Laman Webantu   KM2A1: 3587 File Size: 4.8 Kb *



SOH18 - LAWAN TAPI JANGAN HANYUT
By La Domeng3

13/1/2001 2:43 am Sat


SOH18 - LTJSH

LAWAN TAPI JANGAN HANYUT

Lawan tetap lawan tetapi biar berencana. Melawan jangan membuta-tuli tanpa ilmu dan harga diri. Biar bersopan dan penuh akal budi agar tidak menyesal di kemudian hari. Sifat gelojoh dan pendek akal perlulah dipinggiri dari dalam diri. Peringatan diberi bukanlah semata-mata untuk saudara-saudari tetapi lebih utama kepada diri penulis sendiri. Ada kalanya lupa diri oleh kerana semangat yang tinggi tetapi rupanya banyak lagi ilmu belum dipelajari walaupun usia telah semakin menghampiri janji Allah yang pasti. Semoga usaha kita semua selama ini, cuba menyelamatkan generasi dari terus dizalimi akan diredhai.

Teringat pesanan daripada ilmuan terbilang. Yusuf al-Qardhawi yang tersayang - "Alangkah perlunya kita untuk menyimpan masa, tenaga dan pemikiran kita untuk masalah-masalah lain yang menuntut daripada kita banyak pengkajian yang bersungguh-sungguh, perbahasan yang mendalam dan bekerjasama untuk menonjolkannya. Usia kita lebih berharga dan amat pendek untuk disia-siakan bagi menjelaskan perkara yang telah jelas, menghasilkan apa yang telah wujud dan menerbitkan apa yang telah tersebar."

Jelas kepada kita semua terutama kepada Pejuang Keadilan bersemangat waja. Jangan lupa, mengulangi perkara yang sama itu sia-sia dan rugi. Ingatlah sabda Nabi SAW , "Pastikan hari ini lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini." Oleh itu marilah kita pujuk-pujuk diri supaya berfikir sejenak dan muhasabah diri. Apakah yang telah dilakukan selama ini dan yang akan dilaksanakan esok hari bertepatan dan berlandaskan hukum Islam yang diikhtirafi oleh Allah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani atau kita sekadar melayani perasaan hati yang telah meluat dan tidak ingin melihat si Mamak Tua itu berkuasa lagi atau mungkin juga sekadar mengisi usia tua yang takkan muda kembali di dunia ini.

Kemantapan rohani ketahanan jasmani perlu dibina untuk mengharungi pancaroba hidup yang penuh getir. Bukanlah sekadar memperbanyakkan ibadah dan zikir tetapi memerlukan masa dan tenaga untuk bertindak dan berfikir. Laksanakanlah program membangunkan minda dan diri, keluarga, masyarakat dan negara secara tertib dan teratur supaya kita tidak lagi bertabur mengejar keuntungan diri sendiri yang pastinya sementara dan menimbulkan takabbur.

Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata lagi, "…sekiranya kita melihat kepada ilmu kemasyarakatan dengan pandangan yang baru, bukannya sekadar meniru Barat di dalam keadaan buta dan bisu. Kita juga tidak menolak segala sesuatu padanya. Bahkan kita mengulangi pembacaannya dengan akal yang kukuh lagi terbuka, bukannya sekadar terpesona melalui pandangannya yang khusus dan asas-asas keagamaan serta pemikirannya. Kita mengambil (yang baik) dan meninggalkan (yang buruk), mentarjih dan melemahkan dengan lojik ilmiah yang jauh daripada taksub dengan warisan lama ataupun menghambakan diri dengan perkara yang baru."

Pandangan Dr.Yusuf ini perlu di teliti lebih mendalam lagi supaya kita tidak terkeliru dan tersesat nanti. Maklumlah hari ini banyak perkara mustahil bagi akal boleh terjadi. Apa yang kita nampak semalam belum tentu sama yang kita lihat hari ini. Hakikat dan realiti belum tentu sama erti, jika difahami di segi maknawi. Namun begitu secara peribadi banyak penulis pelajari dan fahami dalam usaha dan membina kemantapan dalaman diri daripada tulisan ulama besar ini. Sesungguhnya banyak untung dan tidak rugi jika kita sama-sama membuka hati untuk menerima ilmu yang diwajibkan kepada kita mencarinya dari lahir sampai mati.

Sesungguhnya hidup ini sangatlah singkat. Bermula dengan azan dan berakhir dengan salam. Andaikata hakikat ini semuanya faham, tidaklah tergamak Rahim Noor menumbuk mata Dato' Seri Anwar sampai lebam. Inilah dia contoh manusia yang sengaja mencari kehidupan yang kelam. Pasti hidupnya kini tidak tenteram.

Hanya Islam membawa cahaya. Hanya Islam membawa rahmat. Hanya Islam layak menjadi penyelamat. Islam bukan ideologi tetapi wahyu. Ramai di kalangan kita sebenarnya masih ragu dan keliru. Itulah penyebab pecahnya Melayu kerana kefahaman mengenai Islam bercelaru. Sesuatu perlu dilaksanakan segera supaya tidak menjadi bertambah haru-biru.

Lawan tetap lawan dan sambil itu ketahanan diri terus dikekalkan. Perjuangan menentang kezaliman ini mesti diteruskan walau apapun rintangan. Langkah yang telah diatur pantang dihentikan setengah jalan. Jika berpatah-balik banyak kerugian dan atas nama amanah dan kewajipan terhadap generasi masa depan, perjuangan ini jangan diperlekehkan.

SELAMAT BERJUANG


La Domeng
12.1.2001