Laman Webantu   KM2A1: 3400 File Size: 33.8 Kb *



Siri 23 YTDT: Antara Penjarah Dan Penjara
By Marhain Tua

12/12/2000 5:28 pm Tue

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 23

[Penulisan Pak -MT- kali ini memang patut menjadi satu koleksi PENTING semua pejuang tanah-air, tanpa mengira tua atau pun muda. Kita semua sebenarnya terpenjara di mana-mana kita berada. Polis kini hanya memudahkan sistem itu berjalan kerana amat giat mengutip cukai tanpa resit dicelah-celah tangan. Malah ada yang menjadi penjual dadah sambilan semi jutawan yang sukar ditumpaskan. Keadaan institusi ini sengaja dibiarkan oleh Mahathir (beliau menjaga KDN agak lama) untuk melahirkan satu kumpulan samseng berlesen profesional yang sanggup membunuh atau mendera mangsa seperti yang berlaku kepada Anwar, Nora, Pak Din, dll. Penjara pula sudah menjadi satu institusi perdagangan. Ia gagal memberi sebarang manfaat kepada negara, tetapi ia hanya semakin mengkayakan lagi orang yang men'jaga'nya. - Editor ]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 23 : ANTARA PENJARAH DAN PENJARA





Antara Penjarah Dan Penjara

Apabila YB Mahfuz Omar dan teman-temannya merelakan diri dipenjarakan daripada membayar denda mahkamah yang tidak seberapa, saya sudah beritahu kawan-kawan betapa akan bermulanya satu perubahan dalam politik orang Melayu. Ia akan merobah sikap rakyat Malaysia berpolitik. Lambat laun, akan terhakis sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

Idea untuk merelakan diri dipenjara sebagai ganti membayar denda bukannya satu perkara baru. Pada akhir tahun 60-an dulu pun, ada seorang bekas pelakon filem Melayu bernama Yusuf Suriya yang sanggup dipenjarakan kerana dia enggan membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah di atas dakwaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Yusuf Suriya yang merupakan adik ipar kepada seorang pelawak terkenal negara dan rakan lawak Dato' S.M. Salim, telah bertindak merelakan dirinya dipenjarakan kerana enggan mengalihkan kereta-tolak di depan kedainya di Chow Kit. Dia bertegas kerana melihatkan terlalu ramai pendatang Indonesia yang dibenarkan menjaja tanpa lesen yang sah ketika itu. Sedangkan apa yang dilakukannya adalah untuk menyelamatkan perniagaannya daripada dihenyak oleh pendatang itu. Lagipun, kebanyakan para penjaja itu adalah rakan kongsi secara proksi ramai pegawai penguatkuasa bandaraya dan pemimpin UMNO di Lembah Kelang.


Kerelaan Yusuf Suria adalah bersifat simbolik. Dengan tindakannya itu barulah rakyat marhaen sedar betapa rakusnya sekumpulan insan yang bernama Melayu dan beragama Islam di Dewan Bandaraya itu sehingga tergamak menikam bangsa sendiri untuk memperkayakan diri. Kini, Chow Kit adalah laksana Gelodok dan Tanjung Periok di Jakarta, dan Lorong Haji Taib adalah laksana pesisiran pantai di hadapan Taman Harison Ancol.

Orang Malaysia yang mahu membeli-belah di Chow Kit terpaksa memendam geram dengan apa yang dilaluinya. Orang kita yang lalu di Lorong Haji Taib terpaksa menyumpah seranah dalam kalbu kerana gelagat kumpulan pondan dan pengedar dadah yang bebas bergerak tanpa segan dan silu.

Apa yang berlaku di Chow Kit adalah satu gambaran betapa terpenjaranya rakyat marhaen di Kuala Lumpur disebabkan unsur rasuah yang sungguh bernanah di dalam institusi kerajaan. Tidak hairanlah kalau segelintir kumpulan pendatang yang merasa senang itu mudah digunakan untuk dijadikan pengundi hantu di pilihanraya yang lalu. Kini, sudah ada ura-ura untuk memberikan kerakyatan kepada mereka sebagai satu usaha menjadikan mereka pengundi khas yang boleh dibawa secara bebas.


Siapa Sebenarnya Terpenjara

Mahfuz Omar memang patut diberi tahniah kerana keberaniannya untuk dipenjarakan. Dia bernasib baik kerana kepulangannya diberikan sambutan yang gah dan meriah. Tetapi bagaimana dengan Yusuf Suriya dulu? Kepulangannya dianggap sepi kerana tidak ada pemimpin politik yang mahu menyebelahinya kerana takutkan kehilangan kuasa dan daya tarikan para pengundi. Akibatnya rakyat marhaen terutama sekali penduduk Kampung Baru kini masih terpenjara kerana gelagat mereka diam membatu. Tetapi apakah kesannya dengan kedatangan pendatang luar yang melambak-lambak itu? Cuba kita fikirkan perkara ini:



  1. Setiap rumah di kota dan bandar terpaksa dipasang 'grille' ataupun jejari besi seolah-olah penghuni rumah itu yang berada dalam penjara. Kalau kereta diletakkan di hadapan rumah mempunyai tayar baru, besar kemungkinannya pada keesokan hari empat tayar kereta itu lesap dan pangkalnya(drum) dialas dengan batu. Ironisnya batu yang digunakan adalah batu-bata baru.

  2. Kaum wanita tidak merasa selamat lagi jalan berlenggang kerana mudah diserang peragut yang datang dengan motorsikal. Pernah berlaku kepada seorang guru wanita yang diragut rantai lehernya ketika dia sedang mengunci pintu keretanya di hadapan rumah. Satu jam kemudian si peragut datang lagi sambil mencampakkan rantai yang diragut itu dengan jeritan: "Cih, lain kali pakailah rantai emas tulin. Ini ...pakai rantai palsu.. buang masa saja....". Beberapa bulan yang lalu, salah satu kumpulan yang meragut itu tertangkap dan didapati mempunyai kerja tetap sebagai anggota polis. Dia meragut bertemankan isterinya sendiri.

  3. Kalau kita berjalan di tempat letak kereta di belakang bangunan KWSP, di Lorong Masjid India, di perhentian R&R di Dengkel dan di banyak tempat lagi, kita mudah dihampiri oleh beberapa lelaki yang menunjukkan jam tangan secara tersorok-sorok. Jam itu mungkin jam yang dicuri ataupun yang dibeli pukal di Maidin Superstore, tetapi yang melakukan kerja-kerja itu adalah pendatang asing.

  4. Di bandar-bandar besar, ibu dan bapa yang mempunyai anak gadis yang bekerja ataupun pergi kelas tusyen di sebelah petang, selalu gusar dengan keselamatan anak mereka. Mereka mudah digoda oleh bajingan yang pintar untuk menggunakan segala tipu daya. Ada yang diberikan minuman berunsur dadah sehinggakan terpedaya yang membawa padah.

  5. Ramai lelaki Melayu kini mengabaikan rumah tangga mereka kerana menyimpan betina di kalangan pendatang haram. Yang paling galak dengan kerja ini ialah pihak angota polis dan tentera dan juga penguatkuasa Imigresen, Kastam dan Bandaraya. Mereka inilah kumpulan yang kerap melakukan operasi menyelongkar tempat sembunyi pendatang haram ini. Sebagai pampasan, berlakulah tawar menawar di antara pihak yang patut terpenjara dengan kumpulan yang sudah sanggup menjadi penjarah. Sekali sekala betina simpanan itu disogokkan juga kepada wakil rakyat yang datang untuk persidangan parlimen. Tentunya dengan upah yang setaraf dengan kemampuan pelanggan terhormatnya.

  6. Di sebelah malam kita kerap mendapati beberapa teksi yang tidak tahu pun arah hala yang dipandunya. Dia tidak tahu tempat yang diminta oleh penumpangnya. Mereka ini adalah orang luar yang mengambil kesempatan menyewa teksi orang tempatan yang keletihan. Inilah puncanya kisah pemandu teksi melakukan rompakan terhadap penumpangnya.

  7. Sempena bulan Ramadhan ini ramai pendatang asing akan berusaha lari pulang ke kampung. Tetapi mereka masuk dulu secara haram. Untuk keluar secara haram mereka akan mencuri bot pelayan di pantai yang bersiap sedia untuk ke laut. Nelayan yang mahu ke laut selalunya menyiapkan kelengkapannya lebih awal lagi. Di bulan puasa, mereka melakukan persiapan itu di siang hari dan bertolak selepas berbuka puasa ataupun selepas sembahyang tarawikh. Di waktu inilah banyak perahu nelayan itu yang dilarikan oleh pendatang asing. Kalau perahu itu dicuri di Melaka ataupun di Teluk Kemang, besar kemungkinan perahu itu dilarikan ke Tanjung Rupat, kira-kira dua jam dalam perjalanan laut.

    Soalnya sekarang bagaimanakah ratusan ribu pendatang asing ini mampu menerbus masuk ke negara ini sedangkan sistem pengawalan negara dikatakan salah satu tercanggih di dunia ketiga? Siapakah yang berani menggunakan khidmat pendatang tanpa permit ini tanpa ragu-ragu akan didakwa kalau bukan para kroni dan suku sakat pemimpin negara? Oleh kerana pendatang haram ini bekerja tanpa permit mereka tidak melalui ujian perubatan. Kerana itu penyakit berjangkit seperti Hepatitis 'B', Tibi, Gonorrhea, Syphilis dan AIDS semakin merebak di negara ini. Kalau semua pembawa penyakit yang berjangkit ini dibiarkan bebas, bukankah ini bererti rakyat marhaen yang tidak berdosa akan terus dipenjara apabila terkena jangkitan itu?


  8. Ramai pendatang asing berani berniaga secara terbuka. Kalau kita perhatikan di sebelah beberapa supermarket yang sibuk dengan pembeli belah, terdapat pemuda daripada Afrika yang menjaja tali-pinggang dan cenderahati secara bebas. Di Chow Kit ramai pendatang Myanmar berniaga bermacam permainan kanak-kanak, sedangkan mereka tidak pun mempunyai surat yang sah. Sekali sekala mereka akan dipanggil oleh seorang dua anggota polis yang tidak beruniform untuk dibayar 'cukai'; untuk terus hidup. Begitulah juga di Petaling Street, kita dapat lihat Cina asing yang tidak tahu bercakap sepatah pun Bahasa Malaysia menjaja barangan daripada Negeri Cina. Kalau kita tanya harganya dia akan menuliskannya di kertas dulu untuk kita turut setuju. Siapakah mereka itu kalau bukan satu hari nanti dijadikan calon pengundi hantu?


  9. Kemasukan pendatang tanpa permit bukan sahaja terhad kepada pendatang Indon, Thai, Myanmar, Bangla dan Filipina. Ramai juga yang datang daripada India dan Sri Lanka tetapi tidak dikesan kegiatan haram mereka kerana mudah diambil untuk bekerja oleh kaum India yang mempunyai kerakyatan negara. Sekaligus kedatangan pekerja India secara haram ini telah mengurangkan peluang bekerja masyarakat muda India di kalangan majikan sebangsa dengannya. Inilah salah satu punca kenapa ramai pemuda India yang lebih mudah bergelumang dengan kegiatan haram dan samseng. Semakin ramai yang berambut panjang dan berpakaian tidak senonoh seolah-olah mereka datang daripada satu keluarga yang terbiar.

    Malang memang menimpa masyarakat muda India masakini, kerana mereka tidak mempunyai pemimpin yang lebih baik daripada seorang khadam Lampu Aladdin. Mr. Sammmyy Velluu sebenarnya gagal memimpin kaumnya sendiri kerana terlalu ramai pemuda India yang terpesong arah hidupnya. Keadaan menekan ini terus menimpa masyarakat ini. Sebagai contohnya apabila ada insiden jenayah membabitkan pemuda India, mereka akan ditahan di lokap. Ini mencetuskan kisah bagaimana masyarakat yang tertekan itu akan mengeluarkan derma menyogok stesen polis yang menahan mereka agar memberikan ruang dan peluang untuk melepaskan anak-anak yang ditahan. Dilema ini berpanjangan. Setiap kali berlaku jenayah ataupun secebis kisah yang mudah dilupakan, polis akan datang menahan segala anak muda yang mereka terjumpa. Tujuannya ialah untuk mendapatkan habuan secara spontan. Sebagai reaksi kepada perbuatan jijik ini, ramai pemuda India terjebak lagi. Mereka lakukan kerja-kerja jenayah untuk mencari wang membayar kutipan yang dilakukan oleh ibu bapanya secara pinjaman yang tinggi bunganya. Siapakah yang terpenjara sebenarnya dalam kisah ini?


    Peluang pekerjaan yang diambil oleh pendatang asing dan ruang untuk hidup selesa disebabkan deruan hidup yang tidak mampu disaingi, membuatkan ramai pemuda dan pemudi India mencari ihsan dan belas kasihan daripada gereja Kristian yang memang bersedia membantu. Sekali lagi masyarakat India itu dihantui dilemma baru mengenai fahaman agama pula. Sekali lagi masyarakat itu menghadapi jalan buntu.


    Di Kuala Lumpur dan juga bandar-bandar besar di seluruh negara, kecuali di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, masalah jenayah yang dilakukan oleh kaum India merupakan satu masalah besar. Apatah lagi mereka kini sudah membabitkan pemuda Melayu dan Cina sehinggakan mereka mampu menunjukkan kekuatan dan kesamsengan. Dadah, rompakan, kerja maksiat membabitkan pelacuran dan sebagainya semakin melonjak naik grafnya kerana gejala ini bukannya mudah untuk dibasmi. Soalnya sekarang, kenapakah polis mampu memberkas penagih dadah tetapi tidak pernah mampu memberkas raja dadah? Seperti juga polis mampu menyekat kedai video haram tetapi tidak mampu menangkap peneraju dan taukeh operasi itu? Adakah sesiapa pernah terjumpa pihak polis menangkap pengusaha nombor haram? Yang terjumpa ialah kesan-kesan ataupun peralatan operasi haram sahaja. Kumpulan pengusaha sebenarnya tidak pernah tertangkap.

    Maksiat yang berleluasa ini menjadi satu raksasa yang menghantui masyarakat kita. Siapakah yang terpenjara sebenarnya?


  10. Kalau kita baca akhbar hari ini, ruangan yang luas diberikan terhadap harga beras tempatan yang naik meninggi disebabkan kemasukan beras luar negeri. Di waktu yang sama pengilang padi merasa terkilan kerana longgokan padi yang berlebihan. Hanya, pada 26.11.2000 dalam tulisan bertajuk (YTDT 15:)) Ayoyo Kadawalleee!!!, saya ada mengungkit perihal beras dan Bernas. [Rujuk KM2: Rencana 3301 - Editor]

    Nah......lihatlah dunia....satu skandal lagi sudah menjelma membabitkan beras negara. Soalnya, kenapakah beras diimpot lebih-lebihan tanpa mengambil kira stok yang melambak-lambak? Mungkin tujuan asalnya untuk mengambil kira padi yang banyak musnah ketika banjir yang baru melanda. Tetapi, bagaimana cerita dengan stokpail yang menggunung di kilang-kilang. Kalau pengimpotan itu dilakukan juga oleh tuanpunya kilang padi, bagaimanakah mereka dapat lesen impotnya sedangkan itu adalah khas untuk Bernas sahaja? Berulangkah unsur-unsur rasuah dalam pengimpotan beras seperti berlakunya pengeluaran lesen AP untuk membawa masuk kereta luar negara? Siapakah yang terpenjara sebenarnya dalam hal ini?




Mengenal Penjarah Negara


Begitu banyak masalah dan skandal negara yang akan terdedah. Walaupun Mahathir sudah berusaha selama ini menyekat kebebasan akhbar dan menghapuskan samasekali peluang rakyat berinteraksi dengan benar. Kerelaan Mahfuz dipenjarakan sebagai gantian daripada membayar denda adalah satu permulaan betapa rakyat marhaen akan bangkit secara bersepadu seluruh negara. Adalah secara kebetulan ketika Mahfuz masuk Penjara Kajang dulu, niatnya itu sudah lama dikesan oleh kumpulan perisik kerajaan. Perkara ini mungkin tidak disedari oleh Mahfuz dan teman-temannya, tetapi sebarang langkah yang dilakukan secara berkawan dan berparti sudah pasti mampu dipantau oleh pihak yang berkuasa. Segala jentera risikan memang khas ditumpukan kepada usaha itu. Kerana itu kita lihat pilihanraya kecil di Lunas ditetapkan setelah mengambil kira tempoh Mahfuz terpenjara. Kerana itu juga kita lihat kes penghakiman Al Maunah ditangguhkan sehingga 4 Disember kerana kerajaan tidak mahu 'sandiwara singkat di Kampung Jenalik' itu mengimbau ingatan pengundi Melayu kepada dilema Memali. Oleh kerana Lunas juga, makanya kes pengadilan Irene Fernando masih tertangguh lagi kerana ketiadaan penterjemah yang berwibawa. Sedangkan ramai orang yang mampu menjadi penerjemah dalam Bahasa Urdu ataupun Hindi mengikut yang diperlukan. Kes itu ditangguhkan untuk menutup keaiban yang dilakukan oleh anggota polis.


Penangguhan kes-kes mahakamah itu memberikan gambaran betapa institusi kehakiman dan kepolisian negara sudah jatuh terperuk kerana terlalu teruk diputar belit oleh seorang diktator tua. Apabila Lunas dilangsungkan, kehadiran begitu ramai pengundi hantu telah meyakinkan rakyat bahawa negara ini sudah sampai ke tahap yang sungguh haprak sehingga tidak mampu lagi di selamatkan hanya dengan iltizam manusia biasa. Rakyat marhaen yang menaruh harapan agar negara dapat diselamatkan hanya dengan doa dan keyakinan diri, akan merasa kecewa satu hari nanti. Malaysia dan Mahathir kini sudah menghampiri ambang anarki seperti yang saya tulis di bawah tajuk: "Memahami Getaran Revolusi Rakyat" dan "Dasar Muka Tidak Tau Malu"


Kalau kita lihat taktik UMNO sekrang ini, ia cuba memperbaikki imejnya dengan menuding jari ke arah orang lain. Kepada MIC, tuduhan yang besar ialah mengenai calon yang salah di Lunas. Kepada MCA dan Gerakan tuduhan yang dibuat oleh UMNO ialah kerana kegagalan menerangkan konsep Sekolah Wawasan. Semua ini tidak mengambil-kira segala tohmahan yang dibuat mengenai perpecahan Barisan Alternatif terutama sekali mengenai perpecahan DAP yang dikatakan akan berpecah belah. Semua tuduhan ini adalah bertujuan untuk menutup malu kerana kalah di Lunas. Kini, Pemuda Umno sudah mengemukakan surat bantahan kepada SUHAKAM mengenai kegiatan Barisan Alternatif di Lunas dulu, terutama sekali dalam usaha menyekat kemasukan pengundi hantu.


Ironisnya, sudah ada segelintir pengundi hantu yang sedar dan sanggup maju ke hadapan mengaku betapa mereka sengaja di bawa ke Lunas untuk menjadi pengundi hantu. Sikap paling tadah "pengundi hantu" yang sedar ini harus diterima oleh Barisan Alternatif dengan tangan terbuka dan saya fikir sudah sampai masanya Barisan Alternatif itu bertukar nama menjadi "Barisan Rakyat".

Dalam artikel ini kita tidak akan mengusik langsung akan segala kerja jijik yang dilakukan oleh Barisan Nasional di Lunas. Tetapi kita mahu ungkit akan kerja-kerja pembohongan yang dilakukan oleh Raja Kelentong bersama seluruh anggota kabinetnya dan juga oleh majlis Tertinggi UMNO yang membodeknya.

Sejak Ramadhan bermula yang bersamaan dengan kemenangan Barisan Rakyat di Lunas, Raja Kelentong telah melakukan pembohongan setiap hari tanpa henti-henti. Kerana itu ramai pemberita luar negara menggelarnya sebagai 'The Pathological Liar'. Ini membawa erti orang semacam ini boleh mati kalau dia tidak hidup berbohong. Pertama kali dia disindir dengan gelaran ini, akhbar media perdana tidak mahu menyebutnya. Tetapi, kini semakin ramai orang sedar bahawa sesaorang yang diberi gelaran 'pathological liar' ini sebenarnya seorang yang sudah bertaraf sewel.


Apakah yang boleh diharapkan daripada seorang pemimpin bertaraf sewel ini? Bagaimanakah dia mampu mengundang rakyat Terengganu yang dikatakan bekas ahli PAS datang ke Putrajaya untuk berbuka puasa? Apakah tujuannya menghabiskan wang rakyat untuk tujuan itu? Berapa ramaikan di kalangan jemputan itu yang sudah menjadi ahli Pas Baru? Yang penting sekali kenapakah wang rakyat terus dibazirkan dengan mengadakan buka puasa untuk tujuan berpolitik?

Rakyat Terengganu yang datang ke Putra Jaya untuk berbuka puasa tidak payahlah berlagak sakan. Ingatlah akan hal wang royalti yang memang hak rakyat Terengganu tetapi diselewengkan menjadi Wang Ihsan. Kalau berbuka puasa di Putrajaya itu semata-mata untuk diputar minda kerana wang royalti yang sudah dicuri, eloklah beristigfar banyak-banyak. Jangan mudah terlopong melihatkan keindahan Putrajaya ataupun KLIA ataupun Menara Kembar Petronas. Semua projek mega itu memerlukan wang untuk membayar hutang pembinaannya. Semua hutang itu akan dilunaskan daripada wang royalti yang sepatutnya menjadi hak rakyat Terengganu. Ingat dulu saudaraku di Terengganu berapakah harga minyak sawit sekarang dan berapa pula harga sekilo getah sekerap? Bandingkan dengan harga sekeping tahu dan sebotol budu cap limau di Kuala Berang. Jangan mudah terpedaya oleh Raja Kelentong yang sudah bernyawa ikan itu....!!!!


Bila Penjarah Mula Gelabah


Kalau kita amati cara hidup kita sekarang ini berbanding dengan segala kemewahan yang dinikmati oleh golongan yang dipanggil Wakil Rakyat dan sekutunya, kita akan sedar bahawa Malaysia sedang menuju ke arah jalan yang amat kelam. Malaysia sebenarnya semakin menghampiri lorong anarki. Semua ini kerana institusi kerajaan yang ada sudah lumpuh kerana meyimpang jauh daripada matlamat asalnya dan martabat lama yang sungguh mesra rakyat dan mulia tempatnya. Keadaan ini lebih diaibkan oleh kerana Majlis Raja Raja (MRR) tidak melakukan tugasnya seperti yang diharapkan oleh rakyat. Mahathir Mohammad sebagai penjarah terunggul negara mampu melakukan segala putar belit kerana MRR itu sendiri sudah kehilangan apa yang disebut sebagai kedaulatan sultan dan raja.

Mahathir mampu memutarkan minda MRR kerana kelakuan haprak segelintir raja yang sanggup mengenepikan kesetiaan rakyatnya. Bayangkan apabila ada raja yang sanggup mengahwini orang luar. Di Britain dulu seorang raja sanggup turun takhta kerana dia mengahwini seorang janda walaupun daripada bangsa yang sama. Tetapi di negara ini raja dan sukusakatnya sanggup mengahwini seorang pelayan kasino ataupun 'croupier' meja judi. Pernah terjadi seorang raja (yang masih lagi bertakhta) melakukan kerja maksiat di dalam kereta pembawa kuda di tapak Kelab lumba kuda polo lama yang kini dijadikan Kelab Raintree. Di waktu yang sama, semua raja-raja mahukan rakyat menyebut Daulat Tuanku, daulat tuanku.....!! sedangkan mereka sudah lama lupa apakah maknanya sebenar kata-kata itu. Oleh kerana raja-raja sudah tidak relevan lagi dalam masyarakat madani ini, makanya Mahathir mampu memutarkan minda mereka. Kerana itu pada satu ketika dulu Tengku Abdullah berada di Israel berbincang dengan pemimpin Israel. Kerajaan menafikan pemergian Tengku Abdullah itu adalah sebagai wakil proksi Mahathir. Tetapi, sejarah membuktikan itulah yang sebenarnya. Kerana itu apabila Mahfuz Omar dan teman-temannya berpiket menentang kemasukan pemain kriket Israel, dia ditahan dan didenda oleh mahkamah.

Siapakah Ketua Persatuan Kriket Malaysia kalau bukan seorang anak raja? Adakah dia perihatin dengan perasaan rakyat? Kalau dia cakap Bahasa Melayu masih pelat walaupun usia sudah tua bangka, apakah yang diharapkan daripadanya?

Apakah dosa Mahfuz dan kawan-kawannya berpiket menentang Israel? Dia dipenjarakan semata-mata kerana dia melanggar wawasan seorang diktator tua yang mahu menjadi insan yang diterima oleh semua lapisan pemerintah dunia. Cuba kaji semula apa yang dikatakan oleh Mahathir di Doha dulu. Bukan main dia berlagak seolah-olah dia pejuang tulen memerangi regim Israel. Kalau kita lihat gambar dia berpelukan dengan Yassir Arafat, dia seolah-olah sahabat paling setia pemimpin Palastin itu. Tetapi, begitu juga yang dilakukannya ketika berpelukan dengan Fidel Castro. Dengan lain perkataan, Mahathir sudah sewel sehingga berfikir dialah sebenarnya juara dunia keseluruhannya. Semua orang yang berani berkata menyanggahnya adalah musuh ketatnya. Penyakit inilah yang menjalar ke segenap institusi kerajaan. Itu sebabnya polis sanggup mengeluarkan gambar kanak-kanak berumur lima tahun kerana berhimpun secara haram.


Sikap menghina rakyat yang mahu berhimpun dengan aman baik sebagai bantahan terhadap kerajaan ataupun negara asing adalah satu pertanda bahawa regim Mahahtir sudah diambang senja. Hanya menunggu masa untuk berlalu. Mahathir sedar akan fenomena ini, cuma mahu mempertahankan kuasanya itu untuk satu waktu sehingga dia tidak mampu lagi menepisnya. Inilah tempoh yang paling mencabar dan amat berbahaya kepada Malaysia dan kepada rakyat yang cintakan kedamaian.

Kini, gelagat UMNO untuk memperlekehkan rakyat kerana kekalahan BN di Lunas menunjukkan Mahathir sedang mengubah strategi untuk menekan rakyat lagi. Saya menjangkakan beberapa tindakan ganas akan dilakukan oleh Mahahtir untuk melekakan rakyat agar tidak bangkit menentangnya.


  1. Mahathir kerap bercakap mengenai perbuatan tentera asing menggulingkan kerajaan yang tidak memberi menafaat kepada rakyat jelata. Ini menunjukkan Mahathir takut akan kebangkitan tentera yang dikatakan sudah berpuak-puak.

  2. UMNO mahu polis bertindak terhadap Barisan Rakyat kerana menyekat pengundi hantu berganas di Lunas. Ini adalah satu cabaran agar polis di Kedah mula dimusuhi oleh rakyat. Perbalahan yang berterusan di antara rakyat dengan polis akan membantu Mahathir memulas rakyat. Inilah yang berlaku ketika Ibrahim Libya diganyang dulu. Sehingga kini Episod Memali masih belum diselesaikan di mahkamah.

  3. Skandal Limo KLIA akan membabitkan BPR. Tetapi apakah yang mampu dilakukan oleh BPR dalam siasatannya itu nanti kerana Limo KLIA itu adalah syarikat kepunyaan Pemuda UMNO juga. Sepatutnya BPR sudah sibuk-sibuk memeriksa bagaimana Samy Vellu berbelanja sakan di Lunas dulu dan bagaimanakah kontrak kerja diberikan hanya kepada orang tertentu.


Apakah Iktibar Mahfuz Daripada Penjara Kajang

Sepatutnya Mahfuz mula menulis akan pengalamannya di penjara itu. Cuba tulis mengenai keadaan penjara dan makanan yang tidak layak dimakan manusia. Tetapi, yang penting lagi cuba tulis bagaimana sistem penjara adalah satu sistem di mana Mahathir meletakkan manusia dalam peti ais sahaja.

Di negara maju seperti di Amerika, ramai banduan yang menjadi kaya-raya kerana diberikan ilmu kehidupan. Sonny Liston, Jack Johnson, Mike Tyson dan ramai peninju hebat dunia muncul dan terserlah daripada penjara. Ramai pemain bola tampar dan bola lisut Amerika muncul daripada penjara. Di Korea dan Argentina ada beberapa pemain bolasepak yang handal muncul selepas terpenjara. Malahan Malcolm 'X' seorang banduan yang akhirnya menjadi pendakwah Islam mendapat ilham itu semasa dia berada di khutubkhanah penjara. Apakah yang pernah dihasilkan oleh sistem penjara negara ini?


Kalau kita tinjau pusat serenti tidak ada satu pusat pun yang melahirkan manusia yang berguna akhirnya. Sistem penjara itu memberi makan dan minum kepada banduan dan bila selesai Asar mereka disuruh bersiap sedia untuk makan malam dan kemudiannya dikenakan tahanan malam agar tidur sampai pagi. Bayangkan, betapa ruginya negara apabila anak-anak muda dibiarkan terpenjara tanpa mendapat ilmu pengetahuan untuk dijadikan bekalan hidupnya. Apabila mereka keluar apakah yang mereka tahu dan mahu lakukan untuk tidak lagi terjebak ke kancah maksiat? Mereka tidak dapat bertahan lama melainkan melakukan maksiat lagi. Betapa pun mereka berusaha untuk mengelaknya, pengaruh suasana keliling memerangkap mereka lagi. Inilah sistem penjara yang dilakar oleh seorang diktator tua yang begitu lama menjadi menteri hal ehwal dalam negara. Kenapakah tidak diajar banduan penjara memasang-siap sebuah kereta Proton seperti yang dilakukan oleh banduan Brazil untuk memasang siap Volkswagen di bengkel penjara mereka?


Kalau kita lihat perbelanjaan besar yang dikeluarkan untuk membina penjara di negara ini, kosnya membuatkan kita diiktiraf sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem penjara yang canggih. Tetapi, kecanggihan itu terletak kepada cara mengawal banduan dan bukan kepada cara memperbetulkan tabiat banduan itu. Apabila si banduan dibebaskan, perangainya sebagai penjarah masih tidak berubah. Begitulah akibatnya dengan sikap pengikut UMNO yang memberikan peluang yang begitu besar kepada Mahathir untuk memimpin mereka. Segala peraturan baru dan pindaan yang dilakukan kepada perlembagaan parti adalah bertujuan untuk mengekalkan Mahathir di tampuk kuasa. Ini tidak akan merobah perangainya untuk memimpin rakyat ke arah kesejahteraan. Apabila pemimpin ulung rakyat menjadi Raja Penjarah, masyarakat yang dipimpinnya pun sedikit demi sedikit akan menjadi penjarah juga.

Oleh kerana Mahathir menganggap sepi akan keadaan di penjara, kita lihat sekarang pihak polis mahu membuat 'operasi Warta' terhadap mereka yang tidak membayar saman. Apakah pihak polis ingat saman itu dibayar dengan wang rasuah yang diterima oleh orang yang kena saman? Kalau beratus ribu waran tangkap dikeluarkan kerana gagal membayar saman, siapakah sebenarnya yang silap dalam hal ini? Rakyat marhaen tidak mampu membayar sehingga RM300 bagi setiap saman. Ini bukannya jumlah yang kecil. Apakah ertinya menyaman orang lari laju di jalanraya sedangkan raja-raja dan para menteri serta para kroni dan sanak saudara mereka boleh lari sehingga melebehi 200 kilometer satu jam. Apakah keistimewaan mereka memecut di lebuhraya sedangkan mereka tidak pun membayar tol dan cukai jalan? Malahan mereka diberikan iringan polis untuk lari laju semacam orang gila.

Apa salahnya kalau kadar kelajuan di lorong luar dinaikkan sehingga 150 kpj seperti yang dilakukan di Autobhan Jarman ? Di sana sesiapa yang lari kurang daripada hadlaju itu dikenakan saman, bukannya mereka yang lari lebih laju. Kerajaan tidak mampu mengenakan peraturan baru seperti ini kerana lebih lima puluh peratus pemandu di jalanraya kita adalah pemegang lesen terbang. Siapakah sebenarnya yang terpenjara dalam hal ini?


Apa yang akan jadi kalau sepuluh ribu rakyat yang disaman itu memilih untuk dipenjarakan? Pihak polis harus sedar akan perkara ini sebelum terlambat dan sebelum rakyat yang rela dipenjarakan sahaja menjadi satu skandal yang membesar menjadi satu gelombang manusia yang sanggup mengadakan himpunan raksasa. Masanya mungkin muncul apabila ada rakyat marhaen yang lebih rela dipenjarakan daripada membayar saman kerana harga saman yang terlampau tinggi.

Sekarang rakyat disuapkan dengan satu dakwaan bahawa Polis dikerah mengutip saman kerana kerajaan mahukan wang membayar bonus kakitangan kerajaan. Inilah yang membuatkan rakyat marah lagi. Inilah yang memerlukan polis lebih bijaksana. Adalah lebih elok kalau polis mengenakan satu peraturan baru bahawa setiap saman yang tertunggak dikira setakat RM10 (sepuluh ringgit sahaja). Dengan cara itu semua yang kena saman itu akan datang ke balai dan melunaskan hutang mereka. Membiarkan perkara ini berpanjangan akan mengeluarkan belanja yang besar di pihak polis kerana kerahan tenaga yang besar jumlahnya. Eloklah polis menumpukan aktibiti terhadap anasir luar yang masuk tanpa izin dan menghalau mereka daripada negara ini. Ataupun menangkap segala bajingan yang berkeliaran di kotaraya mencari mangsa untuk didera, diculik dan diperlakukan mengikut nafsu yang menggila.


Disebabkan anasir rasuah dan kedatangan orang luar secara haram, wibawa anggota polis sudah jatuh begitu rendah sekali. Ini diperkuatkan lagi oleh gelagat pasukan gerak khas ataupun FRU yang mudah menunjukkan perangai bengis bila berhadapan dengan rakyat marhaen. Gelagat polis bajingan seperti ini mencetusakan soalan, siapakah sebenarnya yang mereka takutkan? Apakah mereka lebih takutkan Mahathir daripada Tuhan?

Hasil tulisan saya bertajuk "Dasar Muka Tidak Tau Malu" barulah pihak polis mahu melakukan ujian kencing untuk mencari anggota polis biasa dan FRU yang sebenarnya penagih dadah. Kenapakah perkara ini mengambil satu masa yang panjang untuk membawa kesedaran kepada pihak berkusa polis? Jawapannya terletak kepada sikap Mahathir yang membiarkan fenomena itu berkembang luas di kalangan warga Polis agar mudah beliau memutarkan minda mereka. Sebelum Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu ramai pegawai polis yang menonjol dan menyerlah dalam bidang sukan negara. Ada yang mewakili negara (seperti Sarjan Abdul Rahman) dalam permainan Piala Thomas. Malah ada yang bersinar dalam ragbi, kriket dan juga hoki. Ketika itu ancaman komunis masih lagi berbisa. Kini, negara sudah aman, tetapi angkatan polis kita terlalu jauh kebelakang dalam serba serbi kehidupan ini. Anak-anak mereka pun tidak menjadi kerana ramai yang menjadi penagih dadah dan melakukan jenayah. Apakah semua ini tidak dibawa ke pengetahuan menteri berkenaan?

Jelas, episod terpenjaranya Mahfuz Omar adalah satu kehendak Allah agar segala kejijikan di sebalik tembok berjeriji besi akan lebih terserlah. Segala pendedahan semua itu akan menaikkan semangat rakyat yang akan sedar akhirnya bahawa walaupun hidup bebas, rakyat marhaen di Malaysia ini sudah lama terpenjara sebenarnya. Yang memenjarakan mereka ialah segala kerakusan, kelentongan dan kerja-kerja curang membalun harta rakyat yang dilakukan oleh seorang pemimpin bertaraf bangsat dan para kroninya yang selama ini berjaya memutarkan minda rakyat untuk terus memuji mereka. Pengundi Lunas telah bertindak agar rakyat marhaen bangkit dan menyanggah segala kerakusan yang dipelopori oleh si diktator haprak itu.

Sampai bilakah rakyat akan terpenjara begini? Hanya Mahfuz, Ezam, Roslan Kassim, Salahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail, Azmin Ali, Adam Ahmad, Gopalakrishna, Sadirah K, Zunar, Itoh, Zulkifli Sulung, Tian Chua, Lim Guan Eng, Matdeghih, Puan Nora, Elniza, Dahlia, Kariena Abdullah, Nurul Izza, Sabri Zain, Celine Tan, Mr. Changgih, LTL, Mat Perlis, Kak Id, Mantaram, Dr. Hatta, Mr. Boo,Tokey Bas, Zabymulia dan ramai lagi generasi muda dalam Barisan Rakyat yang mempunyai segala jawapannya. Kami golongan tua hanya mampu merakamkan segala peristiwa yang memperlekehkan bangsa dengan menyorot sejarah silam agar generasi muda tidak tertipu lagi. Mahathir dan para kroninya sudah tidak relevan lagi. Bertindaklah secara bersatu sebelum terlambat dan sebelum negara ini punah kerana rakyat marhaen kehilangan arah.

-marhaintua-
13.12.2000.