Laman Webantu   KM2A1: 2884 File Size: 14.1 Kb *



PNB: Penswastaan atau Rompakkan?
By Amin Sapiro

27/9/2000 12:03 am Wed

Amin Sapiro (melakar pandangan Sharil Samad)

BACALAH DAN HAYATILAH - SESUNGGUHNYA KITA SUDAH DITIPU BONTANG!!

MEMANG sudah lama saya kepingin membaca pemikiran para pemimpin UMNO diperingkat MKT yang melihat dan mampu mempersoalkan karenah Dr. Mahathir dan Daim Zainuddin secara kritis. Malangnya, kebanyakan mereka tidak mampu menyampaikannya secara terbuka. Mereka dalam ketakutan!

Jika apa yang saya katakan itu satu tamparan, pertimbangkan sendiri. Rasanya lebih positif jika ia dianggap sebagai satu cabaran saja.

Pendirian saya - sewaktu dalam UMNO saya juga vokal. Bagi saya, sebagai "BEKAS ahli UMNO" pun pendirian saya masih sama. Cukup pantang sebagai prinsip hidup saya untuk sanggup menjual prinsip hidup demi kepentingan perut, pangkat dan darjat.

Sebagai manusia yang beragama Islam, kita tidak akan menjual tanahair, bangsa dan agama. Kita percaya rakan-rakan seperjuangan tentu memegang prinsip "Menegakkan Keadilan dan Menumbang Kezaliman".

Secara peribadi, saya angkat topi kepada kawan kita sdr. Shahril Samad yang mengutarakan isu-isu keusahawan dan penglibatan orang Melayu di bidang perniagaan, meliputi perihal bagaimana PNB dan korporat lain telah diselewengkan oleh regu Mahathir-Daim dan Kroni begitu rupa.

Analisa Shahril berkesan kepada kita. Pendedahan beliau pasti memberi kita satu pernyataan yang dapat ditimbang-terima dalam minda.

Orang Melayu harus sedar. Jangan kita asyik membincangkan isu politik saja dan melupakan isu ekonomi, keusahawanan dan perniagaan.

Sebagai perbandingan, kita sudah lihat bagaimana kaum Cina berjaya dibidang ini. Mereka tidak pernah memisahkan ?Politik dengan Keusahawanan dan Perniagaan?. Bagi mereka, puak yang berpolitik tidak akan tegak berdiri megah tanpa sokongan penguasaan mereka di bidang ekonomi, keusahawanan dan perniagaan.

Itu sebab Lee Kuan Yew mampu menjadikan Singapura pusat komersial terkemuka di rantau ini. Malaysia bagaimana? Mahathir apa buat? UMNO jadi apa?

Kaum Cina tidak teragak-agak membuang mana-mana pemimpin mereka yang mengkhianati mereka dibidang perniagaan. Kita sudah lihat apa jadi kepada Lee San Choon dan Tan Kun Suan. Kerana Ling Leong Sik juga sudah ada bukti mengkahianati kaum China, maka nampak sekarang MCA sendiri semakin tergugat tidak mendapat sokongan kaumnya.

Membaca analisis Sharil berikut, masihkah orang Melayu hendak bernostalgia terhadap UMNO Baru yang di ?baruakan? oleh Mahathir-Daim dan pemimpin mereka yang sekongkol? Dan sekaligus dengan itu, pemimpin UMNO ini telah memusnah harapan dan aspirasi orang Melayu di tanahair sendiri?

Bacalah dan berfikirlah. Perjalanan kita dibidang ?Keusahawanan dan Perniagaan? telah begitu jauh tercicir berbanding dengan kaum lain.

Hari ini Mahathir dan UMNO telah mengalih tumpuan orang Melayu kepada pergolakan politik. Bersama itu, tumpuan dan kegigihan kita tersisih dari meneroka bidang ekonomi.

Jangan anda tidak tahu, sementara kita diadu-dombakan mereka, regu Mahathir-Daim dan sekongkol mereka ini telah melakukan pelbagai jenayah ekonomi dengan mengamalkan "NEPOTISMA, KRONISMA dan KORUPSI". Mereka kayaraya - orang Melayu papa kedana!!

Masihkah orang Melayu sebodoh itu hingga tidak tahu memilih antara kaca dan intan? Bacalah 3 Bahagian analisis Sharil yang diturunkan. Silakan??


Amin Sapiro
(BEKAS ahli UMNO atas Pagar Berduri)



RENCANA DATUK SHARIL

PNB : PENSWASTAAN ATAU PEROMPAKAN? BAH. 1

DI SEMINAR Ekonomi Malaysia anjuran Alumni UKM pada 5hb September, 2000, saya telah membincangkan pencapaian ekonomi negara sepanjang tempuh 15 tahun yang lalu di dalam era kepimpinan Datuk Seri Dr Mahathir dan membuat penilaian saya secara telus dan ikhlas.

Kesimpulan saya ialah begitu banyak yang telah dicapai oleh negara dalam tempuh tersebut dan orang Melayu tidak ketinggalan menikmati dari kemajuan dan kejayaan itu.

Namun demikian, dalam penilaian sebahagian besar masyarakat Melayu yang telah dilakukan semasa pilihanraya 1999, kepimpinan Dr Mahathir dipersoalkan secara hebat dan hampir menyamai penilaian yang telah dilakukan terhadap kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman pada pilihanraya umum 1969.

Di antara perkara yang menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu semasa pilihanraya umum 1999, khususnya di Terengganu dan dikalangan kakitangan PETRONAS, ialah isu pembelian aset perkapalan milik Konsortium Perkapalan oleh syarikat minyak negara.

Saya percaya bahawa isu ini menimbulkan persoalan bukan sahaja di negeri itu tetapi menjadi tandatanya di kalangan masyarakat Melayu di negeri-negeri lain. Akan tetapi, saya difahamkan bahawa kesan isu ini agak hebat di negeri pantai timur itu.

Sebenarnya, sebelum PETRONAS membeli aset perkapalan itu, Chase Manhattan Bank telah di tugaskan untuk membuat penilaian aset berkenaan supaya menjaga kepentingan umum kerana melibatkan penggunaan wang PETRONAS sebagai pemegang amanah kepada sumber negara. Ini adalah suatu tindakan yang bijaksana, kerana ianya selaras dengan keperluan ketelusan dalam soal saperti ini.

Yang hanya boleh di pertikaikan ialah samada PETRONAS harus terlibat secara langsung di dalam industri perkapalan, kerana maseh terdapat syarikat perkapalan milik bumiputera yang hidup subur dan berwibawa yang tidak perlu di selamatkan oleh PETRONAS. Umpamanya, syarikat HALIM MAZMIN BHD yang tersenarai di Papan Kedua Bursa Saham KL.

Dalam penyampaian saya di Seminar Ekonomi Malaysia tempuh hari, suatu kesan negatif dari pelaksanaan dasar ekonomi Dr Mahathir ialah keujudan suatu oligarki ekonomi yang, melalui hubungan rapat mereka dengan pucuk pimpinan negara, mendapat peluang- peluang yang tidak mungkin terbuka kepada usahawan lain.

Saya juga telah mempersoalkan bagaimana ekuiti dalam syarikat-syarikat umum (public listed companies) yang dipegang oleh PNB telah di jual, atau di swastakan, kepada pihak-pihak tertentu tanpa sebarang proses tawaran terbuka atau pun penilaian oleh pihak yang bebas.

PNB juga sebuah badan pemegang amanah kepada masyarakat Melayu dan seharusnya sebarang penjualan asetnya dilakukan di atas sebab-sebab yang paling munasabah dan secara telus dan terang.




PNB : PENSWASTAAN ATAU PEROMPAKAN? BAH. 2

Tanpa ketelusan, penswastaan aset PNB akan bakal menimbulkan pertanyaan dan tuduhan bahawa apa yang sebenarnya berlaku bukanlah penswastaan tetapi perompakan.

Suatu ketika dahulu, Tan Sri Shamsuddin Kadir, seorang usahawan Melayu yang terkemuka, telah bercadang membeli ekuiti milik PNB di dalam syarikat UMW. Usaha beliau telah di bantah oleh seorang pengarah Melayu, yang mewakili PNB, dalam UMW. Kehebuhan dan perdebatan yang menyusuli bantahan itu telah memaksa Tan Sri Shamsuddin untuk membatalkan rancangannya itu.

Tetapi tidak semua penjualan aset PNB mendapat perhatian media dan di bahas secara terbuka sapertimana telah berlaku berikutan usaha pembelian ekuiti PNB dalam syarikat UMW. Maka kalau sesuatu penjualan itu di lakukan dalam gelap dan secara senyap-senyap, tanpa iklan dan proses tawaran, apakah bezanya dengan perompakan ?


Baru-baru ini, ekuiti PNB dalam syarikat MMC telah dijual kepada suatu kumpulan Melayu. MMC adalah sebuah syarikat yang di tubuh semasa tempuh awal DEB berikutan usaha kerajaan untuk membawa balik syarikat-syarikat perlombongan milik British ke negara kita bagi menjaminkan agar kekayaan sumber negara berada di bawah penguasaan negara dan kerajaan. Inilah kehebatan DEB ketika itu dan pelaksanaannya di iringi oleh semangat dan kebanggaan nasionalis.

Sesudah MMC menjadi milik individu-individu Melayu ini, pegangan nya dalam Ashton Mines, iaitu sebuah lombong berlian di Australia sedang dalam proses penjualan. Ikut cerita, penjualan aset MMC ini akan menghasilkan sebanyak RM 600 million. Dengar cerita lagi, MMC akan menjual Tronoh Mines yang di milikki oleh nya. Entah berapa juta pula yang di perolehi melalui penjualan aset-aset MMC ini ?

Di samping itu, dengar cerita juga, MMC sedang mempertimbangkan pembelian ekuiti dalam syarikat Tanjung Pelepas Port (PTP). Pembelian ekuiti dalam PTP adalah menyusuli pembelian sebuah janakuasa lektrik dari TNB.

Keadaan ini bermakna bahawa penswastaan aset dan harta PNB boleh dilakukan tanpa umum mengetahui rasionalenya. Apakah strateginya ? Adakah ianya bertujuan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi orang Melayu ? Apa ruginya kepada bangsa dan negara ataupun MMC sendiri sekiranya ekuiti syarikat itu terus di pegang oleh PNB ?

Sudahkah satu penilaian di buat terhadap ekuiti MMC itu sapertimana berlaku semasa PETRONAS membeli aset perkapalan milik Konsortium Perkapalan, atau adakah kumpulan individu yang membeli ekuiti MMC dari PNB ini lebih istimewa dari pihak yang memilikki Konsortium Perkapalan ?

Sebenarnya, cerita penjualan ekuiti MMC yang di pegang oleh PNB bukanlah cerita baru kerana, pada satu ketika dahulu, telah kedengaran ura-ura bahawa KUB bakal mengambilaleh ekuiti PNB dalam MMC. Tetapi bukan ini yang berlaku. Sebaliknya, satu kumpulan individu, yang pastinya rapat dengan pucuk pimpinan Kerajaan, pula yang telah berbuat demikian.




PNB : PENSWASTAAN ATAU PEROMPAKAN? BAH. 3

Pada hemat saya, PNB adalah pemegang amanah ekonomi yang utama bagi masyarakat Melayu selaras dengan matlamat DEB. PNB telah menggalakkan kearah sikap tabungan bagi orang Melayu dan tabungan adalah satu ciri utama untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu. Di samping itu, pegangan PNB dalam MMC adalah strategik untuk memperkukuhkan kedudukan Melayu dalam dunia korporat.

Mengapa tidak dibangunkan potensi ini sepenuhnya dengan membangunkan kepakaran pengurusan korporat Melayu, yang mana juga adalah perlu untuk memperkukuhkan kedudukan kelas pertengahan Melayu itu sendiri.

Satu ketika dahulu, pada peringkat awal pelaksanaan DEB, masyarakat bukan Melayu telah mempersoalkan kedudukan ekonomi mereka yang terlalu tertumpu kepada jenis perniagaan yang bercorak 'family-owned' dan 'family-run' sedangkan orang Melayu melalui DEB telah menerokai dunia korporat dengan begitu pantas. Ramai pihak dari kalangan masyarakat bukan Melayu telah merasakan cara tradisional ini akan membuat masyarakat mereka ketinggalan di dalam bidang ekonomi.

Nampaknya, dengan keputusan untuk menswastakan aset-aset PNB kepada kumpulan individu Melayu akan membawa ekonomi Melayu kepada corak yang tradisional ini. Bezanya yang besar ialah sungguhpun ia nya tradisional tetapi individu yang terlibat adalah sebahagian dari oligarki ekonomi negara.

Sebenarnya, penjualan ekuiti dalam MMC oleh PNB kepada kumpulan individu ini tidak akan menambah pegangan ekuiti Melayu dan bumiputera dalam sektor korporat. ianya merupakan pemindahan sahaja. Maka, adalah mungkin ia merupakan satu langkah strategik.

Akan tetapi, kumpulan individu yang membeli ekuiti dalam MMC ini sudahpun mempunyai dua buah syarikat awam hasil daripada penswastaan Pelabuhan Johor dan anak syarikat milik KEJORA, iaitu JTOP. Pendekata, kumpulan individu ini bukan sahaja telah dua kali mendapat faedah dari penswastaan aset kerajaan di Johor, tetapi telah pula diberikan peluang untuk mengambilaleh MMC dari PNB.

Bukan sebarangan orang yang boleh mendapat sampai tiga kali peluang. Ini merupakan suatu yang biasa bagi mereka yang menjadi anggota oligarki ekonomi negara. Begitu banyak yang akan dilonggokkan kepada seseorang itu sehingga ia menimbulkan gambaran seolah tidak ada sempadan dan kesudahan bagi memuaskan nafsunya. Inilah yang saya maksudkan dengan fenomena yang berlaku semasa tahun-tahun 90an, ketika mana pelaksanaan strategi penswastaan yang seiring dengan keghairahan bursa saham menjadikannya dekad 'The Greedy 90's'.

Keadaan ini, dimana dilonggokkan berbagai peluang kepada satu kumpulan kecil yang menjadi anggota oligarki ekonomi, telah berlaku sebelum pilihanraya umum 1999, dan ia menjadi satu sebab mengapa UMNO di lihat sebagai sebuah parti pemerintah yang terlalu memelihara kepentingan korporat dan ahli perniagaan. Ianya samalah saperti tuduhan terhadap kepimpinan Almarhum Tunku pada pilihanraya 1969.

Malangnya, tindakan yang sama sedang di teruskan selepas pilihanraya umum 1999 seolah-olah maseh tidak ada perubahan dalam sikap pucuk pimpinan parti dalam Kerajaan. Isu-isu penswastaan telah dibangkit semasa kempen pilihanraya umum yang lalu dan telah turut membawa kesan negatif kepada calon-calon UMNO khususnya. Apatah lagi kalau peluang-peluang penswastaan itu turut melibatkan aset-aset PNB yang sepatutnya menjadi pemegang amanah utama bagi masyarakat Melayu.

Nampaknya, teori Dr Mahathir bahawa kejayaan ekonomi orang Melayu perlu kepada keujudan satu kumpulan billionaire Melayu, maseh di gunapakai. Kalaulah billionaire Melayu itu handal sangat di dalam selok-belok perniagaan, mengapakah perlu sehingga ianya mendapat sampai tiga peluang penswastaan.

Tidakkah cukup dengan dua buah syarikat awam hasil dari penswastaan aset Kerajaan di negeri Johor untuk menjadi asas dan pemangkin kepada kejayaan nya seterusnya.

Mengapakah perlu bagi di pindahkan aset yang dimilik oleh beribu orang Melayu yang menabung di dalam sekim amanah saham PNB kepada suatu individu atau kumpulan kecil, walaupun mereka juga Melayu. dalam tahun 1997, apabila Dr Mahathir di tuduh mempunyai kroni, beliau menjawab bahawa setiap orang Melayu yang berlabur melalui PNB adalah kroni Kerajaan.

Tetapi yang sebenarnya, ada yang 'Kroni' dan ada yang 'kroni' sahaja.