Laman Webantu   KM2A1: 3613 File Size: 6.4 Kb *



Jangan Bicara Kurang Hormat - Diri Sendiri Yang Terjerat
By Amin Sapiro

18/1/2001 4:51 am Thu

Amin Sapiro (masih mencari identiti dalam hutan Siber)

[Saya kira ini satu penulisan MESTI BACA buat semua, tidak kira anda penulis atau sekadar pembaca. Kalau boleh semua lukiran Wak diwarnakan kesemuanya sekali kerana ia mengena semuanya - baik yang tertengah mahupun yang tertepi.

Tidak perlu editor menokok tambah lagi. Ia sudah menjawab semua sekali tanpa ragu-ragu lagi. Pena itu adalah sifat yang tersimpan di hujung jari. Pastikan ia berbakti. Hulurkan tangan nanti terpancarlah sakti. Jangan dipusing ke belakang, nanti matilah tuannya sendiri - Editor]


JANGAN BICARA KURANG HORMAT - DIRI SENDIRI YANG TERJERAT

MUNGKIN ada pihak yang memperlekeh dan menganggap murahan penulis-penulis reformasi di Alam Siber yang tidak mengenal tepi ini.

Mungkin kerana penulis-penulis itu tidak dikenal rupa dan muka, cuma menatap apa yang dibicara - namun jangan dirasakan mereka umpama jin dan jembalang puaka tanpa nadi dan saraf seorang manusia. Jangan..jangan.. tersalah sangka.

Penulis Siber mungkin berkarya di Alam Siber cuma; namun mereka adalah sekelompok manusia biasa. Yang anih cuma - mereka berada entah dimana. Kita tidak mungkin mengenali jantina mereka sebenar.

Ya, tidak mungkin sesiapa mengetahui siapa mereka sebenarnya. Dari tulisan mereka, kita nampak mereka mungkin seorang pelawak yang gemar berjenaka. Mungkin juga mereka menulis dengan bebas bersuara keras bagai seorang pendekar.

Ada antara mereka punya kesidiqan yang mempesonakan. Kadangkala, kerap membayangkan bahawa mereka punya ilmu dalam pelbagai bidang, punya keberanian sebagai seorang pejuang macam-macam.

Mereka terhubung dalam beberapa beberapa Laman. Disanalah mereka disatukan. Mereka dikendalikan oleh seorang bertaraf 'paman' yang bermaksud, 'bapak angkat' yang mengendalikan segala ragam dan kasrenah anak-anak buahnya.

Jika laman-laman itu dirasuk jembalang, maka 'paman' itu keluhkesah menstabilkan keadaan. Mereka berkhidmat tanpa mengenal penat, kerana anak-anak buah mengimbau mereka penuh hormat.

Makin diamat-amati, terasa kita sebenarnya berhadapan dengan sekelompok manusia yang punya hati perut dan perasaan. Mereka punya identiti dan punya kelebihan.

Mereka bisa berduka dan mengalir airmata. Mereka bisa bersuka sebagai seorang penjenaka. Mereka bisa juga marah jika disentuh hak diri dan egonya. Pendek kata, lihat diri mu bagaimana, maka begitu jugalah mereka - Penulis-penulis Siber.

Jangan anda tidak tahu: Sesama mereka saling berhubungan. Sebegitu rapat dan erat, hingga mereka mengenali hati budi dan perasaan sesama mereka.

Mereka memanggil masing-masing teman dengan imbauan penuh sopan. Ada yang dihormati dengan gelaran 'bapak' dan 'paman'. Ada begitu dikenali dan mengenali hingga terucap perkataan 'adik', 'kakak' dan 'abang'.

Imbauan begitu cuma sekadar perlambangan. Mereka tidak mengira usia dan umur. Mereka menilai sesama sendiri berasas kematangan tulisan dan arus pembicaraan.

Semua itu adalah suatu bayangan yang menunjukkan kekuatan kesatuan mereka yang terwujud secara spontan. Mereka ada naluri merasakan sesuatu dan memberi riaksi setelah berfikir secara matang. Mereka cukup peka meneliti personaliti dan kepribadian masing-masing dari tulisan yang terpapar dan tersebar.

Hakikatnya, mereka sesama penulis dan pengendalinya ada suatu 'kebersamaan', iaitu saling hormat menghormati hingga terwujud kasih sayang dalam satu struktur masyarakat tersendiri. Itulah satu dari identiti yang memaut mereka sesama sendiri.

Mereka bukan menulis untuk masyarakat mereka semata-mata. Mereka berhubung dan terhubung rapat dan berkait dengan masyarakat luaran yang menjadi sasaran. Mereka adalah penyumbang dan pemberi tanpa meminta balasan. Namun di sudut lubuk hati mereka tersebunyi sebuah iltizam. Ada sesuatu yang mereka perjuangkan.

Anda mungkin salah seorang dari mereka? Mungkin iya, mungkin tidak. Jika anda seorang yang berjiwa bebas dan menghayati roh kebebasan yang menjadi nadi kemerdekaan; cuba tulis sebaris-dua hari ini, paparkan - lihat apa riaksi pembaca. Jika mereka menghormati pandangan anda atau berinteraksi dengan anda; maka sekaligus anda sudah menapak selangkah ke alam masyarakat siber yang tiada tepinya!

Tetapi anda perlu berwaspada. Segala apa yang anda ucapkan, masyarakat sekeliling anda akan menilai siapa anda. Anda harus bertanggungjawab kepada masyarakat sekitar di Alam Siber yang amat luas ini. Fikirkan juga bahawa apa juga pandangan anda, ada orang di sudut dunia di luar sana yang akan memerhatikan anda.

Sebagai penulis siber anda bernasib baik. Anda bisa membunuh diri dan karekter anda mengikut suka tanpa dosa. Dengan secuit hujung jari, anda bisa membunuh diri sendiri. Tulis saja satu nama 'penasiber' yang lain, maka anda bagai ular bersalin kulit. Namun, seorang pembaca yang prihatin masih mampu melihat urat-urat jalur dihujung jarimu. Ada cara mereka mengenal siapa gerangan kamu!!

Dengan itu, jangan cuba memplagiat karya sesama kamu. Jaga baik-baik piagam yang tak bertulis yang membentuk kekuatan dan keperibadian warga penulis siber itu.

Sebagai penulis siber, kebebasan dan kemerdekaan berfikir dan menyuarakan pendapat dan pandangan adalah hak mutlak anda. Anda boleh cakap apa saja, boleh kemukakan sebarang persoalan, boleh tunjuk dan tonjolkan sokongan dan bantahan. Begitu sekali tahap kebebasan dan kemerdekaan anda.

Namun anda kena ingat 'JANGAN BICARA KURANG HORMAT' - kelak diri anda sendiri yang tanggung akibat. Jangan biarkan diri anda TERJERAT..!!

Selamat Datang ke dalam masyarakat warga Alam Siber yang merentas dunia.


Amin Sapiro
[Anak rakyat serba nakal yang masih belajar]

PS: kepingan melihat kewujudan sebuah masyarakat warga Siber yang bertanggungjawab.