Laman Webantu   KM2A1: 2917 File Size: 4.1 Kb *



Ucapan TG Hj Hadi: Royalti Minyak
By Kapal Berita

1/10/2000 1:16 am Sun

Ucapan Mb Terengganu Tuan Guru Haji Hadi Awang: Royalti Minyak

UCAPAN MB TERENGGANU: ROYALTI MINYAK

Saya menganggap bahawa langkah yang di ambil oleh kerajaan BN bagi menghapuskan hak rakyat dari segi demokrasi dan dari segi federalisme, bagi negeri yang berada di bawah persekutuan sebagai menggali lubang sendiri untuk menjatuhkan UMNO dan BN. Kekuatan sesuatu kerajaan bukan dengan tindakan sesuatu undang-undang atau menyalah-gunakan kuasa, undang-undang dan peraturan. Kekuatan sesuatu kerajaan itu ialah sejauhmana kerajaan itu adil dan menunaikan perintah Allah Taala.

Perkataan rayolti ini adalah perkataan yang digunakan dalam perjanjian di antara kerajaan negeri Terengganu dengan pihak Petronas. Kita bukan hendak minta sedekah. Sepatutnya kerajaan pusat yang berterima kasih dengan negeri-negeri di pantai timur kerana petroleum berada di pantai timur. Tetapi mereka menggunakan ayat seolah-olah kita meminta sedekah kepada mereka. Mereka mengatakan ini ehsan apabila kita memerintah tidak sampai setahun. Mereka menukar perkataan royalti menjadi ehsan. Wakil Petronas telah membuat kenyataan beberapa bulan yang lalu, menjelaskan perkara itu adalah menjadi hak kerajaan negeri Terengganu untuk mendapat royalti sebagaimana yang disebut dalam perjanjian.

Kita menunjukkan kerjasama yang sepenuhnya sebagai satu keluarga di dalam persekutuan, tetapi kerajaan pusat telah menunjukkan satu sikap yang tidak beradab. Dari segi alkhlak demokrasi dan semangat berparlimen, di mana kita duduk di dalam persekutuan yang mana terdapat hasil-hasil dan juga cukai yang diambil oleh kerajaan pusat daripada kerajaan negeri.

Mengapa semasa mengambil cukai ini tidak tanya dulu Pas atau UMNO? Bila hendak beri peruntukan termasuklah peruntukan mengikut perlembagaan dan perjanjian, mereka melambat-lambatkan dan mendera kita kerana kita dari PAS. Kita boleh dedah juga , dalam masa 20 tahun lebih di mana perginya duit royalti tersebut. Kita ada berlori-lori fail berkaitan dengan ini. Semasa kita menang di Terengganu, kita dapat menyelamatkan fail-fail ini. Kita mengharapkan supaya pihak BPR jujur, ikhlas dan tulus. Pihak Hisbah negeri Terengganu bersedia untuk bekerjasama dengan BPR untuk membuat penilaian dan perkiraaan siapa yang sebenarnya tidak pandai guna duit petroleum. Kerajaan negeri Terengganu yang mendapat hasil petroleum , 20 tahun dibebankan dengan hutang RM 700 juta. Anak-anak syarikat milik kerajaan negeri yang berniaga di Terengganu dan luar Terengganu, telah mengalami kerugian dan dibebani dengan hutang, sedangkan kroni mereka yang duduk di dalam syarikat ini senang-lenang. Kita minta pihak BPR dan kerajaan pusat, sebelum hendak suluh muka kita, suluh dulu muka mereka.

Kita mempunyai bukti-bukti yang banyak, tapi kita bukan macam mereka yang hendak memalukan orang lain. Penyelewengan ini amat memalukan. Sebagai contohnya, sewa pejabat yang harganya RM 9000 menjadi RM 14,000 atau 15,000 ribu. Kita mempunyai bil tuntutan yang dilakukan oleh mereka yang berkenaan iaitu bil bayaran yang dibayar oleh anak-anak syarikat, bukan kerana apa, tapi hanya kerja yang memalukan iaitu kerana belanja untuk perempuan-perempuan, minum arak dan perkara maksiat. Kami ada bukti dan kenyataan-kenyataan. Tetapi bukan kerja kita untuk memalukan orang. Kita bukan macam BN, mereka sanggup memalukan sesama mereka sendiri, kawan-kawan mereka sendiri, walaupun dengan cara yang tidak betul. Rakyat seluruh negara masih tidak hilang perasaan akibat peristiwa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim yang telah dijatuhkan hukuman.