Laman Webantu   KM2A1: 3170 File Size: 30.4 Kb *



Siri 7 YTDT: Kalau Otak Ada Di Lutut
By Marhain Tua

9/11/2000 6:39 am Thu

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai

Bab: 7

[Rencana kali ini berkisar mengenai isu Putrajaya dan Kependekkan Aqal Raja, Khir Toyo atau semua ahli DUN UMNO. Hujah yang dipaparkan teramat pedas lagi berisi. Lebih banyak rahsia dan logik mudah didedahkan setelah menyuluh pelbagai sejarah silam. Bukan mudah untuk menulis rencana berfakta sebegini, oleh itu ia MESTI diBACA dan diSEBAR SEGERA kerana hak telah dinoda teramat hina. - Editor]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI


BAB 7: KALAU OTAK ADA DI LUTUT


KALAU OTAK ADA DI LUTUT

Semalam, 7 November 2000, Sultan Selangor dan putranya Pemangku Raja Selangor telah menandatangani perjanjian jual-beli kawasan yang kini disebut Putra Jaya dengan harga RM200 juta, ditambah RM 7.5 juta setahun untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan. Kenapakah dipilih tarikh 7.11.200 untuk menandatangani perjanjian itu dan tidak ditunggu selepas Jumaat misalannya dan dilakukan dalam satu majlis di mana rakyat marhaen dijemput untuk menjadi saksi, akan merupakan satu tekateki sejarah. Yang nyata, kalau dicampurkan 7+1+1+2+0+0+0+0 ia akan memberikan jumlah 11. Kemudian kalau diikut ilmu numerologi kalau dipecahkan sebelas itu menjadi dua angka yang perlu dicampukan kembali ia akan menjadi '2'. Angka dua memang merupakan angka keramat bagi seorang insan yang masih tidak percaya pisau cukur sudah ada di zaman Nabi Mohammad s.a.w.

Ini memberikan satu kiasan, tarikh untuk menandatangani perjanjian pun mesti mengikut rentak selera seorang rakyat (yang ada "sesudu dua darah Pakistan" mengikut suratnya kepada Tunku Abdul Rahman Putra dulu).


Sayang......dan amat memilukan, kalau kita ambil sejarah bagaimana Negeri Selangor itu diperjuangkan satu ketika dulu oleh rakyat marhaen untuk membolehkan seorang raja yang sungguh lemah ketika itu kerana kerap berperang sesama ahli kerabatnya sedangkan Selangor ketika itu merupakan satu negeri Melayu yang termaju selepas kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka. Tanpa kegigihan orang Melayu memperjuangkan istana raja dulukala, kerajaan Melayu Selangor ketika itu sudah pasti mengikuti jejak langkah negeri Melaka, kini. Tanpa beraja dan tanpa ada sesiapa yang pedulikan kegemilangan susur-galur kedaulatan raja-raja itu.


Berulangnya Sejarah Lama


Lebih dua puluh lima tahun dulu pada 1 Februari, 1974; raja yang sama telah menjual Kuala Lumpur kepada kerajaan pusat dengan bayaran gantirugi yang dikira setimpal pada zaman itu, iaitu RM3.5 bilion. Wang pendahuluan yang dibayar ialah RM200 juta. Sebaik sahaja menerima wang pendahuluan itu Kerajaan Selangor telah membina pintu gerbang di hadapan KWSP dengan harga kalau saya tidak lupa sekitar RM17 juta. Di waktu yang sama raja yang menandatangani perjanjian jual beli itu telah membeli sebuah 'yatch' kerana dia mahu "memudahkan kerja-kerja melawat kepulauan di dalam jajahan Selangor". Apa jadi dengan 'yatch' itu pun masih menjadi teka-teki juga.

Di samping jumlah di atas, kerajaan pusat juga dikehendakki membayar RM18.3 juta setahun untuk selamanya.

Ketika perjanjian awal ditandatangani pada tahun 1974 itu, kadar tukaran matawang Malaysian Dollar dengan dolar Amerika ialah sekitar 2.30 - 2.50. Kini, kadar tukaran tetap ialah sekitar RM 3.80. Di luar negara, kadar tukaran pasaran gelap pula ialah RM6.50 kepada satu dollar.


Setiap rakyat Selangor terutama sekali orang Melayu tentu merasa sebak melihatkan gambar penjualan itu kerana ia mengimbau sejarah lama betapa ramainya orang Melayu yang terkorban memepertahankan kedaulatan raja-raja di negara ini. Malahan, ketika Selangor dihambat oleh pergerakan Bintang Tiga yang mengganas sebaik sahaja Jepun menyerah kalah dalam Peperangan Dunia Ke-2 dulu. Ketika itu bapa sultan yang ada ini amat memerlukan bantuan orang Melayu untuk melindunginya dan anak-anaknya (termasuk Yang Dipertuan Agong kini). Kemudian, British masuk kembali dan satu proses untuk merobotkan masyarakat istana cuba diatur dalam bentuk penubuhan Malayan Union. Sekali lagi, orang Melayu bangkit untuk memberontak dan berhimpun ramai-ramai menunjukkan kerelaan mempertahankan apa yang disebut sebagai kedaulatan raja-raja Melayu. Di waktu itu tidak ada telefon lagi dan orang Melayu yang termampu masih lagi berhiburkan dirinya dengan penggunaan peti-nyanyi (gramophone) cap kepala anjing. Di kepala anjing itu ada tertulis "His Master's Voice".



Setiap kali mahu memainkan sekeping rekod, peti nyanyi itu perlu diputar dulu untuk mengetatkan spring yang tersorok di dalamnya. Satu jarum kecil perlu dipasang untuk menggores rekod itu apabila 'spring' yang ketat dibiarkan untuk memutar rekod tadi. Berbunyilah rekod itu. Kalau jarum yang digunakan itu jarum baru, merdulah suara penyanyi yang dirakamkan pada rekod itu. Kalau jarum yang digunakan adalah jarum lama yang dikitar semula, suara nyanyian yang keluar di corong peti adalah suara yang garau-garau, sumbang dan menggelikan hati. Kadangakala, spring di dalam peti itu pun meragam mungkin kerana terlalu kerap digunakan. Orang yang memutarnya fikir dia sudah cukup putar, sebaik sahaja dicuba memainkan rekod kesayangannya, peti-nyanyi itu meragam. Terpaksalah dibiarkan dulu spring itu mengendur secara perlahan, untuk diketatkan semula.

Di zaman orang Melayu menggunakan peti-nyanyi, masyarakat Melayu mampu berhimpun untuk menyanggah British. Tidak perlu telefon dan tidak ada pun radio untuk digunakan sebagai alat mengajak orang Melayu bersepadu. Cukup dengan tong-tong, tabuh, beduk, gendang besar dan juga rebana besar yang dipukul di masjid dan surau memberi isyarat bahawa bahaya sudah mendatang dan masyarakat Islam perlu berperang. KEBANGKITAN orang Melayu ketika zaman peti-nyanyi pakai spring dulu adalah satu kebangkitan yang belum berulang lagi.

Satu ketika dulu, orang Melayu akan berkumpul dengan segala rela hati untuk mempertahankan kedaulatan raja-raja dan orang besar, wakil raja-raja. Pantang mendengar isyarat, berhimpunlah masyarakat Melayu itu tanpa ragu-ragu kerana di zaman dulu perhimpunan tidak memerlukan lesen ataupun apa yang disebut sekarang sebagai 'permit'. Malahan, kalau kita baca buku sejarah lama, ada dicatatkan bagaimana rakyat marhaen dikerah untuk berperang tanpa ada sebarang bekalan makanan daripada istana, sedangkan perjuangannya itu adalah untuk mempertahankan insan yang sedang menghisap madat dalam istana. Kalau ada pun upah yang diberikan oleh raja kepada rakyat yang akan pergi ke medan perang itu ialah hak meniduri sekumpulan wanita (harem) yang sudah pupus gelaran mereka sebagai dayang dan gundek raja ataupun masyarakat janda perang yang kehilangan suami ketika peperangan untuk raja sebelum itu. Itulah nasib rakyat marhaen di zaman dulu yang diputar minda mereka dengan peribahasa: "Di mana Bumi Dipijak Di sana Langit Dijunjung".



Indah sungguh peribahasa itu kerana ajaran itu telah mampu memutar minda orang Melayu turun temurun sehinggakan Melayu rela mnyembah raja-raja dan terhangguk kepada sesiapa sahaja yang berdarah raja. Orang bukan-Melayu yang tidak melakukan sifat begitu tidak pula didera, kerana mereka tidak diajar akan peribahasa Melayu seperti itu. Mereka juga tidak diajar apa ertinya kedaulatan raja-raja Melayu.


Orang Melayu Tidak Pandai Mencongak?

Apa yang ditandatangani oleh Sultan Selangor adalah satu perrjanjian yang perlu diluluskan oleh majlis Kerabat Raja-raja dan juga Dewan Negeri Selangor. Yang peliknya, rakyat Selangor tidak ambil pusing sangat akan perkara ini seolah-olah ada sesuatu yang tersirat dalam sikap membisu mereka itu. Apakah kerana fahaman universal bahawa orang Melayu itu tidak suka Ilmu Hisab kerana itu mereka tidak mampu mencongak nilai jumlah pampasan yang diterima oleh Negeri Selangor? Ataupun apakah, kerana rakyat Selangor sudah faham, selepas berlakunya kepada rakyat Terengganu, sebarang perjanjian yang ditandatangani oleh Mahathir dan kerajaannya akan dianggap sebagai kertas tisu sahaja? Ataupun apakah ada sesuatu intrig yang menjadi muslihat orang Selangor untuk menyerlahkan satu kebangkitan terhadap apa yang telah dilakukan oleh Sultan?


Kalau diambil kira pampasan RM200 juta yang dibayar oleh Kerajaan Mahathir, harga pampasan tanpa mengambil kira bayaran tahunan yang boleh dianggap sebagai gula-gula itu; kadar tanah yang dijual oleh kerajaan Selangor kepada Kerajaan Pusat ialah sekitar 0.93 (sembilan puluh tiga) sen sekaki persegi. Sebagai perbandingan kita boleh melihat harga tawaran untuk tanah kosong di Cyberjaya ialah sekitar RM52 (Lima Puluh Lima Ringgit) sekaki persegi. Kalau harga pasaran ini diambil kira sedangkan harga itu adalah mengenai Cyberjaya, harga pampasan yang patut dibayar oleh Kerajaan Persekutuan mestilah melebehi Berbilion Ringgit. Bayangkan sendiri kalau dalam setiap hektar terdapat 43,562 kaki persegi.

Soalnya sekarang, kenapakah kerajaan negeri begitu mudah menjual maruah rakyat Selangor kepada kerajaan pusat dengan harga yang sungguh menghinakan? Di sinilah terjawabnya kenapa Abu Hassaan Omar rela melepaskan jawatannya sebagai menteri besar walaupun ketika itu dia dihina dan dicemuh begitu hebat sekali. Inilah juga sebabnya saya katakan dalam penulisan yang lalu, Khir Toyo adalah seorang budak hingusan dalam arena politik Melayu.


Kita mahu ambil sedikit pengalaman dunia sejagat sebagai bahan pengajaran untuk rakyat Malaysia dan juga masyarakat Melayu.

a) Lebih seratus tahun yang lalu, empayar British terkenal seluruh dunia sebagai satu empayar yang berjaya menakluki kemegahan maharajah Cina sehinggakan mampu memujuk Cina menyewakan Hong Kong sebagai pusat perdagangannya di Asia. Sebenarnya British mahu mengambil alih pulau itu dengan cara membelinya dan sebelum dilaksanakan program itu British telah mengganyang masyarakat Cina agar menjadi satu bangsa yang kuat menghisap candu. Masyarakat Cina menjadi masyarakat pemadat kerana British membekalkan candu itu yang ditanam di Burma, sebuah negara jajahannya. Rencana British itu sempat dibaca oleh Cina yang hanya bersetuju menyewakan Hong Kong dalam perjanjian pajakan sahaja kepada British dan Macao kepada Portugal. Kini, Hong Kong pulang ke pangkuan China dan bermulalah konsep satu negara dengan dua konsep pentabirannya.


b) Beberapa dekad kemudiannya, British telah memperolehi Singapura bukan dengan pajakan ataupun gadaian. Hanya dengan membeli pulau itu daripada Temenggong Johor (bukan pun berdarah raja) dengan pampasan yang amat malu untuk diulang di sini kerana antara beberapa hadiah yang diberikan oleh Stamford Raffles termasuklah beberapa tin cokelat (toffee) dan biskut keras (yang satu ketika dulu menjadi bahan bekalan makanan Askar Melayu di hutan rimba).

Sebelum itu pula British telah berjaya mengambil tanah jajahan Sultan Kedah yang kini dinamakan Seberang Perai dan Pulau Pinang. Satu ketika dulu ia dikenali dengan nama Province Wellesley and Penang. Upah pemberian tanah jajahan Sultan itu ialah janji British untuk mempertahanakn kedaulatan raja Melayu daripada ancaman kerajaan Siam. Bererti Sultan Kedah ketika itu tidak yakin dengan keperwiraan rakyatnya. Mungkin kerana terlampau ramai yang berdarah Pakistan?

c) Pengambilan tanah asing oleh penjajah memang merupakan satu proses penjajahan yang bercorak lembut kerana ia dilakukan tanpa pertumpahan darah. Yang paling kelasik ialah ketika Belanda meminta sebidang tanah untuk berdagang di Melaka. Luas tanah ialah sebesar kulit kering seekor lembu. Sultan Melaka ketawa berdekah-dekah ketika itu memikirkan 'Benggali Putih' yang datang daripada Eropah itu orang tolol sahaja. Tetapi, tidak disangkanya orang Belanda itu telah menghiris kulit kering itu menjadi satu tali yang panjang. Apabila di tarik tali itu ia menjadi satu kawasan tapak perumahan yang besar. Barulah ketawa sultan lenyap sepi kerana ketawa rakyat Marhaen muncul mengganti. Begitu juga dengan gelagat peniaga Portugis selepas itu. Mereka tidak meminta tapak tanah tetapi menawarkan beberapa orang pilihan mereka menghambakan diri kepada Sultan Melaka. Satu ketika di malam hari, khadam Portugis itu membuka pintu istana untuk Portugis menyerang pengawal dan hulubalang raja, sehinggakan Sultan Melaka terpaksa lari ke Muar, kemudian ke Riau dan akhirnya ke Johor Lama. (Bukankah itu juga cara dan taktik yang digunakan oleh seorang bilionaire Cina dengan menawarkan khadamnya menjadi setiausaha kerja UMNO?)



d) Suez Canal merupakan satu terusan penting yang berjaya memendekkan perjalanan pelayaran samudera sebelum terciptanya pengangkutan udara. Idea asal membina terusan itu dicetusakn oleh pedagang di zaman Firaun kerana mereka mahu pergi ke Somalia dan Ethiopia untuk mencari damar, gaharu dan herba yang merupakan bahan penting untuk mengawet mayat. Mereka membina parit besar untuk membolehkan air laut daripada dua hala masuk ke terusan itu. Kemudian kerja itu diteruskan oleh orang Yunani sebelum diambil alih oleh orang Roma. Terusan itu tertimbus semula untuk satu masa yang panjang sebelum orang Arab menggalinya semula untuk menakluki Mesir. Apabila Nepoleon Bonaparte naik takhta pada sekitar 1798, ia mengarahkan terusan itu digali semula. Kerja yang memakan masa itu tergendala lagi sehinggalah seorang jurutera Peranchis, Ferdinand De-lesseps, menandatangani satu perjanjian (concession) dengan kerajaan Mesir pada November 30, 1854 (146 TAHUN YANG LALU). Pada November 17, 1869, Terusan Suez itu dibuka secara rasminya, setelah merakamakan lebih 125,000 nyawa rakyat Mesir terkorban kerana pembikinannya.

Pada 1956, Mesir merampas kuasa syarikat antarabangsa yang mengendalikan terusan itu dan memilik-negarakan terusan tersebut. Terusan itu menjadi kawasan larangan kepada perkapalan Israel daripada 1948 hingga 1975 dan ditutup kepada semua lalulintas daripada 1967-1975 disebabkan peperangan Arab-Israeli sehinggalah dilakukan pembersihan yang disebabkan periuk api, kapal yang tenggelam dan terkandas di situ. Ia diperbesarkan lagi pada 1976-1980. Terusan Suez terus menjadi terusan penting kerana penjimatan 30% daripada perjalanan kapal daripada Eropah ke Jepun kalau menggunakan laluan Tanjung Harapan di Afrika.

e) Begitu juga halnya dengan Terusan Panama` satu lagi terusan yang mempercepatkan pelayaran di benua Amerika. Sejarah terusan ini lebih menarik lagi kerana ia dimulakan oleh De-lesseps tetapi gagal menyudahkannya disebabkan terlalu ramai pekerja yang mati kerana malaria dalam satu tempoh yang singkat. Terpaksalah Amerika menyambungnya kembali pada 1904 dengan menggunakan kepakaran jututera tentera Amerika.


f) Kalau kita lihat Switzerland, kita dapati ia merupakan satu negara yang tersepit di antara tanah besar Eropah. Tetapi, di setiap sempadannya dengan negara lain, Switzerland berjaya menyewa tanah negara jirannya untuk kemudahan memasuki negara itu. Di bahagian bersempadan dengan Peranchis dan Jarman ada satu kawasan yang dinamakan 'Trois Frotiere'. Di situ satu kawasan khas membolehkan seseorang memasukki Switzerland terus ke bandar lama Basle daripada lapangan terbang Mullhouse kepunyaan Peranchis. Switzerland tidak pun membeli tanah itu tetapi hanya menyewa secara pajakaan sahaja. Begitu juga kalau kita masuk ke lapangan terbang Geneva dan mahu pergi ke Peranchis. Kawasan yang kita masuk itu adalah kepunyaan Switzerland, tetapi dipajak sahaja oleh kerajaan Peranchis untuk tempoh yang lama.




g) Satu ketika dulu Amerika Syarikat mempunyai satu tapak penempatan angkatan perangnya di Filipina yang dinamakan Subic Bay (Teluk Subic). Ia tidak jauh daripada satu bandar yang bernama Angeles (sebut Anghilis) City. Kawasan ini dipajakkan sahaja dan tidak dijual oleh pemerintah Filipina ketika itu. Walaupun rakyat Manila sudah memeluk agama Kristian dan meninggalkan agama Islam (hasil jajahan Sepanyol) dan berhutang budi kepada Amerika kerana mempertahankan serangan Jepun dalam Peperangan Dunia Ke-2 dulu, mereka mampu berfikir bahawa tanah mereka bukan untuk dijual-beli.

Menyedari contoh di atas, cuba kita bayangkan apa yang telah dipersetujui oleh Sultan Selangor dan juga wakil rakyat yang mewakili rakyat Selangor itu adalah sesuatu yang bukan sahaja menjijikkan tetapi juga memalukan rakyat yang mampu berfikir. Oleh kerana proses pengambilan tanah Selangor itu dilakukan dengan tipu muslihat, sejarah akan menentukan masih banyak rahsia terselindung di sebalik pengambilan itu kerana ia memberikan keuntungan besar kepada golongan tertentu. Adalah tidak bersalahan, kalau rakyat Selangor mengambil sikap kurang ajar berpandukan apa yang telah diajar oleh seorang diktator tua bahawa apa juga perjanjian yang baru ditandatangani itu, ia adalah satu perjanjian yang tidak boleh dikira sah oleh rakyat jelata.


Eloklah dirakamkan di sini, satu hari nanti, perjanjian jualbeli Putra jaya itu akan disanggah oleh rakyat dan perlu dijenguk kembali agar bayaran yang bertepatan diberikan setimpal dengan harga nilai hartanah semasa. Malahan, kita diberitahu memang ada tanah-tanah yang telah bertukar tangan kepada orang ternama yang tertentu dalam kawasan itu. Ini pun mesti diambil kira sebaik sahaja si diktator tua sudah kehilangan kuasa.


Kalau Pemimpin Sudah Kurang Ajar


Tentu ramai yang bertanya kenapakah kita mahu pertikaikan apa yang sudah ditandatangani di antara raja dengan kerajaan yang ada. Jawapannya mudah sahaja, apa yang dilakukan oleh Mahathir masakini hendaklah dikira tidak sah oleh rakyat jelata. Kalau rakyat dengan segala rendah diri sanggup membayar sewaan untuk mendapatkan stadium berhimpun secara aman dan ditidakkan hak itu, apakah lagi yang boleh diharapkan kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat? Apakah Stadium Bukit Jalil itu dibina dengan wang ringgit peninggalan datok moyang Mahathir Mohammad ataupun apakah Stadium Malawati di Syah Alam itu dibina dengan duit peninggalan datuk moyang Sultan Abdul Aziz Shah? Kalau stadium itu dibina dengan wang rakyat kenapakah rakyat dinafikan hak menggunakan stadium itu? Kalau pengembang dan pendakwah ajaran Kristian boleh datang daripada luar negara dan mengembangkan ajaran Kristian kepada penduduk negara ini termasuk golongan Islam yang sudah dimurtadkannya, kenapakah rakyat yang cintakan keamanan dinafikan hak itu?

Satu ketika dulu Pergerakan Pemuda UMNO berarak ke Dewan Perhimpunan Cina untuk menyerahkan surat protes (sandiwara ala filem Hindustan) kepada Kumpulan Suqui. Adakah mereka memerlukan permit dan lesen? Adakah mereka diganyang dengan gas pemedih mata dan belantan menggila? Adakah yang buta ditembak dengan gas dalam lori?


Peristiwa jual-beli Putra Jaya yang dilakukan oleh Sultan Selangor dan Raja Kelentong haruslah dianggap tidak sah dan Putra Jaya haruslah dipajakkan sahaja untuk satu tempoh yang panjang kepada Kerajaan Pusat mengikut cara Hong Kong dipajakkan kepada Kerajaan British oleh Kerajaan China dulu. Cadangan ini bukannya datang daripada agen asing tetapi datang daripada seorang anak Melayu jati Selangor yang nenek moyangnya pernah berjuang mati-matian mempertahankan apa yang dikatakan kedaulatan raja Selangor dan kedaulatan negara keseluruhannya.



Penerimaan wang pampasan RM200 juta adalah satu penghinaan kepada rakyat Selangor. Apa yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu?. Ia tidak mampu membina istana seindah mahligai Airmata di Putra Jaya. Ia tidak cukup membeli sebuah jet eksklusif secanggih Global Express. Kenapakah Sultan Selangor begitu rakus menerima tawaran yang diberikan oleh Raja Kelentong? Kalau Sultan sudah tidak mampu berfikir secara serius kenapakah kerabat diraja Selangor diam membisu? Satu ketika dulu Sultan berbelanja besar untuk sentiasa berada di luar negara 'untuk berubat', rakyat Selangor tidak pernah berdecit. Malahan, ketika Pemangku Raja belayar mengelilingi dunia dengan tenaga kepakaran bukan Melayu, rakyat tidak berdecit juga. Pernah satu ketika terdapat keluarga raja dan kerabat istana Selangor yang menerima saham mudah dalam syarikat bukan Bumiputra dan meraih banyak kontrek kerajaan negeri. Rakyat diam membisu kerana tanda hormat. Apabila isteri pertama pemangku raja Selangor dijumpai hidup bersekedudukan di (pertengahan 70-an) dengan orang bukan Islam, rakyat Selangor diam juga seperti diamnya mereka apabila pemangku raja itu beristerikan seorang putih yang bukan pun berdarah raja. Apakah golongan istana fikir, penjualan Putra jaya kepada kerajaan pusat akan diterima secara senyap dan bodoh sahaja.



Tulisan ini akan menjadi bahan sejarah untuk menyedarkan rakyat Selangor untuk terus mempertikaikan kerja sewel Sultan Selangor itu termasuklah penipuan moral yang dilakukan oleh Khir Toyo dan juga Raja Kelentong. Kita, rakyat Selangor mesti faham apa yang sedang dihadapi oleh rakyat Terengganu dengan penafian hak mereka kepada pembayaran royalti petroleum yang sah. Begitu juga terhadap penipuan kerajaan pusat terhadap rekyat Kelantan yang dinafikan royalti gas yanng disalurkan ke Thailand. Kita mesti ambilkira hak setinggan dan peneroka bandar yang masih merempat ketiadan tapak rumah. Kita mesti mengambil iktibar daripada keazaban yang ditanggung oleh beberapa rakyat yang sudah pun buta mata, pecah kepala, remuk tulang mereka semasa berhimpun secara aman di lebuhraya Kesas pada 5.11.2000. Semua ini adalah kesan pemerintahan yang ZALIM.......KEJAM dan RAKUS!

Ada satu peribahasa lama yang menyebut: "Raja yang adil raja disembah, Raja yang kejam raja disanggah." Ini merupakah satu peribahasa lama yang sudah lama diajar di sekolah-sekolah dan tidak perlu sebarang permit dan lesen untuk menggunakannya dan mengulanginya.

Apa yang berlaku masakini terutama sekali dalam jual beli Putra Jaya kepada Kerajaan Persekutuan adalah satu perbuatan yang zalim di mana raja tidak pun mengambil kira perasaan rakyat. Sedangkan di setiap Jumaah, rakyat Selangor bersolat dan menampung tangan untuk mengaminkan doa meminta Allah mengekalkan nyawa raja.


Saya tidak mahu menulis panjang kali ini kerana masih tersentuh dengan satu perasaan hiba melihatkan bangsa saya merana dipukul, ditembak dengan gas pemedih mata dan diaibkan oleh bangsa saya sendiri. Sepatutnya Sultan Selangor dan Pemangku Raja pergi melihat sendiri rakyatnya yang sedang menanggung azab dan kesengsaraan berlawan dengan penderitaan yang dilakukan oleh pihak yang diputar minda mereka untuk melakukan keganasan itu. Kalau di Bukit Mertajam Duli Yang Mulia Sultan Kedah boleh turun padang menziarahi jenazah Dr. Joe Fernandez yang terbunuh oleh pembunuh upahan, kenapakah Pemangku Raja Selangor sanggup memeram telur di istana tanpa menziarahi mereka yang terlentang di hospital gara-gara perbuatan ganas pihak polis. Kenapakah Sultan Selangor yang merangkap yang Dipertuan Agong tidak sanggup berdecit memerintahkan ditubuhkan satu suruhanjaya penyiasat terhadap salahlaku pihak polis itu? Inilah yang dikatakan dasar muka tidak tahu malu, kerana otak sedah berada di lutut.. Rakyat marhaen di bawah sanggup mati-matian satu ketika dulu mempetahankan kedaulatan raja-raja, tiba masanya raja sudah senang-lenang rakyat marhaen dianggap sampah masyarakat sahaja.


Rayuan Ikhlas Kepada Pemimpin Berhati Rakyat


Saya, dengan segala rendah diri, merayu kepada semua pemimpin rakyat tidak kira yang masih di bawah ketiak Raja Kelentong ataupun berada di pihak pembangkang, agar mengambil iktibar bahawa sikap membeli tanah Melayu dan dijadikan tanah kerajaan pusat hendaklah ditentang mati-matian. Bukan disebabkan harga pampasannya yang rendah tetapi disebabkan perbelanjaan untuk membangunkannya itu adalah tinggi sehingga menidakkan hak rakyat keseluruhannya kepada pembangunan infrastruktur yang lebih penting lagi. Malahan, kita tahu seperti yang diketahui oleh ramai pelabur luar, projek Putra jaya adalah satu alat untuk satu kelompok manusia rakus membalun harta rakyat marhaen.

Lihat sahaja di Putra Jaya, kalau pembinaan mahligai Raja Kelentong memakan belanja RM700 juta, bagaimana pula kos pembinaan ruang pejabat kerajaan persekutuan? Kalau kita lihat kemudahan taman-taman dan infrastruktur lainnya yang terdapat di sekeliling Mahligai airmata itu kita akan dapat mengimbau zaman silam yang tidak pernah dinikmati oleh raja-raja Melayu. Seorang nettter telah mengingatkan saya kepada taman dan dataran bekas peninggalan sejarah maharajah Dzar (Tsar) di Russia satu ketika dulu. Begitu juga dengan peninggalan maharajah Peranchis, Austria dan juga di negara Eropah lainnya.

Putra Jaya yang anda lihat sekarang ini adalah lambang satu pemerintahan yang zalim kerana sanggup berbelanja besar sedangkan rakyat marhaen masih melarat dan akan terus merempat hidupnya.

Setiap hujung minggu dan di hari lebaran, kita akan melihat ratusan bas dan kereta pengunjung datang melawat dan diletakkan kenderaan itu di sekitar bulatan besar di hadapan Masjid Unggu yang tersergam indah. Setengah daripada bas itu adalah tajaan jabatan perdana menteri ataupun UMNO untuk menyedarkan orang kampung akan apa ertinya "pembangunan untuk menjadi satu bangsa yang besar (kepala dan taiknya sekali)". Tetapi, lihat dulu apa yang dilakukan oleh makcik dan pakcik dan anak-anak sekolah dari perkampungan itu? Selepas melopong melihat keindahan sekeliling, mereka tentu kagum dengan Taman Firdausi Raja Kelentong. Mereka pun akan membuka nasi bungkus yang dibawa daripada kampung untuk menikmati hidangan di bawah alunan bayu projek mega di situ. Apakah perasaan mereka apabila mengetahui mereka tidak mampu membeli juadah yang dijual di 'Selera Putera' kerana harganya setimpal dengan juadah yang dijual di KLIA dan KLCC?

Kalau kita melihatkan anak-anak yang makan nasi bungkus di bawah pancaran suria yang terik itu, kita tentu terkilan apakah dosa anak-anak kecil yang menikmati segala itu sedangkan apabila mereka dewasa kelak, sebahagian pendapatan gaji mereka akan digunakan utnuk melunaskan hutang bertapuk pembinaan segala lambang kerakusan seorang Diktator Tua merangkap Raja Kelentong.

Berkata teman-teman, "Inilah Taraf Kita Orang Melayu" dan "Inilah generasi yang akan membawa Malaysia entah ke mana......."

Kalau ada sesiapa yang akan datang ke Masjid Unggu dan Putra jaya, fikirkanlah baik-baik, apakah itu lambang kemegahan orang Melayu dan apakah itu lambang kemajuan rakyat Malaysia?


Kepada Mahathir, orang Melayu mesti bersatu kerana "orang Melayu mesti bersedia berkorban untuk menjadi satu bangsa yang besar". Kerana itu digalakkannya orang Melayu terjun ke Khutub Utara dengan sebuah kereta yang sudah usang teknologi pembikinannya. Dia galakkan pula rakyat Malaysia terjun (menyimpang) di Khutub Selatan dengan menggunakan wang rakyat lagi. Seperti juga digalakkannya Azhar Mansor melayari solo keliling dunia sedangkan dia tahu ratusan orang putih melakukan kerja yang sama dengan duit mereka sendiri setiap masa. Minda orang Melayu diputar lagi seperti terputarnya minda raja-raja Melayu selama ini.


Demikianlah sedikit coretan mengambil sempena Putra Jaya dijual oleh seorang sultan yang tidak lagi mampu berfikir dengan waras. Itu sudah menjadi nasibnya kerana Sultan ini memang sudah lama merana, sejak dia menikahi seorang janda (Shariffah Salmah?) seorang Sultan di Perak dan terpaksa menceraikannya setelah permaisurinya pulang ke seberang memeram dendam.

Kita mencatatkan November 7, 2000 ini dengan penuh tanda hormat kepada orang Melayu Selangor yang sudah lama taat dan setia kepada sultannya. Tetapi apakah rakyat Melayu Selangor diambil kira dengan penjualan tanah itu kepada kerajaan pusat? Bukannya rakyat mahukan sebahagian wang pampasan. Tetapi, rakyat mahukan yang hak itu mesti tetap hak. Ini bukan zaman peti-nyanyi 'His Master's Voice' lagi.

Kini, 'His Master's Voice' adalah satu fenomena sejarah silam. Ia telah diganti dengan radio digital, telefon bimbit dan komputer lap-top. Namun, cara kehidupan orang Melayu di negerinya sendiri masih tidak banyak berubah. Minda orang Melayu pada keseluruhannya masih lagi diputar-putar laksana spring peti-nyanyi dulu-dulu lagi. Orang atas boleh buat apa yang dia suka. Orang bawah mampu menganga mulut sahaja. Nampaknya golongan raja-raja (termasuk spesi Raja Kelentong dan para kroninya) berfikir bahawa orang Melayu di zaman ini adalah sama sahaja dengan Melayu di zaman peti-nyanyi dulu. Memang padan muka orang Melayu semuanya.......!!!!!


-Marhaintua-
8th November 2000.