Laman Webantu   KM2A1: 3439 File Size: 20.4 Kb *



BG: Perbahasan Putrajaya Jadi WP di Parlimen.
By Dr Tan Seng Giaw

17/12/2000 4:24 pm Sun

Perbahasan Parliament untuk menjadikan Putrajaya Wilayah Persekutuan

Ucapan Dr Tan Seng Giaw, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang meminda Perlembagaan Persekutuan 2000 di Dewan Rakyat pada 11 Disember 2000.

Kerajaan Persekutuan haruslah lebih telus dan bertanggungjawab (akauntabel) di dalam pembangunan Putrajaya dan kawasan-kawasan sekitarnya termasuk Multimedia Super Corridor, MSC.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya bangun untuk mengambil kesempatan dalam perbahasan ini. Yang pertamanya, saya berasa gembira kerana (dengan) hadirnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Dato ' Seri Dr Mahathir Mohamad), kita dapat peluang untuk bertemu dengan hampir semua menteri. Syabaslah betul [Ketawa][Sorak]. Saya pernah mencadangkan supaya untuk (mendapat) senario ini Yang Amat Berhormat datang ke Dewan mungkin dua kali seminggu. Kalau sibuk, tiap-tiap kali 10 hingga 15 minit pun cukup. Ini memang satu amalan yang baik untuk menjawab soalan.

Dato ' Haji Azmi Bin Khalid [Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli Parlimen Padang Besar]: Boleh saya

Timbalan Yang di-Pertua [Dato ' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ada yang berdiri Yang Berhormat.

Dr Tan Seng Giaw: Tidak boleh? Kalau saya puji pun tidak boleh?

Dato ' Haji Azmi bin Khalid: Bukan, saya hendak tanya, kami beberapa orang menteri pernah datang ke Dewan untuk menjawab soalan daripada pembangkang, tetapi banyak kali pembangkang yang sepatutnya ada dalam Dewan tidak ada. [Tepuk] Banyak kali. Bermakna pembangkang begitu juga.

Dr Tan Seng Giaw: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat bagi Padang Besar memang hadir dengan kerap kali, saya nampak. Itu baik, amalan baik. Sungai Siput pun (Dato ' Seri S. Samy Velu) [Ketawa] dan kadang kala Pekan pun ada. Itu satu amalan baik. Cuma, kalau kata pihak pembangkang tidak ada, itu tidak benar. [Ketawa]. Pihak Barisan Nasional kadang-kala pun tidak ada juga. Kalau ada yang keluar untuk minum teh, itu bukan tidak hadir.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato ' Haji Muhamad bin Abdullah]: Terus, terus (membahas) undang-undang Yang Berhormat.

Dr Tan Seng Giaw: Tuan Yang di-Pertua, cuma saya sebutkan tadi kalau Yang Amat Berhormat datang pada tiap-tiap sesi Parlimen, dua kali seminggu kalau tidak sibuklah, kalau tidak keluar negara, 15 minit cukup dah. Kita boleh menyaksikan kereta-kereta di pekarangan Parlimen ini penuh. Seronok saya tenguk. [Ketawa].

Tuan Yang di-Pertua,

Pada awal 70-an semasa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, satu rang undang-undang sudah dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini untuk menjadikan Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan. Kemudian, ada satu rang undang-undang untuk Labuan dan hari ini kita ada rang undang-undang untuk Putrajaya. Sebenarnya, Janda Baiklah (di Pahang) patut jadi Putrajaya. Pada tahun 80-an, ada ura-ura terutamanya daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri sejurus selepas beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, saya nampak beliau berminat dengan Janda Baik.

Seorang Ahli: Janda yang baik.

Dr Tan Seng Giaw: Janda yang baik. Memang. [Ketawa]. Dengan itu, ada orang yang kejar ke situ untuk membeli tanah dan kalau tidak silap saya masih ada pegawai-pegawai ataupun menteri mungkin yang ada tanah di Janda Baik. Tetapi, kerana faktor-faktor yang tertentu (tidak payah disebut di sini), projek itu dibatalkan sama sekali dan sekarang kita ada Putrajaya (di Sepang). Konsep ini bukan satu konsep yang tidak baik, memang baik. Kuala Lumpur (yang mempunyai) kawasan yang terhad, kalau semua aktiviti pentadbiran, perniagaan dan perdagangan ada di sini pun memang tidak baik. Kuala Lumpur tidak boleh menampung semua. Kalau kita kira zaman sekarang, Putrajaya ini dekat juga, tidak jauh. Memang satu konsep yang baik

RM 3 atau 5 bilion untuk Putrajaya?

Ada beberapa soalan. Yang pertamanya, saya diberitahu pada peringkat yang awal RM 3 bilion akan dibelanjakan. Dan ada yang sebutkan jumlah yang akan dibelanjakan RM 5 bilion. Saya tidak tahu jumlah yang sebenarnya. Kita bukan berminat dengan Putrajaya sahaja, (bahkan) dengan seluruh Multimedia Super Corridor, MSC, yang meliputi Putrajaya, Menara Berkembar Petronas dan KLIA. Jumlah yang akan dibelanjakan oleh Kerajaan mungkin mencecah RM 15 bilion. Ini (adalah) satu angka yang begitu besar untuk negara ini. Moga-moga, kita dapat faedah dan negara akan maju.

500 projek di Putrajaya

Saya tidak faham macam mana jumlah projek mungkin 500 di Putrajaya diagihkan kepada pihak pemaju ataupun konsortium. Adakah benar bahawa ini dibahagikan kepada fasa satu, fasa dua, fasa tiga? Misalnya, fasa satu diberikan kepada Hong Leong dan fasa dua dan fasa tiga dan setrusnya diberikan kepada konsortium-konsortium yang lain. Macam mana kita membahagikan projek-projek ini untuk dimajukan sebab tidak ada ketelusan yang cukup, banyak yang khuatir mungkin ada pembaziran, mungkin ada diagihkan kepada segelintir orang sahaja. Saya pun tidak tahu apa sebenarnya di dalam perkara untuk melantikkan konsortium-konsortium memajukan Putrajaya.

Yang Amat Berhormat, silalah mengumumkan kepada kita semua, apakah reka bentuk misalnya bangunan pentadbiran, masjid dan lain-lain. Kalau kita tengok kenyataan Yang (Amat) Berhormat sendiri, katanya inilah satu bukti yang menunjukkan kemerdekaan Malaysia untuk mempunyai architecture yang unik bagi Malaysia, untuk menunjukkan mercu tanda Malaysia yang begitu unik, yang begitu baik dan saya nampak daripada luar seperti Palais de Nation di Switzerland, di Geneva. Saya nampak daripada luar macam itu. [Ketawa]. Mungkin salah satu reka bentuk itu (berasal daripada) pihak pakar (yang) sudah menengok Palais di Nation dan kita ada banyak aspek dan sifat yang merupakan bangunan yang saya sebutkan di Geneva itu. Walau bagaimanapun (di) bangunan untuk (Pertubuhan) Bangsa Bangsa Bersatu di Geneva ini ada banyak perbincangan ataupun konferensi yang penting yang pernah diadakan dalam (tempoh) lebih 50 tahun ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya tadi ada dengar ucapan Yang amat Berhormat mengenai penerusan undang-undang yang sedia ada. Dengan adanya Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan, adakah ini bermakna kalau ikut rang undang-undang ini segala undang-undang bertulis termasuk undang-undang yang dinyatakan dalam Seksyen 51 selain undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor yang sedia ada berkuatkuasa di dalam kawasan yang diperihalkan dalam Seksyen 2 sebaik sebelum permulaan kuat kuasa akta ini hendaklah terus berkuatkuasa di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya. Adakah ini bermakna segala undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri akan terus diguna pakai di kawasan Putrajaya. Ini memang berterusan undang-undang yang sedia ada. Ini memang satu perkara yang dibangkitkan oleh Yang Amat Berhormat tadi. Dan Yang Amat Berhormat, saya juga (mendapat) tahu (daripada kenyataan) setengah-setengah orang semasa sebelum perjanjian ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Pusat pada 7 November 2000 itu, pihak kerajaan tidak ada musyawarah atau perbincangan dengan pihak-pihak yang tertentu dari negeri Selangor.

Perlu musyawarah

Dan saya berpendapat (Putrajaya menjadi Wialayah Persekutuan) ini bukan satu perkara (yang) kita perlu segerakan dengan adakan rang undang-undang begitu cepat. Mungkin kita boleh tunggu enam bulan ataupun satu tahun dan kita bincangkan dengan semua pihak di negeri Selangor, apakah pendapat mereka mengenai wilayah ini dijadikan Wilayah Persekutuan walaupun saya sendiri percaya dengan adanya Putrjaya ini nescaya wilayah ini akan dijadikan Wilayah Persekutuan. Itu satu perkara yang tidak boleh dielakkan. Walau bagaimanapun mengapa Yang Amat Berhormat tidak adakan perbincangan. Maklumlah dengan zaman yang moden, zaman k-ekonomi dan zaman Internet dan globalisasi ini kita perlu adakan perbincangan dan musyawarah dengan lebih terbuka, yang lebih mengambil masa untuk menentukan majoriti bersetuju dengan apa yang dibuat dengan membentangkan Rang Undang-Undang hari ini.

Dan saya nampak Yang Amat Berhormat walaupun Kerajaan ataupun Yang Amat Berhormat sendiri katakan pihak pembangkang memfitnah dan sebagainya, tetapi kita tidak adakan musyawarah dan sebagainya, itu apa yang disebutkan sebagai fitnah itu akan berkesan. Kalau kita terus terang mengatakan apakah sebenarnya berlaku dengan Putrajaya dengan hasrat untuk menjadikan Wilayah Persekutuan, memang majoriti itu akan faham sedikit sebanyak kalau kenyataan itu benarlah. Walau bagaimanapun kita adakan Internet dan media-media seluruhnya, kalau hakikat dan kenyataan lama-lama orang akan tahu. Itu benar. Itu bukan bohong punya. Memang begitu, kita tidak boleh membohong untuk selama-lamanya. Tidak boleh. Dan ini memang satu

Timbalan Yang di-Pertua [Datu ' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya, teruskan Yang Berhormat. Jangan pandang belakang, Yang Berhormat, tidak kena-mengena.

Imbang kependuduk Putrajaya

Dr Tan Seng Giaw: Dan satu perkara lagi dengan Putrajaya akan menjadi kawasan Parlimen dan saya nampak sekarang ada mungkin lebih 700 keluarga sudah mendiami Putrajaya. Dan kalau tidak silap saya mungkin pihak Kerajaan akan terus membangun Putrajaya sehingga mencapai, mendapat, mungkin 10 ribu keluarga atau 50 ribu keluarga di situ. Dan bolehkah Yang (Amat) Berhormat terangkan apakah konsep dan dasar Kerajaan untuk penduduk-penduduk di Putrajaya. Adakah Putrajaya akan menjadi hanya satu kawasan untuk kakitangan kerajaan sahaja. Ataupun 30% akan diberi kepada pihak yang lain untuk mendiami kawasan itu. Dan kalau ikut trend sekarang, mungkin satu bandaraya untuk kakitangan, untuk keluarga kerajaan sahaja, tidak ada orang yang lain. Dan kita perlulah tahu, apakah kita akan buat untuk menyeimbangkan kependudukan di Putrjaya itu.

Para spekulator rakus

Seterusnya, saya hendak menyeru supaya kita berhati-hati. Saya nampak ada banyak spekulator dan banyak petualang mengambil kesempatan seperti dengan (apa yang) saya sebutkan (mengenai) Janda Baik. Bila kita dengar ura-ura (projek Putrajaya), ada orang kejar (ke situ) untuk membeli tanah di Putrajaya dan di kampung-kampung di sekitarnya termasuk Kampung Sungai Merab dan kawasan-kawasan yang sekitarnya. Memang ada orang yang mengambil kesempatan. Dan di sini saya sering dengar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada kata para spekulator yang rakus di peringkat antarabangsa yang menjatuhkan mata wang kita kerana kelemahan architecture kewangan antarabangsa. Dan di sini, kita mestilah juga menjaga spekulator-spekulator ini supaya tidak merosakkan kawasan-kawasan bukan sahaja Putrajaya, (bahkan kawasan-kawasan) di sekitarnya. Memang dengan Putrajaya dijadikan pusat pentadbiran negara, kawasan-kawasan sekitarnya akan membangun. Dan saya meramalkan bahawa jalan ke KLIA dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan penuh dengan bangunan di sekitarnya. Memang itu satu trend dan kita perlulah memastikan semua spekulator atau petualang-petualang tidak akan berjaya untuk merosakkan semua yang ada di kawasan itu.

Mengenai harga tanah. Saya nampak harga tanah di kawasan Putrajaya dan sekitarnya telah meningkat dengan banyak dan kalau kita hendak beli sebuah banglo kalau kita ada RM 300 ribu atau RM 400 ribu sudah tida boleh (membeli) sekarang dan mungkin akan menjadi seperti Singapura ataupun Hong Kong. Satu banglo berpuluh juta ringit, dan Yang Amat Berhormat atau menteri dalam Jabatan Perdana Menteri pernah mengatakan pada tahun 2020 satu hektar tanah di Putrajaya akan mencecah RM 200 juta. Memang satu harga yang sangat tinggi. Saya berharap Yang Amat Berhormat dapat mengkaji semua ini kerana trend kalau terlalu mahal pun tidak guna juga. Kita mesti ada satu mekanisme untuk mengawalkan semua ini. Kalau tidak, habislah semua. Harga yang begitu tinggi, orang miskin macam mana ada peluang untuk mendiami kawasan-kawasan yang hampir dengan Putrajaya.

Saya percaya ini bukanlah hasrat Yang Amat Berhormat untuk mengadakan Putrajaya. Kita hendak mengimbangkan semua dan kalau harga yang begitu tinggi sampai RM 200 juta satu hektar memang oramg miskin tidak mampu. Spertimana yang di sebutkan Yang Amat Berhormat tadi, orang yang kayamudah menjadi kaya lagi, tetapi miskin hendak jadi kaya, susah. Yang Amat Berhormat sendiri pun menjadi penjaja sebelum ini, semasa kacil, tahulah susah payah orang miskin untuk mencapai tahap kekayaannya. Ini memang satu (perkara yang penting). Sepertimana yang saya sebutkan tadi, kita perlu adakan satu kaedah untuk memastikan Putrajaya atau kawasan-kawasan sekitarnya, harga janganlah melambung kepada tahap yang begitu tinggi sehingga orang biasa tidak mampu untuk menyertai atau menikmati apa yang diadakan di Putrjaya dan kawasan sekitarnya.

Alam sekitar

Saya hendak bangkitkan satu perkara lagi mengenai alam sekitar dan aspek-aspek fizikal di Putrjaya dan kawasan sekitarnya. Tuan yang di-Pertua, bila kita sebutkan Putrajaya, sebenarnya kita sebutkan kawasan bukan sahaja 10 ribu ekar. Kita sebutkan kawasan-kawasan hampir iaitu kawasan di sekitar Putrajaya, sebahagian besar negeri Selangor. Memang kita sebutkan demikian dan sebab itulah saya nampak alam sekitar sudah terjejas di setengah-setengah tempat. Kita boleh tengok bukit-bukau itu gondol dan botak. Dan walaupun kita nampak cantik apabila kita masuk ke Putrajaya dan sekitarnya nampak cantik juga, walaupun begitu, tetapi di sekitarnya (berlainan sedikit). Dan saya nampak ada taman di Putrajaya. Saya berharap taman ini dijaga dengan baik. Tetapi, disekitarnya tidak boleh kita benarkan bukit-bukau itu botak. Tidak guna juga. Hampir di Kajang pun kita tengok bukit-bukau itu botak. Dan seolah-olah kenyataan dan amaran Yang Amat Berhormat sendiri (kerana pernah Yang Amat Berhormat naik helikopter ataupun terbang tengok bukit bukau itu botak dan gondol) tidak begitu berkesan. [Ada ahli yang mengatakan naik helikopter berpusing-pusing]. Ini memang satu perkara yang saya sedarkan, macam mana[Disampuk]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ya, terus Yang Berhormat,terus.

Dr Tan Seng Giaw: Pusign sudah.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato ' Haji Muhamad bin Abdullah]:Terus.

Dr Tan Seng Giaw: (Yang Berhormat) Rompin, kita perlu jadi contoh teladan. Saya bercakap di sini, janganlah cakap di situ. Tidak baik.

Timbalan Yang di-Pertua: Saya ingat Rompin diam sahaja yang Berhormat, dalam perhatian saya.

Dr Tan Seng Giaw: Tidak diam.

Timbalan Yang di-Pertua: Teruskan, terus.

Dr Tan Seng Giaw: Tidak diam. Tengok Yang Berhormat bagi Shah Alam dengan dia di sana. Dan perlulah kita jaga alam sekitar kita walaupun kita hendak pembangunan. Kita mestilah jaga supaya alam sekitar tidak terjejas dan maklumlah tidak banyak tempat yang ada bukit-bukau lagi dengan hutan kita semakin hari semakin musnah di kawasan ini kerana pembangunan. Dan saya setuju kita mesti ada pembangunan tetapi kita tidak boleh abaikan alam sekitar juga. Kita hendaklah mengekalkan satu keseimbangan untuk menjaga alam sekitar kita.

Pelaksanaan ICT

Cuma satu perkara lagi iaitu mengenai pelaksanaan ICT( Information and communication technology) ataupun Yang Amat Berhormat sendiri sentiasa tekankan begitu pentingnya ICT ini di kawasan-kawasan ini. Saya sebutkan hal ini kerana hasrat saya juga bersama-sama untuk menyaksikan kejayaan MSC dan Putrajaya memang mamainkan peranan yang penting untuk menjadikan MSC lebih berjaya. Bolehkah Yang Amat Berhormat terangkan. Saya berharap yang Berhormat (para penyokong Kerajaan) jangan kacau kerana ini bukan (kelaur daripada tajuk). Kalau kita bincangkan Putrajaya, kita mestilah bincangkan MSC. Sebenarnya, ini (adalah) salah satu bahagian untuk[Sampuk].

Dan Bill Gates misalnya bila dia datang tengok Cyber city, tengok Putrajaya, dia kata memang satu perkara yang menggembirakan. Dia kata nampaknya perkembangan begitu pesat dan sebagainya dan ada perjanjian dia, MoU dengan Universiti Multimedia. Kemudian saya, mungkin bernilai RM 10 juta

Dato ' Dr Haji Jamalauddin bin Dato ' Mohd. Jarjis: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato ' Haji Mohamad bin Abdullah): (Yang Berhormat) Rompin berdiri Yang Berhormat. Ada yang berdiri ya. Hendak beri jalan.

Dr Tan Seng Giaw: Rompin. Saya kata MSC memang ada termasuk dalam Putrajaya ataupun Putrajaya masuk di dalam MSC. Apa sibuk lagi.

Timbalan Yang di-Pertua: Hendak beri jalan Yang Berhormat. Hendak beri jalan.

Dato ' Dr Haji Jamaluddin bin Dato ' Mohd. Jarjis: Terima kasih Yang Berhormat bagi Kepong kerana menyokong usaha Kerajaan untuk membangunkan Putrjaya. Kita mengucapkan syabas kepada Kepong. Minta pandangan Kepong. Saya nampak dalam perkara 46 itu dicadangkan seorang wakil untuk mewakili Putrjaya. Adakah Kepong sanggup meletakkan jawatan sebagai Ahli DAP dan ditimbang oleh Kerajaan mewakili Putrajaya.

Dr Tan Seng Giaw: Tuan Yang di-Pertua, Rompin sebenarnya tidak tahu apa yang dia cakap tadi. [Ketawa] Kalau hendak mengambil hati Yang Amat Berhormat, itu bukan caranya [Sorak] [Tepuk].

Seorang Ahli: Ampu sana, ampu sini. [Ketawa]

Dr Tan Seng Giaw: Yang Amat Berhormat, saya nampak Bill Gates sebab saya berminat kalau Bill Gates boleh melabur dengan banyak kita untung. Tetapi, cuma ada satu memorandum of understanding ' dengan mungkin bernilai RM 10 juta, itu tidak bermakna. Walaupun ada bertelefon, ada bercakap dengan Yang Amat Berhormat, dia kata satu jam tiap-tiap kali, dua, tiga kali dia datang ke Malaysia, tiga kali kalau tidak silap saya. Tetapi, mengapa dia tidak melabur di Malaysia. Ini memang, di Putrajaya ataupun di MSC. Itu saya berasa hairan juga. Dia hendak letakkan, ambil wang dia pergi ke Bangalore, India, dia berminat. Tetapi, di sini tidak begitu berminat. Ini satu perkara yang saya berharap Yang Amat Berhormat dapat mengambil kira sebab kita hendak menyaksikan Putrajaya ataupun MSC berjaya di negara ini.

Ini memang satu perkara yang penting. Bukan sahaja saya hendak menyaksikan kejayaannya bahkan saya juga berharap Yang Amat Berhormat boleh berhati-hati melalui mungkin MDC supaya kita dapat mengawal dengan lebih awal lagi banyak syarikat termasuk dot.com, (yang) saya nampaknya tidak sihat. Dan Yang Amat Berhormat sendiri ada sebutkan bukan kita adakan dot.com dengan syarikat-syarikat yang tidak mempunyai kepakaran (sahaja), (bahkan) tidak mempunayi rancangan yang baik kerana saya khuatir di Malaysia, di MSC juga, ada syarikat-syarikat terutamanya syarikat dot.com akan gagal sama sekali. Ini memang saya memberi amaran lebih awal lagi supaya kita berhati-hati sungguh kita hendak adakan MSC dengan berjaya dan dot.com kita tidak akan gagal. Saya nampak di Australia misalnya banyak syarikat dot.com yang gagal sama sekali. Kerana bila kita adakan dot.com dan sebagainya, pekarja-pekerja memang pakar di dalam bidang-bidang itu. Apabila syarikat itu gagal sama sekali, dia menganggur, tidak dapat kerja lagi kerana ia satu kerja yang khusus dan sebab itulah saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru supaya Yang Amat Berhormat berhati-hati mengenai hal ini.

Tadi saya ada sebutkan, yang pertama ialah kita perlukan ada musyawarah dengan penduduk-penduduk di negeri Selangor walaupun kita boleh ada perjanjian, kita boleh luluskan rang undang-undang tubuh di negeri Selangor dan kita di sini boleh luluskan (rang undang-undang ini) kerana pihak Barisan Nasional mempunyai majoriti dua pertiga dan sebab itu memang boleh diluluskan dengan begitu cepat. Tetapi musaywarah dengan rakyat mestilah diadakan dan juga kita tidak perlulah luluskan undang-undang dengan begitu cepat sebelum rakyat faham apa yang kita buat.

Seterusnya saya ada tekankan begitu pentingnya kita dapat menarik orang seperti Bill Gates untuk melabur di MSC and juga di Cyberjaya, di Putrajaya, supaya kita boleh sama-sama menyaksikan kejayaan di dalam MSC dan Putrajaya dan di sinilah dengan adanya Putrjaya sebagai Wilayah Persekutuan (memang tidak boleh dielakkan). Walaupun di pihak sini, ada orang yang tidak begitu puas hati dengan cara untuk mengadakan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan, tetapi (ia) akan diluluskan, saya nampak. Walau bagaimanapun, Yang Amat Berhormat perlulah fikir soalan-soalan yang saya bangkitkan tadi supaya kita boleh menjadikan Putrjaya yang lebih baik. Sekian, terima kasih.




- Dr Tan Seng Giaw -