Laman Webantu   KM2A1: 3610 File Size: 33.1 Kb *



Siri 1 MMM: Mahathir Tidak Ada Pilihan Lagi
By Marhain Tua

17/1/2001 9:03 pm Wed

Siri MMM
Bab: 1

[Rancangan Mahathir kelihatan banyak yang tidak menjadi sejak akhir-akhir ini. Dia sudah tidak selicik dulu lagi. Pemimpin parti BN banyak yang kecewa dah mahu meletak jawatan tetapi mengambilnya kembali selepas terkena kata-dua. Ramai yang termalu dengan keadaan parti sendiri sehingga akar-umbi Umno sudah mula mahu mengajar Mahathir secara tersembunyi.

Khabar rombakkan kabinet itu sudah cukup untuk menggambarkan keresahan dan pergolakan dalam Umno sendiri. Musibah semakin tiba tetapi Umno masih terlena dan tidak juga bersedia. Ia masih meraba-raba mencari sesuatu untuk dipegang tetapi semuanya tumbang. Kini ia cuba berjalan tetapi masih terhoyong-hayang di tepi gaung yang dalam. Sekejap debat menjadi sekejap pula sudah tak jadi. Sudah tidak ada keyakinan membawa diri sendiri. Tetapi Mahathir mencapai lagi dengan isu 'perpaduan melayu' untuk mencetus dilema dan sangsi.

Beberapa tragedi yang tidak dingini berlaku dan terus menghantui Umno. Malapetaka itu datang tanpa diundang pembangkang, tetapi akibat sentuhan 'kepakaran' juaknya sendiri. Munculnya logo mata lebam, logo lucah Adnan dan dua huruf J.E. amat menakutkan Umno sendiri sehingga ia terpaksa menggunakan khidmat pengundi hantu dan Mahathir menuju Myanmar untuk mengimpot lebih ramai penyamar. Dia juga telah mengorak langkah mengubah orang tertentu di media akhbar, patutlah tulisan mereka semakin menjadi-jadi sekarang. Tentu kita belum lupa kemelut Bernama menipu perihal DAP di Lunas dan adegan tampar-menampar di bilik kopi dewan undangan negeri dingapkan segera.

Sikap tidak menghormati pandangan kaum Cina dan kepintaran BA memantau hantu yang mengundi menyebabkan BN tewas di Lunas dan semua cabut lari termasuk Samy Vellu walaupun dia telah bersumpah berjanji. Isu Suqui timbul kembali walaupun Umno telah terhumban banyak kali. Kali ini GPMS pula menjadi pelakun tambahan diluar sambil pemuda Umno bertekak di dalam. Mulalah amaran mula ditiup kononnya orang melayu lemah tidak bersatu serta kemusnahan bakal terjadi sekiranya bertukar kerajaan.

Mahathir sedang dihempap bahana tangannya sendiri. Dia cuba menyelamatkan diri dengan berpura-pura lagi. Tetapi kesedaran rakyat sudah sukar dibendung walaupun seribu drama dan dilema diatur begitu teliti sekali. Semua yang ingin dipilihnya akan membunuh dirinya sendiri.... - Editor ]




SIRI MMM

BAB 1 : MAHATHIR TIDAK ADA PILIHAN LAGI

Awalkata:

Kita mulakan siri baru ini dengan menggunakan abjad 'MMM', kerana mengikut ragam dan selera semasa. Terpulanglah kepada para pembaca memikirkan apakah sebenarnya makna MMM ataupun 'M'. Kita akan beri jawapannya apabila siri ini ditamatkan. Penulis menggunakan tiga abjad itu selepas mengambil kira beberapa emel yang dikirimkan oleh para pembaca yang mahu penulisan diteruskan, sebaik sahaja 'Yang Terbang Dan Terbengkalai' ditamatkan. Malahan, ada yang bertanya kenapa siri itu dimatikan begitu sahaja. Jawapannya mudah sekali. Ia terletak kepada pendekatan yang diusahakan.

Saya mengambil sempena tarikh ini untuk memulakan siri terbaru di alam siber sempena ulangtahun ke-25 pulangnya Almarhum Tun Abdul Razak bin Husin ke alam baqa. Di waktu yang sama saya rakamkan ulangtahun kepulangan Aruah Hamid Tuah, insan kamil yang memudahkan usaha Tun Razak membuka hutan belentara untuk penempatan para peneroka. Alfatihah dihadiahkan kepada kedua pejuang bangsa ini.

Tujuan utama siri ini ialah merakamkan setiap peristiwa yang terjalin dan yang mampu merobah nasib rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu. Kita memberi fokus kepada usaha jijik memutarkan minda rakyat marhaen agar sama-sama dapat membetulkan keadaan sebelum putaran itu menjadi semakin ligat dan kesannya terus berkarat dan menggugat.


<<<<>>>>


Mahathir Tidak Ada Pilihan Lain Lagi

Kita pernah ramalkan, negara akan mengalami beberapa kejadian yang pelik-pelik dan yang tidak terfikirkan oleh akal yang waras; seperti yang berlaku selepas Januari 10 yang berlalu. Banyak perkara itu berlaku di Putrajaya di mana seorang diktator tua sedang bertakhta seolah-olah Malaysia ini dia punya dan seolah-olah semua rakyat jelata termasuk Majlis Raja-Raja adalah dibawah telunjuknya. Kita terdengar cerita mendapan beberapa kawasan di Putrajaya, malangnya tidak ada satu gambar ataupun berita yang jelas mengenainya.


Rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu telah disogokkan dengan fitnah bahawa orang Melayu sedang berpecah. Kerana itu UMNO yang dikatakan 'sebagai teras parti politik Melayu' terpaksa mengajak parti Melayu yang lain untuk berunding mengenai perpaduan orang Melayu. PAS dikatakan sedang menyusun agenda dengan orang perantaraan UMNO untuk melakukan perbincangan perpecahan orang Melayu.


Kenapa Perlunya Perbincangan Perpaduan?

Agenda perbincangan perpaduan ini sebenarnya sudah dirancangkan sebelum Mahathir pergi bercuti ke Myanmar. Dia menjangkakan orang suruhannya mampu mengajak pemimpin Keadilan dan PAS untuk bersetuju agar perbincangan dapat dilaksanakan dengan UMNO. Keadilan telah menolak ajakan itu. Ezam, selaku Ketua Pemuda Keadilan mengambil sikap berterus terang mengatakan Keadilan bukannya parti orang Melayu. Kerana jawapan yang tegas itu Keadilan sekarang ini dihimpit oleh pelbagai sindiran daripada pucuk pimpinan UMNO bahawa Keadilan tidak mampu memperjuangkan masalah orang Melayu. Terpulanglah kepada Keadilan untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya. Setakat ini, alasan Keadilan itu kita ketahui melalui akhbar pembohong tajaan UMNO dan kerajaan sahaja.


Perbincangan mengenai perpaduan Melayu bolehlah dianggap sebagai usaha UMNO yang berbentuk 'damage control' untuk memperbaiki imej parti yang teruk disebabkan tindak-tanduk Mahathir yang serba tidak kena dan serba mengada-ada sejak beberapa tahun yang lalu. Keadaan memuncak apabila UMNO kalah teruk di Lunas. Lunas jatuh ke tangan Keadilan kerana UMNO terlalu percaya dengan dakyah Samy Vellu bahawa calon MIC, peguam S. Anthonysamy adalah calon terbaik untuk mengekalkan kerusi yang dipegang oleh Dr. Joe Fernandez selama dua musim itu.


Sebaliknya, kejatuhan Lunas tidak mengejutkan penganalisis politik. Kalau diambil kira keadaan persekitaran Lunas ketika pemilu kecil itu dengan persekitaran di Teluk Kemang dan Sanggang ketika diadakan pilihanraya kecil di sana, sepatutnya Teluk Kemang dan Sanggang pun jatuh kepada parti Barisan Alternatif. Ketika Sanggang dipertandingkan, keadaan ekonomi para petani dan masyarakat luar bandar berada di dasar bawahan. Lagipun gelagat menteri Besar Pahang menunjukkan 'logo baru UMNO' di hari pencalonan sudah mampu menyekat simpati para pengundi. Apatah lagi dengan kisah mata lebam' yang ditanggung oleh Saudara Anwar Ibrahim. Begitu juga di Teluk Kemang ketika Haji Roslan Kassim bertanding melawan S. Solinathan. Ekonomi di Port d##kson merudum sehingga kawasan pantai lengang untuk sekitar tiga tahun (hinggalah ketika ini). Episod Bukit Pelandok yang mengorbankan ratusan nyawa manusia dan ribuan ternakan berkaki empat, telah menghenyak Barisan Nasional.


Kemenangan Barisan Nasional di Teluk Kemang dan Sanggang dan kekalahannya di Lunas mencetus minda para analis untuk bersetuju bahawa keputusan sebenar di Sanggang dan Teluk Kemang dulu ialah disebabkan penggunaan 'pengundi hantu' dan yang tidak mampu digunakan secara menyeluruh di Lunas. Barisan Alternatif sudah memperbaikki jentera pengurusan di hari pengundian. Malahan, kalau kita masih ingat akan kelewatan beberapa tong undi di malam perkiraan pertarungan Zainur Zakaria, Chandra Muzafar, Marina Yusuf dan beberapa calon BA yang lain, kita akan faham betapa budaya undi hantu sudah lama berleluasa. Namun, UMNO di bawah kepimpinan Mahathir masih tidak mahu menerima hakikat kekalahan di Lunas itu dengan hati yang terbuka. Mungkin Mahathir tidak tahu ataupun diberitahu bahawa sebelum menjadi calon pilihanraya di Lunas itu YB Saifuddin pernah bekerja sebagai seorang pengurus di ladang Victoria di Lunas. Ketika bertugas di situ dia merupakan seorang insan yang disenangi oleh para pekerjanya. Dengan lain perkataan, Saifuddin adalah calon yang amat tepat ketika itu berbanding dengan calon MIC yang dikatakan 'tidak pun menjadi ahli MIC ketika hari pencalonan.'


Kita akui, Saifuddin menang di Lunas kerana sokongan pengundi Cina yang beralih selera. Di waktu yang sama ramai juga pengundi orang Melayu dan India yang berpihak kepada BA. Berubahnya selera pengundi Cina di Lunas, dikatakan berputik daipada hasutan yang dilakukan oleh kumpulan Suqui yang meminta kerajaan menimbang semula rayuan mereka yang diserahkan pada September 1999 dulu, dan yang telah diterima secara prinsipnya oleh Mahathir dan kabinetnya yang lama. Bagaimanakah Suqui mampu menggerakkan perasaan orang Cina dengan sesuatu yang telah diterima oleh kerajaan secara prinsipnya? Kenapa pula MCA dan Gerakan tidak berjaya melembutkan pengundi Cina di Lunas mengenai perkara-perkara yang berbentuk rayuan semata-mata?


Masyarakat Cina Yang Merasa Tertipu

Masyarakat Cina di Lunas mampu berfikir dengan waras memihak kepada BA kerana mereka merasa tertipu dengan tindak-tanduk Barisan Nasional. Selama dua penggal mereka mengundi calon MIC kerana mahukan faedah pembangunan kerajaan BN. Mereka merasakan diri mereka diabaikan apabila kerajaan tidak mengambil kira kepentingan masyarakat di Lunas dalam banyak hal. Perkara ini menonjol apabila Samy Vellu mencurahkan lebih daripada 35 juta ringgit (ada pula pihak yang menyebut setakat 21 juta sahaja) untuk membawa pembangunan segera ke kawasan pilihanraya itu dalam tempoh satu bulan. Inilah projek segera yang tercanggih di seluruh negara yang pernah dilakukan 'secara kilat' oleh BN.

Tetapi, kerajaan terlupa bahawa untuk satu tempoh yang lama masyarakat Lunas secara keseluruhannya telah meminta kerajaan mengalihkan pintu tol jalan lebuhraya Butterworth Grik itu agar penduduk Lunas dikecualikan daripada bayaran tol. Begitu juga dengan bekalan air paip yang tidak dinikmati oleh beberapa penempatan perumahan di situ walaupun negara sudah merdeka sejak 43 tahun yang lalu. Akhirnya Samy Vellu menyediakan bekalan air itu tetapi bekalan ke rumah-rumah terpaksa dilakukan sendiri oleh penghuni rumah kerana kerajaan BN tidak menyediakan saluran paip percuma ke rumah individu.


Di sini kita lihat rintihan penduduk Lunas apabila dibandingkan dengan rintihan pengundi Sanggang dan Teluk Kemang adalah rintihan remeh yang mampu ditangani dengan janji-janji baru. Apabila pembangunan segera yang berjuta-juta harganya tidak mampu menyokong calon BN, barulah kita sedar betapa kuatnya penggunaan pengundi hantu yang diamalkan selama ini dalam percaturan kemenganan calon BN.


Penganalis kerajaan sudah membaca kekalahan yang terpaksa ditelan oleh BN sebelum bermulanya pembuangan undi di Lunas. Tetapi, alasan utama yang diberikan ialah 'sokongan pengundi Cina sudah beralih selera'. Inilah yang membuatkan Mahathir melenting dan mengeluarkan kata-kata celupar betapa orang Cina tidak tahu bersyukur dan berterima kasih terhadap jasa-jasa yang dilakukan untuk memperbaiki ekonomi negara. Begitu juga dengan dasar-dasar yang menjamin kekayaan orang Cina tidak teruk tergugat. Sekaligus, masyarakat Cina menjadi semakin marah. Mereka merasa terhina apabila di awal kempen pilihanraya kecil itu lagi akhbar perdana tajaan UMNO telah menyiarkan maklumat songsang betapa DAP telah bertindak menarik diri daripada komponan BA. Cakap-cakap celupar Mahathir ini telah memperkuatkan azam pengundi Cina mempengaruhi pengundi Melayu Lunas agar mengundi Saifuddin.

Tetapi, budaya 'Cina-tidak-tahu-bersyukur' itu merupakan agenda Mahathir sebelum beliau menghadiri persidangan OIC di Doha. Di waktu itu akbbar perdana telah memainkan isu perbalahan terhadap pemilihan calon BA. (contoh: Sila lihat Straits Times bertarikh 16.11.2000 muka surat 2 bertajuk 'Opposition disagrees on Lunas Candidate'). Di muka surat yang sama ada disebut betapa Pemuda UMNO yakin menang kerana terdapatnya 6,000 pengundi baru di kalangan muda-mudi Lunas. Malangnya di akhbar yang sama pada mukasurat 9 disiarkan pula dua gambar wakil rakyat Selangor yang bergaduh pada 13.11.2000 di Dewan Perundangan Negeri Selangor. Dalam episod itu Datuk Zakaria Md. Deros telah menampar muka wakil DAP Teng Chang Khim. Kisah menampar ini bermula dengan kisah kilang haram yang telalu lama wujud di Selangor. Kerana mahu mempertahankan kilang-kilang haram itu seorang Melayu sanggup merendahkan martabatnya.

Episod menampar itu terpaksa diselesaikan dengan cepat kerana UMNO mengadakan persidangan perwakilan khas pada Sabtu 18 November 2000. Agenda besar persidangan itu ialah untuk meluluskan satu agenda putarbelit seorang diktator tua agar tempoh pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan bahagian ditetapkan untuk lima tahun. Pada hari itu sekitar 2,000 perwakilan yang mewakili 165 bahagian UMNO terpaksa membuat pilihan mereka. Perkara itu tidak menjadi kerana sudah ada 'pakatan di akar umbi untuk memberontak dengan bijak'. Kesannya, pengaruh seorang diktator tua jatuh terperusuk ke dalam longkang keaiban.


UMNO Tolak Budaya Rasuah ?

Persidangan Agong Khas UMNO bertarikh 18 November itu meluluskan 49 daripada 50 pindaan perlembagaan parti. Fasal 14.4.4 mengenai kuasa cawangan melantik seorang wakil bagi setiap 50 ahlinya yang menjelaskan yuran bagi menghadiri mesyuarat bahagian dengan jumlah maksimum lima orang, dikekalkan. Sebenarnya, taktik Mahathir untuk mengekalkan kuasa tanpa bertanding untuk lima tahun, tidak diterima oleh perwakilan dan tidak pula didedahkan oleh akhbar perdana.

Para perwakilan ketika itu dikejutkan oleh tema ucapan-perdana presiden parti. Dia berucap di atas tajuk 'Sayang Bangsa Tolak Rasuah'. Rakaman TV dan foto menunjukkan para hadirin 'terpesona' mendengar ucapan itu. Di dalam hati mereka tercetus banyak tandatanya, selama ini siapakah sebenarnya Raja Rasuah Melayu?

Tajuk rasuah semakin mencetuskan kemarahan orang Melayu kerana rakyat marhaen sedar betapa rasuah berleluasa di negara ini disebabkan Mahathir tidak berapa berminat untuk membenterasnya. Tuduhan terhadap beberapa personaliti yang rapat dengan Mahathir oleh bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah adalah satu tamparan yang paling hebat sekali. Malangnya, Mahathir sanggup menolak tepi semua laporan itu. Dia sudah tidak mampu melakukan sesuatu yang berkesan kerana sistem kehakiman negara sudah bergelumang dengan budaya rasuah. Perkara ini terdedah apabila disiarkan gambar-gambar Ketua Hakim Negara dan Ketua Peguam Negara bersantai dengan peguam khas Tan Sri Vincent Tan. Sistem kehakiman itu menjadi lebih gawat apabila segala laporan dan gambar yang mengaibkan negara itu disediakan oleh satu pasukan khas yang berpusat di England. Sekaligus ia memperlekehkan sistem kehakiman yang menghenyak seorang timbalan perdana menteri di atas segala tuduhan palsu yang dikenakan ke atasnya, atas arahan dan konspirasi yang didalangi oleh seorang diktator tua.

Sekali lagi Mahathir tersalah tafsir. Dia gagal memahami sentimen orang Melayu secara menyeluruh. Dia fikir dengan berucap mengenai Budaya Rasuah dia mampu menarik sokongan rakyat marhaen terhadap kepimpinannya. Mahathir mahukan orang Melayu menumpukan usaha membasmi rasuah itu 'kalau mereka sayangkan bangsa'. Tetapi, apakah yang dilakukannya dua hari sebelum itu? Pada hari Khamis 16 November, 2000 Mahathir telah merestui tindakan Kerajaan Selangor meluluskan Rang Undang-Undang Wilayah Persekutuan Putrajaya 2000 bagi membolehkan Putrajaya diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Daripada 42 penyokong kerajaan, hanya seorang (Dato Abu Hassan Omar) yang tidak hadir untuk menyokong rang undang-undang itu. Enam ahli parti pembangkang yang diketuai oleh Dr. Mohd Hassan Ali telah bertindak keluar dewan kerana membantah penyerahan berkenaan. Saya ada menulis mengenai penipuan besar di tahun 2000 itu melalui tulisan bertajuk 'Otak Di Lutut Beralih ke Mana'. Komen kita mengenai pembohongan si diktator tua mengenai budaya rasuah itu ada kita kiaskan dalam 'Raja Kelentong Berlakon lagi'.

[Rujuk:
Otak Di Lutut Beralih ke Mana :
Rencana -MT-: 3248

Raja Kelentong Berlakon lagi
Rencana -MT-: 3270
- Editor
]

Kini, Putrajaya sedang bersiap sedia untuk menyambut kemunculan Februari 1, besempena Hari Wilayah. Sehingga kini segala persiapan untuk sambutan itu masih dibungkus oleh seribu rahsia. Kenapa agaknya? Apakah disebabkan pelancaran besar-besar yang diatur itu makanya kerja-kerja penyambungan saluran gas-masakan ke rumah kediaman yang lama tergendala di sambung semula? Kini, kerja-kerja sambungan itu tertunda lagi selepas musibah yang datang tanpa diduga. Cuma, kenapakah cerita sebenar musibah itu disorokkan juga?




Lunas Yang Mengejutkan

Kejatuhan BN di Lunas pada 29 November 2000, merupakan satu tarikh yang sungguh bersejarah di mana kesannya yang sebenar dalam percaturan politik Malaysia masih belum di fahami oleh ramai pemimpin politik Melayu. Inilah tarikhnya di mana kepimpinan Mahathir sebagai ketua Barisan Nasional sudah dibakul-sampahkan oleh rakyat marhaen. Pada lahiriahnya Mahathir mungkin tidak lagi terjejas dengan kekalahan itu. Tetapi kesan kekalahan calon MIC di Lunas itu sudah mampu membuatkan beliau menukar agenda tidurnya di malam hari. Kita dapat lihat betapa perwatakan Mahahtir berubah secara drastik selepas kekalahan itu. Kini, rupanya pun sudah berubah cepat kerana dia tidak lagi nampak segak seperti dulu walaupun kita tahu dia menerima suntikan hormon awet muda untuk menyerlahkan ketokohannya yang memang penuh ilusi.

Seperti biasa, Mahathir cepat bertindak dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah. Tetapi, setiap tindakannya itu disalut dengan beberapa lakonan dan sandiwara yang sengaja dilakar agar rakyat marhaen terbabit sama. Baik dalam bentuk pembabitan fizikal mahupun dalam bentuk pencetusan minda, mereka mudah diputarbelitkan. Eloklah kita rakamkan apa yang dilakukan oleh UMNO/ Barisan Nasional sebaik sahaja kerusi di Lunas tumpas dan beralih kepada Keadilan:



  1. Samy Vellu cabut lari sebelum keputusan pilihanraya Lunas diumumkan. Sekaligus dia mengengkari janji-janji manis betapa dia 'tidak akan keluar daripada Lunas kalau BN kalah'.

  2. Aziz Sikh Fadzir menghantar surat perletakan jawatan daripada menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO berkuatkuasa 1 Disember, 2000.

  3. Datuk Shahrir Samad menulis di internet 'menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai punca kekalahan di Lunas'. Kisah ini dibesar-besarkan lagi oleh Utusan melalui beberapa artikel bertajuk 'Shahrir Terlampau Lepaskan Geram' oleh seorang insan bernama Faisal Mohd. Akil yang dikatakan beralamat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Selalunya kebanyakan surat pembaca yang disiarkan dalam akhbar perdana adalah tulisan rekaan staf surat-akhbar sahaja. Yang lebih menjijikkan pada hari itu ialah satu tulisan yang ditulis oleh Zia-Ul Arief bertajuk 'Lunas Dirampas Melalui Politik Kotor'. Kalau diteliti tulisan itu ia mempunyai jalan pemikiran tulisan seorang wartawan yang pernah disingkirkan oleh Utusan. Tetapi, kini dia menjadi seorang senator. Penulis artikel (Zia-ul Arief) menunjukkan mutu penulisan sesaorang yang mempunyai otaknya yang sudah berada di lutut. Apakah kerana tulisan seperti itu makanya Ezam dan Azmin Ali ditahan oleh polis ketika sampai di KLIA daripada Mekah?

  4. Sandiwara perletakan jawatan Aziz Sikh itu ditariknya balik setelah berbincang dengan Ketua Pemuda. Itulah tindakan yang sepatutnya sebelum dia mengirim surat perletakan jawatan kepada Presiden parti.

  5. Beberapa isu hangat sengaja diketengahkan untuk menyerap kekalahan di Lunas. Antaranya ialah (i) Politik kafirkan pelajar di UUM seperti yang sengaja dibesarbesarkan oleh Naib Chanselor UUM. (ii) GPMS mahukan sekolah aliran Inggeris dihidupkan semula. Cadangan GPMS itu adalah berdasarkan hasil kajian yang dibuat ke atas 500 responden. Isu itu diketengahkan sebagai satu 'prelude' (awalan) untuk menyediakan minda rakyat marhaen kepada peranan yang 'lebih besar' yang mahu dimainkan oleh Suhaimi Ibrahim dan GPMS dalam menyanggah isu Suqui. Selain bersuara lantang mengenai Sekolah Wawasan, Suhaimi cuba memanjangkan isu Suqui dengan ugutan untuk mengemukakan 100 tuntutan kepada Mahathir pula.

  6. Serangan terhadap pembangkang dan Barisan Alternatif semakin menjadi-jadi. Paklah dan Najib menggunakan majlis berlainan mencetuskan 'projek terbaru Mahfuz yang menyerupai budaya intifada orang Palestine'. Ini merupakan satu sandiwara terbaru sebaik sahaja Mahfuz Omar bersama Salahuddin Ayub dan Pak Amjal keluar daripada penjara Kajang. Tujuan sebenar mereka mencetuskan sandiwara terbaru ini ada kita jelaskan dalam 'Yang Basau Dan Basi'. Reaksi mendadak rakyat marhaen terhadap isu yang dicetuskan itu memaksa UMNO bertindak dengan 'damage control' lagi sehinggalah senyap cerita intifada itu tanpa sebarang 'batu' dibalingkan ke mana-mana.

  7. Projek intifada tiba-tiba tenggelam apabila Utusan mula membesarkan kembali isu perpecahan Melayu. Isu itu menjadi hangat kembali apabila Zam berucap di Dewan Negara atas isu yang sama. Dia terlupa akan sebuah artikelnya yang tersiar pada September 1999 dulu yang bertajuk 'Konspirasi Golongan Revolusioner dan Reaksioner'. Dia juga terlupa betapa rakyat marhaen menganggap Episod Sauk dan juga Episod Pulau Sipadan sebagai episod yang sengaja diada-adakan.

  8. Apabila projek intifada disanggah oleh rakyat marhaen, kita dapati GPMS terus naik garang dengan mengugut melancarkan satu perhimpunan raksasa melibatkan 1 juta orang Melayu kerana GPMS dikatakan sudah menerima sokongan PESAKA (Persatuan Silat kebangsaan Malaysia dan lebih 200 pertubuhan Melayu. Sasaran GPMS ialah Suqui dan meminta pertubuhan itu menggugurkan tuntutan mereka dan meminta maaf. GPMS berlagak mahu mengetuai satu medan perang. Ia menjadi gamat apabila seorang pakar kencing di pusara melancarkan satu himpunan di hadapan sebuah masjid di Kelantan menyokong tindakan GPMS itu. Utusan melaporkan penyertaan 1,000 jemaah masjid sedangkan yang ada hanyalah pemerhati yang memang benci terhadap si wira pusara itu.

  9. Kegawatan disebabkan cerita kosong mengganyang Suqui sebenarnya merupakan satu topeng untuk membungkusi tindakan membeli saham MAS yang dipegang oleh Tajuddin Ramli dengan harga RM8 se saham, sedangkan harga di pasaran terbuka adalah hanya RM3.68 sahaja. Mahathir membuat keputusan menggunakan wang rakyat sebanyak RM1.79 bilion untuk menyelamatkan seorang kroninya.



Siapa yang Berpecah ?

Keupayaan rakyat marhaen bersatu menyanggah tindakan Mahathir dan juga pemimpin BN telah mencetuskan satu perasaan takut di kalangan pemimpin UMNO. Para pemimpin MCA dan Gerakan tidak berapa takut akan hal itu kerana isyarat sudah lama diterima daripada ahli-ahli betapa mereka sudah berpihak kepada BA. Pemimpin ini seperti Lim Kheng Yaik dan Ling Liong Sik memang sudah bersedia mengundurkan diri daripada arena politik. Hanya Mahathir yang menyebabkan mereka terus memegang kuasa.

Tindakan ini memperkuatkan rancangan asal Mahathir membesar-besarkan kekuatan orang Cina dengan tujuan meraih simpati orang Melayu. Mahathir pun menggunakan isu itu sebagai tema ucapannya ketika menyambut Hari Raya Puasa. 'bermaaf-maafanlah kita sebagai umat Islam...!!!!' Demikianlah saranan Mahathir. Tetapi itu adalah satu saranan yang jauh terlambat kerana orang Melayu masih ingat betapa Mahathir pernah menyebut kemungkinan negara akan berperdana menteri seorang bukan Melayu.


Kini, Mahathir terlalu ghairah mahukan perbincangan mengenai perpecahan Melayu itu dengan PAS, 'walaupun Keadilan tidak sanggup melayan tawaran mereka'. Alasan yang diberikan oleh UMNO adalah seperti yang dijelaskan oleh Mahathir sendiri, seperti berikut:



  1. Ada pertanda kemakmuran negara akan menuju ke arah kehancuran jika rakyat tidak berwaspada dengan perpecahan yang berlaku sesama mereka sekarang;

  2. Jika trend menabur kebencian dan perpecahan antara rakyat dibiarkan atas nama kebebasan demokrasi, Malaysia tidak akan lagi memiliki kerajaan yang berwibawa dan kuat;

  3. Walaupun banyak pihak beranggapan bahawa rakyat akan menikmati kehidupan normal jika berlaku penggantian kerajaan tetapi adakah jaminan bahawa kerajaan baru yang dipilih nanti lebih baik atau lebih buruk daripada kerajaan terdahulu;

  4. Negara yang rakyatnya mula menukar kerajaaan akhirnya berdepan dengan masalah sentiasa memilih kerajaan yang lemah kerana tidak ada parti yang benar-benar kuat;

  5. Janganlah kita (rakyat Malaysia) membiarkan musnahnya formula yang selama ini terbukti berkesan membawa pembangunan dan keharmonian kepada negara;

  6. Sudah ada tanda-tanda bahawa bibit kebencian terhadap kerajaan pilihan rakyat (he.he.he) ini cuba disemaikan di kalangan anggota pentadbiran sehingga kerajaan yang ada dianggap tidak Islamic, rasuah, mengamalkan kronisme dan sebagainya;

  7. Mana-mana kerajaan di dunia ini akan sukar melaksanakan tanggungjawabnya jika ada kakitangan kerajaan yang bersikap 'mensabotaj' kerajaan sedia ada. Jika tidak patuh, kerajaan akan runtuh. Kalau ditukar kerajaan, maka akan ada orang dalam pentadbir yang tidak bersetuju dengan kerajaan yang baru dan akan sabotaj kerajaan baru.

  8. Dalam amalan demokrasi, cuma undi yang digunakan untuk menukar kerajaan dan tidak perlu kepada kekerasan atau peperangan. Tetapi, menukar kerajaan juga tidak sepatutnya dilakukan semata-mata kerana ingin tukar lantaran sebarang pertukaran kerajaan itu akan mengakibatkan ketidakstabilan negara.


Seperti kebiasaannya, Mahathir mengungkit cerita lama kerajaan Rom dan Parsi yang akhirnya runtuh dan menjadi peninggalan sejarah. Beliau khuatir Malaysia yang baru 43 tahun menikmati kemerdekaan selepas 450 tahun di bawah kuasa penjajah, akan turut mengalami nasib yang sama walaupun Malaysia tidak dibangun untuk menjadi sebuah empayar.


Apa yang kita rakamkan di atas adalah intipati ucapan Mahathir kepada kira-kira 600 ketua agensi kerajaan pada majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kedua (Mappa II) di Auditorium Intan, Bukit Kiara. Itulah ucapan yang berlaku pada 11 Januari, 2001. Tetapi, isu perbincangan mengenai perpaduan orang Melayu telah tercetus pada 1 Syawal yang lalu, bersamaan dengan 27Disember, 2000.

Kini, Syawal sudah pun menampakkan bulan mengambangnya dengan diikuti oleh satu gerhana purnama. Mahathir masih jauh menyimpang daripada tugasnya untuk memimpin Malaysia untuk kembali. Rakyat marhaen masih juga menanti bila si diktator tua ini akan pergi.


Menghadapi Musibah yang Semakin Bercambah

Mahathir dan juga para pemimpin UMNO boleh terus berdrama dengan usaha mereka untuk menaikan taraf hidup rakyat, yang berbilang kaum kerana itu adalah tugas mereka yang paling utama. Tetapi, dalam usaha mengekalkan kuasa, mereka semakin galak menggunakan isu perkauman untuk meraih sokongan orang Melayu agar keluar daripada PAS dan Keadilan dan apa juga parti yang lain selain daripada UMNO. Pelbagai usaha sedang direncana untuk menarik sokongan orang Melayu itu. Lebih banyak rencana itu lebih banyak lagi masalah lama yang terserlah dan lebih banyak pula masalah baru yang muncul. Inilah hukum karma yang mesti ditanggung oleh Mahathir dan para pemimpin UMNO.

Sepatutnya kemenangan besar pemilu 1999 dulu dimanfaatkan untuk memulihkan keadaan ekonomi negara. Dua tahun sudah berlalu sejak tarikh itu, tetapi rakyat marhaen terus berpendapat: 'Mahathir sudah nyata gagal, segagalnya.' Apa juga yang direncana oleh Mahathir hanya mementingkan tembolok dirinya dan para kroninya. Mahathir ternyata tidak berjaya menipu dan berbohong kepada rakyat lagi. Kuasa kelentongannya sudah tidak berbisa. Dulu, dia boleh menggunakan aura ketokohannya untuk berucap panjang-panjang kepada rakyat jelata, dengan segala bantuan gema sorakan dan sokongan yang dikeluarkan oleh kecanggihan IT. Kini, cakap-cakapnya mengenai semangat 'Malaysia Boleh' tidak dipedulikan lagi. Kerana banyak sangat projek mega yang gagal, panggilan 'Bolehland' oleh MGG Pillai ataupun 'Darul-Boleh' sebagai terjemahannya, sudah semakin diketawakan oleh dunia luar.


Kita harus memahami perjalanan sejarah negara-negara yang pernah dijajah oleh para diktator. Tidak ada sebuah negara yang dijajah oleh diktator di dunia ini berada dalam keadaan senang lenang di saat-saat si diktator itu hampir mengehembuskan nafasnya. Lagi hampir diktator itu di ambang maut, lagi ganas dan buas tindakannya. Semua itu dilakukan tanpa segan dan silu lagi kerana selama dia berkuasa itu segala insititusi yang ada dalam kerajaan dan juga di luar kerajaan telah cuba dipribadikannya. Oleh kerana terlalu lama konsep memperibadikan institusi yang besar-besar itu dengan menyalah-gunakan kuasa dan menghamburkan wang rakyat jelata yang ada, setiap diktator akan terus menjadi rakus sehinggakan dia mencapai tahap kegilaan yang tidak mudah untuk dijinakkan.


Tindakan gila seorang diktator itu sengaja dibiarkan oleh para juaknya kerana mereka sendiri pun sudah menjadi keliru. Mereka takut untuk menyekatnya kerana nyawa dan badan akan menjadi pertaruhan. Adalah lebih menguntungkan kalau mereka akur sahaja dengan sifat kegilaan diktator semacam itu, sambil mencari dan mencuri peluang untuk turut menumpang sekaki-dua dalam setiap projek baru yang dimulakan lagi.


Perbuatan Mahathir yang kini disokong oleh hampir semua institusi kerajaan akan sampai ke satu tahap dan persimpangan yang mendebarkan. Kita dapat jangkakan Mahathir menjadi ganas kalau segala usahanya menopang kuasa yang ada tidak berjaya. Kita boleh baca segala usaha itu seperti yang ditulis di akhbar perdana dan seperti yang dicanang oleh segala penjilatnya. Semua perbuatan itu tidak akan mendatangkan hasilnya dan semua tindakan mereka hanya akan melengahkan kuasa jijik yang masih ada, sehingga satu masa si diktator tua tidak lagi bernyawa.

Sebaliknya rakyat marhaen akan terus bertindak, cuba menegakkan keadilan yang pasti mampu ditegakkan dengan sokongan padu rakyat marhaen. Sedikit demi sedikit manusia yang mindanya diputar oleh si diktator, untuk menjadi alat pencengkam kuasanya akan berpaling tadah. Secara perlahan, proses sabotaj akan bertali arus. Diktator akan bertambah kejam dan bertindak ganas, terus menerus. Mahathir sudah kecundang untuk terus berkuasa. Ramai pemimpin UMNO yang berani bersuara lantang menyanggahnya. Ramai pula yang dihambat oleh jentera gestapo Mahathir untuk diganyang dan diaibkan. Ramai yang sudah melarikan diri dan semakin ramai yang akan terus bersembunyi. Semua menjadi tertekan kerana seorang diktator tua yang hilang pedoman.

Mahathir sudah tidak punya pilihan lain lagi. Dia mesti undur secara terhormat ataupun membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya umum semula. Rakyat marhaen memang sudah lama bersedia menantikannya.

-marhaintua- 14.2.2001.