Laman Webantu   KM2A1: 3164 File Size: 3.1 Kb *



Tindakan FRU sayatkan hati
By Sroxx

8/11/2000 5:19 pm Wed

Sumber: www.malaysiakini.com

Segmen Pembaca:

Nov 7, 2000

Tindakan FRU sayatkan hati

Hati saya begitu sedih dan terpanggil untuk merakamkan pengalaman sendiri tatkala menatap peristiwa kecederaan seorang anggota polis yang terlibat menyuraikan "perhimpunan haram"di Lebuhraya Kesas tempoh hari.

Sedih mengenangkan itulah harganya yang terpaksa anggota polis terbabit bayar untuk mempertahankan kediktatoran dan kekalutan seorang pemimpin tua di buminya sendiri.

Namun kesedihan itu tidak mampu menahan rasa pilu dan sebak yang melanda tatkala melihat betapa hebatnya aksi anggota-anggota FRU mempertahankan tanahair daripada sebarang "huru-hara" mahupun rusuhan. Betapa tangkasnya mereka meledakkan letupan gas pemedih mata, begitu cepatnya mereka mengorak langkah mengejar dan membalun tubuh-tubuh Malaysia (bukan Kongres Amerika mahupun Bangladesh).

Apalah sangat yang difahami oleh seorang kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun yang menangis meraung-raung kepedihan. Betapa sangatlah kesalahan seorang makcik tua dari Terengganu yang hanya terperangkap akibat sekatan yang dijalankan oleh ?pihak berkuasa' hingga disesakkan nafas dan dibakar dengan pancutan air kimia.

Jika atas alasan perhimpunan haram sekalipun, maka atas alasan apakah permohonan perhimpunan "halal" di Stadium Bukit Jalil ditolak sementah-mentahnya?

Betapapun alasan yang diwarwarkan di dada media, ia tidak mampu untuk menghalalkan sebarang alasan memuntahkan limpahan gas pemedih mata dan juga air kimia ke atas puluhan rakyat yang hanya berhimpun dan menjeritkan laungan ?reformasi' serta ?allahuakbar'. Lebih lebih lagi ia dilakukan di waktu gesaan "kita bersurai sekarang secara aman" dilakukan melalui hailer oleh pihak penganjur.

Keperitan itu bersambung tatkala menyaksikan deretan kereta orang awam yang pancit di sepanjang jalan tersebut serta puluhan buah motosikal yang sedang "dijahanamkan" oleh seorang SB tua!

Berulangkali saya beristighafar dan mengingatkan diri sendiri yang saya sebenarnya berada di tanahair saya sendiri. Bukannya di Yugoslavia, Perancis mahupun Amerika yang sebagaimana yang biasa terpapar di kaca televisyen.

Seburuk dan sejahat jahat mereka sekurang-kurangnya ianya dilakukan hanya setelah provokasi melampau pihak-pihak yang terbabit serta keadaan yang sudah nyata tidak terkawal.

Lebih menyayat hati membaca peristiwa kecederaan seseorang anggota polis lebih dibobrokkan keesokan harinya berbanding kesengsaraan puluhan ribu rakyat yang merengkok menahan kepedihan asap pemedih mata dan lantunan belantan pihak keselamatan ... juga kerosakan berpuluh-puluh kenderaan akibat "tangan-tangan hantu" yang entah dari mana.

Malaysia, oh Malaysiaku ... Bersedialah untuk masa depan yang lebih "gemilang".

- Sroxx -