Laman Webantu   KM2A1: 3123 File Size: 4.6 Kb *



Jalan Kebun: Lembutnya Bayu Berdirgahayu
By Penulis Yang Berjurai

3/11/2000 9:34 pm Fri

TERMENUNG DI JALAN KEBUN

Tulisan ini ditujukan khas kepada pejuang tanah-air, khususnya mereka yang tidak serik memenuhi ruang padang dan jalanraya bila tiba panggilannya atau berduyun-duyun di alam siber mencari sesuatu yang dapat memuaskan beberapa kerinduan dan dahaga.

RINDUKU RINDUMU

Sudah lama kita tidak bersama, khususnya selepas memecahkan rekod di satu hari di bulan September tahun 1998 yang berakhir dengan air-mata disebelah malamnya. Sejak hari itu kita cuba kembali beberapa kali, tetapi diktator malaysia itu masih kelihatan tegak berdiri.

Tanggal 8 Ogos yang lalu semakin suram seluruh rakyat jelata. Perasaan itu meleret sehingga ulangtahun hari merdeka. Ramai yang tidak memasang bendera walaupun ekonomi dikatakan pulih seperti sediakala. Ada sesuatu yang dirasakan sukar untuk beriang-ria. Ia masih melukakan kalbu. Bagai anak kehilangan ibu. Terasa sayang walaupun kita amat jarang bertemu.

LEMBUTNYA BAYU DIRGAHAYU

Dicelah dedahan kayu terdengar bisikkan bayu yang berhembus berlalu. Jalan Kebun akan menjadi saksi satu perjuangan yang panjang berbatu.

Kita tidak mengukur perjuangan itu dengan derasnya tiupan bayu - sebaliknya kita melihat setakat mana kekuatannya menggerakkan objek yang berdiri yang masih kelihatan kaku.

Tidak semuanya akan mengikut arus sepintas lalu. Ia akan kembali kepada posisi asalnya bila arus itu berhenti. Jangan gelagat mereka itu dirasakan satu kekalahan dalam perjuangan yang kelihatan asyik menemui jalan buntu.

Sebenarnya dalam kelembutan bayu itu terserlah sesuatu. Apabila dahan mula bergoyang, akarnya akan turut terangsang. Inilah cabaran penulis itu.... walaupun ia mungkin lembut dan perlahan, bisanya tetap menakutkan. Perhatikan akarnya dahulu, barulah dahan. Itulah bisanya seorang pejuang! Itulah mata yang sebenarnya memandang.... Sebab itulah tulisannya datang berjuaian.


GAYAMU GAYAKU

Sejak keputusan pilihanraya yang lalu pemimpin negara asyik berterbangan di angkasa. Ia menuju ke destinasi asing yang dulunya dikecam dengan hebatnya. Rupa-rupanya FDI ke negara sudah merosot dengan banyaknya.

Pemergian diktator "tua" bukan sedikit ongkosnya. Beliau terbang begitu bergaya dengan jet global-ekspressnya. Bila pulang kemewahan mahligai sudah menanti kepenatanya. Sedikit berkata esok naiklah gaji dan pujian untuknya.

Riang dan tawa beliau terserlah lagi bila berdansa dengan seorang hero hindustan pujaannya walaupun hajinya masih belum setahun tanggalnya. Apa tidaknya - dia memilikki segala-galanya, sehingga kalah semua raja. Lihatlah mahligainya yang siap dengan air untuk bermandi manda sepuas-puasnya. Kira lah semua istana yang ada, layakkah ia mengalahkan "taste" (rasa) "dua orang tua".

Kita masih belum lupa pernah kekeringan air disebabkan karenah sesorang yang lebih istimewa. Padahal rakyatlah yang membayar pelbagai cukai dan bil yang asyik menjelma. Bila bersuara dikatakan tidak berterima kasih pula... Kolam dan hiasan berjuta nilainya, tetapi rakyat apa yang ada?


BANGUNKU REBAHMU

Kini sedikit demi sedikit wajahnya sudah berubah. Belum sebulan yang lalu seorang diktator mirip gayanya gugur dari takhta. Ribuan rakyat Yugoslavia membanjiri jalanraya di ibu kota sehingga polis tidak dapat lagi berbuat apa-apa. Sebaliknya mereka turut tersenyum dan melambai tangan kepada rakyat jelata. Tidak ada sesiapa yang dapat mengundurkan rakyat yang mara, walaupun dengan senjata.

SUARAKU SUARAMU

Di Iran ibu-ibu yang baru mendapat bayi pun ingin turut serta. Mereka menolak bayi kesayangan mereka itu di dalam "stroller" walaupun pihak Savak sudah siap bersedia untuk membunuh bila-bila masa. Akhirnya bertempurlah dua suara; suara manusia dan suara peluru menusuk dada.

Gugurlah rakyat dimuncung senapang, tanpa sebarang belas dan kasihan. Namun semangat mereka tidak kunjung padam. Mereka terus mara dan mara sehingga melimpah semua jalanraya. Akhirnya tumbanglah seorang diktator dan raja yang sudah sekian lama bermaharajalela. Tampak jelas siapa yang lebih berkuasa. Peluru hidupkah atau suara di jalanraya?