Laman Webantu   KM2A1: 2988 File Size: 3.3 Kb *



Loghat: Petikan Ucapan TG Nik Aziz
By Kapal Berita

12/10/2000 5:44 pm Thu

KOMEN:

Untuk mereka yang kurang mahir loghat Kelantan, sila maklum bahawa

oghe tino = orang perempuan.
oghe jarte = orang laki-laki.

Transkrip di bawah ini adalah bahasa Malaysia, tetapi jika ikut loghat Kelantan ia bukan "betina" tetapi "tino". Jika anda tidak biasa dengan loghat Kelantan anda mungkin merasa hina dengan perkataan "betina".

PETIKAN UCAPAN TG NIK AZIZ

KOTA BHARU, 11 Okt (Hrkh) - Kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung dengan aurat wanita telah disalah fahamkan oleh media pro-BN yang mencari alasan untuk mengutuk PAS.

Berikutan itu, bersama-sama ini adalah sedutan kuliah tersebut untuk membolehkan orang ramai menilai sendiri ucapan itu yang dibuat di Dewan Zulkefli Mohamad di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan pada 6 Oktober lalu.

"ORANG muda kita sekarang bila datang ke bandar pada hari Sabtu, mulalah kita tengok mereka berpakaian seperti menolak Nabi Muhamad SAW dan meniru gaya seperti bintang filem.

Orang muda-muda kita khasnya belia-beliawanis, mulai berpakaian sekerat sehingga menampakkan pusat. Dia rasa cerdik benarlah boleh tiru orang duduk telanjang di Sydney, Australia (Sukan Olimpik baru-baru ini), dengan berpakaian demikian (dedah aurat).

Dia tidak ingat sebagai manusia kita diwajibkan meniru Nabi Muhamad SAW. Nabi Muhamad SAW ajar kepada kita supaya tutup aurat. Kesan pembukaan aurat inilah timbul masalah seperti zina dan sebagainya.

Orang jantan (lelaki) mana, kalau tengok orang betina (perempuan) yang berpakaian nampak pusat, tidak naik syok. Tok Lebai tua pun kalau tengok pusat orang perempuan demikian naik syok juga. Orang panggil, iman Pak Lebai pun boleh bergoyang.

Jadi orang perempuan boleh menjadi fakta penting sebab merebaknya perbuatan (ke arah) zina. Orang perempuan yang bertutup itu pun, orang lelaki yang melihat naik syok juga, kalau tidak naik syok itu, mungkin orang itu pondan.

Tetapi kalau orang yang sempurna tengok orang perempuan tentunya berasa lain. Kucing mana yang tidak mahu kepada ikan tawar bila lihat ia tergolek di dalam pinggan.

Sifat kucing ini kalau tengok ikan dalam saji pun cuba hendak korek. Ini kan pula ikan yang berada di luar. Begitulah manusia pun berkelakuan hampir sama.

Jadi dalam bulan Rejab ini cuba perhatikan anak, cucu, anak beranak dan kawan-kawan kita, biar berpakaian elok sedikit, kalau hendak datang ke Kota Bharu biarlah menutup aurat yang menggambarkan syaksiah kita sebagai seorang muslim.

Kita tunjukkan kita sebagai orang Kelantan yang terkenal dengan buminya dikenali sebagai Serambi Mekah dan Tadahan Wahyu. Malu datuk nenek kita, malu tok lebai kita. Mereka sebelum ini sengaja didik kita menjadi orang baik, tinggal di negeri Serambi Mekah, tiba-tiba kita pula tergelincir, keluar daripada landasan itu dan asyik hendak tiru orang-orang yang tidak berguna di atas dunia ini.

Itu hadirin semua muqadimah pengajian kita, masuk ke dalam bulan Rejab."