Laman Webantu   KM2A1: 3095 File Size: 28.3 Kb *



TJ FK: Peperangan Menentang Para Kroni (Mesti Baca)
By Marhain Tua

29/10/2000 9:29 pm Sun

[Rencana ini ditajukkan kembali oleh Editor. Jangan lupa membaca sedikit persoalan atau komen penterjemah dipenghujung rencana ini. Pihak Editor merakamkan satu ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada sdr -MT- kerana rencana yang amat panjang ini tentunya banyak memakan masa dan tenaga, malah pembaca pun mungkin letih mata olehnya.

Diharap semua pejuang tanah-air MEMBACA dan MENYEBAR rencana ini sebagai satu tanda-hormat (tribut) kepada beberapa pejuang negara, khususnya Allahyarham Jalil Ibrahim, Dr Jomo, dan penterjemahnya bersekali, sdr -MT-.

Rencana Asal Bahasa Inggeris boleh dibaca pada Rencana sebelumnya bertajuk Asiaweek: The War Against Cronies (3093) - Kami sengaja menggunakan thread baru sebagai satu tanda hormat juga... Editor]



Fokus Khas:

PEPERANGAN MENENTANG PARA KRONI

(The War Against Cronies - By ALEJANDRO REYES)

Sumber: ASIAWEEK

MENGIMBAU PERISTIWA RAKAN JOMO, JALIL IBRAHIM, 17 TAHUN YANG LALU

Bara kemarahan yang dihayati oleh Jomo Kwame Sundaram akhirnya menyala juga pada satu hari tujuh belas tahun yang lalu. Pada hari Khamis, Julai 21, 1983 seorang teman semaktab dengannya (Maktab Tentera Diraja - penterjemah) yang bernama Jalil Ibrahim telah dijumpai mati terbunuh di celah-celah belukar sebuah ladang pisang di Hong Kong. Polis di sana telah membuat taksiran betapa 36 jam sebelumnya, selepas makan tengahari dan menikmati secangkir kopi dengan seseorang di kamarnya di Hotel Regent yang terletak di kawasan pelancongan yang popular di Tsimshatsui itu, Jalil telah dicekek dengan sehelai tali pinggang gebar mandi berwarna putih. Mayatnya telah disumbat ke dalam satu beg pakaian yang besar yang diangkut oleh seorang porter melalui lobi Regent dan dimasukkan ke dalam ruang bagasi sebuah teksi.

JALIL MANGSA CERAKIN KRONISMA

Seorang peniaga rakyat Malaysia bernama Mak Foon Than telah dipenjarakan kerana pembunuhan itu. Aruah Jalil berumur 35 tahun ketika itu dan bekerja seagai seorang pegawai dengan Bank Bumiputra Berhad. Beliau pergi ke Hongkong atas arahan untuk menyiasat kerugian yang melanda sebuah anak syarikat Bank yang bernama Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang telah banyak memberikan pinjaman kepada syariakt yang kabur perniagaannya. Di antara syarikat yang banyak meminjam ini termasuklah Carrian Group yang diketuai oleh seorang rakyat Malaysia bernama George Tan. Syarikat ini lingkup akhirnya, pada Oktober 1983. Antara beberapa tumpuan siasatannya, Jalil telah cuba menyelidik siapakah sebenarnya yang mempunyai hak kepada satu blok saham berjumlah 25 juta unit yang dikeluarkan oleh Carrian dan apakah pinjaman telah diberikan kepada peminjam yang tidak layak tetapi diberikan juga kerana mereka itu mempunyai hubungkan yang baik dengan orang atasan.

KEMATIAN JALIL MERUBAH HIDUP JOMO*

"Jalil merupakan seorang yang baik dan jujur. Kematiannya telah merobah cara hidup saya," demikian Jomo, yang kini berumur 47 tahun, mengimbau masa silam. Kematian sahabatnya ini telah mendorong professor Universiti Malaya ini mengambil satu pendirian untuk memerangi kronisma, hubungkait yang jijik di antara ahli politik dan perniagaan. Kronisma memang subur di Malaysia (walaupun tidak semestinya dianggap haram ataupun tidak cocok). Kerana itu Jomo yang lahir di Penang, terpaksa berhadapan dengan ombak gelora yang cuba menyerangnya dan melandanya dengan tindakan mahkamah. Dia telah menerima banyak ugutan terhadap nyawanya termasuklah sekeping surat yang telah direndam dengan darah yang mangandungi kata-kata ugutan terhadap aktibitinya.

Nama Jomo ada kaitannya dengan nama dua pejuang nasionalis Afrika. Jomo berperang dengan kronisma di Asia dan berada di barisan hadapan peperangan itu bersama dengan beberapa pejuang yang memerangi salahlaku mereka yang menjawat jawatan tinggi awam.

MEMERANGI KRONISMA DI ASIA

Perjuangan mereka itu merupakan satu usaha menyemarakkan amalan demokrasi dalam dekad yang terbaru, yang dilanda Krisis Ekonomi Asia 1997-1998, dan usaha mewujudkan satu pentadbiran negara yang telus, jelas dan mempunyai akauntabiliti. Kisah taufan politik yang melanda pentadbiran Presiden Filipina Joseph Estrada, di mana beliau dituduh menerima jutaan wang perjudian daripada kroninya, merupakan gegaran kecil sahaja daripada ledakan yang menggegarkan dunia Kronisma Asia.

Jomo memang amat jengkel terhadap keadaan di Malaysia di mana "hampir setiap peniaga besar terpaksa bermuka-muka dengan pemimpin politik." Kenyataannya itu memang merupakan sesuatu yang benar yang melanda wilayah ini. Ia merupakan satu amalan yang terpaksa dialami oleh para industrialis India yang mahukan lesen berniaga hinggalah kepada kontraktor Jepun yang ingin membuat tawaran tender kepada projek infrastruktur. Seandainya Asia mahu mengekalkan suasana persaingan yang sihat dan mengelakkan bahana kemuncupan ekonomiya, Asia mestilah meneruskan peperangannya terhadap politik kronisma. "Kronisma telah melakukan banyak kerosakan terhadap ekonomi negara," demikian kata Perfecto Yasay, bekas ketua Securities and Exchange Commision di Manila yang telah membuat tuduhan betapa Estrada telah mencuba mempengaruhinya agar menghentikan sisasatan terhadap seorang temannya yang melakukan manipulasi dalam pasaran saham.

Selain daripada memberikan gambaran keuntungan besar secara pilihan yang sebenarnya merupakan satu tipu helah terhadap rakyat, kronisma melemahkan usaha pelaburan oleh majoriti firma yang tidak mempunyai hubungkait yang rapat dengan orang atasan. Ini bererti wujudnya tumbuhan ekonomi yang lembab yang memberikan keuntungan kecil kepada kerajaan dan peluang kerja yang sedikit pula. Skandal yang berputik daripada usaha niaga yang jijik boleh mengegarkan kerajaan dan menggugat pemimpin nasional. Pada 1986, satu gagasan kebangkitan rakyat yang diberi nama People Power telah berupaya menyungkit Presiden Filipina ketika itu, Ferdinand Marcos daripada takhta kediktatorannya. Pada Mei 1998, kebangkitan para pelajar Indonesia yang melaungkan "KKN" (disebut KAKAEN - penterjemah) - yang abjadnya dalam Bahasa Indonesia bererti Kronisma, Korupsi dan Nepotisma - telah menyebabkan Suharto akhirnya melepaskan jawatannya sebagai presiden republik itu. Dua perdana menteri Pakistan, Benazir Bhutto dan Nawaz Sharif telah kehilangan kuasa mereka disebabkan tuduhan korupsi yang berlebihan dan nasib malang yang serupa sedang menghantui Estrada di Filipina pula.

KRONISMA YANG BERTAHAN

Jikalau kronisma itu merupakan amalan yang jijik kenapakah ia masih mampu bertahan? Ada satu dalil yang menarik yang mempunyai kaitan dengan kebangkitan ekonomi yang telah mampu menumpulkan usaha untuk melakukan perubahan yang menyakitkan itu. "Apabila kadar pertumbuhan itu berada pada tahap 6%, 7% ataupun 8%, ramai orang yang memikirkan bahawa tekanan yang menyiksakan itu sudah pun menghilang," demikian yang dijelaskan oleh Presiden Bank Dunia, James Wolfensohn. Pada bulan yang lalu, IMF-Bank Dunia tealh mengadakan mesyuarat tahunannya di Prague. Di situ James Wolfenshohn telah menceritakan kisah ekonomi yang sungguh teruk melanda Indonesia, Korea Selatan dan juga Thailand. Wolfensohn telah memberikan amaran:

    "Anda boleh menyungkup masalah ekonomi itu dengan menggunakan angka pertumbuhan ekonomi. Tetapi dengan melakukan demikian anda sebenarnya menyemai benih krisis yang akan muncul pula."


Di Seoul sebagai contohnya, "Presiden Kim Deng Jung " telah dipilih untuk menangani korupsi dan kronisma, tetapi beliau masih belum lagi berjaya melakukannya," demikian yang dinyatakan oleh Ketua Bank Dunia itu. Kim telah menggunakan kuasa yang ada pada tangannya untuk cuba memaksa institusi chaebol agar melakukan rombakan dengan mengurangkan pengaruh mereka dalam kerajaan. Tetapi, kumpulan konglomeret seperti Daewoo dan Hyundai telah mampu menolak kebanyakan peraturan pengstrukturan semula itu. Begitu juga berlaku kepada beribu syarikat dan agensi di seluruh negara di mana hubungan lama di sekolah-sekolah, di tempat kerja dan juga di dalam dunia perniagaan telah mampu memberikan faedah kepada mereka yang mempunyai kaitan rapat.

Perjuangan yang memakan masa dan memedihkan itu tidak pula merupakan sesuatu yang memeranjatkan veteran perang terhaap kronisma itu. Seperti Presiden Kim, yang memang telah lama berjuang untuk kedamaian, hak asasi manusia dan demokrasi dan akhirnya telah diberikan keiktirafan tahun ini untuk menerima anugerah Nobel Peace Prize; para penyiasat, wartawan, pendidik dan para birokrat yang berjuang memerangi kepincangan ini memang amat arif betapa mereka tepaksa bersedia mengharungi masa yang panjang dalam peperangan itu. "Ini merupakan satu budaya yang tidak dapat dikalahkan dalam waktu yang singkat" kata Lee Seong Hyun seorang setiausaha agung kepada Citizens' Coalition for Economic Justice, South Korea. Inilah satu pertubuhan NGO yang memerangi kominasi chaebol dan pengaruh (kekalutannya) di Korea.

PERJUANGAN DR JOMO*

Professor Jomo, memang sudah lama sedar betapa sukar perjuangannya itu dan betapa kuatnya kuasa yang dihalakan terhadap para pejuang reformasi. Sekian lama ini dia telah menulis sebanyak 81 buah buku (secara bersendirian ataupun bersama) terutama sekali mengenai hubungkait di antara politik dan perniagaan. Salah satu daripada penulisan itu bertajuk "The Political Economy of Malaysia" (ditulis bersama seorang temannya Terrence Gomez pada tahun 1997) telah mengjak perubahan dilakukan di kalangan parti pembangkang dan juga di kalangan ahli yang menganggotai UMNO. Jomo yang menerima pendidikannya di Harvard dan Yale telah menonjol sebagai salah seorang pengkritik keras kerajaan pimpinan Mahathir Mohammad. (Perdana menteri itu tidak lagi mahu bersalaman dengan Jomo setiap kali mereka bersua). Namun, Jomo tidak pun menjadi ahli kepada sebarang parti politik di negaranya.

KRONISMA - SATU BUDAYA NIAGA

Salah satu keperitan menentang kronisma ialah disebabkan ia bertentangan dengan cara Asia berniaga. Hubungan rapat dan budaya naungan sudah lama merupakan sebahagian politik dan bisnes di rantau ini. Lagipun, pembabitan kerajaan dalam aktibiti ekonomi nasional, baik di negara sosialis seperti China ataupun kapitalis seperti Jepun, memang wujud talian keakraban di antara pegawai kerajaan dengan orang perniagaan. Kerjasama seperti itu telah pernah menerima pujian kerana mennonjolkan Asia Timur sehinggakan diberinama sebagai satu ketakjuban ('Economic Miracle') ekonomi. Salah satu peminatnya termasuklah Bank Dunia, yang kini merupakan kritik kronisma yang keras.


Dalam pemerintahan regim yang otoritarian, pemimpian seperti Suharto dan Marcos memang pintar menggunakan hubungan perniagaan dan pemberian serta kemudahan kepada teman-teman mereka sebagai satu cara mudah untuk mengekalkan sokongan dan usaha memperkayakan keluarga mereka. Ketika demokrasi mula menjengukakan mukanya di Filipina, Korea Selatan, pakistan dan beberapa negara lainnya, simptom salah tadbir sesuatu negara memang tidak mudah dilenyapkan. Sebaliknya, keperluan mendapatkan dana yang besar untuk membiayai kempen politik telah memerlukan pembabitan perniagaan besar-besar untuk memudahkan usaha membeli pengaruh. Senarai nama para kroni yang dikaitkan dengan Estrada, sebagai contohnya, menunjukkan betapa ramainya para penjilat yang telah menyokongnya menjadi calon presiden yang berjaya pada 1998 dulu.

Kita harus ingat, kebanyakan negara Asian, sedang berada di tahap ketumbuhan persis Amerika ketika berada di awal abad ke-20 dulu. Ketika itu kronisma memang menjadi satu fenomena yang amat menyerlah di Amerika. Malahan, di Amerika ketika itu, mulanya perkataan kronisma itu diamalkan secara apa yang sedang dilakukan di Asia kini. Ia memerlukan Krisis Kejatuah Ekonomi 1929 dan kejadian merudumnya ekonomi dalam 'Kejadian Great Depression' itu untuk menggesa Amerika Syarikat merangka penubuhan institusi yang membabitkan perundangan dan sikap sosial yang memerangi amalan kronsima yang jijik itu. Inilah yang diperlukan negara Asian masakini, mencipta hukum-hakam, mewujudkan struktur dan yang lebih penting lagi melakukan perubahan kepada perilaku sosial dan pemikiran untuk membawa kesedaran betapa kronisma itu memang tidak ada gunanya.

Kini, ada yang berpendapat, bahawa menggunakan hubungan rapat itu adalah satu cara yang berkesan - malahan hanya cara yang bersesuaian - untuk para peniaga mengurangkan sekatan kerajaan yang tidak diingini dan mempercepatkan projek kerajaan itu dimulakan. Di India, mengikut lapuran peguam Rajeev Dhawan, para peniaga tidak punyai pilihan lain selain turut serata dalam permainan kroni ini. "Kalau anda mahukan kontrak kerajaan, anda terpaksa menggunakan khidmat seseorang," demikian pendapatnya. "Apa yang orang panggil sebagai kroni itu sebenarnya merupakan satu kumpulan bajingan orang tengah yang sungguh tersusun kumpulannya."

Seorang pakar ekonomi daripata Los Angeles yang mempunyai pengalaman bertugas di Asia, Hilton Root, berpendapat bahawa urusniaga menggunakan kronisma, dan pemilikan struktur ekonomi seperti chaebol (Korea) adalah cara-caranya di mana perniagaan dilakukan dalam satu masyarakat yang ketandusan institusi yang berwibawa.

KRONISMA YANG DIPELIHARA

Malahan, tidak ada undang-undang yang mungkin mampu mendera kronisma. "Untuk satu masa yang lama, kritik terhadap kejijikan kronisma tidak pernah dianggap secara serius, kerana tidak berlakunya penyalahgunaan kuasa" kata Jomo. "Keadaan ini amat berbeza dengan korupsi kerana ia adalah sesuatu yang haram, sedangkan kronisma dianggap sebagai sesuatu yang halal." Ada perundangan yang mungkin menyalahkan sesiapa yang cuba mendedahkan perniagaan yagn membabitkan kronisma; pegawai keraajan mungkin didera kerana mendedahkan rahasia kerajaan. Ini merupakan satu kebiasaan di China dan menakutkan di beberapa negara yang otoratiraian. Jomo pernah berkata "Hampir semuanya dianggap rahsia. Kerajaan mudah sangat mengambil tindakan mengenakan takrif rahsia kerajaan itu kalau timbulnya sesuatu yang mencurigakan." (Kerana pendedahannya itu, Jomo tidak pula dianggap melanggar Akta Rahsia Rasmi Malaysia).

KRONISMA HONGKONG DAN CINA

Keupayaan boleh digunakan sebagai alasan untuk mewujudkan sesuatu perjanjian yang istimewa. Pada tahun yang lalu, kerajaan Hong Kong telah menafikan satu tuduhan bahawa ia telah menganugerahkan projek Cyberport Office dan pembinaan perumahan kepada Pacific Century Group yang dimiliki oleh Richard Li Tzar-kai, tanpa sebarang tender. Perbalahan ini timbul kerana bapa Richard Li ialah Li Ka Shing yang merupakan kawan baik kepada Gabenor Tung Chee Hwa dan juga para pegawai tinggi China. Pegawai kerajaan bertegas dengan pendirian mereka bahawa Pacific Century adalah sebuah syarikat yang mempunyai kelayakan dan kepakaran untuk mempercepatkan kerja yang mahu dilancarkan secepat mungkin. Berlakunya satu suasana yang bertentangan dengan amalan ini menyebabkan reputasi Hong Kong tercemar.

KRONISMA FILIPINA

Estrada pernah berpendapat bahawa kalaulah sistem kroni itu menghasilkan sesautu (projek) yang dimestikan, makanya sebarang kemudahan yang diberikan itu memang berbaloi sekali. "Dia itu seorang kroni yang baik." Demikian Estrada pernah berkata sebagai menolak tuduhan yang mengatakan sahabatnya yang bernama "Danding" Coajungco, pengerusi konglomeret makanan dan minuman San Miguel telah mengaut keuntungan yang banyak daripada persahabatan yang terjalin itu. "Danding tidak berhutang kepada kerajaan" kata presiden itu. "Dia telah memulihkan keadaan dan membawa keuntungan kepada San Miguel."

KRONISMA MALAYSIA

Mahathir telah memanggil setiap rakyat Malaysia sebagi kroninya. Para peniaga yang rapat dengannya memang sengaja menyepikan sebarang kritik yang menyanggah perhubungan mereka dengannya. Sayangnya ramai rakyat Asia yang tidak berhati perut. Masyarakat biasa terlalu mudah menerima alasan yang diketengahkan dalam melindungi perbuatan yang jijik itu.

Seorang pemandu teksi di Beijing bernama Zhang pernah berpendapat; "Sebenarnya kami tidak berapa kisah kalau pegawai kerajaan itu korup. Kalau mereka terus berkhimat kepada masyarakatnya apa salahnya kalau mereka rasuah. Apa yang kita tidak setuju ialah adanya pegawai kerajaan yang membalun duit awam dan tidak pula melaksanakan tugas mereka.

Ada juga pendapat yang mengatakan kronisma itu akan lenyap juga akhirnya. Apabila ekonomi Asia terus membesar dan masyarakatnya semakin kaya, korupsi itu akan menghilang. Tetapi pendapat ini tidak dipersetujui oleh seorang peguam bernama Dhawan. Kerukunan masyarakat feudal memang menjalin kronisma. Tetapi, ia merupakan satu bencana moden yang akan menular ekonomi negara membangun dan mesti dihapuskan dengan cetusan minda yang baru dan cara penyelesaian yang berinovasi. "Satu ketika dulu para kroni adalah mereka yang suah tua dan berpengalaman yang sungguh matang. Kini, sudah muncul golongan yang masih muda tetapi lebih berpengalaman," data Dhawan. "Mereka aktif secara ligatnya dengan memusatkan pengaruh mereka kepada pihak yang memegang tampuk kuasa itu."

DR JOMO DISERANG

Tidak kiralah sama ada kroni itu orang baru ataupun orang lama, mereka masih mampu menggunakan taktik yang jijik. Pada tahun yang lalu, Jomo telah diserang oleh beberapa kumpulan niaga yang mempunyai kontrak besar dengan kerajaan. Jomo telah menulis mengenai perniagaan mereka itu. Ada beberapa pelawat yang mengugut untuk menyamannya di mahkamah. Ada pula yang mahu memberikan imbohan kewangan kepadanya. "Orang seperti ini fikir kami tahu lebih banyak lagi daripada apa yang telah kami tulis," kata Jomo. "Kamu ada berkeluarga, jadi, fikirlah akan keselamatan mereka, kata mereka. Kami akan dakwa anda di mahkamah. Kami akan buat anda muflis dan anda tidak akan mampu mencari pekerjaan di mana-mana." Jomo terus mendedahkan mereka. Seperti mana dia telah menangani tekanan mereka sebelum itu. Pada 1986 dia merupakan professor pertama di Malaysia yang telah diturunkan pangkatnya. Dia menerima balik kenaikan pangkat pada 1991.

KRONI TIMBUL TENGGELAM

Setiap kali berlakunya pergolakan yang menjatuhkan sesuatu regim yang korup bersama para juaknya, satu kumpulan kroni yang baru akan muncul pula bersama dengan yang lama itu. Banyak telah dilakukan terhadap Cojuango dan Lucio Tan yang merupakan kroni Marcos dulu tetapi mereka naik menonjol semula untuk mendapatkan naungan dan sokongan Estrada. Di Korea Selatan, sebarang kempen menentang dominasi chaebol terpaksa mengambil kira kalau-kalau cara memperkecilkan kuasa mereka itu akan mencederakan ekonomi negara dan menambahkan kadar pengangguran negara.

Di Indonesia kronisma yang baru belum lagi menimbulkan banyak masalah. "Ekonomi negara itu sungguh mendatar sehinggakan tidak ada peluang besar untuk dibalun," kata Jim Castle, pengasas sebuah firma perunding di Jakarta bernama Castle Group. Tetapi sudah muncul keraguan terhadap perundingan mengenai usaha menebus hutang besar dan juga kadar faedah yang diambil alih oleh Indonesian Bank Restructuring Agency . IBRA sedang meneliti semula segala harta yang telah diserahkan kepada negara oleh para pemilik bank yang telah lingkup dan terpaksa diselamatkan itu. Sementara itu pula, Bank Dunia dan IMF telah mempersoalkan hutang US2.7 yang perlu distruktur semula dengan Texmaco Group.

MENCEGAH DAN MEMERANGI KRONISMA

Dalam memerangi kronisma, seperti juga memerangi penyakit lain, penyegahan adalah lebih baik daripad pengubatannya. Cara yang paling cocok untuk memerangi kerja jijik ini ialah denan membebaskan sektor perniagaan dan menarik balik segala insentif yang menjalinkan hubungan untuk faedah komersial. Ini termasuklah menurunkan tarif impot, dan kuota. Lagi satu pencegahan penting ialah mengurangkan perbelanjaan ketika berkempen untuk pilihanraya. Inilah yang baru sahaja dicuba oleh perlembagaan terbaru di Thailand. Di Filipina, bekas speaker dan calon presiden Jose de Venecia telah mencadangkan agar kos kempen untuk jawatan presiden itu dibiayai oleh kerajaan. Jika tidak " semua calon akan terpaut kepada pengaruh dan sokongan peniagaan yang besar-besar. Sistem demikian akan membiakkan kronisma.' Yassay telah mencadangkan agar dikenakan had kepada sumbangan yang boleh diberikan kepada seseorang calon. Kalau seseorang itu memberikan sumbangan dua bilion, apabila calon itu menang dia terpaksa memulangkan balik jumlah yang sama.

Seorang ahli sains politik Korea Selatan, Lee Ki Taek berpendapat bahawa kematangan berpolitik adalah satu cara yang dapat mengurangkan kronisma. Professor Universiti Yonsei itu mahu melihat kempen politik yang memberi penekanan terhadap isu negara dan tidak mengenai personaliti yang terbabit. Perkara ini akan mengurangkan insentif untuk menyokong dan juga mendapatkan pengaruh ke atas seseorang ahli politik. Malahan, Lee mahu memperkenalkan satu cara ketelusan dalam semua bentuk politik dan perniagaan terutama sekali yang bersangkutan dengan hubungkait di antara mereka yang benar-benar terbabit dalam sesuatu kempen itu. "Kronisma akan hilang akhirnya kalau kita ada satu sistem melobi yang telus dan sah." Ini bererti, setiap urusan yang membabitkan kepentingan awam mesti diumumkan. Contohnya, semua kontrak yang bernilai katakanlah, $100,000 ataupun lebih, mestilah diterbitkan di internet. Nama pemenang dan mereka yang berhak keatasnya pun diterbitkan. Kalau sesuatu pihak itu terus menerima kontrak yang ditawarkan, bererti pihak itu boleh dipertikaikan oleh orang awam yang berhak menyelidiknya.

PERLUNYA KETELUSAN

Ketelusan akan mempengaruhi akauntabiliti. Ini merupakan satu penyelesaian terhadap penyakit kronisma kata Eddie Leung, ketua pengarang akhbar aktivis Hong Kong "Voice of Democracy". Akauntabiliti ialah satu lelucon di sini, kata beliau. Dia mengulang cerita bagaimana satu blok apartment bikinan Hong Kong Authority (kepunyaan kerajaan - penterjemah) telah didapati tidak boleh diluluskan di sini. Tidak ada sesiapa yang didapati bersalah walaupun ketua insitusi yang terbabit telah meletakkan jawatannya. Dia telah menceritakan bagaimana Ketua Ekskutif Hong Kong, Tung Chee Hwa " bukannya pegawai yang dipilih oleh rakyat. Kerana itu dia tidak boleh dikira bertanggungjawab kepada rakyat. Tung hanya bertanggungjawab kepada pemerintah di Beijing."

Seandainya masyarakat awam tidak berupaya menjatuhkan seseorang pegawai yang korup, dia akan terus berhibur dengan korupsinya. Dalam proses menyekat korupsi di China, pucuk pemimpinan Parati Komunis membuat penentuan siapa yang patut dihukum. Kerana itu seorang ahli Politburo yang rapat dengan Presiden Jiang Zemin telah tidak didakwa walaupuan istenya terbabit dalam satu skandal penyeludupan membabitkan $10 bilion dolar.

Peguam Arittha Wickramanayake, pengerusi satu chapter pertubuhan anti korupsi, Transparency International (TI), telah mengharapkan kepada perubahan am sebagai satu alat yang mengatasi hubungan. Ini akan berlaku kepada negaranya mengikut ramalan beliau. Dia menjangkakan akan munculnya satu kumpulan profesional yang berpendidikan dan tidak mempunyai hubungan rapat dengan keluarga dan sahabat mereka di tempat yang berpengaruh. Mereka mempunyai harapan yang tinggi, kata beliau. Pendapat ini disokong oleh pengerusi TI di Bangkok. Dia mengatakan ramai ahli keluarga yang yang sudah lama membuat hubungan dengan pemimpin politik berpendapat bahawa perubahan akan berlaku juga. Lucio Tan Jr. seorang anak lelaki kepada hartawan yang rapat dengan Estrada telah pun membuat janji betapa dia mahu membersihkan nama baik keluarganya dengan melakukan ketelusan dalam perniagaannya.

PROSES KESEDARAN SUDAH BERMULA

Menyedarkan masyarakat dengan menganjurkan protes rakyat dan pendedahan seperti yang dilakukan oleh Jomo adalah penting untuk mengubah sikap masyarakat agar tidak terus membabi-butakan kesetiaan yang mampu mengukuhkan sistem kronisma. "Apa yang telah kami tulis dan bincangkan sejak 10 hingga 15 tahun yag lalu kini menjadi tajuk perbincangan yang meluas sejak dua setengah tahun yang lalu.." demikian Jomo menjelaskan. "Rakyat semakin sedar akan kehadiran kronisma dan semakin galak menyelarnya. Ini merupakan satu kejayaan yang besar." Adalah diharapkan, semangat yang baru ini akan menjalar dengan pantasnya untuk mengelakkan satu kemunculan yang baru pula dengan ihsan para kroni yang terbabit itu.


>>>>>>>>>>>>>>>>>Diterjemahkan oleh -MT-<<<<<<<<<<<<<<<<




Catatan Khas Penterjemah:

Kini, si diktator tua berada di Hongkong berucap mengenai kejayaan ekonomi Malaysia tentunya. Kita mengharapkan ada sesiapa di sana akan menyoal beliau soalan seperti begini;



  1. Bagaiamanakah keadaan anak keluarga Aruah jalil ibrahim sehingga kini?

  2. Bank bumiputra telah muflis lebih tiga kali. Kenapakah tidak ada senarai pemiutang yang membuatkan bank itu lingkup?

  3. Sejak Bank Bumiputra lingkup itu berapa ramaikah di antara anak-anak si diktator tua dan juga anak-anak para menteri kabinet lainnya dan juga para pemimpin UMNO yang telah berhutang tetapi tidak mampu melunaskan hutang mereka kepada bank itu?

  4. Di kalangan pegawai bank, pegawai yang menganggotai Bank Bumiputra telah lama bersabar, tahun demi tahun mereka bertugas tanpa kenaikan gaji tahunan dan bonus yang setara dengan yang pernah diterima oleh pegawai bank lain. Apakah mereka ini diberikan penghargaan untuk naik pangkat dan mendudukki tempat yang baik dalam bank lain di mana kerajaan mempunyai saham emasnya?

  5. Beberapa kerugian yang ditanggung oleh bank Bumiputra berpunca daripada beberapa projek yang diusahakan dan digalakkan oleh si diktator tua. Salah satu contohnya ialah projek Sate Ria ketika si diktator tua menjadi menteri perdagangan. Begitu jua dengan hutang yang ditanggung oleh beberapa projek yang ditaja oleh UMNO melalui pergerakan pemuda dan wanitanya. Bagaimanakah si diktator tua mahu menyelesaikan projek itu dan menyelamatkannya untuk diserahkan kepada orang yang lebih berwibawa untuk mengendalikannya?

  6. Kini, kerajaan mahu galakkan tumbuhan IKS (industri Kecil dan Sederhana) pula untuk membolehkan orang Melayu berdaya saing. Salah satu projek yang ditonjokan sejak Sukan Komanwel dulu ialah Francais Restoren Nasi Lemak. Projek ini sudah dikatakan lingkup seperti yang dijangkakan. Bolehkah si diktator tua bermegah di luar negara dengan kelicikan kerajaannya sedangkan projek yang dikenadlikan secara terus oleh penasihat kementerian kewangan pun boleh kantul?

  7. Dua tahun yang lalu, si diktator tua sudah bermegah untuk melepaskan jawatannya apabila ekonomi Malaysia pulih. Apakah dia sanggup melakukannya sekarang?


Kalau soalan ini tidak sempat dikemukakan di Hongkong, diharapkan saudara kita di Brunei akan menggunakan kesempatan yang ada untuk bertanya kepada si diktator tua ini akan soalan yang sama di Bandar Seri Bengawan pula. -MT-