Laman Webantu   KM2A1: 2939 File Size: 29.1 Kb *



Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai (Prolog)
By Marhain Tua

4/10/2000 6:50 am Wed

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai

YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

P r o l o g


Apabila saya tamat menyiapkan Bab-30 dalam "Siri Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila", saya fikir eloklah mengambil masa yang panjang untuk menulis bab penutup siri itu dalam bentuk satu epilog. Saya perlu membaca kembali 30 bab yang ada dan membuat rumusan beberapa halaman dengan mencoretkan sedikit penjelasan ke atas beberapa idea yang terpetik ketika menulis siri tersebut.

Ramai peminat yang menulis dalam pelbagai perkara. Ada yang mahu saya percepatkan tulisan epilog itu. Ada yang mahu saya teruskan siri tersebut sedangkan ramai yang memberi pelbagai lagi idea sebagai bahan penulisan.

Untuk mengelakkan perkara remeh-temeh berpanjangan:


  1. Kini saya mengambil satu jalan pintas untuk menangguhkan sahaja penulisan epilog itu kepada satu masa yang bersesuaian sebelum berakhirnya tahun 2000.

  2. Menyambung tulisan saya dalam satu siri yang baru yang saya namakan seperti di atas. Semoga sama-samalah kita menikmatinya. Semoga tulisan ini seperti yang lain terdahulunya akan menjadi satu bahan sejarah untuk warisan bangsa. -MT-


<<<>>>

Jikalau kita lihat keadaan hidup rakyat Malaysia sekarang ini dan bandingkan dengan keadaan selepas tercapainya kemerdekaan dulu, memang kita harus akui betapa banyaknya liku-liku hidup yang telah diharungi oleh bangsa kita untuk sampai ke tahap kehidupan yang ada. Inilah yang dikatakan kemajuan dan ini jua yang ditakrifkan sebagai pembangunan hayat. Namun, perbezaan yang amat ketara itu tidak jua merobah sikap masyarakat untuk mengejar apa yang dikatakan sebagai kebahagian, kerana kebahagian untuk hidup itu difikirkan harus mampu memberikan keselesaan ke atas segala-galanya, sehinggakan ramai di kalangan masyarakat itu yang tersilap arah untk memahami apakah sebenarnya satu kebahagiaan. Impaknya, ada yang terus merana sehingga ke hari tua dan ada yang tidak dapat untuk terus hidup selesa seperti yang diimpikannya.


Kepimpinan Yang Pincang

Jikalau kita ambil sejarah kemerdekaan Malaysia dan kepimpinannya, kita dapati rakyat negara ini sudah menghirup angin kemerdekaan selama 43 tahun. Daripada tempoh ini, dua puluh tahun telah dihabiskan untuk hidup mengikut rentak kepimpinan seorang insan yang bernama Mahathir bin Mohammad. Mereka yang hidup lebih awal dan lahir sebelum kemerdekaan, tentu telah mengalami satu proses kehidupan yang panjang sehingga mampu berkata: betapa perubahan diidamkan. Di kalangan orang Melayu, kalau ada pun segelintir insan yang mengaku betapa keadaan hidup kini adalah menepati idamannya, kumpulan insan seperti itu boleh digolongkan sebagai mereka yang berjaya dan yang harus menjadi bahan rujukan bagaimana mereka mencapai taraf itu. Rujukan menyeluruh itu penting kerana kita telah lihat bagaimana seorang guru yang memukul kompang di zaman mudanya boleh menjadi jutawan dalam satu masa yang singkat kerana dia menjadi seorang wakil rakyat. Kita juga telah melihat bagaimana kekayaan menghambat seorang menteri besar yang satu ketika dulu susah hidupnya. Kalau dikira akan pendapatannya sebagai menteri besar itu tentu kita hairan bagaimana dia mampu membawa keluar sejumlah wang yang tidak setara dengan pendapatan bulanannya.

Contoh yang disebut di sini merupakan segelintir contoh yang menjijikkan tetapi inilah yang merupakan racun berbisa yang telah mengabui minda rakyat di negara ini terutama sekali orang Melayu sehingga rakyat Malaysia secara keseluruhannya dipandang oleh orang asing sebagai satu bangsa (Malaysian) yang sungguh korup dan amat gemar kepada serba serbi yang bersangkutan dengan amalan korupsi. Yang sebetulnya amalan hidup penuh bergelumang amlan korupsi itu berlaku setakat ahli politik yang menjadi komponen Barisan Nasional secara jelasnya.

Secara jelasnya pula kalau dilihat akan apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohammad sejak dia memegang kuasa, sikap memerangi korupsi itu merupakan satu amalan yang utama dalam pentadbirannya. Konsep "Bersih, Cekap dan Amanah" merupakan cogankata utama yang dilaungkannya sebaik sahaja dia memegang kuasa. Tetapi, apakah jadinya? Dua puluh tahun kemudiannya, kita dapat lihat, yang 'bersih' itu ialah segala khazanah negara yang dibalunnya untuk memuaskan nafsu serakahnya. Yang 'cekap' itu ialah cara dia menangani segala projek mega ang mampu membelakangkan keizinan rakyat yang melantiknya sebagai seorang pemimpin. Yang 'amanah' pula tentunya berhubung kait dengan cara dia melakukan songlapan sehinggakan rakyat jelata tidak sedar sesuatu songlapan itu sudah pun dilakukan.



Antara Yang Pelik dan Ajaib

Generasi yang akan datang yang sudah pasti mengkaji sejarah silam akan bertanya bagaimana sebuah negara kaya seperti Malaysia ini mampu menjadi satu negara yang merempat dan melata disebabkan beban hutang yang sungguh besar, sedangkan Allah telah mengurniakan segala jenis sumber kekayaan yang mampu menjadikannya sebuah negara Islam yang terkaya di dunia? Kenapakah Malaysia tidak menjadi satu negara yang digeruni oleh dunia dan diambil kira sebagai Kumpulan G-7++, sedangkan Malaysia mempunyai segala kriteria untuk menjadi kuat dan berkuasa? Bukankah Malaysia merupakan sebuah negara 'kawah menggelegak' (melting pot) di mana tamaddun dunia yang lebih matang daripada tamaddun Eropah dan Amerika (yakni budaya Arab, India Farsi, China mampu berinteraksi dengan budaya dan tamaddun Melayu ? Kalau diambil kira akan tamaddun orang Cina dan India dan dikira pula sikap toleransi dan mudah-mesra budaya dan tamaddun Melayu, Malaysia sepatutnya sudah mampu berdiri tegak seiring jalan dengan apa yang disebut sebagai kuasa besar yang menjadi ahli G-7 sekarang ini. Apakah kita masih tidak sedar, bahawa penjajahan negara oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan 'Bintang Tiga' adalah penjajahan fizikal yang membawa banyak khazanah tamaddun dunia ke rantau ini untuk diselidikki dan diserap ke dalam tamaddun Melayu moden? Bagaimana pula dengan peradaban Islam, Arab, Farsi, Hindu-Pak, Cina dan India? Bukankah semua ini satu tangkal yang besar yang sepatutnya menjadi azimat untuk bangsa Malaysia menjadi satu bangsa yang besar dan gagah di dunia ini?

Kalau kita lihat apa yang berlaku sejak satu ratus tahun yang lalu, kita dapati Malaysia tidak pernah terlepas peluang untuk menguasai dunia kerana harga dagangan yang tinggi berlaku secara menyeluruh sedangkan barangan itu ada di Malaysia. Rempah-ratus dan damar telah menjadikan Melaka sebuah kerajaan yang dihormati oleh dunia, kemudian muncul getah asli, bijih, koko, kelapa sawit, minyak dan selepas ini banyak lagi sumber asli ataupun barangan yang mudah diperdapatkan di negara ini yangn membuatkan negara menjadi pusat tarikan di mana seluruh dunia akan menagih simpatinya. Yang lebih penting sekali, inilah sebuah negara yang kosmopolitan di mana kebanyakan keluarga yang merupakan pelbagai kaum dan agama itu mempunyai pertalian darah melalui perkahwinan ataupun semangat kejiranan ataupun pertalian anak angkat yang berlaku di masa silam.

Ciri kemospolitan yang begitu lama terjalin telah mampu menepis episod Mei 13 1969, yang tercetus kerana berlakunya putar belit politik oleh golongan yang rakuskan kuasa. Keupayaan rakyat marhain menangani episod itu dalam satu masa yang singkat adalah menakjubkan kerana pemimpin UMNO sehingga kini, masih lagi menggunakan kemelut Mei 13 itu sebagai satu kayu ukuran untuk mengingatkan orang Melayu agar terus menyokong perjuangan UMNO sedangkan perjuangan UMNO itu sudah lama berkecai dengan pembubarannya. Yang tinggal ialah UMNO (Baru) yang ramai orang Melayu kini suka menyebutnya sebagai UMNO Barua.

Satu ketika dulu tragedi Mei 13 adalah satu bab sejarah yang dianggap keramat oleh UMNO kerana ia mampu menjatuhkan seorang perdana menteri yang merupakan Bapa Kemerdekaan Negara. Tunku Abdul Rahman sebagai anak raja yang berjuang secara bergadai-golok untuk mengongkosi tambang dan keperluan missi perunding Malaysia ke London dulu telah mampu mendapatkan kemerdekaan untuk Malaysia sebagai penamat kepada satu tahap perjuangan orang Melayu yang berjuang mati-matian mempertahankan negaranya dari penjajah dulu. Tunku disanjung oleh orang Melayu kerana orang Melayu marhain yang merana sekian lama sebelum itu telah berkorban nyawa untuk menentukan Persekutuan Tanah Melayu tidak mudah dikotak-katikkan oleh British, walaupun golongan istana telah lama menerima British sebagai penasihat mereka. Semangat perjuangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu telah diduplikasi oleh masyarakat Melayu di Sabah dan Sarawak sehinggakan British yang menjajah tidak mampu berbuat kerenah secara berlebihan. Di atas semangat juang orang Melayu yang bertarung nyawa itu makanya terbina satu masyarakat Melayu yang toleran terhadap budaya orang lain, mudah mesra dengan setiap tamu yang mendatang, mudah menerima ajaran baru yang difikirkan dapat membangunkan masyarakatnya dan menerima pakai setiap kata yang dihamburkan oleh mereka yang telah dilantik sebagai pemimpin bangsa. Inilah ciri-ciri kekuatan orang Melayu yang seperti bahagian lonjong setiap rantai yang mampu menjadi titik penyambung di antara satu dengan lainnya. Seperti juga dengan ciri yang terdapat di rantai yang bersambung itu, inilah juga titik kelemahan masyarakat Melayu itu sebenarnya.


Sejarah kegemilangan bangsa yang besar di dunia ini bermula dengan era kedaifan yang menyebabkan ramai rakyat jelata bangsa itu yang mati kebuluran disebabkan kekurangan makanan, wabak penyakit yang berjangkit ataupun kekalahan dalam peperangan. Pengalaman yang amat getir inilah yeng menyuntik semangat kekentalan untuk bertahan dan membangun semula menjadi satu bangsa yang besar dan berwibawa. Kalau kita teliti fenomena kemajuan bangsa yang besar itu ada dua perkara unik yang muncul hingga menyebabkan berlakunya dua fenomena yang menukar haluan hidup sesuatu bangsa itu. Sesuatu bangsa yang menonjolkan dirinya disebabkan mengikut arah tuju yang dilakar oleh seorang pemimpin yang popular tanpa mengetahui dengan jelasnya apa sebenarnya rencana mega pemimpin itu akhirnya kecundang menjadi satu bangsa yang sengsara. Bukankah ini yang berlaku kepada Turkey di bawah Kamal Ataturk? Malahan inilah juga yang berlaku kepada Jarman di bawah Hitler, Jepun di bawah Emperor Hirihito, Korea Utara di bawah Kim Il Sung, Liberia di bawah Sarjan Doe, Uganda di bawah Idi Amin, Sudan di bawah Jaffar Nyerere, Congo di bawah Mobuto, Bangladesh di bawah Arshad Husin, Somalia di bawah Siad Bari, Ethiopia di bawah Mogistu Mariam, Filipina di bawah Marcos dan yang terdekat; Indonesia di bawah Suharto.

Nama yang disebut itu tadi adalah manusia yang satu ketika dulu menjadi nama yang popular di tahap awalan kuasa mereka, tetapi menjadi nama yang dibenci oleh bangsanya kerana membuatkan negara mereka hancur kemuflisan dan rakyatnya merempat di merata dunia.

Keunikan yang lagi satu, terletak kepada cara kegemilangan bangsa yang tertekan disebabkan kerakusan pemimpin unggul itu akhirnya mampu bangkit kembali untuk menjadi satu bangsa yang besar. Cuma yang disangsikan bagaimanakah kebangkitan itu akan berlaku dan berapa lama pula zaman transisi yang terpaksa dilalui oleh sesuatu bangsa itu sebelum menggapai pentas kegemilangan yang diidamkannya ?


Jarman tumpas setelah diserang habis-habisan oleh Pasukan Allies (Bersekutu). Sebuah negara industri yang besar berpecah menjadi satu negara yang mempunyai dua ideologi tetapi mampu bersatu menjadi satu negara yang besar kembali. Jepun bangkit semula kerana dikejutkan oleh ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Rakyatnya bangkit untuk menutup keaiban yang berlaku ke atas nama bangsa Jepun. Inilah sebuah negara yang kaya dengan ilmu pengetahuan tetapi miskin dengan hasil bumi dan hutan rimba.

Jarman dan Jepun bangkit di atas tumpah darah yang mengalir pekat di bumi sendiri dan di bumi orang lain yang mahu dijajahnya. Mereka bangkit tanpa mempunyai satu kaki persegi kawasan jajahan lagi. Kini, mereka menjadi ahli kumpulan negara terkaya di dunia yang dikenal sebagai Kumpulan G-7. Ahli lain dalam kumpulan itu merupakan kuasa besar lama yang mash lagi mempunyai negara luar yang dijajahnya ataupun yang diberikan kuasa otonomi. Inilah Great Britain, Amerika Syarikat, Peranchis, Kanada, Itali, Jerman dan Jepun. Kecuali Amerika, negara yang lain tidak pun mempunyai hasil bumi yang besar di negara induk mereka. Mereka masih lagi bergantung kepada negara jajahan ataupun bekas jajahan bagi hasil bumi yang diperlukan. Tetapi, mereka mampu berlagak besar dan bagak kerana mereka mempunyai pengetahuan teknologi yang mereka sengaja kongsi bersama secara rahsia.

Alangkah seronoknya kalau di kalangan G-7 itu ada sebuah negara Islam, yang mampu menjadi sebuah ahli yang menerangkan keluhuran ajaran Islam? Pada tahun tujuh puluhan, Arab Saudi meledak sebagai negara yang terkaya di dunia kerana harga minyak yang naik mendadak dan sekaligus Arab Saudi menjadi satu negara yang amat disegani oleh negara luar kerana ia mampu menaja pembangunan di semua negara Arab yang lain, termasuk juga negara Islam di beberapa tempat. Kekayaan Arab Saudi itu telah mencelikkan mata para pengeluar barangan konsumer sehinggakan setiap bungkusan barangan yang dijual di seluruh dunia mempunyai tulisan Arab dipaparkan di sarung (pembungkus) barangan itu. Kenapakah begitu sekali berubahnya pandangan mata dunia luar terhadap Arab Saudi? Kerana harga minyak yang tinggi telah meledakkan negara itu ke arah pembangunan yang pesat. Berbilion wang dihambur untuk pelbagai pembangunan negara sehinggakan banyak pekan kecil menjadi bandar di mana pendatang asing diambil untuk bekerja di sana. Sayangnya pembangunan fizikal yang dilakukan kepada infrastruktur di keseluruhan negara tidak disaingi oleh pendidikan yang setara untuk anak-anak Arab Saudi sedangkan ibubapa mereka menjadi pengendali dan pengelola pembangunan itu. Kebanyakan rakyat Arab Saudi masih khayal dengan budaya lama mereka sehinggakan mereka sibuk dengan perkara yang remeh temeh sehingga tidak mampu membuat keputusan apakah wanita boleh dibenarkan menjadi pemandu kereta secara bersendirian di jalanraya. Kekayaan yang datang mendadak tidak digunakan untuk mendidik penduduknya sehinggakan ramai suri rumah menghabiskan masa siang berbeli-belah sahaja dan menyerahkan nasib pembangunan anak-anak kepada orang-gaji daripada Filipina, Inodnesia, Thailand dan Sri Lanka. Impaknya, ramai anak-anak muda Saudi kini kurang fasih bertutur dalam bahasa ibunda mereka sedangkan pengetahun berbincang adalah dalam Bahasa (pasar) Inggeris semata-mata. Anak yang diserahkan kepada orang-gaji mendidiknya pun mempunyai fikiran orang mendatang, hanya mudah berseronok tanpa memikirkan perlunya mendapat pendidikan yang tinggi. Sejak lima tahun yang lalu, Arab Saudi yang merupakan penyumbang wang kepada institusi besar seperti IMF dan Bank Dunia, boleh bertukar status menjadi peminjam kepada Bank Dunia pula. Sejak dari itu, pelbagai bentuk cukai telah diperkenalkan dan harga kos mengerjakan umrah dan haji ke tanah suci pun menjadi lebih mahal lagi.


Hasil Minyak yang Disalahgunakan

Satu ketika dulu, pegawai kerajaan Arab Saudi akan memperlekehkan negara Islam lain. Kalau ada sebarang mesyuarat mengenai agama Islam ataupun hal ehwal mengerjakan haji, mesyuarat itu harus dilaksanakan di Arab Saudi seolah-olah hal ehwal haji itu adalah urusan ulung Arab Saudi semata-mata. Keadaan sudah berubah, Arab Saudi sudah perit kerana pembangunan negara yang banyak membazirkan warisan bangsa dan pemberian Allah. Sedikit demi sedikit maruah orang Arab Sudi sudah tercemar. Mereka sedang mengikut trend yang dipelopori oleh orang Arab Kuwait, yang satu ketika dulu lebih kaya daripada orang Saudi, berdasarkan pecahan penduduk dengan pengeluaran minyak negara.


Kewujudan Kuwait merupakan satu sejarah yang manakjubkan sebelum tercetusnya peperangan dengan Iraq. Kekayaan yang melimpah ruah membuatkan setiap rakyat Kuwait hidup dalam satu syurga buatan manusia di mana anak-anak sudah tidak mampu bertutur dalam Bahasa Arab dengan fasihnya kerana mereka lebih selesa bertutur Bahasa Inggeris yang mereka pelajari daripada ibu angkat mereka daripada Filipina, Indonesia, Sri Lanka ataupun Thailand. Kekayaan telah membuatkan golongan ibu sibuk membeli-belah sambil menyerahkan tugas membesarkan anak-anak kepada pengasuh upahan.

Ketika itu, kumpulan lelaki pula sibuk dengan pasaran saham yang bernama "Suk almanaq' yang dibuka berasaskan perjalanan Pasaran Saham Komoditi Chicago. Bayangkan ketika itu ikan ariwana pun boleh didagangkan secara lelongan. Malahan kilang Arab yang diwujudkan dengan harga berjuta ringgit menjadi tarikan pasaran saham tidak kiralah samada kilang itu sudah berfungsi ataupun belum. Kekayaan mendadak itu telah membuatkan golongan muda Arab Kuwait lupakan diri bahawa mereka adalah orang Arab. Setiap kali mereka terbang ke luar negara, sebaik sahaja tangki bulat yang mengandungi bekalan air tidak kelihatan lagi daripada tingkap pesawat udara, para rakyat Kuwait akan berlumba-luma lari ke tandas untuk menukar pakaian . Minuman kahwa dan jus pun bertukar kepada wain dan bir. Ketika itulah ramai orang Kuwait yang menyangkakan mereka hidup dalam satu syurga bikinan manusia yang mampu membuatkan mereka menikmati kehidupan dalam dua alam. Allah mencetuskan satu musibah kepada rakyat Kuwait sehinggakan ramai yang menjadi papa kedana hingga ke hari ini. Ramai yang hidup merempat di luar negara dan membuat kerja-kerja kasar sambil merenung kenikmatan hidup di zaman silam. Yang anihnya ramai yang tidak mahu mengaku mereka bebangsa Kuwait kerana lebih selesa mengaku mereka adalah rakyat Palestin.


Musibah Berbentuk Sumpahan Minyak

Musibah disebabkan menyalah-gunakan hasil minyak yang diberikan oleh Allah kini sudah melanda Brunei, Indonesia dan juga Malaysia. Brunei hampir muflis kerana penyalahgunaan wang petrol oleh seorang adik kepada sultan yang bertakhta sekarang. Mujur, Sultan sendiri masih lagi mempunyai simpanan wng dan harta yang banyak yang mampu menyelamatkan negaranya daripada merempat. Rakyat Brunei bernasib baik kerana mempunyai seorang Sultan yang teguh imannya dan bersemangat besar untuk memelihara rakyatnya. Penulis masih ingat lagi akan rupa baginda dan adiknya ketika berdiri di tepi padang Victoria Institution menyaksikan permainan ragbi yang amat diminatinya ketika itu. Alhamdulillah, sistem pendidikan Malaysia ketika itu masih mampu menyelamatkan rakyat Brunei.


Indonesia dan minyaknya sepatutnya mampu menonjolkan bangsa Indonesia menjadi satu bangsa yang besar. Tetapi, ia gagal keluar daripada kancah kemuflisan kerana khazanah negara telah diseleweng oleh pemimpin negara yang rakus. Dasar penyatuan negara yang mengandungi berbilang kaum dan bangsa serta agama dan budaya kedaerahan telah gagal menemukan satu bangsa yang besar yang mampu menikmati khazanah negara. Kekayaan negara hanya dinikmati oleh segelintir masyarakat pemimpin yang beruniform dengan dipelopori oleh sekumpulan kaum Cina yang diberi ruang yang luas untuk bermaharaja-gila. Akibatnya rakyat Indonesia merempat ke serata dunia untuk terus hidup tanpa banyak sengsaranya. Yang lebih menyedihkan, peniaga Cina yang rata-rata penganut agama Kristian telah mampu menyisihkan ajaran Islam di kalangan rakyat pribumi yang lahir sebagai orang Islam.


Musibah yang melanda Brunei dan Indonesia telah juga melanda Malaysia. Kalau mengikut keadaan sebenar, Malayia sepatutnya tidak dihinggapi musibah itu seandainya pemimpin negara tidak korup, rakus dan mengamalkan nepotisma, kronisma dan apa juga cara pemerintahan kuku besi yang membelakangkan amanah rakyat. Di antara tiga negara yang berteraskan Bangsa Melayu dan berpaksikan Agama Islam, Malaysia sepatutnya merupakan negara yang mampu menjadi satu negara besar yang boleh diambil kira sebagai rakan runding oleh Kumpulan G-7. Malaysia bukan kaya disebabkan minyaknya, ataupun hasil buminya, tetapi kerana rakyatnya yang mampu bekerja kuat untuk mengejar matlamat yang diatur oleh kerajaan yang memerintah. Kini, Malaysia merupakan sebuah negara kecil yang mempunyai hutang luar negara yang amat besar.

Kegagalan Malaysia sehigga hampir menjerumuskan rakyatnya ke kancah kemuflisan adalah disebabkan pemerintahan yang rakus. Cukup dulu dengan kenyataan pendek ini. Saya mahu ketengahkan satu teori yang saya amati sekian lama untk difikirkan bersama.

Setelah dihenyak oleh apa yang dikatakan 'penyangak matawang' Malaysia mampu bangun untuk memerbetulkan keadaan ekonominya. Pinjaman dengan kadar yang tinggi dibuat dengan menggadaikan harta rakyat yang disimpan oleh Petronas. Sebahagian besar wang pinjaman itu digunakan untuk menyelamatkan syarikat kepunyaan para kroniputra. Mujur di waktu yang sama harga minyak naik mencanak. Perbelanjaan negara yang ditaksir berdasarkan harga minyak setong USD 16.00 diselamatkan oleh harga minyak yang naik lebih dua kali ganda. Kerana itu peranan Danamodal dan Danaharta menjadi licin kerana adanya sokongan harga minyak ini.

Tetapi, peranan Danaharta dan Danamodal adalah satu peranan yang dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai 'Receiver' (pemegang amanah raya). Ini bererti setiap syarikat yang ditolong oleh Danaharta ataupun Danamodal adalah syarikat yang sudah muflis. Hampir semua syarikat ini adalah kepunyaan "Siapalagi"? Bagaimana pula dengan rakyat marhain yang dihenyak oleh keadaan meleset disebabkan salah tadbir itu tadi? Mereka merempat kerana mereka tertipu dengan janji-janji "bahawa negara mempunyai satu ekonomi yang tumbuh dengan kadar lebih lapan persen selama bertahun lamanya! Kerana itu kita mesti berfikiran terbuka dan memberi tumpuan kepada industri moden. Kita tidak perlu lagi memberi tumpuan kepada pertanian kerana kalau kita kaya kita boleh beli hasil pertanian jiran kita..!" Demikianlah khutbah seorang diktator tua yang tidak faham yang dia tidak lagi diperlukan di negara ini.

Inilah yang dilakukan sejak dua puluh tahun dulu di mana minda rakyat terutama sekali orang Melayu diputarbelitkan agar terus percaya kepada seorang presiden UMNO yang akhirnya takut untuk bertanding secara terbuka untuk jawatan utama parti itu, apatah lagi menghadirkan dirinya ke mahkamah dalam satu kes yang dimulakannya. Sayang sekali Malaysia menerima musibah kerana toleransinya terhadap si bedebah ini.

Kini, harga minyak dinaikkan sedangkan reaksi susulan akan menaikkan semua harga barangan yang lain. Cuba fikirkan perkara ini dulu:


  1. Dua bulan yang lalu semua pengeluar minyak di negara ini telah mempekenalkan sejenis minyak baru yang dikatakan jenis yang sama digunakan oleh kereta formula 1. Minyak jenis ini diperkenalkan di bandar besar sahaja kerana ia menggantikan minyak berplumbum yang sudah pun ditarik daripada pasaran. Ini bererti harga minyak sudah dinaikkan dua bulan yang lalu, dengan bertopengkan jenis minyak yang lebih bermutu. Di stesen Shell, minyak ini lebih senang dipromosikan sebagai Shell Viagra. Kini harga minyak dinaikkan lagi.

  2. Setiap pengeluar besar minyak tahu betapa harga minyak dunia naik tinggi setiap lima tahun. Kenapa? Kerana ketika itu ada kempen pengundian Presiden Amerika. Semua pengeluar minyak dunia menyumbang jumlah yang besar dalam kempen itu. Walaupun minyak naik, rakyat di Amerika terus menerimanya kerana mereka tahu satu hari nanti harga akan diturunkan sedikit untuk melegakan perasaan mereka. Di waktu yang sama, proses kempen politik menyebabkan banyak minyak digunakan. Kenapakah fenomena ini tidak difahami oleh pemikir dalam kerajaan dan juga UMNO? Kalau fenomena ini difahami secara 'price-tracking' tentu sekali kerajaan sudah mampu memperuntukkan bekalan simpanan laksana 'National Stockpile of America'. Apakah Mahathir tidak pernah belajar daripada kerugian besar yang dialami oleh negara ketika dia cuba merampas monopoli pasaran logam daripada London (London Metal market). Bukankah kerajaan kerugian berbilion ringgit dalam usaha itu disebabkan kerajaan Amerika menggagalkannya dengan mengeluarkan simpanan stokpail mereka atas permintaan Magaret Thatcher dan Kerajaan Switzerland?


Kalau seorang pemimpin negara yang mudah terkembang hidungnya apabila orang menggelarkan dirinya sebagai wira dunia ketiga tidak mampu memahami hakikat kenaikan harga minyak ini, apakah lagi yang diperlukan oleh rakyat daripada kepimpinannya? Lihat, sekarang harga minyak sudah dinaikkan berdasarkan harganya yang rendah jika dibandingkan dengan Singapura dan Thailand. Harga terpaksa dinaikkan untuk mengelakkan negara jiran datang membalunnya. Itukah alasan yang lojik? Apakah para pemimpin UMNO tidak faham kalau harga minyak dinaikkan semua barangan yang lain akan dinaikkan sama? Janganlah menteri harga barang Mahyuddin Yassin sibuk-sibuk memberi amaran mengenai kenaikan harga yang lain. Harga barangan yang lain itu akan dinaikkan juga, akhirnya.

Tun Daim sudah berkata bahawa kenaikan harga minyak adalah bersifat sementara dan dijangka akan turun tahun hadapan. Kalau begitu kenapakah dibenarkan harga minyak naik lagi sedangkan pada dua bulan yang lalu harganya sudah dinaikkan? Sepatutnya harga tidak boleh dinaikkan dan cara lain untuk mengawal penggunaan minyak dilaksanakan. Dengan cara ini, hanya mereka yang memerlukan kenderaan berminyak akan menggunakannya. Di waktu yang sama kerajaan sepatutnya mengeluarkan arahan, agar semua pengeluar minyak menghentikan perbelanjaan yang tidak perlu agar mereka mampu menyerap kenaikan harga minyak itu. Contohnya ialah pembekuan perbelanjaan untuk pengiklanan, kerana kita tahu pengiklanan adalah satu cara halus di mana pengeluar minyak melarikan wang ke luar negara.

Satu ketika dulu hanya Sarawak yang mengeluarkan minyak. Sebulan sekali adalah pegawai daripada Perbendaharan yang pergi ke Miri untuk membuat lawatan ke pelantar minyak. Tersebut kisah seorang pegawai bernama Yusuf (kemudian bergelar Dato') bin Basir (anak saudara kepada Tan Sri Hashim Aman) yang membuat lawatan itu. Dia mendapati semua perkara berjalan lancar sehinggalah dia mahu pulang ke darat daripada pelantar minyak. Dari dalam bot yang membawanya dia terpandang ke arah paip minyak di dasar laut yang bercabang ke arah lain dan tidak ke pantai Miri. Dia bertanya kepada pengendali bot itu ke manakah paip itu disambungkan. Jawapannya "Brunei, Tuan". Barulah kerajaan sedar melalui pegawai ini betapa selama itu syarikat yang menggerudi minyak di bumi Malaysia itu telah mencuri minyak secara terang-terangan. Kini, paip minyak seperti itu mungkin tidak ada lagi, tetapi kita berani berkata hampir semua syarikat minyak asing menipu rakyat negara ini melalui kos pengiklanan. Di situlah mereka mengatakan mereka perlu menaikkan harga minyak di pasaran untuk menanggung kerugian. Perkara semacam ini bukannya Mahathir tidak tahu, ataupun orang UMNO tidak tahu. (Bukankah industri pengiklanan dikawal oleh adik ipar Mahathir sendiri?) Mereka sengaja tidak mahu tahu. Itulah dasar mereka menjadi wakil rakyat. Bukankah itu juga dasarnya yang mereka mahukan orang Terengganu ikuti agar mereka menerima satu putarbelit terbaru - bahawa royalti minyak adalah berupa ehsan kerajaan Pusat?


-Marhaintua-
3 Oktober, 2000.

Allah turunkan musibah peperangan yang menghancurkan padang telaga minyak Kuwait untuk menghentikan kerakusan yang berlaku.