Laman Webantu   KM2A1: 2904 File Size: 3.8 Kb *



Re: Muslihat Di Sebalik Air 'Kopi'
By Kapal Berita

29/9/2000 2:28 am Fri

Sumber: Minda Rakyat

MUSLIHAT DI SEBALIK AIR 'KOPI' DI KELANTAN

Kenyataan PM semasa berucap di hadapan ribuan anggota tentera di Butterworth beberapa hari lalu mendedahkan kepada kita tentang muslihat politik yang keji di sebalik usaha Kerajaan Kelantan yang dikatakan gagal menyediakan air bersih kepada rakyatnya.

Hakikatnya sebelum PAS merampas kembali negeri Kelantan 10 tahun lalu, BN sebagaimana biasa (kini telah dikesan dilakukan ke atas Terengganu) cuba menguasai segala jentera yang ada di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Jabatan Bekalan Air Kelantan dikorporatkan menjadi syarikat Air Kelantan.

Usaha memiliknegerikan kembali oleh kerajaan PAS Kelantan ke atas syarikat korporat ini menerima ancaman yang hebat sehingga rakyat Kelantan yang tidak berdosa menjadi taruhan mereka. Ini adalah dengan niat semata-mata mahu memalukan Kerajaan Kelantan kerana di katakan tidak pandai memerintah negeri itu.

Namun hakikatnya mungkin tidak ramai yang tahu bahawa syarikat Air Kelantan mempunyai 'niat busuk' kerana mereka tidak rela dimiliknegerikan kembali. Ini adalah kerana syarikat ini merupakan kroniputra kepada UMNO Kelantan. Justeru sebarang usaha mahu membusukkan nama negeri Kelantan masih mereka berpeluang berbuat demikian.

Dalam proses pengambilalihan ini Kerajaan Kelantan menemui pelbagai masalah dalaman yang berlaku dalam syarikat Air Kelantan itu sendiri. Justeru itu tidak hairanlah jika berlakunya sebarang 'kecuaian' yang memungkinkan mahu menjatuhkan maruan kerajaan PAS Kelantan melalui kroniputra mereka syarikat Air Kelantan.

Menurut maklumat yang diperolehi dari Jurutera Kanan sebuah jabatan kerajaan yang terlibat dengan penjagaan air dan sungai memberitahu kejadian 'air kuning' (yang disifatkan Mahathir air kopi) itu berlaku apabila pegawai yang bertugas menjaga loji menakung air tidak menambah kadar 'klorin' serta ubat rawatan tertentu yang digunakan terhadap air yang lebih 'keruh' akibat Sungai Kelantan yang mengalami paras air yang rendah beberapa bulan lalu.

Masakan air yang sedikit tercemar dapat dirawat dengan penggunaan kadar biasa klorin serta ubatan yang digunapakai semasa proses rawatan air itu. Justeru kecuaian (mungkin juga disengajakan) maka proses membekalkan air bersih kepada rakyat menjadi tercemar. 'Point' inilah yang digunakan oleh Mahathir untuk membenamkan imej kerajaan negeri Kelantan dengan tuduhan tidak layak memerintah negeri serambi Mekah itu.

Selain itu pinjaman RM600 juta dari Kerajaan Persekutuan yang diharapkan untuk memperbaiki imej syarikat Air Kelantan yang kini kembali sebagai Jabatan Bekalan Air Kelantan itu tidak diperkatakan. Amat malang bagi sebuah negara yang berperdana menterikan seorang bapak yang mempunyai rasa 'pilih kasih' terhadap anak-anaknya. Justeru itu tidak hairanlah jika isu air di Kelantan akan terus menjadi 'fitnah' terbaru Mahathir terhadap kerajaan PAS Kelantan.

Semoga Allah membalas fitnah Mahathir dengan sesuatu yang lebih 'mengaibkan' diri dan kerajaan pimpinannya.

MR CANGGIH