Laman Webantu   KM2A1: 3422 File Size: 26.7 Kb *



Siri 26 YTDT: Yang Basi Dan Busuk - Bhg II
By Marhain Tua

15/12/2000 11:40 am Fri

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 26

[Sejarah menunjukkan UMNO berpecah kerana ada pemimpinnya sendiri yang sengaja beragenda. Bayangkan BANYAK perpecahan itu berlaku di zaman Diktator tua itu sendiri. Dan ia berputik bukan dari luar, tetapi dari petualang dalam sendi UMNO yang sengaja menikam demi kepentingan diri. Perbuatan yang jijik lagi keji bukan keganjilan lagi sejak Mahathir menampilkan diri. Akhirnya musnahlah kesemua kemakmuran yang dinikmati rakyat selama ini bila kekayaan berkitar dalam saku para kroni. Dikatakanlah "Malaysia Boleh", sedangkan kekuatan dana negara semakin menipis dan kekuatan berugama semakin terhakis. Tinggallah rakyat dengan menara yang tinggi-tinggi yang kosong kurang berisi atau stadium besar yang lengang tak tersorak lagi. Ugama dan maruah sudah dicemari dan murtad menjadi-jadi. Malangnya masjid pula makin dipagari... tetapi regim Israel dan dakyah songsang diajak kemari saban hari. Sudah tentu kroni dan pemimpin tertinggi umno lah dalang yang menjemput mereka lagi. Namun pembangkang asyik dipersalahkan lagi dan lagi... - Editor ]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 26 : YANG BASI DAN BUSUK - BAHAGIAN II




Yang Basi Dan Busuk
(Bahagian II)


- Melayu Berpecah ataupun UMNO Yang Berpecah?

Setiap kali Mahathir dan para pemimpin UMNO bercakap di hadapan orang Melayu mereka kata orang Melayu berpecah. Apakah betul ada perpecahan? Kalau perpecahan Melayu itu berlaku dalam UMNO, adalah tidak adil kita katakan Melayu pada keseluruhannya yang sudah berpecah. Perpecahan dalam UMNO, mesti diterima sebagai satu hakikat dan hukum karma kerana tindak-tanduk kepimpinan yang durjana. Zam adalah salah seorang insan yang bertanggungjawab kepada perpecahan UMNO itu. Perpecahan itu sudah berlaku tiga kali. Yang pertama, ketika UMNO asal tergugat dengan penubuhan Parti Negara, yang kemudiannya disusuli oleh penubuhan PMIP (sekarang ini disebut PAS). Yang Kedua, apabila UMNO asal dibubarkan dengan penubuhan UMNO Baru(a) yang mencetuskan penubuhan Parti Semangat 46. Yang Ketiga ialah apa yang sedang berlaku sekarang ini hingga mencetuskan penubuhan Parti Keadilan dan sekaligus membuat UMNO merudum dan dibenci oleh majoriti orang Melayu.

Yang Zam dan Mahathir katakan Perpecahan Melayu itu adalah sebenarnya perpecahan UMNO. Membawa dimensi lebih besar perpecahan dalaman itu dengan mengaitkan adanya cacat-cela terhadap kemuafakatan orang Melayu, adalah satu tipu helah untuk memutar minda orang Melayu juga.

Untuk mengetahui kenapa UMNO berpecah, adalah amat mudah. Semua jawapan itu ada sejak tiga puluh tahun yang lalu, ketika Mahathir mula-mula sekali menyanggah Tunku Abdul Rahaman Putra sebagai pemimpin yang tidak berguna. Surat yang dikirimkannya kepada Tunku telah diterima oleh rakyat jelata terlebih dulu sebelum Tunku sempat membaca surat yang dituju khas itu. Taktik yang sama berulang lagi dua puluh sembilan tahun kemudiannya apabila satu affidavit terhadap Anwar diterbit-cetak di muka akhbar dulu sebelum affidavit itu dibaca oleh mahkamah.

Zam tentu tidak akan menerima hakikat bahawa Mahathir adalah haiwan ekonomi (economic animal) yang menyebabkan orang Melayu kehilangan apa yang disebut sebagai ketuanan Melayu. Daim dan anak-didiknya hanya merupakan proksi Mahathir sahaja.


- Siapa Pegang Kuasa Ekonomi


Zam berpendapat bahawa Mahathir telah merancang agar orang Melayu menjadi satu bangsa yang besar berasaskan kuasa ekonomi yang mesti ada pada mereka. Kerana itu Zam merakamkan nama Tun Daim Zainuddin dan Abdul Halim Saad sebagai contoh haiwan ekonomi itu bersama ribuan lagi nama orang kaya baru di merata negara. Sekali lagi Zam tersilap. Kuasa ekonomi memang tidak ada pada orang Melayu selama ini. Yang ditayangkan oleh orang Melayu itu adalah limpahan kuasa ekonomi yang mereka telah serahkan kepada sekumpulan manusia pelahap yang bersekongkol untuk membalun harta rakyat. Di zaman British, ketuanan Melayu ada pada raja-raja Melayu. Ia bertukar kepada UMNO kerana raja-raja leka dan menjadi pelahap juga. Kemudian ia bertukar secara mutlak kepada Mahathir dan para bajingannya secara paksa dan silapmata. Sebagai buktinya lihat dulu kepada semua anak-emas Tun Daim yang naik mendadak di persada dan kegemilangan kuasa. Di manakah mereka kini? Dato Shamsuddin lari ke Afrika, Tajuddin Ramli sedang tercungap-cungap kelemasan, Halim Saad terpaksa termenung-menung. Kalau tiga nama ini boleh bersifat nyawa-nyawa ikan dalam dunia perniagaan, bagaimanakah agaknya dengan gelagat ribuan jutawan Melayu yang naik sama dengan mereka satu ketika dulu? Semuanya tercungap kecuali anak-anak tersayang yang diselamatkan dengan harta rakyat marhaen yang diamanahkan kepada Petronas. Tetapi, yang amat menyedihkan ialah ratus-ribuan orang Melayu yang terkapai-kapai disebabkan bahana tempias kerakusan kelompok ini.


Mengikut Zam, anak-didik Tun Daim besama sekongkolan mereka sanggup terus kekal di Malaysia tanpa lari keluar negara meninggalkan Melayu terkapar-kapar. Kuasa politik dan kepintaran ekonomi telah memungkinkan mereka menjadi kombinasi kekuatan yang meyakinkan peniaga dan pemodal bukan Melayu untuk berada dalam negara di dalam kegentingan ekonomi. Sebenarnya mereka terpaksa terus tinggal kerana mereka naik dengan sabsidi UMNO yang tidak mampu mereka perolehi di negara lain. Perniagaan tanpa sabsidi UMNO tidak berupaya melayakkan mereka maju di gelanggang perniagaan di negara orang.


Di Malaysia mereka berlagak sakan. Di luar negara, kebanyakan perniagaan mereka adalah perniagaan haprak belaka. Lihat......!!! Vincent Tan menguruskan bisnes cuci kereta dana kedai vedeo di Australia. Itupun cek keluaran syarikat sudah melambong ke angkasa. FAC yang berpengerusikan seorang bekas ketua hakim negara berniaga di China, dan kantul akhirnya. Banyak lagi cerita aib yang boleh ditulis di sini, tetapi tunggu dulu untuk satu hari nanti. Semua itu dilakukan oleh ahli KEJAM yang dinaungi oleh seorang diktator gila.


Apa yang disebut perniagaan yang gemilang para kroni itu adalah disebabkan naungan yang hebat diberikan kepada mereka. Oleh kerana menjadi anak emas seorang diktator yang tamak mereka mendapat kepuasan kuasa yang tidak ada sempadannya. Segala projek mega mereka laksanakan tanpa memberi ruang kepada sumber tenaga tempatan kerana tidak ada sesiapa yang berani menegur mereka. Ratusan pendatang tanpa izin yang ditangkap di tapak kerja projek mega didera dan didenda sebelum dihantar pulang (sila rujuk kes Irene Fernando di Mahkamah). Tetapi, para korporat yang menggunakan tenaga tanpa izin ini tidak pun disentuh untuk dikenakan tindakan mahkamah.

Ligatnya pengambilan pekerja asing telah meminggirkan tenaga kerja tempatan sehinggakan mereka merasa sengaja diketepikan untuk satu agenda yang sudah lama dilakar oleh pihak tertentu. Impaknya, rakyat sendiri menjadi masyarakat terpinggir dalam arus kemewahan industri pembikinan dan pembangunan negara sendiri. Di waktu yang sama penggunaan tenaga asing yang tidak sah membuatkan melambaknya perkampungan setinggan yang haram merata negara. Inilah yang mencetuskan segala bentuk aktibiti haram bermula daripada pengutipan cukai perlindungan haram kepada pengeluaran anak haram. Semuanya haram di sisi undang-undang negara tetapi tidak haram di sisi para pemaju projek mega yang amat rapat dengan pucuk kepimpinan negara. Zam dan Mahathir tahu dan faham akan cerita ini semua, tetapi sengaja mendiamkan diri dalam hal ini kerana taksub mahukan kuasa ekonomi di tangan orang tertentu sahaja. Para pemimpin UMNO pun sedar akan kepincangan ini tetapi mereka pun takut bersuara tidak tentu pasal kerana curiga diketepikan dalam pengagihan habuan mega.


- Bahana Wang Panas


Sebenarnya, apa yang berlaku sejak tiga tahun yang lalu adalah bahana putaran ekonomi yang dilonjakkan ke atas disebabkan kemasukan wang panas sejak sepuluh tahun yang lalu. Wang panas hanya boleh bebas kalau suasana kemasukannya dirancakkan. Unsur-unsur mengongkong kemasukan wang jenis itu mesti diketepikan. Inilah taktik yang dilakukan oleh Mahathir dan Daim. Wang panas dibawa masuk oleh sindiket ganas tetapi berpakaian kemas, berlagak pintar dan berotak bisnes. Apabila kita kata mereka bawa masuk wang panas, tidak bermakna wang itu dibawa masuk secara fisikal. Dalam dunia kewangan, wang tidak berganjak, hanya kertas yang merupakan dokumen niaga dan juga surat janji (promissory notes) yang bergerak. Di sinilah kita mesti akui betapa bijaknya Mahathir dan Daim untuk mencetuskan suasana kesuburan gerakan wang panas itu. Lihat dulu kepada Kelab Elit Jin Alam Mahathir (KEJAM) yang saya sebutkan itu. Berapa ramaikah di antara mereka yang mempunyai kelulusan pra-universiti? Namun, mereka mampu mendekati seorang perdana menteri dan duduk makan semeja hampir setiap hari, seolah-olah merekalah yang akan mengaminkan doa talqin apabila dia mati. Apabila orang yang tidak banyak pendidikan tinggi bersekongkol dalam satu kelab, perkara pertama yang mereka lakukan ialah membina satu benteng tebal mengelilingi mereka tanpa orang lain menyedarinya. Inilah yang telah berlaku selama ini.


Dengan terbina tembok kota pemisah ini, pelbagai projek mega dicetuskan untuk membalun khazanah negara menggunakan wang panas pada dasarnya tetapi membajak wang yang tersimpan di semua institusi perbankan. Segala bentuk projek yang besar-besar diadakan untuk menentukan wang panas terus ligat dengan panas dan arus membalun wang rakyat terus bergerak rancak dengan ganas.


-Ekonomi Pembangunan Caca-Marba


Proses merancakkan ekonomi memang menyeronokkan kerana hampir segenap rakyat jelata diputarkan mindanya melihatkan cerucuk besi bercambah laksana cendawan selepas hujan. Gambaran lori simen, pengangkut batu dan pasir yang bergerak bertali arus laksana semut dan kerengga berpindah sarang; memberikan satu semangat baru dan keyakinan di mata rakyat marhaen. Sinario bunyi hon-hon dan putaran lampu merah isyarat bahayanya muatan lori-lori itu menyemarakkan aura majlis upacara pecah-tanah, majlis makan besar dan upacara menandatangani perjanjian dan MOU (yang kebanyakannya tipu muslihat sahaja) untuk projek yang lebih besar lagi. Rakyat marhaen khayal dengan segala gambaran kegemilangan itu seperti khayalnya semua pemimpin politik menerima limpahan projek mega yang ditaja oleh seorang pemimpin negara bertaraf Wira Dunia Ketiga.


Apabila lori pengangkut berat semakin banyak digunakan, ia memerlukan tenaga pemandu yang berpengalaman. Malahan setiap lori memerlukan permit yang sah untuk berjalan. Di sinilah munculnya kepentingan lesen terbang. Untuk menentukan lesen yang sah tidak dikuatkuasakan, muncul pula satu gerombolan khas yang dipanggil dengan nama TONTO yang bererti Tolong Orang Tipu Orang. Inilah yang dikatakan wang panas menjadi ganas. Budaya samseng pun mengambil peranan utama dalam aspek ini dan rasuah serta manipulasi niaga menjadi faktor utama yang menentukan setiap pengusaha memaksimakan keuntungannya. Pihak penguatkuasa tidak mampu bertindak tegas kerana kebanyakan projek yang melanggar segala peraturan dan hukum undang-undang itu adalah projek yang ditaja dan dinaungi oleh para kroni dan pemimpin parti yang memerintah.


Projek yang mengkhayalkan memang tidak mencetuskan logik dan relevannya. Apabila Menara Kembar dibina dengan alasan menonjolkan nama negara, tidak banyak suara membantah pembinaan Menara Kuala Lumpur (di Bukit Nanas) di sebelah, yang dibikin untuk menempatkan peralatan komunikasi. Sedangkan pembinaan itu adalah pembaziran wang rakyat. Apabila KLIA dirancang, tidak banyak suara menyoal kenapakah tidak dibina di Kundang ataupun di Batu Arang, sedangkan kawasan itu lebih dekat dengan Subang? Alasan dibina KLIA di kawasan yang dulunya bernama Elmina Estate adalah kerana harganya lebih murah daripada pembinaan lapangan terbang terbaru di Hongkong dengan luas kawasan yang lebih besar lagi. Cerita benar bahawa Elmina Estate adalah harta seorang diktator tua yang diproksikan kepada anak perempuanya tidak pernah ditimbulkan. Kalau dipilih Kundang dan Batu Arang, para pekerja boleh tinggal di rumah yang sudah lama mereka beli dulu (untuk bekerja di Subang) secara berhutang.

Sekali lagi rakyat marhaen termakan dalil tanpa menyedari harga tanah di Hongkong memang berkali ganda daripada harga tanah di negara ini. Rakyat marhaen setuju lagi tanpa menyedari bahawa tanah di Kundang dan Batu Arang adalah kawasan paya yang dulunya bekas lombong bijih dan arang batu yang amat sesuai untuk projek lapangan terbang, litar lumba dan apa lagi yang perlu. Kawasan itu tidak diambil kira kerana penyangak keparat sudah lama mempunyai tanah di Kajang, Semenyih, Beranang, Sungai Rincing, Pajam, Gebok, Jenderam, Bagan Lalang, Dengkel, Sepang, Bangi dan Nilai sejak 1969 lagi; untuk dijadikan bandar dan kawasan perumahan baru. Kelentongan yang berpanjangan adalah satu proses memutar minda rakyat, untuk menerima apa yang dilakukan oleh Mahathir dengan para kroni, juak dan sukusakatnya adalah untuk kebaikan kita semua. Perkataan semua itu sebenarnya merupakan insan terpilih yang dikira sekapal untuk masuk syurga dunia ciptaan seorang diktator tua.

Ekonomi palsu dipacu bertalu-talu. Indeks pasaran saham menjadi bahan ucapan lambang ekonomi mantap untuk mengabui fikiran rakyat. Orang Melayu menjadi terus terpesona dengan kelajuan pacuan itu. Mereka menjadi sibuk dan mabuk oleh limpahan kemewahan yang palsu. Sesiapa yang menunjukkan gelagat menjaga tepi kain orang, ditawarkan pakej pelancungan ke Medan, London, Disneyworld dan Umrah sebagai umpan dan pampasan. Di waktu yang sama projek menggila-gila terus ditaja dan digalakkan tanpa memikirkan bahanaya.


Untuk mempercepatkan kerja, pendatang asing dibawa masuk berkali ganda daripada permit yang diizinkan. Pendatang haram menjadi fenomena baru menjahanamkan budaya orang Melayu. Anak haram bergelimpangan di sana sini di subuh pagi tanpa sesiapa berani mengambil peduli.

Tidak cukup dengan semua itu, Projek Mega bertajuk Malaysia Boleh diatur dengan liciknya. Seorang anak Melayu ditaja mengelilingi dunia sedangkan ratusan orang asing melakukan usaha yang sama dengan usaha wang saku sendiri, tanpa sabsidi negara. Sekumpulan rakyat memanjat Gunung Everest sedangkan Mahathir tahu Indonesia mempunyai dua pasukan setiap tahun melakukan kerja itu. Kereta Wira diturunkan di Antartik seolah-olah teknologi pembikinannya dan segala alat kelengkapan kereta itu adalah teknologi terokaan Malaysia yang asli. Tidak ada sesiapa yang berani berkata bahawa itu kerja gila yang menghabiskan wang rakyat jelata. Banyak lagi kerja sewelan digalakkan. Melekapkan orkid di tiang lampu, menggantungkan pasu bunga di tiang api dan menanam padi di atas bumbung adalah beberapa contoh mengenainya. Tidak payahlah dicatitkan banyak projek yang terpanjang, terlebar, terbesar dan banyak ternya lagi. Bayangkanlah kalau Ketua Pemuda UMNO sanggup membawa kain jalur gemilang untuk merentangnya di Tembok Besar Cina. Tidak terlintaskah di otak mereka kalau Kerajaan Cina inginkan projek seperti itu dikerahnya setiap rakyat menyiapkan sehelai bendera tiap seorang. Bukan sahaja Tembok Besar dapat ditutupnya, seluruh Malaysia mampu ditudungnya.

Tetapi, Mahathir dan Zam serta pemimpin UMNO yang lain tidak mampu berfikir seperti itu. Yang mereka nampak; segala kerja bodoh itu adalah satu alat dan muslihat untuk mengkhayalkan rakyat marhaen. Bayangkan usaha membuat lemang terpanjang di Malaysia dan kemudiannya menjualnya kepada yang datang dengan harga lima ringgit seketul. Apakah moral kerja begitu kalau bukan lambang otak yang sudah biul?


Ukuran Kejayaan Mahathir


Apa yang disebut sebagai kejayaan Mahathir diukur dengan menggunakan pendapat manusia yang tidak relevan lagi dalam percaturan hidup bangsa. Tangisan Shamsiah Pakeh, Rashid Maidin dan Abdullah C.D. dijadikan satu ukuran menilai kemajuan negara sedangkan selama berdekad mereka terpenjara di negeri China gara-gara mengikut darah muda dan semangat serta fahaman ideologi komunis mereka. Dalam menonjolkan ketokohan Mahathir, mereka sanggup menggunakan pendapat pembelot negara di zaman usia mereka.

Dr. Mahathir ditonjolkan sebaris dengan Mao Tse-tung, Gemal Nasir, Sukarno dan Nehru sambil menyerlahkan betapa Mahathir berjaya melakukan pembaharuan sedangkan empat nama besar itu gagal dalam usaha mereka. Senator Zam tersilap membuat perbandingan demikian kerana Mahathir tidak layak langsung dibariskan dengan empat nama besar itu. Lagipun mereka hidup di zaman sebelum IT dan ketika kuasa besar dunia terlalu kuat dan teguh lagi. Bagaimanakah boleh disamakan kegemilangan Mao dengan Mahathir sedangkan Mao berjaya menjadikan negaranya sebagai salah satu kuasa besar dunia yang mempunyai kuasa veto di PBB? Walaupun pada dasarnya ekonomi negara China ditakrif sebagai ekonomi dunia ketiga, ramai masyarakat Cina seberang merupakan masyarakat niaga yang amat berjaya.


Antara Revlusioner dan Revolusi


Zam dijangka akan terus memukau. Dia menggunakan teori kosong untuk menonjolkan ketokohan Mahathir sedangkan Mahathir sudah ternyata seorang pemimpin haprak yang dibenci oleh rakyat kerana kuat menipu dan rajin berbohong. Tujuan sebenar Zam ialah untuk memperlekehkan kebangkitan rakyat yang diasaskan oleh orang Melayu yang sudah benci kepada UMNO. Kebangkitan Melayu inilah yang cuba diperlekehkan oleh Mahathir kerana kebangkitan itu adalah bersalutkan ketaqwaan dan semangat sanggup didera untuk menegakkan kebenaran. Mahathir sudah memujuk-rayu, menjelirkan lidahnya, mengugut, bergurindam-seloka, menangis dan akhirnya membaca doa untuk cuba meraih simpati orang Melayu agar terus menyokongnya. Dia pinda segala undang-undang dan kenakan pelbagai cukai dan bayaran untuk hidup dengan penuh kuasa. Kalau dia mampu mengenakan cukai kepada rakyat kerana menghidu udara untuk hidup, sudah lama dia lakukan juga. Demikianlah busuknya sikap Mahathir dan Zam sambil terus cuba memutar minda rakyat dengan teori yang basi.

Zam dan Mahathir amat suka dengan cerita ekstremis agama. Tetapi siapakah pemimpin UMNO yang terlalu taksub dengan semangat angka dua ? Siapa pula yang kerap berlagak dengan majlis besar-besaran yang menggunakan khidmat bomoh hujan? Teori kemunculan revolusioner dalam UMNO yang menyebabkan orang Melayu berpecah adalah satu teori yang penuh helah. Semua itu mahu menutup malu kerana kerja jijik yang dilakukan oleh Mahathir dan Daim untuk mengikis harta rakyat di negara ini. Kejijikan perangai insan bernafsu syaitan membuatkan Mahathir menukar perkataan royalti kepada wang ehsan. Kerana mabuk kuasa Mahathir sanggup mendera seorang pembantu yang begitu setia sehingga satu konspirasi ditaja merencana fitnah agar insan ini terpenjara. Zam sanggup membiarkan Mahathir memenjarakan Anwar sedangkan Zam adalah insan yang banyak memuji Anwar satu ketika dulu.


Zam dan Mahathir galak memperlekehkan ulama Islam. Apabila Mahathir berkata di zaman nabi tidak ada pisau cukur; Zam sanggup mengakuinya tanpa memikirkan bagaimanakah orang Islam dulukala berkhatan dan berperang dengan menggunakan pedang tajam?

Demikianlah perjalanan negara pimpinan Mahathir yang didewakan oleh Zam. Hidup rakyat terancam tanpa akhbar yang bebas dan tanpa upaya berhimpun secara aman. Mahathir yang sudah berjanji berbanyak kali untuk mengundurkan dirinya masih bernyawa dan berkuasa lagi; selagi insan seperti Zam masih galak memukul canang, memuja-muji. Hutang negara makin membesar dan pelabur asing semakin kencang larinya manarik pelaburan mereka keluar. Mahathir terus berkhayal lagi sambil ekonomi terus tersasar.


Kebangkitan Rakyat Marhaen


Segala projek mega meruntunkan ekonomi negara sehingga terdedah dan terbogel betapa negara terpaksa berhutang besar untuk turut bernafas. Kebanyakan kerajaan negeri BN hampir muflis kerana projek yang lebih mementingkan pengekalan kuasa BN dan UMNO. Para menteri besar dan ketua menteri terpaksa berbohong lagi untuk mengekalkan kuasa mereka. Banyak projek ekonomi yang diuruskan oleh kerajaan negeri sebenarnya berakhir dengan kegagalan juga.


Rakyat bangkit untuk menyanggah Mahathir setelah mereka sedar daripada pukauan yang begitu lama. Mahathir yang kini bergelar Wira Dunia Ketiga tiba-tiba menjadi seorang pemimpin yang diselar oleh rakyatnya. Segala projek yang dikatakan untuk kebaikan rakyat dan negara sebenarnya merupakan projek untuk memperkayakan para kroni dan sukusakatnya. Mahathir semakin terdesak apabila menyedari negara semakin kegeringan matawang untuk meneruskan projek meganya. Ini mendesaknya untuk menaikkan tol dan cukai sebagai langkah untuk menambahkan wang negara. Malahan, pihak polis pun sudah dijadikan satu institusi untuk mencukai rakyat dengan cara melakukan pemantauan kereta laju di jalanraya. Akibatnya, harga barangan pun naik mendadak dan kos makanan pun sama melonjak. Rakyat terus tertekan dan merasa kepahitan untuk menyara seisi keluarga.

Sudah menjadi lumrah manusia apabila tertekan hidupnya barulah dia merapatkan diri ke rumah ibadah dan mencari keredaan Allah. Hidup yang tertekan perlu ditenangkan, hutang bertapuk perlu dilunaskan dan impian yang tinggi perlu direndahkan.

Secara tiba-tiba rakyat mendapat jawapan kepada masalah sosial mereka. Melalui kaedah merapatkan diri kepada Maha Penciptanya, rakyat marhaen sedar bahawa selama ini mereka telah dirasuk hantu syaitan yang bertopengkan manusia. Barulah mereka sedar bahawa Mahathir sudah selama ini merencana agar rakyat negara ini hidup berpuak-puak dan berkasta-kasta dan tidak bersatu di bawah satu bendera politk yang menjamin kerukunan hidup yang berlandaskan ajaran Allah. Apabila rakyat sedar akan kelemahan hidup mereka mengikut rencana Mahathir itu mereka pun berpaling tadah.


Menyedari kebangkitan rakyat ini Mahathir merencana beberapa drama yang menakutkan rakyat akan bahana mempercayai syarahan agama dan tazkirah yang diberikan secara percuma. Al Maunah dicetuskan dengan babak pertama bermula di Banding dan Gerik. Kemudiannya babak menjalar ke Lawin dan Jenalik. Dari situ ada babak tambahan di kilang arak dan di sebuah rumah berhala. Alangkah panjangnya skrip sandiwara sehingga diambil kira kepintaran seorang panglima komando menepis peluru yang keluar daripada senjata otomatik. Beberapa nyawa terpaksa dikorbankan untuk menghidupkan perjalanan cerita sandiwara itu. Semua yang ditangkap dituduh menderhaka. Setakat ini yang mengaku bersalah tidak pun dihukum mati seperti yang sepatutnya. Mereka hanya dikenakan hukuman penjara yang berkemungkinan akan direngankan lagi.


Episod Al-Maunah di Sauk bertujuan memperlekehkan golongan ulama agar orang Islam turut menyebelahi Mahathir untuk mengganyang mereka. Mahathir gagal, walaupun Zam menulis mengenai ini semacam hendak gila. Rakyat tidak menerima episod Sauk seperti yang dirancang oleh kerajaan. Itu semua sandiwara juga.


Tidak beberapa lama kemudian tercetus pula kisah Pulau Sipadan di mana pelancong dan pekerja rumah pelancongan diculik dan di larikan oleh kumpulan Moro di Fillipina. Sekali lagi Mahathir mahukan rakyat berdiri menyokong kerajaan. Sekali lagi rakyat sedar itu satu sandiwara juga.


Mahathir gagal memainkan sentimen agama untuk mengganyang kumpulan ulama. Rakyat sedar sentimen itu adalah bertujuan untuk mengganyang PAS dan membolehkan kerajaan mengenakan sekatan parti politik menggunakan perkataan Islam dalam pertubuhan mereka. Sokongan orang Melayu terhadap PAS semakin kencang. Malahan PAS diterima oleh orang bukan Melayu sebagai parti politik yang lebih berwibawa daripada UMNO.


Kisah Si Padan yang dilancarkan untuk menarik semangat kesetiaan kepada negara, hancur sama. Rakyat tidak boleh menerima kisah Si Padan itu kecuali ianya adalah satu sandiwara juga. Lagipun rakyat sudah menerima hakikat bahawa Mahathir mempunyai satu kumpulan komando yang boleh menepis ledakan peluru yang datang dengan laju. Apabila tercetus berita pembebasan para pekerja Malaysia dengan bayaran pampasan itu, rakyat turut ketawa kerana menyedari itu satu sandiwara yang lebih canggih daripada yang dilakukan di kilang arak dan di rumah berhala. Kini, di Filipina sudah tercetus satu kes mahkamah di mana Estrada, Presiden negara itu, yang terbabit sama membalun wang pampasan yang sepatutnya dibayar kepada Komander Robot dan para komandonya. Bagaimanakah ini boleh berlaku sedangkan Malaysia membuat pembayaran wang tebusan itu melalui menteri proksi Mahathir sendiri dengan disaksikan oleh bekas ketua menteri Sabah, Yong Tek Li?

Akhirnya Mahathir dihukum oleh rakyat. Lunas yang merupakan kubu kuat BN jatuh ke tangan Barisan Alternatif. Mahathir diberikan amaran pertama oleh suara rakyat marhaen. Zaman kehancuran Mahathir dan sistem kediktatorannya sudah semakin hampir. Mahathir masih belum penat lagi. Dia masih mahu berkuasa walaupun terpaksa menjaja pembohongan dan meraih simpati di kampus pengajian tinggi. Ironisnya bukankah Mahathir orangnya yang menegah pelajar institusi pengajian tinggi bergelumang dalam politik? Bagaimana pula kini, borang keahlian UMNO ditabur melambak-lambak di kampus-kampus dengan agihan telefon bimbit percuma sebagai penyedapnya?

Zam dan Mahathir akan terus berteori lagi. Sedangkan rakyat marhaen akan terus hidup berlari. Revolusi aman yang sedang berjalan akan menentukan anjakan pradigma yang tidak terbayang oleh Mahathir akan jelmaannya.


-Marhaintua-
15.12.2000.