Laman Webantu   KM2A1: 2922 File Size: 3.4 Kb *



KDN Tolak 4 Permohonan Permit Penerbitan Ahmad Lutfi
By Kapal Berita

2/10/2000 6:51 am Mon

KDN Tolak Empat Permohonan Permit Penerbitan Ahmad Lutfi


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuktikan amalan cekap dan pantasnya apabila mengambil masa tidak sampai tiga bulan untuk menolak hampir semua permohonan mendapatkan permit penerbitan (PP) oleh bekas Ketua Editor Detik yang juga bekas Pengarang Wasilah, sebuah majalah remaja yang baru diharamkan,

Lutfi yang memohon enam permit baru-baru ini mendapat jawapan balas satu perenggan daripada pegawai tinggi di Unit Kawalan Penerbitan, KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail pada 28 September 2000. Setakat ini empat permohonan berkenaan ditolak, yakni majalah komik bulanan, Puteri Reformasi, majalah mingguan politik semasa, Reformasi, majalah bulanan semasa, Retak dan majalah dwi-bulanan, Debat.

Seluruh isi surat KDN itu dipetik: "Saya di arah merujuk kepada permohonan tuan dan dukacita dimaklumkan bahawa Kementerian ini telah mengambil keputusan menolak permohonan tuan tersebut."

Ketika dihubungi, Lutfi berkata, beliau menghantar permohonan Debat pada 25 April, sementara bagi permohonan lain dibuat pada 29 Jun 2000. Dan pada 6 September lalu, Lutfi menulis surat kepada KDN minta penjelasan mengapa permohonan majalah Debat tidak mendapat apa-apa khabar berita walaupun telah dihantar sejak hampir lima bulan lalu.

Dalam wawancara eksklusif dengan majalah Tamadun, Mei 2000, Ketua Penolong Setiausaha, Unit Kawalan Penerbitan KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail memberi jaminan bahawa: "Dalam masa tiga bulan (KDN boleh meluluskan sesuatu permohonan). KDN sekarang sudah dilengkapi dengan komputer, jadi kami jangkakan tempoh masa itu memadai untuk urusan memproses."

Bagi Lutfi, dari satu segi, keputusan segera yang dibuat KDN boleh dipuji. Tetapi, katanya, yang lebih penting dari itu, KDN seharusnya memperincikan apa yang dirasakan tidak kena dan perlu diubah dalam permohonannya.

Dalam suratnya kepada seorang pegawai KDN yang bertanggungjawab menguruskan soal permohonan majalah, Mohd Nor Mohd Daud, Lutfi memberi perakuan: "Sekiranya ada apa-apa yang perlu kami betulkan, kami boleh memindanya di mana yang bersesuaian bagi memenuhi syarat-syarat kelulusan KDN."

Ditanya apa reaksinya dengan keputusan KDN itu, Lutfi berkata dia akan membuat rayuan, di samping terus menghantar permohonan baru yang lain. "Sekarang ini pegawai-pegawai KDN kian giat merampas makalah yang dianggap mereka tiada permit, dan saya sendiri kalau boleh mahu mengelak daripada menerbit makalah-makalah yang dianggap haram oleh KDN. Tapi sehingga saya mendapat permit penerbitan saya perlu terus berkarya, meskipun melalui jalan yang tidak digemari pemerintah, apa boleh buat."

"Dan sepatutnya KDN memberikan alasan mengapa permohonan saya ditolak. Apakah menjadi dasar Unit Kawalan Penerbitan KDN untuk menolak permohonan menerbitkan sebarang makalah politik, atau memang benar desas-desus mengatakan nama saya telah disenarai-hitamkan KDN," tambah Lutfi lagi.

"DETIK DAN Al-WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"

Link Reference : http://putera_idaman.tripod.com/