Laman Webantu   KM2A1: 3443 File Size: 33.1 Kb *



Siri 27 YTDT: Yang Melatih Dan Melatah
By Marhain Tua

17/12/2000 11:14 pm Sun

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 27

[Mahathir sebenarnya sedang dibayangi oleh kejatuhan sejak kecundang di Lunas. Dia berbohong lagi walaupun di bulan (Ramadhan) yang mulia ini. Dia meniup 'ruh' untuk menghidupkan dirinya yang sudah tidak bermaya itu. Mungkin kubur Cina dipinggir bukit di UPM dapat mencium tiupan itu.

Maka isu yang turun dulu itu dinaikkan semula. Umno amat memerlukan sokongan pelajar di IPTS negara kerana USM mengajar sesuatu yang cukup dahsyat di Lunas itu. Bayangkan seorang gadis muda sanggup bermusafir selama seminggu untuk berkempen bagi pihak BA dengan penuh sukarela. Siapakah gadis itu jika tidak seorang bekas pelajar yang baru menyarung 'ijazah' perjuangan untuk membebaskan negara setelah mendapat didikkan yang secukupnya di kampus. Mereka inilah yang akan menjalar dan meresapkan bisa di mana-mana dan Lunas itu adalah buktinya. Sudah tentu mereka tidak dapat dikenali, walaupun oleh editor sendiri. Jelaslah 'ruh al Arqam' itu masih hidup lagi, ia cuma tidak mempamirkan tanda seperti dulu lagi. Ia semakin meniti dari hati ke hati. - Editor ]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 27 : YANG MELATIH DAN MELATAH




YANG MELATIH DAN MELATAH

Mahathir Mohammad masih berbohong lagi. Kali ini ia melakukannya ketika dia mengadakan lawatan ke Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis membohong itu bertopengkan program berbuka puasa dengan pelajar dan bertarawikh bersama mereka. Untuk menyedapkan lagi suasana ketibaannya, diadakan juga upacara penyampaian sijil ISO MS 9001 kepada fakulti Perubatan Veterinar UPM.


Mahathir melanggar ajarannya yang menegah pembabitan pelajar dalam politik. Nampaknya kalau pembabitan mereka itu membabitkan UMNO dan BN, sebarang larangan boleh dikecualikan.

Kita ingin merakamkan beberapa pendapat Mahathir yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh Sabtu 16 Disember, 2000 untuk catatan sejarah. Pendapatnya adalah jawapan kepada beberapa soalan yang dikemukakan. Seperti yang lazim, soalan yang dikemukakan itu adalah soalan yang ditapis dulu, oleh itu jawapan Mahathir adalah satu jawapan yang sudah lama difikirkannya.


Soalan: Adakah Malaysia mampu bersaing dengan negara lain dalam konteks mendekati globalisasi mengikut lunas-lunas negara?

Jawapan: Ya, kita akui kita negara lembab. Sebab itu kita membentuk cara untuk menghadapinya. Dan kalau tak ada ilmu pengetahun, kita pinjam dari luar, bawa ke sini untuk menasihat kita. Koridor Raya Multimedia (MSC) misalnya ada panel Penasihat Antarabangsa (IAP) yang disertai orang terkenal dalam teknologi maklumat (IT) termasuk Bill Gates supaya kita tahu arah tuju dan trend baru bidang ini. Dengan memperoleh pengetahuan itu kita boleh merancang cara menguasai IT. Daripada kalangan negara membangun banyak yang mengiktiraf Malaysia sebagai pendahulu IT di rantau ini. Sebab itu kita yakin boleh menangkis usaha pihak asing untuk menguasai kita. Namun yang menjadi kekuatan kita ialah kita tidak berhutang budi dengan sesiapa. Kita mempunyai sumber kewangan sendiri dan sebab itu dapat memulih negara tanpa meminta bantuan mereka.

Kita tidak lupa di waktu kekurangan wang, kita cuba meminjam wang tetapi mereka sengaja menjatuhkan gred kita supaya terpaksa membayar faedah 15 peratus. Kepada mereka kita katakan simpan sahajalah duit itu. Kita boleh cari punca lain. Sebenarnya wang dalam negara ini pun cukup untuk memulihkan keadaan dalam negara. Kita yakin dengan kebolehan kita. Kita yakin penuh boleh menangkis sebarang usha untuk menguasai kita walaupun di era baru.

Tetapi segala-galanya bergantung kepada generasi muda sama ada mereka faham atau tidak selok-belok penjajah corak baru dan adakah mereka cukup pengetahuan untuk melawan pendekatan yang begitu canggih.



Soalan: Bagaimana sumbangan mahasiswa untuk menangani masalah perkauman dan apa peranan kerajaan menangani masalah ini?

PM: Semasa kita mencapai kemerdekaan kita sedar kemungkinan ada rusuhan kaum berlaku, sebab itu kita telah membuat satu perjanjian agar semua pihak mendapat manfaat. Dalam negara yang berbilang kaum ini tidak akan ada satu kaum pun akan dapat semua yang dituntutnya. Semua kaum perlu korbankan sedikit daripada yang dikatakan hak mereka supaya kaum lain juga dapat haknya. Kalau ada pertindihan hak sudah tentulah akan berlaku ketegangan dan pertentangan antara kaum.

Kerajaan telah berjaya menjalin hubungan baik antara kaum namun ada puak ekstremis yang selalu mahu menuntut semua untuk mereka. Umpamanya mereka menuntut hak sama rata dan meritokrasi. Kita telah lihat pelaksanaan meritokrasi di mana kaum yang ketinggalan tidak dapat dilepaskan daripada belenggu kemiskinan. Oeh itu kita mesti ambil kira kelemahan dan kekuatan sesuatu kaum. Sebab itu kita tetapkan yang kuat dan lemah saling tolong-menolong mengikut kekuatan masing-masing. Dalam pada yang kuat menolong yang lemah, yang lemah pun kalau ada kekuatan umpamanya dari segi bilangan harus bantu kaum lain.

Dengan cara itu barulah kita dapat mewujudkan perhubungan baik antara kaum. Kita telah berjaya setakat ini tetapi baru-baru ini timbul satu puak yang cuba menuntut semua untuk kaum Cina. Walaupun tidak disebut seperti itu, disebut sebaliknya untuk menyamakan semua kaum, tidak ada lagi bumiputra dan bukan bumiputra, semua kaum dapat hak sama, tidak ada kuota dan mirip diskriminasi.

Tetapi hakikatnya kalau kita amalkan apa yang dituntut itu, bukan persamaan akan dicapai tetapi perbezaan yang amat ketara. Oleh kerana itu, maka iklim negara menjadi kabur dan tegang hari ini , kerana mereka membuat tuntutan ini hubungan dengan tidak mengasingkan diri mengikut kaum. Ini berlaku di universiti sehingga cadangan kita untuk tidak mengasingkan pelajar asrama ikut kaum juga menghadapi tentangan daripada pihak yang tidak ingin ada perpaduan antara kaum.


Kalau bolehlah pelajar buat persatuan yang ahlinya terdiri daripada semua kaum dan harus ada acara yang memaksa mereka berinteraksi dengan kaum lain. Dengan cara itu barulah kita dapat menjalin hubungan baik semasa di universiti lagi. Ingatlah dunia luar tidak seperti dalam kampus. Di luar kampus, semua kaum terpaksa bercampur semasa bekerja, bermain dan berehat. Oleh itu tidak patut ada acara-acara yang sengaja untuk mengasingkan kaum-kaum tertentu sahaja.



Soalan: Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh graduan dalam menyumbang pencapaian matlamat K-Ekonomi?

PM: Bab yang pertama ialah kita tumpukan bukan sahaja belajar di universiti tetapi mencapai kecemerlangan. Kita harus tumpukan kepada bidang ini. Kalau belajar bidang lain, kita harus faham apa dia k-ekonomi, pengetahuan dan peranannya dalam zaman akan datang ini. Kalau faham, kita akan lebih mampu bersaing dengan orang lain. Maklumat adalah penting bagi mana-mana kaum, kaum yang memiliki maklumat terbanyak akan berjaya manakala kaum yang kurang maklumat akan ketinggalan.

Umpamanya, dalam peperangan, pihak yang mempunyai lebih maklumat daripada pengintip tentang apa yang dilakukan oleh musuh akan menang dan sebaliknya. Tetapi sekarang ini maklumat yang diperlukan sebelum membuat keputusan begitu banyak.

Jadi, kita perlu tahu menapis supaya maklumat yang tidak berguna dapat kita gugurkan sebaliknya guna maklumat penting untuk membuat keputusan. Dalam kegawatan ekonomi misalnya ramai tidak faham tentang cara wang diguna dalam negara kita. Saya sendiri tidak faham, saya fikir kalau ada duit Malaysia di luar negara, berbilion ringgit di Singapura, saya fikir benar duit itu ada di Singapura. Tetapi setelah saya tanya barulah saya tahu duit itu ada di Malaysia, hanya pemiliknya sahaja di Singapura.

Apabila pemilik beri arahan jual kepada orang lain hanya nama pemilik bertukar tetapi duit tidak bergerak dari Malaysia. Apabila kita tahu cara ini, bahawa duit masih ada dalam Malaysia dan untuk memindah duit itu bank perlu catitkan dalam bukunya bahawa duit itu kini dimiliki orang baru, dengan itu barulah duit itu bergerak.

Apabila kita tahu pendekatan kita agak mudah..kita arah bank supaya tidak pindah mana-mana duit itu kepada mana-mana orang. Apabila tidak dapat pindah, dengan itu dia tidak dapat jual duit kita. Disebabkan itulah maklumat itu penting kerana ramai daripada kita buat kesilapan apabila duit kita dijual dengan banyak di luar negara, kita menyekat orang yang bawa beg kononya takut dia bawa duit ke luar negara. Tidak ada wang yang dibawa, hanya angka di komputer sahaja. Sebab itu kita kena ada pengetahuan untuk sesuaikan dengan k-Ekonomi.


Soalan: Kempen menghijaukan negara. Apakah usaha kerajaan untuk mendidik rakyat secara keseluruhan supaya mementingkan alam sekitar?

PM: Proses mendidik ini bukan cara mengajar di bangku sekolah dan universiti sahaja tetapi melalui media, kenyataan pemimpin, aktiviti mereka yang mencintai alam dan sebagainya. Ini adalah proses pendidikan tetapi agak sukar untuk meyakinkan semua orang sebab ada yang lebih pentingkan pendapatan. Walaupun kita halang tebang pokok, tetapi ada orang yang tidak menitikberatkan isu itu. Dengan adanya kempen menanam pokok dengan sendirinya menyedarkan rakyat tentang pentingnya alam sekitar.


Soalan: Pandangan tentang isu kafir-mengkafir yang dikontroversikan oleh segelintir pihak.

PM: Sebenarnya ini tidak harus berlaku, tidak ada orang yang sewenang-wenangnya boleh mengkafirkan orang lain. Seorang Islam adalah Islam apabila dia mengucap dua kalimah syahadah. Yang lain dia mengakui wajib baginya kalau pun tidak laksanakan yang diwajibkan itu, dia masih Islam.

Umpamanya, kadang-kadang kita tidak dapat sembahyang, tidak menjadikan kita kafir. Tetapi jangan kata sembahyang itu tidak diperlukan dalam agama Islam, itu bertentangan dengan Islam. Sesiapa yang berkata, Nabi Muhammad s.a.w. bercukur dan sesiapa yang tidak ada pisau cukur bukan Islam, tidak betul. Sama juga satu orang yang berkata Tuhan mencarut. Dia masih Islam, dia juga sembahyang, cuma berdosa kerana mengatakan Tuhan mencarut.

Hendak mengkafirkan orang sewenang-wenangnya, ia adalah sesuatu perbuatan dilarang dalam Islam. Sesiapa yang mengkafirkan orang lain sedangkan orang itu tidak kafir, maka orang yang menuduh itu yang menjadi kafir. Ini jelas dalam ajaran Islam. Sebab itu jangan sesiapa cuba kafirkan orang lain. Untuk kafirkan orang lain mestilah ada penelitian terhadap keadaan orang itu. Apakah dia sudah menolak Allah s.w.t. dan rasulnya. Kalau dia cakap saya tidak lagi percaya kepada Tuhan dan tidak percaya Nabi Muhammad s.a.w. itu rasulnya, dengan itu dia kafir.


Tetapi tidak sewenang-wenangnya mengkafirkan hanya kerana seseorang tidak memehak kepada orang itu, orang ini dan tidak mengundi pihak tertentu. Umat Islam disuruh bersatu padu dan bersaudara. Ini suruhan paling kuat tetapi ramai yang dengan mudah menolak persaudaraan dalam Islam dan mengkafirkan umat Islam lain. Puak ini sama dengan puak Khawarij, mereka ini menuduh orang Islam kafir lantas memeranginya. Sebenarnya merekalah yang kafir kerana menuduh orang Islam lain kafir. Jadi berjaga-jagalah jangan mengkafirkan orang lain kerana kita tidak ada hak berbuat demikian.

Kini terdapat pelajar di sebuah universiti, mengedarkan poster semasa pilihan majlis perwakilan pelajar dengan menyatakan seseorang itu akan menjadi kafir jika tidak mengundi puak tertentu. Itu dosa besar. Mereka yang berkata demikian akan terima balasan di akhirat nanti. Saya harap ini tidak berlaku di UPM.



Apabila Ketua Kuat Berbohong

Seperti yang lazimnya, apabila seorang ketua kuat berbohong, perangai itu menular ka bahagian orang bawahannya. Kerana Mahathir adalah seorang pembohong besar bertaraf raja kelentong, hampir semua orang yang berada sekelilingnya pun turut kuat berbohong juga. Ketika Anwar Ibrahim ditahan dan diganyang oleh Rahim Noor, apakah yang dikatakan oleh Rahim Noor ketika disoal oleh para wartawan? Dia menjawab dengan selamba: "Oh, he is safe and sound...!" (Dia sihat-sejahtera dan selamat). Ini adalah satu pembohongan besar yang tidak boleh dimaafkan dan sepatutnya tidak dimaafkan. Tetapi, apakah denda yang diterima oleh Rahim Noor? Hanya dua bulan penjara dan denda RM2,000. Kelmarin mahkamah telah menerima rayuan Rahim Noor agar denda RM2000 itu diketepikan.

Rahim Noor hanya akan dipenjarakan selama dua bulan. Apakah dia akan merengkok dalam penjara di Kajang seperti banduan lain? Tentu tidak, dia pasti akan diberikan layanan seorang Tan Sri di mana biliknya akan dilengkapi dengan segala kemudahan seperti yang pernah dinikmati oleh Abdullah Ang. Rahim Nor adalah seorang pengampu yang begitu setia kepada Mahathir selama ini. Adalah tidak munasabah dia akan didera sepatutnya. Oleh itu biarlah kita rakamkan di sini untuk ingatan generasi akan datang; apabila Mahathir tumbang, Rahim Noor adalah salah satu insan yang pertama yang perlu dihadapkan semula ke mahkamah kerana kesalahannya terhadap Anwar Ibrahim.

Demikianlah mudahnya seorang ketua polis negara berbohong kepada rakyat sehinggakan mampu memberikan gambaran yang salah terhadap seorang insan yang mempunyai pengaruh yang besar di negara ini. Pembohongan seperti ini pernah dilakukan oleh Rahim Noor dan juga pasukan polis negara ketika mereka meminta bantuan kerajaan Thai untuk menangkap Abuya Al Arqam. Di tahap awal tuduhan mereka, kerajaan Thai enggan menerimanya kerana "tuduhan itu berasaskan bahawa Al Arqam sedang melatih satu pasukan khas untuk menjatuhkan kerajaan demokratik Malaysia." Terpaksalah Rahim Nor melakukan muslihat lain yang akhirnya berjaya melarikan Abuya Ashaari itu ke Malaysia. Mahathir mahukan Al Arqam ditumpaskan kerana takutkan pengaruh mereka. Lagipun dia termakan umpan beberapa ulama UMNO yang cuba menonjolkan diri dalam parti.

Cerita membusukkan martabat Al Arqam dilaksanakan selama lapan tahun setelah 'dalang' pihak kerajaan menyusup ke dalam pertubuhan itu. Abuya Azhari 'termakan' jarum yang dicucuk untuk memesongkan segala ajarannya secara berdikit-dikit. Tindakan itu adalah laksana sebuah kapal besar yang dialihkan haluannya sedikit demi sedikit untuk menghadapi angin. Dalam hal itu pengalihan haluan kapal Al Arqam itu dialihkan untuk dihentam badai taufan ciptaan 'Tiga Abdul Ulama UMNO'; yang melanda untuk menghancurkannya. Mahathir berjaya dalam perkara ini kerana ada golongan dalam industri eceran negara yang tidak menyenangi kecemerlangan Al Arqam. Lagipun, ramai pengeluar makanan bukan beragama Islam yang merasa tertekan dengan pengaruh mementingkan keluaran barang-makanan 'HALAL' yang diamalkan oleh Al Arqam. Mereka telah mencuba menekan pengaruh itu melalui rakan Islam projek mereka ('sleeping partners' kebanyakannya), tetapi tidak berjaya. Tersungkurlah Al Arqam di pintu tipu-helah orang Melayu juga.

Pergerakan Al Arqam masih hidup lagi kerana diteruskan oleh kumpulan yang masih bertaqwa kepada Allah, walaupun pakaian serba hijau mereka itu sudah mereka simpan. Tetapi, Mahathir masih lagi dihantui warna hijau sehinggakan dia tidak mahu apa-apa juga yang ada kena mengena dengan warna hijau itu ditonjolkan. Kali ini, sasarannya bukan lagi Al Arqam, tetapi PAS. Alangkah bodohnya sikap itu, kerana warna hijau adalah warna rasmi masyarakat Islam. Dengan memperlekehkan warna hijau, Mahathir dan para juaknya sanggup memperlekehkan keagongan agama Islam juga.


Mahathir Yang Tidak Relevan Lagi.

Mahathir sanggup membincangkan perkara yang remeh-temeh sambil berbohong semata-mata untuk terus berkuasa. Demikianlah penerangan beliau kepada pelajar universiti mengenai hutang negara. Dia sanggup berkata Malaysia tidak meminjam dari luar kerana faedah yang tinggi. Dia lupa untuk memberitahu ketika Petronas menjual bon-bon dengan kadar premium yang tinggi, Petronas bercadang menjual bon sehingga bernilai Tiga Bilion Dollar. Sayangnya, tawaran itu tidak diterima oleh pasaran luar seluruhnya. Mereka terpaksa pulang dengan hampanya dan Mahathir terpaksa pula memikirkan cerita karut untuk membohongi rakyat lagi.

Ketika Mahathir cuba menyelesaikan masalah ekonomi negara dulu, dia sengaja tidak berani menerima bantuan IMF dan Bank Dunia. Dia ketakutan bahawa semua syarikat yang dipunyai oleh anak-anaknya akan terdedah. Seperti yang berlaku di Indonesia, syarat utama IMF dan bank Dunia membantu ialah penutupan beberapa bank dan syarikat yang dipunyai oleh anak-anak Suharto dan para kroninya. Mahathir sudah nampak bahana prasyarat itu dan menolak cadangan mereka. Tetapi, apakah yang dicakapkannya kepada seluruh dunia luar dan juga rakyat negara ini? Dia mahu laksanakan proses pemulihan ekonomi mengikut acuan dan formula sendiri. Sebenarnya ketika itu dia terlalu tertekan kerana takut rakyat bangkit menghumbankannya kerana kebiadapan menghina Saudara Anwar Ibrahim.

Di UPM Mahathir mengaku betapa cetek pengetahuannya dengan Teori Kewangan kerana dia baru sedar bahawa wang tidak bergerak (seperti yang pernah saya tulis beberapa kali dalam siri ini). Oleh kerana dia baru sedar akan ilmu pengetahuan ini barulah dia sanggup mengaku. Tetapi, bayangkan sendiri bagaimana para menterinya sanggup membawa keluar banyak wang secara fisikal, sedangkan mereka mentadbir negeri dan negara? Kalau mereka tidak memahami Teori Kewangan ini bagaimanakah mereka mentadbir ekonomi yang berpaksikan peruntukan wang yang banyak? Ini adalah satu bukti yang sah betapa Mahathir terlalu suka sangat berbohong sehinggakan dia sanggup menggadaikan masa depan negara ini.

Mahathir mampu berbohong besar, kerana rakyat negara ini secara keseluruhannya tidak mampu membayangkan berapa banyakkah sebenarnya wang yang bernilai RM1 juta? Apakah bezanya dengan wang yang bernilai Dua bilion setengah yang digunakan untuk mendirikan Menara Kembar Petronas itu? Ketidakupayaan rakyat secara keseluruhannya mengetahui kuasa pembelian yang ada pada wang negara ini (The purchasing Power of Money) makanya Mahathir mudah sangat menipu dan berbohong.


Mahathir mudah membohong UMNO khasnya dan rakyat marhaen amnya, kerana dia sedar rakyat negara ini memang tidak berapa arif dengan kuasa pembelian secara pukal. Kerana itu kita lihat kenaikan harga barang dibiarkan sahaja tanpa banyak tentangan daripada rakyat. Contohnya, telur asin yang dijual mentah dengan harga 0.25 sen kini dijual di restoren dengan harga satu ringgit, setelah diebus. Para pelanggan masih sanggup membelinya. Sekeping tahu goreng yang dibelah dan dijadikan 'tahu-sumbat' kini dijual di restoren sederhana dengan harga tiga puluh sen sebelah. Tetapi di pasar borong, harga sekeping tidak lebih daripada sepuluh sen.

Di Melaka satu ketika dulu, satu botol kecil cencaluk boleh dibeli dengan harga kurang daripada dua ringgit. Kini, botolnya dikecilkan sehingga isinya setengah sahaja dan dijual di luar kawasan Melaka dengan harga dua kali ganda. Kerana itu, di rancangan tanah negara ini sekarang, para petani yang tidak menerima bantuan daripada anak-anak yang bekerja di pekan dan bandar merasa sangat betapa tertekan hidup mereka. Semakin ramai yang berbalik dengan cara kehidupan lama di mana mereka memakan nasi dengan berlaukkan bawang dan ikan bilis mentah yang direndam dengan kicap sehaja. Di bandar-bandar pula, keluarga Melayu yang baru berumah tangga masih tercungap-cungap untuk hidup selesa secara berjimat kerana setiap bulan masih perlu mengirimkan wang ke kampung untuk membantu.



Pembohongan Menjadi Agenda Besar

Mahathir menjadikan 'pembohongan' sebagai satu agenda besar setiap kali dia bersemuka dengan rakyat. Mahathir sudah tidak relevan tetapi dia tidak menyedarinya. Dia sanggup menghabiskan masa dan wang rakyat kepada upacara yang remeh-temeh untuk berbohong lagi. Pada minggu yang lalu dia menaja majlis berbuka puasa dengan kumpulan yang disebut sebagai bekas ahli PAS Terengganu. Mungkin Mahathir diberikan nasihat yang salah ataupun dia sendiri mempunyai otak yang sudah banyak berubah. Apa gunanya berfalsafah dengan golongan ini kerana mereka sudah tinggalkan PAS dengan kerelaan hati. Lainlah kalau mereka memegang jawatan dalam PAS (ataupun parti pembangkang yang lain dalam Barisan Rakyat) yang boleh dipancing dan diputarkan minda agar berubah untuk masuk UMNO. Tindakan Mahathir dan para pemimpin UMNO seperti itu memberikan gambaran bahawa Mahathir sudah tidak relevan lagi dalam pucuk kepimpinan negara ini. Gelagat seperti itu dianggap sebagai satu petanda oleh pelabur asing untuk menjauhkan diri daripada pasaran di Malaysia ini.

Rakyat sedar kini, betapa Mahathir dan banyak lagi pemimpin UMNO yang sudah menyimpang jauh daripada ikrar mereka untuk memajukan negara dan bangsa. Pembohongan sudah menjadi satu agenda yang paling besar kepada Mahathir. Oleh kerana terlalu galaknya UMNO dan Mahathir berbohong kepada rakyat, tidak ada satu isu baru yang tidak dicurigai oleh rakyat marhaen. Apa pun yang cuba ditonjolkan oleh para pemimpin UMNO dan BN diterima oleh rakyat marhaen dengan sinis. Kerana itu, isu hangat ditonjolkan secara berganti laksana pulut panggang yang boleh dibau keharumannya ketika dihangatkan. Hilang panasnya, hilanglah baunya dan hilanglah selera para pembelinya. Begitulah yang terjadi kepada Mahathir, dan juga kepada pucuk kepimpinan UMNO yang diarah untuk meniru cara kepimpinannya. Mereka suka mengambil jalan mudah menipu rakyat dengan isu hangat yang tidak membawa banyak makna. Mahathir sudah kerap melatah dan kini melatih pemimpin kanan UMNO yang lain untuk melatah sama.

Sepatutnya Mahathir dan pemimpin UMNO fikirkan masalah yang menghimpit orang Melayu. Di bandar-bandar masih ramai keluarga Melayu yang tidak mampu menggunakan peti-ais, kerana memberikan keutamaan kepada pelajaran anak-anak yang semakin tinggi. Di kampung ramai keluarga yang bertambah miskin kerana kurang sokongan daripada anak-anak yang berhijrah ke bandar.

Cuba perhatikan apakah isu hangat yang pernah ditaja oleh Mahathir dan kerajaannya sejak kempen pilihanraya Lunas dulu:



  1. Rakyat diingatkan agar memilih BN untuk menjamin masa depan mereka. Tetapi, diwaktu yang sama Allah menurunkan hujan hingga banjir melanda Kedah dan meranapkan industri padi terutama sekali di Kubang Pasu. Apakah para petani di sana sudah diberikan pampasan secukupnya untuk mereka mengahadapi lebaran hari raya puasa? Kini, petani di Selangor merungut kerana harga padi yang dikurangkan kerana Bernas sudah melakukan pengimpotan beras daripada luar negara. Kesannya, stok padi di kilang turut bertambah dan menjejaskan pendapatan para pesawarh. Kini rakyat baru sedar selama ini pengagihan beras percuma oleh Bernas kepada bakal pengundi adalah beras yang diimpot dan menjejaskan simpanan matawang asing kita juga.

  2. Berpuluh bas yang membawa pengundi hantu cuba diseludupkan ke kawasan Lunas untuk memangkah calon BN. Mereka disekat dan ditangkap. Apakah yang disebut oleh Mahathir dalam hal ini? 'Pembangkang sengaja cetuskan huru-hara dan bertindak ganas menyekat penyokong BN masuk ke Lunas.'

  3. Sebaik sahaja selesai pengundian di Lunas, perbicaraan kumpulan Al Maunah disambung semula. Inilah kumpulan yang dituduh sebagai penderhaka dan bertanggung jawab membunuh dua orang pegawai kerajaan. Dulu, Mahathir menuduh mereka sebagai penderhaka dan musuh negara. Kini, yang mengaku salah, dikenakan hukuman penjara sahaja. Apakah ini cara menghukum penjarah negara? Bukankah tindakan kerajaan itu memberi gambaran bahawa yang dihukum itu merupakan pelakon utama dalam sandiwara kerajaan di Sauk itu?

  4. Menyedari rakyat mempertikaikan hukuman ringan terhadap kumpulan Al Maunah, dicetuskan pula kisah Mahfuz Omar dan penyokongnya mahu melancarkan 'intifada'. Mahfuz diberikan gelaran sebagai Wira Palestin bukannya oleh orang PAS tetapi oleh orang upahan UMNO. Demikianlah takutnya Mahathir terhadap Mahfuz kerana dia dianggap lebih berwibawa daripada Ketua Permuda UMNO, sehinggakan hari pilihanraya kecil Lunas pun mengambil kira tempoh Mahfuz merelakan dirinya untuk dipenjara.

    Tetapi, segala tohmahan terhadap Mahfuz dan sahabatnya Salahuddin Ayub dan Pak Amjal itu adalah satu pembohongan juga. Kalau Mahfuz mahu lancarkan gerakan intifada, tentu dia tidak menunggu selepas dia keluar penjara. Dia boleh lakukan ketika Mahathir mengumumkan penggunaan bom molotov dan taktik ganas oleh pihak pembangkang pada awal tahun ini. Pembohongan akan tercetusnya 'intifada' itu dirancang begitu jitu sehinggakan Paklah dan Najib menjadikan kisah itu sebagai tema ucapan mereka dan Senator Zainuddin Maidin pula memilih perkara yang sama secara sindiran di Dewan Negara.

    Kita dapat rasakan betapa Mahathir dan UMNO mahu memperli Mahfuz kerana risaukan munculnya kembali isu perdebatan di antara Mahfuz dengan Hishamuddin Hussein. Semua orang tahu, apakah tahap kepintaran Hisham kalau dia berdebat dengan Mahfuz. Semua orang juga sedar bahawa perdebatan itu akan membogelkan perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO secara keseluruhannya. Kalau kita lihat masalah yang dicetuskan sekarang untuk menggugat masyarakat Cina, masalah yang dikaitkan kepada Suqui menjadi satu masalah besar.


  5. Kini, Mahathir mahukan MCA dan Gerakan memujuk Suqui membatalkan tuntuan mereka. Tetapi, siapakah yang dulu lagi bersungguh-sungguh menerima tuntutan Suqui itu kalau bukan Mahathir sendiri. Malahan, sebagai penyedapnya bukankah Mahathir sendiri yang meramalkan betapa satu hari nanti Perdana Menteri Malaysia akan datang daripada kaum Cina? Suqui dan juga persatuan Cina yang lain ditonjolkan semula apabila ada tentangan terhadap konsep Sekolah Wawasan. Disebabkan muncul tentangan itu, Mahathir sanggup menuduh Suqui sebagai setaraf dengan Al Maunah dan komunis. Tetapi, Suqui tidak menolak Sekolah Wawasan itu secara mutlak. Dia cuma kata, mahu penjelasan yang lebih lanjut. Tetapi penjelasan itu tidak muncul. Kerajaan hanya memaparkan di akhbar dan TV rakaman orang Malaysia yang menyokong Sekolah Wawasan itu. Tetapi, apakah mereka itu faham betul-betul akan konsep Sekolah Wawasan ? Kalau kita tanya mereka mengenai Sekolah Bistari pun mungkin ramai yang tidak faham, kerana itulah konsep sekolah yang ditaja oleh Najib dulu. Konsep Sekolah Wawasan adalah satu konsep baru untuk menggantikan Sekolah Bistari. Kenapakah Sekolah Bistari dibantutkan?

    Keceluparan Mahathir menuduh yang bukan-bukan terhadap masyarakat Cina adalah satu taktik untuk meraih sokongan orang Melayu terhadap UMNO. Mahathir tidak sedar, orang Melayu sudah meluat dengannya. Lagipun sudah semakin ramai anak-anak Melayu yang belajar di sekolah Cina dan memberikan maklum balas betapa mereka selesa dan gembira dengan pendidikan di sana. Dengan lain perkataan, ramai rakyat marhaen Melayu yang sudah lebih dulu mempraktikkan konsep Sekolah Wawasan atas usaha sendiri, tanpa menunggukan usaha kerajaan. Apabila Mahathir menuduh Suqui sebagai komunis dan setaraf dengan Al Maunah, tentu sekali tuduhan itu turut memalukan golongan Melayu yang menghantar anak-anak belajar di Sekolah Cina, selama ini.



Demikianlah proses Mahathir membohong setiap hari. Dia fikir dia mampu menipu lebih lama lagi. Dia sanggup sebut nama orang asing seperti Bill Gates semata-mata untuk melakukan projek Multimedia Super Corridor sedangkan semua orang tahu, kalau Bill Gates betul-betul setuju menyokongnya, tentulah Bill Gates sudah pindahkan pejabat wilayah Microsoft di Singapura ke kawasan MSC itu. Sebaliknya kita lihat Sun Computers yang merupakan satu lagi syarikat yang besar di dunia sudah mengalihkan pejabat wilayah mereka daripada Malaysia ke Singapura.

Begitu juga mengenai hubungan rasmi di antara Malaysia dengan Israel yang dinafikan oleh Mahathir. Kalau tidak mahukan hubungan rasmi kenapakah beliau menulis surat-tahniah kepada Ehud Barak? Kenapakah Mahathir merestui pemergian Tengku Abdullah ke Israel sebagai wakil proksi beliau. Kenapakah beliau izinkan Hamid Albar berbincang dengan menteri luar Israel? Kenapakah Malaysia membeli kelengkapan perang daripada Afrika Selatan, kerana semua syarikat pengeluar kelengkapan perang di situ adalah syarikat yang dipunyai sepenuhnya oleh Kerajaan Israel? Mahathir sudah biut dan mahu rakyat turut biut juga?



Ekonomi Malaysia Yang Semakin Genting

Kesan daripada pembohongan yang menjela-jela itu, negara ini tidak mempunyai agenda lain yang mengambil kira kesempitan hidup rakyat marhaen. Setiap hari Mahathir dan pucuk pimpinan UMNO berhadapan dengan rakyat mereka hanya bercakap bohong. Kalau tidak ada pembohongan baru, mereka akan membesarkan dan buat kerja-kerja 'refresh' terhadap cerita bohong lama. Inilah yang jelas berlaku setiap kali Mahahtir bertemu dengan rakyat. Di UPM dia bercerita mengenai apa yang pernah dicakapkannya sejak dua tahun lalu di luar negara. Itu juga yang diceritakannya kepada negara Afrika dalam tajuk 'bagaimana dia menyelamatkan Malaysia tanpa bantuan Bank Dunia.'

Cerita pembohongan memang isu menarik di mana saja. Itu sebabnya di zaman dulu, orang yang bergelar penglipur lara dan juga khadam istana mempunyai peranan yang besar dalam sejarah bangsa. Begitu juga dengan orang yang bergelar tukang-karang dan tukang-karut. Mereka pun mendapat tempat yang baik dalam masyarakat Melayu. Kini, bilangan orang semacam itu sudah semakin pupus. Tempat mereka telah digantikan oleh ramai pemimpin UMNO. Raja segala penglipur lara, khadam istana, tukang karang dan tukang karut itu adalah seorang insan yang juga bergelar dengan nama Raja Kelentong. Oleh kerana pintarnya Mahathir berbohong, dia mampu memainkan peranan lima watak yang disebutkan itu dalam setiap waktu.

Pembohongan yang dicerna oleh Raja kelentong ini mampu melalaikan anak bangsa terhadap peranan mereka untuk melayari hidup yang semakin terhimpit ini. Oleh kerana mereka diasak dengan segala pembohongan itu, makanya mereka tidak sedar akan keadaan kehidupan sebenar yang semakin berubah dan semakin merumitkan. Kerana itu apabila Raja Kelentong menyekat kebebasan akhbar dan berhimpun secara aman, rakyat akur saja.


Sikap mudah setuju terhadap sekatan-sekatan kebebasan itu merupakan satu kepintaran Mahathir dan para juaknya. Tetapi, tipu muslihat begitu tidak boleh bertahan lama. Kini, semakin ramai rakyat marhaen sedar, betapa mereka semakin kehilangan kebebasan untuk hidup selesa di negara sendiri. Harga barang makan semakin naik, harga komoditi penting dalam negara semakin mahal dan mereka semakin terdesak untuk begerak bebas disebabkan harga tol yang tinggi.

Oleh kerana tekanan itu berpanjangan dan dilakukan bertubi-tubi, rakyat marhaen sudah semakin bingung dengan cara hidup mereka. Kadar sara hidup semakin mencengkam, tetapi kepada siapakah mereka boleh mengadu? Setiap kali mereka bersua dengan Mahathir dan para pemimpin BN, mereka diberitahu agar tahu bersyukyur kepada apa yang diizinkan di negara ini. Mereka diingatkan agar waspada dengan orang asing. Malahan mereka diberitahu untuk pergi keluar negara dan hidup di sana kalau tidak puas hati hidup di negara ini.

Demikianlah taktik yang digunakan oleh Mahathir untuk mengkucar-kacirkan minda rakyat marhaen. Inilah taktik memujuk, memuji, mengugut dan memaksa yang dilakukannya secara bersahaja dan diselang-selikannya dengan segala bentuk pembohongan yang dirancangnya terhadap rakyat marhaen. Mahathir dan pemimpin BN yang lain, harus sedar bahawa tabiat berbohong ini sudah sampai ke kemuncaknya. Satu ketika dulu ia boleh dipercayai rakyat kerana ada unsur-unsur putaran minda dan silap mata. Kini, unsur-unsur itu semakin tumpul dan sudah tidak berbisa.

Keresahan rakyat menjadi intipan pelabur asing. Semakin ramai yang menarik pelaburan mereka dan meminggirkan Malaysia. Beberapa syarikat tersenarai di BSKL yang tenat disebabkan hutang bertapuk sedang dihukum oleh para pelabur. Inilah yang akan menjadi bahan utama menyedarkan rakyat untuk menghukum Mahathir. Mahathir dan UMNO sedang menggelupur mencari sokongan Melayu dengan memainkan isu perkauman membabitkan kaum Cina. Rakyat semakin bersedia dan akan bertindak menunggu masa bila Mahathir akan pergi - secara sukarela ataupun secara yang akan mengaibkan dirinya dan keluarganya begitu teruk sekali.


-Marhaintua-
15.12.2000