Laman Webantu   KM2A1: 3591 File Size: 6.9 Kb *



SOH19 - UMNO HANYUT, TERSEPIT DAN TERHIMPIT
By La Domeng3

13/1/2001 8:16 pm Sat


SOH19 - UHTDT

UMNO HANYUT,TERSEPIT DAN TERHIMPIT

Berita terbaru dari sumber yang diyakini melapurkan bahawa ramai kakitangan kerajaan dari serata negeri, yang dikenalpasti sebagai orang kepercayaan UMNO telah dilantik secara kontrak selama dua tahun dan ditindik ke Jabatan Penerangan baru-baru ini. Lantikan yang berselindung disebalik jawatan kontrak kerajaan ini dibuat semata-mata untuk menjamin kemenangan UMNO yang semakin hanyut, tersepit dan terhimpit.

Di antara mereka ini adalah guru-guru penyokong BN dan memegang jawatan di peringkat cawangan dan bahagian. Selain dari melatih seramai mungkin kakitangan kerajaan untuk dijadikan penceramah dan fasilitator, yang sebenarnya dan akhirnya akan dikorbankan menjadi barua UMNO di seluruh negara, mereka juga ditugaskan menyusun pelbagai strategi untuk proses 'turning over' para kakitangan kerajaan yang dikenalpasti penyokong BA.

Program mega gerak saraf UMNO ini khabarnya akan diselitkan dalam apa sahaja kursus-kursus anjuran kerajaan dan badan-badan berkanun yang lain dan termasuklah IPTA yang dikenalpasti mempunyai ramai penyokong BA. Untuk makluman semua, adik seorang MB baru-baru ini telah dilantik sebagai Naib Canselor di salah sebuah IPTA. Mungkin ada kaitan dengan program mega ini. Kita bukannya menuduh tetapi kalau tiada angin masakan pohon bergoyang.

Jelas kini UMNO telah benar-benar tersepit dan terhimpit. Lebih 'desperate' lagi dengan kebangkitan dan kemenangan BA di Lunas. Sudahlah itu, isu perpaduan Melayu pula rakyat buat tidak peduli. Puaslah pemimpin dan media basi UMNO menjaja ke sana ke mari. Malangnya tiada yang ingin membeli. KeADILanpun sudah tolak awal-awal lagi. Tinggallah UMNO dan pemimpinnya meratapi diri sambil membilang hari. Bolehkah rakyat dibohongi lagi?

Kakitangan kerajaan yang dikenalpasti sebagai penyokong BA kini mula diberi perhatian dan pergerakan mereka sentiasa diintip dan diawasi. Para penulis siber Reformasi diingatkan supaya lebih berhati-hati. Lepas ini barua-barua itu tidak akan beri peluang lagi. Kalau hendak hantar tulisan jangan guna komputer di rumah atau di pejabat lagi. Gunakan disket dan hantar melalui CC (Cyber Café) supaya sukar dikesan dan dikenali. Bukan apa, kalau terjadi apa-apa nanti maka akan terkandaslah usaha kita ini.

Khabarnya dalam satu sesi temuduga kenaikan pangkat baru-baru ini, seorang calun pemegang ijazah PHD yang memegang jawatan dalam NGO penyokong BA telah dinasihatkan supaya meletakkan jawatannya dalam NGO berkenaan jika tidak kenaikan pangkatnya tidak akan dilayan. Calun berkenaan telah menolak tawaran pihak pengurusan sebuah IPTA itu dan terus kekal memegang jawatan dalan NGO tersebut sehingga kini. Inilah dia pejuang keadilan dan reformasi tidak menjual maruah untuk sesuap nasi.

Lihatlah, bagaimana seorang yang bertaraf PHD sanggup melupakan peluang kenaikan pangkat semata-mata kerana tidak mahu bersekongkol dengan UMNO/BN. Dalam masa yang sama kita lihat betapa hina dan hodohnya seorang guru biasa yang hanya dijanjikan dua kenaikan gaji untuk satu jawatan kontrak sanggup menggadai maruah diri untuk terus membela Bapa Penyamun, Pembelit, Penipu dan Penzalim terganas dan terkutuk di abad ini?

Bukanlah hendak mengutuk para guru pengampu UMNO/BN tetapi sekadar memberi peringatan kepada mereka yang masih SAYANGKAN UMNO BENCIKAN MAMAK ataupun yang masih TERPUKAU DENGAN JANJI RACUN BERSALUT GULA si MAMAK TUA, supaya menghentikan segera amalan ampubodek saudara. Di manakah janji dan ikrar saudara dulu semasa menerima amanah jawatan sebagai guru?

Di dalam kelas, saudara mendidik anak-anak kami supaya bermoral tinggi, tidak menipu dan berbohong serta pelbagai lagi nilai murni dalam hidup ini. Sebaliknya di luar kelas saudara merelakan diri dijadikan kuda tonggangan dan lebih dahsyat lagi saudara melatih orang lain pula untuk sama-sama menjadi barua kepada si Mamak Tua. Sesat dan menyesatkan dari dulu, kini dan selamanya.

MasyAllah, harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan guru untuk mendidik dan membimbing generasi, rupa-rupanya mereka sesat dan menyesatkan lagi. Tidakkah tindakan mereka ini nanti akan menghancurkan masa depan generasi. Anak-cucu kita ketika itu nanti akan terus kalut dan kusut dengan falsafah dan ideologi yang bertentangan dengan tabii. Lihat sajalah apa yang terjadi kini. Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Sanggupkah kita melihat sahaja perkara ini terjadi?

Tidakkah mereka (para guru yang terlibat dengan operasi sesat dan menyesatkan ini) rasa bersalah dan berdosa walaupun sebesar biji sawi. Menyumbat temolok anak-bini dengan hasil kerja haram ini? Lupakah mereka balasan di akhirat nanti?

Dengar khabar guru agamapun ada yang sama-sama melibatkan diri dalam program syaitan ini. Wahai ustaz dan ustazah yang dikasihi. Apa dah jadi dengan syahadah saudara selama ini? Apakah yang akan saudara jawab di akhirat nanti bila ditanya adakah saudara terlibat sama semasa di dunia dahulu memesongkan akidah generasi? Adakah saudara merasakan syaitan tidak akan hangus dimakan api?

Wahai para guru yang terlibat sekelian. Hentikanlah segera amalan syaitan yang penuh kesesatan. Kembalilah ke pangkal jalan. Tiada untungnya saudara berada di sana secara berpanjangan. Kapal UMNO akan karam dan tidak akan dapat diselamatkan. Oleh itu tidak usahlah terus memasang angan-angan dan berharap akan jadi anak emas Sang Juragan. UMNO dan pemimpinnya tetap akan mungkir janji walau selautan peluh telah saudara curahkan atas nama persahabatan. Renungilah dan kenangilah nasib DSAI, Timbalan Juragan sehebat itupun mereka boleh aibkan. Apa lagilah para guru sekelian, kepada mereka saudara tidak lebih dari seekor kuman. Jika tidak percaya tanyalah teman-teman. Jangan sampai saudara menyesal pula kemudian.

Berfikirlah secara waras dan bijaksana. Jangan ditunggu esok atau lusa. Curahkanlah bakti dan tenaga. Bantulah BA menentang kezaliman yang nyata. Sanggupkah saudara dicaci-cerca sepanjang hayat macam si Mamak Tua, yang dianugerahkan Allah akal tetapi salah guna dan kini tingkahlakunya macam orang gila. Mulutnya kumat-kamit seperti membaca mantera atau mungkin juga menghitung hari terakhir sebagai manusia.

Jangan bertangguh lagi. Esok entahkan ada entahkan tidak mentari pagi untuk saudara meneruskan hidup ini. Janganlah malu dan berat hati untuk berjuang bersama kami. Madinahkanlah diri. Yakinlah hati. Sesungguhnya saudara tidak akan rugi jika mengorak langkah berani. Tinggalkanlah perjuangan UMNO yang telah basi. Saudara tentunya lebih maklum, matlamat mereka tiada lain dari dulu, kini dan selamanya, hanyalah membuncitkan perut anak-bini serta kroni. Apakah saudara masih mahu terus membutakan mata dan membutakan hati? Jangan salahkan sesiapa nanti anak-anak mengencingkan kuburmu nanti.


La Domeng
13.1.2001