Laman Webantu   KM2A1: 3187 File Size: 7.0 Kb *



Jalan Kebun Di Setiap Ketika
By Wartawan Pencen

11/11/2000 11:19 pm Sat


AIR MATA GELAGAT ALAM

Sudah beberapa kali saya tersangkut
diperenggan ini. Berdentam-dentum bunyi
guruh sayup dan jauh dari sini.
Sudah beberapa kali ia bergema
tetapi emel ini belum terbang lagi.
Akhirnya meleretlah ia menjadi
panjang setelah tersekat beberapa
jam.

Sudah tidak kedengaran lagi suara
burung-burung berkicauan. Malah tidak
kelihatan juga yang terbang. Saya
perhatikan sedikit gelagat alam
yang semakin meragam. Sekejap terik
dan sekejap hujan. Apakah ada
sesuatu yang mengusik perasaan
awan itu. Atau apakah ia sengaja
bersifat sedemikian setelah
panas semaking berbahang?

PUTARAN ALAM YANG SEIMBANG

Walau apapun wap yang panas itu akan
naik kelangit juga, dan ia akan turun
kembali dalam dingin yang nyaman.
Itulah satu nikmat putaran alam,
ia naik dan ia turun, tetapi ia
tetap seimbang.... Dan burung akan
kembali berkicauan....

Namun begitu kadang-kadang air mata
alam itu berkuasa juga. Tetapi ia
melakukannya secara tiba-tiba dan
tidak tersangka.

Saya perhatikan negara kita sudah
lama menjadi mangsa mata air yang meragam.
Ia pernah kontang sehingga terpaksa
beratur menunggu giliran. Dan ia
pernah mengalir perlahan sehingga
kondo yang gagah pun tumbang.
Padahal simen itu memerlukan air
juga sebagai campuran sewaktu dinding
dan tiang itu mahu didirikan.

Alangkah indahnya kisah mata air itu,
namun ia tidak difahami oleh manusia
walaupun berbekal teropong panjang?


AIR YANG MEMBASAHI KELOPAK MATA

Berlainan dengan mata air yang
muncul dicelah rekahan batu batan,
air jernih yang mengalir di celah-celah
kelopak mata manusia itu penuh dengan
makna yang begitu mendalam. Ia keluar
bila dipaksa oleh satu serangan atau
mengalir dengan tidak sengaja mengiringi
satu perasaan.

Soalnya, apakah dengan titisan
itu akan dapat mengubah nasib
bangsa yang telah terbelenggu?

Itulah satu persoalan yang menjadi
tajuk beberapa emel yang sukar dijawab
sepintas lalu. Walaupun begitu kisah
Putri Gunung Ledang memilih air yang
sama sebagai syarat perminangan.
Kisah itu berakhir dengan hajat yang
tidak kesampaian....

Sebenarnya ada air mata yang bisa
merubah keadaan, tetapi ia mungkin tidak
berlaku sekarang. Seperti mata air di
Hulu Kelang, ia menumbangkan sesuatu
di dalam diam. Mungkin secebis kisah
dalam tragedi di lebuhraya itu dapat
menyingkap kekuatan air mata itu.


ADAB BERHIMPUN - NASIHAT PEMIMPIN YANG ARIF

Saya tertarik untuk memberi satu komen
mengenai reformis kita yang ditahan itu.
Jika aqal kita sedikit panjang, kita perlu
bertanya mengapa pemimpin BA menyuruh kita
bersurai bila pihak berkuasa enggan berkerjasama.

Malah pemimpin kita juga tidak membenarkan
kita membawa senjata. Hikmah dari arahan
tersebut memang ada. Ia adalah bukti rakyat
tidak mempunyai sebarang agenda ganas yang
menganggu ketenteraman. Sekaligus ia akan
menghancurkan semua tohmahan dan dakwaan
jika kita ditahan.

Polis Mahathir sudah lama cuba mempersalahkan
kita, oleh itu jika kita melawan kita hanya akan
memberi alasan mudah kepada mereka menggunakan
belantan atau membuat tangkapan. Mengikut akta,
polis hanya berkuasa memnyuraikan sahaja - tidak
lebih dari itu. Mereka boleh mengejar jika kita
"yang mengajar". Jika kita tidak melawan, mereka
terpaksa membebaskan kita dari tahanan reman.
Dari kacamata luar, kita sudah "menang".

Apabila kita berhimpun di mana-mana, kita
perlu memahami siapakah yang memanggil kita.
Sebab itulah dalam Islam, kita disuruh melantik
seorang ketua bila berpergian. Tujuannya,
antara lain, ialah untuk mengukuhkan jalinan,
dan mengelakkan dibaham "kenyang". Atau
menangis teresak-esak sendiran.... gambar
kita sudah dirakam.


SABAR WALAUPUN GERAM

Sebenarnya kita sudah melakukan yang satu
tindakan yang betul dalam tragedi perbalahan
dengan polis itu. Jangan sengaja memberi sebab
untuk kita diberkas. Rahsianya ada dalam
ayat2 berperang dalam al Quran. Kita
dilarang berperang kerana perasaan yang
geram. Sebaliknya kita berperang untuk
menghapuskan penganiayaan (oppression).

Konsep ini penting. Sebab itulah Sayyidina
Ali tidak membunuh lawan bila beliau diludah
sebelum menikam pedang... akhirnya kisah itu
berakhir dengan lawan itu menganut Islam!

Inilah kekuatan sebenar kita. Bukannya
kekuatan bermain pedang, tetapi kekuatan
mengawal diri walaupun diludah kewajah
oleh musuh. Kita tetap menang walaupun
kita tidak menentang... kerana ada
orang memerhatikan. Ia bakal tersiar
nanti seantero negara dan sepelusuk
negeri. Itulah satu rahsia - sabar
pun masih tetap menang. Tragedi yang
menimpa Pak Din itu amat berkesan
kerana Pak Din tidak melawan
walaupun beliau pesilat terbilang.


RAHSIA SI AIR MATA

Apabila berada dimana-mana, tidak
perlu menentang polis dengan cara
yang bukan-bukan. Kita bukannya berperang
dengan mereka. Ulamak pun sukar menyedarkan
polis, inikan kita. Kita ke sana untuk
menyedarkan rakyat seantara negara.
Merekalah nanti yang memerhatikan
gelagat kita disebarang perhimpunan.

Apabila orang yang baik dan tidak
melawan dikasari polis, mata
mereka yang memerhati kisah itu
akan berlenangan - inilah perjuangan kita
setakat ini. Inilah air-mata yang bakal
merobah kehidupan. Mereka inilah nanti yang
akan turun ke padang bersama membantu kita.

Inilah secebis rahsia yang terselit
dalam semua perjuangan kita selama ini.
Itulah air-mata yang kita nanti-nantikan.
Dan itulah air-mata diam yang bakal merubah
keadaan di masa depan.

Kita belum diizinkan lagi oleh pemimpin
untuk melawan dengan siku dan tangan.
Bila seruan itu ditiupkan, sudah tidak
boleh lagi berlembut dengan mereka
yang berhati setan.

JALAN KEBUN DI SETIAP KETIKA

Di lebuhraya siber inilah kita muncul dan pergi.
Setiap kali kita berhenti, kita melepaskan sesuatu
untuk tatapan rakyat berbilang bangsa. Inilah Jalan Kebun
kita hari ini, esok, lusa dan seterusnya. Sekali sekala
turun juga ke Jalan Kebun yang sebenarnya, itupun
untuk dihimpun di satu Jalan Kebun maya juga akhirnya.
Itulah bingkisan kisah buat tatapan anak bangsa
yang bakal mewarisi negara. Sekurang-kurang itulah
sedikit usaha ayahanda di jalanan untuk anak-anak cucu
semua. Darah yang menitis di lebuhraya itulah
saksi perjuangan ayahanda yang tidak seberapa.

Itulah nasib kita di dalam negara yang menafikan
hak kepada rakyatnya untuk berhimpun dan bersuara.
Kita menangis sedang mereka tertawa. Kita disini,
mereka di istana.

Hak kita sudah dicuri di siang hari.
Mak cik kita disepak terajang sesuka hati.
Tetapi, ayahanda akan tetap pergi
Setiap Jalan adalah Jalan Kebun lagi.