak menulis kepada abang-abangnya. Sekatan berkomunikasi secara terus memang disekat oleh kedua-dua pihak yang bermusuhan. Enam minggu selepas menghantar surat itu dia menerima sekeping nota daripada abangnya dengan satu rayuan yang menyayat hati. Ia merayu kepada adiknya agar 'tidak menulis surat lagi'.


Kami tidak pun tahu apa sebabnya sehinggalah 1987 tiba. Ketika itu ibu dapat menghubungi kembali keluarganya yang sudah lama terpisah. Dia telah dihantar jauh ke kawasan pendalaman untuk didera dan diganyang kerana menerima sepucuk surat daripada adiknya di negara seberang. Menerima surat daripada luar negara ketika itu dianggap sebagai satu perbuatan menyanggah semangat revolusi. Usahanya sebelum itu untuk berkerja kuat sebagai membalas beban betapa bapanya pernah menjadi pegawai KMT, masih tidak mampu melegakan syak wasangka pihak yang berkuasa. Dia pernah berkhidmat dengan Tentera Pembebasan Rakyat dan berjuang dalam Perang Korea. Semua itu dianggap tidak berpada untuk menebus dosa yang dikatakan pernah dilakukan oleh bapanya. Apalagi setelah menerima sepucuk surat daripada syaitan yagn paling besar di dunia yang bernama Amerika.


Saya terkejut mengetahui sebabnya ramai anak-anak para pegawai tinggi kerajaan Vietnam Selatan dulu yang kini menjadi kaya raya dalam negara Vietnam baru yang sudah pun bersatu. Walaupun kuasa politik sebenar masih dipegang oleh pegawai yang berada di Hanoi, kuasa meniupkan dunia niaga terletak kepada pedagang muda yang berada di Vietnam Selatan. Ramai yang membuka kedai dan restoran di Ho Ci Minh dan ramai juga yang mampu bergiat cergas dalam dunia bisnes global.

Saya dapat menimba pengalaman yang sungguh berharga daripada pemandu pelancongan yang fasih berbahasa Inggeris, Nguyen Thi Tho Quyen. Beliau berumur 29 tahun dan merupakan seorang wanita yang mudah tersenyum. "Kami tidak merana ketika Revolusi Kebudayaan mengganyang Vietnam," katanya. "Tidak ada Padang Maut (killing fields) seperti yang terdapat di Kambodia. Sebagai anak peninggalan penduduk Vietnam Selatan dulu, kami sudah pun berjaya. Kalau kita mampu berusaha kita mampu melonjak ke angkasa. Jika kita tidak mampu, kita akan melekat di situ laksana seketul batu."

Ketika angkatan kereta kebal Vietnam Utara melenyek pintu masuk Istana Merdeka di Saigon pada April 30,1975; Quyen masih berusia empat tahun. Tidak banyak kenangan zaman itu yang masih ada di ingatannya. Tetapi dia masih ingat betapa ibu dan kakaknya terlalu gementar di hari-hari berikutnya. Ketakutan mereka memang ada sebabnya, kerana bapa keluarga Nguyen merupakan seorang pegawai berpangkat Kolonel dalam angkatan udara Vietnam Selatan. Dia telah ditangkap dan dihantar ke Hanoi untuk mengikuti kursus pemulihan selama lima tahun.

"Semuanya berubah selepas itu," jelas Quyen. "Mereka yang pernah berpangkat tinggi, kini bertukar pangkat di tapak kaki. Ketua baru mula muncul di sana-sini." Keluarga Nguyen kehilangan semua harta mereka. Datuk di sebelah ibunya pernah memilikki pawagam dan hotel. Semua itu dimilik-negarakan. Ibu yang dulu hidup selesa dan pernah dilayan oleh beberapa pembantu, terpaksa membuat kerja kait-mengait untuk menyara hidupnya. Ketika berusia lapan tahun, Quyen telah dihantar untuk bekerja sebagai pembantu rumah sementara, kepada seorang pegawai tinggi komunis. Apabila bapanya dibebaskan daripada kem pemulihan pada tahun 1980, dia terpaksa bekerja sebgai pengayuh beca. Tidak ada sesiapa yang sanggup menyara khidmatnya selepas mengetahui sejarah hidupnya.


Semua itu bertukar rupa sebaik saja 'doi moi' bergema. "Kami yang pernah berkhidmat kepada kerajaan Vietnam Selatan, semakin merasakan perubahan hidup yang turut berubah caranya." Demikian cerita Quyen lagi sambil kami melangkahkan kaki di Istana Penyatuan (Reunification Palace) yang merupakan nama baru kepada Istana Merdeka dulu. Pada 1986, bapa Quyen berjaya mendapat peluang menjadi pegawai khutub-kanah. Ibunya mendapat kerja sebagai pegawai tinggi dalam satu usahasama dengan pelabur luar negeri. Pada 1989, Quyen berjaya memasukki Universiti Ho Chi Minh. Dia bukan sahaja berjaya di situ dalam jurusan sains kemanusian, malahan berjaya sebagai salah seorang di antara 4,000 peserta yang diberikan lesen kerajaan sebagai pemandu bertauliah kepada pelancong asing.


Sebagai perbandingan, semua anak-anak bekas pegwai tinggi KMT di China masih diganyang dengan pelbagai cara cemohan masyarakat sekelilingnya. Pergilah ke mana-mana kementerian Cina dan anda tidak akan berjumpa dengan pegawai atasan yang mempunyai saudara mara yang mempunyai kaitan dengan KMT. Ketika Parti Komunis Cina masih berkuasa dulu, perjuangan radikal mereka telah menyingkirkan sesiapa sahaja yang mereka syakki. Kerana terlalu taksub untuk mengganyang kelas atasan, mereka kerap tersalah langkah melakukan tindakan sehinggakan penganut fahaman komunis yang totok pun mudah terkena tekan. Hanya baru beberapa tahun yang lalu, pelajar-pelajar dan ibu-bapa mereka yang pernah menganggotai KMT itu dapat didedahkan. Untuk mendapat tempat di universiti mereka terpaka berusaha mendapatkan markah yang lebih tinggi. Ada juga yang sengaja ditolak permohonannya apabila diketahui latar belakang mereka. Revolusi Kebudayaan sudah lama berlalu, tetapi sikap mendera golongan atasan yang sudah lama berakar-umbi tidak mudah dilupai. Kesan yang menekan itu masih kekal bersemarak di institusi kerajaan.

Sejak berlalunya Revolusi Kebudayaan itu, perubahan besar di negeri China pun sudah banyak berlaku. Keupayaan sesaorang untuk melakukan sesuatu semakin dijadikan penentu bicara dan tidak lagi bergantung kepada sejarah silamnya. Ketika China memasukki ambang World Trade Organisation (WTO), negara itu akan memberikan penekanan kepada meritokrasi untuk maju dalam pergolakan sebuah ekonomi di mana kehendak pasaran menjadi alat pemacu. Namun, untuk negara itu membangun dengan suasana yang sihat, baik dari sudut politik, sosial ataupun ekonomi, banyak yang perlu dilaksanakan. Semua itu bertujuan memulihkan luka-luka lama yang sudah banyak parutnya disebabkan peristiwa tahun 60-an dan 70-an yang sungguh mengerikan .


-Allen T. Cheng-

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<




Rencana Asal:

[Belum ditemui...... mungkin ia menyorok untuk dicari... - Editor]