Laman Webantu   KM2A1: 3548 File Size: 5.4 Kb *



Istilah 'Gugur' dalam Bernama
By Kapal Berita

7/1/2001 10:49 pm Sun

Saya mengepilkan rencana Bernama ini untuk menunjukkan bagaimana media menggunakan perkataan 'Gugur' itu untuk mengelirukan pembaca.





SUQIU GUGUR TUJUH TUNTUTAN SENTUH HAK MELAYU

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu) bersetuju untuk menggugurkan tuntutannya berhubung tujuh perkara yang menyentuh kedudukan dan hak serta keistimewaan kaum bumiputera.

Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein dan Pengerusi Jawatankuasa Suqiu Quek Suan Hiong selepas satu mesyuarat kedua-dua pihak di sini hari ini.

"Pemuda Umno dan Jawatankuasa Suqiu bersetuju tujuh perkara tersebut diketepikan memandangkan ketegangan etnik yang wujud.

Hak, kedudukan dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub di dalam peruntukan perlembagaan Persekutuan 153 dan peruntukan lain yang berkaitan, tidak dipersoalkan," kata Hishammuddin ketika membacakan kenyataan itu pada sidang berita selepas mesyuarat berkenaan.

Quek turut hadir pada sidang berita itu.

Beliau berkata, tujuh perkara dalam rayuan yang dikenal pasti menyentuh kedudukan dan hak keistimewaan kaum bumiputera itu adalah:


  1. Tindakan affirmative harus bertujuan untuk memberi perlindungan dan peningkatan kepada golongan masyarakat yang lemah, tanpa mengira kepercayaan agama, latar belakang sosial dan kaum,

  2. Mengambil langkah untuk memansuhkan perbezaan di antara "bumiputera/bukan bumiputera" dalam semua bidang,

  3. Membahagikan tanah secara adil kepada petani-petani yang memerlukan tanpa mengira kaum,

  4. Hapuskan sistem kuota yang berasaskan "kaum" dan gantikannya dengan sistem pengagihan yang berasaskan kepada "kebolehan",

  5. Hapuskan sistem kuota untuk kemasukan universiti,

  6. Memberi layanan yang adil bagi badan-badan agama yang berlainan dalam hal penyebaran, perkembangan, mendapat kemudahan rasmi kerajaan serta dilayani dengan saksama oleh media rasmi kerajaan, dan,

  7. Kenalkan sistem pinjaman dan bantuan kewangan pelajar dengan mengagihkannya mengikut kemampuan keluarga pelajar tanpa mengira kaum.


Dengan Quek berada di sebelahnya, Hishammuddin berkata mereka beriltizam untuk membincangkan 76 rayuan yang lain dan merealisasikan perkara-perkara yang diterima oleh kedua-dua pihak.

Katanya, kedua-dua pihak juga melahirkan rasa kesal terhadap reaksi yang tidak diingini di kalangan masyarakat Melayu dan Cina yang berpunca daripada tujuh perkara serta insiden-insiden berikutnya.

Beliau berkata Pemuda Umno dan Jawatankuasa Suqiu menghargai keamanan, keharmonian, kerjasama dan sikap menghormati sesama sendiri yang diamalkan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

"Kedua-dua pihak juga beriltizam untuk terus mempertahan dan memperkukuhkan nilai-nilai murni tersebut," kata Hishamuddin.

Pemuda Umno turut diwakili oleh naib ketuanya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Penolong Setiausaha Pemuda Zulkifli Alwi dan beberapa pemimpin lain pada mesyuarat hampir sejam itu.

Pemimpin kanan Jawatankuasa Suqiu yang menghadiri mesyuarat itu pula termasuk Timbalan Pengerusi Puan Chew Saw Eng, Ketua Pentadbiran Jiao Zong Puan Yao Li Fang dan Ketua Pentadbiran Suqiu Wong Chin Huat.

Hishammuddin berkata Jawatankuasa Suqiu mengulangi bahawa 83 rayuan tersebut dibuat atas dasar kepentingan perpaduan dan kemajuan negara dan komited sepenuhnya untuk membentuk satu bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Beliau berkata, ia juga bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya sebarang isu yang boleh menyebabkan ketegangan kaum perlu dihentikan segera.

Selain itu, kedua-duanya mahu mana-mana kumpulan yang telah membuat kenyataan sensitif sehingga boleh menimbulkan kemarahan atau keresahan kaum dilarang daripada mengulangi kenyataan itu dengan serta-merta.

Beliau berkata, Jawatankuasa Suqiu mengulangi bahawa 83 perkara rayuan itu hendaklah dipandang dari perspektif yang betul dan rayuannya itu merangkumi keprihatinannya dalam pelbagai aspek.

Hishammuddin berkata jawatankuasa itu menekankan bahawa selama ini ia tidak mempersoalkan atau mencabar hak serta kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Selepas membacakan kenyataan bersama itu, Hishammuddin yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Pemuda Umno telah menunaikan tanggungjawabnya dan kini menyerahkan kepada pucuk pimpinan negara untuk meneruskan usaha itu.

Ketika ditanya bilakah perbincangan mengenai 76 perkara lagi akan diadakan, beliau berkata : "Berilah kami sedikit masa untuk rehat selepas bekerja keras selama tiga minggu." Quek berkata kedua-dua pihak memulakan usaha untuk menyelesaikan perkara itu sejak 24 Dis lepas dan kini telah mencapai keputusan yang diharap dapat memuaskan hati pihak yang terbabit.

"Kenyataan bersama ini menjadi perkara yang baik kepada semua rakayt Malaysia," katanya.

Quek berkata beliau berharap Pemuda Umno dan Jawatankuasa Suqiu akan bekerja rapat untuk kebaikan semua.

-- BERNAMA