Laman Webantu   KM2A1: 2947 File Size: 6.2 Kb *



Bingkisan Buat Seorang Pejuang
By PenulisYang Berjurai

5/10/2000 10:46 am Thu

Surat ini adalah satu emel yang baru saya kirimkan buat seorang teman, seorang penulis yang hebat juga tetapi gugup sedikit sehingga ia mengalahkan kehebatan lakaran penanya pula.

Memandangkan isinya bercorak nasihat, mungkin elok dipanjangkan ke forum ini juga. Ia diubah suai sedikit untuk tatapan pembaca.


Awalkata

Saya masih kurang sihat, jadi terpaksa berehat berkerja sedikit. Saya manfaatkan rehat yang tidak seberapa itu untuk melukis coretan sebelum waktu terlapang itu pergi menghilang.


Mengubat sedikit resah dan risau

Kasihan juga saya pada sdr bila membaca kisah sdr itu. Belum pernah seorang penulis terpitam dan demam selepas tulisannya tersiar di laman kecil itu. Oleh itu saya terbangkan emel ini untuk mengubat sedikit resah yang merisaukan tuannya. Semoga ia dapat merobah sedikit gangguan dan rasa gemuruh yang menghantui perasaan.


MENULIS DENGAN SELESA

Saya dapat membayangkan sdr seperti memaksa diri untuk menulis. Iklim sebegini kurang sesuai untuk melakar hujah. Sebab itulah tuannya terasa kurang selesa. Nasihat ini memang ingin saya layarkan dalam emel terdahulu tetapi demam pula menggangu.

Biarkan penulisan itu muncul mengikut kehendak dan kerelaan semulajadi. Nanti ia lebih berisi dan tercatat seribu arti. Kekuatan menulis kita belum hebat lagi untuk menulis secara berterusan atau berkala setiap minggu atau setiap hari. Hanya orang-orang tertentu yang berpengalaman sahaja mampu menulis beracap kali.


Kekuatan sdr ialah beberapa pengalaman yang sdr telah dan bakal alami. Pengalaman ini amat ekslusif dan sukar ditemui - apa lagi dalam dunia yang penuh dengan sandiwara terkini. Ia mirip pengalaman Wak yang menjadi agak 'ribut' masakini. Jika cebisan-cebisan pengalaman itu dapat diatur serta diolah dengan baik dengan sedikit elemen perasaan, ia bakal menggoncangkan dunia penulisan. Ia mungkin tidak berlaku sekarang, tetapi di masa yang bakal mendatang.

(Catatkan sahaja semua point yang terlintas difikiran dahulu. Apabila lapang dan senang, cuba cantumkan ia menjadi karangan. Ilham untuk mencantumkan ini mungkin tidak ujud diwaktu siang yang sibuk dengan urusan - tetapi ia mungkin datang bertali-arus di kala aman atau di saat kesepian...)

Kita tidak boleh menjadi penulis dengan satu dua rencana sahaja. Kita perlu banyak mencuba untuk menimba pengalaman. Penulisan yang hebat tidak ujud dengan satu tulisan yang terlakar dalam satu hari sahaja.

"The Roman Empire was not built in one single day."

Budak kecil kalau diajar berjalan, lama-lama pandai juga. Ia perlu jatuh beberapa ketika sebelum ia dapat berjalan dengan baik tanpa bantuan ibunya. Untuk itu kita jangan merasa kecil hati. Kita perlu belajar dan cuba berjalan - kemudian barulah kita boleh berlari.

Cerita Forest Gump (menang award kan?) itu patut dijadikan satu bingkisan untuk membina semangat di dalam diri. Budak yang malang itu cuba berlari walaupun ada kecacatan di kakinya. Kekuatan semangatnya itu menyebabkan penahan kakinya itu berkecai dan dia akhirnya dapat berlari sepuas hati membebaskan diri dari ejekan manusia dan perasaan hina diri yang menghantui dirinya sendiri.

Jika budak sekecil itu boleh membebaskan dirinya, mengapakah satu bangsa yang kaya dengan pelbagai sejarah gemilang dan kepahlawanannya masih belum dapat berlari?. Siapakah yang mengikat mereka selama ini?. Adakah orang lain atau diri mereka sendiri?

MENULIS DENGAN PERASAAN DAN SIFAT

Manusia yang tidak menunjukkan satu tindakbalas yang positif selalunya sukar mencari teman. Begitu juga dengana alam penulisan.

Sebenarnya di sinilah terletak beberapa pukulan 'maut' penulis yang boleh membuatkan para pembaca terpegun atau ternganga olehnya.

Setiap objek diberikan sifat untuk menghidupkan wataknya. Maka lahirlah ungkapan "menggeleng beberapa kali", "menggoyang kaki", "berkerut dahi", dll expression yang sengaja diselit oleh penulis untuk memberi satu gambaran yang boleh memukau pembaca.

Jika sdr berkerja dalam pejabat yang ramai kakitangannya, gelagat manusia disekeliling sdr itu sudah cukup untuk dicatat buat cerita. Rekodkan pergerakkan spontan mereka sebagai satu idea dalam penulisan sdr.

Gelagat manusia mengetuk meja, bersiul-siul, memicit dahi atau mundar mandir sana sini, dll lagi itu amat berguna jika disumbat kedalam rencana sdr. Ia akan membuatkan pembaca terpesona dengan ketajaman dan lukiran rakaman deria mata.

(mungkin sambung dalam emel seterusnya.... nanti emel ini panjang sangat pula.)

MENGENANG CERPEN SILAM

Sebelum diakhiri emel ini, rasanya tidak lengkap jika tidak diceritakan sedikit celoteh cerpen silam sewaktu di tingkatan lima itu. Jika tarikh cerpen itu disiarkan, tentunya usia pengarangnya dapat diukur dengan mudah..... memadailah kalau saya katakan ia ditulis di sekitar tahun lapan atau sembilan pulohan.

Untuk pengetahuan sdr, saya tiada mempelajari sebarang ilmu sastera, oleh itu semua nasihat yang terlakar itu adalah bingkisan pengalaman yang mengajar serta diambil iktibar. Seperti yang saya nyatakan sebelumnya - saya pada awalnya bukan seorang penulis. Malah saya mengikuti jurusan sains seperti sdr itu juga.

Karya yang paling saya minati ialah satu cerita yang menyayat hati yang ditulis oleh sasterawan negara, ia bertajuk "Ranjau Sepanjang Jalan" - siapa lagi pengarangnya jika tidak Prof. Shahnon Ahmad.

Saya menangis membacanya - demikianlah satu kekuatan pena yang amat dahsyat ketajamannya. Ia mampu menukar diri saya yang amat diam ini untuk melakukan sesuatu. Ia bermula berpuloh tahun lalu dan kekal menjiwai diri walau sekian lama berlalu. Kekuatan pena seperti inilah yang mengajar saya untuk berjuang di alam maya yang penuh sayu dan pelbagai kenangan pilu....