Laman Webantu KM2A1: 3116 File Size: 17.7 Kb * |
Belanjawan: Ucapan Dr Tan Seng Giaw By Kapal Berita 2/11/2000 11:11 am Thu |
Ucapan Dr Tan Seng Giaw, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen
Kepong ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang
Perbekalan (Belanjawan) pada 30hb October 2000.
Adalah peri mustahaknya bagi Kerajaan Malaysia mengkaji semua faktor yang
terus menyebabkan krisis keyakinan dan seterusnya menyusun semula,
menstruktur semula, pengurusan syarikat-syarikat dan sistem pentadniran.
Saya pernah mengatakan bahawa tatkala pelaburan asing secara langsung, FDI,
merangsangkan ekonomi, kita tidak sedar wujudnya kelemahan-kelemahan
kerangka atau arkitektur kewangan antarabangsa, international financial
architecture, IFA, dan Kerajaan tidak mengakui terdapat kelemahan-kelemahan
seumpama kronisme, nepotisme, rasuah, pembaziran dan salah pengurusan. Ada
orang yang melupakan keadaan sebenar dan ada juga menyalahgunakan hak-hak
dan kuota Dasar ekonomi Baru. Sepandai-pandai tupai melompat, sekali akan
gawal juga. Pada Julai 1997, para spekulator menyerang mata wang Malaysia
dan lain-lain negara. Kelemahan-kelemahan tersebut dan rizab antarabangsa
yang tidak besar menyebabkan krisis yang lebih teruk. Kini, IFA tidak
berubah. Dolar Australia sedang ditebuk oleh para spekulator.
Pertumbuhan ekonomi antarabangsa mungkin tidak begitu cerah pada tahun
depan. Bagaimanapun, perhubungan di antara Korea Utara dan Korea Selatan
akan mengurangkan ketegangan di rantau ini. Ini adalah baik untuk ekonomi
yang peka kepada ketegangan. Strategi untuk menangani kawalan modal
Y.A.B. Perdana Menteri (Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad) sering mengulangi
bahawa beliau tidak nampak apa buruknya dengan kadar pertukaran yang tetap.
Penetapan kadar ringgit dengan dolar Amerika adalah perlu ketika krisis
ekonomi pada 1997 dan 1998 kerana ekonomi hendak merundum. Ini adalah tidak
buruk untuk rizab negara (sekarang RM 122.8 bilion D 5.1 bulan import
tertangguh). Jika jiran-jiran kita mengubahkan nilai mata wang mereka
sehingga 15%, maka Malaysia akan menilai semula RM, tetapi bukan sekadar
jiran-jirannya. Sesetengah bahagian perdagangan terus mengalu-alukan kadar pertukaran yang
tetap. Kadar RM yang sengaja direndahkan, undervalued, menjadikan barangan
eksport lebih kompetitif. Walaupun kesan-kesan krisis ekonomi masih boleh dilihat, keadaan ekonomi
adalah tidak seburuk semasa krisis. Kawalan modal tesebut yang dikatakan
telah diubahsuai untuk hanya membidikkan atau mengacukan ke arah para
spekulator mata wang menimbulkan kebimbangan. Saya mengulangi bahawa kita
perlu strategi bagi menangani kawalan modal.
Saya setuju kita perlu menilai semula dan mengubahsuainya dasar ekonomi dan
teknologi moden. Kita sudah membina institusi-institusi pengajian tinggi
awam dan swasta, IPTA dan IPTS. Kita berkehendakkan lebih banyak lagi,
sekurang- kurangnya 35 buah universiti bertaraf antarabangsa. Sekarang, kita
hendak tambahkan empat universiti lagi. Ini merupakan langkah yang
munasabah. Kita haruslah memastikan semua universiti adalah bertaraf
antarabangsa daripada semua segi. Hakikatnya, ekonomi berasaskan pengetahuan
atau k-ekonomi bukan satu perkara baru. Yang barunya ialah slogan dan hasrat
untuk mempercepatkan perkembangan ke arah teknologi komunikasi dan maklumat,
information and communications technology, ICT. Pelan induk k-ekonomi,
e-dagang dan ICT mestilah digubal dan diumumkan. Kita mestilah berusaha
mengikut pelan induk untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. Tetapi, kita
tidak boleh melupa pangkal dan asasnya. Kacang jangan melupakan kulitnya.
Misalnya, dengan penghijrahan dari desa ke bandar serta perubahan demografi,
75% kependudukan akan berada di bandar dan hanya 25% tinggal di desa pada 15
atau 20 tahun akan datang. Kemudahan-kemudahan asas warga-warga di dalam dan
luar bandar mestilah disediakan: utiliti, rumah, pengangkutan, pendidikan
dan sebagainya yang kosnya munasabah haruslah disediakan.
ICT ALA MALAYSIA Di dalam pelan induk kita, adakah kita menerima teknologi dan pengurusan
moden berasaskan kepada keadaan di Amerika Syarikat, USA? USA telah bermula
dengan cara moden ini lebih dua dekad, kita baru menirunya untuk beberapa
tahun sahaja bilangan orang Malaysia yang menggunakan Internet hanya 1.4
juta orang sahaja. Adakah semua rumah termasuk di kampung akan mempunyai
komputer dan alat-alat moden yang lain? Adakah alat-alat melalui satelit
atau cara-cara baru yang lebih baik daripada komputer? Memandangkan keadaan
di Malaysia adalah tidak serupa dengan USA, ICT ALA MALAYSIA HENDAKLAH
DIADAKAN. Dengan perkembangan ICT yang begitu pesat, kita tidak seharusnya
menjejak tapak USA semata-mata. Y.B. Menteri Kewangan mengatakan pelaburan asing ke negara ini telah
meningkat. Permohonan pelaburan dalam sektor perkilangan yang dikemukakan
kepada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia, MIDA, telah kembali
meningkat dengan ketara sebanyak 67.6% bernilai RM17.5bilion. Dengan pakej
galakan istimewa, prepackaged incentives, tujuh projek dengan pelaburan
sebanyak RM 11.25 bilion telah diluluskan oleh Kerajaan. Malah, pelaburan
bagi projek berteknologi tinggi di MSC kini bernilai sebanyak RM 2.8 bilion.
Sebenarnya, pelaburan langsung asing adalah terus rendah kerana masih
terdapat krisis keyakinan. Pulangan dari syarikat-syarikat masih rendah.
Pada 10 Ogos 2000, Y.B. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
menyatakan beliau adalah lebih tahu darihal pelaburan langsung asing, FDI,
terus mengalir masuk . Kelulusan bagi FDI dan pelaburan tempatan di dalam
sektor perkilangan untuk tempoh 1995-2000 telah melebihi RM110 bilion yang
merupakan matlamatnya. Berapa kelulusan tersebut dapat dilaksanakan?
Syarikat-syarikat seperti Royal Dutch dan Shell sudah bertapak di Malaysia
untuk berdekad-dekad lamanya. Mereka terus meraihkan keuntungan. Projek-
projek besar mereka memberi angka besar kepada FDI yang disebutkan oleh Y B
Menteri Kewangan. Pengarah Malaysian Institute of Economic Research Dr Mahamed Ariff
mengesahkan FDI telah turun 71.2% pada lima bulan pertama tahun ini dan
dalam tempoh yang sama tahun lepas 16.4%. Mahu tidak mahu, FDI masih tidak
begitu cerah. Walaupun terdapat banyak insentif seperti pakej galakan
istimewa, para pelabur masih teragak-agak. Ini jelas menunjukkan bahawa
meskipun sektor perkilangan dijangka menyumbang 32.6% kepada KDNK, terdapat
krisis keyakinan terhadap sesetengah aspek sektor kewangan.
Menurut World Economic Forum, daya saing Malaysia telah merosot daripada
kedudukan ke-9 pada tahun 1997 kepada kedudukan ke-25 pada tahun 2000;
Indonesia daripada 15 keapda 44, Thailand daripada 18 kepada 31 dan Korea 21
kepada 29.; di Asia Timur Jepun 14 kepaDA 21, Taiwan 8 kepada 11 dan Hong
Kong 2 kepada 8. Kementerian Kewangan telah menyebutkan syarikat-syarikat gergasi seperti
Siemens, Motorolla dan Toshiba telah membuat pelaburan tambahan besar di
Malaysia. Tetapi, daya saing kita terjatuh dengan terlalu banyak. Ini bukan
kerana krisis ekonomi sahaja. Faktor-faktor seumpama struktur ekonomi
termasuk penyususnan semula syarikat-syarikat adalah penting. Saya
mencadangkan supaya Kerajaan mengkaji semula penyusunan sektor kewangan
terutamanya sektor korporat. Usaha Danaharta dan Danamodal mestilah dipertingkatkan. Danaharta telah
mengambil alih dan mengurus pinjaman, jumlah hutang tak berbayar, NPLs, RM
46.785 bilion dari sistem kewangan dan Danamodal dikatakan telah memindahkan
RM 7.59 bilion ke dalam sistem perbankan. Begitu juga dengan, Jawatankuasa
Penstrukturan Semula Hutang Korporat, Corporate Debt Restructuring
Committee. CDRC telah menyusun semula 38 skim yang bernilai RM 25.693
bilion, tetapi adanya 37 permohonan dengan jumlah nilai RM 20.236 bilion
yang masih tidak dirombak semula. Kita mestilah menunjuk kepada dunia bahawa
kita adalah serius dengan penyusunan semula pengurusannya. Usaha ini bukan
sembarangan, bukan untuk memperlindungkan syarikat-syarikat yang
pengurusannya tidak cekap. Danaharta masih menguruskan harta-harta bernilai RM 26.27 bilion. Walaupun
Danaharta telah menjual 96 harta dengan jumlah nilainya RM 127.80 juta pada
30 Jun 2000, tetapi saya telah mengatkan sebelum ini bahwa Danaharta tidak
sepatutnya berlagak seperti sebuah bank. Tujuannya ialah untuk menyelesaikan
NPLs dengan cara yang munasabah. Jangan Menyalahkan Kumpulan Wang Simpanan dan Pencen
Belanjawan 2001 adalah RM 91 bilion, dengan perbelanjaan mengurus dan
pembangunan RM 62.21 bilion dan RM 28.84 bilion masing-masing. Tetapi, hasil
persekutuan bagi 2001 adalah dianggarkan sebanyak RM 69.61 bilion. Ini
bermakna defisit ialah RM 21.44 bilion. Dari manakah Kerajaan akan mendapat
wang untuk menampung defisit ini?
Biasanya, Kerajaan adalah sangat rakus dan loba terhadap Kumpulan Wang
Simpanan dan Pencen. Jumlah sumber sembilan kumpulan wang simpanan dan
pencen, PPF, adalah RM 201.614 bilion. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
menymbang RM 172.507 bilion, 85.6% dan Pertubuhan Keselamatan Sosial,
Perkeso, RM 8.232 bilion. Kerajaan boleh mengatakan bahawa ia dapat memberi faedah 5% kepada wang yang
dipinjam dari kumpulan wang tersebut, walhal faedah bank hanyalah 3.5%. Yang
pentingnya, Kerajaan tidak seharusnya menyalahgunakan wang daripada lebih 10
juta rakyat. Mengapa pertumbuhan ekonomi 7.5%?
Walaupun pertumbuhan ekonomi bagi tengah tahun 2000 yang pertama adalah
10.5%, Y.B. Menteri Kewangan meramalkan pertumbuhan 7.5% pada akhir tahun
ini dan 7.0% untuk tahun 2001. Ini bermakna, pertumbuhan bagi tengah tahun
kedua ialah 5.5%. Mengapa? Penurunan daripada 10.5% kepada 5.5% adalah
sangat besar. Y.A.B. Perdana Menteri menyatakan bahawa adalah sukar untuk
mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi, tetapi tidak mustahil.
Penumpuan khusus kepada merangsang ekonomi, inisiatif mempertingkatkan daya
saing dan masyarakat penyayang adalah tidak salah. Cuma kita mestilah
tambahkan usaha untuk keadilan, ketelusan serta kepertanggungjawapan,
accountability. Langkah-langkah seperti Tabung Modal Teroka, Venture Capital, RM 500 juta
adalah ke arah yang betul. Tetapi idea-idea dan langkah-langkah untuk
meningkatkan penggunaan dalam negara dan FDI tidak semestinya akan
mendatangkan kesan-kesan yang dikehendaki. Yang terpenting sekali ia
keyakinan terhadap kemampuan untuk menguruskan semua sektor khasnya
sektor-sektor kewangan dan awam selepas Dasar Pembangunan Wawasan
diumumkan pada April 2001. Gunakan Peruntukan Pendidikan RM18.6 Bilion Dengan Adil Dan Berkesan Dasar
Pendidikan Mestilah Konsisten. Tahun ini, peruntukan pendidikan ialah kira-kira RM 14 bilion. Tahun depan
ialah RM18.6 bilion yang merupakan peruntukan belanjawan yang paling besar.
Kita perlu menumpukan perhatian kepada pendidikan dan latihan kerana sumber
manusia yang mahir akan menentukan masa depan negara.
Y B Menteri Kewangan mengatakan sebanyak 167 buah sekolah rendah, 120 buah
sekolah menengah dan 42 buah asrama harian baru akan dibuka tahun depan
dengan pertambahan kakitangan seramai 11,684 orang yang terdiri daripada
9,424 orang guru dan seramai 2,260 kakitangan baru.
Saya berharap semua ini dapat dilaksanakan dengan berkesan. 42 buah asrama
harian baru haruslah terbuka kepada semua kaum dengan adil. Yang miskin dan
yang kurang mempunyai peluang adalah tidak terhad kepada satu kaum sahaja.
Kerajaan telah berulang dasar sekolah satu sesi. Tetapi, ia tidak dapat
dijayakan setakat ini disebabkan faktor-faktor yang tertentu termasuk
kekurangan sekolah. Kita berharap 167 buah sekolah redah dan 120 buah
sekolah menengah dapat dinina mengikut jadual. Daripada 167 buah sekolah
rendah, berapa buahkah sekolah rendah Cina dan Tamil?
Pada bulan November 1999, menjelang pilihanraya umum, Kerajaan telah
mengumumkan kelulusan lima buah sekolah rendah Cina baru. Tetapi, satu tahun
kemudian, janji ini belum dikotakan. Saya mengesyorkan supaya Kerajaan
memberi peruntukan RM 3 juta dan lima ekar tanah bagi setiap sekolah.
Peruntukan pendidikan ini patutlah diagihkan kepada semua peringkat dengan
adil. Semua projek haruslah dibuat dengan cekap.
Dasar pendidikan mestilah konsisten. Kadangkala kita nampak dasar pendidikan
dilaksanakan dengan tergopoh-gapah. Misalnya, 3M, Kurikulum Baru Sekolah
Rendah, KBSR, telah diumumkan pada tahun 1982 walaupun para guru dan
kelengkapan belum mencukupi. Begitu juga dengan kemahiran hidup dan projek
sempoa. Projek ini telah digugurkan. Dasar pendidikan haruslah konsisten dan
tidak seharusnya dikongkong oleh parti politik.
Niat hati nak pancing temenung, Sudah terpancing ikan setoka; Niat hati nak peluk gunung, Sudah terpelok biawak celaka. Kebimbangan terhadap sekolah wawasan Dalam beberapa tahun ini, Kementerian telah membangkitkan sekolah wawasan
untuk mengasuhkan keharmonian kaum sejak bangku sekolah lagi. Para pendidik
Cina bimbang akan hilangnya keperibadian sekolah-sekolah Cina. Walaupun
janji daripada Kementerian, mereka masih khuatir akan akibat perkongsian
kemudahan- kemudahan oleh tiga aliran sekolah ini. Y B Menteri Pendidikan
mestilah mengambil kira kebimbangan mereka.
Keselamatan bertaraf tinggi Belanjawan ini memperuntukkan kira-kira RM 7 bilion untuk pertahanan
berbanding dengan lebih kurang RM 6 bilion tahun 2000. Ini telah menarik
perhatian. Y.B. Menteri Pertahanan (Dato' Seri Najib) mengatakan bahawa semasa krisis
ekonomi, peruntukan pertahanan tidak bertambah. Sekarang, Kementeriannya
meminta peruntukan yang lebih untuk membeli alat-kelengkapan yang canggih
seperti kapal selam. Saya berharap Y.B. boleh menerangkan apakah bilangan,
kos, jenis dan jadual pembeliannya. Adalah ini melalui Foreign Military
Sales,FMS, U.S.A. Lebih 20 tahun, kita membeli sesetengah kelengkapan
tentera melalui FMS. Kadangkala, alat seperti pesawat-pesawat Skyhawk yang
telah terpakai oleh Tentera Udara USA tidak sesuai: sering terhempas. Kita rugi.
Y.B. berpendapat bahawa dengan alat yang canggih, bilangan anggota tentera
boleh dikurangkan. Tentera memerlukan senjata yang baik.
Daripada segi pertahanan dan keselamatan, kita berkehendakkan kualiti,
disiplin dan komitmen anggota tentera dan polis. Sejak berhentinya perang
gerila Komunis pada Disember 1989, anggota-anggota tentera berada dalam
keadaan aman. Bagaimana kita mengadakan kualiti, disiplin dan komitmen?
Pada tempoh hari, tiga peristiwa membimbangkan kita. Penculikan 21 orang di
Pulau Sipadan dan tiga orang di Pulau Pandanan, Sabah Timur, oleh Abu
Sayyaf, pemberontak Filipina serta insiden Sauk memeranjatkan.
Kita bersyukur kerana semua tebusan telah dibebaskan. Kita berterima kasih
kepada semua pihak yang membantu untuk membebaskan mereka. Kita berdoa
supaya kejadian seumpama ini tidak akan berulang.
Adakah keselamtan kita mampu untuk memelihara tanah gerila di Semenanjung,
perairan dan kepulauan negara? Kapal selam tidak akan menghalang pemberontak
tersebut. Cuma anggota tentera dan polis sahaja.
Begitu juga dengan Insiden Sauk: perampasan senjata secara besar-besaran di
dua kem, Batalion 304 Infantri Askar Wataniah di Gerik, Perak. Insiden ini
berlaku di antara jam 02.30 hingga 04.30 pagi pada 2 Julai 2000. Difahamkan
bahawa insiden di Pos Kuala Lui ini hanya diketahui pada jam 12.00 tengah
hari 2 Julai 2000. Sebilangan orang, mungkin 15, telah mencerobohi kem tentera dan membawa
keluar lebih 100 pucuk senjata M 16 dan lain-lain senjata berat, support
weapons. Di kem-kem tentera terutamanya di forward position seperti Gerik yang hanya
45 minut melaui kereta dari Keroh, sempadan dengan Thailand, adanya
Peraturan Tetap, Standing Operative Procedure termasuk cara memasuki kem.
Adalah mustahil untuk menceroboh kem lalu merampaskan begitu banyak senjata
dari setor simpanannya, apatah lagi secara ramai.
Adakah ini kerja-kerja orang dalam?
Adakah pegawai pemerintah, brigade commander dan division commander
meletakkan jawatan? Apakah kedududkan Y.B. Menteri Pertahanan?
Pada sesi Julai tahun ini, saya telah mengemukakan usul di bawah Peraturan
18 mengenai insiden Sauk. Tun Yang di-Pertua telah membuat ulasannya dan
Kerajaan telah bersetuju untuk membentangkan Kertas Putih terhadap insiden
itu. Bilakah Kertas Putih ini akan dibentangkan?
|