Laman Webantu   KM2A1: 3189 File Size: 32.1 Kb *



Siri 8: YTDT: Demokrasi Negara Mengikut Acuan Siapa?
By Marhain Tua

12/11/2000 1:39 am Sun

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai

Bab: 8

[Kalau dulu rencana Pak -MT- menggegarkan petualang di istana dan bumi Selangor, kali ini ia berkisar kepada bapak kepada petualang itu, iaitu Maha Firaun. Perhatikan bagaimana teruknya acuan demokrasi itu dioyok dan dicincang lumat menjadi autokrasi oleh Maha Firaun dihuraikan
oleh Pak -MT- satu persatu. Oleh itu ia MESTI diBACA dan diSEBAR seantero Negara - Editor]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 8: DEMOKRASI MENGIKUT ACUAN SIAPA?


Demokrasi Negara Mengikut Acuan Siapa ?

Apakah perkataan dalam Bahasa Melayu yang boleh menggambarkan dengan jelasnya situasi di mana rakyat yang berhimpun beramai-ramai dihenyak, dihentam, dikepung, ditembak dengan pemedih mata, dipukul dengan belantan dan di kurung dalam satu tempat berkunci untuk dikenakan tembakan gas pemedih mata? Apakah perkataan yang sesuai untuk digunakan sebagai kata arahan untuk menggerakkan manusia yang bersenjata, lengkap melakukan keganasan sesuka hati ke atas rakyat yang tidak bersenjata itu?


Kalau diambil berita beberapa media perdana mengenai situasi yang disebutkan di atas, tentulah kita boleh marah dan merasa jijik. TV3 melaporkan dalam ruang beritanya bahawa rencana rakyat berkumpul secara aman "tidak mendapat sambutan langsung". Cukuplah gambaran tu sahaja kerana kalau kita rakamkan gambar yang dibuat oleh akhbar dan RTM tentu kita akan merasa marah lagi. Sebenarnya hanya ada satu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan situasi yang berlaku pada November 5 2000 itu. Perktaannya ialah "ANARKI"


"ANARKI" adalah perkataan Ingeris yang dialih-bahasakan menjadi Bahasa Melayu. Ia bererti "keadaan tidak ada ataupun tidak berasaskan undang-undang""hilangnya ketertiban umum ataupun pemerintahan yang teratur sehingga berlakuknya kekacauan atau porak-peranda."

Apa yang berlaku pada 5 November, 2000 adalah satu gambaran betapa anarki boleh tercetus kerana undang-undang yang disalahgunakan. Dalam hal ini siapakah yang menyalah-gunakan undang-undang itu? Raja Kelentong Mahathir Mohammad telah kerap bermegah betapa "Malaysia adalah satu negara demokrasi mengikut acuan kita sendiri". Dia kerap berlagak bahawa demokrasi yang berasal daripada perkataan Yunani itu dan yang lama diamalkan di negara luar adalah tidak berapa sesuai di Malaysia. Kerana itu demokrasi Malaysia adalah mengikut acuan sendiri yang telah diciptanya sejak dua puluh tahun yang lalu. Inilah kebanggaan Mahathir selama ini dan inilah yang mahu disogokkannya ke kerongkong setiap rakyat di negara ini selagi mereka mahu dan sanggup menetap di sini. Jika tidak, dia suruh mereka "pergilah tinggal di negara luar, dan tinggalkan Malaysia....!". Itulah saranan yang kerap diulang-ulangnya sejak dua minggu yang lalu.


Demokrasi Malaysia Ciptaan Raja Kelentong


Sekarang kita boleh jenguk apakah demokrasi acuan Malaysia yang dicipta oleh Mahathir itu:



  1. Parti pembangkang tidak ada hak bersuara bebas. Surat khabar parti pembangkang mesti mengikut selera parti yang memerintah. Hanya boleh dijual di markas parti sahaja. Setiap penerbitan mesti mendapatkan permit terbitan dan selalunya boleh ditarik balik apabila kerajaan suka. Tetapi penerbitan yang pro kerajaan boleh dijual di mana-mana dan diterbitkan sebanyak mana. Di negara lain yang mengamalkan demokrasi, pihak pembangkang mempunyai radio dan TV sendiri. Surat khabar mereka tidak pun perlu mendapatkan lesen dan permit daripada pihak kerajaan.

  2. Parti pembangkang dan orang awam yang mahu berkumpul secara aman hanya boleh melakukannya setelah menerima permit polis. Permit ini walaupun sudah dikeluarkan boleh ditarik balik tanpa sebab dan alasan mengikut selera pihak kerajaan. Di beberapa negara luar, sesiapa saja boleh berdemo asalkan dia tidak menghalang ketenteraman awam.

  3. Kepimpinan Malaysia adalah berasaskan demokrasi acuan sendiri. Ini termasuklah mengkritik kuasa besar mengikut selera Raja Kelentong. Sebaliknya, sesiapa yang menyokong pendapat negara luar dalam kritikannya terhadap kepimpinan Mahathir adalah dicap sebagai agen asing. Mereka dibenarkan meninggalkan negara ini untuk tinggal di luar negara. Sesiapa yang mengulang dan menyebut kembali kritikan negara luar terhadap kepimpinan Mahathir boleh dianggap penghasut dan penderhaka terhadap negara.

  4. Rakyat negera ini tidak digalakkan untuk mempercayai pendapat negara luar yang dianggap mahu menjajah Malaysia. Tetapi, segala akta yang telah diwujudkan oleh penjajah yang satu ketika dulu bertujuan untuk mempertahankan negara daripada ancaman komunis masih dipakai lagi untuk menindas rakyat. Kerana itu Akta Keselamatan Dalam Ngeri(ISA), Akta Polis, Akta Menghasut dan berpuluh akta dan peraturan yang bersifat menekan rakyat masih lagi digunapakai kerana ia menjamin keselamatan Raja Kelentong dan para kroninya dan para pemimpin UMNO yang lain. Tidak cukup dengan semua itu, ditambah lagi beberapa akta yang menekan seperti AUKU, Akta Rahsia dan sebaginya. Dalam perkara ini Mahathir tidak pernah memikirkan bahawa beliau dan juga Barisan Nasional sebernarnya merupakan pseudo-penjajah di negara yang sudah lama merdeka ini. Dengan lain perkataan segala akta yang dicipta oleh penjajah dulu sengaja dikekalkan oleh Mahathir untuk terus menjajah bangsanya sedangkan di waktu yang sama diberlagak bahawa dialah pemimpin wakil rakyat di negara ini. Sayang sekali, majoriti rakyat terutama sekali yang menjadi ahli UMNO masih tidak mahu sedar lagi.

  5. Sesiapa yang mahu menubuhkan parti politik yang mempunyai sifat membangkang Barisan Nasional, harus sanggup menunggu satu masa yang lama, mungkin menunggukan kucing bertanduk. Tetapi, kalau parti politik itu ditubuhkan untuk bersekongkol dengan Raja Kelentong, kelulusan penubuhan parti itu boleh dilaksanakan dalam sekelip mata. Bukankah itu yang membolehkan penubuhan PAS Baru?

  6. Sejak Mahathir memegang kuasa politik dia telah melakukan pelbagai bentuk kezaliman yang sengaja disokong oleh para juaknya sebagai langkah pentadbiran yang perlu untuk menaikkan nama Malayasia ke tahap antarabangsa. Di kalangan UMNO alasan yang ditonjolkan ialah untuk menaikkan martabat Bangsa Melayu itu ke tahap yang tinggi setara dengan bangsa yang besar. Ini adalah satu penipuan besar. Bagaimanakah satu bangsa itu boleh menjadi besar, kalau wawasan yang dilakar untuknya merupakan satu wawasan yang tidak menjadikannya satu bangsa yang besar? Segala yang direncana oleh Mahathir untuk orang Melayu sebenarnya mempunyai matlamat jangka pendek untuk memuaskan nafsu yang rakus seolah-olah rencana itu boleh melonjakkan bangsa Melayu itu sebagai satu bangsa yang mudah maju. Tamaddun sesuatu bangsa tidak boleh dijolok ke atas tanpa melalui setiap tahap anak tangga kemajuan.

    China yang berada ketika tempoh kepimpinan Mao Tse Tung hampir pupus, telah melancarkan "The Great Leap Forward", satu usaha melompat untuk membarisi tahap kemajuan tamaddun bangsa lain. Satu generasi bangsa itu terkandas ke belakang, walaupun ketika itu Deng Zao Peng diturunkan pangkat menjadi pencuci tandas. Para juak Mao Tze Tung telah menonjolkan rencana lompatan budaya itu dengan berasaskan "Buku Merah Mao" yakni rangkaian kata-kata "hikmah seorang yang tidak percayakan Allah." Apa jadinya kepada China?

Sama ada disedari oleh rakyat Malaysia ataupun tidak, sejak kematian Tun Ismail Ali, bekas Governor Bank Negara dulu, Mahathir telah tiba-tiba menunjukkan kerakusannya dengan melaksanakan pelbagai projek mega di negara ini untuk menunjukkan Malaysia mempunyai ratusan bangunan tinggi-tinggi dan projek mega yang boleh menandingi projek yang sama di negara maju. Tetapi, projek di negara maju itu dibina untuk satu tahap yang lama dan melalui ratusan tahun tamaddun bangsa sesuatu negara itu. Alangkah rakusnya Mahathir mahu menandingi kuasa besar sedangkan setiap kuasa itu menjadi besar selepas melalui satu tempoh yang lama sebagai penjajah.

Mahathir mengumpulkan segala projek besar itu dan mengagihkan kepada para kroni. Di waktu yang sama dia tidak mampu mengawasi setiap projek itu dengan baik kerana dia terlalu taksub mahukan setiap projek itu siap dalam masa yang singkat. Apa jadinya dan apakah pula kesannya kepada ekonomi negara? Beberapa contoh yang baik boleh dirakamkan di sini:


  1. Langkawi di majukan seolah-olah esok sudah tidak ada lagi. Seorang peniaga yang berpengalaman dengan kayu-kayan diberikan projek itu. Kebanyakan kos projek sengaja dilonjakkan lebih tiga kali ganda di Langkawi. Hanya si pakar pembuat batang penyapu itu yang dianggap pakar dalam pembangunan sehinggakan orang Melayu difikirkan belum pakar lagi dalam setiap projek yang diberikan kepada taukeh itu. Di waktu yang sama satu projek yang lebih mega diberikan lagi kepada taukeh yang sama. Inilah projek Haidro Bakun. Kepakaran luar diambil sebagai penyedap sahaja kerana segala kerja-kerja kontrak itu diagihkan kepada beberapa syarikat lain yang merupakan anak-syarikat kepunyaan pakar batang penyapu itu. Kita sudah nampak kini, projek itu terbengkalai kerana tujuan utama projek itu ialah untuk membalun segala kayu-kayan yang berharga di tapak haidro. Untuk menyedapkan hati rakyat, dikatakanlah betapa perlunya bekalan letrik dengan menggunakan projek ampangan kerana bekalan itu adalah bersesuaian untuk dihantar ke Semenanjung. Dikatakanlah bahawa projek bekalan letrik dengan pembinaan ampang adalah projek yang paling ekonomi.

    Inilah satu contoh betapa rakyat ditipu terang-terangan. Sekarang ini negara maju mengurangkan projek ampangan dengan memberikan tumpuan kepada kuasa angin. Kalau kita lihat di Long Island Amerika ada satu kompleks bekalan letrik menggunakan kuasa nuklear yang cuba dijual oleh kerajaan Amerika dengan harga Satu Dollar Amerika. Projek itu tidak dilaksanakan kerana desakan orang ramai yang tidak mahu pencemaran kuasa nuklear di halaman rumah mereka. Kini, hampir semua negara maju melancarkan projek mendapatkan tenaga letrik daripada kuasa angin. Kita boleh pergi melihatnya di negara Nordik dan mendapati projek ini semakin canggih kini.

    Di Switzerland, kalau kita menyusuri lebuhraya daripada Zurih hingga ke Geneva kita dapat lihat dinding panjang yang disalut "photo voltic cells" untuk menyaring kuasa suria. Inilah projek membekalkan kuasa matahari untuk digunakan oleh rakyat. Kita ada mataharai sepanjang tahun dan angin dengan percuma, tetapi Petronas tidak mampu memperuntukan sebahagian hasilnya untuk projek ini. Yang ditonjolkan kini ialah projek pembikinan kereta suria.

    Projek ini sebenarnya cuba menandingi projek yang sama yang sedang diusahakan oleh beberapa pengeluar kereta termaju di dunia. Yang lucunya kita mengeluarkan belanja besar untuk projek ini untuk menggaji kepakaran daripada barat dan bukannya daripada negara sendiri.


    Rakyat Malaysia terutama sekali masyarakat Sarawak telah membantah projek Bakun. Tetapi, tidak dihiraukan. Kini projek itu terbantut kerana kekurangan wang. Tetapi, alasan yang sebenarnya ialah kerana semua kayu-kayan yang berharga sudah habis dibalun dan wangnya entah ke mana. Bayangkanlah apa jadinya kini kerana taukeh batang penyapu itu mampu mempunyai jet peribadi sendiri dan mampu menubuhkan satu syarikat penerbangan udara sedangkan tiga puluh tahun dulu dia hanya seorang penjual batang penyapu. Beberapa orang teman lama di Sarawak dan Langkawi ada bercerita; kalau orang Melayu dan Cina di Langkawi dan Sarawak diberikan keistimewaan yang serupa yang pernah disediakan kepada Tan Sri Ting itu, tentu sekali mereka mampu melakukan yang lebih terbaik daripada yang dilihat kini. Apakah nak dikatakan dalam hal ini? Sekarang, disebabkan suasana harga melompat dalam setiap kontrak yang diberikan di Langkawi dulu, keadaan cara hidup orang kita di Langkawi pun melompat dengan mendadaknya sehinggakan kalau berlaku kekurangan jumlah pelancong ke sana, orang Melayu Langkawi akan merempat kembali. Begitu juga di Sarawak, projek Bakun sudah pun menjadi satu projek yang ditafsirkan sebagai projek gila oleh seorang pemimpin negara yang memang sudah gila.


  2. Kita telah disogokkan dengan pelbagai projek mega yang menghakiskan keupayaan negara menyimpan hasil petroleum untuk generasi yang akan datang. Perkara ini berlaku kerana Petronas adalah satu badan kerajaan yang dikuasai oleh Raja Kelentong sepenuhnya, dan bukan di bawah kuasa Menteri Kewangan dan kabinet sepenuhnya. Tidak ada sebuah negara yang berteraskan demokrasi di mana ketua ekskutif negara mempunyai satu bekalan wang yang dibawah kuasanya secara mutlak. Disebabkan kuasa yang gila itu, apa juga projek mega yang diimpikan oleh Mahathir dibiayai oleh Petronas, seolah-olah hasil mahsul Petronas itu adalah legasi datuk moyangnya. Kepincangan ini sanggup diperakukan oleh semua lapisan wakil rakyat termasuklah di pihak pembangkang. Dengan lain perkataan, Petronas merupakan satu angsa ajaib yang mengeluarkan telur emas hanya untuk disimpan di rumah Mahathir. Orang lain tidak perlu tahu apa yang dilakukannya dengan telur emas itu. Ini merupakan satu tipu helah yang kejam dan menjijikkan.

    Apabila ekonomi negara merudum dan Malaysia perlu menyesuaikan diri mengikut peraturan yang dikehendakki oleh IMF dan Bank Dunia, Mahathir bingkas membantah kerana dia tahu beberapa peraturan yang dikenakan oleh Bank Dunia itu ialah supaya Malaysia membuat perubahan agar kuasa mengendalikan urusan Petronas itu tidak lagi menjadi hak mutlak seorang perdana menteri. Lagipun sudah tentu banyak syarikat yang muflis dan dipunyai oleh anak-anak dan kroninya terpaksa ditutup, dan tidak diberikan nafas baru menggunakan wang Petronas. Mahathir menolak syarat Bank Dunia itu dengan memburukkan cadangan mereka. Kemudian dia pergi ke seluruh dunia berlagak bahawa "Malaysia mampu memperbaiki ekonomi sendiri tanpa meminjam duit sesiapa."

    Ini pun satu pembohongan lagi yang menipu rakyat Malaysia dan menipu dunia, kerana Malaysia meminjam lagi dengan premium yang lebih tinggi. Kali ini pinjaman itu bukan dilakukan oleh kerajaan tetapi dibuat oleh Petronas.


  3. Sebenarnya ekonomi Malaysia mula merudum sejak 1996 lagi. Tetapi disebabkan perancangan yang licik di kalangan pihak tertentu ekonomi itu dapat bertahan di situ sehinggalah akhir 1998. Muslihat ini dilakukan dengan mencetuskan puluhan projek di luar negara dan juga dalam negeri mengikut selera Raja Kelentong. Cuba buka senarai MOU (Momorandum of Understanding) yang ditandatangani di luar negara dan disaksikan sendiri oleh beliau. Tidak sampai lima persen pun yang telah dilaksanakan. Kebanyakan MOU itu adalah mainan tekateki sahaja untuk menaikkan harga saham setiap syarikat yang mencetuskan MOU itu. Apa jadinya dengan saham-saham itu sekarang? Orang Cina kata inilah saham kertas tisu yang telah membuatkan ramai golongan profesional di negara ini masih lagi merana. Nilai kertas tisu yang disebutkan itu adalah disebabkan kenaikan harga saham itu yang sengaja dipacu oleh pihak tertentu sehingga dikeluarkan surat janji yang lain (other promissory notes) yang berbentuk "Warrants", "Loans", dan sebagainya.

    Promissory notes adalah surat janji yang dikeluarkan oleh syarikat untuk satu tempoh yang tertentu (selalunya tidak melebihi lima tahun melainakn kalau diperpanjangkan tempoh luputnya). Apabila sebuah syarikat melakukan satu pacuan aktibiti dengan naungan pihak kerajaan, harganya di pasaran saham terus naik melonjak hingga mampu menarik minat pelabur runcit. Oleh kerana kertas promissory notes itu pada dasarnya hanya merupakan kertas janji sahaja, nilainya merupakan nilai kosong yang perlu diisi sendiri oleh si pembeli dalam congakannya sahaja. Tentu sekali pihak yang mengeluarkan memberikan beberapa janji manis lengkap dengan katalog yang indah-indah kerana gambaran yang indah yang dipaparkan di atas kertas bermutu tinggi.

    Wang yang dikeluarkan untuk membeli promissory notes itu sepatutnya digunakan sebagai modal kepada projek yang akan dilakukan. Dalam hal ini ia adalah berdasarkan MOU yang ditandatangani itu. Tetapi yang sebenarnya wang yang diterima itu digunakan untuk menutup hutang bertapuk yang mencetuskan kadar faedah bank yang tinggi. Penyelewengan itu dibiarkan berlanjutan sehingga satu masa ia dilupakan oleh masyarakat umum. Apabila projek yang dijanjikan itu tidak dimulakan, mulalah soalan pihak yang mahu mengetahui kerana mereka sudah melabur dulu. Ketika itu barulah diumumkan betapa projek yang berasaskan MOU itu tidak dapat dilancarkan kerana keadaan suasana pelaburan yang sudah berubah. Itu sebabnya banyak "warants" dan "loans" di pasaran saham semakin merudum. Siapa yang rugi dalam hal ini kalau bukan pelabur runcit dan rakyat marhaen?

    Pernah terjadi pada satu persidangan UMNO beberapa tahun yang lalu, desas-desus yang kuat meransang naik harga FACB. Malahan desas-desus itu ada kaitan dengan cerita beberapa ketua bahagian dan cawangan yang diberikan saham percuma syarikat itu. Harga di pasaran pun naik mencanak melebehi RM3.00 kerana ketika itu ada berita akan pelaburan syarikat di China. Ramai guru-guru yang membeli ketika saham sudah mencecah RM2.00 dengan mendapatkan pinjaman bank. Beberapa bulan kemudian saham itu turun hingga puluhan sen sahaja apabila tercetus berita pelaburan di China itu terkandas. Akibatnya, ramai guru-guru yang terpaksa buat kerja sampingan untuk menutup kerugian bank mereka. Begitulah juga nasib yang menimpa majoriti orang Melayu di kampung-kampung yang melabur dalam amanah saham beberapa institusi yang di naungi kerajaan dan UMNO. Mereka masih menanggung kerugian lagi. Apakah Mahathir mahu mengambil kira nasib mereka dengan menggantikan kerugian itu dengan menggunakan wang Petronas seperti yang dilakukan terhadap anak-anaknya?

    Apa yang dikatakan ekonomi mantap sejak beberapa tahun itu adalah satu penipuan juga kerana itulah senjata yang membolehkan Malaysia melakukan dasar pintu terbuka untuk membiarkan ribuan rakyat asing masuk menjadi tenaga pekerja. Projek menggunakan tenaga asing telah menjadikan beberapa kerat orang Barisan Nasional menjadi kaya-raya sehinggakan mereka mampu berjoli sakan di kasino besar luar negara. Proses membawa masuk pekerja asing itu membabitkan ribuan ringgit bertukar tangan di beberapa tahap penguatkuasaan; bermula daripada Jabatan Imigresen hinggalah PDRM (Polis) dan hinggakan ke Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Impak kemasukan orang asing secara haram memerlukan pembinaan beberapa stesen penahanan orang asing itu sebelum mereka dihantar pulang. Pusat penahanan ini menjadi punca maksiat lagi dalam berbagai-bagai bentuk. Terlalu banyak untuk dirakamkan kali ini. Memadailah kalau kita katakan bahawa kewujudan stesen penahanan itu adalah satu tipu muslihat untuk mengekalkan jumlah anggota polis agar tidak dikurangkan. Sedangkan anggota polis itu sepatutnya dikerahkan menangkap pekerja haram ini setiba mereka di pantai di malam hari.

    Apabila pendatang haram mampu menceroboh dengan senang dan berkerja di tapak binaan yang merupakan projek para kroni dan juak Raja Kelentong, siapakah yang berani menangkap mereka? Siapa pula yang berani menyekat dan memeriksa kaedah penggajian dan cara tenaga mereka itu digunakan. Apa yang kerap kita lihat, tapak projek itu diserbu hanya di tahap projek itu hampir siap.

    Kenapakah perkara itu boleh berlaku sedangkan setahun dua sebelum itu tapak itu boleh dibiarkan sahaja? Seperti yang saya tulis dulu, jawapannya terletak kepada perbuatan pihak sabkontraktor yang sengaja mahukan tenaga kerja haram ini ditangkap agar tidak perlu membayar gaji mereka lagi.

    Kita kerap melihat gambar dan berita betapa pendatang haram di tangkap di tapak projek dan dihantar pulang. Kita tahu bahawa undang-undang ketat ada dirangka untuk menghukum setiap majikan yang menggunakan para pekerja tanpa izin. Cuba selidik, berapa ramaikah para majikan yang pernah dipenjarakan sehingga kini kerana menggunakan pekerja tanpa izin? Yang menyedihkan majoriti pekerja asing ini membazirkan gaji yang tinggi yang diperolehi di negara ini dengan berjudi dan berjudi dan berjudi.

  4. Muslihat penggunaan pendatang tanpa izin dalam projek pimbinaan rumah menyebabkan mutu pembikinan rumah itu menurun secara mendadak. Betapa tidaknya kalau seorang nelayan Bawiyan digunakan untuk kerja mengikat batu dan plaster, apa yang dia tahu? Yang peliknya kebanyakan rumah yang siap secara "sub-standard" diberikan sijil kelulusan oleh pihak yang berkuasa.

    Saya ada melihat beberapa bangunan tinggi di Port d##kson yang telah diberikan kelulusan "Certificate of Fitness" sedangkan hampir semua bangunan itu mempunyai kecacatan yang melanggari syarat pembikinannya. Di Teluk Kemang misalannya, projek Worldwide Marina Resort (Batu Tujuh Jalan Teluk Kemang selepas Hospital Daerah Port d##kson) diberikan kelulusan sedangkan beberapa asas prasarana yang mesti disiapkan oleh pemaju tidak pun dilaksanakan. Kerana itu kalau kita angkat "intercom" (telefon dalaman) kita tidak dapat menggunakannya kerana ketiadaan wayarnya. Begitu juga dengan antena TV, ada punatnya tetapi tiada wayarnya. Kompleks Marina itu menjanjikan satu marina untuk membolehkan bot masuk dan disimpan di situ. Projek sudah pun diluluskan oleh pihak kerajaan melalui "certificate of fitness" tetapi lubuk yang dikatakan marina itu belum lagi selesai. Oleh kerana kebanyakan pembeli kondo di situ adalah orang luar daripada Singapura, Hongkong, Indonesia dan Taiwan, ramai mereka ini yang mengeluh kerana janji palsu pihak pemaju. Kerana itu projek itu banyak yang kosong dan terpaksa diambil alih oleh Danaharta. Sehingga kini ramai pembeli luar negara mengeluh kerana ada bangunan yang tinggi itu yang masih bocor di bahagian atasnya dan memerlukan pembaikan. Kalau kompleks itu tidak ditangani oleh Danaharta dengan serius ia akan memalukan Danaharta, akhirnya.


  5. Keadaan bangunan tinggi-tinggi yang kosong sudah pun disebut oleh Mahathir minggu yang lalu. Tetapi apakah tindakannya untuk memperbaiki keadaan? Kita tidak pernah mendengar rencana pemulihan itu daripada mulutnya. Kini dia mula menumpukan kepada projek sungai pula dan meminta rakyat mencintai sungai. Begitulah gelagatnya. Dia tidak ambil peduli secara serius akan kepincangan pentadbirannya. Kalau projek perumahan untuk pembeli warga negara asing boleh kecundang apakah agaknya yang terjadi kepada projek rumah murah? Kita sudah diberitahu bahawa projek rumah murah kini boleh dipesatkan kerana harga rumah murah sudah boleh dinaikkan sekitar RM45,000.

    Inilah jalan pintas yang dipilih oleh kerajaan setiap kali berlakunya kepincangan. Sepatutnya harga rumah murah tidak boleh diubah daripada RM25,000 kalau kerajaan serius mahukan setiap rakyat mempunyai rumah sendiri. Perkara ini boleh dilakukan kalau kerajaan betul-betul mahukannya. Cara membenarkan kenaikan harga hanya akan menyukarkan rakyat dan memudahkan para pemaju.

    Cuba fikirkan cadangan ini:

    Rumah murah untuk rakyat boleh dibuat dan dijual kurang daripada RM25,000 kalau kerajaan Mahathir mahu. Kerajaan harus turunkan kos premium tukar syarat untuk pembinaan rumah itu. Malahan setiap projek membina rumah rakyat tidak patut dikenakan premium (Adakah kerajaan pusat membayar premium membina perumahan di Putra Jaya?). Projek pembinaan rumah itu hendaklah diambil alih daripada pemaju dan diserahkan kepada setiap regimen askar dan juga pasukan PDRM. Kita tidak perlu banyak askar di khemah tentera dan kita tidak perlu banyak polis di negara ini kerana negara sudah aman. Disebabkan terlalu ramai anggota polis makanya kita lihat ada yang bertindak ganas setiap kali ada peluang untuk berantakan dengan rakyat. Tentu kita masih ingat projek PULAREK di Johor Bahru yang kini terpaksa dibikin semula. Kalaulah projek itu dilaksanakan oleh tenaga tentera tentu kita tida diaibkan seperti itu.

    Selama ini projek perumahan dan pembinaan pencakar langit di negara ini dilakukan oleh tenaga asing yang tidak pun mempunyai kepakaran dalam pembikian bangunan. Mereka diberikan peluang untuk menjadi pakar dalam hal itu. Dengan memberikan peluang ini kepada tentera dan polis dan wang pekerjaan itu dimasukkan ke dalam tabung khas (kerana mereka menerima gaji tetap setiap bulan), wang yang dikumpulkan itu boleh digunakan sebagai simpanan untuk mereka mengerjakan rukun haji dan umrah ataupun membeli saham keluaran baru (IPO - Initial Public Offerings).

    Harga rumah di negara ini terlalu mahal disebabkan proses kontraktor pergi ke banyak "sab" dalam mengendalikan sesuatu projek. Kalau kita lihat nama kontraktor sesuatu projek itu ia sama sahaja dengan nama para pemimpin pemuda UMNO tetapi kalau kita lihat siapa yang menjadi sabnya ia adalah orang yang tidak pun boleh menjadi ahli UMNO. Inilah yang membuatkan UMNO itu berlagak kerana semangat berlagak itu terlalu pekat di kalangan pemimpin pergerakan pemudanya.

    Mahathir sudah memerintah dan menjajah negara ini selama dua puluh tahun. Besar kemungkinan ia akan diberikan mandat untuk terus menjajah sehingga dia mati. Perkara pokok dan asas untuk rakyat seperti perumahan masih tidak dapat diselesaikannya. Inilah acuan demokrasi ala Mahathir namanya. Ini juga menunjukkan betapa Mahathir sebenarnya berlakon selama ini kerana dia tidak mampu melakukan sesuatu yang dapat dikenang sebagai satu kemuncak dan kegemilangan pemerintahannya. Kalau masalah perumahan tidak dapat diselesaikan, apakah yang boleh kita harapkan daripada beliau untuk menyelesaikan masalah perubatan dan pendidikan? Apakah kita boleh harapkan beliau menegakkan martabat bangsa Melayu dan keagungan syiar Islam di kalangan orang Melayu?



Kita dapat menjangkakan, masa kepupusan Mahathir sudah semakin sampai. Orang putih kata "The Final Days of a Malay Dictator is Beckoning". Memang tidak syak lagi Mahathir merupakan seorang diktator Melayu pertama di negara ini. (Dia tidak boleh dikira sebagai diktator pertama di dunia; kerana jolokan itu dipegang oleh seorang diktator Albania yang mempunyai darah kacukan Melayu juga). Mahathir memang amat megah dengan jolokan ini kerana itu dia selalunya mengulangkan perkataan "MAHAFIRAUN" dan menyedari bahawa jolokan itu menunjukkan dia lebih hebat daripada firaun. Tetapi dia lupa bahawa apa yang dilakukannya ini adalah satu kejijikan yang akan menghenyak suku-sakatnya dan ahli keluarganya (seperti yang ditulis dengan jelas oleh Aminsapiro: Rakyat Sudah Rimas...!)

Penipuan demi penipuan dan pindaan yang dilakukan kepada beberapa peraturan undang-undang telah membuatkan rakyat lebih rimas dengan pemerintahan Mahathir. Kini dia mahu melakukan pindaan lagi dalam perlembagaan UMNO. Seharusnya kalau kita tidak lagi menjadi ahli UMNO kita tidak perlu rimas dengan apa juga perubahan yang akan dilakukannya itu. Tetapi disebabkan segala pindaan dalam perlembagaan UMNO itu akan juga meminda cara hidup keseluruhan rakyat di negara ini, kita terpaksa menyatakan bantahan kita. Di manakah mampu kita lakukan itu kalau bukan di jalan raya secara berhimpun dengan aman. Strategi ini memang lama sudah disedari oleh Mahathir kerana itu permit dan lesen untuk berhimpun secara aman itu tidak akan diluluskan kepada rakyat.

Mahathir menganggap bahawa himpunan rakyat secara aman itu adalah tidak perlu kerana itu tidak masuk dalam acuan demokrasi olahannya. Kini, terpulanglah kepada semua rakyat Malaysia bersatu menyatakan kejijikan mereka terhadap kepimpinan Mahathir. Rakyat perlu bangkit di seluruh negara ini mengganyang Mahathir secara aman. Sampai bilakah pihak polis mahu menghayunkan belantan mereka terhadap rakyat yang tidak bersenjata? Undang-undang dan hukum alam lambat laun akan berlaku juga. Ini akan menjelma juga apabila kebangkitan rakyat itu akan menghumbankan Mahathir ke dalam penjara. Selama ini dia angkuh menolak sebarang usaha untuk membawanya ke mahkamah. Dia sudah tidak ada ruang lagi untuk mengelakkan dirinya. Di waktu yang sama dia tidak mampu lari ke mana yang dia suka kerana hampir semua sahabatnya yang selama ini menjadi diktator di negara mereka sendiri sudah pun berada di satu tahap akan dijerat oleh rakyat mereka juga.

Demokrasi Malaysia mengikut acuan ala Mahathir sudah kita nampak jelas kini kerana kita sama-sama sedang merana mengharunginya. Sudah tiba masanya kita menunjukkan Mahathir dan seluruh dunia apakah demokrasi Malaysia sebenarnya mengikut acuan yang akan dilakarkan oleh rakyat marhaen. Cukuplah masa yang diberikan kepada sukusakat dan para jongos Mahathir akan segala keistimewaan yang mereka nikmati selama ini. Memadailah dengan segala kemewahan dan kekayaan negara ini yang mereka balun daripada hak rakyat itu. Sampailah masanya rakyat bertindak secara kolektif (rakyat marhaen, tentera dan pihak polis) untuk menyanggah Mahathir daripada khayalannya.

Rakyat terpaksa bertindak berani untuk mengnyahkan Mahathir dan para juaknya daripada terus memutar minda kita dalam usahanya memperkuatkan lagi kuasa kediktatorannya. Rakyat mesti sedar, Mahathir tidak lagi mempunyai semangat memperjuangkan masalah rakyat. Kerana itu apabila rakyat berhimpun secara aman pihak polis berani menggila. Yang ditangkap dan ditahan tidak diberikan rawatan spontan ataupun diberikan bekalan makanan yang dibawa oleh ahli keluarga mereka. Bagaimana pula cerita Anwar Ibrahim yang tidak diberikan rawatan selama lima hari selepas dibaham oleh Rahim Noor dan "siapa lagi"?

Kini, ANARKI sudah mula berputik dan akan berbunga untuk mencengkam suasana harmoni di negara ini. Kita perlu bertindak untuk mencetuskan satu berita baik akhirnya. Inilah berita baik yang mahu kita canangkan ke luar negara. Inilah warisan kita kepada anak dan cucu-cicit kita apa sebenarnya demokrasi Malaysia mengikut acuan bangsa Malaysia, yang berteraskan keperwiraan Melayu. Sebelum itu, Mahathir dan para kroninya perlu dimasukkan ke "dalam" dulu.


-Marhaintua-
11.11.2000.