Laman Webantu   KM2A1: 3220 File Size: 7.1 Kb *



Pak MT Teruslah Menulis Lagi
By Minda Pembaca

15/11/2000 8:54 pm Wed

Berikut adalah satu emel yang dikirim oleh seorang pembaca untuk Pak -MT-.

Ia dipaparkan di sini kerana persoalan yang sebegini kerap muncul berulang kali di kantung emel. Oleh itu mungkin elok jika dijawab secara terbuka supaya reda sedikit emel yang mencurah tiba.

====----====
From: ARL Melawa Plant
Reply-To: ARL Melawa Plant
To: Marhaintua@Hotmail.com
Date: Tue, 14 Nov 2000

Saya mencari artikel ayahnda dimana
saja dan adakalanya gagal namun saya
terus mencari kerana ayahnda adalah
sumber inspirasi, membuka minda,
mengtenteramkan jiwa dalam menghadapi cabaran abad ini.

Teruslah menulis ayahnda, mudah-mudahan usaha tersebut diberkati olehNya.

Kami si anak muda senantiasa bersama
ayahnda. Salam hormat dari kami.

[Ejaan asal emel ini sengaja tidak diubah untuk mengekalkan keasliannya]
====----====

JAWAPAN

Anakku Ydh:

Pertamanya diucapkan terima kasih kerana menulis satu coretan yang amat mengharukan. Saya diamanahkan untuk menjawab bagi pihak sdr -MT-, oleh itu diharapkan jawapan yang tidak seberapa ini dapat menemukan sesuatu yang tercari selama ini.

Tulisan Pak -MT- boleh didapati di laman-laman berikut:


  1. FeU/Boikot: http://members.nbci.com/xumno atau http://come.to/e-umno (agak lengkap tetapi jarang dikemaskini akhir-akhir ini atas sebab-sebab yang terpaksa dirahsiakan)

  2. Minda Rakyat2: http://mindarakyat2.tripod.com/ (sentiasa aktif tetapi agak sibuk dengan 'kenderaan' lalu lalang)

  3. Tranung Kite: http://tranung.tripod.com/ (susunan lebih bewarna warni, ceria dan menarik. Ada segmen khusus Pak -MT-. PW Tranungkite memang banyak bahan dan idea, dan kadang-kadang tidak dapat mengkinikan segmen tersebut.)

  4. KM2: http://webantu.hypermart.net/cgi-bin/forum.cgi (Selari selepas Ogos 2000, lihat bahagian 'specifics'. Masih dalam perencanaan.)

  5. Re4MAC: http://members.nbci.com/r4mac/ (tulisan-tulisan perintis dan terawal sekali? Perlu dicari dengan search engine)

  6. Mahazalimtwo: http://mahazalimtwo.tripod.com (tulisan-tulisan perintis dan terawal. Perlu dicari dengan search engine)

Selebihnya mungkin ada ditempat lain tetapi tidak sebanyak laman-laman yang disebutkan di atas tadi. Walaupun begitu ada usaha dari teman untuk membina satu laman khusus untuk hampir SEMUA rencana Pak -MT- baik yang terdahulu atau yang terkini. Ia akan dikhabarkan nanti, Insya Allah.


SEDIKIT JAWAPAN UNTUK JIWA YANG MEMBURU

Setiap orang yang membelai atau menyukai sesuatu selalunya memberi pelbagai tumpuan atau kasih sayang kepada 'objek' tersebut. Dia sanggup mengembara beribu batu untuk mencari si dia itu. Atau berenang mengharungi tujuh lautan seandainya perlu.

Walaupun dia mungkin cuba menafikannya dengan pelbagai penafian atau coretan, ia masih belum mampu untuk menidakkan sangkaan. Sebab itulah ada yang bercerai tetapi masih terasa sayang dan ada yang pergi tetapi kehadirannya masih terasa lagi. Kemuncaknya terserlah bila ia memberi satu nama manja kepada sidia yang dikasihi itu.

Sidia itulah tulisan yang dirasakan dapat menyemai sesuatu yang menggelegak di dalam diri. Dirasakan dahaga lagi walaupun sudah diminum acapkali. Soalnya, sampai bilakah ia harus menjadi sebegini?

Sebenarnya "Marhain" di dalam diri kita itu masih belum cukup "tua"nya lagi. Ia belum dijirus dan dibaja secukupnya. Akhirnya ia layu bila musim kelmarau dan segar bila hujan, ribut dan petir datang bertalu.

Ayahanda tidak bisa untuk menjadi hujan sepanjang waktu. Air itu terpaksa dihimpun terlebih dahulu dengan sedikit tenaga yang sudah kerap mogok dimamah usia. Tambah lagi dengan jejari yang sudah sukar menulis sekuat jiwa yang mengguris. Walaupun begitu sungai dan lautan tetap ada untuk mengisi ilmu di dada. Kita perlu mengembara untuk mengail harta yang hidup di dalam dasarnya. Di sana ada lebih ramai "marhain tua", malah ia mungkin hidup di dalam diri
anakanda juga. Keluarkanlah ia....


Anakku Ydh:

Perjalanan anakanda yang begitu jauh itu sebenarnya cuba berbuat sesuatu pada jiwa yang asyik diasak pelbagai karenah dan sorak pihak-pihak tertentu.

Kesibukkan kota raya pula sering mengganggu kita, tambah lagi pemukauan minda yang diulang-ulang sehingga jembalang itu akhirnya menjadi tuan dibenak teman dan taulan. Akhirnya ramai yang tertewas walaupun perang masih belum reda.


MENUMBANGKAN SEEKOR JEMBALANG

Saya memilih untuk menjawab secara perlahan dan sedikit panjang. Ia terpaksa ditulis agak panjang kerana air yang deras tidak akan dibiarkan mengalir dengan senang oleh manusia yang berhati setan. Sebaliknya air yang mengalir perlahan tidak dapat dikesan, atau sengaja dibiarkan. Akhirnya kondo yang mewah pun tumbang..... bila air itu mengalir secara diam dan perlahan. Disinilah kita bila setiap ruang bersuara itu dicengkam.


MEMAHAMI GELAGAT ALAM

Kita sudah maklum hujan itu rahmat untuk alam. Ia berlaku akibat satu putaran alam yang terancang oleh Tuhan Semesta Alam. Dalam kitaran itu berlaku pelbagai perubahan bentuk dan sifat air yang meragam.

Bila panas dan terik air itu menjadi ringan untuk naik menjadi awan. Proses tersebut menyulingkan air dari kotoran yang asyik melekat dari dalam. Awan itu nanti akan berarak mengikut arus yang bergerak yang menemukan ia dengan rakan jauh dan dekat. Akhirnya rakan dan teman itu turun ke destinasi yang ditetapkan bila muatan sudah sarat dan terlalu berat. Jadilah ia apa yang selalu disebut sebagai hujan.

SIFAT AIR YANG TIMBUL TENGGELAM

Hujan itu sebenarnya menggambarkan sifat air yang senang merubah bentuknya bila dihimpit oleh faktor dan keadaan. Air tersebut asyik naik dan asyik turun, tetapi tidak semua yang turun itu naik dengan segera.

Sebahagian darinya akan memasukki perut bumi. Ia mencelah batu batan dan akar-akar pohon, sehingga batu yang tajam pun menjadi tumpul dan pohon yang layu menjadi segar lagi rendang.

Akhirnya aliran air itu akan bertemu kembali menjadi mata air yang kaya dengan mineral sehingga manusia sanggup menggali perigi untuk menjualnya.

BIAR AIR ITU MENYERAP PERLAHAN

Begitu jugalah perjuangan kita. Dalam perlahan dan dalam kesabaran itu kita sebenarnya sedang menuju kemenangan. Jangan sedikit kesukaran dan kelmarau menidurkan kita untuk tidak berusaha.

Biarkan air itu mengalir jauh dicelah-celah batu dan akar-akar kayu. Jangan biarkan ianya terbuang sederas arus yang berlalu. Nanti air itu akan hilang untuk kembali untuk menjadi awan. Maka terpaksalah kita menunggu lagi musim hujan...

Sekian, Salam Hormat.

b/p Pak -MT-

- Wartawan Pencen -