Laman Webantu   KM2A1: 3521 File Size: 44.0 Kb *



Siri 34 YTDT: B2 Antara Takbir Dan Gemanya
By Marhain Tua

4/1/2001 8:41 pm Thu

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 34

[Sekali pandang rencana ini agak ganjil persembahannya tetapi teruskan membacanya kerana ada sesuatu yang mengejutkan. Sebenarnya itulah yang berlaku dalam minda orang Melayu kini yang telah dilalikan oleh persembahan dan lakunan seorang diktator yang masih tidak padam-padam.

Mahathir memang suka memberi 'nasihat' tetapi dia juga suka mengambil-alih semua harta dan perniagaan yang 'sihat-sihat'. Dia memilih orang yang sakit belaka untuk membalun dan menjaga kemewahan negara yang dibalun suku sakatnya. Memang tidak dinafikan ada yang pakar mengendalikannya tetapi ada juga yang meranapkan lagi kesemuanya. Yang menarik lebih banyak projek yang difaraidkan itu menemui kecelakaan daripada yang menyumbang keriangan. Padahal mereka membolot pasaran dan tidak diancam oleh sebarang saingan.

Sebenarnya kemewahan yang dikecapi melalui kaedah yang songsang akan hilang juga keberkatan. Kita boleh mengunci duit dibalik pintu tetapi kita tidak bisa mengunci nafsu-nafsi yang asyik mengganas di lubuk hati. Kemewahan yang mudah masuk akan mudah juga untuk keluar. Beratus-ratus syarikat yang dipegang oleh anak pak menteri sudah cukup buat kita mengerti. Namun itu semua masih belum cukup lagi. Dia menggila lagi dengan tanah yang berjuta-juta nilai harganya di Putra Jaya.

Walaupun dia merebut semua yang ada, yang bocor lebih banyak dari yang tersimpan. Padahal pintu itu sentiasa berkunci dari depan. Siapakah yang mengambilnya itu jika tidak dirinya sendiri di waktu malam?

Kata orang tua-tua lebih mudah menjaga barang dari menjaga orang. Kerana satu orang boleh menjadi seribu binatang yang akan memakan semua barang..... termasuk penjaga barang. - Editor ]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 34 : ANTARA TAKBIR DAN GEMANYA (BAHAGIAN 2)




Antara Takbir Dan Gemanya

(Bahagian Dua)


- CABARAN MEGA

Masyarakat tidak akan menganggap sesuatu itu sebagai salah ataupun haram tanpa bersebab. Begitu halnya dengan sesuatu yang dianggap sebagai benda yang baik. Dua niali hidup ini selalunya ditentukan oleh masyarakat itu berdasarkan pengalaman lama. Sebagai makhluk yang dicipta oleh Allah, manusia mempunyai keupayaan untuk berfikir dan menurunkan pengetahuan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya tanpa perlu membuat keputusan terhadap sesuatu itu berdasarkan pengalamannya sendiri. Pengalaman yang telah dihimpun dan mencetuskan minda dan nilai itu bukan sahaja dikongsi-sama dengan masyarakat seluruhnya yang wujud ketika itu tetapi diwariskan kepada generasi yang seterusnya. Nilai-nilai hidup ini selalunya diterima dan diserap oleh setiap generasi itu sebagai satu bahagian tradisi dan budaya. Kadangkala generasi yang baru mempertikaikan nilai hidup lama itu dan berkesudahan dengan munculnya satu nilai baru pula.

Konsep kehidupan yang baik dan tidak baik dalam satu kumpulan manusia adalah merupakan nilai hidup yang diwariskan kepada generasi yang seterusnya sebagai tradisi dan budaya. Contohnya pada satu masa dulu, di zaman Jahiliyah, orang Arab menanam bayi perempuan hidup-hidup. Kini, amalan itu dianggap sebagai menjijikkan dan tidak berhati perut. Ia dianggap sebagai zalim, tidak berperi-kemanusiaan dan memang tidak patut dilakukan. Tentunya kita tidak perlu diajar bagaimna menerima cerita itu. Memang, ia sungguh meloyakan. Malahan, secara sedar ataupun tidak, perasaan itu adalah berdasarkan sistem nilai hidup masakini, yang tidak merestui perbuatan membunuh terutama sekali yang melibatkan anak-anak sendiri.

Tetapi kalau kita hidup di negeri Arab di zaman Jahiliyah dulu, tentu kita juga terlibat dengan amalan tersebut kerana perbuatan yang tidak dianggap zalim ketika itu. Kita tidak akan dihantui perasaan berdosa, kerana ketika itu membunuh anak perempuan kecil bukan dianggap sebagai sesuatu yang hina.

Beginilah halnya, satu ribu empat ratus tahun dulu, manusia berperangai lebih berbeza dengan manusia di zaman ini. Mereka mudah melakukan perbuatan yang zalim tanpa perasaan berdosa. Namun, tentu kita masih ingat akan keadaan di China kurang satu ratus tahun yang dulu, di mana kaum ibu mencekik bayi perempuan mereka sehingga mati. Bagaimana pula dengan budaya 'suttee' dimana janda dibakar hidup-hidup diunggun api yang membakar mayat si suami? Walaupun budaya ini sudah lama diharamkan ia masih lagi dipraktikkan di beberapa tempat beberapa tahun yang lalu. Hingga kini, masih ada kumpulan yang berbuat demikian di India seandainya pihak polis tidak berwaspada membenterasnya.

Kalau nilai sesuatu masyarakat itu dibentuk hanya oleh masyarakat itu sendiri mengikut sesuatu masa dan mengikut pengalamannya, mungkin amalan zalim seperti membunuh bayi dan membakar janda di unggun api tidak dapat bertahan lama. Oleh kerana nilai hidup yang baik dan buruk itu selalunya diwariskan turun temurun daripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya sebagai warisan bangsa tanpa penjelasan dan alasannya, amalan memhalalkan cara pembunuhan bayi dan janda itu boleh diterima- pakai dan dikekalkan untuk satu tempoh yang lama.

Rasuah adalah salah satu amalan yang dianggap buruk oleh hampir setiap masyarakat dunia. Pengiktirafan ini dibuat berdasarkan tradisi dan bukannya oleh kajian ataupun pengalaman. Sesiapa sahaja mengutuk rasuah sebagai satu jenis jenayah. Namun, ini tidak bererti bahawa semua orang menerima interpretasi itu ataupun memang betul-betul faham bahawa kesan yang buruk datang daripada perbuatan rasuah itu.

Rasuah mudah difahami sebagai satu amalan yang membolehkan seseorang untuk mendapatkan imbohan melalui kaedah yang haram. Contohnya, seorang pegawai yang menerima pendapatan bulanan kerana melakukan tugas tertentu, mungkin menerima satu hadiah daripada seseorang kerana melakukan salah satu tugas tersebut. Perbuatan itu boleh ditafsirkan sebagai rasuah, tetapi pada tahap awalanya ia tentu tidak mencetuskan sebarang kesan yang tidak diingini. Yang memberi mungkin melakukannya dengan keihklasan hati, sedangkan yang menerima melakukan tugasnya itu seperti yang dilakukannya kepada orang lain yang tidak memberikannya apa-apa.

Tetapi, apabila hadiah telah diberi, tentu ada satu bentuk keistimewaan kepada si pemberi di lain kali. Ini bererti sesiapa yang tidak mengeluarkan hadiah itu akan tidak mendapat layanan yang sepantas yang diminati. Di tahap ini, sebarang kekurangan dirasakan oleh mereka yang memerlukan khidmat pegawai yang berkenaan. Masyarakat dan juga negara belum lagi terbabit dalam hal ini. Masyarakat tidak akan bertindak kalau tidak merasakan kesan negatif perbuatan rasuah itu dan lebih mudah memandang sepi perbuatan itu. Lebih-lebih lagi kalau gaji pegawai yang terbabit dianggap masih rendah lagi.

Tetapi, pegawai lain yang bertugas tanpa berhubung rapat dengan kumpulan yang menyogok itu tentu berasa cemburu terhadap pegawai yang menerima sogokan tersebut. Untuk mendapatkan sebahagian daripada sogokan yang diberikan, mereka akan sengaja menyekat jurusan tertentu yang memudahkan tugas pihak yang 'mewah'. Inilah yang membuatkan korupsi itu ke tahap yang aktif: di mana aksi positif dilakukan untuk membiakkan rasuah.

Contoh yang baik ialah dalam kewujudan sistem 'tipping'. Pada tahap awalannya, perbuatan tipping diamalkan untuk mengupah para pelayan restoran yang melayan para pelanggannya. Jumlah tip bergantung kepada kemampuan dan keikhlasan si pemberi dan kepada khidmat yang diberikan. Pada mulanya perebutan memberi tip itu dilihat sebagai sesuatu yang ganjil dan pekhidmatan melayan diberikan sama ada tip diberikan ataupun tidak. Tidak lama kemudiannya, sikap para pelayan berubah, mereka tidak memberikan layanan yang baik kalau tip tidak diberikan. Di tahap ini konsep tip itu berubah. Kalau satu ketika dulu tip diberikan kerana khidmat yang baik, ia sudah bertukar kepada khidmat yang baik diberikan kerana tip itu.

Daripada tahap ini, perbuatan memberi tip itu berubah kepada jurusan lain, di mana kadar tip itu ditetapkan. Pelanggan tidak lagi mempunyai hak untuk memberi sesuka hatinya, tetapi mesti mengikut peraturan yang ditetapkan, selalunya sekitar sepuluh ataupun lima belas peratus. Pada tahap awal dulu, memberi tip hanya kepada pelayan yang memberikan khidmat kepada pelanggan. Ini mencetuskan perasaan cemburu pihak yang tidak berurusan dengan pelanggan itu secara terus, sedangkan mereka pun terlibat dalam memberikan khidmat kepada pelanggan itu. Contohnya, seorang tukang masak (chef) menyediakan hidangan yang lazat, tetapi tidak menerima tip. Begitu juga dengan pekerja lain di restoran yang tidak terlibat secara langsung melayan pelanggan itu, yang tidak dapat merasakan tip tersebut.

Perasaan cemburu kumpulan demikian mencetusakan satu tindakan negatif yang membawa mudarat kepada pelanggan. Satu cara baik telah diolah untuk menentukan semua pihak yang terbabit mendapat sebahagian daripada pemberian tip tersebut. Perbuatan memberi tip dihalalkan secara rasmi dan dikenakan caj mengikut kadar tetap berasaskan harga makanan yang disediakan. Kutipan wang tip dikumpulkan dan diagihkan kepada semua individu yang terbabit dalam memberikan khidmat kepada pelanggan mereka.

Di sini muncul pula dua perkara. Pertama, wang tip yang dikutip secara rasmi itu diagihkan kepada pekerja hotel dan restoren mengikut kadar gaji mereka. Mereka yang mendapat gaji yang tinggi tentunya mendapat bahagian yang lebih tinggi daripada tabung tip itu, sedangkan yang memerlukan wang tip itu adalah mereka yang berpendapatan rendah. Kedua, mereka yang melayan pelanggan secara terus masih berupaya mendapatkan tip tambahan daripada para pelanggan itu.

Dengan lain perkataan, walaupun tip sudah menjadi bayaran rasmi, pembayaran tip yang tidak rasmi masih boleh dikekalkan dan berpanjangan untuk mencetuskan cemburu di kalangan pekerja yang tidak berurusan terus dengan pelangggannya. Yang usul baliklah ke asalnya dan perniagaan pun menjadi tergugat oleh tindakan yang mencetuskan kerugian kepada peniaganya. Akhirnya pelanggan terus dihenyak oleh harga tipping yang dinaikkan lagi.

Rasuah memang boleh mencetuskan keadaan yang merugikan dan menjatuhkan kerajaan sehingga tercetusnya huru-hara. Kalau seorang pegawai yang ditugaskan mengutip pelbagai jenis cukai negara terlibat dengan rasuah, kerajaan akan ketandusan pendapatan daripada kutipan cukai itu. Pendapatan negara yang tidak mencukupi akan memudaratkan proses pembayaran gaji. Apabila gaji tidak dibayar secukupnya, pegawai kerajaan akan terus mengamalkan kerja-kerja rasuah lagi.

Korupsi boleh menjadi satu tabiat yang tidak ada sangkut-paut dengan kadar pendapatan sesaorang. Nafsu manusia memang tidak ada hadnya. Manusia yang berpendapatan rendah mungkin berkata mereka merasa puashati dengan pendapatan yang tinggi. Tetapi kita patut ingat memang sudah ada manusia yang berpendapatan tinggi seperti yang diimpikan oleh golongan pendapatan rendah itu. Apakah mereka yang bergaji lumayan itu berpuashati dengan pendapatan mereka dan tidak dirasuk oleh perbuatan rasuah? Jawapannya ialah; bukan sahaja mereka tidak berpuashati, mereka lebih berminat untuk mendapatkan habuan yang lebih besar setara dengan gaji mereka.

Dengan demikian, menaikkan gaji tidak merupakan satu cara untuk membenteras korupsi. Di negara di mana korupsi sudah menjadi amalan biasa, menaikkan gaji tiga kali ganda akan menaikkan tahap pembayaran korupsi yang tiga kali ganda tingginya. Dengan kata lain, apabila korupsi menjadi satu amalan norma, kenaikan pendapatan bukan sahaja gagal membenteras korupsi malahan akan mencetuskan pembiakannya. Korupsi berlaku di mana-mana. Tidak ada sebuah negara ataupun negeri yang bebas daripada rasuah. Namun, kesannya itu boleh direngankan dengan syarat korupsi itu belum mencapai dua tahap yang kritikal.

Tahap kritikal yang pertama ialah apabila korupsi itu dirahsiakan sedangkan hubungan telah dijalin di antara pegawai bawahan dengan pegawai atasan. Pada tahap ini, pegawai bawahan menerima sogokan dan meneruskan tugas mereka dengan mengongsi sogokan itu dengan pegawai atasan. Keadaan yang sebaliknya boleh juga berlaku. Dalam situasi ini setiap pegawai saling bantu-membantu dan saling lindung-melindungi. Ini mungkin membabitkan pegawai-pegawai paling tinggi pangkatnya, termasuk menteri-menteri dan para pemimpin politik. Malahan juga para hakim dan para penguatkuasa undang-undang.

Kesan korupsi di tahap ini memang amat jelas. Satu laporan daripada pihak yang menjadi mangsa tidak akan membawa sebarang kesan. Malahan kalau ada usaha untuk membersihkan sistem itu, tidak ada sesiapa yang akan melakukannya kerana semua orang terbabit dengan korupsi. Menteri dan para pegawai boleh digantikan, tetapi mereka yang mengambil tempat yang baru itu akan terdorong juga untuk bergelumang dengan korupsi. Kalau mereka enggan untuk bergelumang sama, mereka akan tersisih kerana para pegawai mereka tidak akan mengikut arahan yang diberikan. Adalah mustahil untuk memecat semua pegawai kerajaan dan mengambil pegawai yang baru. Kalaupun ini diusahakan, kesannya adalah huru-hara yang mencetuskan bencana juga.

Tahap kritikal korupsi yang kedua ialah perbuatan yang tidak lagi menjadi rahsia dan diterima-pakai sebagai satu amalan biasa dalam sesuatu masyarakat itu. Ada kalanya disebutlah kisah pendapatan bulanan yang rendah sebagai alasan kenapa rasuah mesti dilakukan. Kalau benar perkara itu, mereka yang bergaji tinggi seperti pegawai atasan dan para menteri tidak patut menerima rasuah. Yang nyata, orang atasan lebih selesa meminta sogokan yang lebih tinggi nilainya. Memang tidak ada hadnya kepada nafsu-nafsi manusia.

Korupsi yang diamalkan secara terbuka tanpa dianggap sebagai haram tentunya mencetuskan kesan yang sungguh berbahaya kepada sesebuah negara. Pertama, kerajaan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah diterima, kerajaan kehilangan hasil pendapatan ataupun dinafikan hasil tindakan yang berkesan. Contohnya, apabila sesuatu ketentuan telah dibuat mengenai cukai, pemberian wang sogokan tidak akan menyulitkan si pemberi; wang yang sepatutnya merupakan pembayaran cukai itu dikongsi-sama oleh tukang sogok itu dan juga tukang terima. Keadaan yang berulang tentunya menidakkan hak kerajaan kepada hasil mahsyul yang penting untuk menguruskan negara. Ini boleh membantutkan pembayaran gaji. Untuk menutup bayaran kerajaan yang tidak mencukupi itu, para pegawai akan terus menagih sogokan. Kerakusan manusia yang tidak ada hadnya itu akan memperlekehkan perbuatan rasuah dan mencetuskan pembayaran rasuah yang lebih tinggi hingga memudaratkan pengutipan cukai negara. Kesan buruknya tidak perlulah diperjelaskan di sini.

Kalau kerajaan TIDAK mempunyai dana yang mencukupi, khidmat sosial seperti pendidikan, kesihatan, kemudahan awam dan sebagainya tidak dapat disediakan. Negara bukan sahaja tidak mampu bersaing maju, jurang pemisah di antara yang kaya dengan yang tidak berada akan semakin melebar. Sebabnya, semua khidmat sosial yang diberikan oleh kerajaan itu selalunya membantu mengurangkan perbelanjaan golongan rakyat marhaen.

Dalam situasi di mana yang miskin bertambah miskin, masalah mereka akan terus dihenyak oleh sistem korupsi. Kerana tidak mampu menyogok, mereka tidak mampu mendapatkan khidmat para pegawai. Keadaan akan terus menjadi buruk. Keadilan akan kehilangan maknanya yang sebenar dan majoriti rakyat marhaen akan terus dihimpit beban putus harapan.


Sememangnya, nafsu-nafsi manusia itu tidak ada sempadannya. Walaupun ekonomi sesebuah negara boleh dihenyak oleh korupsi, para pegawai yang terbabit dalam amalan korupsi itu tidak akan mahu berganjak dan berhenti melakukan perbuatan keji itu. Akhirnya korupsi gagal memberikan kepuasan kepada segala keistimewaan yang pernah mereka nikmati itu. Di sebuah negara di mana semua rakyatnya senang-lenang, kekayaan memang mudah didapati kerana para konsumer memang bersedia membeli barangan yang diniagakan. Tetapi apabila ekonomi sesebuah negara itu merudum, disebabkan korupsi, para pengguna akan mendapat pendapataan yang semakin berkurang dan perniagaan pun turut merudum sama. Apabila perniagaan menurun, para peniaga pun tidak mampu membayar sogokan kepada pegawai hingga mereka pun turut merana. Di negara-negara di mana korupsi merupakan amalan biasa, walaupun pegawai kerajaan menerima pelbagai bentuk rasuah, mereka masih tidak mampu hidup senang-lenang.

Adalah penting untuk memahami dua tahap kritikal korupsi itu. Apabila tahap itu telah wujud di sesebuah negara, memang tidak ada harapan untuk membasminya. Rakyat marhaen dan juga kumpulan tertentu dalam sesuatu masyarakat memang mengutuk korupsi. Mereka menuntut dan menentang amalan itu dan mengugut untuk bertindak terhadap para pegawai dan kerajaan melainkan amalan korupsi itu dapat dibenteras. Semua itu adalah usaha yang sia-sia. Kalau pun para pegawai dan kerajaan digantikan, reformasi hanya mampu bertapak untuk seketika sahaja. Penyakit korupsi akan menghinggapi orang yang baru memegang kuasa. Walaupun mereka merupakan golongan yang mengutuk korupsi itu. Penyakit itu akan merebak laksana satu wabak. Kalau ada perbezaannya, ia berlaku kepada golongan yang menerima. Kepada rakyat marhaen dan negaranya, menggantikan pegawai lama ataupun pemerintahan dengan kumpulan yang baru tidak akan membawa perbezaaan kepada budaya rasuah itu.

Perkara ini dapat diamati apabila korupsi sudah sampai ke tahap yang kritikal. Kita akan melihat satu kerajaan yang baru dengan muka yang baru dan ideologi yang baru juga. Tidak payahlah di tunggu lama-lama, kerajaan yang baru itu pun akan dituduh terbabit dengan budaya korupsi juga. Terlalu banyak ikrar yang dilafazkan untuk membasmikan budaya korupsi. Begitu juga dengan usaha berkempen, namun korupsi terus juga berleluasa. Adakalanya kerajaan terus berubah-ubah. Namun, korupsi terus juga bercambah.


Korupsi yang sudah membiak ke tahap ini tidak dapat dibasmikan kerana ia tidak lagi dianggap sebagai satu jenayah tetapi telah menjadi satu budaya hidup masyarakat yang menerimanya. Mereka yang menganggapnya sebagai satu jenayah mengutuknya kerana mereka tidak mempunyai peluang untuk mengamalkannya. Kalau diberi peluang dan keupayaan, mereka pun akan turut bergelumang sama. Begitu juga halnya mereka yang mengutuk nepotisma dan budaya kronisma. Apabila mereka bertemu orang atasan yang mereka kenal, mereka pun akan meminta peluang diberikan keistimewaan. Alasan lumrah yang mereka berikan ialah, kalau orang lain boleh dapat keistimewaan itu kenapa pula mereka dinafikan? Dengan lain perkataan, oleh kerana orang lain melakukan sesuatu jenayah, mereka juga ada hak untuk melakukan jenayah yang serupa? Ini bererti, oleh kerana orang lain mengamalkan korupsi, sesiapa juga yang mempunyai peluang itu mempunyai hak untuk mengamalkan korupsi itu. Kalau beginilah cara manusia berfikir, sesuatu masyarakat itu memang tidak mampu membasmi korupsi. Ia hanya mampu mengalihkan amalan korupsi itu daripada seorang individu kepada individu yang lain, daripada satu kumpulan kepada kumpulan yang lain.

Di awal bab ini, telah dinyatakan betapa sesuatu perkara itu tidak dianggap buruk oleh sesuatu masyarakat itu tanpa bersebab. Daripada perbincangan di atas, nampaknya korupsi itu dianggap buruk hanya kepada orang yang tidak mempunyai peluang ataupun keupayaan untuk menikmatinya. Mereka yang diberi peluang tentunya tidak mendapati perkara itu sesuatu yang menjijikkan. Di dalam satu situasi apabila ramai rakyat marhaen bergelumang dengan rasuah dan menikmati keistimewaannya, adalah tidak mudah untuk bercakap mengenai bahaya korupsi itu. Kalau sebilangan besar masyarakat menikmati korupsi, bagaimana pula korupsi itu dianggap sebagai satu jenayah yang berbahaya?

Di negara China di bawah pemerintahan maharajah dulu, korupsi dianggap sebagai perkara biasa. Semua pegawai negara mesti diberikan hadiah berbentuk wang setiap kali khidmat mereka diperlukan. Pembayaran dibuat secara terbuka. Sebagai contohnya, penghuni sesuatu pekan itu akan menyumbang kepada satu tabung untuk membeli hadiah untuk disogokkan kepada pihak yang berkuasa.

Semua pegawai kerajaan terbabit dalam amalan ini. Hak penerimaan mereka memang telah ditetapkan. Malahan pengutipan wang untuk membeli hadiah mereka itu adalah sama dengan pengutipan cukai. Perbezaan terdapat kepada cara wang itu dikumpulkan. Kalau cukai perlu dibayar kepada kerajaan dan kemudiannya diagihkan kepada pegawai dan para kakitangan kerajaan dalam bentuk gaji, wang untuk disogok itu dikongsi-sama dalam bentuk 'cukai' yang dilakukan sepanjang proses pengutipan itu. Yakni, setiap pengutip wang itu mengambil secebis kutipan itu sebagai imbohannya sebelum menyerahkan yang berbaki kepada pegawai di atas. Pegawai atasan akan melakukan tabiat yang serupa sebelum menyerahkan kepada ketuanya pula. Demikianlah, bagaimana tabiat itu terus berlanjutan.

Dalam hal ini, para pegawai menerima imbohan yang diberikan sebagai sampingan kepada gaji bulanannya. Masyarakatnya menerima faedah daripada khidmat yang disediakannya. Oleh kerana semua pihak mendapat faedah daripada sistem itu, unsur korupsi di dalamnya tidak menyerlah. Ia tidak pula disebut sebagai korupsi tetapi disebut dengan perkataan lain pula. Dalam keadaan seperti ini, unsur korupsi itu memang boleh dilihat kalau kajian dilakukan. Di China ketika itu, bukan sahaja pegawai rasmi kerajaan yang mesti disogok, pemimpin kongsi gelap pun memerlukan sogokan. Persatuan persatuan peminta sedekah, kongsi gelap dan kumpulan haram yang lain mesti disogok untuk mengelakkan perbuatan gampang mereka.

Apabila terlalu banyak kumpulan yang menyiksa kehidupan masyarakat yang mahu hidup bahagia, keharmonian masyarakat itu pun tergugat. Tidak ada sesiapa yang bersedia bekerja kuat kerana hasil keringatnya melainkan diperah oleh para pegawai dan penjenayah. Kebanyakan rakyat marhaen akan melakukan kerja seminima mungkin untuk terus hidup, kerana apa yang berlebihan dicapainya akan menguntungkan pihak yang menekannya. Apabila sesuatu masyarakat itu kerap sangat diugut, rakyatnya akan hidup secara tergugat. Keadilan tidak dapat dinikmati kerana keadilan tidak mampu hidup subur dalam masyarakat yang mengamalkan korupsi.

Lagipun hadiah kewangan diberikan kepada pegawai kerajaan dengan muslihat untuk mengurangkan kadar cukai kepada kerajaan. Ini bererti kerajaan dinafikan hak untuk menerima pendapatan cukai secara penuhnya. Kerana itu kerajaan tidak berupaya menyediakan kemudahan awam, termasuklah peruntukan untuk memerangi korupsi. Negara pun boleh menjadi lemah dan boleh dijajah dengan mudahnya dan penduduknya dihamba-abdikan.

Amalan korupsi dan kesannya telah membuatkan kerajaan negeri-negeri Melayu menjadi mangsa kepada kumpulan yang menjajahnya. Kadangkala penjajahan itu dilaksanakan melalui ugutan, tetapi ada kalanya janji bantuan sudah memadai.

Contoh yang jelas adalah daripada sejarah Negeri-negeri Melayu. Pada abad ke-19 dulu, orang asing mula menunjukkan minat terhadap negeri-negeri Melayu. Memang jelas, tanah Melayu mempunyai khazanah yang tinggi mutunya sedangkan para penduduk dan juga raja-raja tidak pun mempunyai minat dan pengetahun mengenai khazanah itu, terutama sekali perlombongan bijih timah.

Ramai tetamu asing telah membuat cadangan kepada pemimpin tempatan agar mereka (orang asing) diberikan hak untuk memajukan hasil bumi yang asli itu dengan cara membayar pampasan kepada para pemimpin tempatan secara berjadual. Ada pemimpin tempatan itu menjadi kaya raya dalam satu tempoh yang pendek sahaja. Pendapatan mereka itu tidak dianggap sebagai cukai negara walaupun tanah yang dilombong itu bukannya kepunyaan pemimpin yang menerima imbohannya.

Daripada kerja melombong, projek usaha-sama itu menjalar kepada pemberian tanah untuk tujuan yang lain. Ini termasuk perjudian, perdagangan candu, dan juga pengutipan cukai. Pendapatan para pemimpin daripada usahsama dengan orang asing itu telah menjangkau pengutipan cukai yang mereka terima daripada rakyat biasa. Lantas, perasaan tanggungjawab mereka terhadap rakyat sendiri pun menjadi kurang kerana mereka memberikan keutamaan kepada permintaan pihak pedagang yang mendatang.

Inilah tahap yang membuatkan perasaan cemburu timbul membuak. Orang asing yang dipinggirkan mula manabur benih fitnah dengan tujuan pemimpin yang rakus itu dapat ditumbangkan oleh pihak tertentu yang sanggup melakukannya dengan bayaran tertentu yang dijanjikan. Berlakulah percanggahan di kalangan pemimpin tempatan dan di kalangan kumpulan yang mendatang sehingga mencetuskan keadaan huru-hara senantiasa. Akibatnya, satu demi satu negeri tanah Melayu itu berpindah kuasa sebenarnya kepada pihak British melalui perjanjian yang menjanjikan 'bantuan'. Jatuhnya negeri-negeri Melayu ke tangan British mungkin dianggap satu contoh yang ekstrem kepada kesan korupsi. Tetapi itulah hakikatnya dan betapa kerakusan korupsi itu boleh sampai ke tahap begitu. Kalau budaya korupsi itu tidak dapat dibasmikan sedangkan ia mampu menghancurkan sesuatu masyarakat itu, apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk meminggirkannya?

Wujudnya korupsi seperti wujudnya jenayah yang lain, tidak bererti sesuatu masyarakat itu telah menerimanya sebagai satu amalan biasa. Tetapi, bertentangan dengan jenayah lain, korupsi itu kalau dibiarkan bercambah boleh diterima sebagai satu amalan yang dipraktikkan secara terbuka. Seperti yang kita perjelaskan, kalau korupsi itu diamalkan secara terbuka, ia bukan sahaja tidak mudah dibasmikan, malahan menjadi sesuatu yang amat berbahaya kepada semua pihak. Adalah jelas, walaupun masyarakat mungkin dapat menerima hakikat bahawa korupsi itu tidak dapat dibasmikan, ia tidak boleh biarkan sebagai amalan biasa yang tidak perlu dilakukan secara berahsia. Apa juga kenyataan mengenai kewujudan korupsi itu, ia akan tetap merupakan satu bentuk jenayah yang tidak boleh dianggap enteng semata-mata.

Kalau masyarakat sudah menganggap korupsi itu sebagai satu jenayah, untuk mengutuknya sahaja, walaupun dengan lantangnya, tidak merupakan tindakan yang memadai. Yang lebih penting lagi masyarakt itu sendiri mesti membersihkan gejala korupsi itu sama sekali. Untuk melakukannya secara berkesan, semua pihak mesti memahami apakah yang dimaksudkan dengan korupsi itu.

Secara lazimnya, korupsi dianggap sebagai memberikan sesuatu kepada seseorang yang berkuasa agar beliau melenturkan kuasanya untuk memihak kepada si penyogok itu. Contoh yang terbaik boleh dilihat dalam pemberian lesen di mana kalau terdapat ramai pemohon sesuatu lesen itu, orang yang menyogok pegawai yang berkuasa tentunya berjaya mendapatkan lesen sedangkan ramai orang lain yang lebih layak yang sepatutnya menerima lesen itu. Tetapi, apa pula akan terjadi kalau si penerima lesen itu memang layak menerimanya dan dia memberikan hadiah itu pada hari yang sama yang dilakukan oleh orang lain. Apakah itu dianggap sebagai satu rasuah? Dia berjaya kerana dia memang layak dan dia memberikan hadiah sebagai tanda terima-kasihnya kepada pemberian yang adil itu. Adakah itu rasuah?

Dalam hal ini, pemberian hadiah pada hari lebaran harus dianggap sebagai satu bentuk rasuah. Tetapi, bukannya mudah menolak semua bentuk hadiah itu. Satu hadiah yang diterima daripada pemimpin sebuah negara adalah satu lambang silaturrahim ataupun satu bentuk rasuah untuk mendapakan layanan istimewa mengenai dasar negara ataupun melibatkan rakyat negara yang terbabit. Apa pula pendapat rakyat marhaen mengenai hadiah yang diberikan pada hari lebaran?

Penyalahgunaan wang kerajaan memang merupakan satu bentuk rasuah. Begitu juga dengan penyalahgunaan kuasa. Kalau sesaorang pegawai menuntut perbelanjaan kerana menjalankan tugasnya secara melebehi kos yang sebenar, perbuatannya itu adalah satu korupsi juga. Kalau dia gunakan wang kerajaan untuk dirinya seperti membuat jalan menghala ke rumahnya, itu pun satu korupsi. Kalau seorang menteri menggunakan peruntukan untuk kemudahan dirinya, keluarganya dan para penyokongnya, itu pun merupakan korupsi. Kalau seorang pelajar mendapatkan biasiswa dengan berjanji untuk belajar dengan tekun tetapi menggunakan biasiswa itu untuk tujuan lain, itu pun korupsi juga!

Sekali pandang semua itu memang merupakan kes rasuah. Tetapi, kalau kita amati dengan lebih dekat, apa yang dikatakan jelas itu menjadi samar hingga menyerlahkan gambaran yang bertentangan dengan apa yang sepatutnya; yakni apa yang semacam rasuah itu bukannya rasuah sebenarnya. Seorang menteri yang mahukan penyokongnya menerima sedikit kemudahan, melakukannya kerana memikirkan mereka memang sepatutnya menerima pertolongan itu. Mungkin juga kerana mereka telah dipinggirkan oleh pegawai kerajaan ataupun pihak tertentu yang melakukannya secara sengaja. Bukankah tugas menteri memperbetulkan kesilapan yang berlaku? Mestikah seorang menteri mengenepikan satu permohonan yang wajar kerana mahu mempertahankan imejnya? Perkara sedemikian mungkin berlaku kepada pegawai yang mempunyai kuasa tertentu. Sesiapa yang mereka layan itu sudah semestinya mempunyai satu bentuk pertalian dengan mereka. Layanan yang diberikan itu mungkin berbentuk satu keistimewaan ataupun tidak ada sebarang makna langsung.

Apa yang jelas ialah setiap sesuatu itu boleh diluluskan, sama ada lesen, biasiswa ataupun sebarang kemudahan yang melibatkan ramai permohonan; dan bagi setiap permohonan yang berjaya itu memang terdapat banyak lagi yang tidak berjaya dan akan terus kecewa. Apabila seseorang pegawai telah membuat pemilihannya, adakah mudah ditentukan samada dia telah sengaja meminggirkan sesiapa? Pihak yang tidak berjaya akan mengatakan pegawai itu sengaja mengenepikan mereka, tetapi kalau mereka itu yang sudah berjaya, mereka akan berkata bahawa tindakan pegawai itu adalah satu tindakan yang saksama. Malahan, kalau mereka mempunyai peluang untuk menghubungi pegawai itu untuk mendapatkan keistimewaan tertentu, mereka tidak akan teragak-agak melakukan perbuatan itu.

Dari kisah di atas, satu perkara yang menonjol ialah definasi korupsi itu walaupun mudah dan jelas kisahnya mungkin tidak semudah itu untuk memberikan gambarannya. Apabilla sesuatu tuduhan itu dikemukakan oleh orang yang kecewa, kesahihan tuduhannya itu boleh dipertikaikan. Tetapi kalau orang semacam itu tidak membuat tuduhan, siapakah lagi yang boleh melakukannya? Tentu sekali mereka yang terlibat sahaja yang dapat merasakan kegetiran dan segala butiran keadaan yang sebenar.


Usaha memerangi korupsi mempunyai dilemanya tersendiri. Ini bukan berpunca daripada beberapa perbuatan korupsi yang sebenarnya tidak berunsur rasuah, malahan ada keperluan memberikan kuasa kepada pihak tertentu untuk membenteras perbuatan rasuah itu. Kuasa seperti itu memang mudah disalahgunakan. Dengan lain perkataan, pegawai pencegah rasuah mesti mampu menepis sebarang usaha untuk menyogok mereka. Daripada peringkat bawahan hinggalah pegawai atasan, para pegawai ini terpaksa berdepan dengan usaha itu dan sama ada mereka kekal bersih ataupun tidak, beberapa tuduhan sudah pasti ditujukan terhadap mereka. Sama ada tuduhan itu mempunyai asas ataupun tidak, usaha itu sudah pasti melemahkan usaha membenteras korupsi. Beberapa tuduhan itu mungkin ada asasnya jika tidak jentera pencegahan rasuah itu mungkin bertukar wajah menjadi jentera memajukan rasuah pula. Inilah dilema rasuah - tidak ada satu sistem yang jelas dapat digunakan untuk memerangi korupsi tanpa mendedahkan sesuatu sistem itu terhadap tekanan sogokan juga.

Untuk menyelesaikan masalah yang dihantui dilema itu, faktor yang menentukannya bukanlah terletak kepada kaedah ataupun jentera yang digunakan untuk memerangi korupsi itu. Yang lebih berkesan dan penting ialah sistem nilai yang diamalkan oleh sesuatau masyarakat yang terbabit. Sebetulnya, semua orang setuju bahawa korupsi ialah satu jenayah dan tidak harus diamalkan. Tidak seorang pun yang berkata bahawa dia menganggap enteng budaya rasuah itu dan wabak penyakit yang menghantui masyarakatnya. Tetapi apabila muncul peluang untuk menikmati budaya korupsi itu, jurang di antara apa yang dikatakan dan apa yang dilakukan mengenainya menjadi amat luas sekali.

Di dalam sebuah negara berdemokrasi, sebagai contohnya, peluang untuk seseorang rakyat marhaen mengamalkan korupsi memang wujud secara meluas, terutama sekali di waktu pilihanraya. Tujuan sebenar diadakan pilihanraya itu ialah untuk memilih pemimpin yang berkelulusan tinggi dan amanah. Soalan peradana sepatutnya berbunyi: apakah calon itu dan partinya mampu memerintah negara? Apakah negara dan masyarakat mampu terus maju dan terus aman damai kalau calon tertentu dipilih? Apakah kemungkinan adanya kesaksamaan dalam pengagihan usaha kerajaan dan bantuannya di kalangan rakyat? Dengan lain perkataan, pemilihan sesaorang calon itu harus ditentukan oleh kesan terhadap kesejahteraan dan kemajuan negara daripada pelbagai bidang.

Tetapi, selalunya ketika pilihanraya, kebanyakan pengundi memberikan keutamaan terhadap faedah khas yang mereka akan perolehi daripada calon-calon yang meraih sokongan mereka, apabila calon itu menang. Faedah istimewa sebenarnya tidak menepati konsep kesaksamaan. Malahan semua itu adalah hadiah yang diberikan terus kepada para pengundi. Lagi banyak faedah khas yang dijanjikan (yang semestinya menafikan hak orang lain) lagi kuatlah sokongan yang dijanjikan kepada calon tersebut.

Pada tahap awalnya lagi, seseorang calon itu menjanjikan para pengundinya apa juga yang mereka minta, tidak kiralah permintaan itu menasabah ataupun tidak. Malahan calon itu terpaksa berjanji untuk mengabaikan puak yang tidak disukai oleh para pengundi, sedangkan permintaan seperti ini memang merupakan sesuatu yang tidak adil. Kalau permohonan untuk mendapatkan lesen memerlukan sokongan dan bantuan seorang pegawai yang meluluskan lesen itu, calon yang bertanding terpaksa berjanji untuk memuaskan kehendak para pengundinya.

Apabila calon itu menang pilihanraya, dia terpaksa melunaskan janji-janjinya terutama sekali kalau dia datang daripada parti yang menubuhkan kerajaan yang memrintah. Kesaksamaan tidak mempunyai tempat dalam melunaskan janji-janji. Malahan bukan itu sahaja. Oleh kerana dia sedar bahawa undi boleh diperdapatkan dengan memuaskan kehendak para pengundi itu, dia pun bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang, dengan melunaskan kehendak para pengundi itu lebih awal lagi. Calon daraipada parti yang memerintah mudah memberikan tanah dan kemudahan lain sebelum menjelangnya pilihanraya. Kalau pada tahap awal, undi diberikan berasaskan janji kemudahan khas, kini kemudahan khas itu diberikan berasaskan janji untuk mendapatkan undi.

Perkara semacam ini bukan sahaja dilakukan oleh calon daripada parti yang memerintah. Calon parti lain pun melakukan tabiat yang serupa. Mereka lakukan lawatan ke kawasan pilihanraya untuk melakukan pelbagai khidmat, menghadiri majlis kenduri rakyat marhaen, bersolat di masjid dan surau, berderma setakat yang termampu dan melakukan apa saja yang mungkin tidak akan mereka lakukan melainkan mereka tidak berniat untuk bertanding di tempat itu. Inilah satu penipuan yang bersifat bebal. Khidmat semacam itu akan dihentikan sebaik sahaja mereka membuat keputusan untuk tidak bertanding di kawasan itu.



Kalau sesuatu masyarakat itu menolak korupsi, ia sepatutnya menolak suasana yang membiakkan korupsi. Hak sesaorang pengundi memberikan undinya adalah sama dengan kuasa yang ada pada tangan seorang pegawai. Undi boleh melakar destini seseorang, malahan kepada nasibnya untuk menjadi seorang perdana menteri. Kadangkala satu undi sudah cukup untuk menentukan nasib seorang perdana menteri. Ini berereti soerang pengundi itu mempunyai kuasa yang besar. Kuasa memang mengotorkan suasana dan kuasa yang mutlak memang mengkucar-kacirkan suasana itu secara keseluruhannya. Kuasa seorang pengundi memang boleh menjadi kuasa mutlak, dan kuasa mutlak itu memang boleh menjurus ke kancah rasuah.


Sesuatau masyarakat yang diberikan kuasa yang besar memang mudah dirasuah dan memang banyak tanda-tandanya. Walaupun semua orang mengutuk korupsi itu, setiap seseorang merasa selesa dengan satu bentuk korupsi yang diamalkannya sendiri. Kalau sesuatu masyarakat itu mahu membenteras korupsi ia tidak seharunya mengamalkan secara terus ataupun secara sampingan ketika berlakunya pilihanraya. Kalau rasuah diamalkan ketika pilihanraya, besar kemungkinannya pemimpin yang dipilih itu merupakan seorang calon yang mengamalkan rasuah untuk menjadi seorang calon dan memenangi pilihanraya itu. Para pemimpin yang mudah menyogok akan mudah dipengaruhi oleh budaya rasuah.

Masalah ini harus dikaji degnan teliti. Setiap calon dan parti mempunyai berjuta ringgit untuk digunakan ketika pilihanraya. Satu ketika dulu wang yang banyak memang tidak diperlukan kerana ramai orang yang mudah berkhidmat secara sukaraela. Mereka percaya kepada prinsip parti ataupun kewibawaan seseorang calon, ataupun kerana mereka diransang oleh semangat berkhidmat. Tetapi pada hari ini seorang yang miskin tidak mampu bertanding di pilihanraya melainkan dia dicalonkan oleh sebuah parti politik yang kaya.


Dalam situasi semacam ini, para pengundi mudah membuat keputusan yang kurang bijak. Kalau mereka kaitkan kekayaan sesebuah parti itu kepada korupsi tanpa memikirkan unsur yang lain, mereka mungkin memberikan undi protes untuk menyebelahi calon yang miskin. Inilah sikap negatif kerana calon yang miskin itu mungkin tidak berkelayakan dan mungkin tidak mampu melakukan sesuatu yang berkesan seperti memerangi korupsi. Sikap negatif seperti itu menunjukkan rakyat marhaen tidak bersedia menghadapi masalah dengan berterus terang.


Penyakit yang menghinggapi masyarakat itu adalah rasuah yang diamalkan oleh masyarakat itu sendiri. Cara mengubatinya ialah membersihkan gejala itu, bukan dengan cara menolak apa yang dikemukakan sebagai simbol rasuah. Yakni calon ataupun kekayaan parti. Untuk membenteras rasuah dan apa juga bentuk rasuah itu, rakyat marhaen mestilah menolak sebarang bentuk rasuah. Kalau diadakan pilihanraya, pemilihan mestilah berasaskan keupayaan seseorang calon dan sikap amanahnya, dan bukan pada janji-janjinya untuk memberikan apa juga yang diminta oleh orang kampung. Mereka yang mahukan calon mereka menang mestilah sanggup bekerja secara sukarela tanpa meminta-minta atau menagih kemudahan khas.


Kita telah lihat betapa demokrasi di Amerika Syarikat hancur disebabkan beberapa bentuk korupsi yang didedahkan dalam skandal Watergate. Sebenarnya Nixon bukan merupakan orang yang pertama mengamalkan sistem itu; semua presiden sebelumnya pun telah lama mengamalkan perkara yang sama. Sistem ini berpunca daripada tabiat para pengundi yang mendesak agar peruntukan yang tinggi dibelanjakan pada kempen pemilihan presiden. Lagipun para penyokong dan petugas dalam kempen pilihanraya tidak mahu menyumbangkan khidmat mereka secara sukarela. Apabila ketandusan dana, seorang calon ataupun parti sudah tentu merelakan kemunculan bantuan daripada pihak tertentu ataupun penderma yang kaya raya. Bantuan seperti itu mungkin tidak ada sebarang muslihatnya tetapi pihak yang menerima tentu sekali terasa berhutang budi. Masyarakat mungkin mampu menolak Presiden yang terlibat, tetapi unsur rasuah yang diamalkan dan ditonjolkan itu tidak dapat disingkirkan semudah itu. Perkara ini pernah mengaibkan penglibatan Presiden Carter dengan rasuah seperti yang didedahkan oleh penasihat kewangannya, Bert Lance.


Rasuah bukannya merupakan satu penyakit yang baru. Ia merupakan penyakit lama lebih dikenali sebagai sebahagian nilai hidup budaya manusia di mana-mana. Sebarang kenyataan sama ada korupsi itu baik ataupun tidak bukanlah satu gambaran kepada pemahaman sesuatu masyarakat itu terhadap penyakit hidupnya. Bukan sahaja terdapat banyak salah faham mengenai makna dan kesan perbuatan rasuah itu, sesorang itu mempunyai makna dan nilai tersendiri sedangkan memberikan makna dan nilai yang lain terhadap orang lain pula. Kerana itulah orang yang mengutuk budaya memberikan keistimewaan itu akan mudah meminta-minta kalau dia diberi peluang yang sama.

Satu bab yang membincangkan perkara rasuah, memang tidak mudah untuk ditulis. Sebarang reaksi mengenainya memberikan gambaran bahawa si penulis mungkin mengamalkan korupsi itu juga. Meamandangkan luasnya interpretasi mengenai korupsi itu bukanlah mudah sesaorang itu berlagak yang dia bebas daripada mengamalkan korupsi. Seorang ahli politk yang menulis mengenai korupsi berkemungkinan menghadapi zaman kegelapan di hari muka. Para penyokong yang ingin membantu mungkin merasa rimas untuk menawarkan khidmatnya kerana tidak mahu dituduh menawarkan bakti dengan tujuan untuk mengamalkan korupsi ataupun dianggap serong membantu dengan tujuan mendapatkan sesuatu. Namun, adalah penting kalau korupsi itu diiktiraf bukan sahaja sebagai satu penyakit budaya masyarakat tetapi sebagai satu penyakit yang amat berbahaya kesannya.


Membasmi korupsi itu memerlukan sikap yang jujur. Sesiapa yang mahu menggunakan apa yang tertulis dalam bab ini untuk kegunaan dirinya ataupun partinya bukan sahaja tidak amanah, malahan mengamalkan satu bentuk korupsi kerana menyalah-gunakan kuasa yang tercetus daripada ilmu pengetahuan. Rasuah yang menyekat pembasmian rasuah itu adalah bentuk rasuah yang paling teruk sekali.Ħħ


--ooOoo--

Sorotan:

Demikianlah tulisan seorang diktator tua dalam sebuah buku berjodol 'The Challenge'. Terjemahan bebas itu dilakukan kepada bab 12 buku itu pada muka surat 140 hingga 153. Buku ini adalah hak seorang diktator tua yang mula diterbitkan pada 1986 dan sudah diulang-cetak sebanyak lima kali. Sayang........penulisan yang dilakar pada tahun 1986 itu tidak dipraktikkan sebaik sahaja si diktator tua itu memegang kuasa. Dia mengamalkan rasuah itu sepuas-puasnya, sehingga sanggup menolak sapina mahkamah sebanyak dua kali. Begitu juga halnya ketika si diktator tua merayu mendayu-dayu kepada ahli perwakilan UMNO agar membantunya membenteras rasuah, sedangkan segala bentuk rasuah yang sofistiket adalah mainannya dan menjadi darah dagingnya dan para kroni, sukusakat dan keluarganya. Yang merana adalah rakyat jelata juga.


Seperti ynag pernah kita bayangkan dalam siri YTDT, kini, segala bentuk pemerintahan yang dilakar bertopengkan projek mega sudah pun menggelonsor dan akan terus menggelonsor tanpa ada sekatannya. Laksana jatuhnya pisau tajam yang menjunam bertubi-tubi sehinggakan graf BSKL pun terus tergugat lagi, suasana ekonomi negara disebabkan rasuah yang sungguh menebal tidak mudah dibasmi hanya dengan niat semata-mata. Apakah kesudahannya? Dapatkah semua kejijikan ini diselesaikan dengan agenda orang Melayu bersatu padu? Apakah semua ini mampu disekat dengan dianjurkan satu debat di antara pemimpin politik muda ataupun dengan upacara himpunan rakyat jelata yang cuba menopang kuasa seorang diktator tua yang sudah tidak ada relevennya?


-marhaintua-
3 januari 2001.

...bersambung....
^