Laman Webantu   KM2A1: 3411 File Size: 30.9 Kb *



Siri 24 YTDT: Yang Basau Dan Basi
By Marhain Tua

14/12/2000 4:43 am Thu

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 24

[Kita amat hairan kenapa setiap kali maruah BN tercemar, asyik orang lain menjadi sasaran punca kekalahan. Dikatakanlah pembangkang dan orang asing sebagai dalang dan yang terkini pula mereka menuduh BA melakukan kekasaran dan Suqui mecabar keharmonian. Padahal pendokong Suquilah yang memenangkan BN dalam pemilu yang lepas. Malangnya kerajaan BN membalas jasa pendokong Suqui itu dengan jawapan was-was Sekolah Wawasan.

Perisitiwa bas hantu di Lunas jelas menggambarkan kemenangan BN selama ini adalah penipuan belaka. Kalau Mahathir sanggup menipu untuk mengalahkan Ku Li, dia juga sanggup menipu untuk mengaibkan Anwar, dan dia rela menipu lagi (di bulan puasa mak oi) menuduh BA mengganas bukan-bukan sebagai punca kekalahan. Malangnya gambar-gambar beliau yang banyak bergantungan di Lunas itu lah punca sebenar beliau kecundang, dan BN semakin tewas kerana orang UMNO SENDIRI yang berpaling tadah menyokong BA dalam DUN Lunas!! Kita percaya majoriti kemenangan BA di Lunas sebenarnya melebihi angka ribuan, sebab itulah 12 bas terpaksa datang.. - Editor ]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 24 : YANG BASAU DAN BASI





YANG BASAU DAN BASI

Barisan Nasional dan UMNO masih lagi tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka kalah di Lunas. Ada suara-suara sumbang yang mengatakan kekalahan hanya setakat 530 undi, tetapi ada pula mulut sumbing di antara mereka yang menyebut: "kalaulah pengundi hantu berjaya membantu.....".

Yang pasti dan jelas, Mahathir Mohammad sebagai ketua ulung BN dan juga UMNO masih tidak mahu menerima kekalahan di Lunas itu. Para juaknya terpaksa juga bersuara sumbang untuk mengulang kata-katanya sebagai meyakinkan diri mereka bahawa sokongan terbuka kepada si diktator tua akan menjamin masa depan politik mereka. Bukankah pilihanraya satu upacara di mana rakyat berhak bersuara dan mengundi sesiapa yang mereka lebih percaya untuk mewakili mereka?

Sepatutnya UMNO dan jua BN menubuhkan satu pasukan penyiasat bebas untuk memberikan lapuran khas mengkaji bagaimana mereka tumpas. Janganlah diambil orang UMNO terutama sekali daripada Pergerakan Pemuda ataupun Wanita untuk menjadi ahli penyiasat itu. Gunakan para cerdik pandai termasuk wakil UMNO dan BN tempatan dan para cerdik pandai di universiti. Kemudian, biarkan mereka membuat kajian itu lengkap dengan segala statistik yang terperinci untuk mendapatkan jawapannya.

Akan tetapi, kalau UMNO dan BN tidak bersedia membuat kajian itu biarlah kita catitkan beberapa sebab mereka kalah di situ:



  1. Pengundi Lunas merasa jelak dengan Barisan Nasional, terutama sekali UMNO;

  2. Apabila usaha projek kilat yang berharga sekitar RM21 juta diumumkan, Khadam Lampu Aladdin Samy Vellu fikir dia mampu mempengaruhi pengundi Lunas dengan segala projek yang dimandorkannya.

  3. Calon BN di Lunas ialah S. Anthonysamy, tetapi pada keseluruhannya gambar yang ditayangkan di sepanjang jalan di Lunas ialah gambar seorang diktator tua semasa dia masih muda dengan diselang-seli gambar Menteri Besar Kedah, yang baru sahaja dikenali oleh kebanyakan pengundi.

  4. Gambar S. Anthonysamy yang diedarkan kepada para pengundi ialah gambar beliau berpakaian laksana padri. Gambar ini dikatakan hasil putar-belit Barisan Alternatif. Tetapi, pengundi Lunas tahu itu adalah gambar putaran minda hasil kerja BN.

  5. Ramai pengundi Melayu menukar selera mengundi BA setelah menyaksikan sendiri akan cara UMNO menyerang beberapa perkampungan Melayu di situ seperti taktik yang mereka gunakan di Sanggang dan Teluk Kemang. Masalahnya, pengundi Melayu sudah jemu mendengar nama Mahathir apatah lagi nama Menteri Besar Kedah, kerana mereka masih teringatkan gelagat Sanusi Junid dulu.

  6. Cara orang UMNO berkempen di Lunas adalah: "laksana warga istana datang mencemar duli di mana pengundi Lunas di anggap laksana hamba abdi." Keangkohan ini adalah disebabkan anggapan yang menggunung tingginya: "bahawa Lunas adalah kubu kuat kita."


  7. Jumlah pengundi lama yang kehilangan nama mereka di hari mengundi sungguh mengejutkan pengundi Melayu dan juga Cina. Gegaran kemarahan pengundi yang dinafikan hak mengundi itu membuatkan pengundi yang memangkah di sebelah petang berpihak kepada BA. Perkara ini menjadi semakin kritikal apabila tercetus kisah bas daripada luar yang datang membawa pengundi hantu.




Menepuk Air Di Dulang

Kita tidak berniat menulis panjang mengenai alasan kenapa BN dan UMNO kalah. Cukuplah setakat itu. Tetapi, kenapakah Mahathir dan pucuk pimpinan UMNO melenting sangat dengan kekalahan itu. Yang kalah sebenarnya ialah calon MIC yang bertanding di bawah bendera Barisan Nasional. Dia bertanding di kawasan di mana majoriti pengundi ialah orang Melayu dengan kaum Cina mempunyai majoriti ke-dua besarnya. MIC senyap dengan kekalahan itu setelah berlagak sakan selama dua minggu dengan segala tuduhan terhadap parti BA. MCA dan Gerakan lebih bersikap pasif kecuali Chua Jui Ming, yang nampak menyinga secara mengada-ngada untuk menonjolkan namanya sahaja.

Kini, yang menang ialah BA tetapi rakyat Lunas sudah memilih seorang wakil rakyat daripada kaum yang mempunyai pengundi yang majoriti di kawasan itu. Ini merupakan satu hukum alam yang sepatutnya mudah diterima oleh semua pihak. Tetapi kenapakah Mahathir Mohammad dan Paklah serta beberapa pemimpin UMNO yang masih gelabah? Kenapakah mereka terus berbuat fitnah terhadap pihak yang menang? Kenapakah timbul cerita polis Kedah mahu menahan orang BA yang dikatakan berbuat kacau?

Mahathir akan terus menuduh pihak Barisan Alternatif kerana kekalahan BN di Lunas kerana:



  1. Sebagai seorang yang diketahui tidak mempunyai secebis pun semangat kesukanan (sportmanship) Mahathir tidak dapat menerima kekalahan kerana segala taktik kotor telah direncana untuk menjanjikan kemenangan. Inilah yang berlaku di Sanggang dan Teluk Kemang. Malahan inilah taktik kotor yang pernah dilaksanakan di Kuala Lumpur ketika pemilu November 1999 dulu.

    Semua calon BA di Lembah Kelang sudah pun disitiharkan menang melalui kertas undi yang telah selesai dikira. Mereka menjadi kalah setelah ada beberapa peti undi (hantu) yang dibawa masuk setelah kekalahan berpihak kepada BN. Itulah yang menjadi penyebab bagaimana manusia seperti Shahrizat masih lagi bergelar YB setelah peti baru dibawa masuk untuk mengalahkan Zainur Zakaria. Cerita yang sama telah dilalui oleh calon BA seperti Chandara Muzaffar, Marina Yusuf dan lain lain lagi. Dengan lain perkataan, dasar BN menghadapi pilihanraya selama ini adalah dasar yang dilakar oleh Mahathir Mohammad, di mana segala taktik kotor mesti digunakan untuk menang.

  2. Mahathir kerap menggunakan kemenangan pilihanraya kecil sebagai satu dalil untuk memberitahu seluruh dunia bagaimana kuat dan popular parti BN yang dipimpinnya. Mereka boleh menang tanpa Mahathir turun ke gelanggang tetapi seluruh dunia itu tidak sedar bahawa selama ini kemenangan BN terjadi melalui penipuan dan rasuah yang melampau-lampau.

  3. Mahathir naik menyinga kerana Lunas terletak dalam jajahan Kedah. Kemenangan Saifuddin menidakkan kuasa majoriti dua pertiga yang amat diperlukan oleh BN. Semua orang sedar, Mahathir berura-ura menukarkan status Langkawi menjadi Wilayah Persekutuan kerana terlalu banyak pelaburan di sana yang merupakan perniagaan Mahathir juga. Inilah pulau yang diimpikan sebagai pulau persaraannya di mana setiap tahun ada program Dialog Antarabangsa akan terus ditaja dan menonjolkan namanya sehingga bercerai nafas daripada jasadnya.

  4. Kedah berhutang sebanyak RM1.2 bilion. Ini merupakan satu angka yang amat besar bagi sebuah negara yang tidak banyak hasil mahsulnya. Pendedahan hutang bertapuk ini membogelkan segala kerakusan Mahathir selama ini. Itu sebabnya dia bina Kilang Perwaja dan Baja Urea di Kedah sedangkan sumber gas untuk menjana kilang itu di datangkan daripada pantai timur. Gas yang digerudi di Kelantan dibawa masuk melalui Thailand sedangkan saluran itu boleh dibawa terus melalui jalan darat negara sendiri. Pangkalan terminal saluran gas di Thailand itu dikendalikan oleh anak kesayangan Mahathir. Sedangkan, rakyat Kelantan yang sepatutnya menerima royalti terhadap gas yang disedut daripada bumi sendiri, hidup melopong dengan air liur basi.

  5. Kini, sudah keluar cerita bahawa minyak akan mengalir daripada dasar bumi Kelantan. Ini melayakkan rakyat Kelantan kepada royaltinya. Tetapi, Mahathir sudah lama merencana semua itu, dengan kerjasama beberapa rakyat Kelantan yang sudah lupa daratan. Mereka sanggup bersekongkol dengan Mahathir untuk menidakkan saudara senegeri daripada merasa nikmat royalti minyak dan gas itu.

  6. Usaha memperlekehkan rakyat melalui pelbagai tohmahan dan fitnah sudah menjadi satu amalan dan darah daging Mahathir. Inilah sahaja senjata yang ada padanya untuk menarik minat rakyat untuk terus berkhayal secara paksa. Dia mahu rakyat lupakan masalah negara yang disebabkan kerakusannya.

  7. Ekonomi negara dijangka terus merudum. Hutang yang semakin bertapuk besaranya adalah satu beban yang tidak mampu dibayar oleh tiga generasi yang akan datang. Mahathir cuba mengalihkan perhatian rakyat kepada masalah besar ini dengan mencetuskan pelbagai isu yang remeh temeh

  8. Penyelewengan yang dilakukan oleh Mahathir boleh dilihat dengan jelas di merata tempat di pelusuk negara. Di ibukota beberapa projek mega adalah projek yang sudah memperkayakan anak-anaknya dan para kroninya. Di beberapa negeri, beberapa projek mega yang muflis dan kantul mendedahkan penyelewengannya juga. Terengganu yang sepatutnya merupakan negeri paling kaya di Malaysia sedang merengkok disebabkan hutang besar kepada kerajaan pusat. Sedangkan hasil royalti yang diterima selama ini tidak dikendalikan dengan bijak.

    Di Kedah, kerajaan berhutang sampai RM1.2 bilion. Projek gila-gila terdapat di merata tempat. Kebanyakan projek itu dulu telah disanggah oleh rakyat dan disindir oleh parti pembangkang. Tetapi, Mahathir merestuinya.

  9. Kebanyakan projek Mahathir dikatakannya untuk menaikkan ekonomi negara. Sebenarnya kebanyakan projek itu adalah untuk sengaja menonjolkan Malaysia di mata dunia. Mahathir cuba membangunkan negara untuk mewujudkan pelbagai projek mega yang ada di negara maju dalam satu tempoh yang pendek. Sedangkan projek dan struktur mega di negara maju itu dilaksanakan secara berdikit-dikit mengikut kemampuan negara tanpa menghimpit kerukunan hidup rakyatnya.

  10. Mahathir berlagak sebagai seorang wira dunia dengan memberi sabsidi kepada pemimpin negara dunia ketiga tanpa ihsan dan keizinan rakyat Malaysia. Projek beliau yang dikenal sebagai South-South Corporation hanyalah satu silap mata kerana belanja menghidupkan projek itu datangnya daripada duit rakyat Malaysia.

    Langkawi International Dialogue adalah satu tipu muslihat untuk menghidupkan projek itu dengan belanja negara yang sungguh besar. Sedangkan rencana pembangunan seperti itu sudah termaktub dalam perlembagaan pertubuhan PBB dan Bank Dunia. Kerana itulah ramai pelajar di Afrika yang celik matanya memanggil Mahathir dengan nama "Father Christmas Of All Seasons" (Santa Claus Serba Musim). Malangnya rakyat Malaysia juga yang merana dalam membiarkan Mahathir melayan nafsu nafsinya.




Bila Pukau Tidak Menjadi

Tipu muslihat Mahathir yang disaluti dengan cakap-cakap yang memukau minda rakyat akhirnya menjadi tumpul. Saudara Anwar Ibrahim yang pada tahap awal termakan juga dengan segala tipu muslihat itu terjaga daripada kerja durjana itu dan mula membantah secara berhemah. Tetapi Anwar Ibrahim tidak sedar bahawa yang cuba disanggahnya itu adalah bukan kepalang besar manusia dan kerakusannya. Dia sebenarnya menyanggah seorang insan yang berhati syaitan.

Satu strategi yang rakus direncana dengan penyertaaan beberapa kerat manusia yang mudah dipukau juga. Akhirnya Anwar terjebak dan ditahan serta dibaham. Mahathir berjaya mendapat sokongan apa yang disebut sebagai "Enam Jahanam" untuk menghenyak Anwar agar terus terpenjara dengan cara melakarkan segala fitnah yang mampu mengaibkan kewibawaannya. Demikianlah balasan yang diberikannya kepada seorang setiakawan yang sanggup menaikkan namanya menjulang tinggi sehinggakan ramai rakyat yang rela mempertahankan namanya sampai mati. Mahathir rela memenjarakan Anwar dan membiarkan satu keluarga bahagia terpisah begitu lama. Tinggallah anak-anak yang tidak berdosa dan isteri yang tidak berupaya menjaga mereka sambil menunggukan si bapa dibebaskan satu hari nanti.

Dua tahun dulu Mahathir berjanji kepada rakyat untuk berundur selepas ekonomi negara pulih. Setahun kemudiannya, dia mengubah janji itu kerana mahu menumpukan tenaga kepada kerja membetulkan UMNO yang semakin lumpuh. Sebulan yang lalu, janji itu dipindanya lagi dengan berkata dia 'terpaksa' bersabar menangguhkan persarannya: "kerana menunggukan Paklah timbalannya menjadi lebih cekap lagi."


Inilah tipu muslihat seorang penjarah Melayu yang terunggul di alaf baru. Dia terus menipu dan menipu. Dia terus menghasut rakyat agar mempercayai bahawa negara ini akan jatuh muflis kalau rakyat percaya kepada hasutan orang asing. Dia gunakan segala tipu muslihat menunjukkan bahawa dia dan hanya dia sahajalah pemimpin ulung negara ini yang mampu menjamin kesetabilan dan kekayaan negara 'Malaysia Boleh'. Kerana itu dia mahukan setiap lapisan rakyat negara ini termasuk juga warga istana untuk bersyukur kerana peranan yang dilakukannya.

Mahathir menganggap bahawa kerana dia, makanya Malaysia maju dan menjadi satu negara yang disegani oleh dunia. Sayang, dia tidak sedar bahawa kerana dia, rakyat negara ini sedang terpenjara dan terpaksa melayari hidup dengan beban hutang yang begitu tinggi. Mahathir sebenarnya sudah gila dan mahukan rakyat turut gila mengikutinya.


Abdullah Badawi Yang Mengecewakan

Sikap kesewelan Mahathir adalah sesuatu yang disebabkan nafsu besarnya ataupun disebabkan sengaja diada-adakannya. Hanya orang yang betul-betul rapat dengannya yang mampu menilai faktor itu. Rakyat terutama sekali orang Melayu hanya mampu berdoa kepada Illahi, bahawa negara ini akan terselamat juga akhirnya.

Malangnya, kesabaran rakyat dalam menangani kerenah Mahathir ini, gagal difahami oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mahathir sudah hampir berjaya memutarkan minda insan ini daripada seorang yang menerima pendidikan agama yang baik sejak kecil sehingga ke peringkat universiti. Selama ini dia dianggap sebagai seorang menteri yang mempunyai banyak kelemahan daripada segi ketokohan untuk memimpin dengan berkesan. Abdullah Badawi naik dalam dunia politik adalah kerana masyarakat Melayu terpesona dengan jasa-jasa almarhum bapanya dan juga datuknya. Kalau Abdullah Badawi berdiri atas wibawanya sendiri, ketokohannya adalah tidak berbeza dengan sesiapa sahaja di kalangan insan biasa. Dia naik dulu pun kerana pengaruh pegawai belia dan sukan yang bertungkus lumus mencanang namanya. Sebelum bergiat sepenuh masa dalam dunia politik Abdullah Badawi adalah Timbalan Setiausaha Kementerian Belia, Budaya dan Sukan. Ketika itu, kegiatan kementerian itu banyak tertumpu kepada aktibiti tarian dan adat istiadat Melayu lama.

Sebenarnya Mahathir tahu bahawa Abdullah Badawi adalah insan yang amat mudah dipengaruhi. Sikap semula jadi Abdullah (ataupun Paklah) memang mempamirkan beliau sebagai seorang yang mudah disenangi. Gaya bahasa dan irama kata-katanya pun sejak dia menonjol dalam persada kepimpinan UMNO, adalah lambang seorang ahli politik yang lemah dan lembut.

Generasi muda-mudi UMNO sebenarnya tidak kenal siapa Paklah sebenarnya. Dia naik kerana sentimen kemelayuan bekas pelajar yang menganggotai Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Begitu juga dengan pengaruh guru-guru kerana kebanyakan pegawai belia dan sukan dulu-dulu adalah bekas guru-guru.

Tetapi, kalau dilihat akan prestasi Paklah sebagai seorang pentadbir, tahapnya adalah tidak jauh beza daripada tahap seorang penolong guru besar di sekolah rendah sahaja. Apa yang diarahkan oleh guru besar itulah yang akan dilakukannya. Kalau guru besar menghentakkan sebelah kaki sebagai amaran kepada guru-gurunya, Paklah akan menirunya dengan menghentakkan dua kakinya sekali. Adakalanya dia menghentak kakinya sendiri.

Sumbangan Paklah yang paling besar kepada masyarakat muda-mudi negara ialah konsep KOBENA, yang kini hancur kerana salah pengurusan. Jika tidak, inilah koperasi yang paling besar yang pernah menjalin usahasama dengan insitusi luar negara seperti Korea. Paklah bertanggungjawab dengan perlantikan semua pucuk pengurusan isntitusi itu berdasarkan pemilihan semua tukang angguk dan para pengampu. Semoga degan secebis cerita ini Paklah mampu sedar akan kemampuannya yang sebenar. Dia harus memahami hakikat ini sebelum terlambat.

Paklah semakin mengecewakan orang Melayu kerana dia cuba meniru cara Mahathir menangani masalah negara. Sejak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, ketokohannya yang terhad semakin terserlah. Dia tidak mampu menonjolkan imejnya mengikut yang diharapkan oleh rakyat yang merasa kehilangan ketokohan Saudara Anwar Ibrahim. Sikapnya bercakap memang membosankan kerana tidak seiras rentak tema ucapan yang berkisar dunia politik dan bukannya dunia pendidikan.

Sejak kebelakangan ini memang ada usaha besar Paklah menonjolkan imej ketegasan. Ucapannya pun sudah berubah kerana adanya unsur penekanan suara dan tidak lagi mendatar yang membuatkan budak sekolah pun mudah ketawa. Tetapi, dalam dunia politik sifat kelakuan yang tidak asli daripada sesaorang mudah dikesan dan ditafsirkan sebagai sifat mengada-ngada. Inilah dilema Paklah sebenarnya. Dia tidak mampu bercakap dengan berkesan. Dia tidak mampu menonjolkan ketokohan menyaingi ketokohan Saudara Anwar untuk memberikan 'oooommph' dalam peranannya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kekurangan ini cuba diperbetulkan oleh Paklah dengan melakukan beberapa tindakan hangat dalam peranannya sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Sikapnya bersekongkol untuk menyekat kebebasan penerbitan dan hak rakyat berhimpun secara aman menyerlahkan siapa Abdullah sebenarnya.


Ketika Mahathir menjadi menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dulu, kebebasan rakyat marhaen ditekan secara licik sekali. Dia menggunakan kuasa yang ada pada menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dengan memberikan proksi kepada Megat Junid. Proksi ini dipegang begitu lama oleh Megat kerana dia berupaya melakukan tugas mengikut selera ketuanya dengan dibantu oleh Tun Haniff Omar dan kemudiannya oleh Rahim Nor. Proksi itu bertukar tangan sekejap kepada Tajul Rosli apabila Megat dinaikan pangkat menjadi seorang menteri penuh.

Oleh kerana Mahathir mahu lari daripada aib yang menimpa Saudara Anwar, dia pun menyerahkan kementerian itu kepada Paklah. Sejak itu penindasan terhadap rakyat marhaen semakin menjadi. Segala tabloid dan majallah yang tidak berpihak kepada UMNO dan kerajaan diharamkan. HARAKAH yang dulu boleh diterbitkan setiap minggu, kini dicekik untuk mengurangkan keluarannya. Paklah mengganas kerana dia sudah menjadi proksi Mahathir. Lengkaplah percaturan politik mereka berdua setelah mengekalkan kuasa dalam UMNO tanpa dipertandingkan jawatan. Inilah dilema UMNO masakini, kerana dua pemimpin terunggul mereka sudah berada dalam keadaan yang terus tertekan dan masih lagi mampu mengkotak-katikkan keadaan.


Lebih satu bulan yang lalu Mahathir membuat kenyataan bahawa dia terpaksa mengekalkan jawatannya kerana menunggukan Paklah menjadi lebih cekap. Rakyat marhaen tertawa dengan kenyataan ini kerana mereka sudah lama sedar bahawa Paklah diberikan pangkat itu bukannya kerana beliau layak menerimanya mengikut kacamata si diktator tua. Kalau kenyataan seperti itu ditujukan kepada pemimpin politik lain, sudah tentu pemimpin itu sudah lama dulu meletakkan jawatannya. Tetapi Paklah tidak pun sanggup melakukan tindakan itu kerana dia memang sudah begitu lama mengimpikan jawatan perdana menteri. Sepatutnya, pengalaman Paklah yang lama dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Negara mampu menonjolkan Paklah sebagai pewaris jawatan Perdana Menteri yang mudah diterima oleh rakyat Malaysia secara rela hati.

Paklah terjebak dalam satu perangkap yang dipasang oleh pihak tertentu agar dia tidak mampu menyerlah di jawatan yang dipegangnya itu. Perangkap in dipasang oleh beberapa golongan yang eloklah dicatatkan di sini:



  1. Kumpulan 'Mahathirite' yang dikepalai oleh orang-orang yang sudah mabukkan kuasa hasil menjadi tukang ampu Mahathir. Terlalu ramai mereka ini untuk disebutkan namanya. Tetapi inilah manusia yang sudah kehilangan pedoman dan yang diletakkan dalam kedudukan tertentu untuk mengipas selalu.

  2. Kumpulan yang sedar bahawa kuasa Mahathir semakin lemah. Tetapi mereka mahu mengekalkannya dengan menggunakan kem Paklah untuk menentukan kuasa itu akan terus berkekalan. Inilah kumpulan yang menganggap Mahathir sebagai 'setengah Tuhan'. Apabila Mahathir memperlekehkan Nabi junjungan kita, mereka tertawa dan apabila Mahathir memperlekehkan generasi Melayu lama merekapun tertawa.

  3. Kumpulan yang mahukan Paklah mengambil segala peluang yang ada untuk memperkayakan diri mereka. Itu sebabnya Paklah mampu mendapatakan kontrak pembekalan makanan untuk syarikat yang dikuasai oleh anaknya untuk satu tempoh yang panjang. Kumpulan rakus ini sudah terbawa-bawa dengan kerenah yang dinikmati oleh kumpulan 'Mahathirite' dalam usaha membalon harta rakyat.

  4. Mahathir naik berkuasa lama dengan menggunakan segelintir peniaga Cina yang saya label dengan panggilan 'KEJAM' bererti 'Kelab Elit Jin Alam Mahathir'. Paklah pun ada kelab seperti ini, cuma kelab itu menggunakan proksi untuk berkuasa secara lebih giat lagi. Proksi mereka ialah syarikat perniagaan bapa mertua Paklah, adik beradiknya dan sukusakatnya. Selain membolot banyak kontrak kerajaan, kita dapat mengikuti perkembangan kumpulan ini melalui satu projek pembangunan di Seberang Jaya.

    Ada lagi perangkap lain yang tidak mahu kita dedahkan dulu. Untuk mengokohkan kedudukan dirinya agar betul-betul dianggap layak menjadi perdana menteri selepas Mahathir, Paklah dijebak untuk melakukan beberapa tindakan yang seiras dengan apa yang Mahathir lakukan semasa dia menjadi timbalan perdana menteri dulu. Cuma Mahathir melakukan peranan itu lebih licik lagi kerana ada unsur-unsur yang original. Tetapi, kerana Paklah melakukannya sebagai mencontohi yang original itu, nampak sangatlah kejijikan perangai Paklah di situ.

    Kini, Paklah sudah pandai berbohong kerana sudah terkena penyakit si diktator sewel. Ada pepatah Melayu lama yang berkata: Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Bidalan lama ini amat tepat mengenai Paklah masakini.

    Kita dapat lihat Paklah sanggup menghina bangsanya sendiri apabila dia menuduh "adanya percubaan di kalangan parti pembangkang untuk mewujudkan tindakan ala intifada Palestin di negara ini semata-mata bagi mencapai matlamat politik negara." Dia menabur fitnah dengan berkata: "Menerusi percubaan itu pembangkang akan menggerakkan penyokong mereka menentang kerajaan dan polis sebagaimana penentangan yang dilakukan oleh rakyat palestin terhadap askar dan polis Israel"


    Sandiwara Terbaru Di Akhir Tahun

    Tuduhan Paklah ini dilaungkan pula oleh Najib Tun Razak yang berkata: "Taktik baru parti pembangkang cuba melahirkan wira di kalangan mereka sebagai simbol penentang kerajaan melalui sandiwara intifada politik." Najib mengajak rakyat agar tidak terlibat sandiwara intifada politik kerana semua itu adalah lakonan untuk melahirkan semangat penentangan kepaa polis serta wira-wira yang digunakan sebagai simbol menentang kerajaan. Mengikut Najib; 'matlamat pembangkang ada dua, cari hero dan ajar rakyat menentang pihak berkuasa.'

    Menurut Najib lagi, jika selama ini kerajaan dituduh membuat sandiwara seperti episod Sauk, sandiwara pembangkang adalah lebih besar lagi kerana menggunakan label intifada Palestin. Dia telah dipetik berkata: "Intifada rakyat Palestin adalah menentang kuasa Israel yang amat zalim, sedangkan di Malaysia tidak memerlukan penentangan kerana kerajaannya dipilih oleh rakyat melalui saluran demokrasi. Dalam isu Palestin, pejuang sebenarnya ialah kerajaan kerana sejak dulu kita menyokong PLO dan negara Palestin.

    Najib semakin yakin bahawa pembangkang akan menggunakan cara-cara di luar lunas demokrasi demi menafikan hak rakyat seperti yang berlaku semasa kempen pilihanraya kecil Lunas.

    Setakat ini kita hanya mahu menyebut kelakuan Paklah dan Najib ini sebagai dua proksi tukang-laung untuk manabur fitnah lagi dan meracun minda rakyat negara ini. Sekaligus, sandiwara terbaru ini dikatakan pendedahan satu sandiwara parti pembangkang. Ia memberi ingatan kepada pihak polis agar berwaspda kerana semangat wira Paletin yang dikatakan itu akan membuat negara huru hara.

    Kalau kita renung kembali akan usaha terbaru Paklah dan Najib ini kita nampak ada satu muslihat besar kerajaan pimpinan UMNO sekarang. Satu ketika dulu, Mahathir ada 'mendedahkan' kisah rakyat yang akan bangkit membaling bom molotov dan membakar harta rakyat dan kerajaan. Perkara ini tidak pun berlaku. Sejak itu rakyat marhaen terus mendesak Mahathir agar berundur, tetapi rakyat tidak pernah mendesak UMNO dan BN untuk undur. Sasaran utama rakyat marhaen ialah Mahathir bin Mohammad kerana rakyat sedar Mahathir adalah punca negara bermasalah. Mahathir masih tidak percaya dengan sentimen kemarahan rakyat. Apabila kempen pilihanraya Lunas menumpaskan BN dan salah satu isu kekalahan disebut kerana BN menggunakan wajah Mahathir sebagai bahan berkempen, Mahathir masih tidak percaya lagi. Mahathir dan penasihatnya masih bertegas bahawa wajahnya itu masih berseri untuk memukau hati rakyat lagi.

    Menyedari bahawa kemarahan rakyat adalah tertumpu kepada si diktator tua itu, kini direncana satu sandiwara terbaru pula di mana bahan serangan sandiwara itu ialah PAS dan Keadilan. Tindakan Mahfuz memilih penjara daripada membayar denda dan suasana sambutan rakyat apabila dia pulang bersama sahabatnya, dijadikan satu bahan nasional untuk menipu dan memukau minda rakyat sekali lagi.

    Sayang, Mahathir dan para jongosnya masih berfikir bahawa rakyat di tahun 2000 ini adalah rakyat yang mempunyai fikiran yang sama seperti rakyat sebelum itu. Mahathir mungkin tidak perasan dengan tulisan saya yang terbaru sebelum ini, di mana pada perenggan pertama tulisan itu ada dicatatkan:

    "Apabila YB Mahfuz Omar dan teman-temannya merelakan diri dipenjarakan daripada membayar denda mahkamah yang tidak seberapa, saya sudah beritahu kawan-kawan betapa akan bermulanya satu perubahan dalam politik orang Melayu. Ia akan merobah sikap rakyat malaysia berpolitik. Lambat laun, akan terhakis sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional."

    Apa yang didedahkan sebagai sandiwara terbaru pihak pembangkang sebenarnya adalah sandiwara paling baru UMNO untuk menipu rakyat lagi. Segala tohmahan mengatakan tindakan Mahfuz mahukan negara huru-hara sebenarnya adalah taktik UMNO mahukan negara huru-hara dengan tuduhan sandiwara itu. Dengan lain perkataan, tuduhan bahawa pembangkang melakukan satu sandiwara sebenarnya adalah satu sandiwara terbaru UMNO selepas gagalnya sandiwara bersiri mereka yang bermula di Grik, melencong ke Batu Caves dan kilang arak dan berakhir di Sauk dulu.

    Paklah dan Najib harus sedar, rakyat tidak lagi mudah terpedaya dengan tipu helah kerajaan BN dan UMNO menuduh pembangkang bersandiwara. Sebab utama fitnah ini tidak akan laku lagi ialah kerana tafsiran perkataan 'pembangkang' itu adalah satu tafsiran yang usang. Saya pernah berkata apa yang disebut sebagai Barisan Alternatif itu sebenarnya melambangkan 'Barisan Rakyat'. Apabila Paklah dan Najib berlagak serentak melancarkan majlis upacara 'Gerakan Semangat Intifada' itu sebagai satu sandiwara pihak pembangkang dan Barisan Alternatif; sekaligus mereka berdua menuduh rakyat yang bersandiwara.

    Saya ingin memberi nasihat sempena bulan Ramadhan ini kepada Paklah dan Najib yang memang lama saya kenal. Gunakan otak selagi otak itu ada di kepala. Ubahlah sikap dan janganlah anggap rakyat akan terus terpesona dengan kepimpinan anda berdua. Anda berdua naik meloncat dalam UMNO kerana proksi semangat dan 'aura' almarhum ayah dan datuk anda. Rakyat mengenang jasa mereka dan merelakan anda memimpin bangsa. Tetapi, apabila anda menjadi alat si diktator tua, anda sebenarnya memusuhi rakyat yang merelakan nikmat kemuliaan itu. Bertaubatlah sebelum terlambat. Setidak-tidaknya 'tarik zip' dulu dan berlakonlah sebaik mungkin tanpa mengguriskan hati rakyat marhaen. Segala tindak-tanduk Mahathir adalah laksana benih basau yang tidak boleh dijadikan baka sebagai asas kemajuan negara dan bangsa. Kepimpinan Mahathir adalah idea basi yang hanya menunggu untuk dinyahkan oleh rakyat. Letaklah jawatan anda daripada kabinet Mahathir sebelum terlambat. Sedarlah kebangkitan semangat revolusi rakyat secara aman. Kebangkitan ini bukan berasaskan batu, lastik dan nyawa. Rakyat menggunakan otak, IT dan semangat bersatu tanpa mengira perkauman dan agama.

    Anda naik kerana rakyat. Letakkan jawatan dan pergilah bercuti ke seberang laut, kalau tidak berani bersuara menyanggah Mahathir secara terbuka. Anda berdua harus faham dengan kebangkitan revolusi rakyat yang berlandaskan gerakan secara aman. Janganlah menjadi pemimpin yang bermusuh dengan rakyat, seperti yang dilakukan oleh seorang pemimpin tua yang bertaraf bangsat.


    -Marhaintua-
    14.12.2000.