Laman Webantu   KM2A1: 3465 File Size: 33.2 Kb *



Siri 29 YTDT: B1 Yang Menjerit Dan Menjerat
By Marhain Tua

22/12/2000 12:18 am Fri

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 29

[Satu penulisan yang amat terperinci oleh Pak -MT- yang MESTI DIBACA oleh semua pejuang tanahair. Sebenarnya ketuanan melayu itu dinodai oleh pemimpin negara sendiri. Merekalah sebenarnya dalang yang merompak hasil mahsul negara dan semua projek terkini. Nasib orang melayu mereka apa perduli. Lagipun orang melayu sanggup memberi undi dan membayar tol lagi!

Orang melayu sebenarnya sedang dipisahkan dari satu kegemilangan mereka satu masa dulu. Mereka semakin terpinggir walaupun itulah bumi tempat mereka lahir. Ia semua bukan salah Suqui, dan bukan salah orang Cina. Tetapi pemerintah yang telah menggadaikan segala-galanya demi cinta intimnya dengan beberapa kerat orang Cina. Orang Cina memberi dan orang melayu yang menerima kerana ada orang melayu yang barua yang telah memberi kepada orang cina tadi. - Editor ]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 29 : YANG MENJERIT DAN MENJERAT




Yang Menjerit Dan Menjerat
(Bahagian Satu)


Kekecohan mengenai himpunan satu ratus ribu orang Melayu sebagai membantah tuntutan Suqui kini sudah sampai ke satu persimpangan yang sungguh melucukan. Jelas, sebahagian besar manusia yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin, tidak pun membaca terlebih dulu tuntutan kumpulan perayu itu sebelum mereka menjerit dan melalak tidak tentu pasal menyanggah kumpulan itu. Malahan di Dewan Negara kita dapat dua orang senator yang telah menyelar sikap parti pembangkang khususnya PAS kerana berdiam diri berkenaan tuntutan kumpulan itu.

Senator Abdul Aziz Abdul Rahman telah menuduh PAS bersetuju dengan tuntuan yang dibuat oleh Suqui supaya hak istimewa orang Melayu dimansuhkan. Senator Abdul Aziz ini telah mengungkitkan sikap membisu PAS itu dengan kisah nasib orang Melayu di Singapura yang diaibkan oleh kerajaan negara itu. Senator Rosli Mat Hassan pun menyelar Suqui tanpa menyedari bahawa tuntutan mereka adalah satu rayuan sebelum berlangsungnya pilihan raya umum 1999 dulu.

Saya telah lantang bersuara bahawa Episod Suqui ini adalah satu episod yang sengaja dilakar untuk mengalihkan bisa yang mengena Pemuda UMNO dan juga Mahathir Mohammad. Ia sengaja diperhebatkan oleh Utusan Melayu untuk melariskan akhbar mereka. Kerana itu kita lihat pada akhbar terbitan 20.12.200 di muka hadapan akhbar di sebelah bahagian atas ada satu tajuk menarik yang berbunyi: Isu Suqui: Pas Masih Berdolak-dalik. Datuk Fadzil Nor, presiden PAS difitnah sebagai pihak yang masih kabur dengan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu kepada kerajaan.

Di waktu yang sama mengikut akhbar itu, minggu lalu presiden Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail berkata: Pihaknya menolak tuntutan Suqui yang disifatkan nya sebagai bertentangan dengan asas perlembagaan negara khususnya pemansuhan status bumiputra.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kita Siang, pula disebut meminta kabinet yang bermesyuarat pada hari Rabu membuat keputusan supaya menghentikan kempen memburukkan Suqui oleh UMNO untuk meraih sokongan kaum Melayu.

Kemudian kita terbaca berita bagaimana 31 NGO mengsahkan untuk menyertai perhimpunan GPMS. Kita tahu semua NGO itu adalah tajaan UMNO, BTN dan Pertubuhan Belia. Ada juga tulisan bertajuk "GPMS perlu kaji kesan perhimpunan". Wak Amin Sapiro telah membuat satu artikel sebagai komen baik berdasarkan pendapat seorang bekas presiden GPMS. Yang menarik sekali ialah kenyataan Presiden Ling Liong Sik, ketua MCA. Kenyataan itu disiarkan sebagai pojok Utusan Melayu hari ini. Ia berbunyi "MCA Desak Suqui Tarik Balik." Tetapi semalam ada satu berita yang merakamkan kenyataan Dr. Ling bahawa rayuan Suqui itu mengandungi banyak perkara yang boleh dibincangkan secara terbuka.

Ada satu berita kecil yang berbunyi demikian:

... "Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatauan-Persatuan Cina (Suqui) mmengalu-alukan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein untuk berjumpa dan berdialog dengannya bila-bila masa. Dalam satu kenyataan di sini hari ini, jawatankuasa itu percaya kumpulan-kumpulan berlainan dalam sesebuah masyarakat moden harus berinteraksi dan mencari jalan yang sesuai untuk mencapai persefahaman."

Kalau betul laporan itu, ia membawa makna bahawa barulah sekarang Ketua Pemuda UMNO itu dapat menggunakan kepala otaknya, yang sepatutnya sudah digunakannya lebih awal lagi. Soalnya sekarang, kenapakah perkara ini dibiarkan berpanjangan dengan pelbagai pihak terjerit-jerit dan melatah tidak tentu pasal sehinggakan memalukan maruah orang Melayu ? Apakah itu sebahagian daripada "rehearsal" (latihan beraksi) yang sengaja diada-adakan untuk meraih simpati, sokongan ataupun untuk memenuhi satu muslihat sandiwara yang lebih besar lagi? Hishamuddin Hussin adalah menteri belia dan sukan negara dan mempunyai ramai kenalan yang rapat di kalangan kaum Cina. Kenapakah dia tidak memikirkan awal dulu lagi jaringan rakan-rakan dari kalangan kaum cina untuk menyelesaikan perkara ini. Lagipun Hishamuddin berjawatan Menteri Penuh dan menjadi ahli kabinet yang meluluskan dengan bersyarat, rayuan yang dibuat oleh Suqui itu.


GPMS Mahu Ketuai Medan Perang?


Tindakan Hishamuddin untuk mengajak Suqui berunding secara muhibbah telah diterima oleh majoriti rakyat dengan perasaan lega. Tetapi, tiba-tiba muncul kembali Suhaimi Ibrahim merangkap presiden GPMS yang menyanggah tindakan Hisham itu dengan alasan:


  1. Cadangan Hishamuddin sudah terlambat, kerana ia sudah menjadi isu dalam pilihanraya;

  2. Kenapa Pemuda UMNO tidak ambil tindakan awal-awal lagi. Kenapa biarkan isu ini berlarutan hingga menjadi isu politik dalam pilihanraya umum dan kecil?;


Suhaimi Ibrahim juga beranggapan 'hanya perpaduan Melayu dapat mengenepikan tuntutan Suqui itu.' Ada cerita bahawa Suhaimi mahu wujudkan Gabungan Suara Melayu. Gabungan ini akan melancarkan perhimpunan Perpaduan Melayu di Stadium Bukit Jalil. Kelantangan Suhaimi ini nyata disokong kuat oleh penaung GPMS Dato Seri Abdul Rahman Maidin, seorang peniaga yang amat rapat dengan Mahathir dan Daim. Kerana itu kita diberitahu bahawa Gabungan Suara Melayu itu adalah diasaskan oleh anggapan bahawa:

..... "Orang Melayu harus bersatu padu, melupakan perbezaan politik, fahaman matlamat peribadi dan tumpukan kepada matlamat utama untuk mengutamakan masa depan Melayu.".....

Huh.....huh....huh.... meremang bulu tengkok untuk seketika. Nasib baik tidak ada bulu lain yang mengikut sama. Kalau zaman dulu-dulu kata-kata semacam ini memang mudah menaikkan bulu kening. Kerana yang mendengar akan bertanya dalam hatinya dulu: Siapa dia malaun yang bersuara semacam ini? Apakah jasanya kepada orang Melayu selama ini? Berapa banyakkah nyawa musuh yang sudah dipenggalnya dan berapa banyakkah keris panjang yang digunakannya?




Kepala Hotak Kau Orang.....??

Kalau cakap GPMS itu mahu dijadikan ukuran, saya ingin rakamkan satu e-mel yang dipanjangkan oleh salah seorang Pengendali Web daripada seorang insan yang nama samaranya 'rio' dan e-melnya ialah Tazam94@hotmail.com. Saya ingin rakamkan tulisannya itu dengan menggunakan bintang kepada perkataan yang sensitif:

... "spesis makan ba** ni tengah dok nak makan kau orang pulak, kau orang masih tak sedar diri lagi. Tunggulah nanti Ci** bangsat ni datang sembelih kau orang sekor-sekor macam kat Bosnia ni, baru la kau nak sedar yang spesis makan b*** ni memang tak sedar diuntung dahlah masuk negeri orang dikautnya segala harta orang Melayu. Bagi betis nak peha lagi sebab dia tahu ada juga talibarut dan pengkhianat macam kau orang masih nak sokong dia. Pergilah ikut dia orang ratah b*** sekor, sekor, sebab kau orang setuju dia buka kandang ba** dalam rumah kau orang. ....."

Astagfirullah..........!!!! Apakah begini sekali dahsyatnya seorang insan yang menggunakan e-mel TAZAM49 ini? Kita harap dia sedar bahawa tulisan seperti inilah yang satu ketika dulu membakar semangat orang Melayu untuk bertindak sehingga tercetusnya tragedi Mei 13,1969. Dalang yang paling utama pencetusan tragedi itu kini memegang kuasa sebagai perdana menteri negara ini. Keceluparan manusia seperti TAZAM49 ini menggambarkan betapa terdesaknya orang UMNO yang sedar dan kecewa betapa sokongan orang Melayu sudah semakin berkurangan menyokongnya.


Berubahnya Budaya Melayu

Seperti yang berlaku kepada setiap bangsa yang terus maju dan mahu maju, budaya lama sesuatu bangsa itu akan turut bertukar rupa dan bertukar cara. Sekaligus ia menukarkan cara berfikir dan bertindak serta cara berhujah dan berlagak. Demikianlah juga yang berlaku kepada bangsa Melayu. Sejak merdeka tercapai, bangsa Melayu terus maju ke hadapan dengan perubahan yang besar berlaku dalam segenap segi penghidupannya. Perubahan budaya itu berlaku tanpa disedari secara terus oleh setiap insan yang bergelar Melayu kerana budaya selalunya bertukar rupa secara lambat dan selamba.

Contohnya:



  1. Satu ketika dulu kalau kita berhari raya kita memakai baju dan pakaian yang disebut 'Baju Raya', 'Kasut Raya' dan sebagainya mesti ada perkataan 'raya'. Itulah yang dimaksudkan dengan tema 'balik raya', 'pulang beraya', 'kuih raya'. Baju Raya dan pakaian raya selalunya dibeli pada bulan puasa. Kerana itu di malam akhir puasa, orang Melayu masih berpusu-pusu di kedai untuk membeli pakaian dan keperluan raya.

    Ketika Tun Razak memerintah, konsep rumah terbuka hari raya yang dimulakan oleh Tunku dulu menjadi satu amalan yang meluas kerana para menteri dibenarkan peruntukan bebas untuk menganjurkan majlis sambutan hari lebaran. Tidak sahaja bagi lebaran orang Islam, malahan hari lebaran semua kaum. Oleh kerana banyaknya hari lebaran yang perlu dihadiri termasuk majlis 'rumah terbuka' yang diamalkan juga oleh segenap lapisan masyarakat, membeli baju raya di bulan puasa sudah berubah. Rakyat Malaysia membeli-belah setiap masa, lantas orang Melayu pun tidak lagi membeli pakaian raya di bulan puasa. Tetapi, kenapakah masih terdapat kesesakan di minggu terakhir bulan Ramadan di mana orang Melayu masih lagi membeli pakaian raya? Jawapnnya terletak kepada kewujudan wang yang menunggu gaji tambahan, pinjaman khas dan mungkin juga bonus.

  2. Apa yang disebut Malaysia sekarang ini merupakan negara yang pernah dijajah oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan Bintang Tiga (untuk sekitar dua minggu) sebelum British kembali semula. Sebelum penjajah Eropah datang secara berkesan di negara ini, tanah Melayu dijajah oleh para raja dan Sultan dan sistem feudal di mana perempuan yang cantik menjadi inang dan gundek dan rakyat dihamba-abdikan oleh raja-raja untuk mengekalkan kuasanya. Orang Melayu dikerah berperang untuk rajanya tanpa sebarang gaji ataupun pampasan. Malahan, makanannya ketika berperang itu harus dibekalkannya sendiri. Raja hanya membenarkan askar yang akan berperang itu berhibur semalam dua dengan para gundek ataupun 'harem' yang merupakan bekas janda askar raja yang mati di medan perang. Budaya rakyat taat kepada raja secara melulu itu berterusan sehinggalah Islam masuk mempengaruhi orang Melayu. Itupun Islam merupakan agama tiruan pada keseluruhannya kerana pengamalannya yang sebenar hanya berkembang selepas tamatnya perang dunia kedua dulu.


Selepas perang dunia ke-dua itu, ramai keluarga Melayu yang berpecah-pecah kerana keadaan ekonomi yang rendah sehinggakan ada di antara ahli keluarga merupakan bibit dan zuriat berbakakan benih Jepun, Mancuria dan Cina. Zuriat yang tercetus disebabkan kedaifan hidup dan kesengsaraan melayari tekanan penjajah dan penguasa kejam membuatkan ramai keluarga Melayu hingga kini mempunyai kacokan darah Portugis, Arab, Belanda, British, Amerika, Fiji, New Zealand, Australia, Jepun, Cina Bebas, Cina Komunis, India, Pakistan, Siam dan bermacam lagi. Ini tidak diambil kira akan benih kacukan yang terjalin daripada pertemuan singkat di antara bakal askar raja dengan janda askar istana di satu ketika dulu.

Kehidupan yang berbibitkan kehidupan kuno yang caca-marba inilah yang menjadi satu bangsa yang kini dikenal sebagai orang Melayu. Cuma selepas merdeka (31.8.1957) barulah Melayu itu dibahagi-bahagi kepada pelbagai kaum dan jenisnya, sedangkan satu ketika dulu Melayu itu dikenal sebagai Melayu Sungai atau pun Melayu Darat. Yang di sungai ataupun laut itulah yang dekat dengan Raja dan Sultan dan yang di darat itulah yang bernaung di bawah Raja Sakai. Kemudian, yang menjadi perbezaan di antara dua kumpulan Melayu itu ialah agama Islam, kerana integrasi orang Melayu Sungai/Laut dengan pedagang India Muslim dan Arab. Melayu darat yang bernaung di bawah Raja Sakai terus dengan fahaman animisma. Sedikit demi sedikit, penghijrahan orang Sungai memasukki kawasan pendalaman, membuatkan semakin ramai Melayu darat itu memeluk Islam pula, hinggakan yang masih tinggal itu terus kekal di hutan tebal.

Apabila British menjajah negara ini, kumpulan Melayu darat itu terus diberikan klassifikasi sebagai orang asli kerana mereka (British) pun mempunyai agenda besar untuk mengawal hasil bumi negara ini bagi kepentingan empayar British sahaja. Sekaligus, penumpuan dibuat agar orang asli itu menjadi satu kumpulan yang terkeluar daripada arus pembangunan negara kerana muslihat penjajah semata-mata. Kumpulan yang dikawal oleh pengaruh Tok Batin itu menjadi satu masyarakat 'buffer' (pelindung) terhadap pengaruh komunis yang menggunakan hutan rimba sebagai medan perang untuk menentang penjajah British.






Cina Yang Menentang British

Siapakah kumpulan masyarakat Cina yang mendalangi pergerakan Komunis dulu? Mereka adalah satu kumpulan yang datang ke negara ini sebelum Jepun masuk menyerang Tanah Melayu. Mereka lari daripada penjajahan Jepun di Cina, Taiwan dan Hongkong. Mereka lari dengan segala kekayaan yang ada dan pengetahuan berdagang dan bertukang. Oleh kerana mereka sudah merasakan kepedihan di jajah Jepun, mereka lari ke Tanah Melayu dan bersedia untuk memerangi Jepun. Mereka telah menerima bantuan British untuk melengkapkan diri dengan senjata kerana itulah yang diberikan oleh British untuk mendapatkan kesetiaan mereka. Kumpulan ini telah menjadi kuat apabila mereka disokong dengan kuatnya oleh masyarakat buruh Cina yang bekerja di bawah sistem hamba abdi kepada Cina yang kaya raya di negara ini. Masyarakat pekerja hamba abdi Cina adalah terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan adalah yang berhutang kerana dibawa ke Tanah Melayu oleh Taukeh Kaya. Yang lagi satu ialah mereka yang dibawa masuk sebagai pengawal dan samseng kumpulan khas untuk menjaga keselamatan taukeh mereka. Inilah kumpulannya yang diperangi oleh Jepun kerana mereka sudah digunakan oleh British untuk mengganyang Jepun sebelum British datang semula ke negara ini.

Cina yang tidak menentang British adalah Cina yang tidak dimusuhi oleh Jepun. Mereka adalah golongan Cina Baba dan Nyonya yang merupakan masyarakat Cina yang datang ke negara ini dan mengahwini orang Melayu pada asalnya. Terdapat juga sekumpulan Cina Shanghai yang memang masuk ke negara ini dengan kekayaan dan kepandaian yang ada ketika Jepun baru menyerang Cina.

Eloklah dirakamkan di sini, kebanyakan pekerja Cina yang datang pada mulanya ke tanah Melayu adalah diiktiraf sebagai hamba abdi kepada golongan yang kaya. Mereka menjadi hamba kerana ketagihan candu dan madat yang pada asalnya digunakan sebagai 'modal' oleh British untuk mengembangkan kuasa di China. Mereka dibawa masuk ke negara ini dengan alasan mereka boleh memulihkan tabiat buruk itu disebabkan cuaca panas di Tanah Melayu.


Apabila Jepun kalah, golongan Cina yang memang kaya ini terus kaya kerana mereka diterima kembali oleh British sebagai 'local partner in business' rakan niaga tempatan British yang dipercayai. Lagipun inilah kumpulan yang memegang proksi harta British ketika mereka berundur ke Australia. British tidak mengamanahkan harta kekayaan mereka kepada orang Melayu kerana lebih suka kalau orang Melayu itu digunakan untuk mempertahankan negara mereka ketika pasukan British melarikan diri. British masih tidak mengiktiraf orang Melayu sebagai rakan niaga mereka walaupun kemasukan British itu dulu adalah hasil usaha dan pengorbanan orang Melayu yang dipelopori oleh Hussein Onn, Ibrahim Ismail dan Osman Jiwa. Oleh kerana British lebih rela mengiktiraf orang Cina yang kaya raya itu sebagai rakan kongsi mereka selepas perang dunia kedua, makanya taraf raja-raja dan sultan di negara ini adalah menjadi mainan British sahaja.


Bila Raja Melayu Diperlekehkan

Nasib raja-raja Melayu selepas perang dunia kedua amat sedih sekali. Kisah ini boleh diikuti dengan jelas kalau kita baca buku sejarah yang ditulis oleh Frank Swettenham. Ia menjadi lebih menyedihkan kalau kita baca pula Hikayat Munshi Abdullah yang mengandungi banyak putar belit untuk memperlekehkan orang Melayu lagi. Munsyi Abdullah ada bercerita bagaimana Stamford Raffles mampu bertutur dengan fasihnya dalam masa empat bulan tiba di tanah Melayu. Kini sudah ada satu kajian yang dilakukan oleh seorang sejarahwan British yang menidakkan kenyataan itu.

Disebabkan raja-raja Melayu alpa dan pelahap, negara mereka menjadi tidak terurus. Kegemaran berjudi dan bermadat membuatkan raja-raja Melayu menjadi mangsa peniaga Cina yang digalakkan oleh Penasihat British. British merencana untuk mengambil alih Tanah Melayu seperti mereka mengambil alih jajahan di Afrika, Wilayah Hindi-Pak, dan Tanah Arab.

Dalam usaha melemahkan kedaulatan raja-raja, British mengambil beberapa tindakan yang berasaskan pengalaman mereka di negara lain. Raja-raja Melayu digalakkan berjudi dan bermadat. Inilah yang membuatkan British berjaya menguasai Hongkong dan India. Melalui madat dan judi (sabung ayam), orang Melayu leka untuk maju kerana raja-raja pun mudah selesa dengan cukai yang diterima. Itu sebabnya Singapura dan Pulau Pinang jatuh ke tangan British secara mutlak. Zuriat raja Melaka tidak diberikan kuasa naik takhta, sedangkan Melaka merupakan tapak kegemilangan raja-raja Melayu. British teruskan perkembangan Singapura dengan rakan niaganya orang Cina dan orang Melayu bertukar menjadi kelas hamba. Singapura dapat dibeli oleh British dengan hadiah beberapa tin 'biskut marie' dan gula-gula 'toffieĦ'. Temenggong Johor yang termakan pujukan British itu telah dibenarkan menukar pangkat dirajanya menjadi Maharaja dan tidak kepada sultan sahaja. Dari situ bermulalah sejarah Johor yang bermaharajakan insan yang merasakan dirinya lebih mulia dengan beristerikan perempuan yang sebangsa dengan kaum yang 'membeli' Singapura itu. Oleh kerana dia tidak tahu membaca dia tidak faham bahawa sebelum itu Britih cuba membeli Hongkong daripada Maharaja Cina tetapi tidak berjaya. British hanya diberikan pajakan untuk satu ratus tahun lamanya. Kalaulah Temenggong Johor boleh membaca ketika itu ataupun mempunyai sahabat karib daripada kalangan masyarakat Cina, sudah tentu dia bertegas untuk tidak menjual Singapura. Cuma memadai untuk memajakkannya sahaja untuk satu ratus tahun juga.

(Apakah daya, sudah nasib rakyat marhaen Johor, insan yang dianggap raja ketika itu lebih rela tersenyum menerima pampasan beberapa tin biskut dan tofi serta salinan pakaian yang berwarna warni. Kerana sogokan sebanyak itu dia lebih rela menjual tanah pesaka bangsannya. Ironisnya ketika Tunku berjaya mendapatkan kemerdekaan untuk Malaya, Raja Johor ketika itu tidak bersetuju dengan Tunku sehinggakan majlis Jubli Intan baginda terpaksa dipulaukan oleh Tunku dan pemimpin Parti Perikatan. Malangnya perangai rakus beginda itu tidak difikirkan oleh sukusakatnya yang masih bertakhta kini.)

Budaya orang Melayu pun berubah juga mengikut putaran zaman. Apabila British mahu tubuhkan Malayan Union, raja-raja Melayu pada awalnya bersetuju sahaja. Tetapi, orang Melayu naik marah dan memberontak dengan pimpinan Dato Onn Jaafaar, seorang anak Melayu yang berpendidikan dan mampu mempengaruhi semua raja dan sultan.


Semangat Juang Rakyat Marhaen

Dato Onn Jaffar berjaya mempengaruhi raja-raja Melayu menentang Malayan Union kerana beliau menerima sokongan padu masyarakt Melayu yang berbekalkan semangat juang Dato Maharajalela dan Datok Panglima Sagor di Perak, Rosli Dobi di Sarawak, Mat Kilau dan juga beberapa panglima Melayu lama yang menentang British di Pantai Timur.

Persekutuan Tanah Melayu pun diwujudkan. Tetapi, kegagalan British itu telah dimanipulasi oleh masyarakat Cina bajingan untuk melancarkan gerakan bawah tanah menentang penjajah. Mereka mampu meraih sokongan orang Melayu yang diputar mindanya. Untuk melumpuhkan serangan komunis itu sekali lagi British menggunakan semangat juang orang Melayu menganggotai pasukan tentera dan polis. Namun demikian, di waktu yang sama British tidak pernah menekan masyarakat Cina yang lagi satu yang merupakan rakan niaga mereka. Dengan lain perkataan, British menggunakan serampang tiga mata untuk menjajah. Orang Melayu digunakan sebagai hamba kelas atasan untuk mempertahankan kestabilan negara. Orang Cina digunakan sebagai rakan niaga sementara sebahagian lain orang Cina itu dianggap sebagai musuh ketat untuk dimusnahkan.


Komunis Sebagai Alat British Terus Berkuasa

Kehadiran komunis di hutan dijadikan satu alasan untuk British meneroka hasil bumi negara orang Melayu dan membawanya ke luar negara. Hutan dibuka untuk dijadikan ladang dengan membawa masuk buruh daripada India. Hasil mentah dibawa keluar negara dan barangannya dibawa masuk untuk dibeli oleh rakyat dengan harga berlipat kali ganda. Ketika kelapa sawit mula ditanam, hasilnya tidak dijadikan minyak makan kerana minyak sawit dijadikan bahan pencuci bijih timah ataupun diekspot tanpa diproses dulu. Minyak sawit hanya diproses setelah berlaku kejatuhan mendadak kepada industri bijih timah dunia dan setelah harga pasaran dunia minyak kelapa jatuh mendadak.

British tidak pernah serius untuk membasmi komunis di negara ini satu ketika dulu. Ia lebih berminat melakukan operasi menyekat sibaran pengaruh komunis itu sahaja. Tujuannya ialah untuk menempatkan lebih ramai tenaga tentera dan polis British di Malaya dan Borneo. Lagipun di pertengahan tahun empat puluhan, pengaruh British di India dan Pakistan (termasuk apa yang disebut Bangladesh sekarang ini) semakin berkurangan dan benua itu sudah pun menghampiri ambang kemerdekaan.

Minat British untuk terus menguasai Malaya dan Borneo menjadi berkurangan apabila bijih timah dan getah semakin luntur harganya. Di waktu yang sama tanah Arab menjadi kaget setelah terjumpanya simpanan minyak yang besar. Arab Saudi, Kuwait, Iraq dan Iran gempar dengan projek minyak. British bertindak menumpukan minat di sana kerana mahukan bahagian besar di Oman, Yemen, Arab Emirate yang ketika itu masih belum mempunyai projek minyak mereka. Apabila wilayah Hindi-Pak mencapai kemerdekaannya, British kekurangan hasil mahsyul sehinggakan tidak berminat untuk terus menjajah Malaya dan Borneo.

Kemerdekaan Tanah Melayu diasaskan oleh British dengan kerjasama semua lapisan kaum di negara ini. Ia adalah lambang kesungguhan Tunku Abdul Rahman yang mengambilalih kepimpinan UMNO daripada Onn bin Jaafar. Sebagai seorang insan yang membesar di London, Tunku mempunyai persepsi pemerintahan ala Westminster. Sekaligus kumpulan tauke Cina dan India menjadi rakannya dan masalah orang Melayu banyak diserahkannya kepada kebijaksanaan Tun Razak, Tun Ismail dan Saadon Zubir. Pemerintahan negara secara praktikalnya adalah di bawah kebijaksanaan Tun Abdul Razak. Tunku hanya berperanan sebagai jambatan di antara rakyat marhaen dengan majlis raja-raja dan peniaga Melayu dengan peniaga bukan Melayu.


Orang Melayu Dan Dunia Niaganya

Sejarah membuktikan bahawa orang Melayu adalah satu bangsa yang dilahirkan untuk menjadi pintar dalam dunia perniagaan. Kerana itu semua sejarah bangsa yang besar ada mencatatkan nama 'Kepulauan Melayu' ataupun 'Gugusan Pulau-Pulau Melayu'. Hanya sesuatu bangsa yang besar dalam dunia perniagaan dulu yang diiktiraf untuk menghiasi buku sejarah bangsa asing. Begitu juga dengan bahasa bangsa yang diiktiraf itu. Itu sebabnya, setiap pegawai British yang mahu kekal lama di Tanah Melayu dimestikan lulus dulu peperiksaan Bahasa Melayu dan Budaya dan Adat Resam Orang Melayu.

Kepintaran orang Melayu berniaga dulu telah menjadikan Melaka sebagai pusat perhentian dan pertukaran barangan dagang. Keadaan ini bertukar rupa apabila British berjaya menakluki Pulau Pinang (Penang), Singapura dan terus melupakan Melaka untuk membina pangkalan baru di Port Weld (Perak), Port d##kson (Negri Sembilan), Port Swettenham (Selangor). Sekaligus kepintaran orang Melayu berniaga lesap laksana asap kemenyan yang kehabisan baranya. Peniaga Melayu bertukar tugas menjadi pegawai kerajaan British ataupun pekerja khas kepada peniaga Cina dan India. Perkara ini berlaku apabila raja-raja dan para wakilnya lebih rela duduk di istana menerima elaun daripada penjajah British.

Demikianlah sejarah silam orang Melayu sehingga tercapai kemerdekaan. Sejak tercapai kemerdekaan itu bermulalah satu usaha baru masyarakat Melayu untuk menonjol kembali mengejar tamaddun dunia sambil perlahan-lahan menerima hakikat betapa budaya lama itu terpaksa ditinggalkannya untuk menjadi satu bangsa yang besar. Dia sanggup meredah hutan belantara memikul senjata sambil berjauhan daripada anak dan keluarga semata-mata mahu menjamin keselamatan dan maruah negara. Di waktu yang sama dia proksikan anak dan keluarga kepada saudara mara untuk mereka membesar tanpa pengawasannya sepenuh masa. Dia meredah semudra mencari hasil lautan, melawan badai yang datang melanda dan menggadaikan nyawa kepada pancaran suria. Tetapi harga tangkapannya adalah tertakluk kepada penentuan taukenya kerana segala kelengkapan penangkapan ikan itu bukan kepunyaan dirinya ataupun bangsanya. Dia terpaksa bergelar nelayan kerana berhutang budi kepada taukeh yang memberikan sabsidi untuk dia menyara hidup keluarganya ketika tengkujuh bermusim semula.

Demikian juga ceritanya mengenai Melayu yang bersawah padi. Dia menghambakan dirinya kepada tanah untuk mengerjakan sawah yang menjadi haknya hanya pada namanya sahaja. Sawah bendang itu sudah lama terpajak kepada si Ah Wong ataupun kepada Arumugam Chettiar. Dia menjadi tuan bendang pada namanya kerana sawah itu sudah lama dipajak dan digadaikan oleh bapanya dulu ketika dia masih anak-anak lagi. Dia mengerjakan bendang itu untuk melunaskan janji yang dibuat berdekad dulu oleh nenek moyangnya. Kalau dia gagal mengerjakan sawah itu, akan pupuslah kuasanya ke atas tanah yang digadai dulu. Tetapi, apakah dayanya untuk menebus pajakan lama itu kerana faedah ataupun bunga yang dikenakan adalah dua kali ganda daripada faedah yang digunakan oleh sistem perbankan negara? Termampukah dia menebusnya sedangkan harga padi sentiasa menurun kadarnya setiap tahun disebabkan sistem membenarkan pengimpotan beras keluaran negara luar secara haram? Bagaimanakah dia mampu mendapatkan harga padi yang tinggi sedangkan di kilang memproses padi himpunan stok lama menggunung tingginya?


Dia tidak mampu bertekak dengan tauke kilang kerana itulah insan yang memberikan sabsidi kepadanya ketika bendang masih berlopak dan batang padi belum menguning. Itulah juga insannya yang memberikan surat jaminan 'tua' untuk diunjukkan kepada tauke kedai untuk menyuap anak isterinya ketika dia memerlukannya? Dengan lain perkataan, bagaimanakah terdaya si penanam padi itu untuk hidup bebas sedangkan dia sentiasa bergantung harap kepada taukeh untuk terus hidup, termasuklah membeli buku anak-anak, ataupun berbelanja untuk kenduri kerja kahwin bila tiba masanya.


Kini, Malaysia sudah merdeka selama 43 tahun lamanya. Budaya orang Melayu itu sudah banyak berubah. Fahaman orang Melayu itu sudah banyak berubah juga. Namun, pemikiran majoriti orang Melayu itu masih banyak ditakuk lama dan cara hidup orang Melayu di luar bandar masih lagi begitu juga. Kalau ada perbezaan yang menonjol ialah kerapnya orang Melayu di kampung itu menerima buah tangan ataupun cenderahati berbentuk kain pelekat ataupun batik sehelai dua ataupun majlis 'rombongan' untuk ke ibukota melihat perubahan 'landscape' yang dilakar oleh seorang diktator tua. Kalau ada rezeki ataupun 'tuah' dapatlah naik bas rombongan ke PWTC untuk majlis tepuk amai-amai. Bila ada isyarat tepuk dimulakan, tepuklah tangan sekuat-kuat hati laksana pok amai-mai yang diajar ketika kecil-kecil dulu, tanpa mengerti apakah yang ditepukkan itu.

Orang Melayu hari ini kebanyakannya menjadi mangsa kepimpinan yang ada. Bermula daripada majlis raja-raja menurun kepada pemimpin politik yang berkuasa, pengaruh pimpinan yang diturunkan kepada orang Melayu moden itu adalah satu pengaruh yang mencekik hidupnya sehinggakan apa yang dikatakan satu kemerdekaan yang diterima di atas dulang kencana adalah satu metos yang penuh retorik semata-mata. Orang Melayu hari ini pada keseluruhannya tidak banyak berubah hidupnya. Inilah kerana ajaran bidalan Melayu yang berbunyi: "Di mana bumi dipijak di situ langit di junjung." Tidak kiralah kalau yang dipijak itu tanah yang penuh tahi dan kencing dan yang dijunjung itu adalah langit yang penuh mendungnya.

Seperti juga rakyat marhaen Melayu di zaman raja-raja dulu, yang terpaksa menyediakan senjata sendiri dan bekalan makanan sendiri untuk pergi berperang mempertahankan wilayah raja, Melayu hari ini pun terpaksa terus bekorban untuk menentukan raja-raja yang memerintah terus hidup senang lenang. Tidak kiralah kalau raja itu sudah lama menyerahkan kuasanya kepada proksi yang lebih rakus darinya.


Tetapi, di zaman IT, kedaulatan raja-raja yang menonjolkan maruahnya daripada martabat rakyat marhaen sudah semakin galak dipertikaikan. Rakyat masih teringat akan satu bidalan lama yang menyebut: "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". Dari sini terimbau cerita lama bagaimana zalimnya seorang raja yang sanggup membelah perut seorang isteri yang hamil yang memakan seulas nangka kepunyaan raja. Sedangkan si isteri yang mengidam itu adalah isteri kepada seorang pahlawan raja yang sedang berjuang untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Bidalan dan kiasan adalah ibarat dan tauladan. Hanya yang mempunyai otak masih di kepala yang mampu memahaminya, baik yang tersurat mahupun yang tersirat. Mereka yang mempunyai otak dilutut memang sudah kehilangan kebijaksanannya. Yang ada hanya alasannya. Bermadahlah golongan seperti ini untuk menegakkan benang yang basah, sedangkan di zaman IT ini, orang sudah tidak bermain benang lagi. Rakyat marhaen sudah lebih pintar bermain jaring dan jaringannya.

Ketika Melayu bermain benang dulu, kalau berkilas ikan di air mereka tahu yang mana satu jantan dan yang mana satu betinanya. Di zaman IT ini, berkilas ikan upahan di media massa dan TV, rakyat marhaen sudah kenal mana satu yang pondannya. Dari situ rakyat fahamlah betapa ikan yang busuk mesti bermula daripada kepalanya. Kalau ada ular yang turut sama, dan mahu menukar kulitnya ia bermula daripada bahagian ekornya.

Demikianlah jalinan sandiwara moden Melayu yang bermula daripada skrip lakaran seorang diktator tua dan diserahkan kepada Pemuda UMNO untuk melakonkannya. Kumpulan ini gagal dan terpaksalah skrip itu diserahkan kepada GPMS yang sepatutnya memikirkan nasib bangsa bermula di tahap persekolahannya. Itu pun mereka gagal kerana tidak memahami apakah tema skrip utama itu sebenarnya.

Tetapi rakyat marhaen sedar, sandiwara kali ini bukan calang-calang besar matlamatnya. Alang-alang salah tafsir, ia akan meledak menjadi satu lakonan yang menggegarkan orang Melayu ke akar umbinya.

.....bersambung....


-marhaintua- 21.12.2000