Laman Webantu   KM2A1: 3161 File Size: 28.7 Kb *



Siri 6 YTDT: Dasar Muka Tidak Tau Malu (Mesti Baca)
By Marhain Tua

8/11/2000 6:52 am Wed





Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 6

[Rencana kali ini MESTI diBACA dan SEBAR juga. Ia menyingkap peristiwa Jalan Kebun serta beberapa rahsia, termasuk kesihatan Mahathir dan kebuasannya setelah Gabenor Bank Negara meninggal dunia. Sudah tentu hujah di dalam rencana ini mampu menjadi satu khazanah ilmu yang amat berharga, lebih-lebih lagi ia mengupas satu tragedi hebat di bulan November. - Editor]


YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 5: DASAR MUKA TIDAK TAU MALU



DASAR MUKA TIDAK TAU MALU

5 November 2000 akan terpahat dalam sejarah tamaddun dunia sebagai satu tarikh yang penuh maknanya.

Ini bukan kisah rakyat Manila yang berhimpun ratusan ribu jumlahnya di sepanjang Ayala Avenue di Makati hinggalah di Roxas Boulevard di Manila dan di Project Three and Four di Quezon City. Di sana mereka keluar beramai-ramai lengkap dengan pakaian yang bertulis "Undur Estrada" ataupun 'Erap Resign' ataupun 'Impeach Estrada'. Semua ini adalah kata jolokan yang mahukan Presiden Estrada berundur dan melepaskan jawatannya. Rakyat Filipina memang bertuah kerana mereka mampu berhimpun secara aman tanpa perlu mendapatkan lesen, dan meminta presiden mereka mengundurkan diri. Pembabitan Kardinal James Sin untuk memberi nasihat kepada presiden itu agar beliau mengambil jalan terhormat tidak pula disambut oleh pancutan air asid ataupun hayunan belantan ke cermin kereta ataupun kepala. Tidak juga tembakan gas pemedih mata kepada pemimpin rakyat di sana. Polis Filipina ketika itu lebih selesa membawa payung untuk melindungi muka mereka daripada pancaran matahari yang terik. Apakah tindakan Presiden Estrada dalam hal ini? "Kalau anda bertanggunjawab mengangkat saya menjadi presiden, kini anda mesti bertanggungjawab menjatuhkan saya dari singgahsana....! Dia tidak pun mengarahkan polis menggunakan kekerasan terhadap rakyat yang berhimpun untuk mendesaknya undur.


Ini juga bukan tarikhnya untuk mengingati ratusan rakyat Palestin yang mati ditembak oleh askar regim Israel. Mereka mati syahid kerana bersenjatakan batu dalam gerakan 'intifada' melawan serangan askar yang bersenjata canggih dan berbaju kalis peluru. Memang ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa mati mempertahankan tanah air mereka berbekalkan semangat jihad dan batu kecil sebagai senjata untuk berlawan. Kalau pancutan air asid yang diarahkan kepada mereka merupakan air berbisa yang pasti mencetuskan penyakit kanser; kerana itu Israel lebih berminat menembak sampai mati, senang bicara dan senang hati.

Kita juga bukan mahu bincangkan peristiwa rakyat Indonesia yang merusuh di Jakarta membakar sana dan membakar sini melawan pasukan tentera dan polis kerajaan yang cukup canggih alat pertahanannya. Majoriti rakyat Indonesia yang berhimpun secara besar-besaran dulu sanggup mati sebagai pejuang bangsa melawan regim Suharto kerana terlalu lama merasa bosan berpemimpinkan manusia yang rakus dan yang sudah lupa daratan. Mereka berhadapan dengan senjata otomatik yang memuntahkan peluru berbisa. Mereka berantakan dengan polis gerak gempur yang beralatkan belantan dan perisai serta bertali arus datangnya untuk menolak rakyat yang dahagakan keamanan dan perubahan nasibnya.

5 hb November, 2000 adalah satu tarikh keramat di Malaysia. Ia berlaku di Shah Alam ibu negeri Selangor, di mana Sultannya sedang memegang kuasa sebagai Duli Yang Dipertuan Agong dan amat sedar apa yang berlaku kerana memanda bendaharanya adalah Perdana Menteri Malaysia yang bernama Dr. Mahathir Mohammad. Namun, peristiwa yang menjadi bersejarah itu bukan menyangkuti pergolakan yang sedang bergelora di sanubari rakyat Selangor disebabkan rampasan di siang hari yang dilakukan oleh Mahathir Mohammad ke atas tanah taklukan Selangor untuk menjadi Wilayah Persekutuan. Episod ini akan menjadi satu lagi bahan sejarah dan akan dijangka menumpahkan darah di antara rakyat Selangor jati yang marahkan Sultan kalau beliau setuju menyerahkan lagi tanah Selangor kepada kerajaan pusat. Mentelahan lagi rakyat Selangor sudah semakin jijik dan meluat menengokkan gelagat menteri besar yang baru yang semakin lupa daratan bahawa beliau adalah anak keluarga mendatang daripada seberang yang sebenarnya diberikan tumpangan kasih, ihsan rakyat jati Selangor.


Tarikh Keramat, Tarikh Azimat

Sejarah akan menentukan bahawa 5 November 2000 adalah satu tarikh keramat bagaimana rakyat Malaysia berbilang bangsa cuba berhimpun secara aman tanpa berbekalkan sebarang senjata mempertahankan diri, untuk mendapatkan kembali hak mereka yang hilang. Nawaitu berhimpun dan berbarisan mengandungi berbagai-bagai kaum, agama dan harapan itu telah disambut oleh pasukan keselamatan, terutama sekali pasukan Gerak Khas dengan perbuatan yang biadap dan menjijikkan. Rakyat yang tidak berdosa diperlekehkan. Mereka dipancut dengan air asid yang mempunyai kesan yang serius kepada kesihatan. Kereta mereka dirosakkan dengan cara yang paling aib dan ada di kalangan mereka yang tercedera teruk kerana dibelasah seolah-olah mereka adalah bahan belasahan yang digunakan oleh pasukan itu ketika mereka melakukan latihan gerak kerja.

Sekaligus, 5 November akan terpahat sebagai tarikh rakyat memusuhi wakilnya yang dilantik dengan sah di pemilu ke-10 yang lalu. Sekaligus, Mahathir dan para juaknya boleh menganggap dirinya sebagai 'public enemy number one' (musuh terunggul masyarakat) dan para juaknya sebagai kumpulan yang bersekongkol dengannya (collaborators).

Apa yang diharapkan sebagai perhimpunan yang bebas dan aman telah dijadikan satu perhimpunan haram oleh Mahathir dengan sokongan padu seorang budak mentah berpolitik bernama Dr. Khir Toyo. Sayangnya mereka dan zuriat mereka akan menanggung padahnya. Sepatutnya kalau Mahathir bijak dan Dr. Khir Toyo pandai, perhimpunan rakyat yang dirancang itu boleh dijadikan sebagai alat untuk mengembalikan semula perpaduan orang Melayu yang mampu membawa suasana maaf-bermaafan untuk melonjakkan Malaysia ke satu era yang lebih maju lagi. Sayang, kerana dasar muka tak tahu malu, ciri-ciri keinsanan yang bersadurkan ajaran keIslaman disisihkan oleh mereka yang sudah ketandusan idea bagaimana mahu memimpin sebuah negara yang bermasyarakat majmuk.

Cuba fikirkan faktor di bawah ini:

a) Penafian Sengaja Hak Berhimpun *

Penganjur himpunan rakyat ini pernah meminta agar diberikan peluang menyewa Stadium Bukit Jalil untuk menaja perhimpunan ini. Permohonan ditolak walaupun deposit sewaan telah diambil. Alasannya stadium perlu dibaik-pulih pada hari yang diminta. Kerana itu penganjur merancang diadakan di Jalan Kebun Kelang kerana itu adalah kawasan markas parti. Kesannya pentas dan segala persiapan dirobek-robek dan tuanpunya tanah ditangkap bersama dengan beberapa insan lain yang tidak berdosa.

Sepatutnya Khir Toyo menggunakan kebijaksanaannya. Dari menganjurkan polis menyekat dan menghalang himpunan itu, dia boleh memberi kemudahan agar digunakan Stadium Melawati di Shah Alam dan membiarkan perhimpunan berjalan lancar di mana polis diletakkan untuk mengawal lalulintas. Malahan dia boleh menghadiri perhimpunan itu sebagai orang biasa untuk mendengar sendiri apa yang akan diucapkan oleh pemimpin pihak penganjur. Dia boleh duduk di anjung istana Selangor untuk mendengar segala ucapan dengan Pemangku Raja Selangor, kalau dia mahu. Sayang sekali, dia telah memakai otak yang mungkin tersorok di kepala lututnya untuk mengikut rentak menekan yang dilakar oleh seorang diktator tua. Apa salahnya kalau dia berunding dengan kerabat diraja Selangor dan pergi mengadap kepada Sultan yang bersemayam di Istana Agong dan mengemukakan cadangan untuk berkompromi?

Sebagai seorang perpendidikan ilmu perubatan tentu dia sudah lama sedar keadaan Sultan Selangor yang selama ini tertekan dan sanggup menerima apa juga cadangan yang difikirkan munasabah yang dapat menambat hati rakyat Selangor.

Apa salahnya kalau Khir Toyo berunding dengan veteran UMNO di Selangor dan di mana juga di negara ini untuk mendapatkan sokongan agar mereka dapat menasehati Mahathir untuk tidak berkeras dalam hal ini. Kemudian rujuk pula dengan Ketua Polis Negara dan Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia mengenai perkara ini agar Mahathir ditonyohkan otaknya sikit untuk memahami bahawa himpunan yang dilaksanakan melalui internet ini adalah satu himpunan yang tidak boleh diperlekehkan.


Khir Toyo harus sudah sedar untuk sekian lama dia menjadi menteri besar di Selangor, dia menjadi menteri besar bukan kerana rakyat suka dan redha...saya ulang perkataan redha. (Orang Jawa sebut perkataan ini dengan perkataan REDO!.) Rakyat Selangor termasuk masyarakat Jawa peranakan tidak 'redho' Khir Toyo menjadi menteri besar bukan disebabkan mereka cemburu tetapi kerana mereka tahu beliau belum matang untuk mentadbir sebuah negara yang termaju di Malaysia ini, disebabkan usia dan pengalamannya. Satu ketika dulu ada seorang Jawa telah menjadi menteri besar, tetapi dia tidak dipertikaikan malahan disenangi sedangkan kelulusannya adalah meniup trombon pada upacara kematian orang Cina. Itulah yang dia pandai kerana sebelum itu dia menjadi pemain muzik angkatan pancaragam polis Malaysia. Dia tidak berkelulusan apa-apa tetapi dia matang melayani kerenah rakyatnya, itulah yang membuatkan negeri Selangor terus maju di bawahnya.

Malangnya Khir Toyo hanya pandai berlagak seolah-olah dia pintar mentadbir. Dia belum tahu lagi sepak terajang ahli exco yang ada kerana dia belum cukup pengalaman. Dia ingat mentadbir negeri seperti menampal gigi berlubang; bius sikit, cuci sikit dan tampal yang berlubang itu. Kemudian, kutip pitih banyak sebagai habuannya.

Sepatutnya, perhimpunan yang dilangsungkan secara tidak berlesen itu diberikan lesen oleh Khir Toyo kerana dia mempunyai kuasa mengarahkan lesen itu diluluskan. Dia tidak perlu merujuk kepada sesiapa. Kalau dia sayangkan jawatan barunya dan juga ketenteraman negeri pentadbirannya dia boleh mengambil sikap, 'pergi jahanam kepada orang luar Selangor yang mahu mengkotak-katikkan pentabdiran negeri....!'. Apa salahnya dia menjemput penaja himpunan rakyat itu berunding di rumahnya bersama dengan ketua polis Selangor dan juga ketua tentera Selangor? Luluskan lesen untuk stadium Malawati dan arahkan polis bertugas mengawal lalulintas dan ketenteraman. Mahathir mungkin berlembut kalau diberitahu inilah jalan yang terbaik untuk keamanan negara.....!

Orang putih kata 'What's the big deal in denying a licence?' Di Kota Bahru dan di Kuala Terengganu perhimpunan manusia melebehi 100,000 orang pernah dilakukan, tidak pun ada kekecohan apa-apa. Kalau penganut Kristian dibenarkan kelulusan menggunakan Stadium Bukit Jalil, kenapakah pengikut parti politik pembangkang ditidakkan hak itu? Apakah mereka bukan rakyat Malaysia dan apakah mereka semuanya agen asing?

Sayang sekali....Khir Toyo terlepas peluang untuk menyerlahkan kelelakiannya dan menonjolkan kewibawaanya. Apa gunanya berikrar sanggup bermandikan darah sedangkan hidup kita setiap malam bermandikan peluh dan airmata? Inikah ajaran agama Islam yang kita hayati, dan inikah amalan duniawi yang anda pelajari? Khir Toyo sudah tersilap langkah kerana masuk perangkap yang disediakan bukan sahaja oleh Mahathir malahan oleh kumpulan yang mahu melihatkan dia jatuh daripada kedudukan yang tidak disenangi mereka sejak dia memegangnnya lagi.

Adalah diharapkan bahawa Khir Toyo akan sedar daripada kesilapan besar ini dan faham bahawa Mahathir tidak akan terus menongkat langit. Esok ataupun lusa berkemungkinan anda melihat Mahathir kaku sambil tegak berdiri kerana diserang angin ahmar. Lihat sahaja gelagatnya sekarang ini dan amatilah cara dia bercakap dari kacamata seorang yang berpendidikan perubatan. Mahathir sebagai manusia biasa tidak dapat bertahan lama. Semua orang peniaga amat sedar akan fenomena ini. Kerana itu ramai para juak dan jongosnya di kalangan orang bukan Melayu meransangnya agar mempercepatkan projek yang membolehkan mereka membalun harta negara dan mengambil faedah kontan darinya untuk dilarikan keuntungan pendahuluan itu. Kerana itu setiap projek mega yang dulu-dulu dilakukan dengan cepat sehingga memaksa penggunaan tenaga kerja mendatang, kerana muslihat mahu membalun wang rakyat semata-mata. Ini dilakukan terang-terangan tanpa ada sesiapa mahu mengkritiknya.


b) Putarabelit Juak Mahathir yang Memalukan Orang Melayu

Salah satu putarbelit yang amat ketara tetapi tidak berapa dikesan oleh masyarakat umum ialah penamaan Putra jaya dan Cyber Jaya. Kenapa tidak disebut 'Dunia Putra' ataupun Dunia Siber'? Kalau Putra Jaya dinamakan kerana mengenangkan Tunku Abdul Rahman Putra kenapa pula Cyber jaya tidak dinamanakan 'Putra Cyber' ataupun 'Cyber Putra'. Apakah secara kebetulan nama 'Jaya' itu bersamaan dengan nama 'Berjaya Group' yang memang amat mudah menghamba-abdikan diri tuanpunya kumpulan itu kepada Mahathir sehinggakan pegawai proksinya kini menjadi Setiausaha Kerja UMNO?

Khir Toyo sepatutnya sedar akan segala putarbelit dunia koporat untuk berpaut kepada pemimpin politik. Mahathir telah dijebak oleh jerung-jerung kelas ungggulan ini kerana dia tamak dan rakus sejak menceburkan dirinya dalam dunia politik. Kerana kerakusan itu dia sanggup membiarkan anak-anaknya menjadi ahli korporat secara 'parachute' tanpa pengalaman dan latihan bertahap. Apabila mereka jatuh berdebab, dia tidak punyai pilihan lain melainkan membantu mereka dengan menggunakan wang rakyat, tanpa restu rakyat.

Setiap orang yang mahu menonjol sebagai pemimpin rakyat harus akur kepada tatasusila kepimpinan betapa kalau tidak ada pengikut, tidak adalah pemimpin. Sekarang ini sebilangan besar mereka yang memimpin, memperkokohkan kewibawaan mereka melalui putar belit media, seperti TV, akhbar dan radio. Tanpa propaganda songsang ini, apa yang diiktiraf pemimpin itu sebenarnya sama jijiknya dengan kucing kurap yang melata kerana kurang wibawa.

Lihat kepada sejarah Mahathir sendiri. Satu ketika dulu dia menjadi pemimpin yang disegani. Ini berlaku ketika abang iparnya masih menjadi Gabenor Bank Negara dan ketika itu dia tidak berani berdecit banyak walaupun sudah menjadi Perdana Menteri. Sebaik sahaja Tun Ismail Ali meninggal dunia, Mahathir bertukar perangai menjadi rakus serakusnya. Sejak itu dia lakukan proses pecah dan perintah. Dia ganyang sesiapa yang sanggup menasihatinya dan apatah lagi yang berani menyanggahnya. Kemuncak kerakusan Mahathir terserlah apabla dia menang menumpaskan pengaruh Al Arqam, sedangkan kalau dikaji betul-betul apa yang dikatakan penyelewengan peradaban dan amalan Al Arqam itu adalah terhad pada amalan keluarga Abuya. Sedangkan akar umbi Al Arqam pada keseluruhannya merupakan pengikut setia yang amat takut kepada ajaran Allah seperti yang diwahyukan kepada Nabi Mohammah s.a.w. Al Arqam dibubarkan kerana dikatakan hampir tersungkur di pintu syurga. Tetapi, al Arqam sebagai institusi perniagaan kelas eceran ataupun runcit adalah satu insitutsi yang membangun tanpa pertolongan ikhlas Kerajaan. Al Arqam adalah pengasas industri IKS Melayu (Industri Kecil dan Sederhana) yang terlalu megah diceluparkan oleh Rafidah Aziz, Mustapha Yaakob, Anuar Musa dan hampir semua pemimpin UMNO yang tidak bertapak di alam nyata.

Kelemahan memahami pergerakan niaga Al Arqam dan juga kelemahan Mahathir memahami ajaran Allah kerana kerakusannya yang semula jadi telah dieksploitasi oleh segelintir insan dalam UMNO dan kerajaan yang bergelar ulama. Mereka bersekongkol dengan Rahim Noor untuk mengganyang Al Arqam sebagai topeng untuk mendekatkan pengaruh mereka kepada Mahathir. Kesannya, pengaruh yang ada pada Al Arqam kini menggugat UMNO dan penyatuan ummah serta kerukunan kehidupan orang Melayu. Tanpa al Arqam, kegiatan Kemas, Mara, dan Kementerian Perdagangan dalam negeri tidak membawa sebarang impak. Mereka ini sebenarnya melonjak naik kerana menumpang kegemilangan jaringan niaga yang diteraskan oleh Al Arqam. Kekuatan mereka menyingkir Al Arqam tidak pula berdaya menguatkan pengaruh mereka dalam penyibaran ajaran Islam di kalangan masyarakat orang Melayu. Mereka gagal dan tersungkur sehingggakan sanggup melakukan putarbelit lagi mengenai jawatankuasa madrasah dan masjid. Tidak cukup dengan membaca khutbah lengkap dengan dakwah songsang sehingga membuatkan jemaan sembahyang zuhur berasingan. Bukankah ini sebab yang besar kenapa ulama terkenal lari daripada menyokong UMNO?

Khir Toyo harus menyedari hakikat ini, kerana Al Arqam bertapak kuat di Selangor dan pengaruhnya masih lagi kuat bertapak di Selangor malahan semakin berpengaruh lagi. Lupakan jasa Abuya Ustaz al Sheik (apa lagi) Shaari; seorang Jawa berasal daripada Kuala Pilah yang mampu menyatukan ummah yang terumbang-ambing satu ketika dulu sedangkan kumpulan itu mahu berniaga secara ajaran Islam. Abuya terjebak kerana dia cuai tetapi bukankah proses dia dirasuk untuk mengamalkan nilai hidup yang songsang itu memakan masa lebih lapan tahun oleh pasukan yang direstui oleh kerajaan juga? Namun demikian, sebelum pergerakan itu diharamkan oleh Mahathir, masyarakat Al arqam merupakan masyarakat Melayu yang berniaga mengikut amalan yang menyenangkan para pembelinya. Apabila mereka diharamkan barulah pendatang asing seperti daripada Indonesia, Burma, Khmer dan Patani naik melonjak berniaga, kerana kebanyakan pengikut Al Arqam menjadi tawar hati untuk bergiat cergas seperti dulu. Siapakah yang rugi kalau bukan orang Melayu yang lahir di negara ini? Khir Toyo harus menyedari hakikat ini kerana isu pengambilan tanah untuk Kerajaan Pusat adalah satu isu yang akan meledak lebih kuat daripada yang dijangkakan. Dia harus berusaha menolak arahan Mahathir ini kalau tidak mahu berlaku sesuatu yang tidak diredhai oleh rakyat Selangor.


c) Sudah Dasar Muka Tak Malu....!

Kita menonjolkan nama Khir Toyo dalam penulisan ini bukannya kerana kita bermusuhan dengan anak Jawa peranakan ini. Kita gunakan namanya sebagai lambang untuk menyedarkan pemimpin UMNO dan Melayu lainnya terutama mereka yang sudah terperangkap dengan pukauan Raja Kelentong. Dulu dia kata akan melepaskan jawatan Perdana Menteri apabila ekonomi pulih. Kemudian dia pinda kerana mahu perbetulkan UMNO. Kemudian yang paling tebaru ialah mahukan jawatan presiden UMNO itu terus digenggamnya sehingga tahun 2005. Berapakah umurnya nanti ketika itu kalau bukan 80 tahun?

Inilah dasar muka yang tak tahu malu. Mahu terus memerintah sedangkan rakyat sudah tidak rela. Inilah dasar seorang musibat yang memporak-perandakan satu bangsa yang amat berlemah lembut pada asalnya dan menghormati golongan tua dan melembuti kaum wanita. Apa yang jadi kini? Semuanya diputar-belitkannya sehinggakan aqidah orang Melayu itu menjadi berkecamuk kerana dia mahu tafsirkan semula Al Quran mengikut kehendaknya. Kalau kita ikutkan semua cakapannya mengenai agama islam dia boleh ditakrifkan sebagai seorang yang sudah murtad. Tetapi inilah manusia yang masih perlu diagung-agungkan oleh orang Melayu kerana sebilangan pemimpin Melayu sudah kena pukau disebabkan mereka sendiri membuat banyak tahi dalam kehidupan mereka berpoya-poya.

Disebabkan Mahathir terus mahu berkuasa, dia ubah apa juga struktur pemerintahan yang dia suka untuk membolehkan dia terus senang lenang mengatur rencana menjahanamkan negara ini ke kancah kemuflisan. Mahathir berjaya mengajar semua wakil rakyat barisan nasional untuk mengkhianati rakyat. Dia lakukan apa yang dia suka mengikut seleranya dan mengikut muslihat para jongosnya.

Kuasa yang ada pada Mahathir sungguh besar sehinggakan dia ditakuti oleh hampir semua pemimpin UMNO ketika mereka berjaga dan ketika mereka sepatutnya tidur lena. Ada pemimpin BN yang mengaku mereka takut kepada Mahathir sedangkan mereka adalah presiden parti komponen BN. Kenapa? Kerana mereka telah terperangkap dalam jebak yang dipasang begitu lama.


Disebabkan pemimpin UMNO kecut perut bertelagah dengan Mahathir, kewibawaan UMNO itu kini, hanya layak menjadi bahan kajian sejarah sahaja.

Mahathir sanggup memberi amaran kepada ahli parlimen BN betapa beliau meneliti kehadiran mereka melalui siaran lintas langsung. Siapakah memberikannya kebenaran mendapatkan siaran langsung itu sedangkan perkara itu sepatutnya dinikmati juga oleh rakyat? Bukankah itu satu penyelewengan seperti beberapa penyelewengan yang pernah dilaporkan kepada polis ke atasnya dan juga ke atas beberapa menteri kabinetnya?


Maruah Polis yang Tercemar

Disebabkan Mahathir terlalu berpengaruh dia mampu mengerahkan polis menghenyak rakyat kalau berani menunjuk perasaan. Tetapi, rakyat tidak menunjuk perasaan. Rakyat mahu berhimpun beramai-ramai dan bebas mendengar apa yang mahu diucapkan oleh wakil rakyat yang mereka percaya. Perhimpuann di Jalan Kebun dicetuskan hanya melalui siaran internet meminta rakyat berkumpul. Bukan ada bas khas untuk mengatur perjalan mereka. Mereka datang dengan sukarela. Tetapi apakah yang mereka hadapi daripada pihak polis? Ada yang sedang meraung kesakitan di hospital di mana nyawa mereka adalah lebih dahsyat daripada ikan yang bergelimpangan di atas darat. Apakah ini kerja pihak polis yang dikenali sebagai pasukan keselamatan?

Di zaman Shah Iran bertakhta dulu, pasukan 'Savak' bertindak ganas kerana mereka diberikan minuman khas setiap kali mereka pergi bertugas. Begitu juga yang dilakukan oleh Pinochet di Chile dulu. Taktik yang sama pernah dilakukan oleh Mugabe di Zimbabwe ketika pasukan polis khasnya menembak dan membunuh kira-kira 20,000 rayat yang tidak berdosa dalam satu minggu. Mereka ini semua naik setan kerana diberikan minuman yang disuntik dengan dadah yang menjadikan mereka seolah-olah hilang keinsanan. Apakah perkara seperti ini telah berlaku di Malaysia?

Kini, Khir Toyo tentu sudah melihat gambar-gambar yang terpapar dengan jelasnya akan gelagat kerakusan pihak polis mengganyang rakyat biasa yang tidak pun berdosa. Kita harus mengambil iktibar akan apa yang terjadi. Yang lepas tidak boleh diperbetulkan dengan mudah apatah lagi kalau yang berlaku itu adalah satu peristiwa yang tidak disangka dan dijangka. Masyarakat yang berfikiran waras sudah tidak lagi mampu mengampunkan Mahathir akan apa yang berlaku. Khir Toyo mampu merobah tragedi itu kalau dia menggunakan otak dan kebijaksanaannya. Cuba kita teliti catatan para reformis yang telah melalui peristiwa perit dan getir itu:


Matdeghih:

    "Kami mendengar satu letupan dan kelihatan asap berkepul di hadapan. Serentak dengan itu juga satu kumpulan yang membawa kain rentang sambil melaungkan reformasi dan takbir bergerak di jalan sebelah menuju ke arah kami. Kami berhenti untuk turut sama dalam kumpulan yang datang dari arah hadapan itu.....Aku meneruskan perjalanan. Kumpulan aku tadi entah di mana perginya. Laungan reformasi dan takbir bergemuruh. Cermin sebuah kereta volvo telah dipecahkan oleh polis. Tuanpunya volvo jawab; 'Tak Mengapa ini baru sedikit Jihad...."


Nadikeadilan@justice.com:

    "Pedih berbaur marah bercampur-camur, bermain dalam hati ini.......cermin kereta dipecah, seorang kanak-kanak yang berkebetulan berada dalam sebuah kereta dipukul tangannya sehingga berdarah. Manusia apakah ini? Motosikal yang tidak pernah ada salah dan dosa ditendang, diterbalikkan sesuka hati. Seorang pakcik dibelasah hingga patah belantan yang digunakan. Sebuah kereta disondol oleh trak 'water cannon' seperti itu hanyalah kotak buruk yang tiada nilainya..."


Lukman Adam (Setiausaha Pemuda Keadilan):

    ".....yang menyayatkan hati lagi, barua-barua Mahathir telah mengunci 41 orang di dalam sebuah Blackmaria dan mereka telah ditembak dengan gas pemedih mata. Ini adalah satu tindakan yang cukup biadap dan jelas menunjukkan bahawa FRU bukan sekadar menjadi anjing suruhan Mahathir.."


    "Salah satu tembakan gas pemedih mata telah ditujukan kepada Datin Seri Wan Azizah tetapi telah mengenai seorang pemuda yang cuba melindungi beliau. Akibat hentakan tembakan tersebut yang mengenai kepada Sdr. Khairi, beliau terpaksa dimasukkan ke wad ICU. Pihak FRU bertindak dengan lebih ganas lagi walaupun dalam keadaan kami berhimpun secara aman. Ramai yang telah dipukul dengan teruknya dan jumlah tangkapan yang dibuat pada hari itu seramai 112 orang."



Banyak lagi yang boleh dirakamkan, termasuk cerita bagaimana gas pemedih mata ditembak daripada helikopter. Lihat bagaimana Mahathir mengajar polis memperlekehkan satu himpunan rakyat yang diketuai oleh wakil rakyat. Mereka mungkin wakil rakyat parti pembangkang. Tetapi mereka adalah wakil rakyat. Mahathir sanggup memperlekehkan mereka.


Tak Tahu Malu Kerana Pengecut

Masyarakat Melayu sudah berpecah dan berkecamuk kerana Mahathir sudah mengajar mereka berperangai begitu. Inilah yang dikatakan Wira Dunia Ketiga sedangkan dia amat takut menyahut seruan sapina mahkamah. Memang kurang ajar musibat ini. Dialah segala-nya yang memporak-perandakan keharmonian rukun hidup orang Melayu dan masyarakat Malaysia. Dia ingat dia boleh terlepas dalam hal ini. Dia ingat dia boleh baling batu dan sorok tangan. Bolehkah dia diampunkan apabila ada seorang yang tidak berdosa yang kini buta kerana terkena gas pemedih mata?

Sekarang kita mahu tanya di manakah pejuang ketuanan Melayu yang berselindung di sebalik UMNO? Manakah para exco Pemuda UMNO yang satu ketika dulu mengancam masyarakat Suqui agar tidak menjolok tabuan (kosong)? Sanggupkah mereka meminta Abdullah Badawi meletakkan jawatan kerana tragedi ini? Bagaimana pula dengan SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia ala Mahathirisme). Mampukah Musa Hitam mengutuk Mahathir di atas apa yang telah berlaku?

Sejarah akan mencatatakan November 5, 2000 sebagai kebangkitan rakyat Malaysia terutama sekali rakyat berbangsa Melayu untuk bersatu tidak kira apa parti politik mereka dan tidak kira apa bahasa loghat mereka. Orang Melayu akan bangkit kerana terpaksa. Kalau masyarakat awam Melayu tidak bangkit untuk menghalau Mahathir dan jongosnya daripada bumi Malaysia janganlah tangisi masa depan nasib bangsa negara ini kalau Angkatan Tentera Malaysia melakukan rampasan kuasa. Nampaknya hanya itu jawapannya. Lihat Liberia, rampasan kuasa dicetuskan oleh seorang sarjan bernama Sarjan Doe dan hancur lebur negara itu sehingga kini. Seratus tahun sebelum itu seorang koperal bernama Napoleon Bonaparte melancarkan gerakan yang sama untuk merangkul kerajaan Peranchis. Askar Melayu pernah bangkit di Singapura untuk merusuh kerana cuba mempertahankan penghantaran Maria Hertog (Natrah) pulang ke Belanda. Pasukan polis yang diperintah oleh seorang pegawai orang putih telah diarahkan menembak askar yang merusuh itu. Tidak ada sebiji pun peluru yang dipetik sehinggakan pegawai polis itu terasa terancam dan melarikan dirinya. Berlakukah fenomena ini di Malaysia kerana mahukan Mahathir pergi jahanam? Tunggu...jangan dicabar orang Melayu untuk menderhaka, kerana mengamuk dan menderhaka adalah dua perkataan asal orang Melayu juga. Mungkin orang Malayalam ataupun kacukannya dengan darah Melayu masih tidak faham makna perkataan itu. Mungkin golongan istana pun sudah lupa akan perkataan itu walaupun sebahagian besar asal usul mereka itu dulu adalah berakar-umbikan lanun di laut juga.


-Marhaintua-
7hb Novemebr,2000

[*Sedikit Kemasan Tajuk -Editor]