Laman Webantu   KM2A1: 3063 File Size: 16.0 Kb *



Terengganu Tidak Perlukan Royalti Untuk Terus Bernafas
By Cucu Datuk Bahaman

24/10/2000 7:43 pm Tue

[Diharap sdr Cucu Datuk Bahaman menghubungi PW kerana password untuk nama ini sudah tertelan. Saya memang mengkagumi tulisan sdr yang ramai tidak kenal tuannya itu. Kalau tidak salah saya, beberapa penulisan di Laman Mahazalim Asal adalah antara sentuhan berbisa pena sdr :) Malah kita mungkin pernah bersama....? - Editor]

TERENGGANU TIDAK MEMERLUKAN ROYALTI MINYAK UNTUK TERUS BERNAFAS

Sungguhpun Kerajaan Pusat di bawah pemimpin autoritarian Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk tidak lagi menyalurkan wang royalti minyak kepada Terengganu baru-baru ini, namun perkiraan cetek politik Mahathir itu tidak banyak yang boleh membantu mengembalikan sokongan dan dokongan rakyat, khasnya orang-orang Melayu terhadap UMNo dan Barisan Nasional. Perkiraan Mahathir dalam soal royalti minyak dengan membatalkan perjanjian yang dibuat oleh Petronas dan kerajaan Terengganu itu tidak ubah seperti tindakan pesakit mental yang mengamuk kerana hajatnya nak kahwin tidak dipenuhi. Politik dendam kesumat dengan menjadikan rakyat yang tidak berdosa sebagai mangsa itu sebenarnya akan mempercepatkan proses ?hapus-nisasi? (istilah saya sendiri yang mudah difahami) saki baki UMNo yang sedang nazak menunggu ajalnya yang sudah di kerongkong itu.

Menghadapi tindakan zalim dan tidak bertamaddun politik Diktator Mahathir itu, saya berharap kerajaan Terengganu akan mengambil beberapa alternatif lain untuk mendapatkan sumber hasil kerajaan. Dengan ketiadaan wang royalti tidak dinafikan bahawa agak sulit untuk mengurus sebuah negeri seperti Terengganu itu. Keadaannya seperti negeri yang dilanda perang, terpaksa mengikat perut kerana mahu berjimat cermat. Tetapi jika Kelantan mampu bertahan sehingga tiga penggal pilihanraya dalam keadaan tiadapun sumber royalti seperti Terengganu dulu, masakan Terengganu sekarang selepas ditarikbalik wang tersebut tidak dapat bertahan ?

Malah saya cukup yakin dengan rahmat dan berkat yang diberikan Allah, kerajaan pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi mampu meneruskan projek-projek untuk kepentingan rakyat jelata. Saya yakin bahawa Allah pasti akan memberikan rezekiNYa kepada Terengganu dari ?arah yang tidak disangka-sangka?. Namun sebagai manusia, kita kenalah berusaha dan berikhtiar untuk memperolehinya.

Saya tahu negeri Terengganu merupakan sebuah negeri yang masih kaya dengan sumber alamnya sendiri. Di zaman Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar dahulu, sumber kekayaan tersebut tidak dieksploitasi dengan sepenuhnya kerana beliau hanya mengharapkan sumber kekayaan daripada royalti minyak semata-mata. Pendapatan negeri daripada sumber pembalakan dan galian kurang ditekankan, malah kedapatan sumber galian tertentu yang tidak dieksploitasi dengan sebaik mungkin kerana ?kebodohan? Wan Mokhtar dalam mengurus negeri. Yang dia tahu cuma menambak tebing Sungai Telemong untuk menghalang hakisan kepada tanah milik isterinya itu.

BEBERAPA ALTERNATIF PENDAPATAN KEKAL UNTUK TERENGGANU

1. Premium Tanah Industri

Dalam tulisan saya yang boleh dibaca di http://tranung.com/berita9/cucu10.htm pada 10 September lepas, saya telah mencadangkan kepada kerajaan pimpinan ?Ayah Chik? itu supaya mengkaji akan kemungkinan menaikkan cukai premium tanah di kawasan perindustrian Petronas di Kertih . Oleh kerana bidang kuasa ke atas tanah merupakan hak kerajaan negeri, maka Petronas wajar dituntut supaya membayar sejumlah wang yang menyamai 5 % daripada nilai jualan minyak dan gas aslinya, atas kadar penggunaan setiap kaki ruang tanah yang menempatkan segala kemudahkan infrastruktur dan logistik minyak di Kemaman tersebut. Jika dirasakan kadar 5 % tersebut agak tinggi, ianya bolehlah dirundingkan antara kedua belah pihak dengan saksama.

Akibat pembayaran ini, Petronas tidak diperlukan lagi untuk menyumbangkan apa-apa bayaran yang selain daripada bayaran premium tanah tersebut. Maka wang royalti 5 % selama ini itu bolehlah diberikan terus kepada Mahathir untuk membail-out syarikat-syarikat Mirzan dan Mokhzani yang kini kembali sakit dan demam itu. Dengan kata lain, hasil petroleum kini dimiliki sepenuhnya 100 % oleh Kerajaan Pusat. Saya rasa kena perlu ada satu dimensi baru dalam takrifan sumbangan Petronas akibat penggunaan tanah milik negeri Terengganu tersebut dan ini hendaklah bermula pada awal Tahun Kewangan 2001.

Selain Petronas, di Kemaman dipenuhi dengan pelbagai kilang-kilang perindustrian yang beroperasi hasil daripada pembuatan berasaskan sumber petroleum tadi. Kilang-kilang tersebut menempatkan beribu-ribu hektar keluasan tanah untuk bangunan-bangunannya. Pemilik-pemilik kilang wajar dimaklumkan akan peraturan baru kenaikan premium tersebut dan mereka seharusnya memahami situasi yang dialami oleh kerajaan negeri sekarang. Saya tidak fikir dasar baru ini akan menjejaskan niat pelaburan para pelabur asing dan tempatan kerana ia lebih berupa ?imbalan? akibat penggunaan tanah semata-mata dan mereka juga perlu sedar bahawa harga tanah di Terengganu masih jauh terlebih murah berbanding dengan tanah-tanah industri di Selangor, Johor dan sebagainya.

Berhubung dengan premium tanah industri ini, suka saya menambah bahawa kerajaan Terengganu juga wajar menaikkan premium tanah kepada syarikat-syarikat dan kilang yang dimiliki oleh Kerajaan Pusat atau kepentingannya dimiliki sebahagiannya oleh Kerajaan Pusat atau para kroninya. Misalnya kilang NST di Ajil dan Utusan Melayu di Gong Badak. Mereka ini wajar dipaksa membayar cukai premium tanah yang lebih tinggi kerana kepentingan Kerajaan Pusat di dalamnya ataupun dimiliki oleh kroni-korni Mahathir sendiri.

Selain itu, mana-mana tapak bagi projek yang ingin dimajukan oleh Kerajaan Pusat di bawah kelolaan JPP yang baru ditubuhkan itu wajar dikenakan ?taksiran khas? cukai premium tanah atau bangunan sejajar dengan fungsi mereka yang mengkhianati kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat.

2. Eksploitasi Optima Sumber Galian

Terengganu merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber galian bawah tanahnya seperti emas, bijih besi, amang dan timah. Kawasan di sekitar geografi Marang -Wakaf Tapai- Cendering merupakan segitiga ?emas? yang menyimpan banyak kekayaan emas yang masih belum diterokai. Ketika negara heboh dengan penemuan emas di Lubuk Mandi beberapa tahun dahulu, tumpuan hanyalah diberikan kepada kawasan sekitar itu sahaja. Hasil pengalaman orangtua saya sebagai ?orang lama? dalam sumber galian dan pembalakan di Terengganu, beberapa tempat tertentu di kawasan yang saya sebutkan tadi mengandungi logam emas dan amang yang banyak untuk diterokai. Pendapat saya ini meskipun tidak berdasarkan fakta-fakta yang tepat disebabkan ?halangan? semasa Wan Mokhtar dahulu, tapi saya percaya logam-logam berkenaan masih tersimpan di situ, Insya Allah.

Di kawasan Ajil misalnya, logam amang yang digunakan dalam pembuatan cat meskipun telah diterokai secara agak meluas, tetapi ianya dipercayai masih ?bersambung? sehingga ke kawasan Bukit Payung Kuala Terengganu, yang masih belum diterokai. Di beberapa buah gunung di sekitar Empangan Kenyir dan bersempadan dengan negeri Kelantan dipercayai mengandungi logam emas yang agak banyak selain daripada batu-batu permata yang bermutu tinggi (selain dari di Besut). Di sekitar Bukit Keratan dan Bukit Kancil Hulu Terengganu juga dipercayai mengandungi logam berharga yang masih belum diketahui nilai dan potensinya. Corak bentuk mukabumi di kawasan-kawasan tersebut memungkinkan logam-logam tersebut boleh diterokai dengan lebih optima sebagai sumber penting hasil negeri Terengganu. Jabatan Tanah dan Galian Terengganu hendaklah melipatkan gandakan usaha-usaha meneroka kawasan-kawasan berpotensi tersebut secepat mungkin supaya hasilnya cepat diperolehi. Saya percaya jika segala sumber galian tersebut dieksploitasi, pendapatan berpuluh-puluh juta setahun mampu diperolehi oleh kerajaan Terengganu. Selain itu, di kawasan antara Marang-Wakaf Tapai-Bukit Payung juga masih kaya dengan bukit-bukit batu kuari yang boleh diterokai untuk industri pembinaan jalanraya.

(Mungkin kerajaan Terengganu boleh menjimatkan duit untuk membina lebuhraya nanti dengan menggunakan batu kuari sendiri? hehehheehehe ? bergurau aje). Premium yang berpatutan hendaklah dikenakan untuk industri-industri galian ini.

3. Sumber Pembalakan

Ketika Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar Terengganu, kedapatan beribu-ribu hektar hutan balak KSK (kawasan sudah kerja) yang masih kaya dengan kayu-kayu balak di kawasan KETENGAH dimana sebahagian besar daripadanya telah dikebas oleh kroni-kroni beliau. Oleh kerana KETENGAH merupakan sebuah kawasan yang agak luas, sumber balak masih lagi banyak di kawasan tersebut. Selain itu, di kawasan Bukit Bauk Dungun, adalah merupakan kawasan hutan dara yang masih tidak terusik sebahagian besar daripadanya. Sumber balak juga masih belum diterokai sepenuhnya di beberapa buah gunung berhampiran sempadan Kelantan dan Empangan Kenyir serta sempadan Perak. Berdasarkan jumlah balak yang masih banyak itu, kutipan premium hendaklah dinaikkan ke suatu kadar yang bersesuaian sebagai sumber penting pendapatan negeri.

4. Industri Sutera

Terengganu merupakan negeri pengeluar sutera terbesar di negara ini. Kawasan penternakan sutera Ajil walaupun telah berjalan lama tetapi masih tidak dikembangkan seoptima mungkin. Sutera yang dihasilkan oleh Terengganu merupakan sutera asli yang bermutu tinggi. Kerajaan Terengganu dicadangkan mengambil peluang daripada industri ini dengan membuat pengembangan operasi dengan lebih komprehnesif. Saiz ladang ternakan dan tanaman makanan ulat sutera hendaklah dilipatgandakan seberapa yang boleh. Kawasan-kawasan terbiar di sekitar beberapa buah bukit di kawasan Ajil itu hendaklah dibangunkan dengan industri ini secara lebih meluas. Lokasi tanaman dan ternakan hendaklah diperluaskan ke lain-lain daerah dengan memberikan galakan dan insentif tertentu seperti penggunaan tanah kerajaan secara percuma atau sewa murah untuk rakyat mengusahakan industri ini.

Selain itu, hasil industri seperti kain sutera dan seumpamanya hendaklah dinaikkan cukainya kerana sutera merupakan barangan mewah yang tidak diperlukan oleh rakyat marhaen. Ianya untuk kegunaan orang-orang kaya yang mempunyai wang yang banyak dan mampu membelinya sekalipun dengan harga yang mahal. Hasil pembuatan daripada industri ini juga mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri Terengganu dan boleh menjana pendapatan yang besar kepada hasil negeri.

5. Industri Limau Madu

Di zaman Wan Mokhtar menjadi MB, hanya segelintir rakyat yang mengusahakan industri tanaman limau madu bermutu tinggi di sekitar Bukit Payung dan Ajil/Jerangau. Tanaman limau madu mendapat sambutan yang tinggi bukan sahaja di dalam Terengganu tetapi juga di luar Terengganu kerana rasanya yang lazat itu. Kerajaan Terengganu disarankan menjadikan industri ini sebagai sumber pendapatan penting dengan memperluaskan kawasaan penanaman di semua daerah di Terengganu.

Antara kawasan tanah yang sesuai dengan tanaman limau madu ini ialah antara Ajil hingga ke Dungun, selain dari kawasan Bukit Payung. Beberapa kawasan di Besut juga mempunyai tanah jenis yang sesuai dengan pokok limau ini. Jika dibangunkan secara komersil, saya percaya hasil limau madu ini mampu memberikan pulangan berjuta-juta ringgit kepada negeri. Kejayaan Thailand menguasai industri buah-buahan tempatan wajar dijadikan contoh.

6. Industri Ternakan Berkelompok

Industri penternakan lembu daging, tenusu, kambing, biri-biri, rusa dan burung unta masih teramat kecil di Terengganu. Dengan keluasan geografi dan tanah-tanahnya yang subur itu, kerjaaan Terengganu disaran agar menjadikan industri ternakan berkelompok ini sebagai sumber penting pendapatan negeri. Penternakan lembu daging dan susu di Tersat yang dulunya begitu gah, hendaklah dibangunkan semula secara agresif. Keluasan kawasan hendaklah ditingkatkan secara lebih meluas meliputi keseluruhan daerah. Kejayaan beberapa buah negeri di Australia memajukan industri ternakan lembu ini wajar dijadikan contoh dimana sumber pendapatan kekal negeri diperolehi secara lebih spesifik. Budaya Mat Salleh yang gemarkan ladang lembu hendaklah dipupuk di kalangan rakyat Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri. Potensi ternakan lembu sedia ada yang dibangunkan sejak sekian lama di Tersat itu hendaklah diberi nafas baru yang mampu menjana pendapatan besar kepada kerajaan negeri.

Daging rusa yang agak mahal harganya itu sewajarnya membuka minat penduduk Terengganu untuk memulakan industri ini secara lebih komprehensif. Setakat ini saya lihat hanya beberapa buah negeri seperti Negeri Sembilan dan Sabah sahaja yang menternak rusa secara komersil. Terengganu patut menceburi industri berpotensi ini secara lebih meluas dan berani.

Berdasarkan alternatif-alternatif sumber pendapatan negeri yang dinyatakan di atas, iaitu gabungan antara hasil industri (premium tanah), premium hasil galian dan hasil pertanian (premium balak dll) dirasakan mampu menyumbangkan hasil pendapatan yang besar kepada negeri Terengganu, sekalipun tidak dapat menyamai hasil kontan wang royalti minyak selama ini. Dianggarkan sumber -sumber tersebut mampu mendatangkan pulangan hasil antara RM200 - 250 juta setahun kepada negeri Terengganu jika dieksploitasi sepenuhnya (mungkin tidak termasuk hasil premium tanah industri kelak).

Ini tidak termasuk hasil sumbangan sektor perlancongan yang dijangka turut menyumbang pendapatan yang banyak, terutama selepas PAS mengambilalih pemerintahan negeri Terengganu tersebut. Kejayaan Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein bertahan daripada sekatan ekonomi selama lebih 10 tahun wajar menyuntik semangat rakyat Terengganu untuk sama-sama memikirkan alternatif terbaik mencari sumber hasil yang pelbagai daripada lain-lain punca yang berpotensi. Jika Iraq boleh bertahan sebegitu lama tanpa hasil petroleumnya, masakan Terengganu tidak boleh melakukan perkara yang sama ?

Malah kejayaan dan ketahanan yang bakal diperlihatkan oleh kerajaan Terengganu dalam masa 4 -5 tahun akan datang sudah pasti akan lebih meyakinkan rakyat seluruhnya. Yang penting, ianya pasti akan menjadi ?boomerang? kepada Barisan Nasional tentang bagaimana jika sekiranya sesebuah kerajaan itu ditadbirkan secara telus dan amanah, dengan keterbatasan hasil pendapatan pun masih dapat mengurus dengan berkesan. Dan ini sudah pasti akan membuka mata rakyat untuk terus memberikan undi padu mereka kepada BA dalam pilihanraya akan datang. Jika ?Malaysia Boleh? (slogan BN), maka PAS juga Boleh ! Jika PAS boleh mentadbir Terengganu dengan cemerlang tanpa hasil minyak sekalipun, saya cukup yakin bahawa selepas itu akan berduyun-duyunlah orang-orang UMNo yang gila, separuh gila dan pening-pening lalat menyertai atau menyokong PAS dalam pilihanraya 2004 nanti. Hanya si buta dan si pekak sahajalah yg mungkin masih mahu ?hidup dan mati kerana UMNo?.

Jadi saya merasakan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak ?memerlukan? duit royalti minyak Mahathir untuk terus bernafas kerana sumber kekayaan negeri itu apabila diterokai sebaik mungkin nanti mampu membisukan lidah Mahathir daripada terus menyangka yang Terengganu di bawah PAS tidak akan hidup lama tanpa wang minyak !!

Cucu Datuk Bahaman
23 Oktober 2000