Laman Webantu   KM2A1: 3448 File Size: 31.4 Kb *



Siri 28 YTDT: Yang Semput Dan Sempit
By Marhain Tua

19/12/2000 2:48 am Tue

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 28

[Isu Rayuan Suqui nampaknya asyik timbul tenggelam. Yang menarik Mahatir sendiri tukang yang melambung setelah menyimpan. Ia disambut oleh Aziz Sheikh Fadhir dengan penuh perasaan, tetapi hangatnya tidak berpanjangan. Sebaliknya Aziz menanggung malu yang tidak berkesudahan, sehingga mengistihar meletak jawatan. Apa tidaknya gambar beliau yang tidak sopan di dewan perhimpunan cina itu adalah antara faktor kekalahan.

Kini Datuk Suhaimi pula cuba mendayung sampan. Kita hairan apakah sikap memberi ugutan kepada Suqui itu langkah anak jantan? Lagipun Suqui hanyalah satu rayuan lembut yang tidak menuntut apa pun dengan sebarang kekerasan. Ia hanyalah cebisan harapan agar keadilan dapat dilaksanakan. Takkan melayu yang terbilang membalas kelembutan dengan kekerasan? - Editor ]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 28 : YANG SEMPUT DAN SEMPIT




Yang Semput Dan Sempit

Upacara perasmian mentohmah Mahfuz Omar melancarkan gerakan Intifada yang dilakukan oleh Paklah dan Najib serta penerangan mengenainya oleh Senator Zainuddin Maidin di Dewan Negara, belum pun berusia satu minggu. Kini sudah diisytiharkan pula satu lagi sandiwara terbaru yang lebih hebat, lebih padat dan lebih bermuslihat. Ia akan mengalihkan perkara intifada, kisah perdebatan mega UMNO-PAS dan segala kepincangan ekonomi negara yang semakin genting.


Sekaligus nama GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) menjadi tandatanya ramai rakyat negara ini. Oleh kerana namanya (GPMS) sungguh gah, tiba-tiba nama insan yang menjadi presidennya mencetuskan banyak soalan lagi. Siapakah Dato Suhaimi Ibrahim yang menjadi presiden GPMS itu? Bagaimanakah dia boleh menjadi presiden sebuah persatuan pelajar ? Siapa pula yang memberinya gelaran Datuk itu dan apakah jasanya menerima gelaran 'datuk'? Apabila diberitahu Suhaimi adalah anak Pahang, ada pula bertanya: 'Itu datuk betul ke ataupun datuk celup?' Saya terkejut dengan soalan yang terakhir itu tetapi faham apabila ada orang yang memberikan penerangan lanjut mengenainya; 'Di Pahang orang biasa pun boleh diberi gelaran Tengku apalagi dengan pangkat 'datuk'. Ingat cerita Datuk Wong?....dan jangan lupa sejarah Melayu: 'Lanun' hari ini boleh jadi 'Temenggong' dan 'Raja' esok hari?.


Banyak lagi soalan yang dikemukakan kepada saya kerana ramai kawan-kawan yang sedar bahawa saya satu ketika dulu memang menjadi ahli GPMS yang sungguh aktif. Tetapi itu cerita lama dan kalau dikenang kisah lama memang saya masih teringat bagaimana kami berjalan kaki dari satu desa ke satu desa, hampir satu bulan lamanya; meminta tandatangan golongan ibu-bapa untuk menyokong memorandum yang akhirnya kami kemukakan kepada Menteri Pelajaran ketika itu, Dato Abdul Rahman Talib (bapa kepada Dato' Fauzi, Kuantan). Kami mendesak agar kerajaan membuat penentuan semoga jawatan guru asrama penuh diberikan kepada guru yang beragama Islam. Usaha itu saya lakukan hanya dengan bantuan empat insan lain, kerana kami berpendapat ramai pelajar Melayu yang tinggal di asrama ketika itu teraniaya. Kami tidak dibenarkan nasi tambah dan dimestikan keluar daripada asrama pada hari akhir sekolah. Ini amat menyulitkan, kerana pada waktu itu perjalanan bas untuk pulang ke kampung adalah amat menyulitkan. Kami bertindak itu hanya selepas negara mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 dan menggunakan nama GPMS sebagai topeng semata-mata, untuk memperkuatkan usaha sahaja.


Kami terdesak ketika itu dan tidak dapat bersabar lagi. Guru asrama kami memang zalim. Dia tidak membenarkan pelajar menikmati makanan mereka. Hanya satu pinggan nasi yang dibenarkan. Kami dikerah mengosongkan asrama di hari akhir sekolah kerana dia mahu membuat persediaan menjual segala stok barang makanan kering yang tesimpan di dalam stor. Kami berjaya dengan permintaan itu dan sejak itu kami berjaya juga mendapatkan seorang ustaz datang ke asrama mengajar Fardu Ain. Itulah cerita pada Disember 1957, yang melakar sejarah penentuan siapa yang sepatutnya menjadi guru asrama pelajar-pelajar di negara ini. Kami melaksanakan itu tanpa sebarang bantuan wang daripada parti politik. Hanya dorongan yang dilakukan oleh dua orang guru Melayu yang baru pulang daripada Brinsford dan seorang operator telefon yang mempunyai sebuah kereta Morris Minor.


Dua orang guru itulah yang membiayai kos minyak kereta yang kami gunakan untuk menemui orang kampung. Kini, mereka sudah pencen dan menjadi orang bergelar dan Allah telah memberi rezeki yang melimpah-ruah kepada mereka sehingga mereka mampu mendapatkan ijazah kedoktoran di luar negara. Operator telefon itu akhirnya menjadi seorang berpangkat tinggi dan merupakan anak Melayu pertama yang memakai kereta 'Jaguar' tanpa perlu menjadi wakil rakyat ataupun orang politik. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Apabila kami fikirkan peranan sebagai pemimpin pelajar ketika itu, tidak pun terlintas untuk melakukan kerja-keraja yang hebat seperti mengugut orang lain selama satu bulan untuk menarik balik tuntutan mereka kepada kerajaan, dan mengugut pula untuk melancarkan satu ratus tuntutan sebagai balasan. Apatah lagi untuk menghimpunkan satu ratus ribu orang Melayu untuk berarak sebagai bantahan.

Teman-teman saya menjerit kesukaan membaca ura-ura GPMS itu. Saya tanya kenapa? Mereka jawab: "Inilah baru betul......jangan setakat berdiri di atas tembok dan melaung tak tentu pasal ataupun setakat menuding jari di muka orang yang berlemah lembut....!!!!"


GPMS Terima Sokongan Padu


Mengikut lapuran akhbar, GPMS menerima sokongan padu dalam usahanya itu. Pelbagai pertubuhan dikatakan sudah pun menyokong mereka. Antaranya ialah pemandu teksi, tukang gunting, peniaga, penjaja, persatuan penduduk dan pertubuhan belia, pasukan Wira bakti Kebangsaan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Kelab cinta Malaysia. Suhaimi Ibrahim merancang untuk mengumpulkan 100,000 umat Melayu disamping mengemukakan 100 tuntutan kepada kerajaan demi kepentingan orang Melayu.

Belum pun sempat Suhaimi memanggil 200 pertubuhan Melayu menyertai perjumpaan yang akan diadakan, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) sudah pun bersedia untuk mengerah tiga juta pesilat (Sila baca: Pesaka Sedia Kerah Tiga Juta Pesilat - Mingguan Malaysia Ahad 17.12.2000) di seluruh negara untuk menyertai perhimpunan itu. Setiausaha Agong Pesaka telah dipetik sebagai berkata: "Pesilat-pesilat Melayu tidak gentar untk mempertahankan hak mereka daripada ancaman mana-mana pihak dan ini telah dibuktikan sejak sekian lama sperti memperjuangkan kemerdekaan negara. Bagi kita Suqui tidak sepatutnya mula bermain api serta sanggup menjolok sarang tabuan. Jika mereka terus berdegil, kami sedia turun padang menyertai perhimpunan paada bila-bila masa sahaja. Pesaka memandang serius sikap biadap pelampau Cina dan tidak akan memandang ringan mengenainya. Kita lihat Suqui nampak bersungguh-sungguh dan sanggup bersikap biadap terhadap Perdana Menteri dalam tuntutan mereka. Kami sedia bangkit untuk mempertahankan maruah bangsa. Kami tidak akan berdiam diri." Kepada Pesaka kita syorkan bersabar dulu dan jangan panas baran tidak menentu. Malu, orang Melayu...!!!! Jangan mudah cakap kosong kalau cakapan itu tidak berasaskan fakta. Teliti dulu segala fakta agar tidak terjebak dalam perangkap pembohongan mega.




Kalau 20,000 pesilat Melayu daripada 380 pertubuhan menyokong GPMS, bererti Suhaimi akan mampu menyediakan lebih 100,000 orang Melayu berhimpun menyanggah Suqui. Kalau 200 pertubuhan Melayu yang akan menghantar wakil turut berhimpun dan berarak itu, ini bermakna GPMS boleh mengajak sama penaja Guinness Book of Record untuk mencatatkan upacara itu sebagai terbesar di negara ini. Kalau PESAKA sedia membantu, perhimpunan GPMS itu akan menandingi 'The Million March' yang ditaja oleh Farkahan di Amerika satu ketika dulu. Ini bererti pada hari perhimpunan itu nanti, negara ini akan lumpuh selumpuhnya. Bayangkan, kalau persatuan teksi ikut serta, pergerakan teksi akan tergendala. Tukang gunting akan berhenti berniaga, penjaja akan menutup gerai mereka. Para peniaga akan menutup perniagaan mereka dan persatuan penduduk dan persatuan belia akan turut serta dan terpaksa juga bercuti daripada pekerjaan mereka. Dengan lain perkataan GPMS akan melakar satu sejarah besar di mana seluruh dunia dan negara akan lumpuh dibuatnya. Tetapi, itu semua impian sahaja dan tidak lebih daripada satu sandiwara lagi. Soalnya sekarang berapakah 'fulus' yang sudah menunggu untuk deluluskan?


Berbaloikah Itu Semua?


Saya mengajak semua rakyat yang cintakan negara ini menilai fakta ini dulu:



  1. Asal usul tuntutan Suqui bermula sebelum pilihanraya umum 1999 dulu. Ketika itu, Suqui menyerahkan satu memorandum 17 perkara (yang mengandungi 83 tuntutan) kepada Perdana Menteri. Antara tuntutan Suqui yang dianggap ekstrem (mengikut catatan U. Melayu) ialah:

    a.1 Di bawah tajuk menggalakkan perpaduan, Suqui meminta dimansuhkan perbezaan bumiputra dan bukan bumiputra dalam semua bidang;

    a.2 Demi mempertahankan Hak Asasi Manusia dan Menegakkan Keadilan, Suqui meminta dipinda Akta Kesatuan Sekerja, Akta hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Polis dan Akta Universiti dan Kolej Universiti supaya selaras dengan piawaian hak asasi manusia dan memperthankan kebebasan bercakap, perhimpunan dan persatuan;

    a.3 Di bawah tajuk Laksanakan Dasar Ekonomi yang 'ADIL', Suqui meminta diberikan bantuan secara adil dan mencukupi kepada semua sektor termasuk industri penternakan babi. Sistem kuota yang berasaskan 'kaum' hendaklah dihapuskan dan digantikan dengan sistem pengagihan yang berasaskan 'kebolehan' (means tested sliding scale);

    a.4 Dalam tuntutan Laksanakan Dasar Pendidikan yang progresif dan liberal, Suqui meminta dibatalkan rancangan Sekolah Wawasan dan hentikan perlantikan guru-guru yang tidak berkelayakan bahasa Cina untuk memgang jawatan-jawatan tinggi di sekolah rendah Cina untuk memastikan sifat dan cara pendidikan di sekolah rendah Cina tidak diubah. Kuota untuk kemasukan ke universiti pun hendaklah dihapuskan;

    a. 5 Di bawah perkara Lindungi Alam Sekitar Suqui mahu kerajaan turut mengindahkan kawasan-kawasan perkuburan dan pastikan kawasan tersebut tidak dipindah untuk tujuan pembangunan.Dalam usaha memodenisasikan dan membangunkan kampung baru, Suqui mendesak kerajaan memastikan semua penduduk perkampungan baru diberi hak milik tanah dengan segera.

    Demikianlah antara tuntutan yang dianggap ekstrem. Yang tidak ekstem itu tidak perlu dicatatkan walaupun ada tuntutan yang mengambil kira pembangunan masyarakat orang Asli.


  2. Tuntutan Suqui itu sudah pun berusia lebih satu tahun. Ia telah diladeni dengan berhemah oleh pihak BN dengan mengambil kira adanya beberapa tuntutan yang dianggap keras dan kasar. Namun, Presiden MCA telah berkata bahawa 83 tuntutan dalam 17 perkara itu boleh dibincangkan secara terbuka kerana adanya 83% di antaranya yang memang boleh dibincangkan. Kenyataaan presiden MCA itu dibuat kelmarin, besamaan satu tahun setengah selepas Perdana Menteri menerima Memorandum tersebut.

  3. Perdana Menteri telah berusaha untuk mengendurkan keadaan dengan bertemu dengan Ahli Jawatankuasa Suqui dan menyatakan betapa memorandum itu telah dibincangkan dalam kabinet untuk pertimbangan. Pada dasarnya ketika itu Tuntutan Suqui itu dianggap sebagai satu tuntutan mecekik leher kerana ia boleh menggugat kemenangan BN di pemilu November dulu. Kerana itu tuntutan itu diterima secara prinsip pada 23 September 1999. Ini bererti penerimaan itu dibuat secara prinsipnya dua bulan sebelum diisytiharkan hari penamaan calon Pemilu 1999 itu.

  4. Perdana Menteri dan juga pemimpin MCA dan Gerakan serta pucuk pimpinan UMNO tidak pun membesar-besarkan tuntutan Suqui itu untuk hampir sepuluh bulan. Ketika episod Al Maunah meledak pada awal Julai 2000, Suqui tidak pun dikaitkan dengan sikap yang diambil oleh pemimpin Al Maunah itu. Malahan, tuntutan Suqui itu berjaya diperam oleh BN ketika pilihanraya kecil di Sanggang, di Teluk Kemang dan juga di Lunas. Yang muncul di Lunas hanya konsep Sekolah Wawasan. Tuntutan Suqui tidak menjadi faktor utama, kerana Perdana Menteri pun kerap meletakkan kekalahan kepada 'Faktor Pembangkang Yang bertindak Ganas menghalau Bas Yang Membawa Pelancong?'. Bas itu sebenarnya membawa pengundi hantu, tetapi oleh kerana terkejut dan sudah semakin semput, perdana menteri mengatakan bahawa 'yang datang itu adalah para penyokong Barisan Alternatif.'

  5. Pada 31 Ogos 2000, Perdana Menteri ada membuat ucapan ulangtahun kemerdekaan negara yang bertajukkan 'Tentang Tuntutan Ekstrem'. Di sini dia ada menyentuh nama Suqui dan eloklah kita ulang-tulis sebahagian ucapan beliau itu:


    ...... "Oleh kerana ternampak seolah-olah kerajaan yang diketuai oleh orang Melayu sudah menjadi lemah maka puak ekstrem Cina yang memang pun tidak senang hati dengan kerjasama berbagai kaum di Malaysia ini sudah mula menyakitkan hati orang Melayu dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan. Tindakan mereka tidak banyak berbeza dengan tindakan Komunis dahulu yang hendak menghapuskan sama sekali kedudukan yang istimewa orang Melayu di Malaysia ini.

    "Daripada segi pendekatannya, Suqui (Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persattuan cina) ini adalah sama dengan Al Maunah, iaitu cuba menyakitkan hati orang tertentu, supaya perasaan perkauman dihidupkan semula.

    "Serangan Al Maunah dan Suqui akan merosakkan hubungan baik antara kaum yang telah diusahakan oleh kerajaan. Jika akhbar Cina yang suka menimbulkan perasaan tersalah di kalangan orang cina yang sederhana dan laman-laman fitnah yang terdapat dalam Internet yang diusahakan oleh orang Melayu, berjaya mempengaruhi kedua-dua kaum ini, maka kerjasama antara kaum akan diganti dengan konfrontasi yang akan menggugat kestabilan dan keamanan negara.

    "Saya ingin merayu kepada puak ekstremis ini, daripada kdua-dua kaum supaya menghentikan bermain dengan api perkauman. Saya juga ingin memperingati semua pihak bahawa kerajaan ini bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kemajuan negara ini. Kerajaan ini tidak takut dicemuh oleh media asing dan kuasa-kuasa besar di dunia apabila keselamatan dan keamanan dalam negara diancam. Kita tahu siapa orang asing ini. Mereka terlibat secara langsung dari dahulu sehingga sekarang dengan jenayah antarabangsa yang meragut nayawa ratusan ribu orang yang tidak berdosa dan menyiksa berjuta orang lain. Sekatan yang dikenakan oleh mereka dan tindakan mengebom sasaran tertentu oleh mereka mencabul hak asasi manusia dengan lebih teruk berbanding dengan tahanan di bawah ISA.

    "Lagipun, pertuduhan dalam mahkamah juga tidak akan menghentikan cemuhan mereka. Mereka tetap menuduh kehakiman kita berat sebelah. Sama ada kita guna ISA atau mahkamah adalah hak dan pilihan kita. Kita yang akan menjadi mangsa rusuhan, bukan mereka. Kerajaan ini tidak berminat untuk dipuji oleh orang asing. Tanggungjawab kita ialah kepada rakyat yang memilih kita, iaitu majoriti rakyat Malaysia. Pemerintahan ini akan menentukan negara ini terus stabil dan aman supaya rakyat akan hidup sempurna, supaya wang rakyat digunakan untuk membangunkan rakyat dan negara.

    "Kita akan terus memerintah mengikut undang-undang dan lunas-lunas demokrasi yang membolehkan rakyat memilih kerajaan berasaskan kepada penilaian tentang kebolehan parati-parti yang bertanding.

    "Kita akan melawan habis-habisan penyalahgunaan agama bercampu fitnah untuk membangkitkan kebencian sebagai cara memancing undi. Kita akan memelihara kesucian agama Islam dengan mengembangkan ajaran Islam yang tulen. Kita akan melawan percubaan mencetuskan rusuhan kaum melalui tuntutan yang ekstrem. Kita akan memelihara hak semua kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara kita.

    "Kita tidak akan tunduk kepada orang asing, agensi-agensi mereka dan media mereka walau apa pun tekanan yang ditujukan kepada kita dan negara kita.

    "Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka dan bebas. Pada hari kita merayakan kemerdekaan kita yang ke-43 tahun, marilah kita berbangga dengan kecapaian kita sehingga kini, marilah kita bersepadu, bumiputra dan bukan bumiputra, Melayu dan bukan Melayu, marilah kita pelihara maruah dan kehormatan kita, marilah kita berganding bahu, menguasai semua ilmu dan bekerja keras untuk memajukan bangsa, negara dan agama kita, supaya negara kita terus merdeka, bebas, berdaulat dan dihormati oleh seluruh dunia. ........."





Impak Pembohongan Besar Raja Kelentong.


Ucapan ini dibuat pada 31 Ogos, 2000. Ia mengungkit Al Maunah dan Suqui. Mengikut penelitian saya, Al Maunah dicetuskan untuk memberi oomph kepada ucapan ulangtahun kemerdekaan. Episod Al Maunah adalah penting untuk memberi satu 'buffer' kepada Mahathir menghentam Suqui. Dia tidak berani menghentam Suqui secara 'solo' kerana takutkan bahana dan reaksi balas masyarakat Cina. Kalau dia berani melakukannya tentu dia sudah membangkitkan hal Suqui itu pada ucapan Tahun Baru 2000. Lagipun dia tidak boleh melakukan hentaman terhadap Suqui kerana kabinet sudah menerima secara prinsipnya tuntutan Suqui itu pada 23 September 1999.

Mungkin ada yang terasa terusik apabila saya ulangkan bahawa Episod Al Maunah satu sandiwara. Dalam hal ini saya mengajak saudara yang terguris itu menilai semula lapuran Memali di mana jelas menunjukkan betapa pasukan yang diarah menggempur rumah Al Syahid Ibrahim Libya telah diberitahu bahawa mereka akan menggempur kem komunis. Sebelum itu mereka telah diberi jamuan sakan di mana minuman keras diagihkan secara bebas. [Sila Rujuk KM2: Rencana 3154 - Editor]

Yang paling afdal sekali buatlah lawatan ke rumah balu beliau yang ditandakan dengan tanda batu kilometer 9 sebelum Baling. Lihatlah sendiri pangkal pokok kelapa berlubang di halaman rumah itu. Perhatikan pula bagaimana Ibrahim Libya tumbang kerana serangan peluru bertalu-talu. Selepas itu pergilah ke Parit Panjang dan ziarahilah kubur yang menanamakan 13 daripada 14 insan yang tidak berdosan itu.

Setiap kali Mahathir menyebut Al Maunah, dia lupa kes Al Maunah belum pun diselesaikan oleh mahkamah. Bukankah perbuatan beliau itu satu penghinaan kepada mahkamah. Bukankah beliau mengaibkan ahli keluaraga mereka yang dituduh sebagai pengkhianat dan penderhaka negara itu. Begitu juga halnya dengan keluarga mereka yang terbunuh di Memali dulu. Kes mahkamah mereka masih tertangguh lagi.

Dalam hal ini saya sendiri pun hairan bagaimanakah PESAKA sanggup merelakan diri mereka untuk turut berdemonstrasi dengan GPMS sedangkan di mahkamah masih ada lagi satu kumpulan ahli pengamal ilmu silat yang sedang diadili? Kenapakah PESAKA tidak berbuat sesuatu untuk merengankan penderitaan ahli keluarga mereka yang dituduh itu? Adakah PESAKA melancarkan satu tabung khas mengutip derma membantu ahli keluarga Al-Maunah yang tertekan hidupnya kerana si bapa yang sudah lama terpenjara? Bagaimanakah anak-anak mereka menghadapi musim puasa dan hari raya? Bagaimana pula mereka akan menghadapi musim sekolah yang baru?

Kalau kita teliti ucapan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Pesaka Megat Dzainuddin Datuk Omar Din, kita boleh buat andaian betapa beliau tersilap congak kerana tersilap dengar, ataupun tersilap tafsir kerana tersilap terima........ maklumat.

Salah satu petua ilmu silat ialah membatu dan membisu sehinggakan pergerakan nafas pun disembunyikan untuk menilai kewujudan dan kekuatan lawan. GPMS baru sahaja berura-ura menghubungi ' 200 pertubuhan Melayu menyertai perjumpaan yang akan diadakan bulan depan...' Ini bererti gelanggang untuk berjuang belum disiapkan lagi, tetapi PESAKA sudah gelabah tak tentu diri. Kita tidak salahkan Megat Zulkarnain ini kerana dia masih muda lagi. Tetapi kita salahkan Suhaimi Ibrahim kerana sanggup membuka gelanggang yang tidak perlu. Apakah tujuan beliau membesar-besarkan satu kes yang dianggap oleh majoriti orang Cina dan penduduk Melayu sebagai satu acahan sahaja?


Bila Cina Acah Melayu Gelabah

Pada 31 Ogos 2000 di muka surat 10 Berita Harian, seorang penulis cina bernama L.C. Fang ada menulis satu artikel berjodol "Melihat Isu hak Melayu Dari Aspek Budaya." Artikel ini pernah ditulis semula oleh Mat Teropong untuk dimuatkan dalam internet. Bacalah kembali artikel yang sungguh bermakna itu. [Sila Rujuk KM2: Rencana 3430 - Editor]

Di situ kita akan faham bahawa apa yang berlaku sekarang ini adalah impak pembohongan besar yang dilakukan oleh Mahathir bin Mohammad selama ini. Dia telah memeram Laporan Tuntutan Suqui sehinggakan rakyat terutama sekali orang Melayu tidak tahu bahawa dia sudah mendapatkan persetujuan kabinet secara prinsipnya menerima segala tuntutan itu pada 23 Septermber 1999.

Pada 23 Ogos 2000 (hampir satu tahun kemudiannya) Mahathir telah membuat satu kenyataan di Maputo, Mozambique di mana dijelaskan perkara itu:

....... "Saya sudah menerima penjelasan beliau (Datuk David Chua) dan tidak mahu perkara itu dibesarkan. Saya cuma kata, lain kali jangan cakap begitu kerana ini benda sensitif.".......

David Chua ialah ahli majlis tertinggi MAPEN (II) yang dikatakan mengungkit Hak Keistimewaan Orang-Orang Melayu. Tindakannya itu telah memberi semangat kepada seorang peroksi pemimpin Melayu memanjat tembok Dewan Perhimpunan Cina dan memberikan amaran agar masyarakat Suqui tidak menjolok sarang tabuan.

Kini, peranan mengugut itu telah diambil alih oleh GPMS melalui Suhaimi Ibrahim. Dia juga sudah memberikan tempoh satu bulan untuk Suqui menarik balik tuntutan mereka. Jika tidak, GPMS akan mengemukakan 100 tuntutan sebagai balasannya kepada kerajaan.


Kalau Otak Sudah Sempit


Tindakan Suhaimi Ibrahim dan GPMS amat memalukan saya. Malahan, ramai orang melayu yang merasa malu kerana tindakan itu melambangkan betapa sempitnya seorang pemimpin pelajar Melayu di negara ini. Malahan itu juga melambangkan betapa sempit ramai pemimpin Melayu di negara ini, tidak kiralah sama ada memimpin parti politik seperti UMNO ataupun pertubuhan silat seperti PESAKA.

Inilah yang saya sebut sebagai projek hangat-hangat tahi ayam. Semalam saya lembutkan sindiran itu dengan menyebut hangat-hangat pulut panggang. Mungkin sindiran berupa nasihat tidak membawa kesan. Kali ini kita menyindir keras secara berdepan. GPMS akan diiktiraf sebagai satu kumpulan kera sumbang, seandainya Suhaimi Ibrahim melancarkan demonstrasi terhadap Suqui.



  1. Kerajaan melalui satu persidangan kabinetnya sudah pun menerima secara prinsip, tuntutan yang dikemukakan oleh Suqui;

  2. Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia telah menerima penjelasan David chua yang dikatakan sengaja diputarbelit oleh akhbar media perdana. Dia tidak pernah memperlekehkan Hak Keistimewaan melayu. Yang memperlekehkan kisah itu ialah Utusan Melayu, kerana mahu lariskan akhbar mereka, mungkin.

  3. Isu Suqui dibangkitkan semula oleh Mahathir ketika membuat ucapan Ulangtahun Kemerdekaan ke- 43 dulu. Dan dia hentam Suqui sambil dia hentam Al Maunah. Dia tuduh Suqui kerana mempunyai segi pendekataan yang sama dengan Al-Maunah, 'iaitu cuba menyakitkan hati orang tertentu, supaya perasaan perkauman dihidupkan semula'.

  4. Mahathir setuju agar kabinet menerima memorandum yang dikemukan oleh Suqui. Di waktu yang sama dia menyebut bahawa 'tindakan mereka itu tidak banyak berbeza dengan tindakan Komunis dahulu yang hendak menghapuskan sama sekali kedudukan yang istimewa orang Melayu di malaysia ini.'

  5. Mahathir mempertahankan segala bentuk undang-undang drakonian yang diperkenalkan oleh penjajah dulu. Di waktu yagn sama dia mengutuk segala bentuk penjajahan di dunia ini.


Apa yang berlaku kini, hingga membabitkan hampir 200 pertubuhan Melayu adalah satu drama terbesar sebelum Hari Raya Puasa. Suqui adalah satu gagasan yang mewakili 2,200 pertubuhan Cina di negara ini. GPMS melalui Suhaimi Ibrahim akan dapat banyak 'mileage' dalam perkara ini. Tetapi, di waktu yang sama 'mileage' yang diharapkan itu akan pupus dalam waktu yang singkat kerana faktor pulut panggang yang amat jelas dalam hal ini. Apakah Suhaimi Ibrahim fikir, masyarakat Melayu di negara ini sudah bacul sehinggakan tuntutan Suqui yang dikemukakan pada tahun yang lalu itu sesuatu yang amat berbahaya untuk dibiarkan begitu saja?


Suhaimi Ibrahim sebenarnya memalukan nama orang Melayu dengan ura-uranya itu. Pendekar tulin Melayu tidak pernah memberi amaran, dia bertindak bila perlu dan kalau diperlukan. Tindakan membuat tuntutan sehingga 100 jenis banyaknya adalah satu lelucon sahaja. Ini bererti seluruh perlembagaan negara itu perlu dirombak semula ataupun dilakukan pindaan yang besar terhadapnya.

Suhaimi sudah pun mengeluarkan kata-kata ugutan kepada masyarakat Cina dengan memberi tempoh untuk mereka meminta maaf. Ini juga gelagat Aziz Sikh satu ketika dulu. Apakah masyarakat Cina akan meminta maaf, sedangkan tuntutan mereka itu sudah diterima oleh kabinet satu tahun yang lalu.

Gelagat Suhaimi sebagai pemimpin pelajar di negara ini dan juga gelagat Aziz Sikh sebagai wakil masyarakat pemuda Melayu yang suka berpolitik adalah satu gelagat yang layak dilaksanakan dalam filem komidi sahaja. Ia tidak beralaskan hakikat hidup di bumi nyata. Ini merupakan sindrom ugut-mengugut yang diamalkan oleh UMNO selama ini. Pemimpin UMNO selalu berkata: "UMNO akan terus berkuasa kerana sokongan padu orang Melayu...." Tetapi kini, orang Melayu sudah tidak menyokong UMNO lagi.

Taktik budaya menakutkan itu sudah menjalar kepada parti komponen BN yang lain. Pada 10 Disember, menteri kesihatan, Dato Chua Ju Meng ada mengugut orang Cina dengan berkata; "Warga Cina Hilang Hak Jika Pembangkang Memerintah"

.... "Masyarakat Cina akan semakin kehilangan hak dan tidak akan dipedulikan lagi. Mereka terpaksa berhijrah ke negara lain untuk mencari penghidupan. Keadaan ini berlaku di kebanyakan negara yang menjadikan agama sebagai alat untuk menjadi parti pemerintah. Keadaan yang sama sudah berlaku di Kelantan dan Terengganu kerana banyak rakyatnya terpaksa berhijrah ke tempat lain dan hak masyarakat Cina semakin diabaikan. Di Lunas, PAS menjadi pendokong utama kepada Keadilan untuk merampas kerusi tradisi DAP sebelum ini sehingga DAP kehilangan hak untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negri itu bulan lalu".........


Oleh kerana Mahathir berbohong selalu, hampir semua pemimpin parti komponen BN pun gemar berbohong. Pembohongan besar sudah menjadi sebahagian darah daging pemimpin BN itu. Kalau kita teliti ucapan Chua itu memang jelas sangat putarbelitnya. Dia salahkan parti pembangkang kerana ramainya orang Cina yang berhijrah ke luar negara. Tetapi dia tidak pernah ungkit, sebab utama orang Cina berhijrah ke luar negara ialah masalah persekolahan anak-anak yang mampu meraih simpati insttitusi amal dan gereja besar di luar negara. Ramai orang Cina yang berhijrah ke luar negara mendapatkan stratus penduduk tetap dan tidak pula membuang kerakyataan Malaysia. Mereka lakukan ini untuk mencari peluang niaga yang lebih mudah di luar negara dan mengumpulkan harta sehingga anak-anak selesai bersekolah. Selepas itu mereka pulang balik ke Malaysia menjadi golongan yang sudah kaya raya.

Lagi satu faktor yang mendorong masyarakat Cina berhijrah ialah kemampuan untuk hidup selesa tanpa mengikut rentak budaya Cina lama. Di negara asing mereka tidak perlu membeli kereta mewah untuk ditayangkan sebagai lambang kekayaaan yang ada. Mereka tidak perlu membina rumah besar-besar sebagai lambang mereka sudah berjaya, seperti di Malaysia. Yang lebih penting lagi mereka merasa selesa dan selamat hidup di negara di mana tidak ada undang-undang drakonian serta kebebasan untuk membaca apa yang mereka suka. Chua Jui Meng mungkin mampu menipu orang Cina Muar kerana mereka adalah seperti orang Melayu juga yang lebih gemar diam membisu daripada banyak bersuara. Lagipun Cina Lunas sudah mengajar mereka apa yang perlu dilakukan satu hari nanti.

Pada keseluruhannya kita lihat, segala gembar-gembur mengenai tuntutan Suqui itu telah dijadikan satu modal besar oleh UMNO sehingga sanggup menggunakan pertubuhan Melayu lain sebagai proksi melakukan sandiwara terbaru untuk mengalihkan pandangan orang Melayu. Kita tahu perkara ini satu sandiwara lagi kerana pada hari ini Paklah sudah disebut memberi ingatan bahawa ini bukan masanya untuk retorik perkauman. Kita setuju dengan Paklah kerana hanya otak yang sempit mampu mengalihkan perhatian daripada keadaan yang semput. Bukankah itu yang dijadikan satu amaran ketika kempen Lunas bermula? Kenapakah Suhaimi Ibrahim tidak menyedarinya?


Oleh kerana terlalu kerap isu hangat disensasikan tanpa akhbar media menyorot latar belakang sesuatu isu itu, ramai pemimpin Melayu yang tidak ada nama dalam arena politik UMNO, cuba menonjolkan diri untuk menempah populariti. Mereka tidak sedar yang mereka perlekehkan ialah bangsa sendiri walaupun tujuan mereka ialah untuk mengampu seorang diktator tua yang tidak punya banyak masa lagi. Tetapi, itulah dasar dan amalan orang yang semput wibawanya sehinggakan otaknya menjadi sempit bila memikirkan perkara yang serius untuk kebaikan negara. Taktik menyanggah masyarakat Cina dengan cara memperlekehkan memorandum Kumpulan Suqui menunjukkan betapa sempitnya otak beberapa pemimpin muda di negara ini, sebenarnya. Seperti juga Mahathir, pemimpin muda seperti ini tidak ada tempat dan relevan lagi di kalangan masyarakat bangsa. Lagi cepat mereka sedar perkara ini, lebih selamat negara ini akhirnya.

-marhaintua-
18.12.2000