Laman Webantu   KM2A1: 3217 File Size: 25.7 Kb *



Siri 9 YTDT: Antara AirMata dan AirMuka
By Marhain Tua

15/11/2000 11:41 am Wed

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 9

[Rencana ini umpama satu larian 'sukan' jarak jauh. Sepanjang perjalanan itu akan terserlah gelagat mereka yang berlari siap dengan pakaian seragam kemeja-T berhias gambar diktator tua yang asyik mereng kekanan dan kekiri. Akhirnya mereka tewas kerana leka diri, tetapi menyalahkan pengadil dengan tuduhan berkonspirasi!-Editor]



YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 9: ANTARA AIRMATA DAN AIRMUKA



ANTARA AIRMATA DAN AIRMUKA

Kita tentu mudah merasa simpati dengan Majlis Olimpik Malaysia yang gagal memenangi hak penganjuran Sukan Asia 2006 dalam pemilihan yang diadakan sempena perhimpunan agung Majlis Olimpik Asia (OCA) di Pusan, Korea Selatan.

Berkecailah segala usaha yang rancak diusahakan oleh Hishamuddin Hussein sebelum itu. Yang tinggal hanyalah kenangan kepada beberapa majlis yang dilancarkan seperti larian satu juta manusia yang difikirkan dapat menjadi asas kuat mempengaruhi golongan yang membuat pilihan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Imran Tunku Jaafar dirakamkan mengalirkan airmata kerana tidak dapat menahan kesedihan sebaik mendengar keputusan. Sementera itu bekas presiden MOM, Tan Sri Hamzah Abu Samah, yang merupakan penasihat seumur hidup MOM telah melenting dengan menuduh adanya satu konspirasi dalam penganugerahan Doha, Qatar sebagai penganjur Sukan itu.

Kerana Wang Kuala Lumpur Tersingkir?

Persidangan tahunan yang diadakan di Pusan terpaksa membuat pilihan di antara empat bandar yang memohon untuk menganjurkan Sukan Asia 2006 itu; Kuala Lumpur, Hong Kong, New Delhi dan Doha. Ada dua pusingan pemilihan yang dilakukan. Pada pemilihan pertama, Kuala Lumpur mendapat 13 undi, Hong Kong mendapat 6, New Delhi mendapat 2, sementara Doha mendapat 20 undi. Dalam undian kedua, Doha menerima 22 undi manakala Kuala Lumpur 13 dan Hong Kong 6.

Sebaik sahaja keputusan dibuat, timbullah beberapa cemuhan terhadap pemilihan Doha itu kerana pihak Malaysia memikirkan Kuala Lumpur "mempunyai semua fasiliti dan pengalaman untuk menganjurkan sukan itu". Malahan kalau kita ambil kata-kata Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tengku Imran dan juga Dato Hishamuddin kita boleh rakamkan beberapa ejekan dan kesalan yang berbunyi begini;

" apakah yang ada pada Qatar sedangkan penduduknya hanya seramai 100,000 orang dan belum pun mempunyai fasiliti untuk menampung keperluan sukan yang besar itu. Cadangan kami adalah yang terbaik dan sayangnya tidak ada sambutan. No applause. Why.....! (Kenapakah tidak ada sambutan?) Ini sudah sah tentu ada konspirasi dalam perkara ini yang menyebabkan kita kalah...!"

Mengapa Doha? Itulah pertanyaan yang mencetuskan seribu persoalan. Kita telah diberitahu betapa bandaraya itu disifatkan tidak layak menjadi tuan rumah kerana saiz keluasannya kurang fleksibel untuk mengelolakan temasya yang besar. Apa yang lebih menjadi persoalan, bandaraya itu turut tidak menggalakkan pembangunan sukan wanita dan berdasarkan rekod kejohanan antarabangsa yang dikelolakan sebelum ini, semuanya kurang mendapat sambutan. Kemudahan sukan terutama sekali kompleks sukan yang mampu menampung penyertaan jumlah perserta yang ramai belum terbina lagi. Malahan bandaraya itu belum teruji dalam menjayakan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa. (Inilah hujah kelentongan Malaysia).

Jadi, bagaimanakah 22 daripada 41 perwakilan OCA memilih bandaraya itu untuk menjadi tuan rumah?

Kita sengaja menonjolkan isu sukan kali ini dalam penulisan untuk membuka minda orang kita terutama sekali orang Melayu akan segala rahsia yang mungkin tersorok di sebalik kegagalan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Asia 2006 itu. Kegagalan itu tidak semestinya dipandang daripada sudut sukan semata-mata kerana ia ada hubungkait dengan pergolakan politik di negara ini yang memang menjadi penelitian orang sukan di seluruh dunia.

Secara persendirian, saya memang bersimpati dengan MOM kerana kegagalan mereka tetapi saya amat menyokong pendapat Setiausaha Agung Jawatankuasa Sukan Qatar, Saoud Khalid Ali Al Thani yang berkata; "Selaku pemimpin sukan, acara penganjuran Sukan Asia ini harus bergerak dan kita mesti memerangi usaha mengkomersialkan sukan tersebut." Kalau perkara ini menjadi saranan dan perakuan ramai pemimpin sukan di Asia, tidak hairanlah kenapa Malaysia gagal dalam usahanya. Cuma kita mahu tahu apakah ahli MOM tidak menyedari lebih awal akan persepsi masyarakat pemimpin Asia mengenai hal ini?




Usaha Malaysia di OIC

Ketika pengadilan dibuat untuk pilihan muktamad, Doha juga merupakan penganjur sidang kemuncak Persidangan Negara Islam (OIC) ke-9. Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohammad turut menghadiri persidangan itu (mungkin untuk kali terakhirnya) di mana dia telah berucap untuk mengajak seluruh umat dan negara Islam bersatu serta menunjukkan pendirian yang teguh tanpa kompromi dalam mempertahankan status tanah suci Al-Quds-Al-Sharif dan rakyat Palestin daripada kekejaman Israel. Mahathir mengegaskan:



  1. Masa depan tanah suci dan nasib rakyat Palestin yang masih belum bebas daripada kezaliman Israel bergantung kepada sikap dan tindak-tanduk umat Islam keseluruhannya;

  2. Serangan terhadap Palestin adalah serangan terhadap umat Islam, kehormatan dan maruah kita. Negara Islam tidak boleh hanya melihat Israel membunuh rakyat Palestin tanpa menerima hukuman,

  3. Umat Islam dan negara Islam kini menghadapi cabaran yang menakutkan kerana globalisasi dalam bentuk yang ada sekarang adalah ancaman kepada masa depan Islam keseluruhannya. Jalan keluar terbaik ialah merancang dan melaksanakan pembangunan ummah dengan kekuatan teknologi maklumat (IT) supaya mampu menghadapi cabaran zaman maklumat.

Ucapan Mahathir itu bertajuk: "Islam dan Globalisasi". Intipati ucapannya itu bukannya sesuatu yang baru, kerana itulah yang dilaung-laungkannya selama ini sejak dua tahun yang lalu seolah-olah ia boleh merupakan satu mainan tep rekorder, kalau dia mahu. Seperti yang kita lazim mendengarnya, ada beberapa patah ayat yang diucapkannya itu yang mengandungi sindiran, ejekan dan juga rayuan agar negara Islam yang kaya memikirkan untuk datang melabur ke Malaysia. Ia memberi penekanan terhadap pelaburan asing secara langsung (FDI) yang kini merupakan satu hambatan yang mengecewakan kamajuan ekonomi Malaysia.

Ucapan Mahathir dalam OIC memang satu ketika dulu dianggap sebagai 'suara keramat' untuk membawa kesedaran di kalangan orang Arab khasnya. Kerana itu dia kerap menggunakan bahasa yang tajam dan nada yang berbisa untuk menggerakkan semangat mereka. Tetapi, Mahathir sudah biasa dengan OIC seperti juga OIC sudah lama lali dengan Mahathir, sejak 20 tahun yang lalu. Apa pun yang Mahathir ucapkan dalam persidangan OIC itu, ia seolah-olah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sudah menjadi tabiat dan budaya orang Arab kurang mendengar nasihat orang yang bukan berdarah Arab. Apatah lagi ucapan seorang yang beragama Islam daripada Tenggara Asia. Semua kuasa besar sudah lama memutarkan minda orang Arab itu agar menerima pandangan dan nasihat hanya daripada mulut orang kulit putih, tidak kiralah kalau orang putih itu beragama bukan Islam.

Ketibaan Mahathir di lapangan terbang Doha itu telah disambut oleh Emir Hamad bin Khalifa al-Thani. Beliau tentu berasa bangga menerima kedatangan Mahathir kerana menyangkakan apa yang akan diucapkan oleh Mahathir itu adalah satu bahan yang baik oleh media asing. Kalau diharapkan orang Arab menuturkan kata-kata kesat untuk menyindir pihak negara yang besar-besar, memang merupakan satu perkara yang sukar. Lagipun, dalam persidangan yang sama Presiden Iran Mohammad Khatami telah membuat ucapan yang sungguh keras mahukan seluruh ummah menyokong Palestin menentang Israel.

Oleh kerana delegasi daripada Mesir dan Turki mengambil pendirian berlembut dengan kuasa besar, kehadiran Mahathir yang mengutarakan dimensi ucapan yang sealiran dengan Presiden Iran itu membuatkan persidangan itu dipenuhi oleh pemberita asing. Pemberita asing pun sudah lali juga dengan ucapan Mahathir. Mereka sudah simpan contoh ucapannya itu sejak dulu-dulu lagi. Cuma kali ini, bilangan mereka tidak seramai yang dijangkakan disebabkan tecetusnya peristiwa dunia yang lebih menarik dan lebih besar daripada tarikan yang diberikan oleh persidangan OIC itu. Lagipun, laungan mengganyang Palestin oleh para pemimpin kepada 1.2 bilion ummat Islam tentunya tidak lebih menarik daripada peristiwa sebenar di mana sekurang-kurangnya dua orang Palestin mati setiap hari. Apatah lagi kalau senjata yang mereka gunakan hanyalah batu dan lastik sedangkan pihak lawan menggunakan senjata yang tercanggih di dunia.


Persidangan Yang Lebih Selesa

Namun demikian kita tahu Mahathir merasa lebih selesa kali ini di persidangan OIC itu kerana beberapa sebab:


  1. Adalah lebih baik beliau berada di Doha untuk menikmati apa juga saki baki kekaguman pemberita dunia Arab daripada beliau berada di negara sendiri di mana pemberita Malaysia tentu mahu tahu kenapa pihak FRU berani merampas kamera mereka pada 5 November yang lalu.

  2. Tentu beliau akan berteori lagi bagaimana ekonomi Malaysia dapat dipulihkannya tanpa Malaysia perlu meminjam daripada negara luar. Kepada orang Arab ini adalah satu perkara yang menakjubkan kalau mereka bandingkan dengan apa yang berlaku kepada Arab Saudi. Satu ketika dulu Arab Saudi adalah negara yang meminjamkan duit kepada bank Dunia. Tetapi, kini ia menjadi negara yang meminjam pula kerana kerakusan para pemimpin membuat projek mega yang tidak berfaedah.

  3. Di Doha, Mahathir tentu dapat berbincang dengan Emir Sharjah untuk membangunakan ekonomi negara itu, mungkin. Beberapa hari yang lalu MASkargo telah memilih Sharjah untuk dijadikan pusat keluar-masuk khidmat perkhidmatan kargonya.



Pemilihan Sharjah Oleh MASkargo

Dengan memilih Sharjah sebagai pusat baru khidmat kargonya, MASkargo telah menamatkan satu usaha yang sungguh lama dengan lapangan terbang Dubai. Tidak ada sebarang cerita sebenar yang dapat kita petik dalam pemindahan ini melainkan beberapa alasan yang dikatakan menarik yang diberikan oleh pengerusi Lembaga Lapangan-terbang Sharjah (SAA), Sheikh Abdullah bin Mohammad Al Thani. Yang paling menonjol dirakamkan oleh akhbar tempatan ialah kata-kata ketua pengarah SAA yang menyebut betapa:

"Agents are begging for space to Europe at Sharjah. This is a big opportunity for MASkargo. Sharjah provides better connection with the Middle East, CIS (Commonwealth of Independent States) and African markets.


Kenyataan seperti itu tentu mengeluarkan airliur. Tentu ada yang mahu tahu kenapa baru ini MASkargo memikirkannya sedangkan MAS sudah lama menggunakan lapangan terbang Dubai. Kalau diambil kira segala kemudahan dan janji yang ditawarkan oleh SAA itu tentu kita menjadi lebih hairan. SAA menjanjikan untuk membina satu terminal khas untuk MASkargo sama dengan kemudahan di lapangan terbang Hahn, Jarman di mana MASkargo mempuyai kemudahan untuk mengendalikan muatannya sendiri.

Sebenarnya MASkargo sudah lama beroperasi di Dubai. Ia mempunyai satu Boeing 747-400F dan 5 Boeing 747-200F dan beroperasi dengan pengkalan tercanggihnya di KLIA untuk terbang ke Melbourne dan Jarman. Dubai dan Sharjah adalah dua lapangan terbang yang sungguh dekat, laksana Port Dickson dan Melaka. Oleh kerana Sharjah tidak mempunyai hasil yang besar daripada minyak, ia banyak bergantung kepada cukai perkhidmatan yang dapat diraih daripada lapangan terbang itu. Lagipun pelabuhan di Sharjah (Port Khalid) tidak mampu menandingi kecanggihan Pelabuhan Rashid kepunyaan kerajaan Dubai yang terkenal sebagai salah satu pelabuhan yang mempunyai kemudahan RORO untuk perkapalan kontena. Malahan, Port Rashid mempunyai kemudahan membaikki kapal dengan wujudnya Dubai Drydock Repairs (pengurus kanannya ialah seorang anak Melayu Singapura).

Dari situ kita boleh mengambil iktibar bahawa pemindahan MASkargo ke Sharjah adalah bersifat menjimatkan kos kerana sudah tentu Dubai mengenakan kos perkhidmatan yang lebih tinggi lagi. Kalau pemindahan itu disebabkan alasan kecanggihan pelabuhan Khalid seperti yang disiarkan oleh akhbar tempatan, ia adalah satu berita songsang kerana di Dubai terdapat juga satu pelabuhan yang dinamakan Jabel Ali Port. Inilah pelabuhan yang terbesar dibina manusia dengan kemudahan lebih 75 kapal boleh berlabuh di tebingnya dalam satu waktu. Pelabuhan ini pada asalnya dibina untuk memberikan kemudahan membaik-pulih kapal perang Amerika ketika perang Teluk dulu. Tetapi, usaha ini terbantut apabila Kerajaan Ayatollah Khomeni mengeluarkan satu amaran untuk mengebomnya kalau perkara itu dilaksanakan.


Apabila Airmuka Terjejas

Kita merakamkan tiga peristiwa yang menarik dalam artikel ini untuk dijadikan satu iktibar oleh generasi akan datang. Majlis Olimpik Malaysia gagal merebut peluang menjadi tuanrumah Sukan Asia 2006. Kegagalan itu disambut oleh orang yang dikatakan berpelajaran dan berpangkat tinggi dengan tuduhan terbuka adanya konspirasi dalam pemilihan itu. Peristiwa yang kedua ialah saranan Mahathir Mohammad di Doha agar negara Islam memberikan penekanan kepada bidang IT. Tetapi, kalau dia sedar akan keistimewaan dan kepentingan bidang ilmu itu, kenapakah dia tidak melakukannya di luar bandar dan di kalangan masyarakat Melayu di negaranya sendiri. Kenapakah beliau memberi penekanan kepada pembikinan projek mega yang membazirkan wang rakyat sedangkan sebilangan besar wang itu boleh memajukan industri IT di luar bandar dan di kalangan masyarakat Islam di negara sendiri? Peristiwa yang ketiga ialah pemindahan MASkargo daripada Dubai ke Sharjah dengan segala maklumat songsang mengenainya yang difikirkan dapat menipu rakyat juga.


Kalaulah Malaysia mempunyai kecanggihan IT dan perkara itu digunakan oleh Majlis Olimpik Malaysia tentu ada pihak yang mampu mengetahui bahawa keluarga diraja (Emir) di Qatar dan Sharjah itu adalah daripada satu rumpun keluarga yang sama, walaupun mereka memerintah dua negara berdaulat yang berbeza. Mereka ini adalah daripada keluarga Al-Thani. Hishamuddin Husin, Tengku Imran dan juga Hamzah Abu Samah boleh terus mencaci Majlis Olimpik Asia kerana kekalahan Malaysia dan mencerca Kerajaan Qatar kerana dikatakan melakukan konspirasi itu. Tetapi apakah mereka lupa rencana mereka untuk memenangi pertandingan itu dulu? Apakah rancangan besar yang pernah Hishamuddin tonjolkan?

Senjata utama Majlis Olimpik Malaysia yang dikatakan paling hebat dan mantap itu ialah menggunakan "reputasi serta pengaruh Perdana menteri Mahathir Mohammad selaku antara pemimpin ulung dan dihormati di Asia untuk meraih undi." Hishamuddin begitu yakin bahawa reputasi itu mampu memainkan peranan yang penting untuk mempengaruhi orang luar memilih Malaysia. Dalam hal ini saya ingin memetik dan merakamkan kata-kata Hishamuddin Hussin:

"Saya sendiri akan menyampaikan taklimat itu bersama-sama Tunku Imran Tunku Jaafar (Presiden Majlis Olimpik Malaysia) dan Tan Sri Kamarruzzaman Shariff (Datuk Bandar Kuala Lumpur). Dalam taklimat itu nanti menerusi tayangan video kita akan menyampaikan mesej daripada Perdana Menteri mengenai komitmen dan kesungguhan semua pihak di Malaysia supaya diberi hak penganjuran temasya itu. Saya yakin menerusi mesej itu, sedikit sebanyak mampu mempengaruhi perwakilan sebelum membuat pemilihan. Apatah lagi, Perdana Menteri adalah pemimpin dan tokoh yang disegani dan dihormati di Asia."

Ketika tersiar berita rencana Hishamuddin itu, ramai teman-teman yang ketawa terbahak-bahak. Ada yang berkata; "Nampakanya masih ramai lagi pemimpin pelapis dalam UMNO yang taksub dengan ketokohan Mahathir." Ada juga yang berkata: "Inilah dia kesan budaya sabsidi ala Mahathir. Untuk mencari kemenangan di tahap pertandingan antarabangsa pun masih lagi mahu menggunakan namanya..." Banyak lagi kata-kata yang melucukan yang boleh dirakamkan di sini. Memadailah kita rakamkan kebodohan bangsa kita dalam hal ini secara bertahap sahaja.

Terdapat 43 negara yang bergabung dengan Majlis Olimpik Asia. Doha sebagai ibukota Qatar melobi untuk dipilih. Sudah tentu ia mampu meraih semua undi negara Arab yang lain. Malaysia pula sebagai ahli ASEAN tentu bergantung kepada undi negara Asian sahaja. Dalam hal ini apakah Malaysia fikir ketokohan Mahathir Mohammad itu sesuatu yang sungguh berazimat untuk menang?

Apabila kalah, kenapa tidak terima keputusan itu dengan hati yang terbuka? Presiden Majlis Sukan Asia Sheikh Ahmad al-Fahad al-Sabah telah membuat pengumuman betapa Qatar akan berbelanja sebanyak satu bilion dollar Amerika untuk persiapan menjadi tuan rumah. Tentu sekali perbelanjaan sebanyak itu mampu menonjolkan Doha sebagai satu kotaraya yang mempunyai kemudahan bersukan bertaraf antarabangsa. Malahan, sebaik sahaja tamatnya Sukan Olimpik di Sydney 2000 baru-baru ini, Doha telah menaja satu pesta sukan yang dihadiri dan disertai oleh ramai ahli sukan terkenal di dunia. Kejayaan mereka menaja program ini tentunya telah menjadi satu keyakinan kepada pihak yang memilih mereka itu. Cemohan Malaysia terhadap mereka tentunya merupakan satu sikap mengumpat sahaja.


Secara persendirian, saya memang setuju Qatar dipilih. Ia membuka ruang kepada dunia Arab (termasuk Iraq) dan juga Iran terbabit menyumbang tenaga kerja dan kepakaran dalam menyediakan segala kemudahan di negara itu. Kita boleh menjangkakan ramai tenaga tanpa izin yang berada di negara ini akan pulang dan menuju ke Doha untuk bekerja di sana secara sah. Kerana itu kita lihat kenapa India dan Sri Lanka telah berpihak kepada Qatar. Tentu mereka menerima janji untuk diberikan peranan menyumbang kepada pembinan infrastruktur di sana. Begitu juga dengan negara yang mengeluarkan barangan yang diperlukan dalam bidang sukan. Mereka pun semestinya menyokong pemilihan Qatar itu kerana negara itu ada banyak wang dan memerlukan hampir semua barang binaan daripada negara luar.

Malaysia seharusnya bersikap terbuka dengan kekalahan kepada Qatar itu. Sepatutnya Tan Sri Hamzah tidak mengeluarkan perkataan 'konspirasi' di majlis yang berkenaan. Tengku Imran berhak mengeluarkan airmata kerana memikirkan terjejasnya airmuka. Hishamuddin Hussin sepatutnya berlagak selamba dan menawarkan kepakaran yang ada pada Malaysia untuk membantu Qatar. Inilah yang lebih penting lagi agar Malaysia dapat terus maju ke hadapan dan membantu Qatar dengan giliran mereka pula. Taktik bersedih, marah dan mengumpat apatahlagi tuduhan bahawa adanya konspirasi yang membantu Qatar itu menyerlahkan betapa rendahnya maruah pemimpin sukan kita yang tersorok selama ini. Tan Sri Hamzah Samah harus meminta maaf secara terbuka kepada Majlis Olimpik Asia kerana keceluparannya itu.

Ketika negara rancak mengatur strategi meriah sokongan dunia luar untuk memilih Kuala Lumpur, kita telah melihat beberapa langkah yang diatur di negara ini. Dengan slogan Kuala Lumpur 2006, Bersedia, Berupaya, Berkemampuan, Malaysia terlalu yakin untuk meraih kejayaan.


Simbol riak dan Keangkuhan

Sebagai bahan melobi, Malaysia telah menyediakan satu buku khas setebal 63 muka surat yang diedarkan kepada anggota Majlis Olimpik Aisa. Kuala Lumpur yang pernah menjadi tuan rumah Sukan komanwel 1998 merupakan bandar raya pilihan sebelum tiga badar raya lain menyatakan hasrat sama untuk bertanding di Pusan. Antara intipati penonjolan Malaysia itu ialah kompleks Sukan Negara di Bukit Jalail yang dibina denagn kos RM1.2 bilion dan merangkumi sebuah stadium utama yang boleh memuatkan 100,000 penonton, stadium tertutup, kolam renang, stadium hoki dan pusat skuasy, pastinya menjagi pertaruhan terbaik.

Kemudian ditonjolkan pula acara sukan bertaraf dunia, Formula Satu dan Grand Prix Motorsikal yang telah melonjak Malaysia meraih Anugerah Khas Penganjuran Terbaik oleh Persekutuan Lumba Kereta Antarabangsa (FIM). Selain itu kita ada Piala Thomas/Uber, Golf Dunia, Bola Tampar Dunia, Le Tour de Langkawi, Sukan SEA, lumba Basikal Trek Dunia, Bola Sepak Remaja Dunia FIFA dan banyak lagi. Termasuklah segala upacara yang menonjolkan Malaysia dalam pembikinan Malaysian Books of Records. Di situ ada acara lemang terpanjang, hotdog terpanjang, bendera terpanjang. Ini belum diambil kira acara penerjunan kereta (WIRA) di Khutub Utara dan penerjunan-silap-destinasi di Khutub Selatan. Di antara semua ini tentulah cerita pendakian Gunung Everest dan pelayaran Azhar Mansor menjadi bahan modal para wartawan yang turut digunakan untuk melobi di Pusan.

Saya difahamkan ramai para pemimpin yang berada di Pusan sedar dan mengetahui bahawa Malaysia adalah sebuah negara di mana rakyatnya memerlukan permit untuk berdemo dan berhimpun secara aman. Malaysia juga merupakan negara yang mengeluarkan lesen penerbitan yang boleh ditarik-balik bila-bila masa. Oleh kerana soal stabiliti politik dan keselamatan menjadi modal pancing-undi, tentu para tetamu asing itu sedar bahawa pemimpin terulung negara adalah seorang yang sudah terlalu lama berkuasa sehinggakan mampu menolak sapina mahkamah, mampu menjadi dalang tuduhan palsu kepada saingan politiknya dan mampu menjadi raja kelentong seantero dunia. Dengan lain perkataan, walaupun penekanan dibuat untuk menonjolkan 'kewibawaan' Mahathir dalam memancing undi itu, tidak ramai di Malaysia yang sedar dan menerima hakikatnya bahawa penonjolan ketokohan itu merupakan markah yang menghambat pengundian untuk menyisihkan Malaysia dan memilih sebuah negara kecil yang tidak pun mempunyai penduduk mencecah satu juta. Apakah para pemimpin yang tidak memilih Malaysia itu mempunyai sebab dan alasan tersendiri yang tidak kita ketahui sebelum ini secara terbuka? Apakah sebabnya Presiden Majlis Olimpik Asia itu berpihak kepada Doha? Mungkinkah penolakan Malaysia dilakukan setelah mengetahui betapa Sukan Komenwel yang dilangsungkan dulu tidak membawa keuntungan kepada negara dan juga rakyatnya sehinggakan rakyat terpaksa menanggung kerugian yang besar? Mungkinkah penolakan itu dibuat setelah mengetahui bagaimana kerajaan pusat mungkir dalam perjanjiannya mengenai royalti petroleum dengan kerajaan Terengganu?


Ada beberapa perkara yang menarik dalam episod kegagalan Malaysia ini. Kita harap akan ada usaha menonjolkan lebih ramai ahli sukan daripada kalangan rakyat jati negara ini. Bukannya dengan cara memberikan kerakyatan kepada orang asing, yang sehingga kini tidak pun mampu memenuhi hasrat yang diimpikan. Banyak perkara yang boleh direncana terutama sekali dalam menonjolkan Kaum Asli dalam beberapa bidang sukan yang mampu mereka ceburi. Acara berjalan kaki, melompat kijang, baling peluru dan cakra dan apa juga acara yang tidak memerlukan gelanggang besar, adalah acara yang boleh ditumpukan untuk menonjolkan kumpulan ini. Kenapakah perkara ini tidak diberikan perhatian selama ini adalah satu persoalan yang sepatutnya direnung bersama oleh tiga orang pemimpin terkanan Majlis Olimpik Malaysia.

Yang kedua, ialah semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh pemimpin Majlis Sukan Malaysia di Pusan itu mengejutkan saya. Malahan menakutkan kerana kalau beginilah gelagat mereka apakah lagi yang boleh diharapkan daripada peserta sukan ditanah air? Mereka tidak dapat menerima kekalahan itu dengan semangat kesukanan yang sepatutnya. Apatah lagi kalau memandangkan siapa mereka itu di kalangan masyarakat negara ini.

Keraguan kita boleh terubat kalau kita fikirkan nama empat binatang yang digunakan sebagai maskot pilihan yaitu kambing gurun, naga, burung kenyalang dan gajah. Kuala Lumpur telah mencadangkan burung kenyalang yang dinamakan Cyber Alang. Hong Kong memilih naga bernama Hong Hong. New Delhi memilih gajah, tetapi nama yang difikirkan sesuai tidak pula disebut lagi.

Doha telah memilih kambing gurun yang diberi nama MAHA. Apakah secara kebetulan nama itu diambil dan dipendekkan daripada satu nama popular yang berbunyi MAHAFIRAUN ?Kalau benar tanggapan itu apakah ini satu ingatan bahawa orang yang gelarannya dipendekkan itu akan juga menghadapi zaman kegemilangan yang akan dipendekkan - kalau tidak pada kuasanya mungkin juga kepada usia dan pengaruhnya? Perlukah kita menunggu 2006 untuk mengetahuinya?

-Marhaintua-
14.11.2000