Laman Webantu   KM2A1: 3397 File Size: 29.0 Kb *



Siri 22 YTDT: Yang Meraba dan Meraban
By Marhain Tua

12/12/2000 3:02 am Tue

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 22

[Kekalahan BN di Lunas nampaknya turut mengegarkan kepimpinan pemuda umno. Aziz Sikh Fadhir terkapai-kapai menjadi kambing hitam...padahal kambing sebenar ialah seekor jembalang yang mengata macam-macam kepada orang cina semasa hari merdeka dan kepada pendidik cina di Kedah dekat Lunas. Aziz mengambil langkah meletak dan mengambil jawatan (macam bola sahaja) seperti orang yang tidak berpendirian. Walaupun begitu sikap sedemikian masih gagal untuk memadamkan imej beliau dan umno yang sengaja hendak menunjukkan kekuatan samseng kepada Suqui dan berlagak berlebihan. Sikap berbiadap terhadap tata sulia kaum berbilang bangsa di negara ini itu sudah di bayar di Lunas dengan dahsyatnya oleh pengundi Cina. Kini orang Cina tahu pemuda umno tidak ada benda.... mereka memalukan sahaja! - Editor ]



YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 22 : YANG MERABA DAN MERABAN



Yang Meraba dan Meraban

Kesian Aziz Sikh Fadzir, semua orang menganggapnya laksana satu karong belasahan. Semua orang mudah menganggapnya sesuai dijadikan satu "punching bag" sekarang ini. Mereka terlupa dia adalah seorang timbalan ketua pemuda UMNO yang satu hari mempunyai peluang menjadi perdana menteri. Semua ini gara-gara kekalahan BN di Lunas dan kerana Mahathir naik ganas.


Memang tidak adil menuduh Aziz Sikh secara melulu sedangkan semua Pak Menteri, Mak Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ada berkempen di situ. Malahan Perdana Menteri pun diura-urakan datang juga cuma di saat terakhir kecut perutnya sehingga tidak jadi menunjukkan muka. Nasib baik yang kecut itu terletak di perut, kalau di tempat lain, adalah yang kena urut. Ataupun terkena carut?

Sebenarnya Aziz Sikh tidak boleh disalahkan sangat kerana kekalahan di Lunas itu. Semua perancangan untuk menang memang sudah dirancang begitu jitu. Mula-mula sekali gambar S. Anthonysamay diolah agar kelihatan lebih hebat berpakaian jubah. Kemudian gambar diedarkan di setiap rumah seolah-olah itu kerja pihak pembangkang sedangkan sehingga selesai hari pencalonan, pihak pembangkang sudah menjadi resah. Skandal penarikan DAP yang diatur begitu rapi untuk dijadikan satu penghambat usaha berkempen sudah semakin menunjukkan bisanya. Pucuk pimpinan DAP menggelabah, akhbar kerajaan dan media letronik pun membesarkan segala fitnah. Inilah yang mampu memancing pengaruh pengundi India di Lunas sehingga pejabat DAP yang baru dibuka terpaksa ditutup semula.

Pengarah medan, Samy Vello, telah bertungkus lumus memancing undi secara pukal. RM21 juta dibawa turun untuk diagihkan kepada beberapa projek kilat untuk melunaskan segala projek tertunda selama 43 tahun lamanya. Sambil memandorkan projek itu dia membuat ikrar baru: "Saya akan menetap di sini, kalau BN tidak menang pilihanraya ini." Sayang, ikrar seorang presiden MIC yang sanggup bertungkus lumus selama lapan hari membawa satu perubahan yang besar sehinggakan Lunas menjadi pekan tercanggih, di mana rakyatnya tidak tahu mengenang budi. Lunas tumpas, dan menggemparkan seluruh tenaga pemikir BN yang begitu angkuh selama ini. Samy Vellu lari keluar daripada Lunas. Seperti juga semua Pak Menteri dan Mak Menteri yang lesap lebih awal lagi sebaik sahaja muncul desas-desus bahawa kekalahan sudah berada di ambang pintu BN. Hanya abang kepada Aziz Sikh yang merupakan menteri kebudayaan dan pelancongan yang sanggup menunggu sehingga keputusan pilihanraya diberitahu.

Alangkah aibnya perkara ini, semua pemimpin lari terlebih dulu secara senyap-senyap, termasuklah calon MIC yang mewakili BN di pilihanraya itu. Bagaimanakah perasaan segala petugas dan pengundi yang sanggup kerja setiap hari, sampai ada yang sanggup mengambil cuti meninggalkan anak isteri ataupun suami berhari-hari? Bagaimana pula petugas tempatan yang turut kecewa dengan keputusan yang diterima dan mahukan belaian simpati daripada para pemimpinnya? Kalau yang tua-tua terpaksa pergi dulu kerana sebab sesuatu kenapakah golongan yang muda yang sepatutnya menjadi pelapis pemimpin negara ikut sama?


Di sinilah letaknya kesilapan Aziz Sikh kerana dia juga turut melesapkan diri mengikut ragam pemimpin yang lainnya. Dia lupa sebagai wakil peribadi ketua pergerakan pemuda UMNO dia sepatutnya bertahan lebih lama lagi dan lebih bersabar lagi di Lunas, tidak kiralah kalau keadaan semakin panas. Tetapi, takkan Aziz sanggup meletakakn jawatannya sebagai timbalan ketua pemuda UMNO semata-mata kerana kekalahan di Lunas? Jenis pemimpin apakah yang mudah menyerah kalah hanya dengan satu kekalahan? Apakata masyarakat Cina yang dulu terpesona dengan keberanian Aziz mengingatkan mereka agar tidak menjolok sarang tebuan? Apa pula kata masyarakat India yang memang cemburu dengan Aziz kerana mampu menjadi ahli UMNO sehingga berpakat tinggi di situ?


Apa pula kata ahli UMNO terutama sekali masyarakat pemuda yang memberikan kepercayaan tinggi kepada Aziz selama ini? Esok lusa kisah perdebatan antara Hisyamuddin Husin dengan Mahfuz Omar akan timbul semula. Apakata, kalau Hisyam terpaksa pergi ke Australia menjalankan tugas negara, bukankah Aziz yang terpaksa menggantikan tempatnya?



Strategi Menipu Rakyat

Terlalu banyak yang telah ditulis mengenai Lunas. Bukan sahaja penulis tanahair yang melakukannya, ramai juga penganalisis luar yang telah menulisnya. Lunas kini bukan lagi dianggap sebagai sebuah pekan kecil yang telah melakar satu sejarah besar. Lunas kini sudah dijadikan lambang kepada satu semangat rakyat yang akan melakar sejarah yang lebih besar lagi. Barisan Nasional dan juga UMNO sudah sedar akan perkara ini kerana itu, sebaik sahaja kekalahan datang melanda, Mahathir merupakan orang yang pertama memegang gambar S. Anthonysamy dengan pakaian padri. Itulah bahan pertama beliau menuduh Barisan Alternatif menang di Lunas kerana menipu.

Orang UMNO sendiri pun tahu bahawa ketika itu Mahathir mahu kelentong lagi. Otak yang waras pun sanggup menyedarkan kita bahawa ketika kempen masih bermula di Lunas, Saifuddin Nasution Ismail dan para petugasnya masih menjalankan kempen rumah ke rumah sambil menanti ketibaan sukarelawan dari luar dan bahan cetak yang masih lagi belum siap. Tetapi, gambar Anthonysamy dengan pakaian padrinya sudah berselerak di Lunas. Keadilan terus menafikan bahawa itu kerja mereka dan ini diikuti oleh parti lain dalam Barisan Alternatif.

Kini sudah timbul cerita di Lunas bahawa taktik Mahathir itu mencetuskan kejijikan ramai pengundi India Hindu yang memilih calon MIC dulu dan mereka amat menyesal dengan sikap mereka.


Tidak ada negara yang mengamalkan demokrasi di dunia membolehkan sebarang parti mengeluarkan belanja besar di ketika kempen pilihanraya dilakukan. Tetapi, inilah amalan BN dan UMNO. Ini sebenarnya satu sogokan rasuah dan boleh didakwa mengikut peraturan mahkamah. Tetapi, siapakah yang berani melakukan tindakan ini kerana sistem mahkamah itu sudah luntur martabatnya.

Kalau dilihat akan belanja yang dikeluarkan, kita tahu semua kerja yang dilakukan laksana kilat itu adalah kerja yang kurang kualitinya. Mengikut catatan MGG Pillai, hampir semua projek besar di situ telah diberikan "kepada syarikat kepunyaan Aziz Sikh Fadzir". Kalau betullah perkara itu ini bermakna bahawa muslihat menyogok rakyat itu pun melibatkan timbalan ketua pergerakan pemuda UMNO yang sepatutnya menjadi hulubalang utama dalam pilihanraya itu.


Berita Aziz Sikh sibuk dengan kontrak kerja-kerja pemulihan Lunas itu memang sudah mula disebarkan di awal kempen lagi. Cuma, rakyat marhaen tidak sedar bahawa semua projek itu pergi kepada pada Aziz dulu sebelum berpindah kepada kontraktor dan sab kontraktor yang lain. Patutlah Aziz terlalu sibuk ketika itu. Dia hanya menunjukkan muka sekala sekali untuk menyain buku kedatangan. Kalau ada orang akhbar dan TV ketika dia datang itu, Aziz pun sibuk lagi menghentam BA dengan segala fitnah yang terfikir olehnya. Memang, Aziz amat pandai meraban dengan keceluparannya.

Keceluparan Aziz Sikh di Lunas dulu memang menjijikkan bukan sahaja para wartawan yang mendengarnya, bahkan ahli-ahlu UMNO yang berada di Lunas itu. Kebanyakan merreka berada di Lunas bukan dengan kerelaan hati tetapi kerana terpaksa. Mereka pun hairan apa perlunya bertungkus lumus berkempen kalau mereka sudah lama diberitahu bahwa Lunas adalah salah satu kawasan BN yang paling selamat di Kedah? Lagipun, mereka terpesona dengan kerja-kerja baik-pulih yang dilakukan oleh Samy Vellu sehinggakan mereka lebih bercerita akan projek semacam itu di kawasan mereka pula. Menjadi kelazimannya kalau melihatkan projek berjuta ringgit dilakukan secara kilat, siapa pun mengidamkan peluang mendapatnya. Untung yang diraih secara kilat juga.

Para pemimpin yang datang berkempen secara menunjukkan muka di Lunas hanya mundar-mandir di kawasan tertentu mengikut yang ditugaskan kepada mereka. Yang mereka tumpukan ialah kawasannya dan bukannya manusia di kawasan itu. Apatah lagi para pengundinya di situ. Itulah teknik yang dilakukan di Sanggang dan juga di Teluk Kemang. Mengikut amalan lama itu, usaha menunjukkan "ramai" penyokong luar dalam projek "anak angkat" orang tempatan, sudah memadai untuk memenangkan undi. Apatah lagi kalau buah tangan dilengkapkan dengan agehan cenderahati. Semangat perkampungan itu adalah satu cara untuk menawan dan menambat hati orang yang menanti. Samada hati mereka menerimanya sehingga mampu memangkah kertas undi mengikut yang mereka janji, adalah perkara lain pula. Itulah teknik yang berjaya di Sanggang dan di Teluk Kemang. Takkan di Lunas ia tidak boleh berjaya juga...!!!


Perasaan bermegah bahawa kemenangan tetap sudah berada di tangan adalah satu perasaan mengikut tradisi yang lama. Maklumalah, kuasa mutlak selama 42 tahun ke atas Lunas adalah satu kuasa yang tidak mungkin dapat dirungkai oleh pihak lawan dengan usaha berkempen untk selama lapan hari. Keangkuhan bahawa kemenangan sudah ada dalam tangan inilah yang membuatkan UMNO dan juga parti komponen BN yang lain, menjadi riak. Yang sebetulnya keangkuhan itu adalah satu topeng untuk menutup segala kelemahan yang mudah ketara. Di Lunas dulu, MCA dan Gerakan tidak mampu berbisa, sehinggakan petugas MCA terpaksa berdiri di tepi jalan, cuba mempengaruhi masyarakat Cina. Petugas parti serpihan MIC pula sibuk mundar-mandir berkereta secara berkonvoi, tetapi itu hanya usaha menayangkan kekutaan yang tidak seberapa. Di kalangan UMNO pula kekuatan yang mereka tayangkan terletak kepada barisan khemah ala padang Arafah di Sg. Limau. Pasukan pemuda dan puteri UMNO hampir tidak wujud. Sekali-sekala ada juga kelihatan beberapa motorsikal membawa bendera UMNO dan BN yang ditunggang oleh beberapa belia yang tidak semestinya boleh mengundi di Lunas ataupun boleh dipertikaikan apakah mereka benar-benar ahli UMNO. Inilah taktik BN dan UMNO sebenarnya, di setiap musim pilihanraya. Yang menjadi pemimpin besar bersikap celupar dan meraban dengan kata-kata yang sungguh angkuh dan penuh eksyen. Yang menjadi pemimpin kecil masih meraba-raba mencari jawapan yang disoal oleh rakyat marhaen.


Seseorang yang berpengalaman dalam gelagat berkempen mampu menilai dan merumuskan bahawa memang sah terdapat kelemahan yang sungguh ketara dalam persiapan BN di Lunas, terutama sekali dengan tenaga UMNO untuk membantu calon MIC menang di situ. Oleh kerana sokongan kepada UMNO sudah merudum begitu teruk sekali, apakah jalan lain yang perlu dilakukan selain daripada menabur fitnah dan mengeluarkan berita buruk terhadap pembangkang? Jawapnnya terletak kepada tenaga "hantu".


Pengundi Hantu Datang Membantu

Kisah pengundi hantu bukan satu cerita baru. Ia berlaku di Sanggang dan ia juga berlaku di Teluk Kemang. Di Sanggang ia berlaku dengan begitu licik sekali. Pihak yang menyedarinya tidak mahu bertindak dengan tegas kerana memikirkan peluang untuk menang dalam kes semacam itu amat tipis sekali. Bukan sahaja mahkamah yang tidak akan berpihak kepada parti pembangkang, malahan pihak polis yang diperlukan untuk membantu memang dikenali tidak akan berpihak kepada kebenaran pembangkang. Lagipun, Sanggang telah dimenangi oleh seorang wakil rakyat Melayu yang merupakan orang tempatan juga.


Di Teluk Kemang fenomena pengundi hantu muncul kembali. Sekali lagi pihak pembangkang tidak mampu membantah secara keras kerana sebab yang sama, lagipun untuk mendapatkan sokongan pihak yang mudah dibeli hatinya dengan wang berjuta-juta adalah satu kerja yang sia-sia.

Peluang membalas dendam hanya terletak di Lunas kalau pihak Barisan Alternatif dapat bersiap lebih awal lagi menangani kedatangan pengundi hantu itu. Taktik kemasukan pengundi hantu adalah lebih kuang sama. Pertama, nama pengundi yang lama memangkah di Lunas dihilangkan. Seramai 2000 pengundi mendapati nama mereka lesap. Tanpa sebab. Ini bererti sekurang-kurangnya dua ribu pengundi hantu akan datang menggantikan peranan mereka. Ini juga bererti mereka boleh datang ke Lunas dengan pelbagai cara; berjalan kaki, bermotor, berkereta ataupun secara berkumpulan menaikki bas.

Yang datang dengan motor dan kereta tentu tidak mampu dikesan dengan mudah kerana mereka masuk secara bersahaja, mungkin sebagai petugas sukarela. Mereka yang datang dengan bas secara kumpulan yang boleh lagi dipintas kalau dapat dikesan. Itulah yang belaku sebenarnya dan penangkapan pengundi hantu itu adalah satu sejarah yang besar maknanya dalam lembaran sejarah pilihanraya negara.


Tumpasnya Strategi Menipu

Tidak ada sesiapa dalam BN ataupun UMNO yang menjangkakan mereka akan kalah di Lunas. Memang tidak ada sebab yang munasabah menunjukkan mereka boleh kalah. Lunas tidak mempunyai masalah seperti yang dihadapi di Sanggang kerana pengaruh PAS dan DAP kuat di situ. Begitu juga di Teluk Kemang kerana baru sangat dilanda wabak JE yang sungguh menghibakan. Apabila kekuatan wang ringgit disediakan di Lunas dan dibantu pula oleh keupayaan membawa sekurang-kurangnya 2,000 pengundi hantu, Lunas dianggap sebagi satu medan perang yang terlalu mudah untuk dimenangkan.


Manusia merancang, Allah merancang juga. Kuasa veto tetap berada di tanganNya. Apabila kalah, Lunas menjadi satu kotak pandora (diambil daripada cerita dongeng Yunani. Pandora ialah nama seorang dewi yang mempunyai satu kotak sakti yang bila dibuka mencetuskan masalah yang tidak ada hentinya). Impak kekalahan itu boleh mencetuskan perkara ini:



  1. Mahathir dan para kroninya terancam kerana kekalahan Lunas mendedahkan pendirian rakyat yang mahu Mahathir mengundurkan diri;

  2. Lunas menunjukkan UMNO sudah lumpuh dan tidak mampu meraih sokongan Melayu lagi;

  3. Projek kilat yang dilaksanakan di Lunas adalah salah dari segi sogokan rasuah. Ia menjadi lebih salah lagi kerana semua projek itu diagihkan kepada hanya seorang insan yang dikatakan bernama Abdul Aziz ;

  4. Semua orang mencari nama yang sesuai untuk dijadikan kambing hitam untuk terus dijadikan proksi mereka mengganyang Mahathir. Abdul Aziz didapati sesuai untuk tujuan ini. Lagipun ketika kempen pilihanraya berlangsung, Abdul Aziz bertanggungjawab ke atas tenaga pemuda UMNO. Ketua pemuda Hisyamuddin Husein dikatakan berada di luar negara ketika itu.

  5. Pergerakan wanita memang sudah lumpuh kerana pergeseran dan krisis identiti yang berputik daripada kemunculan Puteri UMNO. Aziz terpaksa dimangsakan agar perhatian tertumpu kepadanya;

  6. Beberapa isu hangat seperti Sekolah Wawasan, golongan penderhaka dan program "tidak bersyukur kepada UMNO" dan masalah kewibawaan Mahathir sendiri, adalah isu yang perlu disejukkan, kalau BN mahu terus menjadi gagasan yang relevan. Jika tidak, MCA akan terus bergelegak dan akan menggugat BN dalam masa yang terdekat.

  7. Ekonomi negara semakin merudum. Pasaran saham akan terus dilanda masalah besar terutama sekali dengan tersibarnya kisah Renung, UE dan MAS. Ini akan menggugat kewibawaan Mahathir lebih teruk lagi. Dulu dia meramalkan BSKL akan naik rancak dengan indeks komposit mencecah 1000 mata. Ramalan ini tidak akan berlaku kerana para pelabur sudah semakin rancak menarik pelaburan mereka. Keadaan akan menjadi tegang lagi apabila konsep T+3 dilaksanakan dua minggu lagi. Secara historikal, pasaran dunia mula menurun pada 15 Disember kerana pelabur tidak mahu terlibat sebelum mereka merayakan cuti Krismas dan tahun baru. Keadaan akan berterusan sehingga 5 Januari tahun hadapan.


    Usaha gigih sedang dilakukan oleh kerajaan untuk memutar minda rakyat. Kita boleh ketawa melihatkan pelbagai caa memutar minda itu. Salah satu caranya ialah mengajak para pelabur runcit masuk melabur di pasaran saham. Saya ada mengikuti beberapa laporan saham di radio dan juga di akhbar perdana. Salah satu laporan yang menarik yang selalu disiarkan oleh Radio Era. Pembaca ini (Diana namanya kalau tidak silap) kerap berkata betapa pasaran semakin baik walaupun ada usaha untuk memberikan gambaan yang kelam mengenainya oleh pihak yang termakan propaganda asing. Saya fikir si pembaca ini tidak faham apa yang dia cuba nasihatkan kepada orang ramai. Saya ingin mencadangkan kepadanya dan beberapa penganalisa saham yang masih muda untuk melihat kes-kes di mahkamah di mana terlalu ramai orang Melayu yang menghadapi kemuflisan kerana terbakar tangan di pasaran saham. Mereka terbakar kerana proses manipulasi yang dilakukan oleh orang yang diberikan kuasa untuk memimpin negara tetapi mempunyai kuasa sehingga mampu memanipulasi hampir 70% kaunter saham di BSKL. Yang dikatakan "orang asing" di pasaran saham itu sebenarnya adalah bangsa sendiri.

  8. Keadaan ekonomi yang kelamkabut mengikut rentak tekanan pasaran bebas terhadap ekonomi dan pasaran negara ini akan membuatkan pelabur runcit terus menyepi daripada BSKL. Ekonomi negara akan terus merudum juga kalau dilihat akan segala pertanda yang kerap digunakan untuk membuat penilaian. Contohnya ialah pasaran kereta terpakai dan pajak gadai.

  9. Risiko ekonomi yang semakin merudum selalunya ditampan oleh masyarakat peniaga dengan menaikkan harga barangan, baik yang dikawal kerajaan atuapun tidak. Kesannya akan menghenyak rakyat marhaen yang kini sedang mengeluh kerana kos barangan yang semakin naik menggila. Contoh yang paling baik ialah di pasar makanan untuk berbuka puasa. Harga naik hampir dua kali ganda, sedangkan jumlah penjaja semakin berkurangan. Harga paling rendah untuk membeli pun dinaikkan lagi. Tahun lalu, sayuran yang sudah dimasak boleh dibeli dengan harga minima RM2 ringgit. Pada tahun ini harga belian minima ialah antara Dua ringgit lima puluh sen hingga Tiga Ringgit. Harga belian minima ini menjadi satu ukuran yang baik untuk menilai betapa tingginya peratusan kenaikan barang makan di negara ini.




Kenapa Aziz Sikh Mesti Diganyang


Kita boleh bersimpati dengan Aziz Sikh kerana diganyang oleh orang UMNO sendiri. Tetapi, ini adalah satu peluang untuk Aziz meredakan keadaan marah orang Melayu terhadapnya. Satu ketika dulu dia yang berlagak garang sehingga berani memanjat tempok kawasan orang dan mengajukan telunjuknya menyeranah seorang wakil Suqui. Di situlah sifat kurang ajar Aziz menyerlahkan latar-belakangnya dan didikan yang kurang matang untuk berpolitik secara serius. Aziz berlagak garang sebagai wakil Pemuda UMNO tetapi dia tidak faham gelagatnya itu merendahkan martabat UMNO di mata dunia.

Kemudian Aziz menyelar Tan Sri Musa Hitam, sedangkan dia sedar bahawa Musa Hitam pernah menjadi timbalan presiden parti dan juga timbalan perdana menteri. Orang tua itu layak dipanggil bapa oleh Aziz. Ini menunjukkan Aziz tidak faham budaya orang Melayu yang tidak membenarkan sesaorang ketua itu diaibkan secara terbuka. Dari situ ramai veteran UMNO yang bencikan Abzul Aziz kerana mereka sedar beliau adalah pemimpin pergerakan pemuda yang dijadikan proksi oleh seorang diktator tua.


Ramai usahawan Melayu tidak sukakan Aziz kerana perangainya yang celupar. Malahan ramai yang menuduh Aziz kerana perangainya main wayang. Ketika kempen pemilihan majlis exco pergerakan UMNO dulu dilangsungkan, terdapat beberapa projek UMNO yang melibatkan Aziz dan diberitakan liputan akhbar yang luas. Contohnya ialah projek membenteras CD dan VCD haram. Kempen itu berjalan dengan giat sebelum hari pengundian, selepas itu projek itu terhenti sehingga ke hari ini.


Saya ada menelefon beberapa kawan mengenai perletakan sikap Aziz Sikh menghantar surat perletakan jawatan kepada Mahathir kerana sepatutnya surat itu dihantar kepada Ketua Pemuda dulu dengan satu salinan kepada Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO. Mungkin satu salinan boleh dikirimkan kepada Mahathir. Kalau itu dilakukan, satu salinan lagi perlu dihantar kepada Setiausaha Agong UMNO. Cara meletakkan jawatan dengan mengirim surat kepada Presiden UMNO adalah satu tindakan yang tidak betul. Beberapa kawan yang dihubungi itu berkata: "Inilah satu Sandiwara di Bulan Ramadhan". Ada seorang lagi yang berkata: "Apa lagi ada cerita sensasi untuk menutup kisah pengundi hantu di Lunas? Dan kisah petani Kedah merana kerana padi yang rosak dilanda banjir?" Seorang teman ada mengirimkan satu emel dan meminta saya komen: "Apa saudara fikirkan mengenai Aziz meletakkan jawatan? Saya fikir ini satu helah untuk menarik perhatian orang melayu agar mengenepikan kisah "penderhaka" Al Maunah yang tidak dikenakan hukuman mati. Kalau mereka dihukum sebagai penderhaka bukankah hukuman mati sahaja balasannya?"

Memang terlalu banyak emel yang menyoal mengenai perletakan jawatan Aziz ini sehingga saya terfikir apakah sebenarnya mesej yang dikirimkan itu?


Di sini muncul beberapa soalan lain pula. Aziz Sikh bukannya tidak berpendidikan tinggi. Dia tahu kalau mengikut protokol, notis menarik diri harus diselesaikan dengan Pergerakan Pemuda UMNO dulu dan bukannya secara menulis terus kepada Perdana Menteri. Kenapakah dilakukannya tanpa merujuk dulu kepada Hisyamuddin Husain? Apakah benar tindakannya adalah satu langkah untuk menjolok Hisyamuddin agar berwaspada kerana Aziz sudah bersedia untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO mengikut rencana yang dilakar oleh seorang tua?


Semalam kita diberitahu bahawa Aziz Sikh sudah menarik balik tindakan meletakkan jawatan. Tindakan begini menunjukkan betapa tertekannya Aziz sebagai seorang pemimpin pelapis UMNO. Sekaligus dia ditertawakan oleh orang UMNO daripada semua lapisan. Sekaligus juga ketokohannya disangsikan. Kita tidak hairan kalau rencana Aziz Sikh meletakkan jawatannya ini sudah dirancang oleh pihak tertentu sebelum keputusan pilihanraya Lunas diketahui. Seperti yang disebut oleh seorang teman yang rapat dengan Pergerakan Pemuda UMNO, perletakan jawatan Aziz adalah satu taktik untuk cuba menonjolkan dirinya ke hadapan lagi setelah fiasko beliau menggegarkan tembok Dewan Perhimpunan Cina dan menyalak agar mereka tidak menjolok sarang tebuan. Ketika itu ramai orang Cina tersenyum kerana sekarang ini banyak sarang tebuan yang dijolok untuk dijadikan bahan jualan kepada pelancung luar negara.


Kini, Aziz dihenyak lagi oleh kemelut Limo KLIA kerana projek teksi limosin itu ada kena mengena dengan Pergerakan Pemuda UMNO. Di Utusan Melayu terbitan Jumaat 8 Disember ada disiarkan cerita mengenai "600 Pemandu limo mogok" (Sila baca muka surat 2). Saya memang tidak hairan dengan berita itu kerana telah lama menulis mengenai cara kereta teksi beroperasi di KLIA yang mementingkan diri mereka sendiri dan menghenyak para penumpang yang mahu menggunakannya. Saya masih menyimpan satu keratan akhbar The Star bertarikh 4.1.1999 (hampir dua tahun lamanya) yang ditulis oleh seorang bernama Frederick Thomas:



"Driver Spoils Image Of Limo Service (Pemandu Mencemarkan Imej)"


"Saya menggunakan khidmat KLIM limo pada Disember 24 1998 dan mendapat pengelaman yang mengejutkan.

Setahu saya syarikat itu menyediakan pakaian seragam "uniform" untuk menyerlahkan imej dan memberikan para penumpang satu perasaan keselamatan dan keselesaan.

Pemandu (yang mengangkut) saya itu tidak pun mengenakan unifom kerana ia tersangkut di dalam kereta; di tempat duduk di sebelahnya dengan bahagian kolar yang berdaki menghala ke arah saya. Topi jenis golf yang mempunyai lambang KLIA Limo diletakkan di bahagian belakang kereta dan tidak pula dipakainya. Keadaan dalaman kereta memang kotor dengan akhbar berselerak di lantai. Dia memainkan lagu kegemarannya dengan nyaring sekali. Saya terpaksa memintanya menurunkan kadar bunyi sebanyak tiga kali.

Dia suka memecut kereta dan memandu secara ganas. Kali pertama dia memecut itu saya minta dia perlahan sedikit, tetapi dia tergelak sahaja. Pada kali ketiga saya meminta dia memandu lebih cermat lagi dan mengugut untuk membuat komplen kepada syarikatnya, barulah dia memandu dengan cermat.

Mujurlah, saya seorang rakyat Malaysia. Bayangkan apa anggapan pelancung luar yang pertama kali datang ke negara ini. Sikap pemandu ini memang tersaar jauh dan inilah satu khidmat yang tidak kita ingini.

KLIA Limo harus menasehati pemandunya mengenai mutu kerja yang diperlukan. Kenapakah tidak ada penyelia di stesen Limo untuk mengawal pemandunya? Bukankah perkhidmatan limo merupakan permulaan khidmat yang kita berikan kepada orang luar?

Saya percaya majoriti limo yang ada memberikan khidmat yang baik. Namun, pemeriksaan perlu dilakukan agar semua pemandu memberikan khidmat yang baik juga.

Kalau anda mahu meniru satu khidmat taksi yang baik cubalah pelajari daripada perkhidmatan teksi di Jepun."

-Feredrick Thomas-



Sejak memegang keratan akhbar itu dan setiap kali saya pergi ke KLIA, saya lakukan perbandingannya. Mutu khidmat masih lagi di takuk lama. Kelemahan khidmat Limo KLIA adalah sama dengan khidmat pelbagai lagi institusi kerajaan. Saya mencari sebab musababnya dan kebanyakan hasil kajian itu telah saya tulis lama dulu lagi. Hasil daripada kajian itu terletak kepada pengurusan yang berlagak laksana lintah darah.

Sistem Limo di KLIA adalah satu muslihat untuk menonjolkan kecanggihan sistem pengangkutan negara, sedangkan sistem pengangkutan awam yang ada secara menyeluruh, menindas rakyat. Kita dikenakan harga berbeza bergantung kepada jenis keretanya. Saya kerap mahukan khidmat kereta jenis WIRA tetapi yang disogok selalu ialah kereta Perdana. Bezanya sampai tiga puluh ringgit. Kerana itu ramai orang gunakan kereta teksi "sapu" jenis Iswara dan menjimatkan tiga pulouh hingga lima puluh ringgit sekali perjalanan. Teksi "sapu" itu ialah teksi daripada Kuala Lumpur yang balik kosong. Mereka gunakan khidmat "ulat" yang menanti di ruang "ketibaan". Kalau kita lihat kegiatan "ulat teksi" ini, kita dapat bayangkan betapa rendahnya taraf KLIA. Apa yang diilhamkan sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa, hilang terus disebabkan tercemar oleh ulat teksi itu. Mereka ini memang sunguh berpengalaman, ada yang dikatakan bergiat cergas di Pudu Raya dan di stesen bas ketika menjelang cuti raya. Ada kawan yang memberitahu bahawa perkataan "ulat" itu berpunca daripada perkataan "ulat tah#¡"; takkan pula tahu....!!! Apa juga jenis ulat itu memang tidak relevan di sini, yang mesti difikirkan ialah KLIA Limo adalah sebuah syarikat yang dikuasai oleh Pergerakan Pemuda UMNO secara proksi.


Kini mogok Limo KLIA sudah dihentikan. Utusan Melayu kata mogok sudah tamat. Tetapi saya diberitahu, para pekerja Limo itu memberikan tempoh tiga minggu untuk pengurusan menyelesaikan tuntutan mereka. Tindakan mereka adalah untuk menghormati Ramadhan dan menghormati gesakan beberapa pemimpin politik yang diminta oleh Mahathir turut campur.


Kesimpulan:

Kita dapat merumuskan perletakan Aziz Sikh adalah satu rencana untuk menilai reaksi rakyat di negara ini akan kelemahan UMNO dan BN yang semakin menjadi, gara-gara kekalahan mereka di Lunas. Rakyat marhaen sudah menerima perletakan jawatan itu dengan sinis kerana membaca akan elemen sandiwara di sebaliknya. Kini, Aziz menarik balik perletakan jawatan itu setelah berunding dengan Hisham, sedangkan itulah yang sepatutnya dilakukan terlebih dulu sebelum mengirimkan surat kepada perdana menteri. Ramai yang menganggap tindakan itu sebagai usaha melariskan akhabar sahaja sambil membuka mata rakyat marhaen akan kelemahan Ketua Pemuda Pergerakan UMNO.

Inikah jenis manusia yang boleh diharapkan oleh orang Melayu pada satu hari nanti untuk menjadi perdana menteri?


-Marhaintua-
12 Disember,2000.