Laman Webantu   KM2A1: 2964 File Size: 28.9 Kb *



TJ Mesti Baca: Wawancara FT-Diktator Sewel
By Marhain Tua

8/10/2000 12:40 pm Sun

Perhatian: Rencana ini diterjemah dan dipaparkan di sini sebagai BAHAN KAJIAN PENTING. Ia adalah cermin minda seorang Diktator Tua yang Hipokrit dan masih tidak sedarkan diri (sewel?) [- Editor.]


TRANSKRIP WAWANCARA FINANCIAL TIMES DENGAN DR. MAHATHIR MOHAMMAD DI LONDON.

Dalam suasana sembang-sembang sebelum majlis wawancara itu dipersiapkan, Perdana Menteri telah membuat keluhan bagaimana pasaran dunia telah melonggokkan semua negara dalam satu kumpulan ketika krisis ekonomi melanda Asia, dulu. Malaysia mempunyai simpanan dana yang besar dan mengenakan kadar faedah yang rendah, serta tidak perlu meminjam daripada luar. Indonesia mempunyai kadar faedah yang tinggi yang meransang pinjaman daripada luar. Ketika matawang Asian jatuh, Malaysia tidak perlu runsing akan hutang luar negara. Sistem perbankannya lebih kukuh daripada yang terdapat di Thailand, ataupun Indonesia. Malahan juga Korea Selatan. Malaysia tidak meragau masa itu, tetapi terpaksa merana apabila matawang negaranya telah diserang.

D tahap inilah wawancara yang formal dimulakan dan berikut adalah transkripnya.


Financial Times (FT): Anda ada berkata bahawa pinjaman luar negara bukannya satu masalah, tetapi ekonomi Malaysia telah meminjam berlebihan dan terdapat masalah hutang dalaman. Ini memerlukan penyusunan semula bank yang ada. Apakah ini sudah disempurnakan?


Mahathir Mohammad (MM): Penyusunan bank sudah pun selesai. Kami memang mahukan bank yang lebih besar. Ini memerlukan peningkatan kepada pengurusan bank. Mereka perlu mematuhi peraturan pinjaman yang disediakan. Bank mesti belajar menguruskan dana dengan lebih baik lagi. Tetapi, bank amat liat memberikan pinjaman terutama sekali kepada perusahaan baru. Mereka lebih suka membiayai industri pembinaan. Kerana itu masih ada lagi orang yang merungut kerana kegagalan mendapatkan pinjaman bank.


FT: Apa pandangan anda mengenai reformasi yang berlaku kepada struktur kewangan antarabangsa?

MM: Saya rasa kita belum pulih seperti sediakala. Saya fikir struktur kewangan antarabangsa perlu diubah untuk menyendirikan sepukalasi rambang. Ataupun manipulasi. Malahan Soros pun mengaku betapa kita tidak boleh membiarkan pasaran menguasai segalanya. Pasaran (terbuka- penterjemah) bukannya cekap. Apa yang kita perlukan ialah peraturan dan undang-undang yang jitu walaupun untuk aktiviti spekulasi. Buat ketika ini nampaknya tidak ada kawalan langsung. Wang modal dibiarkan menerbus sempadan tanpa sebarang hambatan. Perkara ini memang baik kalau masuk mengalir untk menggalakkan ekonomi. Tetapi, apabila ia ditarik balik secara mendadak ekonomi pun merudum dan para spekulator tidak lagi memikirkan impak kerakusan mereka. Mereka hanya memikirkan keuntungan yang boleh dibalun. Daripada apa yang saya lihat, mereka telah menghancurkan kekayaan mereka semata-mata untuk mengaut sedikit keuntungan. Saya tidak nampak kenapa perkara ini boleh dibiarkan.


FT: Apakah ini bererti anda tidak akan mengubah pengawalan dana dan kadar tukaran matawang yang berasaaskan RM3.50 kepada satu dolar itu?

MM: Selagi dunia tidak mewujudkan satu peraturan kewangan yang baru yang mampu menghapuskan mainan spekulasi ini, saya fikir kita terpaksa kekalkan sistem kawalan yang ada. Kita tidak boleh serahkan perkara ini kepada pasaran yang sungguh tidak bertanggungjawab itu. Mereka hanya memikirkan berapa banyak keuntungan yang boleh mereka buat.

Dalam hal kawalan kapital, sesiapa juga boleh membawa keluar masuk wang dengan mudah kalau mereka mahu melabur dalam pasaran saham. Mereka hanya perlu membayar 10 persen sebagai cukai ke atas keuntungan yang mereka bawa keluar daripada negara. Itu sahaja. Ini merupakan cukai yang minima kerana keuntungan pun bukannya besar sangat. Kami tidak mengenakan cukai ke atas keuntungan. Kerana itu mereka membuat banyak keuntungan. Kerana itu tidak ada rintangan terhadap peraliran modal jangka pendek.


FT: Apa sebenarnya yang perlu dilakukan?

MM: Saya percaya betapa perlunya dikawal spekulasi matawang. Perkara ini memang boleh dilaksanakan. Inilah perkara yang mereka selalu sebut supaya ada ketelusan, sedangkan mereka sendiri tidak pernah telus dalam perkara ini. Anda tidak tahu di manakah mereka. Anda tidak tahu berapa wang yang mereka ada dan bagaimanakah cara mereka beroperasi. Begitu juga dengan cara mereka memanipulasi semua itu. Perkara ini harus difahami oleh semua orang dan bank sepatutnya tidak memberti ruang yang banyak kepada mereka. Ada bank yang memeberi peluang 'leverage' sehingga 200 kali. Syarikat LTCM pernah berurusan dalam ribuan bilion. Adalah tidak masuk akal apabila bank sanggup menanggung risiko yang tinggi dalam hal ini, kerana kita boleh lihat akan padahnya. Apakala belaku kesilapan, para kroni mereka terpaksa masuk campur untuk menyelamatkan mereka.


FT: Apakah ada sebarang tanda berlakunya sebarang reformasi dalam struktur kewangan itu dan apakah manusia telah beralih kepada cara lain?

MM: Saya rasa perkara sudah reda sekarang. Mereka tidak memandang akan keperluan itu sebagai perkara penting. IMF pun nampaknya menentang perkara itu. Walaupun orang seperti Soros pernah menyebut akan perlunya mengadakan peraturan alam pasaran saham. Fahaman di kalangan negara yang kemungkinan diserang lagi memang mahukan peraturan itu. Tidak pula kepada negara kaya yang merasakan semuanya sudah pulih dan memikirkan mereka akan terus mendapat keuntungan daripada sistem yang ada.


FT: Apakah sesuatu boleh dilaksanakan di tahap wilayah? Apa pula kalau diadakan koloborasi di antara Asean dengan Jepun, China dan Korea Selatan?

MM: Saya fikir memang ktia boleh lakukan di tahap wilayah. Tetapi, terdapat rintangan terhadap penyatuan negara dalam Asean. Apabila kami syorkan penubuhan East Asian Economic Caucus, terdapat bantahan dalam usaha itu. Di tempat lain dibenarkan penubuhan persatuan mereka, tetapi kami tidak dibenarkan bercakap sesama sendiri. Kini kami memanggilnya Asean +3, itu pun ada mata yang memerhatinya. Sekali sekala ada juga suara yang mahukan negara maju menjadi ahli persatuan kami. Saya tidak faham kenapa orang luar mesti campurtangan dalam urusan wilayah kami.


FT: Anda mengungkitkan tekanan daripada Amerika?

MM: Ya..! Malahan, Amerika pernah menegur cara saya berpakaian. Mr. James Baker (Bekas Setiausaha Negara dan Setiausaha Perbandaharaan Amerika) tidak suka saya mengenakan pakaian Melayu dan pernah memberitahu orang Jepun dan juga orang Korea betapa Malaysia tidak menyertai peperangan Korea Selatan. Kami tidak boleh berbuat demikian kerana ketika itu kami masih dijajah oleh British.


FT: Tetapi Asean +3 masih lagi merupakan satu kumpulan yang membuatkan anda selesa. Apakah yang anda fikir boleh dilakukan oleh kumpulan ini ?

MM: Kami mampu membincangkan isu yang kecil-kecil tetapi tidak pula kami berjaya dalam semua hal. Kisah Asian Monetary Fund (Dana Kewangan Asian), masih lagi belum terlaksana. Kami memikirkan cara bertukar matawang. Itu pun belum terlaksana. Kami fikir ada pihak yang mahukan berlakunya sedikit kelecehan dalam perkara ini semua.


FT: Jadi, Amerika yang melakukan tekanan itu di balik tabir?

MM: Nampaknya begitulah.


FT: Apa pandangan anda mengenai peranan ASEAN dan apa pula kepentingannya?

MM: Apabila APEC mula dicadangkan, kami tidak pun berapa berminat kerana memikirkan APEC akan membayangi ASEAN. Itulah yang berlaku akhirnya. Disebabkan APEC, kini ASEAN berada di kerusi belakang. Di dalam APEC, Asean tidak lagi berfungsi sebagai satu kumpulan. Fungsinya sebagai negara bersendiri tidak memberi ruang untuk kami bersatu secara yang mendatangkan faedah kepada Asean.


FT: Apakah ini satu kelemahan yang fundamental?

MM. Asean masih lagi wujud. Tetapi dengan adanya APEC dan kemudiannya Asem (Asia Europe Meeting) yang tidak mengiktiraf Myanmar, bererti kami tidak lagi wujud sebagai Asean. Kami berada di situ sebagai negara bersendirian.


FT: Bukankah Asean telah lumpuh disebabkan krisis sehingga tidak mampu bersekongkol lagi. Apakah itu yang merunsingkan anda?

MM: Sebenarnya, walaupun kami telah berjaya menentukan semua negara masuk menjadi ahli Asean, ada ahli baru yang sungguh lemah ekonominya malahan juga sistem politiknya. Kemudian, kami dihentam oleh krisis ekonomi. Tentulah kami merasa kegawatan ekonomi itu, contohnya ialah Indonesia. Memang banyak hal yang mengena kami sekarang. Anda tidak boleh membuat penilaian dengan kayu ukur yang serupa. Setiap negara mempunyai masalahnya yang tersendiri.


FT: Bolehkah perkara itu diatasi?

MM: Boleh. Tetapi kami memerlukan masa kerana kebanyakan negara yang terlibat belum lagi mengatasi krisis yang ada itu.


FT: Apakah salah kalau kita anggap APEC itu tidak lebih daripada satu kedai bersembang?

MM: Memanglah ia hanya satu kedai bersembang yang telah menggugat Asean.


FT: Apa pendapat anda mengenai Asean Regional Forum? Apakah peranannya?

MM: Saya fikir ia mempunyai peranan. Kami berharap dapat berbincang dengan rakan ARF untuk mengetahui kedudukan kami. Namun, tidak ada sesuatu yang konkrit dalam hal ini cuma ia memberikan ruang untuk kami berbincang dengan negara di luar wilayah Asean; kerana itulah negara yang mempunyai impak terhadap apa yang berlaku dalam Asia.


FT: Apa yang anda harapkan daripad ARF itu?

MM: Kami mahu orang memahami masalah yang dihadapi oleh negara membangun dalam Asean. Kalau mereka memahami kami bererti kami mungkin menerima sedikit bantuan daripada mereka.


FT: Kami mahu bincangkan sedkit ekonomi dalam negeri. Pasaran saham lemah sekarang ini kerana ada sedikit rungutan terhadap pelaburan yang menarik diri. Ramai orang berkata anda tidak melakukan perubahan korporat yang menyeluruh. Apa reaksi anda?

MM: Keadaan pasaran merudum berlaku kepada semua bursa saham di rantau kami. Semua bursa saham itu sama sahaja dengan keadaan bursa saham kami. Malahan sejak dilakukan pembetulan dulu, bursa saham kami telah lebih menyinar berbanding dengan bursa saham negara lain. Ada kalanya keadaan bursa saham kami dijangkiti juga oleh keadaan pasaran negara jiran. Saya tidak berapa tahu apa yang menyebakan indeks itu naik. Tetapi, saya tahu ramai orang yang menunggukan sesuatu yang berlaku dan saya tidak tahu apakah lagi yang mereka harapkan daripada kerajaan. Mungkin mereka mahu melihat dulu belanjawan yang akan dibentangkan. Mungkn juga mereka menantikan butir-butir statistik. Kami telah diberitahu, sebagai contohnya, kalau Morgan Stanley menerima pakai indeks Kuala Lumpur, perubahan akan berlaku. Yang sebenarnya terjadi ialah indeks bursa saham semakin menjunam.


FT: Ada setengah pihak menempelak cara pengurusan korporat dan masih menunggukan penyusunan sektor korporat itu.

MM: Itu persepsi mereka yang mungkin salah. Banyak perkara yang disebut mengenai Malyasia yang akhirnya ternyata salah. Inilah halnya apabila orang mempunyai persepsi mengenai sesuatu dan menjadi khayal kerananya.

Kami sedang berusaha memperbetulkan penyeliaan korporat. Kami baru saja memperbaiki sisem perbankan. Buaknya banyak yang telah kami lakukan. Anda mesti ingat, Malaysia telah ditadbirkan dengan baik kalau dibandingkan dengan keadaan yang lalu. Kini kami mempunyai undang-undang kemuflisan yang telah dikuatkuasakan sejak lama dulu sedangkan banyak negara masih baru sahaja cuba melaksanakannya. Oleh itu dalam perkara pentadbiran korporat ini, sebenarnya tak banyak lagi yang perlu dilaksanakan.


FT: Tetapi, bukankah salah satu yang menyebabkan perkara ini menjadi lembab ialah keengganan tuanpunya syarikat menjual sebahagian syarikat mereka kepada orang asing? Apakah anda masih mahu mengekalkan syarikat besar itu untuk Malaysia?

MM: Kami masih lagi mahu menguasai beberapa syarikat (besar?) yang ada itu. Anda mesti ingat, bank asing sudah lama beroperasi. Kami sudah mengamalkan konsep terbuka kepada bank yang dipunyai 100% oleh orang asing sejak lama lagi. Tetapi, tentunya ada beberapa benda yang pasti kami mahu simpan sendirian. Jika tidak, kami akan menjadi perkerja sahaja kepada syarikat asing. Kami tidak tahu apakah dasar yagn akan mereka amalkan. Mereka mungkin menutup kilang mereka kerana mereka meneruskan operasi di tempat lain secara lebih efisien lagi. Perkara semacam ini perlu kami kaji juga.


FT: Apakah ini bererti anda tidak akan menjual Proton?

MM. Kami akan jual juga sebahagian Proton yang menasabah kepada orang luar. Tetapi kalau dengan sengaja menjualkannya kepada orang luar dan membiarkan mereka menentukan apa yang patutnya diusahakan di Malaysia, tentunya akan membawa padah kepada Malaysia.


FT: Salah satu masalah di Malaysia ialah adanya tuanpunya yang enggan bertanggungjawab kepada kerugian yang terus dipengapkan dalam penyata perakaunan?

MM: Elemen ini memang ada. Tetapi ada banyak cara untuk memperbaikki syarikat seperti ini. Kita boleh lakukan benda lain daripada menjual syarikat ini dengan harga lelong.


FT: Apakah pemangkin yang akan memembuatkan ekonomi terus maju?

MM: Kami masih lagi merupakan satu pusat pembikinan besar dunia. Barangan buatan kami terus meningkat dan pengekspotan barangan merupakan 82 % daripada jumlah ekspot kami. Di sebalik itu pula, kami tidak diganggu-guat oleh harga petroleum kerana kami mempunyai bekalan petroleum sendiri. Kami mempunyai barangan tradisi yang masih diperlukan lagi. Kami juga menumpukan usaha ke arah industri IT yang menarik banyak pelaburan. Ericsson telah melaburkan jumlah yang besar untuk mengeluarkan telefon bimbit di Malaysia dan syariakat lain pun sedang mengkaji usaha ke arah ini. Kami masih lagi merupakan pusat pelaburan yang baik dalam kemudahan pengeluaran dan pembikinan.


FT: Anda mempunyai matawang yang mudah bersaing?

MM: Tentu sekali. Kos (pembuatan) di Malaysia masih rendah. Lebih kurang sepertiga daripada kos di Amerika dan lebih rendah lagi daripada Eropah. Orang luar tahu mereka akan dilayan dalam suasana niaga yang ramah mesra.


FT: Apakah taksiran anda mengenai pertumbuhan ekonomi untuk 2000-2001 nanti?

MM: Kami fikir kami mungkin berjaya mencapai sekurang-kuranngya enam persen.


FT: Salah satu kecenderungan di Malaysia ialah membina infrastruktur projek yang besar-besar (mega). Apakah anda masih gemar akan pendekatan ini ataupun apakah krisis yang berlaku membuatkan anda mengubah fikiran terutama sekali terhadap Projek Bakun?

MM: Di Malaysia kita melabur untuk masa depan. Kita tidak melabur untuk keperluan spontan. Apabila kami mahu lakukan sesuatu kami kaji keperluan masa depan. Contohnya ialah ketika kami mahu membina satu lapangan terbang yang baru. Mencari tapak kasan bagi satu lapangan terbang memang merupakan satu masalah besar. Kalau anda mahu membina satu lapangan terbang yang boleh digunakan selama sepuluh tahun, 15 tahun ataupun 30 tahun, anda akan menghadapi masalah di akhir tempoh itu untuk mencari tapak yang baru yang akan merupakan tapak yang lebh jauh lagi jaraknya dan tidak mudah untuk mendapatkannya.

Jadinya, untuk membina lapangan terbang yang terbaru ini kami telah membuat kajian yang menjangkau 100 tahun dari sekarang. Kami menjangkakan kalau jumlah penumpang meningkat hingga 100 juta, tentu sekali kami memerlukan lapangan terbang yang besar. Kerana itu kami simpan 25,000 ekar untk pembinaan lapangan terbang yang baru itu. Buat masa ini kami mempunyai kemudahan untuk 25 juta penumpang.

Kami telah mendapat pelajaran daripada pembikinan lapangan terbang yang lama pada 1964. Ia telah dirangka untuk 400,000 penumpang dan ketika itu kami fikirkan itu merupakan angka yang besar. Ketika kami berpindah ke lapangan terbang yang baru, kami mengendalikan 17 juta penumpang.

Kalau anda merancang satu lapangan terbang yang mampu menampung keperluan hanya 20 juta ataupun sekitarannya, tentu sekali anda akan menghadapi banyak masalah. Kami telah membina satu lapangan terbang yang besar dengan harga yang murah. Sebagai perbandingnnya, kami telah berelanja RM 9 bilion. Dengan kadar tukaran matawang lama (2.500 kami telah berbelanja US3.5 bilion dolar. Tetapi Hongkong telah berbelanja US20 bilion sedangkan lapangan tebangnya itu lebih kecil daripada kami. Bagaimana pula anda mengatakan kami membuat projek besar-besaran? Ia merupakan satu projek penting dengan harga yang rendah. Kalau mahu dibikin sekarang kosnya tentu naik tinggi lagi.

Begitulah halnya dengan projek lain yang kami buat itu. Kami sekarang ini berada di satu bandar Kuala Lumpur yang sunguh padat. Kami terpaksa berpindah dan dan telah memilih satu kawasan di antara Kuala Lumpur dan lapangan terbang yang baru seluas 10,000 ekar. Ia memerlukan 20 hingga 25 tahun untuk membinanya.

Buat masa ini kami siapkan infrastruktur (prasarana) yang menyebabkan harga tanah melambung naik. Kami boleh jual tanah itu dan meraih keuntungan darinya. Di akhir 20 tahun nanti kami akan membuat banyak duit lagi kerana harga tanah akan terus naik lagi. Nilai keseluruhan hartanah di situ akan meningkat. Inilah satu pelaburan. Kalau setiap usaha pembangunan sebidang tanah boleh memberikan keuntungan, tentu sekali kami akan mengaut keuntungan dalam pembinaan satu pusat pentadbiran yang baru. Kami memerlukan pelaburan seperti ini kerana kami tidak lagi dapat menetap di Kuala Lumpur. Apabila harta di Kuala Lumpur itu dijual, tentu sekali kami akan mendapat pulangan yang tinggi daripada penjualan itu. Inilah satu urusan perniagaan.

Ada orang yang menyebutnya sebagai projek mega. Tetapi itulah katanama ciptaan mereka. Kepada kami projek itu bukannya mega lagi. Kami mampu membikinnya kerana ada keupayaan. Kami tidak meminjam daripada sesiapa untuk membina itu semua.

Kami mempunyai wang itu yang dicerna dari dalam negara dan sekaligus meransang pertumbuhan ekonomi juga. Orang suka menyebutnya sebagai "ah...semua itu projek mega." Mega hanya dalam ertikata perbandingan. Kalau anda berbelanja untuk sesuatu yang anda tidak mampu, barulah kita boleh kata itu satu pembaziran. Tetapi, kami berbelanja untuk benda-benda yang kami mampu melakukannya dan memerlukannya.


FT: Mampukah anda menyiapkan Bakun?

MM: Bakun pun perlu disiapkan. Kalau kami tunggu lagi, harganya akan naik lagi. Kami akan memerlukan tenaga kuasa pada bila-bila masa. Untuk menyiapkan Bakun kami memerlukan lima tahun. Bekalan letrik memang amat diperlukan dan semakin meningkat. Kalau kita tidak merancang dengan baik, kita tidak terdaya memperolehi tenaga letrik yang murah. Bakun adalah merupakan sumber letrik yang murah untuk kami.


FT: Kita berbalik kepada politik. Apakah tugas-tugas yang tertangguh yang perlu anda siapkan sebelum bersara?

MM: Tugas utama saya ialah menentukan agar parti saya menjadi teguh untuk terus berkuasa. Kami perlu melakukan rombakan. Kami memerlukan tenaga muda untuk menyokong parti dan setelah parti menjadi teguh, saya fikir barulah saya boleh berundur..

Saya fikir kami telah memimpin negara ke arah yang betul. Kami mempunyai satu rancangan jangka panjang. Kebayakan rancangan ini memang sudah mencapai kejayaan yang besar. Kami fikir kami tahu hala tuju yang kami rancang itu..


FT: Bagimana pula masalah perkauman di Malaysia?

MM: Memang kami masih mempunyai masalah perkauman di kalangan beberapa kumpulan etnik. Kumpulan pribumi memang jauh tertinggal di belakang dan mereka telah mengharungi pengorbanan yang besar lagi daripada yang dialami oleh kumpulan yang lain. Kerana itu memang ada tekanan untuk memperbetulkan keadaan untuk menentukan mereka mampu meneruskan usaha mendapatkan bahagian yang selesa daripada kekayaan negara. Kumpulan bukan-Melayu memang menghargai dan percaya bahawa disebabkan kami telah melakukan penyesuaian yang bertepatan dalam pengagihan kekayaan, makanya tidak berlaku sebarang rusuhan perkauman di Malaysia ketika kami dilanda krisis dulu.


FT: Tetapi, apakah orang Melayu telah bangkit untuk menghadapi cabaran dan juga peluang yang anda sediakan untuk mereka?

MM: Bukannya mudah merobah budaya sesuatu kaum. Kumpulan pribumi bukannya mata duitan. Kepada mereka wang ringit hanyalah merupakan suatu kemudahan untuk dibawa dalam poket dan digunakan untuk membeli barangan. Mereka tidak menganggap wang itu sebagi modal. Kami terpaksa merobah pemikiran mereka itu. Saya dapati penduduk di negara komunis pun berfikiran seperti itu. Mereka tidak tahu beranggapan bahawa wang itu adalah modal. Inilah masalah yang kami hadapi dengan orang bumiputra. Kami berikan mereka modal dan mereka mahu habiskan wang itu untuk berbelanja; membeli apa sahaja yang mereka suka. Kami terpaksa menukar budaya mereka ini dan ini memakan masa.

Kami telah berjaya sedikit sebanyak. Jika tidak ketidaksamaan ini akan berlanjutan dan berlakulah pergaduhan kaum bila muncul kegawatan ekonomi. Inilah yang kami telah perbaikki. Tetapi, kebanyakan usaha ini bergantung kepada beberapa institusi yang telah kami wujudkan.

Sekitar 20% ekonomi yang dipegang oleh bumiputra, terdapat 7% yang dimiliki oleh orang persendirian. Yang bakinya itu dipegang oleh insitusi yang diwujudkan oleh kerajaan untuk memegang saham syarikat ataupun untuk memulakan syarikat yang baru.

Bukannya kami mahu semua itu, kerana kami tidak berminat untuk memimpinnya. Kami lebih berminat menjual apa juga pegangan institusi itu kepada orang persendirian. Apabila kami dapat tentukan calon yang bersesuaian kami pun jual pegangan (entiti) itu kepada mereka. Dalam hal ini, kami kerap ditohmah kerana menjualnya kepada kroni. Mereka bukannya kroni sebenarnnya. Mereka ini adalah manusia yang kami percaya mampu mengurus. Kerana itulah mereka diberikan peluang.

Kalau kami saja-saja jual kepada sesiapa yang membuat tawarannya, besar kemungkinan syarikat itu akan dijual pula kepada kaum lain dan tentunya ini tidak mencapai matlamat kami.


FT: Anda tentu merasa musykil kerana tidak ada kemajuan dalam perkara ini?

MM: Memang anda bolehlah katakan saya kecewa kerana saya terlalu sangat memberi nasihat 'Ingat, anda terpaksa belajar bagaimana mengurus semua ini nanti.' Mereka ini tidak mahu memandang jauh ke hadapan,. Mereka fikirkan kekayaan hari ini sahaja. Kalau mereka ada duit hari ini mereka akan membelanjakannya.


FT: Apa lagi yang anda boleh lakukan?

MM: Kami memang mencerna perkara baru setiap masa. Kami bercakap kepada mereka dan menjelaskan semuanya. Bukannya senang untuk merobah sikap terhadap sesuatu. Inilah yang amat meyukarkan. Namun, saya berani berkata bahawa kami telah berjaya dalam banyak hal jika dibandingkan dengan negara yang lain.


FT: Apakah kesan politik tehadap isu Anwar?

MM: Ia telah memberikan kesan yang maksimum pada pemilu 1999 dulu apabila gambar Anwar dengan mata lebamnya ditayangkan di seluruh negara. Saya telah dituduh seagai insan yang melakukannya dan satu kempen membenci telah dilaksanakan. Inilah yang mebuat rakyat berpaling tadah kepada PAS. Kini kami telah berjaya membuat penjelasan bahawa perkara ini tidak ada sangkut-paut dengan parti. Perkara ini telah berlaku di luar keupayaan kami untuk mengawalnya. Kini rakyat sudah menerima hakikatnya yang dia memang telah melakukan sesuatu kesalahan.

Adalah sesuatu yang tidak masuk akal yang perkara in adalah satu konspirasi seperti yang dia kerap katakan itu. Dia tidak pernah mempertahankan kedudukannya. Cuma mengatakan itu adalah satu konspirasi kerajaan untuk menidakkannya menjadi perdana menteri. Kenapakah ini mesti menjadi satu konspirasi sedangkan sayalah orangnya yang memimpinnya untuk menjadikannya bakal pengganti saya? Perangainya itu yang tidak dapat diterima oleh masyarakat kami.


FT: Apakah ini yang menyebabkan satu kesukaran untuk menarik minat golongan muda menganggotai parti ?

MM: Memang itulah hakikatnya. Kerana orang ramai tidak mampu mempercayai yang dia mampu melakukan semuanya itu. Lagipun teori konspirasi memang menarik sekali. Ketika dia berkhidmat dengan kerajaan dia telah memilih beberapa manusia dalam beberapa pertubuhan untuk menjadi penyokong setianya termasuk mereka yang berada di luar negara.


FT: Jadi, apa rancagan anda untuk meneguhkan parti itu seperti sediakala?

MM: Kami sedang berbincang dengan mereka. Kami akan terus tunjukkan bukti bahawa memang tidak ada konspirasi. Ramai yang telah percaya memang tidak ada pun konspirasi.


FT: Tetapi, masyarakat Melayu sudah pun berbelahbagi bukan? Dan ketegangan perkauman semakin meningkat?

MM: Perkara ini sudah berlaku sejak tiga dekad yang lalu. Kami pula tidak berapa pantas memahami apa yang dilakukan oleh parti Islam yang menjadi parti pembangkang itu.

Mereka telah menabur benih kebencian terhadap kerajaan, terhadap pemimpin kerajaan malahan di kalangan pelajar tadika lagi. Pelajar ini pernah diberikan gambar untuk dipijak-pijak dan diludah sebagai satu sumpahan pula. Kami tidak hiraukan perkara itu kerana kami tidak mahu mengganggu budak sekolah ataupun anak-anak kecil di tadika ataupun mereka yang belajar di universiti.

Kami mempunyai satu kepercayaan agar mereka tidak diganggu supaya mampu menumpukan minat kepada pelajaran. Apabila pulang ke tanah air mereka pun boleh berkhidmat kepada negara. Tetapi, selama ini parti Islam ini telah menghantar pemimpin mereka, sampai ke England pun. Mereka datang ke sini dan tinggal bersama pelajar di sini. Mereka tidur bersama pelajar di sini dan menabur fitnah terhadap kerajaan. Mereka membuat pelbagai tohmahan seperti kerajaan tidak Islamik, yang bererti anti-Islam dan sebagainya.

Kesannya, pelajar pun menjadi anti kerajaan. Kami pernah berkata, 'lihat, kami telah memberikan kamu biasiswa, meyediakan sekolah dan semua itu.' Parti pembangkang yang Islamik itu berkata pula 'Mana kerajaan pun akan menyediakan semua itu. Kalau kami yang memerintah tentu kami mampu memberikan semua itu.'

Semua orang ini fikir setiap kerajaan mampu menyediakan semua itu. Perasaan terimakasih itu lesap samasekali. Ia digantikan pula dengan semangat kebencian dan meluat tanpa bersebab. Sebagai contohnya mereka anggap saya sebagai seorang diktator. Tidak kiralah kalau mereka tidak nampak apa yang saya lakukan tu sesuatu yang salah, mereka hanya melihat saya ini sebagai seorang diktator. Dalam kabinet saya mereka fikir sesiapa pun tidak boleh bercakap apa-apa, kerana semua itu adalah tertakluk kepada kuasa saya.

Kemudian muncul pula kisah Anwar. Anwar memang amat pintar dalam menangani isu itu. Dia memang pintar dalam tipu-helah. Inilah yang digunakannya untuk menaikkan lagi tahap kebencian terhadap kerajaan. Inilah yang terpaksa kami perangi sekarang.

Bagaimanakah kami mampu memberikan penerangan bahawa semua itu adalah salah? Kini kami telah lihat betapa tingginya kebencian itu sehinggakan ada satu kumpulan yang berani cuba menggulingkan kerajaan dengan secara paksaan. Nasib baik mereka sudah ditangkap semuanya dan menghadapi tuduhan biasa di mahkamah. Tetapi, di kalangan pengikut puak pembangkang ini, kebencian mereka terhadap kerajaan merupakan satu masalah yang besar kepada kami. Mereka ini sudah tidak mahu mendengar cakap kami lagi.


FT: Tentu sekali ini mengecewakan setelah mengambil kira usaha anda menanjurkan keharmonian berbilang kaum?

MM: Saya akan berusaha menyelesaikannya sebelum saya mengundurkan diri. Adalah sesuatu yang menakjubkan kerana ketika saya mula berpolitik dulu, saya dibenci oleh orang bukan-Melayu. Kini, saya merasakan kaum bukan Melayu ini yang menyokong saya sedangkan bangsa sendiri yang tidak mempercayai saya lagi. Namun, saya fikir saya akan mampu mengatasi semua ini. Ini bukannya mudah dilaksanakan. Tetapi, saya dapat merasakan masih ramai lagi orang yang rasional di kalangan bumiputra yang sanggup lagi menyokong kerajaan dengan gigihnya.

>>>>>>>>>>>>Diterjemahkan oleh -MT-<<<<<<<<<<<