Laman Webantu   KM2A1: 3597 File Size: 5.0 Kb *



Mencuri/Memplagiat Tulisan Reformasi Bukan Usaha Murni
By Editor

16/1/2001 11:11 am Tue

[Sikap sesetengah pihak menceduk beberapa rencana yang ditulis oleh penulis siber amat dikesali. Ada yang telah memadamkan nama penulis asal untuk disandarkan kepada nama lain. Ada juga yang menjual bahan itu tanpa memohon izin dari penulis atau sumber asalnya. Sikap sedemikian amatlah dikesalkan kerana bukan mudah untuk mencari penulis sukarela yang mencari bahan sendiri, menterjemah dengan amat teliti demi satu perjuangan yang suci. serta mengolah kata-kata yang amat berarti sebagai tatapan percuma semata-mata untuk mendapat keredhaan ilahi.

Sewajarnya pihak terbabit berterima kasih kepada penulis siber kerana tanpa mereka laman-laman seperti ini sudah lama TIADA. Yang rugi bukan seorang, tetapi SEMUA. Berilah penghargaan sebagai dorongan buat mereka, walaupun kita tahu mereka tidak inginkan itu semua. Kerana kata-kata tetap bermakna walau sebaris cuma. Ia lambang kita kasihkan mereka, sebagaimana kita kasihkan diri kita sendiri.... - Editor]



Kenyataan Bersama

HENTIKAN SEGERA KERJA MEMPLAGIAT HASIL USAHA INTELEKTUAL DI INTERNET UNTUK KEPENTINGAN DIRI!


Salam hormat kepada semua pengunjung setia laman KM2.

Sebagai pengendali laman web pro-reformasi yang tidak terikat dengan mana-mana parti siasah atau mana-mana individu, KAMI (PW FeU, MindaRakyat, WeBantu & Tok Ayah) ingin menarik perhatian para pengunjung kepada tindakan tidak beretika seorang penulis tempatan yang telah memindah-salinkan bentuk tulisan daripada media elektronik ke media cetak untuk tujuan komersial tanpa kebenaran mahupun 'acknowledgement/credit' yang sewajarnya daripada Penulis/Penterjemah dan laman-laman asal di mana tulisan atau bahan terjemahan itu diterbitkan pertama kalinya.

Daripada apa yang dimaklumkan kepada KAMI, banyak tulisan (yang dianggap sebagai intellectual properties) yang menjadi hakmilik salah-seorang penulis prolifik pro-reformasi, Saudara Marhaintua, telah diciplak dan diterbitkan semula dalam bentuk hard-copy dan diedarkan secara komersial oleh seorang penulis / penyunting / penyusun yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan peribadi. Malahan, banyak artikel penulis prolifik MGG Pillai yang telah diterjemahkan oleh Sdra Marhaintua turut menjadi mangsa tanpa menyebut sumber asal mahupun nama penterjemah. Perlu ditegaskan di sini, Sdra. Marhaintua dan FeU sendiripun telah berusaha untuk mendapatkan keizinan MGG Pillai untuk memetik dan menyiarkan terjemahan tulisan beliau (MGG Pillai). Amatlah mendukacitakan apabila ada pihak lain menerbitkan semula bahan-bahan berkenaan untuk tujuan komersial tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan pihak-pihak yang berkaitan.

Oleh itu, KAMI memberi AMARAN sekiranya perbuatannya itu tidak dihentikan dengan serta merta KAMI akan menyiarkan satu artikel khas dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris untuk mendedahkan kerja-kerja busuk penulis itu. Orang semacam itu tidak ada tempat dalam gelanggang reformasi yang kita perjuangkan."

Sewajarnya KAMI memberikan ultimatum sebegini kerana selama ini Sdra Marhaintua telah begitu banyak menghabiskan masa, tenaga, wang ringgit daripada hasil titik peluhnya sendiri, pengorbanan serta risiko yang ditanggung kaum keluarganya yang tidak ternilai. Begitu juga sebagai pengendali laman web pro-reformasi, perkhidmatan KAMI tidak dibayar walau sesenpun oleh mana-mana pihak. Kekecewaan terpaksa KAMI kongsi bersama apabila ada pihak dengan sewenang-wenangnya mengaut keuntungan di atas perjuangan sebegini.

Buat masa ini, KAMI tidak berhasrat mendedahkan nama penulis berkenaan, namun KAMI tidak akan teragak-agak mendedah dan membogelkan identiti penulis dan penerbitan berkenaan sekiranya perbuatan ini tidak dihentikan segera.

Sehubungan ini, kami ingin merakamkan rasa kesal yang amat sangat kepada Sdra Marhaintua, MGG Pillai, Wak Amin Sapiro dan semua penulis pro-reformasi tulen atas keterlanjuran dan tindakan biadab penulis@penyangak harta intelektual berkenaan.

Makallah tidak berkala ini menggunakan logo semua (diulangi, semua) parti komponen BA di bahagian bawah di sudut kanan makallah itu.


Catatan:

Para pengujung masih bebas menyalin / mencetak / mengedar bahan-bahan yang berkaitan asal saja ianya tidak berbentuk komersial (non-profit) dengan menyertakan nama penulis dan sumber asal tanpa mengira daripada mana ianya diambil.



b/p PW webantu
-Wartawan Pencen-
(Editor)
14 Januari 2001