Laman Webantu   KM2A1: 3474 File Size: 33.7 Kb *



Siri 29 YTDT: B2 Yang Menjerit dan Menjerat
By Marhain Tua

23/12/2000 1:05 am Sat

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 29

[Tektik licik Mahathir melambung dua tiga isu pada satu masa dapat dibaca oleh Pak -MT-. Ketika parlimen sedang bercuti di hujung tahun, dan di waktu isu Suqui membuat banyak pihak bercelaru (termasuk PW?), Mahathir rupa-rupanya sedang mencuri sesuatu. Dia cukup arif rakyat kini begitu sibuk membeli belah dan membuat persiapan menyambut hari raya dan mengejar lailatul qadr. Lagipun bonus itu sengaja dilambatkan supaya ia tidak mencederakan bonus tambahan yang cukup spesial yang menanti seorang kroniputra yang amat istimewa.

Maka bergembiralah Tajuddin Ramli kerana mendapat bonus berganda dan 'duit-raya' terawal di negara yang serba boleh ini. Ia sewajarnya dimasukkan kedalam buku Malaysian Books of 'SIAL' Record lagi, kerana wang rakyat rupa-rupanya lebih layak untuk membeli saham pada harga yang paling tidak guna sekali. Inilah pecah amanah terbesar dan satu penyelewengan harta rakyat yang tidak boleh dimaafkan lagi kerana ia sengaja dilakukan di bulan puasa dan ketika rakyat sibuk dengan urusan dunia dan ugama.

Nampak sangat Mahathir begitu teliti merancang apabila fikiran rakyat sudah lali dihimpit keadaan. Tahun depan semua harga barang akan naik dan terbang tinggi melayang-layang, itulah ganti kerugian dana demi cinta kroni tersayang.
- Editor
]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 29 : YANG MENJERIT DAN MENJERAT (II)




Yang Menjerit Dan Menjerat
(Bahagian Dua)

Manusia boleh merancang apa sahaja, walaupun di mana dia berada dan bagaimanapun caranya. Dia boleh merancang sesuatu itu dengan sendirinya ataupun dengan mengarahkan seseorang menjadi proksinya. Namun, kuasa untuk memveto sesuatu perancangan itu hanya ada pada Allah semata-mata. Itu sebabnya kalau manusia mahu minum dan makan, dia mampu melihat ataupun merasakan apa yang disumbat ke mulutnya. Kalau dia mendengar sesuatu (kecuali yang tuli telinganya) dia mungkin mampu melihat (kecuali si buta) ataupun mengetahui apa yang berbunyi itu. Tetapi apabila dia bernafas, dia tidak mampu melihat udara yang disedutnya. Itulah sebahagian daripada kuasa Allah Yang Esa.


Iktibar adalah sebaik-baik pedoman untuk hidup secara harmoni dengan keadaan sekeliling. Apabila seseorang insan mahu menonjolkan dirinya untuk menjadi pemimpin secara memaksa dirinya ke atas masyarakat keliling, dia sebenarya mencemar suasana keliling itu.

Sejak mencapai kemerdekaan, sistem hidup di negara ini adalah berasaskan sistem demokrasi di mana 'Kelas' (class), Status (taraf) dan Kepartian (party) dijadikan satu bentuk ukuran. Tiga faktor ini menerap masuk dalam peradaban Melayu moden seiring jalan dengan 'Teori Kehendak/Keperluan' di mana unsur-unsur Kehendak Asas, Fisikal, Kumpulan, dan Pencapaian-diri menjadi peransangnya. Tetapi, di dalam negara yang mengamalkan demokrasi, pencapaian seseorang itu bergantung kepada daya dan upayanya untuk bekerja keras, tekun dan sabar dan sentiasa gigih melayari keperitan hidup. Dia akan merasa jijik dengan pencapaian orang politik yang naik bertopengkan demokrasi. Inilah demokrasi yang ditunjangi semata-mata oleh kekuasan politik yang dinikmati oleh segelintir lapisan manusia dalam BN dan UMNO.


Hapusnya Demokrasi Dalam UMNO

Seorang pemimpin besar Sosialis Dunia pernah berkata: "Kuasa yang mutlak masih boleh dijamin kalau segelintir golongan yang terpilih diberikan segala bentuk kemudahan dan kemewahan untuk terus berkuasa. Tidak kiralah kalau majoriti rakyat yang di bawah terus tertekan hidupnya dan semakin hina masa depannya"¨

Perjalanan UMNO sejak dua puluh tahun dulu adalah amat jauh menyimpang daripada perjalanan UMNO yang membuatkan orang Melayu sanggup bermati-matain kerananya. Di zaman Tunku dan Tun Razak, masih ramai pemimpin Melayu yang bergelar YB itu yang sanggup duduk bersembang di kedai kopi selepas solat subuh di masjid kampungnya. Kini, gelagat itu mungkin hanya dapat disaksikan kalau wakil rakyat itu seorang ahli PAS ataupun Keadilan. Kalau ada pun pemimpin UMNO yang gemar ke masjid dan surau, tentu ada sebab dia berbuat demikian selain daripada untuk berjemaah sama dengan kariah yang ada. Kerana itu kita kerap terdengar kisah wakil rakyat yang cuba menjadi imam-terjun tetapi tidak diredhai oleh jemaah. Itulah yang terjadi di Lunas satu ketika dulu.


UMNO suka sangat dengan perkataan 'demokrasi' tetapi sebahagian pengikutnya yang totok tidak faham apakah erti demokrasi sebenarnya. Apabila UMNO bersetuju melupakan pencalonan dan pemilihan bebas kepada dua jawatan dalam parti itu, demokrasi dalam UMNO pun mati. Impaknya sekarang, penyelewengan dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu telah menular dan merosakkan amalan demokrasi di negara ini. Oleh kerana hanya 2,000 ahli perwakilan parti UMNO yang berkuasa menentukan siapakah yang harus menjadi dua pemimpin unggul UMNO, sekaligus mereka menentukan siapa yang sepatutnya menjadi pemimpin ulung negara. Kalau yang dipilih itu seorang pemfitnah dan pembohong besar, rakyat jelata terpaksa menerimanya. Kalau yang dipilih itu seorang yang sungguh menebal rasuahnya, rakyat terpaksa menerimanya. Bagitulah kalau yang dipilih itu adalah seorang 'Mr. Clean' yang palsu, rakyat tidak mempunyai pilihan lain untuk menolaknya.

Faktor asas yang menghapuskan amalan demokrasi dalam UMNO sudah menghenyak seluruh rakyat jelata. Kerakusan itu terus menular ke semua parti komponen dalam Barisan Nasional tanpa segan dan silu pihak yang melakukannya. Rakyat tidak mampu melakukan sesuatu yang berkesan kerana segala kerakusan itu dilindungi oleh pelbagai undang-undang dan hukuman yang berat terhadap sesiapa yang berani menyanggahnya.

Untuk menjamin agar segelintir insan dalam UMNO itu terus berkuasa, maka dilakukan satu agenda besar untuk memelihara status, kelas dan parti yang ada. Unsur-unsur kualiti kepimpinan dan meritokrasi yang sepatutnya menjadi tunjang pemeliharaan tiga faktor utama itu tidak pernah diambil kira. Yang lebih dipentingkan ialah pengekalan kuasa kepada para kroni, anak-anak dan keluarga dan para juak dan jongos semata-mata. Rakyat marhaen hanya mampu bersuara sumbang menyanggahnya tetapi tidak mampu bertindak garang membasminya.

Selama 43 tahun, kita telah merdeka dan sepuluh kali pilihanraya umum telah terlaksana, rakyat marhaen masih berada di satu tahap kehidupan yang tidak menjanjikan sesuatu yang menggembirakan. UMNO sebagai parti tunjang yang memerintah negara mampu menipu rakyat dengan segala taktik penipuan untuk melekakan mereka bahawa hanya UMNO dan BN mampu menjamin keselamatan dan kemakmuran negara. Yang ternyata, semua gembar-gembur mengenai kemakmuran itu adalah satu proses silap mata dan putaran minda untuk menipu otak dan membelenggu tenaga rakyat marhaen untuk memberontak. Proses putarbelit itu terus berlanjutan sehinggakan segala himpitan hidup yang menekan rakyat marhaen itu diterima sebagai taqdir juga. Di waktu yang sama pemimpin bajingan terus berkuasa dan terus berlagak laksana raja. Semua bentuk media massa digunakan untuk terus melalaikan rakyat dengan cerita bohong bahawa hanya BN dan UMNO yang mempunyai wibawa untuk membawa rakyat dan negara ke mercu kegemilangan. Untuk sekian lama, rakyat marhaen hanya mampu termenung memikirkan apa sebenar agenda besar mereka.

Keadaan berubah pada September 1998. Episod Anwar Ibrahim ditangkap dan ditahan untuk dibaham matanya sehingga lebam, dan badannya diganyang sehingga hampir tidak bernyawa. Barulah rakyat marhaen sedar daripada pukauan raksasa yang dikenakan ke atasnya selama itu oleh seorang diktator tua.



Kebangkitan Rakyat Yang Terlambat

Rakyat marhaen bangkit secara terpaksa dan terlambat. Apa yang telah terjadi kepada Saudara Anwar Ibrahim adalah katalis kepada kebangkitan itu. Sedangkan sebelum itu ramai pemimpin rakyat yang ditangkap dan dibelenggu di bawah Akta Keselamatan Negara (ISA) yang sungguh kejam dan usang. Dr. Burhanuddin Hilmi, Pak Sako, Aziz Ishak, Mustapha Yunus, Fan Yew Teng, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Dr. Syed Husain, Anwar Ibrahim, (Ibrahim Ali - masuk ISA untuk belajar kencing di batu nisan Mahathir sahaja), Mahfuz Omar adalah antara nama yang pernah ditangkap dan dikenakan ISA itu. Namun, rakyat tidak juga bangkit ketika itu untuk menyoal kerajaan akan tindakan yang zalim terhadap mereka. Rakyat bangkit ketika Anwar dituduh di bawah ISA pada bulan September itu, kerana rakyat marhaen sedar bahawa dia tidak bersalah. Rakyat sedar bahawa tuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah fitnah belaka.


Kebangkitan rakyat marhaen itu adalah sesuatu yang sudah terlambat kerana Mahahtir sudah pun bersedia dengan segala alat senjata untuk menangkis kebangkitan rakyat. Mahathir dan para kroninya dalam pucuk pimpinan BN dan UMNO sudah lama berjaya memperibadikan segala institusi kerajaan untuk akur kepada pergerakan telunjuknya. Kebangkitan rakyat terus tertekan sehinggakan rakyat marhen tidak lagi sedar betapa besarnya kuasa yang ada pada rakyat yang bersatu padu. Apa yang berlaku di Thailand, Filipina dan Indonesia masih tidak mampu mencelikkan rakyat marhaen untuk memahami apa erti sebenarnya 'People's Power' ataupun 'Kuasa Rakyat' itu. Kejayaan orang Melayu menentang Malayan Union dulu tidak cukup dijadikan semangat untuk rakyat Malaysia bangkit secara bersatu mengnyahkan Mahathir dari tampuk kuasa.


Kegagalan ini adalah satu tamparan hebat kepada tenaga kepimpinan pihak pembangkang yang berjaya bercakap lantang tetapi masih tidak mampu menanamkan semangat juang. Perbezaan budaya, perbezaan tahap pendidikan dan pengalaman berpolitik menjadi satu penghalang besar untuk mereka menonjol ke hadapan dalam satu barisan. Kelemahan yang nyata ini diperlekehkan lagi oleh pihak kerajaan dengn menyekat aliran maklumat bebas dengan menarik segala permit terbitan berkala. Malahan 'Harakah' pun turut menjadi mangsa.

Disebabkan rakyat marhaen gagal dalam arus gelombang rakyat yang pertama melanda negara itu, makanya penentangan rakyat terhadap sistem kerajaan yang ada sudah merupakan satu penentangan yang bersifat berselindung-selindung di sebalik beberapa kumpulan yang kecil-kecilan mengikut rentak penganjur dan pihak yang menajanya. Gelombang kecilan seperti ini dijangka akan berterusan sebagai satu cara rakyat menghidupkan bara tentangan itu agar tidak terus padam. Fenomena seperti ini mungkin mampu diperlekehkan oleh pihak yang berkuasa tetapi sejarah menunjukkan fenomena seperti ini adalah lebih bahaya kesannya. Inilah yang berlaku di Russia ketika komunis menindas Islam dulu.


Usaha Menghapuskan Kebangkitan Rakyat.

Kesan memperlekehkan hak rakyat bersuara bebas dan bergerak bebas sudah menunjukkan bisanya. Di Lunas, rakyat marhaen bangkit untuk menyerlahkan kuasa mereka. Kemenangan pada Barisan Rakyat telah menyedarkan Mahathir dan juga BN daripada mimpi mereka. Satu agenda baru untuk menyekat kemaraan kebangkitan rakyat marhaen itu mesti diaturkan. Dalam hal ini Mahathir mendapat bantuan dan sokongan ramai pengampu yang mahukan dia terus berkuasa.

Lagi rakyat giat berkumpul untuk berpadu, lagi banyak episod menjijikkan yang dilakar untuk mengalihkan perhatin rakyat itu. Penumpasan Ibrahim Libya di Memali yang kemudiannya diikuti oleh kemusnahan pergerakan Abuya Azahari dalam Al Arqam adalah salah satu agenda besar untuk menentukan UMNO dapat bertahan lama. Ini disusuli pula oleh Episod Sauk dan Al-Maunah sebagai ingatan besar kepada rakyat bahawa keselamatan dan kemakmuran negara hanya mampu ditentukan oleh BN dan UMNO dan bukan oleh kumpulan yang berpihak kepada ajaran agama Islam. Tujuan sebenar pengganyangan semua itu ialah untuk melunturkan kekuatan PAS dan pengaruhnya. Segala pertubuhan yang berpegang kepada tali Allah dipandang sebagai satu anjung baru kepada rumah PAS yang mesti dihancurkan. Sekarang ini pun beberapa agenda besar untuk menumpaskan PAS dari dalaman sedang dilaksanakan, tetapi rencana itu bukan mudah untuk mencapai kejayaannya. Taktik membawa rombongan bekas ahli PAS ke Putrajya mendengar khutbah khas seorang diktator tua bolehlah dilihat sebagai satu taktik yang akan melibas penganjurnya dalam satu tempoh yang tidak berapa lama. Rakyat Terengganu mungkin mudah diputar mindanya dengan sogokan rombongan tersusun ke Putra Jaya. Tetapi, episod menidakkan kerajaan PAS dan rakyat Terengganu kepada royatli minyak tidak akan dapat menutup segala tipu daya.

Kebangkitan rakyat marhaen kali ini bertunjangkan kesedaran bahawa selama ini BN dan UMNO telah naik mencanak secara menipu dan berbohong. Dengan terpenjaranya Anwar Ibrahim barulah terdedah segala kerja jijik yang dilakukan oleh Mahahtir untuk terus berkuasa. Segala projek mega yang dikatakan bersesuaian untuk memajukan negara adalah sebenarnya projek menimbun hutang untuk membebankan generasi masa depan. Projek 'Malaysia Boleh' adalah satu projek mega kepada usaha segelintir manusia yang dikatakan berwibawa dan beriltizam sedangkan niat sebenarnya ialah untuk mengkhayalkan rakyat sahaja.

Satu tahun sudah pun berlalu sejak Barisan Nasional menang Pemilu 1999 dulu. Apakah kesannya daripada kemenangan itu? Bertambah senangkah rakyat selepas itu? Semakin menurunkah barang makan dan tambang teksi, bas, keretapi dan kapalterbang? Apakah barang makanan tempatan semakin meningkat seperti yang dijanjikan? Apakah semakin berkurangan pendatang asing seperti yang dicanangkan? Berapa ramaikah rakyat negara ini yang mendapat peluang membeli rumah kediaman mereka mengikut harga yang termampu olehnya?

Salah satu agenda besar Mahathir ketika pemilu 1999 dulu ialah janji-janji besar betapa negara akan bangkit semula ekonominya di mana Bursa Saham Kuala Lumpur akan bergiat cergas semula. Malahan, pada ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-43 dulu, Mahathir pernah meramalkan betapa Indeks Komposit BSKL akan bermain di antara 800 mata hingga 1000 mata? Apakah kedudukannya sekarang? Kenapakah Indeks Komposit amat liat untuk menerjah garisan sekatan pada 730 mata? Kenapakah semakin ramai professional Malaysia yang terpaksa berulang-alik ke mahkamah dan pejabat peguam mereka kerana dihenyak oleh tuntutan kemuflisan disebabkan kegetiran pasaran? Berapa ramaikah rakyat Malaysia yang membunuh diri kerana kerugian besar di BSKL dan berapa ramaikah yang menjadi penagih dadah kerana memakan ubat penenang? Bagaimana pula dengan rumah tangga yang berpecah disebabkan kemuflisan?


Tahun baru 2001 sudah berada di ufuk pandangan. Sebilangan rakyat yang hidup makan gaji sudah pun mengambil cuti untuk pulang ke kampung halaman ataupun untuk keluar daripada ibukota. Mereka mahu lari daripada hingar-bangar kotaraya yang sungguh menggila. Mereka mahu mencari satu perlindungan daripada pelbagai ancaman dan tidak keruan yang semakin membusut tingginya. Rakyat marhaen semakin tertekan hidupnya. Hari lebaran yang akan menjelma tidak akan menjanjikan sesuatu yang sungguh menggembirakan, kerana selepas lebaran itu nanti rakyat akan berhadapan dengan segala realiti kehidupan. Anak-anak akan ke sekolah di mana tambang bas akan di naikkan. Harga buku dan kelengkapan sekolah tidak pernah turun harganya. Begitu juga dengan harga tusyen diluar masa sekolah. Ia perlu diatur untuk menentukan kejayaan anak-anak. Bagaimana pula dengan guru-guru yang berkualiti yang semakin menurun kuantitinya? Bagaimana pula dengan kadar vandalisma di sekolah yang semakin naik grafnya?

Hari lebaran tahun ini tidak akan menjadi satu pesta yang meriah kepada golongan ibu dan bapa. Bagaimana pula keadaan nasib para petani dan peneroka tanah RISDA, FELDA dan FELCRA. Apakah betul mereka akan menerima 'durian runtuh' tahun ini sedangkan semua barangan komoditi turun menggila harganya? Bagaimanakah kerajaan boleh mengisytiharkan 'durian runtuh' itu sedangkan ramai peneroka yang kini hanya menurunkan tandatangan di penyata pendapatan tanpa menerima sebarang wang hasil tani mereka? Durian runtuh yang disebut itu adalah satu penipuan juga dan satu sandiwara juga. Ia adalah wang yang dipotong sekian lama ketika peserta mempunyai pendapatan yang besar, dan dipulangkan kini tanpa faedah yang diterima daripada simpanan mereka. Dengan lain perkataan, durian runtuh untuk peserta adalah wang mereka sendiri yang dipotong untuk digunakan di hari lebaran.

Kebangkitan rakyat untuk menyanggah Mahathir dan kepimpinannya sedang diperangi oleh Mahathir dan jentera kerajaannya dengan segala taktik yang paling kotor dalam sejarah kepimpinan negara. Ketika Suqui mendesak kerajaan menimbangkan rayuan mereka sebelum pemilu 1999 dulu, kabinet Mahathir terus menerima desakan itu secara prinsipnya. Yang sebetulnya penerimaan itu hanyalah satu helah untuk terus meraih simpati dan sokongan orang Cina. Apabila BN menang dalam pemilu itu, Mahathir merancang untuk mengganyang masyarakat Cina dengan tipu helah lagi. Al-Maunah dicetuskan sebagai wadah untuk mengganyang orang Cina.



Tuntutan Suqui Yang Digembar-gemburkan

Kalau tuntutan Suqui itu telah diluluskan secara prinsipnya oleh kabinet, mengapakah Mahathir mengejek mereka sebagai sealiran dengan komunis dan Al Maunah? Kenapakah tuntutan Suqui itu diperam begitu lama dan didedahkan selepas satu tahun memeramnya. Apabila rakyat menentang tindakan Aziz Sikh Fadzir kerana menyanggah Suqui pada beberapa bulan yang lalu, kenapakah Mahathir tidak mendedahkan kandungan Suqui yang sebenarnya?

Aziz Sikh Fadzir telah merupakan 'ayam-sabong' yang kalah dalam satu percaturan politik Mahathir yang sungguh licik. Ketika Aziz Sikh berdiri sombong di atas tembok Dewan Perhimpunan Cina, pilihanraya kecil Lunas tidak ada dalam agenda politik Mahathir lagi. Lagipun, kalau Lunas ada dalam agenda poltik BN, keangkuhan bahawa BN mampu menang setiap pilihanraya kecil adalah satu faktor yang merupakan tanggapan politik BN yang lazim. Aziz Shikh menjadi kambing hitam kerana menyanggah masyarakt Cina. Seperti yang kita katakan dulu, apabila Aziz Sikh menyanggah Suqui itu, dia sebenaranya menghina keseluruhan masyarakat Cina di negara ini. Kesannya menjadi jelas apabila Lunas memberikan kemenangan kepada BA.

Suhaimi GPMS sebagai ayam sabung alternatif

Dengan gagalnya Aziz Sikh, Mahathir terpaksa mencari satu insan baru pula untuk dijadikan ayam sabung sebagai penggantinya. Oleh kerana Aziz Sikh datang daripada Pemuda UMNO, ayam sabung yang baru ini tidak boleh dipilih di kalangan pergerakan itu lagi. Ia mesti dicari daripada kandang yang lain. GPMS yang merupakan alat alternatif untuk mengekalkan kuasa UMNO telah dipilih. Lagipun penaung GPMS ialah seorang ahli korporat yang memang sekandang dan sebulu dengan Mahathir.

GPMS yang pada asasnya ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib pelajar-pelajar Melayu sudah sekian lama dijadikan satu alat untuk mengokohkan kuasa dan pengaruh Mahathir dan UMNO di kalangan orang Melayu. Alangkah jijiknya perbuatan ini kerana ia jauh menyimpang daripada matlamat yang dilakar oleh golongan seangkatan dengan generasi Aminuddin Baki, dulu. Kita tidak mahu sentuh perkara ini secara menyeluruh kerana kesuntukan ruang menulis dan masa.

Suhaimi dan GPMS ditonjolkan kerana ada satu agenda besar yang perlu dilaksanakan oleh Mahathir sebelum berakhirnya tahun 2000. Salah satu agenda ini ialah pembelian saham kepunyaan Tajuddin Ramli dalam MAS.


Kerajaan Beli Balik MAS Dengan Kadar RM8 Sesaham

Semalam, kerajaan telah membeli balik 29.9 peratus ekuiti yang dimiliki oleh Tan Sri Tajuddin Ramli dalam Malaysian Airlines System Bhd. (MAS). Pembelian itu adalha menerusi Naluri Bhd. Pada harga tunai RM8 sesaham atau RM1.792 bilion. Desas-desus mengenai ini memang sudah lama dijolok kerana kerajaan dikatakan mahu menggunakan wang yang ada di Lembaga Urusan Tabung Haji melalui LUTH Properties. Tetapi, mengikut akhbar perdana, pembelian dibuat menggunakan KWSP. Saya fikir ini perlu dikaji dan diungkit oleh pihak pembangkang di parlimen untuk mencari pengesahannya.

Keseluruhan saham MAS itu adalah berjumlah 224 juta saham biasa bernilai RM1 sesaham kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) Pembelian oleh kerajaan itu bererti Tajuddin menerima premium RM4.32 atau 117 peratus berbanding harga saham yang ditutup; RM3.68 pada 19 Disember 2000.

Pembelian saham itu bererti berakhirnya satu projek pengkorporatan negara yang dibanggakan oleh Mahathir satu ketika dulu. Kini, ia menutup tirai projek itu dengan satu upacara yang memalukan. Pembelian balik saham MAS oleh kerajaan mendedahkan betapa negara ini sudah berada di dalam longkang keaiban kerana:



  1. Mahathir membuat keputusan menggunakan RM1.79 bilion wang rakyat untuk membeli saham yang sebenarnya berharga kurang daripada 50% harga pasaran;

  2. Mahathir sepatutnya mendapatkan kelulusan parlimen untuk tujuan itu tetapi pengumuman dan pembelian itu dilaksanakan apabila parlimen diistiharkan bercuti untuk satu tempoh yang tidak ditentukan lagi.

  3. Apakah rasionalnya membeli saham MAS itu daripada Tajuddin dengan harga premium sedangkan saham itu boleh dibeli di pasaran terbuka dan mampu menggerakkan aktiviti pasaran yang sudah malap dan terluka?

  4. Dengan membeli saham itu pada kadar RM8 Tajuddin Ramli boleh menggunakan sebahagian wang yang diterimanya untuk membeli-balik jumlah saham yang sama di pasaran bebas secara proksi dengan kadar yang lebih rendah lagi;

  5. Terdapat unsur-unsur kelentongan dalam urusan kerajaan itu kerana pembelian hanya sekadar 29.9% saham yang ada. Undang-undang dan peraturan pasaran BSKL memestikan si pembeli membuat tawaran menyeluruh seandainya pembelian mencecah 33.3%.


Apakah kemungkinannya kalau pembelian dengan kadar RM8 itu dibagi-bagi kepda beberapa individu tertentu selain daripada Tajuddin Ramly? Apakah keistimewaannya untuk Tajuddin menerima pembayaran mengikut kadar RM8? Kenapa tidak setakat RM5? Kalau demikian, siapa pula yang membalun kadar yang berlebihan itu? Soalan yang semacam inilah yang menaikkan kemarahan rakyat marhaen. Kenapakah Mahathir begitu mudah menggunakan wang rakyat mengeluarkan wang sebanyak itu bagi tujuan menebus kerugian yang dilakukan oleh para kroni? Bukankah itu juga taktiknya ketika dia menyelamatkan projek anak-anaknya?

Para pelabur runcit yang memegang saham MAS tentu merasa tertipu dengan tindakan Mahathir itu. Mereka pun mahu menjual saham mereka dengan harga RM8 kepada kerajaan. Apakah keistimewaan Tajuddin Ramli sehingga rakyat marhaen yang memegang saham MAS begitu lama terpaksa menggigit jari?

Kerajaan membuat pengumuman bahawa pembelian dibuat dengan menggunakan wang KWSP. Tetapi, sumber yang dipercayai mengatakan bahawa pembelian itu dibuat menggunakan wang LUTH. Ini memberikan kita satu jawapan kenapakah MAS membuat peraturan baru sejak dua bulan lalu untuk menghentikan pembekalan minuman keras dalam penerbangannya.




Cabaran Besar Kepada Rakyat Marhaen

Tindakan menggunakan wang rakyat untuk membeli saham MAS dengan harga 117% lebih tinggi daripada harga pasaran semasa adalah satu kerja pecah amanah paling tinggi tahapnya. Mahathir sepatutnya boleh dibawa ke hadapan pengadilan dan didakwa kerana pecah amanah itu. Tetapi siapakah yang akan menyanggah Mahathir? Lim Kit Siang dan Karpal Singh tidak akan berjaya melakukannya kerana mereka sendiri menghadapi krisis identiti sebagai pemimpin DAP. PAS pun tidak mampu melakukannya kerana pucuk pimpinan PAS pada keseluruhannya masih lagi teraba-raba mencari satu identiti yang boleh mudah disenangi oleh seluruh masyarakat negara ini. Kalau setakat Mat Sabu, Mahfuz Omar dan Nasaruddin Isa membuat penjelasan mengenai saham dan MAS, bolehlah setakat mencuit minda dan menggeletek hati. Mahathir memang sudah faham lama dulu lagi betapa kepimpinan PAS tidak mampu membincangkan isu yang serius seperti saham MAS ini.

Begitu juga dengan Keadilan yang diperkuatkan oleh ketokohan Azmin dan Ezam. Apakah mereka mampu membincangkan perkara menyangkuti 'high-finance' mengikut apa yang sudah berlaku? Jawapannya, TIDAK.

Kerajaan boleh berdalih seribu bahasa dalam perkara ini. Kerajaan boleh berkata bahawa pembelian saham dengan kadar RM8 ini adalah menepati satu perjanjian lama di antara MoF Inc. dengan Tajuddin Ramli. Kalau begitulah perjanjian itu kenapakah diserahkan MAS kepada Tajuddin Ramly yang diketahui tidak ada satu iota pun pengetahuan dalam industri penerbangan? Kenapakah tidak diserahkan kepada Dato' Saw Huat Lai dan Abdul Aziz Abdul Rahman yang ternyata merupakan pasangan berpengalaman dalam industri itu dulu? Malahan, kenapakah tidak dikorporatkan MAS itu dulu kepada pihak asing secara kontrak sambil mendapatkan ilmu pengetahuan dan jaminan 'pay-load coverage' daripada mereka? Kemudian beli balik saham mereka mengikut premium yang dipersetujui terlebih dulu?

Tajuddin Ramly adalah anak-didik Tun Daim. Sejarah telah membuktikan tidak ada seorang pun anak-didik Tun Daim yang menerima imbohan dan sabsidi keemasan daripada kerajaan Malaysia yang mampu akhirnya menyumbang sesuatu yang menguntungkan negara ataupun memberikan pulangan berlipat ganda setimpal dengan segala kemudahan kerajaan yang mereka terima. Lihat apa yang jadi kepada Dato Shamsuddin Hassan yang naik kaya raya dan akhirnya lari ke Afrika ? Apa jadi kepada Renung dan UE yang diterajui oleh Halim Saad? Kini, apa jadi kepada Tajuddin Ramli? Ketiga-tiga anak Melayu ini bukannya berasal daripada orang kaya raya. Ibu bapa mereka dulu pun manusia biasa sahaja. Mereka naik kerana diberi peluang keemasan oleh Daim dengan direstui oleh Mahathir. Mereka diberikan peluang itu sedangkan Daim dan Mahathir tahu mereka tidak pun mempunyai pengalaman yang menebal dan terbukti untuk mengendalikan dasar pengkoporatan institusi kerajaan.

Tindakan dan keputusan Mahathir menyerahkan institusi dan industri besar untuk diterajui oleh anak-didik Daim ternyata kantul dan meleset. Semua projek keemasan itu menjerit rakyat marhaen akhirnya, sedangkan petualang itu masih hidup kaya raya dan masih mendapat tempat yang mulia di mata negara. Sedangkan rakyat untuk dua hingga tiga jenerasi yang akan datang dimestikan menanggung beban hutang gara-gara kepincangan dan ketidak-jujuran mereka.


Jerat Yang Sudah Mengena

Mahathir tahu episod penebusan hutang lapuk Tajuddin Ramli akan disanggah oleh segenap lapisan rakyat marhaen. Setakat ini kita masih belum tahu cerita benar apakah pembelian itu dilakukan oleh KWSP ataupun oleh Tabung Haji. Namun, pembelian saham itu adalah satu penghinaan kepada martabat bangsa negara ini tidak kira apa kaumnya dan apa agamanya. Kalau pembelian itu akhirnya ternyata dibuat dengan menggunakan wang Lembaga Urusan Tabung Haji, Mahathir terpaksa menanggung dosa dengan penipuan yang berlaku. Di waktu yang sama setiap pencarum LUTH akan merasa kesal dengan tindakan Mahathir itu kerana pembelian dengan harga yang berkali ganda daripada harga pasaran adalah menyalahi ajaran Islam.


Kita menjangkakan Mahathir dan UMNO akan mengkaji reaksi rakyat terhadap pembelian saham MAS itu. Inilah jawapan kenapa pembelian ini didedahkan ketika negara hampir merayakan tiga hari lebaran yang hampir di antara satu dengan lainnya. Hari Krismas akan disusul oleh hari Raya dan sambutan Tahun 2001. Mahathir tahu rakyat akan sibuk dengan hari lebaran itu dan akan lupa episod MAS ini apabila pulang kepenatan selepas itu. Kita boleh nampak betapa Mahathir tidak jujur kerana pembelian dibuat selepas Parlimen baru sahaja diistiharkan bercuti.

Inilah jerat yang dipasang-siap oleh Mahathir sebaik sahaja dia mengarahkan isu Suqui dan Dong Jiao Zong itu diketengahkan. Beberapa ayam sabung pun dipersiapkan untuk berkokok dan menjerit terlalak-lalak mengabui pemikiran orang Melayu. Sebagai kelazimannya, ayam sabung apabila dibiarkan masuk gelanggang akan acah mengacah tidak menentu. Demikianlah gelagat Suhaimi Ibrahim dan GPMS yang dikerahkan menjalankan peranan itu.

Sebagai penganalis, saya mahu lihat apakah tindakan parti pembangkang selanjutnya. Apakah mereka akan turut terjerit-jerit dengan gelagat yang dipelopori oleh Aziz Sikh dan juga Suhaimi GPMS? Mampukah mereka melakar dan merancang sesuatu yang lebih berkesan lagi untuk menggembeling sokongan rakyat menyanggah Mahathir di atas kebiadapannya itu?

Perbuatan Mahathir membeli saham dengan harga RM8 adalah satu perbuatan biadap. Kita tidak boleh ambil kira kalau ada satu perjanjian lama mengenai harga yang ditetapkan itu. Pembelian semula itu adalah berunsur korupsi yang paling tinggi statusnya. Mahathir mampu melakukan kerja itu kerana sudah biasa dan sudah menjadi darah-dagingnya. Dia berlagak begitu kerana berfikir Malaysia ini adalah kepunyaanya. Dia berbelanja boros kerana sudah biasa dengan keborosan itu tanpa ada sesiapa yang menyanggahnya. Inilah yang mencabar martabat rakyat marhaen.

Sebenarnya Mahathir tahu dan sedar bahawa majoriti rakyat sudah tidak suka padanya. Dia sudah lama sedar bahawa ramai pemimpin UMNO yang bencikannya. Dia juga sudah difahamkan betapa ahli semua parti komponen Barisan Nasional menunggukan masa dia pergi bersara (Ada yang sanggup menggunakan perkataan 'berambus', dalam perkara ini.) Tetapi, Mahathir sudah lama mengambil sikap "I don't care".

Sikap Mahathir yang tidak peduli dengan perasaan rakyat adalah satu petanda kenapa beliau terus mesti disokong sampai dia tidak bernyawa lagi. Yang menyokongnya secara menggila itu adalah ahli politik yang rakus dan tahu bahawa tempoh kepupusan mereka pun sudah semakin hampir. Begitu juga dengan para peniaga kelas 'hampeh' yang tahu mereka terpaksa berlumba-luma membalun harta negara selagi Raja kelentong masih bernyawa.

Taktik mengekalkan kuasa Mahathir dilakukan dengan pelbagai cara. Kaedah yang paling 'simple' ialah menyibarkan ugutan betapa 'Ops Lalang' akan dirancangkan. Rakyat sudah tidak takutkan Ops Lalang lagi. Rakyat sudah sedia menanti apa juga tindakan ganas Mahathir ke atas rakyat marhaen. Menyedari kesediaan rakyat kalau beliau bertindak ganas, Mahathir mengambil jalan berlembut dengan rakyat sambil meneruskan taktik mengkucar-kacirkan minda rakyat jelata. Kini, GPMS digunakan sebagai ayam sabung. Kemudian, ditonjolkan pula Dato A.R. Maidin yang akan menganjurkan 'Gabungan Suara Melayu'. Nampaknya taktik menonjolkan teori Melayu Baru muncul semula dengan irama lama dan berwajah baru.

Untuk memperkuatkan jerat yang baru dipasang, dikerah pula para veteran UMNO untuk muncul silih berganti dengan andaian dan tanggapan mereka bahawa tuntutan Suqui adalah satu muslihatn yang didalangi oleh DAP untuk mengungkit konsep Malaysian Malaysia. Sebenarnya kebanyakan veteran UMNO itu adalah tergolong sebagai penjarah negara kerana hidup kaya raya menipu bangsa Melayu dan memerah keringat mereka sambil tidak membuat sesuatu yang berkesan untuk menaikkan martabat bangsa. Jangalah mereka mahu terus berlagak dengan kata-kata: "Kami orang lama yang makan garam dulu dan kami orang lama yang berjuang mati-matian dulu." Bagi saya, orang-orang seperti ini adalah lebih baik diam membisu dan menikmati zaman tua mereka. Lagi besar mulut mereka dengan segala penipuan itu, lagi cepat mereka akan didakwa sebaik sahaja Mahathir sudah tidak bernyawa. Mereka harus sedar dan faham bahawa hukum karma sedang berperanan untuk menjerat mereka juga. Kalau mereka teus menjerit untuk melindungi seorang diktator tua, jerat yang lama terpasang akan mengena mereka. Jika tidak, segala jeritan dan tindakan mereka itu akan satu hari nanti menjerut mereka juga.

Sayang, dalam hal ini Majlis Raja-Raja (MRR) tidak boleh dirujukkan oleh rakyat marhaen, kerana mereka sudah lama dijerut oleh Mahathir sehinggakan martabat mereka pun terumbang-ambing juga. Mahathir sudah lama memasang jerat dan rakyat sudah lama letih menjerit. Hanya masa yang akan menentukan siapa sebenarnya yang akan dijerut ataupun dijerat.

-Marhaintua- 22.12.2000.