Laman Webantu   KM2A1: 2902 File Size: 8.7 Kb *



Air Kopi Negeri Cik Siti
By Pujangga

29/9/2000 1:41 am Fri

AIR KOPI CAP BESI

Adapun hamba agak tertarik dengan komen sang menteri, nan jantungnya ada bateri, cuba menggegarkan rumah Cik Siti Wan Kembang yang masyhur seantero negeri itu alang-alang paipnya berisi si air kopi. Adapun kalau air kopi nan tersembur itu kan ada baiknya, kerana dengan hal yang sedemikian itu pun ia masih bertaraf minuman. Sekurang-kurangnya dapat juga ia menghilang ngantuk sang menteri yang kononya berkerja dua puloh empat jam? Atau mengubat cirit perutnya yang asyik meleleh di merata jalan?

Seteruk-teruk air berwarna kopi pun ia masih boleh diminum. Tetapi air berperisa ammonia di Selangor dan Kuala Lumpur boleh kojol jika terminum! Bagaimana pula agaknya rasa air yang berisi udang di dalamnya yang digambarkan oleh akhbar Malay Mail disatu ketika dulu? Bukankah mutu air diceruk suku sakat diktator tua lagi teruk sehingga loji air terpaksa berhenti memproses angkaranya?

SIAPA TAUKEY PAIPSI KOLA

Adapun kisah air ini banyak yang memeningkan. Tetapi asalnya siapakah gerangan yang memasangkannya sewaktu dulu? Disinilah tersembunyi segala jawapan - kerana karat besi adalah budaya tradisi koporat kroni yang menjual barangan. Ia dibeli kerana terpukau dek gambaran dan kilauan, berde'ting' dan beratnya dipikulkan, tetapi pada hakikatnya ia tidak empunya usia yang panjang. Sampai masa karatnya akan membawa sial dan malang, sedangkan yang membekalnya begitu senang menghilang. Kilang di Kemaman dan Gurun itu pun sudah cukup menjadi kutukkan. Sampai kini ia tidak berkesudahan. Sudah tentu rakyat sendiri yang menanggung kerugian.

SILAT PENDEKAR BANGANG

Kalaulah si paip air ini mahu dijadikan umpan, lebih baik sang menteri berfikir panjang. Pendekar jaguan tidak cuba bersilat di dalam hujan. Atau terbang umpama helang sewaktu guruh bersabung bersilang. Tentunya ia mudah terjatuh hingga tersakit kangkang. Atau terpanah petir untuk berakhir di persada perkuburan. Bukankah paip ini pada awalnya adalah sumbangan kerajaan persekutuan. Mengapa tidak dicari si dalang yang membekal besi yang campurannya tidak tahan?

AIR SATU PUTARAN ALAM

Adapun air itu asalnya dari tanah itu juga. Ia dibawa oleh hawa yang panas dan ditiup angin mencari tempat untuk dimuntahkan. Selebihnya ia mengalir dicelah-celah akar menjadi matair untuk mahluk tuhan. Apabila ia bertemu jadilah ia satu terusan dan sungai yang nikmatnya dapat dimanfaatkan oleh manusia, binatang dan tanam-tanaman.

AIR YANG TERCEMAR

Proses alam yang indah ini ditiru oleh manusia dengan membuat industri air sulingan dan air mineral buat minuman. Sayangnya sedikit dan berdikit tempat tadahan air ini tercemar akibat gangguan. Hutan rimba ditebang mengikut suka dan timbangan harga. Berkeliaranlah lori-lori membawa balak yang komisyennya pasti ada. Pada waktu yang sama wakil BN memekakkan telinga bila rakyat - khususnya orang asli mengadu menderita. Hasilnya orang asli mengundi menolak BN dalam pilihanraya sehingga ada sang menteri umno kecundang ditangan mereka!

RIMBA YANG SEMAKIN MENGHILANG

Selebihnya hutan rimba itu menjadi rata untuk dibina rumah yang rakyat marhaen tidak layak mendudukkinya. Ada yang menjadi tempat penginapan siap dengan servis urut-urutan. Sudah tentu arak bisa diatur jika diperlukan.

Keindahan dan imbangan alam itu dinoda tanpa memikirkan kesan jangka panjang yang bakal merugikan negara. Di negeri-negeri maju seperti Kanada setiap hutan yang ditebang perlu diganti oleh kontraktornya. Tetapi di negara kita banjingannya mendapat pelbagai gelaran dipangkal nama seolah-olah itu satu 'jasa' yang seterusnya digunakan untuk terus menoda. Tengku Wong atau Tan Sri Ting menjadi satu katajodoh ('password') yang menjadi 'lesen' untuk bertindak sebagai raja.

Arakian musnahlah pelbagai tanam-tanaman dan pondok rakyat yang hina di Tasek Bera baru-baru ini. Maka berhimpunlah rakyat menuntut hak yang telah dinoda, tetapi dikirim pula beberapa trak anjing gila! Aduhai pendekar umno negeri Pahang..... puas ku mencari tapi tidak nampak muka... rupa-rupanya takut macam kera! Apakah masih bertandang di kasino sejak malam buta?

KILANG DAN KUMBAHANNYA

Sewaktu dulu rakyat digemparkan oleh krisis air yang parah sehingga putus bekalan. Hasil siasatan mendapati beberapa kilang beroperasi terlalu hampir dengan punca tadahan air. Soalnya bagaimanakah kilang ini boleh didirikan dan siapakah dalang yang membenarkan mereka?

Akibatnya entah berapa gelen air terpaksa dibuang bila paras racunnya sudah berlebihan. Kesannya rakyat dipaksa mendapat air secara giliran (catuan) berminggu-minggu lamanya. Tentunya warga KL dan Selangor masih ingat ragam yang meninggalkan pelbagai kenangan ini. Ada yang tidak mandi untuk ke pejabat atau terpaksa beratur mengisi pili. Pada waktu yang sama kilang-kilang keparat itu senyap-senyap menghilangkan diri. Selain itu tidak diketahui berapa ramaikah rakyat yang sudah terminum air yang sudah cemar laksana air kencing (kerana tingginya unsur amonia) ini.

Pendekar Mat Taib tentu masih ingat betapa istimewanya kilang-kilang 'haram' ini. Jika tidak kerana mereka, sudah tentu ringan sedikit beg yang dipikulnya ketika mengembara....

PENDEKAR BINATANG PULA

Adapun masih teringat oleh hamba seorang pendekar lain yang diutus oleh si mamak tua untuk membunuh sejenis bintang yang menimbulkan bencana. Ada pelbagai cerita bagaimana najis nya itu semakin memekat dan menjadi 'resepi' tambahan sungai yang diambil airnya untuk minuman rakyat jelata. Merebaklah satu wabak yang menjadikan rakyat resah angkaranya, sehingga Bukit Pelanduk menjadi teramat puaka - sekali hidu pun boleh celaka!

Di pendekkan cerita, habislah binatang-binatang itu tetapi muncul di negeri lain pula selepas beberapa lama. Malangnya berita nya menjadi rahsia pula kerana bimbang ia bakal meragut pendekar yang bertarung dengannya! Tentu sang pendekar jerebu sudah memperturunkan sedikit ilmu kepada pendekar binatang agar tidak kecundang?

Sebelum hamba menghabiskan cerita pendekar binatang ini, mungkin ada baiknya mengambil sedikit cerita buat tauladan.

Satu masa dahulu, beberapa penuntut di UPM terpaksa dimasukkan ke pusat rawatan selepas termakan sesuatu yang dihidangkan. Jangan pendekar binatang cuba berlagak sakan kerana adik abang di UPM ada pelbagai keris yang boleh membawa maut jika ia dihunus dengan tangan! Jika silap haribulan... tumbang!

MAHARAJA TUA DAN UPAHNYA

Adapun hamba masih belum puas menulis selagi tidak mengguris satu bingkisan untuk si mamak tua yang mengeluh upahnya sebagai maharaja yang masih dirasakan tidak setara silatnya.

Hatta bertitahlah sang maharaja sang dewata:


    "I have worked for the government everyday for the last 19 years," Mahathir was quoted as saying by the nationally-circulated Sunday Star.

    "My pay is lower than the people who work under me."

    Mahathir, Asia's longest-serving ruler, said Saturday that his salary, which totaled 16,000 ringgit (dlrs 4,210) a month, barely befitted his hours of toil.

    "I work practically 24 hours a day," he said. "If I claim overtime and add that up, I think the government owes me millions of dollars," he said.



Teringin hamba mengata kasihan kepada sang maharaja, tetapi bayangan ratusan syarikat yang dipegang oleh anak sang maharaja membuat hamba melupakannya sahaja. Adapun maharaja yang berhati rakyat tidak menghabiskan beratus juta banyaknya untuk satu singgah sana buat diisi 'dua orang tua'. Atau sebuah bahtera terbang yang mewah yang terbang jarang tapi mahal ongkosnya. Lagipun elaun perjalanan memang ada - baik dari kerajaan atau kera jalanan.

Sebaliknya sang maharaja yang sebenarnya berhutang kepada rakyat. Bayangkan sudah berapa banyak wang dilesapkan oleh budak-budak pilihan maharaja sepanjang berkuasanya maharja. Malah ada lagi hutang yang sukar dibayar dengan wang kerana terlalu tinggi nilainya - iaitu hutang nyawa! Bukankah banyak peristiwa hilangnya nyawa berlaku sewaktu maharaja berkuasa?