Laman Webantu   KM2A1: 3043 File Size: 6.4 Kb *



AM: Mesti baca - Skandal & Khabar Angin Politik
By Kapal Berita

21/10/2000 8:17 pm Sat

Sumber: http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=1&num=586

Skandal & Khabar Angin Politik
(18/10/00)

Oleh Rozaid Rahman

Majlis Tertinggi (MT) Umno telah bersidang Isnin lalu (16 Oktober), dan ia merupakan antara yang paling panjang sepanjang tahun ini. Lebih empat jam para pemimpin parti dan pembuat dasar Umno itu mengurungkan diri mereka di tingkat 39, Menara Dato Onn, PWTC. Agendanya sudah pastilah penting, iaitu membicarakan cadangan- cadangan pindaan ke atas perlembagaan parti tersebut. Malah kedinginan penghawa dingin PWTC yang memang terkenal kesejukkannya itu ternyata masih gagal mengekang kehangatan ahli-ahli MT daripada berbicara tentang masa depan parti mereka.

Di luar sana, para wartawan pun turut membicarakan agenda mereka sendiri. Bukanlah menjadi niat mereka untuk membicarakan tentang gosip, khabar angin mahupun teka-teki ahli politik yang tak pernah terjawab itu, tapi mereka perlu berbuat demikian untuk menghabiskan sisa-sisa waktu yang terbuang. Seorang wartawan tua pernah berkata, sekiranya seorang wartawan itu telah bekerja 10 tahun, dia sebenarnya hanya benar-benar bekerja dua tahun sahaja. Baki lapan tahun lagi adalah masa yang terbuang menanti untuk mendapatkan berita. Tragis bukan? Jadi, wartawan perlu sentiasa berbicara demi mengisi masa lapang mereka yang terbuang. Bayangkan, mereka tidak dapat ke mana- mana sementara menanti mesyuarat MT berakhir.

Salah satu isu yang menjadi bualan hangat pada hari itu di kalangan para wartawan dan juga orang Umno ialah tentang khabar angin mengenai satu lagi skandal seks yang melibatkan dua orang pemimpin besar negeri. Belum reda dengan isu peletakan jawatan Abu Hassan Omar sebagai menteri besar Selangor, muncul pula satu lagi berita terbaru. Percakapan mengenai isu ini begitu hangat diperkatakan hingga ia menenggelamkan isu pindaan perlembagaan yang sedang rancak dibincangkan di bilik mesyuarat MT Umno.

Ramai ahli politik dan pegawai-pegawai menteri turut serta membicarakan isu ini. Kononnya pihak-pihak tertentu telah berjaya memujuk wanita yang terlibat dengan skandal itu supaya membuat pengakuannya dalam bentuk pita rakaman video untuk dijadikan bahan bukti. Manakala dalam satu lagi kes yang turut melibatkan seorang lagi pemimpin negeri, wanita berkenaan telah pun melahirkan anak.

AgendaMalaysia kemudiannya diberitahu oleh seorang pemimpin politik (yang minta namanya dirahsiakan) bahawa pihak pembangkang telah berjaya memperolehi pengakuan secara rakaman video daripada seorang wanita yang mendakwa terlibat dengan skandal ini. Kononnya, di dalam pengakuan tersebut, wanita itu mendedahkan bahawa dia telah terlibat dengan skandal ini sejak berusia 16 tahun lagi. Kini dia telah pun berusia 20 tahun.

Seorang wartawan tiba-tiba berkata bahawa beliau telah mengikuti program ceramah politik pembangkang di Tambun Tulang, Perlis. Pada ceramah itu, seorang pemimpin pembangkang secara terang-terangan mengakui bahawa mereka memiliki bukti serta dokumen yang lengkap mengenai skandal seks yang melibatkan seorang pemimpin negeri dengan gadis bawah umur.

Jika pihak pembangkang begitu yakin bahawa mereka memiliki bukti yang kukuh berhubung dakwaan tersebut, tidak mustahil, dua buah negeri lagi akan berhadapan dengan krisis politik yang berpanjangan. Melihat kepada apa yang telah terjadi di Selangor setelah Azmin Ali dan Dr Hassan Ali - dua orang ahli yang berhormat - yang membawa isu Abu Hassan ke dalam dewan undangan negeri sehingga membawa kepada kejatuhannya, barang kali kita akhirnya tidak mampu menyalahkan gosip dan khabar angin.

Mereka yang dikaitkan dengan khabar angin dan gosip seperti ini tidak pernah berani ke hadapan menceritakan hal yang sebenarnya atau mencabar kesahihannya. Sehingga ke hari ini orang masih ragu-ragu dengan penjelasan Abu Hassan bahawa pengundurannya adalah di sebabkan 'masalah kesihatan'. Isunya masih diselubungi dengan misteri dan tak pernah terjawab sepenuhnya. Tapi orang Melayu dengan sifat kemaafannya mudah melupakan peristiwa lalu dan atas sifat-sifat keMelayuannnya juga lebih cenderung untuk melupakan perkara yang sebenarnya kerana, "Buat apa bising-bising - dia dah tak ada di situ lagi dah..."

Maka itu, salahkah jika ada yang berkata, bagi mereka yang dikaitkan dengan skandal yang seperti ini hanya mengemari lelucon mereka sendiri. Mereka merasakan diri mereka kebal dan dilindungi. Dulu kita pernah diimpikan dengan sejuta harapan bahawa negara ini adalah jambatan emas ke arah masyarakat yang terpimpin, adil, bersih dan makmur.

Untuk seketika ia kelihatan begitu. Kita seolah-olah meletakkan harapan yang begitu menggunung di bahu pemimpin. Tapi sekarang, dengan segera kita tahu ada yang salah dalam metafor itu. Ternyata jambatan itu adalah sebuah binaan yang dibangunkan tanpa ketelusan. Tanpa konkrit yang kukuh. Ia adalah konkrit yang rapuh dan akan menjunam menerjah bumi dan membikin lubang-lubang yang mengangga seperti liang lahat yang pacak. Ada bau bangkai; ada bau kegagalan; ada jejak yang tersesat dan ada bayang-bayang hitam yang tak akan henti menghantui diri yang terhambat.

Sebenarnya, ada sesuatu dalam diri kita yang tak pernah terbongkar. Kita sering mendengar suara yang meronta-ronta mahu keluar dari kepura-puraan ini tapi kita ragu, apakah kita punya banyak pilihan. Kita cuba untuk tidak percaya hal ehwal yang merundung diri kita dan pura-pura berlagak seperti segala-galanya berjalan lancar. Kita bermain kucing-kucingan (hide and seek).Tapi kita sering lupa bahawa untuk berkata 'tidak apa' adalah jalan pintas yang tidak sah. Kerana kita adalah pemimpin dan pemimpin adalah bertanggungjawab di atas bukan sahaja perbuatannya tetapi perbuatan mereka yang dipimpinnya.