Laman Webantu   KM2A1: 2990 File Size: 19.7 Kb *



Siri 3 YTDT: Antara Yang Terbang Dan Yang Melayang
By Marhain Tua

13/10/2000 6:18 am Fri

Siri YTDT: Yang Terbang dan Terbengkalai Bab: 3


YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

ANTARA YANG TERBANG DAN YANG MELAYANG


Rakyat marhaen di Malaysia tentu terkejut mendengarkan berita Mahathir bin Mohammad pergi ke Bosnia Herzegovina. Memang, dia telah berlepas daripada London selepas berucap kepada sekitar 450 pelajar Malaysia dan masyarakat Cambridge mengenai masadepan Malaysia, seolah-olah menyatakan betapa dia ataupun UMNO akan masih berkuasa ketika itu. Para pembaca laman reformasi tentu masih ingat akan nama 'Muthiah' yang beralamat di Cambridge satu masa dulu yang telah memeperlekehkan Bangsa Melayu. Sayangnya, tidak ada satu berita pun mengenai insan ini ketika Mahathir berada di alamatnya itu.


Di Bosnia Herzegovina, Mahathir telah membuat pengumuman betapa hubungan dagang di antara ke dua negara itu akan dipertingkatkan. Dia telah membuat kenyataan betapa Malaysia kini berada dalam satu kedudukan yang lebih baik untuk bekerjasama dengan Bosnia dalam perdagangan dan juga dalam bidang lain. Mengikutnya seperti yang dilapurkan oleh akhbar:

"Di dalam perbincangan kami, kami telah mengenal-pasti syarikat-syarikat yang akan terbabit dalam kerjasama bilateral ini." Demikianlah yang diberitahu kepada wartawan sebaik sahaja beliau selesai berbincang dengan President Bosnia yang akan bersara; Alija Izetbegovic.

Dr. Mahathir juga mahukan beberapa syarikat Yugoslav yang dulunya pernah terlibat dalam kerja pembinaan di Malaysia sebelum tercetusnya Peperangan Balkan itu, untuk datang semula ke Malaysia dan menjadi aktif kembali dalam program usahasama dengan syarikat tempatan (siapa punya agaknya?).

Dalam sidang akhbar itu Izetbegovic telah menyatakan betapa Mahathir "adalah seorang sahabat akrab rakyat Bosnia Herzogovina sebelum dan selepas peperangan."

Di majlis bersama wartawan itu Dr. Mahathir telah memberikan sumbangan chek bernilai RM200,000 sebagai derma rakyat Malaysia kepada penduduk Srebenica yang satu ketika dulu teruk diganyang oleh musuh yang anti Islam. Satu lagi cek sumbangan Bosnian Action Front di Malaysia telah dihadiahkan kepada Imam Masjid Stratgad untuk tujuan pemulihan bangunan. Sebelum meninggalkan Bosnia "untuk kembali ke Malaysia" beliau telah memberi satu syarahan kepada sekumpulan 80 orang hadirin di Universiti Sarajevo.

Sekali pandang memanglah kita akui Malaysia merupakan sebuah negara yang kerap menderma kepada negara luar yang kesempitan hidupnya. Satu ketika dulu bermacam-maam jenis kutipan derma yagn telah dilakukan di negara ini atas nama peri-kemanusian. Tetapi, untuk melakukan apa yang baru sahaja dilakukan oleh Mahathir, tentunya memerlukan satu penelitian kita rakyat Malaysia secara bersama. Soalnya sekarang apakah kita mampu melabur lagi di luar negara terutama di sebuah negara yang belum tentu lagi akan ketenteraman dan kestabilan poltiknya.


Soal yang paling menonjol sekarang, kenapakah Mahathir amat mudah bersimpati dengan orang Bosnia Herzegovina sehingga mahu menghidupkan kembali pertalian dagang yang lama sudah terbengakalai. Sehinggakan sudah bersedia mengenal pasti syarikat di Malaysia yang akan terbabit di situ. Kalau ia pun kenapakah tidak diberitahu nama-nama syarikat itu?

Kita sedar, setiap kali ada projek usahasama di antara syarikat Malaysia dengan syarikat asing di negara mereka ia membabitkan penggunaan wang yang banyak yang diperdapatkan daripada bank. Wang siapakah itu? Mungkin juga ada syarikat yang tidak memerlukan pinjaman bank. Tetapi mengeluarkan surat cagaran seperti 'promissory notes' yang akan dijual di pasaran BSKL untuk mendapatkan wang daripada pasaran Malaysia juga. Pada lazimnya setiap kali surat cagaran seperti ini dikemukakan, semua institusi kerajaan akan digembeling untuk membelinya sehinggakan ia dapat menyaran orang ramai sebagai pelabur runcit untuk ikut serta. Putar-belit perniagaan yang ditaja oleh Mahathir seperti ini memang bukannya baru. Kita sudah lihat sejak dulu lagi mungkin tidak sampai seribu MOU yang ditandatangani yang mampu menaikkan saham syarikat tertentu di BSKL. Namun, tidak lama kemudian, MOU yang dihadiri oleh Mahathir ataupun Daim itu tinggal hanya kertas kosong yang tidak ada erti apa-apa. Dalam kisah Bosnia Herzegovina ini kita dapat menjangkakan majlis tandatangani MOU dan apa juga perjanjian akan pasti dilaksanakan di minggu bersidangnya UMNO di Kuala Lumpur bulan hadapan. Inilah kerja Mahathir dan juga beberapa jongos terulungnya dalam mengabui minda rakyat di negara ini. Sejak puluhan syarikat yang melabur di negara asing dengan wang rakyat Malaysia, berapa banyakkah yang sudah berjaya?


Yang Terbang Memang Pandai Melayang

Ketika di London dan diwawancara oleh Financial Times, Mahathir ada menyebut betapa orang Melayu itu tidak mengerti nilai wang ringgit. Katanya, orang Melayu itu adalah sama dengan rakyat negara komunis dan tidak tahu apa ertinya modal ataupun 'capital'. Kerana itu orang Melayu mengikut tafsiran Mahathir adalah mereka yang hanya pandai berbelanja sakan dan membeli apa yang mereka mahu tanpa memikirkan setiap wang modal adalah untuk perniagaan. Demikianlah hinanya orang Melayu di Malaysia oleh seorang Melayu kacokan yang mempunyai ibunya berdarah Melayu dan isterinya daripada keluarga Melayu jati. Dia sanggup membuat pendedahan itu di negara orang dan bersedia untuk seluruh dunia membaca wawancara itu di mana Bangsa Melayu itu dihinakannya.

Kini, Mahathir mahu berdagang semula dengan Bosnia Herzegovina. Siapakah yang akan dijadikan rakan usahasama itu kalau bukannya golongan bangsa yang satu ketika dulu merupakan penganut fahaman Komunis yang totok? Apakah keputusan Mahathir berniaga dengan orang-orang Bosnia Herzegovina itu satu penderaan daripada Allah Swt. Kerana keceluparannya di London itu sehinggakan kini Allah mahu menutup matanya dan hatinya terhadap siapakah orang Bosnia Herzegovina itu sebenarnya? Apakah dia lupa bagaimana orang Russia yang berjaya menerima pinjaman Bank Dunia telah menyonglap hampir semua wang itu ketika negara itu dipimpin oleh Boris Yeltsin?


Rakyat marhaen, terutama pengikut UMNO, tentu masih ingat apa kata Mahathir mengenai rencananya untuk memberikan tumpuan kepada masalah parti. Apakah dengan menentukan siapa yang akan berdagang di Bosnia Herzvogina merupakan salah satu agenda beliau memperbetulkan parti? Apakah dengan termetrainya beberapa perjanjian di Bosnia Herzevogina itu nanti terdapat satu ribu syarikat kecil melayu yang akan berniaga di rantau Balkan itu? Apakah itu merupakan satu titik tolak di mana para usahawan yang menganggotai UMNO memasukki dunia dagang dalam era IT ini?

Apa yang berlaku kini adalah satu penipuan lagi. Mahathir akan menggunakan pencapaian matlamatnya di Bosnia Herzegovina itu sebagai satu topeng untuk mengabui orang Melayu sekali lagi. Dia sudah tidak mampu menganjurkan usahasama perdangangan di Afrika kerana tidak ada lagi tempat yang sesuai yang boleh menerima MOU palsu tajaan Mahathir-Daim-Rafidah itu. Lantas Bosnia-Herzogevina terpilih sebagai lapangan terbang alternatif untuk menerima pesawat Mahathir yang sedang kecemasan. Cuba kita fikirkan baik-baik; setiap kali sesebuah negara itu memasuki era pemulihan daripada satu tempoh peperangan yang panjang, kerja-kerja baik pulih negara itu akan menjadi satu agenda besar WHO, Bank dunia dan IMF dan juga negara maju dalam G-7. Segala kerja-kerja asas di bahagian tapak pemulihan itu selalunya akan dikendalikan oleh golongan yang satu ketika dulu bergelar 'Panglima Perang -The Warlords'. Takrif ini memang diperakui oleh setiap professional yang bertugas di bawah panji-panji PBB.

Suasana yang digambarkan di atas adalah fenomena yang berlaku dan berulang di mana-mana negara yang mahu memulihkan keadaan perang yang baru tamat. Malahan inilah juga suasana dan iklim pelaburan yang dihadapi oleh kerajaan Moscow setelah berlakunya perpecahan kepada Gagasan USSR dulu. Keadaan tidak stabil terus berlaku sehingga kini di Moscow kerana para petugas yang terkenal sebagai kumpulan KGV kini menjadi samseng yang menggugat sebarang usaha yang mahu dilaksanakan oleh pelabur asing. Pengaruh bajingan ala Mafia di Itali, Triad di Hongkong dan Oyobun-Yakuza di Jepun sudah menghantui masyarakat niaga di Moscow dan apa yang merupakan sakibaki Russia itu. Perkara yang sama tentu akan berlaku di Bosnia Herzegovina.


Kita mahu bertanya kepada Mahathir, kenapakah beliau sungguh gigih mahukan usahasama dengan negara Balkan itu sedangkan kita belum mendengar lagi rencana Bank Dunia dan IMF malahan rencana European community yang lebih kaya dan lebih berpengaruh di sana? Apakah kehadiran tentera NATO selama ini di tempat itu tidak memungkinkan satu jaringan maklumat yang difahami oeh semua negara EEC? Apakah pentingnya perusahan di Bosnia-Herzegovina itu sehinggakan ia mampu meminggirkan beberapa projek yang lebih baik kesannya di Malaysia ini?

Adalah diharapkan pembaca yang mengikuti siri penulisan ini akan nampak tipu muslihat Mahathir dalam hal ini. Nampak sangat dia sudah semakin sewel kalaulah projek di Bosnia-Herzegovina itu mahu diteruskannya. Sepatutnya tempoh penghujung tahun 2000 ini digunakannya untuk melihat secara dekat akan masalah negara ini dan segala kesulitan yang dihadapai oleh rakyat marhaen di negara ini. Bukannya masalah orang Bosnia Hezegovina kerana orang-orang itu bukannya rakyat Malaysia. Mahathir tidak akan mendapat sebarang 'political mileage' baik daripada dalam negara ataupun di tahap antarabangsa dengan usahanya untuk memperbaikki keadaan hidup orang Bosnia Herzegovina itu.


Rakyat Malaysia yang Semakin Tertekan

Minggu yang lalu saya ada menulis mengenai keyakinan menteri-menteri kabinet Mahathir yang mahu melancarkan program memantau agar barangan dalam negara tidak dinaikkan bersabit dengan kenaikan harga minyak. Kita boleh buka balik akhbar lama minggu yang lalu betapa angkuhnya semua menteri kabinet mengenai pemantauan barangan itu. Reaksi saya dalam hal itu adalah pendek sahaja ketika itu ; 'Jauh Panggang Daripada Api'. Kini, harga barangan sudah naik melambung sehingga empat puluh persen. BAGAIMANAKAH AGAKNYA Mahathir mahu menyelesaikan perkara ini? Apakah masalah rakyat mengenai kenaikan harga barangan yang secara mendadak ini tidak penting lagi kepada Mahathir? Apakah masalah rakyat Bosnia yang baru pulih daripada peperangan lebih penting kepada Mahathir? Apakah dia mahu dikenali pula dan menerima gelaran Wira Balkan?

Kegagalan Mahathir memahami masalah dan tekanan hidup yang ditanggungi oleh rakyat marhaen sekarang ini merupakan kelemahan kepimpinannya selama ini yang sanggup diterima oleh rakyat. Lebih lapan belas tahun Mahathir berkuasa dalam era poltik Melayu, dia mampu membuat rakyat toleran kepada taktik kepimpinannya, sehinggakan sebilangan besar rakyat marhaen sanggup menelan air liur kebencian terhadapnya setelah mendengar penjelasan yang keluar daripad bibirnya. Selama ini Mahathir berbelanja sakan sedangkan keadaan hidup rakyat masih lagi di takuk lama, rakyat mampu juga tersenyum kepadanya. Kos pendidikan naik melambung tinggi dan kos pengangkutan terus naik lagi, malahan biaya tol tidak pernah diturunkan; rakyat masih akur lagi. Kini, kos barang makan naik lebih empat puluh persen, rakyat masih akur lagi. Sikap toleran ini adalah berputik kepada saranan Mahathir dan juga pemimpin UMNO yang kerap mengulangkan kata-kata 'Perjuangan dan Pengorbanan' yang dimestikan kepada orang Melayu seperti apa yang dilaungkan oleh pejuang Melayu di zaman dulu.


Perjuangan yang Menyimpang

Selama ini rakyat marhaen terutama sekali orang Melayu sanggup terus bersikap setia kepada kepimpianan Mahathir dan UMNO kerana memikirkan perlunya bekorban untuk negara sebagai balasan kepada perjuangan yang disarankan itu. Inilah kesan putaran minda orang Melayu terutamanya yang telah dilaksanakan oleh Mahathir selama ini. Topik 'berjuang' dan 'berkorban' merupakan kemestian setiap kali Mahathir dan pemimpinnya bersemuka dengan rakyat. Perkataan berkorban dan berjuang merupakan dua 'password' (kata-laluan) yang membuatkan rakyat diam membisu. Apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO merupakan satu usaha yang memerlukan rakyat berkorban untuk diam membisu. Apa jadinya?

Sebenarnya, seperti yang pernah saya tulis beberapa kali dulu, 'perjuangan' itu tidak merupakan agenda besar UMNO sebaik sahaja kemerdekaan sudah tercapai. Perkataan 'Perjuangan' hanya merupakan satu kata hikmah untuk mengabui minda orang Melayu yang diputarbelitkan oelh Mahathir sebaik sahaja tercetusnya tragedi Mei 13 1969. Disebabkan putarbelit inilah makanya konsep 'berkorban' itu menjadi satu semangat pengorbanan yang dihayati oleh orang Melayu secara melulu. Contohnya, Mahathir kata negara in sudah aman dan kaya raya. Tetapi, tidak ada sebarang usaha dibuat untuk mengurangkan jumlah polis pengiring dan anggota pelindung keselamtan raja-raja dan perdana menteri. Kalau usaha ini dilakukan tentunya kos yang tinggi itu boleh disalurkan terhadap projek kemasyarakatan.

Kemudian, kita kerap terdengar betapa Malaysia mengungguli ajaran Islam tetapi di setiap istana raja-raja masih ada lagi warga kakitangannya yang menjadi pawang istana. Contoh yang mudah seperti ini menunjukkan betapa kita rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu bersedia membisu dengan apa juga tipu helah Mahathir dan pemimpin UMNO dalam tindakan mereka memerintah. Oleh kerana tipu helah seperti ini makanya orang Melayu sanggup menerima siapa sahaja sebagai pemimpinnya. Contoh terbaik dalam hal ini ialah kisah seorang Timbalan Menteri yang akur dengan panggilan 'Dr. Professor' ketika dia berkempen dalam pemilu sedangkan dia tidak pernah menerima ijazah Phd. Begitu juga dengan seorang menteri yang dulunya dipanggil Drs (Doktorandus) kini sudah bergelar Doctor (Dr.) sahaja. Secara kilasnya perkara seperti ini memang remeh. Tetapi keremehan seperti ini apabila dibiarkan berleluasa membabitkan perkara yang lebih memerrlukan ketelusan dalam pentadbiran. Kerana itu, Taukeh Wong bergelar Tengku Wong, Tukang Jual Batang Penyapu Ting bergelar Tan Sri Ting dan Penjual Insuran-Cashier Tan bergelar Tan Sri Vincent Tan. Semua ini adalah lambang toleransi orang Melayu kerana mereka diajar untuk terus berkorban dan terus berjuang.

Kini, kita lihat negara akan mengharungi satu cabaran yang besar kerana proses globalisasi yang dipersetujui oleh negara majoriti dunia akan melanda Malaysia. Tetapi, apakah kesediaan kita untuk menghadapi cabaran itu? Kita masih lagi diminta berkorban untuk membeli kereta buatan Malaysia misalnya sedangkan kereta itu dijual lebih murah lagi di negara luar. Kalau tidak kerana konsep berkorban itu kita mampu membeli kereta yang lebih baik dan canggih lagi dengan harga yang lebih murah daripada luar negara. Jadinya, pengorbanan yang perlu kita tanggung itu adalah untuk membolehkan Mahathir mencapai idaman perancangannya.

Cuba kita ambil contoh pembikinan enjin kereta terbaru Proton di London. Syarikat yang mengeluarkan enjin baru itu adalah kepunyaan Malaysia sebanyak 80 persen. Yang lagi 20 persen dipegang oleh seorang usahawan barat. Kalau kita mahukan teknologi tercanggih yang terdapat dalam pembelian Syarikat Lotus itu kenapakah tidak dialihkan kilang penyelidikan itu ke Malaysia? Kenapakah masih dikekalkan pusat penyelidikan itu di London di mana kosnya tentu tinggi. Bukankah ini bererti, rakyat Malaysia dimestikan membeli kereta keluaran Proton kerana mahu menyara hidup ratusan orang putih di negara mereka? Apakah ini yang dikatakan pemindahan teknologi? Saya masih ingat lagi cakap-cakap arwah Tan Sri Yahaya Ahmad yang mengatakan pusat penyeldiikan itu akan dialihkan ke Malaysia agar rakyat Malaysia dapat mempelajari teknologi canggih yang ada. Sekarang, siapakah yang menipu siapa pula?

Dalam satu program khas di CNBC baru-baru ini Tan Sri Tengku Mahalil ada menyebut akan program Proton menjadi satu syarikat yang besar berasaskan apa yang ada pada Lotus dan juga pada sebuah firma Amerikan yang baru dibeli oleh Proton. Nampak sangat dia menyuarakan idaman Mahathir dalam program itu. Rakyat Malaysia yang mempunyai kemudahan mengakses laman web dunia tentu merasa terkilan setiap hari apabila mengetahui harga kereta yang setara dengan keluaran Proton. Kebanyakan kereta itu boleh dibeli dengan harga setengah daripada harga yang dikenakan oleh Proton. Malahan kita tahu, di setiap negara yang megeluarkan keretanya sendiri, kereta lama (secondhand) mempunyai harga yang murah. Kerana itu kita boleh membeli kereta potong (bahagian kereta yang dicerai-beraikan) daripada negara pembuat kereta itu dengan harga yang sungguh murah sekali. Tetapi berlainan kepada kelaziman ini, kereta buatan Proton di negara ini mempunyai satu harga yang sungguh tinggi. Ini menunjukkan betapa menyimpangnya idea pembikinan kereta di negara ini kerana selama ini projek itu dilaksanakan tidak mengikut agenda yang dilakar pada mulanya. Ia diubah-suai setiap musim mengikut nafsu nafsi seorang diktator tua. Masih ingatkah anda kisah Proton Saga yang dihantar untuk melepasi kawalan mutu Amerika satu ketika dulu? Apakah ini satu lagi pengorbanan namanya? Kini Amerika dan Jepun sudah mula melancarkan kereta yang mesra alam sedangkan kita masih lagi dengan Proton yang mengikut teknologi lama. Semua ini terpaksa kita tanggungi kerana mahu memuaskan nafsu-nafsi seorang diktator sewel. Akhirnya terpaksalah pembeli puashati dengan 'Perdana' di mana pintu hadapan di sebelah kanan merupakan satu kesan 'designers'-defect', ataupun 'Wira' yang mempunyai pintu letrik yang tidak mudah digunakan kerana 'spare-parts design defects' dan kini WAJA yang tertangguh kerana masalah teknikal lagi seperti cermin depan yang muah dibolosi air-hujan. Terpaksalah kita terus 'berkorban apa saja' nampaknya.


Satu ketika dulu apabila melihatkan burung-burung yang terbang, ramai manusia yang befikir bahawa mereka dilahirkan untuk memerhatikan yang terbang dan melayang di angkasa. Fikiran ini berubah apabila roket dan pesawat terbang dicipta. Berterbanganlah manusia ke merata ceruk dunia dalam pesawat itu tanpa perlu menggunakan kepak dan sayap. Inilah yang membolehkan pemimpin dunia berterbangan sana dan melayang sini untuk menjalankan aktibiti politiknya. Inilah kemudahan yang menjadi satu hobi pula kepada seorang diktator tua yang berdarah kacukan Melayu. Tentu tidak ramai orang Melayu yang menjangkakan (sehingga satu masa yang terlambat) bahawa segala aktibiti yang dilakukannya itu adalah satu proses di mana dia akan terus menipu dan menghina bangsanya - secara terang-terangan dan tanpa segan dan malu.


-Marhaintua-
13 Oktober, 2000