Laman Webantu   KM2A1: 3128 File Size: 28.9 Kb *



Siri 4 YTDT: Memahami Getaran Revolusi Rakyat
By Marhain Tua

4/11/2000 6:38 pm Sat

[Rencana kali ini mengupas beberapa isu terkini, khususnya isu yang timbul dan tenggelam. Perhatikan gelagat Ku Li dan beberapa rakan Semangat 46 dulu yang banyak timbul kini...

Seperti biasa rencana Pak -MT- MESTI di BACA dan MESTI SEBAR - Editor]

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 4


YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 4: MEMAHAMI GETARAN REVOLUSI RAKYAT


Apabila Dr. Mahathir Mohammad menukarkan tafsiran royalti minyak kepada Kerajaan PAS Terengganu itu kepada Dana Ehsan Kerajaan, seluruh orang Melayu dalam UMNO telah akur secara rasminya. Sedangkan yang akan merana nanti adalah orang Melayu jua. Sikap Mahathir itu adalah satu sikap kurang ajar kerana menganggap dirinya sudah terlalu besar dan kuat sehingga mampu mengkotak-katikkan bangsanya. Perkara semacam ini tidak perlu dibawa ke tengah majlis mahkamah ataupun apa juga cara perundangan yang ada. Yang paling penting diambil-kira, kenapakah wang yang selama ini dikenali sebagai royalti boleh bertukar nama menjadi Dana Ehsan? Apakah disebabkan Kerajaan UMNO di Terengganu sudah putih mata, makanya tafsiran itu bertukar makna di alaf baru?


Mahathir berkemungkinan sudah semakin sewel dan berada pada satu tahap kehidupan yang orang dulu-dulu kata sebagai "membuang tebiat". Bagaimana pula dengan segala menteri kabinetnya? Bagaimana pula dengan semua ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO? Bagaimana pula dengan semua ahli UMNO di negara ini yang berjumlah 2.3 juta itu? Takkan semua mereka ini membuang tebiat?


Secara kasarnya, apa juga digunakan untuk menggantikan "Royalti" itu, dana tersebut perlu disalurkan kepada rakyat melalui kerajaan negeri yang sedang memerintah dan bukannya kepada proksi kerajaan lama yang sudah jatuh parah. Apabila wang sebanyak itu (jumlahnya yang sama) mahu disalurkan kepada pemimpin UMNO yang sudah pun diperlekehkan oleh rakyat jelata, bererti rencana memutarbelit keadaan yang ada, adalah satu kerja orang yang sudah tidak betul perjalanan otaknya. Apabila perkara ini diikuti oleh orang lain, mereka bukan sahaja turut sewel malahan akan menanggung dosa yang amat besar.


Nampak sangat betapa hinanya orang Melayu di alaf baru ini gara-gara ketamakan, keangkuhan dan ketidaksedaran satu golongan Melayu yang sudah lama berada di tampuk kekuasaan sehingga mampu memikirkan apa yang mereka raih selama ini adalah sesuatu yang berkekalan. Mahathir kata, wang royalti adalah sebenarnya dana ehsan yang direncana oleh Tun Razak. Sejarah menunjukkan betapa itu adalah satu penipuan juga. Kemudian, Rais dan Daim Zainuddin kata, sesiapa sahaja boleh membawa kes ini ke mahkamah kalau mereka tidak setuju dengan putaran "royalti" kepada "ehsan". Yang terbaru, Tengku Razaleigh (orang yang meletakkan tandatangannya bagi pihak Petronas dalam perjanjian bersama Kerajaan Terengganu ketika itu), kini sanggup membodek Mahathir dalam hal ini. Kita mahu tanya Ku Leigh kenapakah beliau mengambil satu masa yang lama untuk membuat kenyataan ini? Bukankah minggu yang lalu dia ada mengeluarkan kenyataan tidak mahu membuat sebarang komen akan perkara ini? Kenapakah beliau tiba-tiba berpatah hala dan begitu lantang bersuara menyokong gelagat maharaja tua?


Kini, Mahathir tidak lagi memberi penekanan terhadap Royalti Minyak ini. Dia lebih memberi penekanan kepada masalah Putri UMNO, seolah-olah masa depannya kini terpaksa bergantung harap kepada kaum wanita muda dalam UMNO kerana dia sudah semacam kecewa dengan pergerakan Wanita UMNO. Mahathir juga kecewa dengan Pemuda UMNO kerana gagal menangani kelantangan golongan pemimpin PAS yang baru pertama kali menjadi ahli parlimen. Mahathir amat takut dengan apa yang didengar, dilihat dan diketahuinya secara rahsia. Dia tahu rakyat marhaen sudah bangkit secara senyap-senyap untuk menghumbannya daripada negara ini. Dia juga sedar, masa sudah tidak lagi menyebelahinya kerana rakyat sudah semakin pintar untuk mengorak langkah bila mahu menghumbankannya. Dia juga sedar hampir keseluruhan para juak, pengampu, pembodek dan para muka-seposen yang tertunduk, terangguk-angguk di hadapannya sekarang adalah satu kumpulan manusia yang pintar memainkan peranan talam-dua-muka, kerana inilah manusia yang mula-mula sekali akan berpaling tadah sebaik sahaja rakyat bangkit secara ramai untuk menyanggahnya. Mahathir sudah tidak boleh tidur nyenyak lagi. Cakap-cakapnya di siang hari pun nampak berbelit-belit menunjukkan dia semakin kehilangan daya berfikir yang mantap dan daya cakap yang mampat. Mahathir sebenarnya sedang bersendiwara dengan dirinya untuk menunjukkan dia masih lagi memegang kuasa. Semua orang yang rapat dengannya selama ini sudah pun nampak kelemahan yang semakin terserlah sehinggakan mereka lebih berani terhangguk-hangguk di hadapannya untuk memperakurkan apa sahaja saranannya. Hampir semua para kroni ini sudah sedar bahawa "the day of reckoning" (hari pententuan) sudah semakin hampir untuk rakyat marhaen bangkit menghumbankan Mahathir daripada singgahsana. Kemanakah mereka menghumbannya? Kita tunggu siri yang lain pula.


Terserlahnya Badut Negara

Satu ketika dulu, beberapa insan dikenal oleh rakyat marhaen sebagai badut negara terunggul kerana kelicikan mereka mengampu Mahathir. Secara individu ataupun kalau mengikut "track record" mereka itu tanpa UMNO, kebengapan mereka memang diketahui oleh ramai masyarakat di negara ini. Contoh yang terbaik ialah Ibrahim Ali. Sesiapa yang kenal beliau tentu kerap terdengar cemohan orang betapa beliau adalah seorang yang lebih layak digelar badut istana sahaja. Tetapi, dia mampu naik melonjak kerana dia dipergunakan oleh orang yang ketandusan idea untuk memimpin. Ku Leigh amat memerlukan keberanian Ibrahim Ali kerana dia sanggup memancut air ureanya ke kubur seorang diktator tua apabila dia mati. Tetapi, tidak lama kemudian, inilah badutnya yang sanggup berpatah balik dan menjilat apa yang mahu dijilatnya. Lantas, dia diberikan tempat yang baik dalam MT UMNO kerana dia sanggup bersekongkol memfitnah seorang insan yang satu ketika dulu dianggap sahabat karibnya. Inilah manusia yang sanggup bersekongkol melihatkan anak-anak (bekas sahabat) beliau meneruskan kehidupan mereka untuk sekitar dua puluh tahun lagi sambil ayah tercinta merengkuk di penjara. Bukankah Ibrahim pernah mendukung setiap anak-anak Anwar itu ketika mereka kecil-kecil dahulu?


Kalau Ibrahim Ali yang tidak pun seberapa sangat kelulusan akademiknya boleh berlagak sombong hingga berani mengangkat seorang diktator tua dengan jolokan Wira Dunia Ketiga, apa pula kesannya yang terjadi kepada rakan di Majlis Tertinggi Semangat Melayu 46 dulu? Yang paling menonjol mengikut gelagat Ibrahim ialah Rais Yatim seorang lulusan kedoktoran undang-undang yang satu ketika dulu sanggup "membakar jembatan" kerana dia mahu menegakkan keutuhan perpaduan dan maruah Melayu yang telah dinodai oleh seorang mamak tua. Ada ramai kawan berkata, Rais sanggup membina jambatan baru kerana masalah kewangannya dan kerana ketagihan "glamour" dan kuasa. Yang mana satu yang betul, bukan urusan kita dalam penulisan ini. Tetapi, gelagat Rais sejak kebelakangan ini menunjukkan dia sudah kehilangan prinsip berpolitik. Dia sanggup membelakangkan kenyataan yang dibuat oleh seorang teman satu profession yang lebih arif dan matang darinya yakni Tun Salleh Abas. Hanya setelah Rais bersuara lantang mencabar sesiapa yang tidak puashati dengan aturcara baru pembahagian Royalti Petroleum itu barulah Daim Zainuddin berani berlagak sombong di parlimen untuk mengulang-ulang cabaran Rais. Kepada siapakah cabaran itu dikemukakan kalau bukan kepada orang Melayu?


Hanya setelah cabaran Rais itu dijawab oleh kerajaan Terengganu dengan segala rendah diri barulah Daim Zainuddin semakin berani mengulangi cabaran itu di parlimen. Menteri Besar Terengganu tentu telah menerima nasihat Tun Salleh Abas bahawa tidak guna mengambil tindakan mahkamah di negara ini kerana sistem mahkamah yang sudah hancai dirobek-robek oleh diktator tua.


Kalau cabaran Rais dan Daim sudah sungguh berbisa, kenapakah pula Tengku Leigh sanggup mengeluarkan kenyataan menidakkan hak rakyat Terengganu kepada royalti petroleum itu? Kenapa pula dia mengeluarkan "fatwa" baru bahawa kalau ada telaga baru yang dibuka di perairan Terengganu, hak itu akan menjadi haram pula? Penonjolan isu Royalti Petroleum sekaligus menonjolkan badut terbaru dalam pemerintahan yang terbaru ini. Rais, Daim, Tengku Razaleih nampaknya sudah sanggup bersekongkol untuk memainkan peranan badut yang satu ketika dulu galak dilakukan oleh Ibrahim Ali, Hamid Othman, Shahidan Kassim, Ali Rustam, Ghani Osman dan juga Jarjis. Kenapakah berlakunya perubahan yang sungguh drastik ini?


Getaran Revolusi Rakyat


Ada beberapa pandangan yang boleh diambil kira terhadap gelagat terbaru yang kita lihat daripada pemimpin UMNO yang sedang menonjol kini. Kita tidak perlu bincangkan gelagat Rais dan Daim kerana mereka boleh kita failkan sebagai golongan yang pertama sekali terpaksa melarikan diri sebaik sahaja Mahathir angkat kaki untuk lari daripada rakyat yang menghambatnya nanti. Tetapi, kita tentu merasa musykil dengan kelakuan Ku Leigh yang tiba-tiba berpaling tadah untuk memusuhi rakyat sekali lagi. Tabiat Ku Leigh ini sebenarnya ada saya tulis dalam satu artikel "Rentak Juang Yang Hilang" (Siri Suasana Lebaran Pencetus Minda Bab 29- 5.2.2000):

Ramai orang berkata bahawa UMNO mula condong untuk rebah ketika tercetusnya pertandingan antara Mahathir dan Tengku Razaleigh. Disebabkan kemenangan yang tipis itu Mahathir enggan menerima kenyataan bahawa kemenangannya adalah satu kemenangan yang diragukan. Ia diharapkan mengambil iktibar daripada kemenangan tipis itu dan memberi ruang yang wajar kepada pihak yang dikalahkannya. Kedegilannya mengakui hakikat itu membuatkan beliau menggugurkan semua menteri yang menyebelahi Ku Leigh. Ini membuatkan Tengku Razaleigh mengambil tindakan untuk meninggalkan parti dan menubuhkan Semangat 46.


Tindakan Ku Li adalah satu tindakan yang berani kerana congaknya, memberi isyarat bahawa beliau dapat menumbangkan UMNO dari luar. Malangnya, Allah tidak menyebelahi Ku Li ketika itu. UMNO mempunyai seorang pendekar yang berjaya mempertahankan maruah parti sambil terus menegakkan kuasa MAHAFIRAUN. Seperti yang berlaku di mana cerita dongeng dan sejarah bangsa, seorang pendekar selalunya tumpas bukan di medan perjuangan tetapi di tangan kuasa yang pernah dipertahankannya. Dia boleh bermati-matian mempertahankan diri dan kumpulannya, tetapi dia tidak berjaya mengawal dirinya apabila ditumpaskan oleh orang yang telah diselamatkannya. Memang adalah satu kebiasaan kepada pendekar yang tumpas kerana pukulan curi. Yang dibawanya adalah para panglima kecut yang hanya berani bercakap lipat-melipat, tetapi pengecut yang sedia melompat.

Politik adalah "the art of the impossible". Musuh hari ini berkemungkinan menjadi kawan esok hari. Begitu juga, kawan di hari ini mungkin menjadi seteru ketat di hari muka. Laksana roda yang berpusing, perjalanan politik berputar juga. Tetapi, roda politik bukannya laksana "roda impian" yang berputar secara mendatar. Roda politik adalah laksana roda tikam-tikam aiskrim. Setiap nombor itu dipagari paku-paku yang kelihatan sama sahaja saiznya. Tetapi, kalau diteliti paku yang memagari nombor bertuah selalunya pendek daripada yang lain. Begitulah nasib seorang pendekar. Semangat persahabatan yang ada di antaranya dengan pemimpin yang dilindungi itu tidak pernah dipagari paku yang panjang.

Masa yang panjang yang memisahkan Ku Li dan kumpulan Semangat 46 telah memberikan ruang untuk pihak yang pintar merencana rentak juangnya. Ku Li dan konco-konconya termasuk perangkap sekali lagi. Semangat 46 dibubarkan secara sukarela tanpa sesiapa tahu apakah imbohannya. Yang untung adalah beberapa orang panglima Ku Li yang mempunyai kepakaran tersendiri. Tentunya dalam kisah tutup dan buka yang paling bijak melompat mula berjaya. Selepas itu barulah si pakar jambatan. Samada dibinanya jambatan baru ataupun dibaikkinya jambatan lama tidak ada siapa yang tahu. Tidak penting semua itu. "Yang penting kita bersatu". Itulah motivasi mereka. Lupalah kini segala janji lama beberapa wira Semangat 46. Bukankah ada yang sanggup membakar jembatan dan sedia terkencing atas batu nesan?

Dengan masuknya kembali Ku Li serta pengikutnya, pengaruh kuasa yang kelihatan sudah rapuh menjadi kuat semula. Kulit dahan yang terkopek kelihatan segar semula. Ini memberikan kekuatan kepada si perencana untuk membuka rentak baru. Terpelantinglah si wira yang sekian lama amat setia padanya. Tanpa ramai yang menyedarinya sesiapa juga yang sanggup menyokong wira itu akan digugat dan dibayangi untuk menentukan kesetiaannya.

Inilah yang berlaku kepada UMNO selepas Ku Li kembali. Ia tidak menjadi kuat seperti yang dijanjikan. Ia hanya kuat untuk perancangnya dan tidak kepada akar umbi yang mengharapkan sesuatu dari pucuk pimpinan parti.

Demikian yang saya tuliskan sembilan bulan yang lalu. Nampaknya, apa yang berlaku kepada UMNO masakini, adalah lebih teruk daripada pengamatan itu.



Drama Baru Di Alaf Baru

Kita boleh ambil pendirian bahawa isu Royalti Petroleum bertukar menjadi Dana Ehsan adalah satu tipu-helah terbesar di abad baru. Ia akan menjadi satu sandiwara berpanjangan selagi Mahathir memegang kuasa tampuk kerajaan. Kini, isu ini sengaja dibelakangkan oleh media massa kerana memberi ruang kepada isu yang terbaru dan terkini lagi seperti Putri UMNO, Perdebatan Ketua Pemuda UMNO-PAS, Formula (Terbaru) Mahathir, dan banyak lagi.


Semua isu yang ditimbulkan berselang-seli ini sengaja direncana agar menjadi hangat-hangat tahi ayam sebagai satu tipu helah untuk memutarkan minda orang Melayu khasnya dan rakyat negara ini amnya. Putaran minda dilakukan sebagai satu helah untuk menjayakan satu rencana besar yang berupa penipuan besar juga. Apakah penipuan besar yang dijadikan rencana besar itu:


  1. Pengambilan-alih Putra Jaya daripada Kerajaan Selangor. Begitu liciknya Mahathir dalam hal ini sehinggakan majlis dewan undangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa mempertikaikannya kerana Sultan Selangor yang kini menjadi yang Dipertuan Agong sudah pun semacam bersetuju dengan rencana itu. Sebenarnya kalau Sultan membantah, perkara ini tidak akan berlaku. Oleh kerana anakanda Sultan yang tua pun tidak bergigi, perkara ini akan terserah kepada ahli UMNO yang menganggotai dewan negeri untuk mengangguk sahaja. Walaupun perkara ini nampak mudah kini, reaksi rakyat Selangor dalam hal ini akan menentukan segalanya. Kerajaan Mahathir mungkin menganggap sudah berjaya dalam hal ini. Tetapi, sejarah akan menentukan bahawa Putrajaya tidak akan terlepas begitu sahaja. Besar kemungkinannya, niat Mahathir ini akan disanggah oleh rakyat jelata. Kalau bukan tahun ini mungkin di tahun bila Mahathir dan konconya sudah tidak ada lagi.

  2. Kita boleh menjangkakan pengambilan Putrajaya akan disusuli oleh Cyberjaya dan termasuk juga E-Village. Rakyat Selangor yang tulin harus mengambil perjalanan daripada Pintu Tol Damansra Utama menuju ke perhentian R&R Dengkil. Cuba lihat papan iklan terpampang yang memaparkan projek perumahan PERDANA dan Tongkah. Siapakah yang mempunyai tanah bekas lombong itu? Kalau Mahathir betu-betul ikhlas mengalihkan satu pusat pentadbiran baru daripada Kuala Lumpur kenapakah tidak digunakan tanah kosong milik kerajaan satu ketika dulu? Bukankah tanah yang lebih luas daripada Putrajaya ini berada di pertengahan di antara Kuala Lumpur dengan Lapangan KLIA. Kenapakah tanah yang amat luas ini tidak diambil kira untuk projek Putrajaya, Cyberjaya dan juga E-Village?

    Siapakah yang mengendalikan semua projek perumahan dan tanaman belimbing madu di kawasan berpasir itu kini? Kenapakah Mahathir sanggup membeli sebuah ladang yang ditanam dengan Kelapa Sawit untuk projek Putrajaya sedangkan ladang itu merupakan dasar ekonomi negara? Kenapakah tidak diambil kawasan lombong yang besar berdekatan simpang masuk ke Putrajaya dan Cyberjaya daripada lebuhraya itu? Bukankah kosnya lebih murah lagi daripada yang perlu dikira kini?


  3. Kita telah ditipu bulat-bulat apabila pampasan kepada Kerajaan Negeri Selangor dibuat selama sepuluh tahun, dan harga pampasan itu bukan mengikut kadar semasa tetapi mengikut selera seorang diktator tua. Rakyat Selangor harus ingat, Menteri Besar yang baru ini adalah anak kepada satu keluarga yang mendatang kira-kira 40 tahun yang lalu daripada Jawa Tengah. Apakah yang ada padanya untuk memahami semangat jatidiri dan mempertahankan negara ini? Di manakah dia ketika orang Melayu Selangor berhempas pulas menganggotai tentera dan pasukan keselamatan untuk mempertahankan negara ini. Bukankah perjalanan riwayat hidupnya saling tak tumpah dengan perjalanan hidup si diktator tua?

    Satu ketika dulu masalah rakyat terutama orang Melayu boleh diharapkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO untuk menanganinya. Tetapi, kemuflisan dan kebangkrapan idea pergerakan pemuda itu menunjukkan apa yang diharapkan itu tidak berguna lagi. Cuba lihat siapakah yang menguruskan lesen Limosin KLIA kalau bukan mereka yang berada di pucuk pimpinan Pergerakan Pemuda itu? Saya pernah menulis hal ini dan meramalakan lesen khas limosin itu akan meranapkan nama perkhidmatan teksi di KLIA. Saya mencadangkan kerajaan mengambil contoh sistem teksi di Manila dan yang lebih baik lagi di Taiwan. Begitu juga dengan system teksi di Lapangan terbang London, Carles de Gaule dan juga NewYork. Setiap teksi yang datang berhak mengambil penumpang. Hanya baru kini, pihak yang berkuasa mahu mempraktikkannya. Kenapa begitu lama teragak-agak dalam hal ini?

  4. Hampir semua isu yang terbaru sejak satu bulan yang lalu, merupakan isu yang cepat basi. Kerana itu sudah banyak desas-desus yang mengatakan debat hebat di antara Mahfuz Omar dan Hisyamuddin Hussin tidak akan dilangsungkan. Kenapa? Kerana hampir semua veteran UMNO takut akan implikasinya. Mahfuz Omar sudah tentu menerima banyak maklumat akan nama pemimpin UMNO yang berhutang besar di bank Bumiputra tanpa membayarnya. Malahan Tan Sri Abdullah Ahmad (bekas duta di Amerika) sudah menulis agar debat itu tidak dilaksanakan. Apakah beliau juga takut kalau ada kain pekong lamanya didedahkan oleh orang PAS?


Kita boleh ambil iktibar, banyak isu yang diketengahkan kini direncana agar berlegar-legar dalam otak orang Melayu khasnya untuk sekitar 44 hari, seolah-olah mengikut amalan bomoh sihir zaman dulu-dulu. Kemudian, belum pun isu itu "matang" ia diganti dengan isu yang terbaru pula. Inilah kerja dan amalan pemimpin UMNO masakini. Tetapi, apakah tujuannya kalau bukan untuk memesongkan fikiran kita?


Isu Hangat Yang Tidak Bertulis

Salah satu isu yang sedang hangat diketengahkan ialah peristiwa kerajaan Perikatan mengisytiharkan Kerajaan MAGERAN di Kelantan satu ketika dulu. Bukankah melalui episod itu Tun Razak berjaya meluaskan keanggotaan Barisan Nasional dan memantapkannya? Kini, sudah tersebar di kalangan orang Melayu yang berpendidikan tinggi dan berpangkat tinggi dalam Kerajaan. Kita diberitahu kalau Tuan Guru Haji Hadi enggan menerima taktik kerajaan menjadikan Royalti Petroleum kepada Dana Ehsan berkemungkinan besar satu bentuk MAGERAN akan tercetus juga di Terengganu untuk membolehkan kerajaan BN merampas balik kuasa memerintah Terengganu.

Jikalau benar perkara ini yang diimpikan Mahathir, kita dapat menjangkakan inilah tindakan yang akan menggulingkan UMNO dan Mahathir sebelum munculnya fajar baru tahun 2001 nanti.

Apakah kerana desas-desus ini membuatkan Tengku Razaleigh berpihak kepada Mahathir sebagai satu langkah untuk mempercepatkan kebencian rakyat terhadap si diktator tua itu?


Apabila Mahathir mencetuskan isu Royalti Petroleum menjadi Dana Ehsan, saya sudah lama memikirkan jalan yang paling logik untuk dilakukan oleh Kerajaan Terengganu ialah untuk mendapatkan pembayaran itu mengikut perjanjian yang ada dengan melakukan rampasan kepada kapal-kapal kepunyaan Petronas ketika berada di perairan negara lain. Ini mudah dilakukan di mana sahaja kapal itu menghantar minyak dan gas negara. Mahkamah antarabangsa terpaksa melakukan "tangkapan" terhadap kapal yang dikenakan tindakan itu sebagai barang dagang untuk mendapatkan hutang kerajaan pusat yang sepatutnya dibayar sebagai Royalti Petroleum. Rais Yatim fikir dia mudah memansuhkan satu perjanjian yang sekian lama berjalan tanpa sebarang keengkaran daripada pihak yang berjanji itu. Apakah dia tidak fikirkan kalau kerajaan Terengganu tidak mahu melakukan tindakan mahkamah tidak bererti rakyatnya tidak layak melakukan saman malu itu kerana mereka teraniaya? Kalau saman malu itu dilakukan di rantau orang Kerajaan Malaysia kena juga mempertahankannya.

Dalam hal pemansuhan Royalti Petroleum ini, Mahathir tentu tidak bersuara lantang kalau pakar undang-undang yang dikelilingnya tidak meyakinkan beliau betapa mereka boleh menang kes itu. Tetapi, apakah mereka mengambil kira ribuan rakyat Terengganu yang diperlekehkan itu? Adakah mereka mengambilkira jutaan orang Melayu di Malaysia dan bukan Melayu yang bersimpati dengan rakyat Terengganu dalam hal itu?

Betapa pun skala kesulitan yang mungkin muncul, akibat pablisiti kemunculan saman rakyat Terengganu di luar negara, sudah cukup menghenyak kewibawaan Mahathir dan UMNO di luar negara. Mahathir akan menjadi terus tertekan bukan sahaja di mana dia akan berada di seberang laut, tetapi di negara mana dia ada melabur secara persendirian. Kecanggihan teknologi dalam era globalisasi akan mendedahkan segala pelaburan Mahathir di luar negara sebaik sahaja tercetus dengan meluasnya saman gantirugi dan saman malu rakyat Terengganu di luar negara itu. Lihatlah nanti, kerana impaknya akan mengena setiap pelaburan ahli kabinet dan juga pemimpin UMNO yang sudah banyak membalun wang rakyat dan melaburnya di seberang laut. Contohnya ialah di Vancoover, ada beberapa rumah kediaman mewah yang dipunyai oleh pemimpin negara (untuk dihuni oleh isteri kedua ataupun gundek dan perempuan simpanan istimewa) ini yang amat diketahui oleh rakyat Malaysia yang berhijrah di sana. Bagaimana pula di negara Komanwel, Switzerland, Eropah, Latin Amerika, Amerika Utara dan juga Afrika? Semua negara itu masih berada di dunia ini dan bukannya terletak di planet Marikh. Gambar-gambar bangunan itu amat mudah diambil dengan kamera digital dan dikirimkan melalui emel sahaja.

Dalam suasana politik sekarang, keadaan tidak keruan UMNO yang terus diperitkan oleh masalah Puterajaya dan kemelut pucuk pimpinan UMNO, ditambah pula dengan episod tidak ketentuan halatuju Pergerakan Wanita UMNO sudah cukup menjadi iktibar semua veteran UMNO untuk melakukan sesuatu yang drastik agar Mahathir disingkir secara licik tanpa ada dalihnya lagi. Apa juga yang disebarkan untuk menunjukkan keburukan kepimpinan Mahathir adalah getaran revolusi rakyat yang mesti difahami oleh semua lapisan rakyat. Oleh kerana takutkan kepada sistem cengkaman Mahathir yang dilakukannya sebagai satu proses membalas dendam terhadap sesiapa yang sanggup menyanggahnya, kita nampak kini ramai pemimpin UMNO yang main wayang, membocorkan maklumat mengenai kejijikan yang berlaku. Semuanya dibocorkan agar rakyat semakin sedar kenapa Mahathir mesti dinyahkan. Di waktu yang sama para pemimpin veteran amat takut kalau berlaku huruhara dan kekecohan yang menyebabkan bencana kepada harta benda awam. Memang tidak siapa yang inginkan huruhara; kerana itu proses menumpaskan Mahathir berlaku dengan sungguh berhemah. Tetapi, revolusi rakyat adalah laksana alunan air yang datang berombak yang muncul ketika airlaut pasang dan keadaan darat diserang banjir kilat yang terus berpanjangan. Kalau dilihat akan keadaan negara masakini, besar kemungkinan fenomena ini akan berlaku jua untuk satu masa yang amat singkat yang mampu menumbangkan kerajaan si diktator tua itu. Besar juga kemungkinannya kali ini, semua anggota tentera dan polis berada menyebelahi rakyat marhaen. Kita juga tidak boleh mengabaikan berlakunya satu proses "tindakan hartal" di mana rakyat akan melakukan mogok awam secara berperingkat sebagai usaha menguji ketahanan pihak regim Mahathir memperbaikki keadaan yang menyenangkan hati rakyat.

Agenda sanggahan rakyat marhaen nampak kabur kerana semua pihak yang mahukan Mahathir berundur berada di tahap berwaspada kerana takut disabotaj oleh jentera penindas yang menggunakan kekerasan (baik dalam bentuk senjata ataupun akta yang menjerut nasib itu). Mahathir sebenarnya tahu akan keadaan ini dan kerana itu mengambil tindakan untuk menubuhkan kumpulan pengampu di antara rakyat marhaen juga untuk membantunya. Kini dia menubuhkan satu pasukan terbaru yang dikira akan menyokongnya secara membuta-tuli. Inilah Kumpulan Putri UMNO yang ditubuhkan mengikut amalan penubuhan kumpulan Thatcherite ataupun Majorite (di United Kingdom) dan Rocardian ataupun Giscardian di Peranchis. Sejarah akan menentukan, penubuhan Puteri UMNO itu akhirnya akan mempercepatkan lagi proses penguburan UMNO itu sendiri.

Kalau dilihat akan fenomena kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim diktator di mana juga, ia selalunya bermula apabila semua ahli parti pembangkang di parlimen bersatu dan melakukan satu tindakan yang dapat membangkitkan semangat rakyat. Di negara ini, keadaan ini mungkin dapat dilakukan kalau semua ahli parlimen parti pembangkang keluar beramai-ramai dan mengutuk Mahathir sebagai isu utama mereka. Kalau tindakan ini disokong oleh rakyat merata tempat, besar kemungkinannya wakil rakyat parti kerajaan pun akan berpaling tadah menyanggah Mahathir. Tindakan seperti ini akan menarik perhatian seluruh dunia tanpa perlu berlakunya sebarang rusuhan walaupun Mahathir sendiri pernah mengajar rakyat cara untuk melakukan rusuhan itu ketita menjelangnya ulangtahun April 14 dulu.

Mahathir dan para pemikirnya amat arif kemungkinan berlakunya fenomena ini. Kerana itu digalakkan satu perdebatan di antara Mahfuz dan Hisyamuddin Husin. Di waktu yang sama digalakkan pula dua kumpulan yang memberi pendapat secara berurutan mengenai pros dan kontra perdebatan itu. Ini semuanya adalah proses putaran minda agar rakyat marhaen terus leka. Tujuan sebenar penonjolan pendapat bercanggah itu ialah untuk memesongkan fikiran rakyat terhadap masalah sebenar; yaitu Mahathir harus undur ke luar negara. Bukankah itu yang dicanangkannya kini terhadap mereka yang dilabel sebagai penderhaka? Tetapi, apakah pula tindakan yang patut negara ini lakukan kepada seorang pembelot bangsa dan penderhaka agama? Bukankah menyedari keadaan itu akan menimpanya maka Mahathir membuat beberapa pelaburan di luar negara?


Apakah perkara ini sudah menjadi makluman Tengku Razaleigh sehinggakan dia sanggup membuat kenyataan yang menyakitkan hati rakyat Terengganu, kerana dia sengaja mahu memburukkan keadaan untuk menghenyak si diktator yang sudah sewel itu?

Apakah ini juga satu perkara yang amat menakutkan Mahathir sehingga dia terus berang kepada seorang insan yang sudah pun dipenjarakannya untuk satu waktu yang lama? Ataupun dia amat takut kalau tuntutan saman itu datangnya daripada rakyat Terengganu yang menuntut keadilan dan dilakukan bukannya terhadap kapal-kapal kepunyaan Petronas tetapi mungkin juga terhadap pesawat peribadinya (Global Express) itu ketika berada di luar negara?


-Marhaintua-
2 November, 2000