Laman Webantu   KM2A1: 3115 File Size: 5.4 Kb *



Ku Li: Royalti Rakyat Juga
By Kapal Berita

2/11/2000 9:04 am Thu

Selepas Rais mendedahkan semua minyak kerajaan pusat berhak ke atasnya, Tengku Razaleigh pula bersuara selepas lama berdiam. Malangnya dia pun dua kali lima juga....Sekaligus Razaleigh memperbodohkan dirinya sendiri yang "gatal" menurunkan tandatangan. Walaupun begitu, Razaleigh kelihatan memberi komen yang agak samar dan tak kesah siapa. Bagi beliau, ia seharusnya dipulangkan kepada rakyat tidak kira siapa pemberinya.

LOGIK YANG MUDAH - TIDAK PERLU BERDARAH RAJA

Kalaulah memang benar Terengganu tiada hak langsung ke atas minyaknya kenapa pula Petronas "gatal" tangan dan memberi wang royalti kepada Terengganu pula. Malah kerajaan pusat sendiri mahu menyalurkan sebahagian rompakkan ini kepada JPP baru(a) dalam negeri Terengganu juga. Nampak jelas kerajaan "mengiktiraf" milik dan hak rakyat - walaupun kita ragui apakah ia satu keikhlasan atau cuba menunjuk banyaknya wang? Atau terasa bersalah kerana menggali lubang di tanah orang?

LOGIK PERSURATAN YANG MUDAH

Mungkin kita perlu tanya apakah poskod persuratan semua pelantar yang terletak diperairan Terengganu. Sudah tentu kesemuanya akan beralamat dengan nama negeri Terengganu, jika tidak posmen pun tidak tahu!. Bukan itu sahaja - semua kepala surat, logo, chop dan cukai-cukai Petronas di situ terpaksa meminjam nama Terengganu. Jika nama itu tidak ada, tiadalah hak Malaysia untuk mempertahankannya!

TIDAK LOGIK: PUSAT CAMPUR TANGAN URUSAN

Walau apapun, tindakkan pusat itu jelas sudah mencampuri urusan dalam sebuah negeri yang dipilih oleh rakyat secara sah melalui saluran pilihanraya. Rakyat mengundi BA kerana tidak sanggup berketuakan pemimpin umno yang gagal membawa pembangunan. Sebaliknya mereka yang masih kais pagi kais petang itu terpaksa menanggung lagi hutang dan tol jalan walaupun hasil minyaknya banyak dan asyik berlimpahan.

LOGIK KU LI: RAKYAT TIDAK MARAH?

Malang sungguh Tengku Razaleigh - masih menganggap rakyat tidak marah kepada Barisan Nasional walaupun ia cuma tinggal beberapa kerusi..... Agaknya jika semua kerusi itu hilang dalam pilihanraya ditahun akan datang barulah beliau dapat mengukur sayang atau tidaknya rakyat kepada sekalian menteri.

Jika Tengku Razaleigh mahu tahu apakah perasaan rakyat terhadap tindakkan yang "berguna" oleh pusat - adakan sahaja satu pungutan suara. Kita pasti umno akan malu dan cabut lari sebelum keputusannya diumumkan nanti.




Sumber: Berita Hairan

Royalti: Ku Li buka mulut

01 November 2000


KUALA LUMPUR, Selasa - Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah, mengesahkan bahawa bayaran yang dibuat Petronas kepada kerajaan Terengganu sejak dulu lagi bukan royalti minyak.

Beliau yang terbabit dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan Terengganu itu berkata, negeri berkenaan tidak berhak mendapat royalti kerana minyak diperolehi di luar kawasan kekuasaan Terengganu.

"Dari segi undang-undang, ikut pandangan kita pada masa itu, iaitu semasa Petronas ditubuhkan, negeri-negeri di Semenanjung tidak ada hak ke atas minyak yang dijumpai di luar kawasan kekuasaan negeri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Ini adalah kenyataan pertama Tengku Razaleigh sejak isu pembayaran hasil minyak dibangkitkan pembangkang berikutan keputusan Kerajaan Pusat menyalurkannya terus kepada rakyat negeri itu, bukan menerusi kerajaan negeri.

Kerajaan Pas Terengganu menganggap wang itu adalah royalti minyak yang menjadi hak negeri itu, bukan wang ihsan seperti yang ditakrifkan Kerajaan Pusat.

Perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Terengganu itu ditandatangani pada 1975, manakala Tengku Razaleigh pernah menjadi Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petronas antara 1974 hingga 1980.

Beliau berkata, soal bagaimana wang itu disalurkan tidak seharusnya dipertikaikan kerana yang penting perubahan kaedah pembayaran itu tidak menjejaskan rakyat Terengganu.

"Kalau wang itu disalurkan menerusi apa-apa saluran pun dan rakyat tidak mendapat faedah dan menanggung kerugian, barulah perkara ini boleh dipersoalkan.

"Kita tengoklah cara yang digunakan Kerajaan Pusat, sama ada merugikan atau menguntungkan rakyat. Kalau menguntungkan rakyat, buat apa persoalkan cara mana duit itu disalurkan," katanya.

Tengku Razaleigh percaya, cara baru penyaluran wang itu akan memberi faedah dan menguntungkan rakyat Terengganu.

Katanya, ini kerana Kerajaan Pusat mengambil kira bahawa kerajaan Terengganu yang baru ditubuhkan itu, belum lagi mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan projek pembangunan.

"Kerajaan Pusat adalah proaktif dan berorientasikan pembangunan, sudah tentu ia akan bagi segala kemudahan dan projek yang ia boleh rancang dengan baik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada rakyat Terengganu untuk membuat penilaian terakhir, sama ada cara penyaluran wang itu menjejaskan mereka.

"Saya rasa tidak terjejas. Takkan Kerajaan Pusat nak kurangkan wang itu atau melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat Terengganu. Tak mungkin ini berlaku," katanya.