Laman Webantu   KM2A1: 2879 File Size: 31.3 Kb *



KTLBELB Bab 30: Menyelami Yang Silam
By Marhain Tua

26/9/2000 10:45 am Tue

Siri KTLBELB: Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila

KTLBELB: Bab 30


MENYELAMI YANG SILAM

AWALKATA:

Setiap yang bermula tentu ada penghujungnya. Kira-kira enam bulan yang lalu, penulisan ini dimulakan untuk menyambut cabaran pengendali web Mindarakyat dan FeU, yang ketika itu masih disangsikan. Memang di waktu itu terdapat beberapa laman web yang hangat-hangat sehingga mampu mengaut perhatian dan sentuhan pembaca sehingga puluh ribuan banyaknya. Saya menyambut cabaran dua PW ini dengan penuh tandatanya apakah mereka dapat bertahan lama berbanding dengan laman web lain yang ternyata lebih unggul lagi.

Alhamdullilah, keyakinan awal itu terus bertahan sehinggakan penulisan ini dapat mencecah bab ke-30 seperti yang diilhamkan. Memang, bukan sebarang keyakinan rupanya semua itu, kerana hampir semua laman web yang hangat-hangat dulu sudah pun dingin kini, Hangat-hangat botol termos rupanya; apabila tiba masanya, kan dingin juga. Mujur juga tidak menjadi hangat-hangat tahi ayam.


FENOMENA HANGAT-HANGAT TAHI AYAM

Fenomena hangat-hangat tahi ayam sebenarnya merupakan satu bentuk pemerintahan yang diterajui oleh seorang insan yang bergelar wira dunia ketiga sejak dua puluh tahun yang lalu. Cuba perhatikan perkara ini:


  1. Konsep pemerintahan 'Bersih Cekap dan Amanah' merupakan teras pemerintahan dinasti Mahathir bin Mohammad. Kemanakah Malaysia kini?

  2. Malaysia mahu dijadikan sebuah negara yang maju menjelang 2020, ke manakah arah negara kita kini?

  3. Kemajuan Malaysia untuk terus maju tersekat sehinggakan Malaysia terpaksa menderita kerana diserang "oleh penyangak matawang seperti Soros dan ramai orang Yahudi yang lainnya. Keadan semakin meruncing apabila IMF dan Bank Dunia mahu menekan Malaysia dengan mengenakan syarat ketika Malaysia memerlukan pinjaman wang. Kerana itu Malaysia tidak meminjam daripada dana itu dan bergantung harap kepada dana luar sehingga terpaksa membayar faedah yang tinggi."


    Negara lain seperti Thailand dan Korea yang meminjam daripada IMF dan Bank Dunia telah pun bangkit dengan megahnya sedangkan Malaysia masih terumbang-ambing dan menghampiri gerbang kemelesetan ekonomi sekali lagi.

    Sebaliknya Malaysia yang begitu lantang menuduh negara maju sebagai memasang agen untuk menjatuhkan ekonominya, kini terpaksa menghantar pegawai dan pakar ekonomi ke Amerika secara bertujai jadualnya. Hilangkah syak wasangka terhadap orang Amerika yang mahu meranapkan ekonomi negara ini?

  4. Seluruh dunia telah mengharungi kemelesetan ekonomi dengan mengecutkan segala bentuk institusi dan infrastruktur pengurusan yang membazir. Dengan cara itu, petualang yang menyalah-gunakan kuasa dan keistimewaan perniagaan dapat didedahkan dan perniagaan mereka diberikan kepada yang lebih berwibawa. Apakah yang terjadi sebaliknya di Malaysia? Semua projek mega yang besar terus dilaksanakan dan sesiapa sahaja yang tergolong dalam khemah kroniputra diberikan bantuan untuk hidup mewah lagi. Rakyat marhaen akan terus merempat lagi kerana segala desakan hidup mereka tidak terbela. Harga tol terus naik meningkat. Harga barang makan terus naik lagi. Tambang bas, teksi, keretapi dan kapalterbang terus naik mencanak. Bagaimana pula dengan harga buku sekolah dan kos pelajaran di IPTA dan IPTS? Semua itu ditolak tepi, tidak masuk buku para perancang negara. Kerana apa juga kenaikan yang dikenakan kepada rakyat marhaen itu yang akan menerima faedahnya adalah para kroniputra juga.

  5. Sejak dua puluh tahun yang lalu, dalam jangkamasa 43 tahun yang menyeluruhi Malaysia di zaman kemerdekaannya, kerajaan diterajui oleh seorang yang bernama Mahathir bin Mohammad. Dia telah diberikan oleh Allah SWT, sebuah negara yang aman damai kerana rakyatnya yang bersikap toleran terhadap masalah suku kaum dan berjaya menanganinya tanpa banyak muslihat. Dia diberikan Allah sebuah negara yang kaya raya, baik daripada hasil buminya mahu pun yang tertanam di permukaannya. Inilah sebuah negara yang unik kerana tidak dilanda masalah gempa bumi, taufan puting beliung, penyakit berwabak yang berbahaya kecualai JE; kerana malaria, biri-biri denggi dan sejenis denganya sudah lama terkawal. Inilah negaranya di mana asas kemerdekaan yang dicapai membolehkan setiap suku kaum bertegur sapa dalam satu bahasa dan berhibur dengan pelbagai istiadat, budaya dan irama tanpa banyak masalahnya. Insan bernama Mahathir a/l Mohammad telah diberikan Allah sebuah negara yang sepatutnya mampu ditonjolkan ke dunia sejagat sebagai negara maju sebelum menjelangnya tahun 2001. Kerana dia tidak tahu bersyukur kepada Alah swt, kerana dia cuba menjadi seorang nabi jadian di kalangan umat Allah yang masih percayakan kekuasan mutlak Allah swt. Malaysia kini sedang menghampiri ambang kemuflisn sekali lagi. Mahathir bin Mohammad telah melakukan satu putar-belit dalam melaksanakan amanah rakyat negara ini sehingga mampu mengambil alih ketuanan Melayu daripada majlis raja-raja, sehinggga mampu memesongkan aqidah sebahagian besar orang Melayu dan sehingga mampu memukau segelintir ulama dan golongan terpelajar Melayu di negara ni untuk bersekongkol dengannya.



Orang Melayu Yang Tertipu

Sikap toleransi Melayu kepada orang lain dan sikap hormat yang hampir menonjolkan satu ketaksuban kepada orang yang dianggap dan dihormati sebagi ketua, kini sudah menjebak masyarakat Melayu itu selama dua puluh tahun yang lalu. Jerat-jerat ini memang mudah dipasang kerana sikap toleransi yang tinggi di kalangan orang Melayu itu sendiri. Inilah bahana berpegang terlalu lama kepada tradisi hidup tanpa mahu mengulangkaji dan memeriksa yang mana satu yang patut dikekalkan dan yang mana satu patut diperbarui dan diperbetulkan

Selepas berlakunya peralihan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman Putra kepada Tun Razak, keaiban episod Mei 13 telah dijadikan satu gong raksasa oleh UMNO untuk mencanai minda Melayu menjadi satu bangsa yang mudah turut kata-kata ketuanya. Sekali gong itu dipalu, berpuluh kali dengungnya berdenyut diminda orang Melayu, kerana kata-kata hikmatnya diulang bertubi-tubi oleh pemimpin UMNO agar orang Melayu percaya kepada kata pemimpinnya. Masuklah Melayu ke hutan rimba mengerjakan hutan belantara dengan gaji harian yang tidak seberapa sebagai peneroka. Di waktu yang sama; balak, rotan dan gaharu diangkut ke luar oleh pemegang konsesi yang merupakan ahli warga istana ataupun ahli exco kerajaan negeri yang menjualkan konsesi itu kepada taukeh-taukeh kaya satu ketika dulu. Mereka inilah pengusaha lombong bijih yang sudah pun hilang harganya. Di manakah pengusaha kawasan balak itu kini? Mereka berada senang-lenang di Eropah, Canada, Amerika dan Australia. Segelintir masih lagi berada di Singapura dan Bangkok. Kalau mereka berada di Malaysia pun masa ini, mereka datang sebagai pelawat terhormat sahaja.

Kemunculan kembali usahawan Malaysia yang kayaraya daripada hasil bumi negara adalah untuk melabur kembali secara pelabur singkat di BSKL. Mereka akan datang menderu kalau BSKL menunjukkan graf aktibiti berwarna biru. Sebaik sahaja warna bertukar menjadi merah, itu menandakan pelabur singkat itu sudah gelisah dan menjual pegangan mereka untuk seketika sambil berhibur di tempat lain pula. Di waktu mereka berada di luar negara semula itu, harga barang makanan di negara ini akan naik lagi, kerana ramai pelabur dalam negeri yang tergigit jari kerugian di sebabakan mainan orang yang lupa daratan. Apakah impaknya kepada rakyat marhaen? Mereka akan tercungap terus kerana tidak mampu menangani arus kenaikan harga barang keperluan yang tidak nampak akan menurun lagi. Itu sebabnya ramai penduduk ibukota terpaksa melakukan kerja lebih masa ataupun membuat dua kerja dalam satu hari kerana menampung keperluan kenaikan harga yang terus meninggi. Itu sebabnya ada suri rumah yang terpaksa menjual diri, demi masa depan anak-anak yang memerlukan kos yang tinggi untuk mengejar pendidikan. Ada yang melacurkan diri dengan izin sang suami dan ramai juga yang melakukannya tanpa pengetahuan sanak saudara. Akhirnya, masyarakat Melayu yang dikenal sebagai masyarakat yang lemah lembut itu menjadi satu masyarakat yang berdendam kerana mereka sedar kini bagaimana mereka ditipu dan tertipu.

Bagimana pula dengan para peneroka hutan rimba dulu? Ramai yang sudah menjadi aruah, dan tidak merasakan keperitan golongan yang masih bergelar peneroka lagi. Kini, yang masih menjadi peneroka sudah pun selesai membayar hutang projek asal dulu. Kini, tanaman lama perlu ditanam semula dan akan bermulalah kembali kisah hutang-piutang itu untuk dijadikan bekalan kesengsaraan si anak cucu. Sepatutnya penanaman semula ini tidak memerlukan pembayaran apa-apa kalau sebahagian besar hasil kutipan balak dimasukkan ke dalam satu tabung khas tanaman semula untuk peneroka. Inilah contohnya bagaimana harta bumi negara diselewengkan dengan bersahaja.



Kaum Lain Yang Ditipu

Yang paling kuat tertipu ialah apa yang disebut sebagai masayarakat orang asli. Di zaman raja-raja Melayu kuno golongan ini adalah berbangsa Melayu darat. Ketika itu mereka lebih dikenal sebagai golongan orang hutan dan ketua mereka lebih terkenal dengan panggilan Raja Sakai. Apabila British datang menjajah mereka dikenali dengan nama "orang asli". Inilah pusingan pertama minda orang Melayu itu diputarbelitkan, sedangkan ramai orang Melayu di bandar kini, mempunyai darah kumpulan asli ini dalam badan mereka. Penjajah British mahukan orang asli terus di hutan sebagai benteng menghadapi pengaruh komunis. Apabila kemerdekaan dicapai, para ketuanan Melayu ketika itu (Pemimpin UMNO dan ahli istana) mahukan orang asli terus di situ sebagai benteng terhadap kerakusan kaum Cina menyalahgunakan kawasan hutan dan hasil rimba. Jabatan Orang Asli diteguhkan dengan usaha asli itu secara terpinggir di antara satu sama lainnya. Sedangkan cara yang terbaik ialah menempatkan golongan orang menempatkan mereka di kawasan khas seperti yang dilakukan oleh British kepada orang Cina ketika zaman dharurat dulu.

Apakah kesannya? Orang asli jadian-jadian bikinan British merupakan segelintir bangsa Melayu yang masih terpinggir. Jutaan wang Baitulmal yang sepatutnya dicurahkan (sedikit sahaja) untuk mengislamkan seluruh masyarakat asli ini masih tidak digunakan. Usaha mengislamkan mereka berjaya dilakukan oleh orang persendirian kerana dasar kesedaran dan perjuangan jihad. Tetapi, apakah yang dilakukan oleh kerajaan dan UMNO? Falsafah membiarkan mereka sebagai barangan antik dalam sejarah tamaddun orang Melayu sengaja diperpanjangkan. Kalau ada pun usaha memodenkan masyarakat itu ia mestilah mengambil falsafah hangat-hangat tahi ayam juga.

Selepas orang (Melayu) asli, barulah kita sampai kepada kaum India. Pada asalnya mereka dibawa untuk bekerja membuka jalanraya dan landasan keretapi. Keretapi digunakan untuk mengangkut hasil bijih ke bandar-bandar. Kemudian barulah mereka ditempatkan membuka hutan rimba menanam getah sebagai menggantikan ladang kopi yang diserang oleh penyakit 'pytophtora'. Ladang getah telah membuatkan negara kaya raya terutama sekali apabila tercetusnya Perang Korea. Kemajuan getah mendorong Syarikat Socfin membawa masuk benih sawit untuk ditanam di Ladang Tanah Merah (tidak jauh daripada Bukit Pelandok). Kejayaan itu membuatkan Socfin membuka hutan rimba di Ca'ah hingga ke Labis di Johor; di Sungai Ular di Kedah, di Batang Berjuntai di Selangor dan Ladang Budu di Benta, Pahang.

Kejayaan inilah yang mendorong ramai bekas tentera British menjadi tuan peneroka, dengan membuka hutan menggunakan wang gratuiti persaraan mereka. Apabila berjaya mereka jual ladang itu kepada bank dan syarikat besar di pasaran saham Eropah. Inilah yang mendorong kemasukan pekerja daripada kaum India ke ladang-ladang. Tetapi, British melakukan pecah dan perintah dalam menggaji kaum India ini. Kebanyakan mereka yang menjadi pegawai kerani adalah daripada kaum Malayalam daripada Kerala. Mereka yang menjadi pegawai perubatan (dresser ataupun H.A) datangnya daripada kaum Singhalese ataupun Tamil daripada Sri Lanka. Ada juga segelintir yang datang daripada kaum Telugu (seperti seorang pemimpin MIC sekarang ini). Majoriti pekerja ladang adalah daripada Tamil Nadu (Madras) dan daripada kaum harijan (nama lamanya ialah pariah).


Kemasukan orang Tamil Nadu ke negara ini adalah dengan tipu helah juga. Saya ada bercerita panjang mengenai hal in dalam tulisan yang lalu. Kaum ini merupakan satu kaum yang tertekan hingga kini. Mereka merupakan golongan majoriti yang bertungkus lumus bersama orang Melayu kampung menegakkan ekonomi pertanian negara. Hidup mereka di ladang dulu banyak bergantung kepada cara hidup masyarakt mereka di India di mana setiap masyarakat itu dikawal oleh satu majlis golongan tua yang lebih mirip kepada 'sistem pancayat' di India. Sistem ini memberikan kuasa kepada majlis orangtua menentukan keputusan muktamad dalam masalah kehidupan masyaraktnya Inilah sebabnya apabila masyarakat ladang itu terbubar dan kaum India masuk arus kehidupan di bandar-bandar, mereka menjadi satu kaum yang tertekan. Yang termampu untuk hidup di bandar ialah dengan tinggal di kawasan setinggan. Oleh kerana pelajaran tidak mencukupi ramai di kalangan mereka yang bekerja di kilang-kilang yang kebanyakannya dididirikan secara haram.

Ramai yang terpaksa bekerja dua jenis pekerjaan untuk menampung tekanan hidup. Di ibukota ramai anak-anak India yang bekerja di pasar borong hingga mampu bertutur loghat Cina dengan fasihnya. Inilah golongan yang kebanyakannya menganggotai kumpulan haram di ibukota, dan mengganas di perkampungan sendiri setelah berjaya mempelajari selok belok hidup dipengaruhi amalan 'Triad (Kongsigelap terancang) Cina'.

Untuk mengimbangi keganasan yang muncul daripada satu generasi kaum yang semakin berani mengganas, apakah yang dilakukan oleh Raja Kaum India di negara ini? Apakah dia sanggup berlembut dengan memanggil mereka untuk berdialog? Adakah dia melancarkan satu Pelan Induk untuk mempertingkatkan Kaum India? Tidak, dia mula mendera mereka dengan maki hamun. Dia tidak mampu memanjakan mereka sedangkan apa yang diperlukan ialah telinga yang bersimpati mendengarkan rintihan mereka. Mereka perlukan satu sistem pancayat moden daripada kerajaan melalui MIC.

Sebaliknya, Maharajah Samy Vellu, menunjukkan keupayaannya menggunakan kekerasan untuk menentang kedegilan itu. Secara tidak lansung terjebaklah masyarakat India lepasan ladang-ladang itu ke kancah keganasan. Mereka amat mudah melakukan semua ini kerana di Sri Lanka, kaum yang sama sedang menunjukkan ketahanan mereka untuk menentang kerajaan Colombo.

Maharajah Samy Vellu tidak lagi mampu mengendalikan masalah sebenar kaum India kerana untuk menentukan mereka kekal dengan agama Hidu dia terpaksa mengimpot lebih empat ratus 'sami' daripada India dan Sri Lanka. Dia akan terus tertekan dengan hambatan ini kerana semakin ramai anak muda India yang bertukar agama dan mengahwini perempuan asing atau mengamalkan hidup kahwin suka-suka terutama sekali dengan gadis-gadis yang datang daripada Filipina dan Indonesia. Amalan baru ini sekaligus menenggelamkan budaya membayar wang hantaran 'dauri' yang tinggi yang menjadi amalan lama kebanyakan masyarakat India di negara ini.

Sekaligus, budaya nenek moyang mereka itu menjadi kucar-kacir sehinggakan masyarakat India itu menjadi satu masyarakat yang masih mencari seorang pemimpin tulin untuk membawa mereka ke alaf baru. Kalau keadaan yang ada dibiarkan berterusan, pencarian mereka itu hanya akan terjawab kalau masyarakat India itu keluar beramai-ramai daripada MIC ataupun sebarang parti politik yang merupakan parti serpihan MIC itu juga.



Kaum Cina Pun Tertipu Juga

Kalau kita perhatikan masyarakat Cina sekarang ini kita tentu kagum dengan kemajuan mereka itu. Inilah kaum yang amat taksub dan setia kepada rukun hidup suku-kaum masing-masing. Namun mereka mampu bersatu apabila menandingi masyarakat lain. Kemasukan orang Cina mengikut amalan "Shanghai Indenture System" memberi ruang kepada ketua masyarakat untuk menentukan cara kehidupan mereka. Orang Cina mampu berniaga kerana sistem ini yang memberi ruang luas kepada sistem 'Taukeh dan aperantis'. Seorang pengusaha dimestikan (sejak dulu kala) melatih beberapa anak muda sebagai pelatih ataupun 'apprentice' tanpa membayar gajinya. Hanya perlu menyediakan makanan harian dan sedikit wang saku untuk membeli sebatang-dua rokok. Malahan dalam urusniaga teknikal, ada pelatih ataupun 'apprentice' yang dikenakan bayaran bulanan.


Cara hidup orang Cina seperti ini berjaya memberikan ruang untuk kaum ini memonopoli dunia niaga. Sistem 'apprenticeship' akhirnya berkembang kepada sistem 'francais'. Contoh sistem francais yang paling berkesan ialah penjualan buah-buahan, airtebu, air teh-cina dan air-herba di tepi jalan. Kebanyakan orang Cina yang menjaja di tepi jalan itu dulu, hanya merupakan ahli francais tajaan kelab kaum mereka. Mereka menjual apa yang disogokkan dengan harga yang ditetapkan. Sistem francais ini membolehkan kaum Cina menguasai serba serbi bidang francais yang menguntungkan. Kekuatan mereka terserlah di satu ketika Pemuda UMNO menaja perlawanan tinju Mohamad Ali lawan Joe Bugner. Orang Cina dengan ihsan MCA telah mengambil sikap memulaukan perlawanan itu. Pertunjukan itu gagal-segagalnya dan Dato Harun bersama Datok Abu Mansor terpaksa merengkok dalam penjara.

Kekuatan sistem francais Cina itu memang amat ketara sekali pada satu ketika mereka memulaukan memakan durian, menjelang pertunjukan tinju Mohammad Ali-Joe Bugner itu. Impaknya, orang Melayu yang menanam durian pun kerugian besar. Ironisnya, peniaga Cina yang telah membayar wang pajakan kebun durian Melayu telah dibayar pampasan sebagai saguhati. Demikianlah berpengaruhnya masyarakat Cina dalam mengawal dunia perniagaan mereka di negara ini.

Sehingga hari in tidak ada satu bidang niaga yang tidak dipelopori dan ditaja oleh masyarakat Cina yang tidak berjaya. Kerana mereka amat pintar untuk mengawal dan menyelia ketahanan bidang niaga itu. Apabila tiba masanya sistem 'apprenticeship' itu terkubur, masyarakat Cina memperhebatkan sistem francais mereka sehinggakan mampu menghentikan usaha niaga yang menggunakan banyak tenaga buruh. Sekaligus sistem 'apprentice' itu diketepikan. Inilah jenis niaga yang akhirnya diserahkan kepada usahawan Melayu untuk meneruskannya. Orang Melayu pun mengambil alih beberapa perniagaan yang satu ketika dulu dikuasai oleh usahawan Cina. Sekaligus orang Melayu diperlekehkan dengan 'budaya cuci-mangkuk' itu.


Dengan terhapusnya sistem 'apprenticeship' ramai anak muda Cina yang tidak berpelajaran dan berpendidikan tinggi, menjadi sampah masyarakat hingga terjebak ke kancah maksiat. Ini menghasilkan kumpulan haram yang menggugat ketenteraman awam. Keadaan meruncing sehinggakan Pulau Jerejak tidak cukup tempat untuk mereka. Bandar-bandar kecil pun mengalami masalah maksiat apabila penjenayah yang telah menjalani hukuman penjara ditempatkan di kampung dan bandar kecil untuk menjalani hukuman buang daerah. Muncullah operasi tikam-ekor haram dan perjudian haram. Ini merupakan satu jenayah baru yang tidak menzalimi sesiapa secara melukakan badan. Oleh kerana lumayannya operasi haram seperti ini, jenayah rompak merompak menjadi berkurangan terutama sekali dengan munculnya kilang di merata negara. Setiap kilang itu merupakan tapak yang baik untuk kegiatan perjudian tanpa lesen ini. Begitu lumayannya operasi itu setiap wang haram perlu dibersihkan.

Bermulalah operasi 'money laundering' secara bersistem di negara ini. Pusat hiburan bercambah dan menjadi bertambah popular dengan teciptanya sistem karaoke (dalam Bahasa Jepun bererti tanpa suara). Wang yang dilonggokkan daripada perjudian tanpa lesen kini menjadi modal untuk menjana pusat hiburan haram dan hasilnya ialah wang kutipan yang sudah "dibersihkan" untuk memasukki sistem perbankan negara.

Sistem mencuci wang haram di Malaysia menjadi begitu terkenal kepada masyarakat kumpulan haram seantero dunia sehinggakan ia menjadi tarikan dan tumpuan sindiket asing menggunakan Malaysia sebagai tapak membersihkan wang haram itu. Sekaligus, BSKL menjadi wacana yang terpenting untuk dijadikan kasino di siang hari sedangkan karaoke dijadikan tempat menghibur sesiapa sahaja yang terlibat dalam melakukan penguatkuasaan setiap aktibiti bersangkutan dengan kegiatan haram di negara ini.



SIAPAKAH LAGI YANG TERTIPU

Apabila wang menjadi dewata, apakah yang ada kepada manusia kerdil yang hidupnya mencari makan secara kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati? Apakah yang termampu dilakukan oleh setiap pegawai kerajaan yang bergaji bulan tetapi yang berhutang sepanjang tahun untuk menyara hidup keluarganya? Berapa lamakah yang termampu dilihat oleh seorang prebet mata-mata yang semakin hampir hari persarannya kalau setiap hari dia disuruh mengutip 'cukai khas' bagi pihak ketuanya daripada si pengusaha 'rumah urut', rumah mahjong, rumah sundal dan sebagainya?

Demikianlah kuasa wang yang kini dianggap sebagai dewata oleh pengusaha yang kini sudah kayaraya. Apabila wang diberikan ruang yang luas untuk menguasai satu masyarakat yang amat memujanya, kuasa wang itu mampu meruntuhkan empayar kerajaan, tidak kiralah betapa kuat dan kokohnya sesuatu kerajaan itu. Bidalan Melayu ada berkata: "Titisan air yang betubi ke atas batu pejal akan membuatkannya lekuk juga."


Demikianlah yang terjadi kepada masyarakat Melayu itu akhirnya. Wang panas telah menyerapi segala institusi ketuanan Melayu sehinggakan Pembalak Wong menjadi Tengku Wong, Cashier Tan menjadi Tan Seri Vincent Tan, Tauke batang penyapu Ting menjadi Tan Seri Ting. Cettiar Arumugam menjadi Tan Seri Arumugam, Ah Luung Pang (tukang pinjam duit kaum Cina) menjadi Datuk Pang.


Wang panas ataupun tempiasan operasi wang yang sentiasa hangat itu telah memperkayakan sejumlah Melayu (yang kebanyakannya berasal daripada kampung) sehinggakan mereka lupa siapakah mereka sebenarnya. Sekaligus ketuanan Melayu itu bertukar tangan daripada satu tempat yang sungguh mulia (istana) kepada satu tempat yang diberikan kemulian juga (UMNO). Akhirnya ketuanan Melayu itu terhumban ke satu kancah yang merupakan satu sistem raksasa pemerintah negara yang tidak pernah direstui oleh orang Melayu, oleh kerana mereka sudah tertipu.



Pengaruh Wang Haram Yang Dibersihkan

Oleh kerana sistem pengawalan kewangan di negara ini lemah, segala bentuk wang panas mampu masuk tanpa banyak kawalan. Malahan kemasukan wang panas itu merupakan satu agenda yang sengaja dibiarkan dan pada tahap awalannya diberikan permaidani merah oleh seorang diktator yang sudah gilakan kuasa dan nama.. Tanpa wang haram itu siapakah yang mampu membiayai segala projek mega yang dirancang sejak awal 70-an dulu? Wang panas itu menjadi satu sistem perbankan yang setanding dengan sistem perbankan yang formal itu. Siapakah yang lebih memahami perjalanan sistem perbankan yang tidak formal kalau bukan seorang insan yang pernah menjadi juruwang (cashier kepada sistem perbankan yang formal?) Kalau tidak kerana wang panas masakan Indeks Komposit BSKL boleh bergayut lama di atas 1200 mata?

Dengan wujudnya dua sistem perbankan yang selari itu, pelbagai projek pembangunan telah mampu ditaja tanpa banyak usul periksa akan viabilitinya. Pengurus bank yang formal terpaksa berlawan dengan pengurus bank haram dalam mengeluarkan pinjaman bagi projek perumahan dan apa juga projek yang dibenarkan oleh kerajaan. Wujudlah struktur yang tinggi-tinggi dan indah-indah di merata tempat. Di Port D!ckson misalnya, sebuah kondo satu bilik mampu dijual dengan harga RM140,000 pada tahun 1997. Kini, harga pasaran ialah sekitar RM80,000. Projek sewa bermusim yang dirancangkan kepada pembeli kondominium mewah Port D!ckson sudah berkecai mengikut rentak JE yang mengganas Bukit Pelandok dan beberapa tempat di Negri Sembilan.

Bayangkan, ratusan pelabur runcit (rakyat marhaen) yang merana sekarang ini dengan pelaburan yang merugikan itu. Begitulah juga halnya dengan berpuluh projek perumahan yang tersadai di seluruh negara kerana kos penjualan yang tinggi yang memikat para pembeli ketika itu. Projek itu tersadai tanpa disiapkan sedangkan si pembeli terpaksa terus membayar hutang bulanan bersama dengan faedahnya. Siapakah yang ambil peduli semua itu?


Dengan mengecutnya potensi pembangunan sekarang ini, pengusaha yang dirasuk hantu kemuflisan terpaksa mengecutkan pula kos pembangunanya. Kalau dulu dia mampu membayar lesen cukai jalan lori pengangkut pasir, kini dia mahu mengelakkan bayaran itu. Kalau dulu dia mampu membayar caruman pekerja kepada KWSP, kini dia mahu lari daripada tanggungan itu. Begitulah seterusnya mengenai kos yang perlu dilunaskan dan mahu dielakkan oleh golongan yang semakin terhimpit perusahannya. Wujudlah kumpulan 'TONTO' (tolong orang tipu orang) yang digaji khas untk menentukan usahawan yang mahu menipu itu dilindungi oleh kumpulan ganas. Berlakulah penggunaan pekerja asing yang datang secara haram tanpa permit dan kelulusan perubatan. Mereka digunakan sebagai hamba abdi dengan gaji yang murah. Di saat projek hampir tamat, tempat kediaman mereka diserang dan digeledah dan mereka ditangkap untuk dipulangkan ke negara asal tanpa sebarang pampasan. Kalau ada yang mati di tempat kerja mereka ditanam di antara tiang, tembok dan lantai yang masih belum disaluti simen dan marmar yang berkilat. Jadilah setiap bangunan yang tinggi itu satu menara yang mengandungi banyak pusara terpendam yang tidak ada sesiapa yang tahu, ataupun mahu tahu. Apakah kerana itu masih banyak bangunan tinggi yang tidak berpenghuni kerana tidak ada sesiapa yang mahu menyewanya? Tanyalah pengawal (guard) yang bertugas di malam hari mengawal bangunan kosong begini. Tanyalah apa yang pernah mereka alami dan lihat dengan mata sendiri ataupun dengar dengan telinga sendiri. Memang seram dan menyeramkan kerana kebanyakan roh si mati yang teraniaya ini masih menunggu satu semangat keihsanan untuk menenangkan.

Bagaimana pula dengan para pekerja yang diserang di saat mereka akan tamat sesuatu kontrak itu? Di manakah mereka ditahan dan bagaimanakah pula layanan yang mereka alami? Masih ingatkah kita cerita seorang saksi (Majumder) di kem tahanan Kemayan dalam Episod Fernandez dulu? Sampai bilakah kes itu akan ditunda disebabkan ketiadaan penterjemah di mahkamah? Bagaimnakah pula dengan cerita terbaru mengenai orang yang ditahan di pusat tahanan didagangkan oleh pihak yang mengawal pusat itu?



MEMERINTAH UNTUK MENJAJAH

Apa yang berlaku di atas adalah contoh bagaimana orang Melayu dan rakyat negara ini terus dijajah walaupun negara sudah bergelar bebas dan merdeka. Penjajahan itu sebenarnya berterusan mengikut satu 'scheme' yang lama dirancang oleh seorang diktator yang bertopengkan nama Islam dan berbangsa Melayu. Kedurjanaannya itu sudah terserlah kini. Tidak ada lagi topeng yang mampu dipergunakannya untuk terus mengekalkan kuasanya. Kita akan kupas segala kepincangan pemerintahan Mahathir bin Moahmmad ini dalam satu artikel khas yang merupakan satu epilog dalam siri "Kalau Tak Larat Eloklah Lagi Bersila." Insya Allah.


Sejarah akan membuktikan betapa pemergian Mahathir Mohammad itu akan merupakan satu episod yang panjang kerana panjangnya proses memperbetulkan masyarakat Melayu dan semua kaum di negara ini untuk memahami erti menjadi rakyat sebuah negara yang merdeka.


Saya pernah berkata:

Apabila seorang pemimpin negara yang popular mula memusuhi rakyatnya untuk terus berkuasa, bermulalah satu titik permulaan kejatuhannya.

Kini, Mahathir sedang menghampiri satu titian yang panjang yang perlu diharungi sebelum dia tersungkur menyembah bumi. Ironisnya terlalu ramai para cendikiawan, ilmuan dan ulama yang sanggup menunjukkan satu tahap yang toleran terhadap tindak-tanduknya. Kalau dinilai akan tahap kebijaksanaan yang diberikan oleh Allah kepada semua manusia yang berada di keliling pinggang Mahathir itu, masyaAllah?? bukan kepalang kepintaran yang ada pada mereka. Tetapi, sayangnya mereka masih mampu tersenyum dan terhegeh-hegeh memperakukan apa juga yang dikatakan dan dilakukan oleh Mahathir. Sedangkan mereka tahu setiap perbuatan Mahathir masakini adalah menyanggahi harapan rakyat marhaen dan yang lebih aib lagi banyak yang bertentangan dengan ajaran Allah.

Inilah masalah yang perlu difahami oleh setiap rakyat Malaysia, bahawa masa hadapan negara ini banyak bergantung kepada cara pemulihan yang patut dilakukan sekarang dengan segera sambil Mahathir masih lagi berkuasa dan bernyawa. Kalau semua pembetulan itu tidak dilakukan dan hanya mahu dilakukan selepas Mahathir sudah tiada, rakyat negara ini harus diberikan pendidikan untuk bersedia menanganinya.

Akibat proses pembetulan itu akan sungguh memilukan kerana kita masih samar dengan cara ia akan dilaksanakan dan siapa pula yang akan melaksanakannya. Inilah kejayaan Mahathir yang paling besar sekali. Warisannya telah membawa Malaysia ke satu era yang sungguh mencelaru di mana rakyatnya masih keliru apakah peranan seorang rakyat kepada negara yang merdeka. Selama ini Mahathir sudah berjaya memutarkan minda rakyatnya. Selama ini pula kita taksub mempercayainya. Kerana itu yang silam perlu diselami agar kita tidak akan terus tertipu lagi.


-Marhaintua-
23 September,00