Laman Webantu   KM2A1: 2974 File Size: 4.7 Kb *



Nasihat: Menulis Dengan Perasaan
By Penulis Yang Berjurai

10/10/2000 7:17 pm Tue

Saya panjangkan emel ini ke forum ini untuk tatapan pembaca. Ia mengandungi sedikit nasihat yang berguna, khususnya buat buat seorang penulis tanah air yang tercinta.

Surat ini dikirim kepada seorang pejuang yang kurang sihat keadaan badannya semasa ia ditulis.

AWALKATA

Pertamanya saya merasa bersyukur sdr sihat semula untuk bersama keluarga, baik yang terdekat, mahupun yang jauh dari pandangan mata serta tidak dikenal paras rupa.

MENULIS DENGAN PENUH PERASAAN

Secara tidak langsung sdr sudah dapat "membaca" sesuatu daripada tulisan saya tempoh hari. Sdr merasakan saya menulis dengan iringan perasaan. Malah merasa dekat walaupun kita sebenarnya terpisah amat berjauhan. Tetapi ada sesuatu yang mencantumkan dua insan yang berlainan dan tidak berhampiran itu. Kasih dan sayang umat Muhammad (saw) yang sehaluan perjuangan yang di abadikan dalam rangkai kata yang berwajah tulisan tidak mengenal batas mahupun sempadan. Sakit di sana, disini pun merasa. Bukankah itu amat ajaibnya?

MENYELAM SERIBU RASA

Di sinilah terletak beberapa kekuatan pena yang menulis. Kita perlu melukis kisah dengan perasaan. Menyelam rasa dan memamah isi pelbagai pengalaman yang pilu itu dengan penuh perasaan. Kemudian setiap masam dan manisnya itu diluahkan satu-persatu untuk dikirim buat pembaca sebagai satu santapan minda yang penuh dengan pelbagai lauk-pauk dan kuah yang bakal mengukir senyum atau pun duka dibibir sesiapa yang menjamah acuan hidangannya.

MENGERTI MAKNA HIDUP

Adalah amat sukar untuk mengarang kisah pilu dikala kita sedang ketawa dibuai jenaka. Oleh itu kita perlu menghayati setiap kisah yang ada, Bukankah itu nama yang terukir pada nama pena saudara?

Malah nama itu, jika dikaji asal usulnya pula menggambarkan betapa orang "tua"nya yang bertuah itu amat mengharapkan simanjanya itu menjadi seorang insan yang hidup dengan penuh makna, dan menghidupkan tiap sesuatu yang disentuhnya. Setiap kali nama itu disebut, dirasakan suatu semangat nafas baru mencelah dan meredah kesunyian suasana. Bahkan penulis warkah ini juga merasa bertuah dapat berutus dengan insan yang serupa. Kerana banyak manusia hanya kelihatan hidup bermain berkerja, tetapi mereka sebenarnya mati pada hakikatnya.

"Perumpamaan mereka yang mendirikan solat dengan mereka yang meninggalkannya adalah umpama mereka yang hidup dengan mereka yang mati" (hadis)

MENULIS DENGAN PANCA INDERA

Perasaan sahaja tidak cukup untuk melukis satu kisah yang berlalu begitu sahaja. Ia hanya meninggalkan habuk yang mudah menghilang ditiup bayu yang berlalu perlahan. Sebaliknya jika ia diolah dengan kekayaan deria pandangan, ribut yang lalu pun masih belum berkesan. Demikianlah satu gambaran betapa hebatnya lukisan kata yang yang dilakarkan oleh penulis yang melihat nasib bangsa dengan semua panca indera yang ada. Akhirnya pembaca terpegun hingga tidak terkata, hanya air mata menjadi saksi betapa kehibaan yang digambarkan itu sudah menusuk jauh ke dalam jiwa dan raganya.

BILA PENULIS MEMBUKA MATA

Sebenarnya tidak sukar untuk menulis, apatah lagi untuk seorang yang memang malang seperti budak "forest gump". Dia memerlukan kekuatan tetapi ia bukan kuasa fizikal yang terukur dari luar. Sebaliknya ia tersembunyi begitu jauh di dalam. Apabila sanubari dalam dirinya mula hidup dan bergetaran akan terbukalah matanya untuk memerhati gelagat alam dan keadaan. Sebab itulah tidak ramai penulis dilahirkan dalam keluarga yang kaya-raya. Ini adalah kerana pengalaman penderitaan itu hanya hidup pada orang yang merasakannya sahaja.

PENUTUP

When you start seeing things differently, you can understand dan comprehend them. A lot of people are reading but a few are contemplating. Those secrets remain hidden until they start digging.
They all start from our own being....
Hence we must start looking...
There exists a meaning in every single thing.


Sdr,

Ingatlah kadang-kadang malang dan kecacatan itu membuatkan kita merasa. Apabila kita merasa kita tersedar. Dan bila sedar, kita akan dapat menyedarkan bangsa yang senasib pula, walaupun malang itu lain dimensinya.

Saya tamatkan emel ini di sini sahaja. Mungkin di lain kali kita dapat bersama. Semoga dilindungi tuhan senantiasa.

Berjuanglah wahai wira bangsa.