Laman Webantu   KM2A1: 2929 File Size: 16.6 Kb *



RL: 3 Isu Membuka Mata Rakyat Menyatukan BA
By Kapal Berita

2/10/2000 10:53 pm Mon

[BUNGARAYA] 3 isu penting yang membuka mata Rakyat dan menyatupadukan Barisan Alternatif.

Ucapan Ronnie Liu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP pada 28 September 2000 di ceramah BA Kuala Terengganu

Hukuman penjara 15 tahun atas Anwar, Suqiu dan royalti minyak Terengganu - 3 isu penting yang membuka mata Rakyat dan menyatupadukan Barisan Alternatif.


ISU 1: Hukuman Penjara 15 tahun atas Anwar Ibrahim

Rakyat Malaysia merasa terkejut dan sedih apabila bekas Timbalan perdana Menteri Saudara Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun, yang akan disambungkan dengan hukuman penjara 6 tahun yang lebih awal itu.

Saya rasa semua tahu orang tahu Anwar mempunyai alibi yang lengkap dan sempurna sebagai bukti beliau tidak bersalah. Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan hanya setakat mulut sahaja. Tiada bukti-bukti yang konkrit sama sekali.

Affidavit boleh ditukar. Tanggal boleh ditukar. Saksi yang didapati berbohong pun boleh diterima oleh yang arif yang tidak semestinya bestari. Yang relevan jadi tidak tidak relevan. Yang tidak relevan jadi relevan. Yang dikatakan relevan oleh yang arif sendiri akhirnya dikatakan tidak relevan oleh yang arif yang sama. Di mana keadilan? Tanyalah Allahyarham P Ramlee. Legenda muzik dan filem tanahair kita.

Bukan sahaja Kak Wan yang sedih. Bukan saja anak-anak Saudara Anwar yang sedih. Semua rakyat yang ada fikiran dan perut hati sama-sama rasa sedih.

Bukan saja para pemimpin dan anggota Parti KeADILan merasa marah. Seluruh pucuk pimpinan dan keahlian parti Barisan Alternatif pun merasa marah. Kerana ini merupakan satu ketidakadilan, satu kezaliman. satu penindasan!

Bukan saja satu penindasan ke atas Saudara Anwar. Ia juga merupakan satu penindasan ke atas seluruh rakyat. Kerana Anwar cuba membela nasib rakyat. Beliau ditentang, dipukul, diseksa dan dipenjarakan kerana cuba membela nasib rakyat. Rakyat biasa yang beliau sendiri tidak kenal nama.

Maka saya meminta semua ibu-ibu,bapak-bapak, saudara dan saudari yang budiman, marilah bersama-sama berjuang untuk menegakkan keadilan. Keadilan untuk Anwar yang tertindas. Keadilan untuk kita sendiri. Keadilan untuk semua.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian. Banyak perkara dan peristiwa yang tidak adil telah berlaku di tanahair kita di bawah kuasa Mahathir. Beliau telah menjadi PM selama 20 tahun. Bagi kita 20 tahun sudah cukup panjang. Kalau beliau bertugas dengan baik-baik, hidup kita mudah dan senang, kita rasa tak apa. Tetapi tidak. Beliau saja hidup mudah dan senang. Orang lain dia tak kisah. Mahukah kita biarkan orang tua macam ini terus menjadi Pemimpin kita? Tentu tidak!

Sekarang Mahathir dan BN takut pada Bulan, takut pada Roket, takut pada mata, takut pada seladang. Dulu mereka tidak takut sangat pada bulan, roket dan seladang kerana kita berlawan dengan berasingan. Dula lain, sekarang lain. Barisan Alternatif sudah wujud dan terus berkembang.

Kerana ada BA, politik perkauman yang diamalkan UMNO, MCA, MIC dan parti BN yang lain tidak ada pasaran seperti dulu. Kerana BA dianggotai oleh semua bangsa. Ada Melayu, ada Cina, ada India, ada Iban, ada Kadazan, ada orang Asli. Dalam BA ada Muslim, ada Kristian, ada penganut Buddha, ada Hindu dan semua agama yang lain.

Oleh demikian, baru-baru ini, apabila Umno ingin memainkan sentimen perkauman dengan isu Hak Istimewa Melayu, mereka terus gagal!


ISU 2: Suqiu

Orang Cina dan rakyat Malaysia yang lain merasa terperanjat dan amat dukacita apabila Perdana Menteri Mahathir Mohammad menyamakan Jawatankuasa Suqiu dengan komunis pada masa silam dan Al Ma'unah masakini dalam ucapan Hari Merdeka beliau.

Kenyataan PM telah memgecewakan hati orang Malaysia yang mengharapkan beliau untuk mengajar Pemuda Umno yang bertindak kasar dan kurang ajar terhadap komuniti Cina. Mereka tidak faham kenapa Mahathir bersikap sedemikian sedangkan beliau sendiri pernah menyifatkan hak istimewa sebagai tongkat. Ramai di kalangan mereka kini memikir semula, adakah muka "moderate" dan "liberal" yang ditonjolkan Mahathir selama ini benar atau bathil.

Mahathir sebelum ini telah mengatakan bahawa beliau tidak akan undur satu langkah ke belakang untuk mempertahankan hak istimewa Melayu. Sikap beliau mungkin telah mempengaruhi pemimpin Umno seperti Abdul Aziz Sheik Fadzir dan Menteri Besar Selangor Mohamad Khir Toyo. Abdul Aziz telah membawa wakil-wakil Pemuda Umno membuat demonstrasi yang mengancam keselamatan komuniti Cina di depan Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Mereka memberi amaran kepada Suqiu bahawa jika Suqiu tidak meminta maaf dalam masa satu minggu, mereka akan mengulangi demonstrasi dan membakar Dewan Perhimpunan Cina Selangor! Mereka juga membawa poster-poster yang menghina bangsa Cina, dengan perkataan-perkataan seperti "Pendatang asing", "Balik Tongsan", "Malay Malaysia" dan sebagainya.

Saya tidak mempertikaikan hak Pemuda Umno untuk membuat demonstrasi. Tetapi janganlah kurang ajar.

Mohamad Khir Toyo pula berkata beliau sanggup menumpahkan darah untuk mempertahankan hak istimewa Melayu

Dr M, Aziz dan Khir Toyo semua ingin menjadi wira dengan memainkan api. Mujurlah tindakan dan kenyataan yang tidak wajar ini tidak mendapat sambutan daripada masyarakat Melayu. Ini merupakan satu tamparan yang hebat bagi mereka. (Padan muka)

Sebenarnya, rakan-rakan saya di Parti Keadilan dan Pas memberitahu saya, mereka diminta oleh Pemuda Umno untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran di depan Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Mereka kata mahu 20,000 orang mengambil bahagian. Permintaan itu terus ditolak oleh Parti Keadilan dan Pas.(Shukur alhamdulilah!) Akhirnya, hanya 200 orang menyertai demonstrasi itu!

Pemuda Umno tentu tidak puas hati. Mereka panggil NGO Melayu pergi ke Sulaiman Court dua hari kemudian. Kali ini, hanya 17 orang wakil datang ! (dia tak malu,saya pun malu)

Ini telah menunjukkan bahawa "pasaran" untuk politik perkauman kian pupus di tanahair kita. (Shukur Alhamdulilah!)

Ramai percaya Umno menggunakan taktik yang kolot ini untuk memikat semula hati orang Melayu. Nampaknya taktik Umno yang ketinggalan zaman ini telah gagal sama sekali, macam senjata makan tuan.

Saya rasa mereka akan berundur dan balik kepada taktik memikat undi orang Cina.

Tetapi saya rasa "the damage is done". Mahathir berjumpa dengan Jawatankuasa Suqiu pada 15 September 2000. Mahathir seorang saja berjumpa dengan 20 orang wakil dari Kumpulan Suqiu. Masing-masing memberi penjelasan. Selepas pertemuan, Mahathir membisu sampai hari ini. Beliau mungkin tak tahu apa mahu cakap. Mahu terima Suqiu rasa segan, nak terus terang tolak tak berani.

Rakyat Malaysia harus diingatkan bahawa Suqiu (rayuan pilihan raya yang dibentangkan oleh persatuan-persatuan Cina yang utama) telah diterima pada prinsipnya oleh Kabinet sebelum pilihanraya umum yang lalu. Keputusan Kabinet ini telah diumumkan oleh Ling Liong Sik, Lim Keng Yaik dan Law Heng Ding pada 22 September 1999.

MCA, Gerakan, SUPP dan semua komponen parti BN terus melupakan Suqiu selepas kemenangan mereka, sehingga kontroversi ini dibangkitkan oleh Utusan Malaysia pada hari ulang tahun pertama Suqiu.

Tetapi keputusan Kabinet itu mungkin merupakan satu sandiwara sahaja. Ini adalah kerana Najib Tun Razak telah mengatakan Kabinet sebenarnya hanya "dengar", bukan "terima" Suqiu apabila Suqiu dibentangkan di dalam Kabinet. Beberapa minggu sudah berlalu tetapi Ling Liong Sik dan menteri-menteri lain masih membisu dan tidak berani memberi sebarang penjelasan, maka kami terpaksa percaya ada menteri-menteri sebenarnya telah menipu pengundi Malaysia.

Rakyat Malaysia juga harus diingatkan bahawa Suqiu tidak pernah mempertikaikan hak istimewa Melayu, dan semua rayuan dan tuntutan dilahirkan mengikut prinsip demokrasi dan keadilan. Tidak ada sebarang perkataan ditokok-tambah ataupun digugurkan daripada dokumen Suqiu yang asal sejak pilihanraya umum yang lalu.

Semua anggota Jawatankuasa Suqiu terdiri daripada pemimpin masyarakat Cina yang berwibawa. Mereka tidak pernah membuat sebarang demonstrasi atau mengancam sesiapa dalam urusan mereka. Bagaimana mereka boleh menjadi anasir-anasir yang boleh mengancam keselamatan negara kita dalam bayangan Perdana Menteri.

Kontroversi Suqiu belum reda lagi, Umno mula "cari pasal" lagi. Kali ini dengan PAS atas isu royalti minyak di Terengganu.


ISU 3: Royalti minyak 5 % Terengganu

Kerajaan pusat BN telah bertindak sepihak dengan merampas royalti minyak 5% (sejumlah RM810 juta pada tahun 2000) daripada kerajaan PAS/BA dengan menubuhkan satu tabung ihsan. Tabung ini dilapurkan akan dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

PM kata Terengganu tidak sama dengan Sabah dan Sarawak. Beliau kata, telaga minyak semuanya di luar pantai yang terkeluar dari sempadan Negeri Terengganu. Adakah maksud beliau telaga minyak Terengganu sebenarnya letak di perairan antarabangsa, bukan Malaysia punya?

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohamad Hassan Marican pernah kata pada 29hb Jun 2000, Petronas akan terus membayar royalti 5% kepada Kerajaan Terengganu mengikut satu perjanjian yang ditandatangani oleh pihak Petronas dan Kerajaan negeri pada tahun 1975. Beliau juga menjangka jumlah royalti ini akan meningkat kepada RM810 juta tahun ini.

Tindakan Kerajaan BN ini merupakan satu balas dendam kepada PAS. Ia juga merupakan satu penindasan ke atas pengundi Terengganu yang menghalau BN keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri Terengganu pada tahun lalu.

Kerajaan Pusat BN seharusnya membayar royalti bahagian kedua RM810 juta kepada kerajaan PAS. BN tidak berhak membuat tindakan sepihak. Jika BN tidak puas hati dengan perjanjian yang dicapai pada 25 tahun yang lalu, mereka boleh merujukkan kes ini kepada Mahkamah Persekutuan. BN tentu sekali tiada hak bertindak sepihak!

Tindakan BN ini bukan saja merupakan satu permainan politik yang paling teruk dan kotor, ia juga memberi satu isyarat yang negatif kepada semua pelabur asing bahawa Petronas dan Malaysia adalah sebuah syarikat atau negara yang boleh mungkir janji ikut suka hati pemimpin politik.(Lagilah teruk jadinya ekonomi dan bursa saham kita !)

Bayaran royalti sejumlah RM432 telah dibayar kepada Kerajaan Terengganu pada bulan Februari tahun ini. Jika BN telah memberi arahan kepada Petronas supaya memberhentikan bayaran royalti, adakah tindakan ini sah di sisi undang-undang dan boleh dikuatkuasakan?

Kita harap Kerajaan Terangganu akan mengambil segala tindakan untuk mempertahankan hak mereka dalam isu royalti minyak. Kita mahu tolak politik perkauman dan balas dendam BN sama sekali!

BN harus faham, royalti minyak ialah wang rakyat, bukan Pas punya. Dan tentu bukan BN punya. BN tidak ada hak untuk merampas hak rakyat kerana mereka ditolak. Rakyat Terengganu sudah memberi peluang kepada BN sejak Merdeka. Bila sudah ditolak rakyat, tentu rakyat sudah tidak percaya lagi kepada mereka. Terimalah hakikat itu saja!

Sekarang hati dan fikiran orang Terengganu sudah "terganggu", Terengganu sudah jadi Terganggu sebab hati busuk orang BN.

Kita tidak anggap isu ini isu PAS sahaja. Semua ahli Parti BA yang saya kenal anggap isu royalti minyak sebagai isu mereka. Orang Malaysia mesti mahu satu hati untuk melawan BN yang busuk lagi membusukkan!


Ibu-ibu, bapak-bapak, kawan-kawan yang saya hormati sekalian.

Kita semua bersama-sama mahu menegakkan keadilan.Kita tidak sabar lagi mahukan perubahan melalui REFORMASI.

Tetapi masih ada orang kata , asalkan saya dapat cari makan, apalah lagi mahu komplain?

Mereka kata, kalau rajin kerja, boleh beli kereta yang besar, rumah yang mewah, apalah lagi mahu lawan dengan BN?

Ada juga yang kata, kalau rela bodek, boleh kita jadi jutawan macam Kim You, Vincent , Ananda , apasal mahu lawan dengan mahathir?

Mereka seolah-olahnya demokrasi dan keadilan semua tak penting. Hanya dapat makan dan untung duit yang banyak saja penting dan mustahak.

Kalau mahu cakap dapat makan sudah cukup, anjing dan kucing pun dapat makan. Tapi, kita manusia bukan? Kita bukan macam binatang yang tidak ada maruah!

Kita dapat membeli kereta besar atau beli rumah yang mewah sebab kita rajin kerja atau berniaga. Wang yang kita untung itu bukan BN yang beri percuma. Kita bukan kroni dia. Betul tak?

Tahukah kita semua, elaun dan gaji Mahathir pun rakyat yang bayar. Semua menteri-menteri suka melawat luar Malaysia, wang yang berjuta-juta yang mereka enjoy itu pun kita rakyat kasi punya! Semua boleh klaim punya.

Cakap mahu bodek boleh jadi jutawan itu, kita tidak minat. Kita bukan manusia yang tamak macam mereka!

Saya sentiasa percaya, kalau kita ada demokrasi dan keadilan yang tulen, barulah daya kreatif dan semangat nak kerja itu bangkit dan membara. Betul tak?

Kalau bos kita adil sama kita, stail dan cara urusan dia demokratik, ada pentingkan idea dan sumbangan kita , siapa tidak mahu kerja dengan lebih tekun dan rajin? Betul tak?

Bila kita rajin, produktiviti kita tentu naik, kekayaan negara pun mesti meningkat, gaji kita pun jadi lumayan. Bukan macam sekarang, nak beli tv atau hifi pun sepuluh kali fikir dan bilang. Anak mahu beli basikal pun sepuluh kali minta, sepuluh kali tak dapat. Kasian anak kita.

Oleh sebab itu, kita mesti mahu tolak sama BN. Tak kan anak mereka saja boleh hidup senang. Minta dapat, tak minta pun dapat. Kita pun mahu kita punya anak dapat apa yang mereka harus dapat. Betul tak?

Jadi, kawan-kawan, ibu-ibu dan bapak-bapak yang saya hormati dan kasihi, mari kita satu hati satu jiwa, lawan dengan ling liong sik, lim keng yaik, law heng ding, daim. Rafidah, hishammudin, mike tyson, pak turut, sami vellu, rahim thamby kecik mana boleh lupa nama mahathir!

BA bukan 100% sempurna. Tetapi saya berani kata, Ba jauh lebih bersih, seribu batu lebih cekap. Kita ambil satu contoh. Tok Guru Nik Aziz tinggal di rumah papan sendiri. Tok Guru Hadi Awang pun tinggal di rumah sendiri. Mana Mahathir? Rumah kediaman rasmi di tinggalkan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn dia tak mahu pandang. Buat yang baru di Sri Perdana. Lepas itu masih tidak puas hati. Buat satu lagi yang lebih mahal dan besar di Putrajaya. Lepas itu orang kata ada hantu. Tak mahu tinggal situ.

Bila BA menang, kita janji akan tolong sama orang miskin, orang tua tak masuk mahathir, anak anak muda tak masuk anak anak ling liong sik , wanita-wanita tak masuk isteri samy vellu, tanpa kira warna kulit dan agama. Adi ltak?

Itulah konsep "Malaysian Malaysia" yang sebenarnya. Jangan percaya kepada Umno dan kuncu-kuncu yang sentiasa meracunkan minda dan fikiran orang melayu.

Kita tak mahu perjuangan pemimpin seperti lim guan eng, anwar ibrahim dan ramai lagi yang saya tidak dapat sebut nama mereka malam ini menjadi tersis-sia saja. Kita kena berjuang sehingga anwar keluar awal awal dari penjara, sehingga guan eng boleh bertanding dalam pilihanraya, sehingga hak asasi kita dapat dilindungi, sehingga malaysia ada demokrasi dan keadilan untuk semua.

Lawan Tetap Lawan!
Hidup Terengganu!
Hidup Malaysia!



- Ronnie Liu Tian Khiew -
H/P 012 201 3656
ronnie.liu@lowelintas.com