Laman Webantu   KM2A1: 2953 File Size: 22.4 Kb *



Siri 2 YTDT: Yang Terbang Pasti AKan Terbang Jua
By Marhain Tua

6/10/2000 5:51 pm Fri

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 2

YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

Bab2: YANG TERBANG AKAN PASTI TERBANG JUA


Belum pun sampai satu minggu sejak Perdana Menteri membuat pengumuman bahawa dia mahu menumpukan sebahagian besar perhatiannya terhadap kerja-kerja sebagai pemimpin agong parti yang kini lebih dikenali sebaai UMNO Baru(a). Pengumuman itu disusuli pula dengan kenyataan betapa gaji yang diterimanya itu amat jauh lebih rendah daripada yang diterima oleh tokoh koporat (tentu juga mereka yang tergolong sebagai keparat) negara. Kerana itu apabila Paklah berlepas ke London dan berucap di sana dan kemudiannya membuat lawatan yang diberikan taraf persis lawatan perdana menteri ke Jepun; ramai di kalangan rakyat memikirkan Mahathir sudah mula mahu menunjukkan sikap yang serius mentadbir negara. Harapan rakyat itu semakin menjadi apabila di waktu yang sama Rafidah Aziz sibuk di Amerika untuk mencari pelabur yang akhirnya pulang kabur kerana disabotaj oleh cerita mengenai suasana pelabuan negara yang sebenar.

Kenyataan Mahathir itu dilakukan hanya beberapa hari sebelum menjelangnya satu majlis Persidangan Panduan Haji di Hotel PGH "yang dihadiri oleh 52 negara termasuk 25 menteri yang menjaga hal ehwal jemaah haji."


Sebelum itu Mahathir telah menyampaikan ucaptama pada Wacana Pemikir Belia Islam Kebangsaan di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Dalam ucapannya itu beliau telah mengajak umat Islam agar membahaskan pelbagai perkara dalam agama secara bijaksana supaya mereka lebih memahami ajaran Islam secara syumul. Di majlis itu beliau mengeluarkan pendapatnya mengenai hukum hudud. Kita petik beberapa ungkapan yang disiarkan di akhbar sebagai rujukan:

"Hukum hudud tidak dapat dilaksanakan oleh kebanyakan negara Islam bukan kerana kita menolak hukum itu tetapi kerana kita tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya. Misalnya untuk mendapatkan empat saksi bagi menghukum pesalah zina ataupun liwat. "

Soalnya sekarang, adakah perkara itu diambil kira oleh Mahathir semasa mentohmah Anwar Ibrahim hingga membabitkan dua orang rakyat asing yang dikatakan telah diliwat oleh beliau? Apakah Mahathir tidak sedikit pun merasa berdosa dengan segala fitnah yang ditaburnya seluruh dunia mengenai kes Anwar itu sehinggakan dia sanggup berkata bahawa sistem undang-undang dan kehakiman negara adalah bersih daripada segala tekanan politik?

Di majlis Panduan Haji yang perama kali diadakan di luar Arab Saudi itu, Mahathir telah cuba menonjolkan satu perwatakan betapa Malaysia di bawah kepimpinanya adalah sebuah negara Islam yang moden yang mampu memberikan kepimpinan dalam pelbagai bidang kepada negara Islam yang lainnya. Sekaligus strategi itu diduplikasi pula oleh Paklah, Timbalan Perdana Menteri yang bersuara lantang mengajak negara lain mempelajari kepintaran Malaysia menguruskan Tabung Haji dan tentunya juga dana. Apa yang tidak disedari oleh dua pemimpin terunggul Melayu UMNO masakini, kalau diambil kira tabungan orang Islam yang telah melabur dalam Tabung Haji itu, sepatutnya banyak perusahaan besar di taraf global telah mampu dibeli dan dipunyai oleh Lembaga Tabung Haji dan sekaligus melambangkan kepunyaan orang Melayu dan Islam di negara ini. Tetapi, kerana wang tabungan yang mencurah setiap bulan ke dalam tabung itu hanya dikendalikan mengikut rentak 'orang atasan dalam parti' makanya kini Tabung Haji nampak gah pada bangunannya dan pada namanya sahaja. Yang paling melucukan Tabung haji yang pada asalnya diilhamkan oleh pemikiran Professor Diraja Ungku Abdul Aziz tidak pernah pun bersedia menawarkan jawatan Pengerusi kepada Pak Ungku, kerana dasar kepimpinan Tabung Haji itu 'MESTI' dikendalikan oleh insan yang rapat dan sanggup bersekongkol dengan 'Si Tua'. Alangkah aibnya Tabung Haji yang menguruskan orang pergi haji dengan pesawat udara tidak pun memiliki sebiji pun kapal terbang? Kalaulah pesawat terbang sudah mula dibeli sejak dua puluh tahun yang lalu untuk kegunaan jemaah haji dan mereka yang mahu mengerjakan umrah, bukankah pesawat itu boleh disewakan secara pajakan bermusim kepada MAS dan syarikat pengangkutan udara yang lain?



Yang arif mengenai bidang pemajakan pesawat udara akan mampu menjelaskan betapa ada dua jenis sewa-pajak kapal terbang. Ada yang mengikut sistem 'dry-leasing' dan 'wet-leasing'. Bezanya terletak apakah sewaan itu termasuk penggunaan anak kapal. Setiap muncul musim haji, MAS di tahap awalan dulu telah diberikan tugas untuk mengangkut jemaah haji. Tetapi, di kebelakangan ini sudah ada syarikat swasta yang dipunyai oleh anak kesayangan 'SIAPALAGI?' yang diberikan kontrak pengangkutan itu. Bayangkan, kalau Tabung Haji sudah mempunyai pesawat udaranya sendiri bukankah kos mengerjakan haji itu satu kos yang termampu oleh setiap insan yang beragama Islam di negara ini. Apabila selesai sahaja musim haji itu bukankah pesawat yang sama boleh digunakan untuk mengangkut mereka yang mahu mengerjakan umrah bukan sahaja di negara ini malahan di semua negara Islam yang lainnya? Malahan kalau kita ambil iktibar bagaimana syarikat pelancongan Eropah mengenalikan rencana pelancongan kepada rakyat marhaen di sana kita tentu mampu memberikan kemudahan penerbangan khas kepada pekerja asing untuk pulang bersistem ke Bangladesh, Pakistan, India dan juga beberapa negara di Afrika, di luar musim haji?

Kini, peluang Lembaga Tabung Haji memilikki pesawat udara sendiri, memang jauh panggang daripada api kerana aset institusi itu yang banyak berbentuk saham yang dibeli dengan harga yang terlalu tinggi satu ketika dulu, sudah menekan kecairan (liquidity) sebenar institusi itu. Dengan keadaan ekonomi yang semakin merudum, dana yang ada perlu disiap-sediakan untuk digunakan oleh kerajaan bagi bayaran yang penting-penting sebagai menutup malu keadaan kewangan yang sebenar. Jika tidak kerana masalah seperti ini adakah kerajaan Malaysia berbincang dengan wakil negara Islam yang lain itu untuk memilikki pesawat sendiri bagi tujuan ini?




Putarbelit Politik

Sebenarnya kita boleh merasa kecewa kerana persidangan yang julung kali di adakan di luar Arab Saudi itu tidak dipergunakan oleh kerajaan Mahathir untuk membincangkan beberapa perkara yang lebih baik dan munasabah lagi untuk kepentingan dunia Islam khasnya dan Malaysia amnya. Kita akan bincangkan beberapa perkara itu dalam tulisan yang akan datang kerana kita akan mendedahkan betapa Malaysian telah menggunakan persidangan itu semata-mata untuk menonjolkan UMNO dan kewibawaan kepimpinan yang ada. Sekaligus persidangan itu dijadikan topeng untuk menonjolkan perwatakan individu tertentu yang sudah kegersangan wajah polititiknya yang mampu menarik minat orang Melayu secara keseluruhannya. Apabila ruang yang luas diberikan kepada lapuran puja-memuja yang diberikan oleh pemimpin asing kepada Lembaga Tabung Haji sedangkan orang Islam negara ini amat kecewa dengan prestasi lembaga itu, kita sudah nampak betapa persidangan itu dijadikan alat untuk menonjolkan seorang dua dalam UMNO untuk tujuan politiknya.

Apakah agaknya yang dijawab oleh Hamid Othman, apabila ada wakil negara Arab yang mengemukakan soalan seperti yang saya dengar ini: "Apakah hotel ini kepunyaan Lembaga Tabung Haji? Ataupun "Kenapakah saudara galakkan Lembaga Tabung Haji mengadakan satu persidangan Islam yang besar di sebuah tempat di mana terlalu banyak patung dibina? Mungkin jua ada wakil yang kerap ke Malaysia mahu bertanya 'Kenapakah tidak diadakan persidangan ini di bangunan kepunyaan orang Melayu (UMNO)'. Mungkin juga ada perwakilan yang telah bertanya untuk mendapatkan penerangan lanjut mengenai dua negeri yang kini ditadbir oleh parti politik yang dipengaruhi ajaran Islam.

Cubalah kita renungkan sendiri bagaimanakah kita mampu menonjolkan kewibawaan kita kepada dunia Islam sedangkan di waktu persidangan itu berlangsung, kerajaan pusat yang berpaksikan Islam dan budaya Melayu telah menukar tafsiran royalti minyak menjadi tabung ehsan? Bagaimana pula dengan hak rakyat Negeri Kelantan yang majoritinya beragama Islam kerana mereka ditidakkan kepada hak royalti gas yang disalurkan ke Thailand? Kita tidak payah menggunakan pendekatan pendidikan Islam untuk membuat rumusan bahawa gelagat kerajaan pusat mendera kerajaan Islam Terengganu dan Kelantan adalah satu pengaiban di sisi kacamata ajaran Islam.

Bagaimana pula dengan kenyataan dan pengakuan Paklah yang dibuatnya terhadap pembabitan pihak polis dan pegawai tinggi kerajaan yang majoritinya beragama Islam bersekongkol dengan tuanpunya perusahaan mesin video haram yang bersifat judi? Mungkin ianya satu kebetulan (coincidence) kempen menghapuskan pusat video-judi haram dilakukan dan diberi lapuran meluas di muka depan akhbar ketika itu. Tetapi, soalan yang dikemukakan oleh para wakil negara Islam itu sudah mampu memperlekehkan perwatakan para pemimpin Islam negara ini.

Adalah amat dikesalkan, Malaysia yang dipilih untuk pertama kalinya menjadi tuanrumah satu persidangan yang selama ini dikendalikan di Arab Saudi telah mempolitikkan persidangan itu untuk tujuan UMNO dan segelintir orang Melayu yang rakus dalam parti itu. Pendapat ini bukannya satu tohmahan tetapi adalah hasil satu penganalisaan yang dapat kita bincangkan bersama. Di dalam hal ini kita boleh ambil kira apa yang berlaku di London sekarang ini.


Bagaimana Mahathir Berjihad di London

Sebaik sahaja pablisiti meluas diberikan kepada Persidangan Panduan Haji Pertama (sepatutnya ditambah dengan perkataan 'Di Luar Arab Saudi') , media massa kepunyaan UMNO telah sibuk dengan ucapan Mahathir di London. Dia telah menghadiri apa yang dikatakan 'satu persidangan antarabangsa di London dan memberikan ucaptama mengenai 'JIHAD'. Sungguh hebat laporan yang dikeluarkan kerana persidangan itu dipelopori bersama oleh ASLI yang dipunyai oleh anak 'SIAPALAGI?' Persidangan itu dihadiri oleh 100 perwakilan daripada 20 institusi Islam di Britain. Fuuh...! Hebat Mahathir, kerana dalam kata aluan pengerusi majlis Mahathir ditonjolkan sebagai pemimpin berwawasan yang telah memperkenalkan sistem perbankan Islam dan menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa. Ternyata, pengerusi upacara majlis membaca skrip yang ditulis oleh orang Malaysia kerana dia tidak pun membaca satu ayat penting yang sengaja tidak tertulis di situ. Ayat itu sepatutnya berbunyi: Sistem perbankan Islam dan universiti Islam antarabangsa adalah dua institusi yang diwujudkan dengan usaha tungkus-lumus seorang insan yang kini terpenjara oleh Mahathir!!!!!

Mungkin juga kalau bercerita mengenai Universiti Islam itu pengerusi terbabit sepatutnya menceritakan sedikit mengenai Universiti Islam Antarabangsa yang kini dipengerusikan oleh seorang bajingan politik yang sanggup memukul orang lain semata-mata mahu menunjukkan kesamsengannya. Kerana buruk laku itu dia hanya didenda sahaja tanpa ada perasaan rendah diri (daripadanya) untuk menyesal akan perbuatannya itu dan meminta maaf kepada mangsanya.


Di London, Mahathir telah berucap memperkenalkan konsep Jihad ala Mahathir. Saya petik beberapa perenggan dalam Berita Harian bertarikh 4 Oktober, 2000 pada muka surat 2.:


****


    "Datuk Seri Dr. Mahathir berkata, jihad sebenar bagi umat Islam pada alaf baru ialah membina sebuah negara Islam yang mantap dalam pentadbiran dan stabil dalam semua bidang lain, termasuk politik. Perdana menteri sebaliknya menegaskan, jihad bukan bermakna bermusuh sesama Islam, iaitu satu tafsiran yang sering digunakan sesetengah pihak dalam politik untuk kepentingan sendiri.

    'Kita percaya kalau kita dapat membina sebuah negara Islam yang rasional, cekap dalam pentadbiran sains dan teknologi, perdagangan dan industri, sosial dan agama, kita dapat mengemukakan wajah sebenar Islam. Inilah jihad kita," katanya.

    "Sehubungan itu beliau meminta umat Islam supaya tidak terpesong dengan tafsiran jihad seperti yang dicanangkan sesetengah pihak yang berkepentingan politik.

    'Orang Islam menggunakan pelbagai alasan untuk berjihad. Mereka tidak pernah memikirkan sejauh mana kukuhnya perjuangan mereka yang hanya melemahkan negara sendiri. Bagi mereka ini perkara terpenting ialah bersedia berperang dan mati syahid dan mendapat satu tempat di syurga.'

    "Perdana Menteri berkata, sejarah menunjukkan kontroversi agama hanya menyebabkan kemunduran sesebuah negara Islam yang cuba mempertahankan diri menerusi ilmu pengetahuan. Beliau memberi contoh bagaimana dasar PAS mengkafir kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO menyebabkan percakaran sesama umat Islam dan pergerakan al_Maunah yang menyelewengkan tafsiran jihad. '

    'Kumpulan al-Maunah yang baru-baru ini cuba melakukan pemberontakan brsenjata bagi menggulingkan kerajaan adalah pergerakan serpihan sebuah parti Islam dan mereka percaya kerajaan kafir mesti digulingkan menerusi kekerasan. Oleh kerana umat Islam terlalu sibuk dengan perbahasan yang tidak habis-habis, negara menjadi mundur dan umat Islam ketinggalan berbanding orang bukan Islam. Apabila era perindustrian tiba, kita tidak langsung menyedarinya hingga tidak cuba berubah dan mengambil peluang daripadanya untuk mengekalkan pembangunan. Sekarang kita dapati mereka sudah memasuki era teknologi maklumat. Kini, kita tidak dapat bersembunyi di sebalik sempadan, manghalang aliran masuk modal, perniagan dan maklumat," kata Dr. Mahahtir.


    Beliau percaya Malaysia boleh berbangga kerana kerajaan yang diterajui pemimpin Islam cuba membangunkan negara dan agama sesuai dengan kehendak semasa.

    'Pemimpin bukan Islam di Malaysia tidak menentang kami kerana kami menunjukkan bahawa kerajaan islam boleh berlaku adil kepada kaum bukan Islam tanpa melanggar ajaran Islam. Kami berharap dapat menunjukkan sedikit sebanyak kepada orang Islam dan negara Islam laluan terbaik kepada kebangkitan Islam. Kami berharap, kejayaan kecil kami diiktiraf dan digunakan sebagai model."


****


Fulamak...!!! Dari segi teks memang cantik sekali ucapan itu. Ia memperagakan iltizam seorang pemimpin Islam unggulan (he..he..he) yang memimpin sebuah parti berpaksikan ajaran Islam di tengah-tengah satu suasana yang mengancam (hostile environment - satu modal usang Mahathir juga !) sehinggakan dia mampu mendirikan satu kerajaan yang bersih lagi bersih, kuat lagi kuat dan bermacam lagi megikut suka hati tafsiran dia, sehinggakan kerajaannya itu harus diiktiraf dan digunakan sebagai model. Inilah kepintaran Mahathir. Dia memang pandai berbohong besar di negara orang sehinggakan tergamak mengaibkan bangsa sendiri.

Menepuk Air Di Dulang

Gelagat Mahathir memburukkan parti pembangkang di negaranya sendiri adalah satu sikap yang memang sudah lama diamalkannya. Di New York dulu dia pernah menceritakan kepada sidang akhbar betapa "adanya golongan yang sanggup membuang peti-sejuk, TV dan radio kerana terlalu taksub kepada ajaran Islam yang songsang" Kini dia mendedahkan lagi pekong di dada terhadap orang Melayu; satu bangsa yang sama dengan ibunya dan juga isterinya. Dia memperlekehkan bangsanya sendiri dengan menggunakan Islam sebagai pemangkinnya.

Kita tidak perlu menganalisa corak jihad yang mahu ditonjolkannya, kerana sikapnya memburukkan darah dagingnya sendiri atas nama menonjolkan kewibawaannya. Kebiadaban Mahathir ini sudah cukup untuk kita menumpulkan sebarang usaha untuk menganalisa fikirannya itu. Sudah semakin terserlah kini bagaimana beliau sudah semakin kehilangan kebijaksanannya itu. Dia sanggup menuduh al-Maunah sebagai kumpulan yang cuba melakukan pemberontakan bersenjata sedangkan perkara itu belum disahkan lagi oleh mahkamah. Dia sanggup menuduh al-Maunah sebagai kumpulan serpihan parti politik PAS sedangkan semua rakyat tahu bahawa al-Maunah adalah satu kumpulan yang melakonkan satu sandiwara yang skripnya diolah oleh orang yang bukan mempunyai keahlian PAS. Dia mengungkit isu kafir-mengkafir kerana dia tahu itulah isu yang menarik minat orang yang bukan Islam dan media massa global. Sedangkan dia sendiri tahu isu itu mula tercetus tiga pemilu yang lalu di mana dia masih mampu memegang tampuk pemerintahan kerajaan pusat sehingga kini.


Demikianlah bangsatnya pemikiran seorang pemimpin yang tidak menerima tauliah yang jelas untuk memimpin bangsanya. Apakah dia fikir orang di Britain laksana katak di bawah tempurung ? Dia fikir orang tidak tahu bagaimana dia membrahminkan dua jawatan tertinggi dalam UMNO untuk terus kekal menjadi seorang Perdana Menteri. Apakah ini yang dimaksudkannya kenapa pemimpin bukan Islam di Malaysia tidak menentang kepimpinannya? Kalau demikian halnya, kenapakah dia sanggup menuduh kumpulan Suqui sebagai satu kumpulan yang setaraf dengan al-Maunah dan setaraf dengan komunis? Nampak sangat Mahthir sudah semakin sewel dan dia sudah menarik ramai lagi rakyat Malaysia turut sewel. Kini, dia mahu mempengaruhi masyarakat Islam di Britain agar turut sama sewel sepertinya.


Gelagat Mahathir di Britain sekaligus menjawab segala keraguan apakah dia sebenarnya ikhlas mahu menumpukan masa yang lebih kepada masalah parti? Apakah dia sebenarnya ikhlas mahu memberi ruang kepada Paklah memimpin kerajaan? Tidak!

Mahathir telah berada terlalu lama di mercu kepiminan negara, baik sebagai seorang diktator kerajaan yang memerintah mahupun sebagai diktator parti UMNO. Dia tidak boleh berubah sikap begitu sahaja seperti yang cuba dilakonkannya. Segala usaha yang dilakukan kini adalah bertujuan untuk memberitahu dunia apakah tindakan selanjutnya di Malaysia. Dia tahu, dia tidak mempunyai tempat lagi di pentas dunia. London adalah satu tempat yang terakhir untuknya berdiri bebas tanpa memikirkan gangguan besar. Satu ketika dulu dia mempunyai pengaruh yang mudah dipuji di Jepun. Tetapi, usaha yang dilakukan oleh isteri bekas Duta Amerika di Malaysia (berbangsa Jepun) telah mencelikkan mata orang Jepun. Kerana itu Mahathir cuba menguji keadaan di sana dengan menghantar Paklah berucap di hadapan kumpulan 'KEIDNREN' (satu kumpulan elit peniaga Jepun).

Terbangnya Impian Rakus

Mahathir sudah mula sedar betapa tarikh luputnya seudah semakin meggamit tubuhnya. Dia sendiri sedar banyak wang rakyat yang telah terbang bersama dengan segala projek mega yang membazir itu. Satu ketika dulu dia berlagak sakan seantero dunia mengembar-gemburkan projek mega itu. Dunia yang lebih pintar darinya senyap di hadapannya sambil tersenyum. Tetapi, di dalam hati mereka, tercetus ketawa besar akan kebodohannya. Di manakah lagi pentas luar negara untuk Mahathir berlagak sakan? Dia amat faham akan kepincangan ini.

Kerana itu usaha dilakukan untuk berbelanja besar di London dan Britain untuk beliau menonjolkan mukanya. Persidangan Britain-Malaysia Ketiga menjadi modal yang paling baik yang mesti dipergunakannya. Bayangkan terdapat 60 pemimpin koperat di London kali ini, semata-mata untuk menghadiri majlis yang tidak banyak maknanya. Mereka berbelanja besar akan duit syarikat sedangkan pemegang saham mengharapkan mereka berjimat cermat dalam menangani keadaan ekonomi yang meleset ini. Bayangkanlah kalau semua perbelanjaan yang dihamburkan masakini di London oleh Mahathir dan juga semua para juaknya, berapakah belanjanya yang boleh diagihkan kepada mangsa banjir yang mengalami nasib teruk di seluruh negara masakini? Apakah kerana Mahathir akan terus berlagak sebagai pemimpin ulung Malaysia di dalam dua abad itu makanya segala gambar mengenai mangas banjir tidak pernah ditunjukkan secara jelas di TV dan akhbar kerajaan masakini? Apakah sebarang usaha menyelamatkan masyarakat marhaen yang sentiasa diserang banjir bukan dikira sebagai jihad?


Mampukah semua masyarakat Islam di Bandaraya London itu memahami betapa di sebalik segala cakap besar Mahathir di London itu ada dua buah negeri Islam di Malaysia di mana hak rakyat ke atas royalti minyak dan gas telah diselewengkan oleh Mahathir bin Mohammad. Apakah jenis jihad yang mahu dijualnya di London itu sehinggakan rakyat Islam di Trengganu dan Kelantan sengaja didera untuk menidakkan hak mereka kepada royalti itu? Bagaimanakah pula dengan keadaan rakyat marhaen yang masih merempat di negara sendiri kerana hutang besar setelah pasaran BSKL lingkup disebabkan mainan nafsu serakah para kroni Mahathir itu?

Kalau Mahathir memang serius untuk berjihad, Malaysia sudah mampu melakar satu sistem bagaimana pendatang asing mampu bekerja di negara ini dengan sah dan pulang ke negara mereka setiap dua tahun dengan sah juga. Tentu tidak banyak bangunan pencakar langit yang kosong tanpa disewakan selain menjadi pusara konkrit yang menyemadikan jasad pendatang haram ini yang mati kerana kemalangan sewaktu bekerja. Tentu sekali Allah tidak menurunkan pelbagai bentuk musibah ke negara ini secara bersiri dan bersilih ganti.

Jihad apakah yang patut dijadikan model oleh Mahathir kepada dunia luar kalau majoriti rakyat Malaysia masih lagi kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati, sambil berdoa kepada Illahi, agar si diktator tua itu cepat pergi?



-Marhaintua-
4 Oktober, 2000