Laman Webantu   KM2A1: 2814 File Size: 4.3 Kb *



UMNO Semakin Agresif ? PGK 25
By Kapal Berita

19/9/2000 6:23 pm Tue

Komen:

Sebelum "ustaz" ini mahu membasuh PAS, bukankah lebih baik jika dibasuh semua kekotoran dalam UMNO itu sendiri dulu. Bukankah pemimpin UMNO sendiri masih tidak memahami Islam. Bukan itu sahaja, malah mereka cuba pula untuk mengenakan idea mereka terhadap orang lain. Tentu "ustaz" ini belum lupa bagaimana tudung kepala dianggap tidak penting oleh Presiden UMNO kerana kononya "dalam lagi penting".

Bagaimana pula dengan komen penafsiran semua al Quran yang dicanangkan oleh Presiden UMNO supaya ia "lebih sesuai"? Atau hudud yang digambarkan sebagai "primitif" oleh orang yang sama. Bukankah kata-kata sebegini merbahaya kerana boleh menjatuhkan syahadah? Ditambah pula dengan merelakan pengaiban dan penghukuman ke atas Anwar tanpa mengambil kira pandangan hukum syariah, siapakah yang "mengajar" rakyat menjadi kurang ajar kepada tuntutan tuhan? Mengapakah TIDAK ADA SEPATAH PUN diucap oleh PGK 25 ini untuk menegur Jenayah Mengaibkan Anwar - sedangkan gejala ini lebih dahsyat dari jenayah pembunuhan.

Mengapakah PGK tidak membetulkan tudung wanita UMNO sedangkan itu tuntutan wajib yang TIDAK ADA SESIAPA pun berhak menafikannya? Apakah ini nilai-nilai Islam atau cuma sekadar satu pameran untuk menggambarkan betapa "fahamnya" UMNO akan Islam? Atau ia cuma menjadi satu pemerintahan yang bercorak slogan untuk memudahkan kekayaan rakyat dapat diligan sambil berpura-pura menghayati Islam dengan membaca sebaris dua doa?


(PGK=Pasukan Gerak Khas)




Sumber: Berita Hairan

http://www.emedia.com.my/z/Current_News/BH/Monday/National/20000918112110

KOTA BHARU, Ahad - Pasukan gerak khas yang dianggotai 25 tokoh agama dan ulama, dijangka memulakan siri ceramah di Kelantan minggu depan, dalam usaha menyedarkan rakyat di negeri itu mengenai penyelewengan dilakukan Pas berhubung isu agama.

Ketua Penerangan Umno negeri, Prof Madya Mohd Nor Deris, berkata ini dapat dilaksanakan berikutan sebahagian besar anggota pasukan itu bekas tokoh agama yang pernah berjuang bersama Pas di Kelantan.

Beliau berkata, mereka kini berjuang bersama Umno, sedia memberi penerangan kepada rakyat negeri itu.

?Jika tiada masalah, pasukan 25 tokoh penceramah terbabit akan mengadakan siri ceramah peringkat Kelantan minggu depan dengan penekanan terhadap isu penyelewengan agama oleh Pas.

?Kita jangka tidak kurang lima hingga enam ceramah diadakan setiap malam,? katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi di Selangor hari ini.

Antara tokoh yang dikenal pasti ialah bekas pemimpin Pas, Datuk Nakhaie Ahmad; bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad: bekas aktivis Pas, Omar Khalid; tokoh agama Pas, Azmi Mahsyar dan tokoh muda bekas pemimpin pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Adnan Osman selain beliau sendiri yang juga bekas Penasihat Dewan Ulama Pas Kelantan.

Mohd Nor yang juga bekas pensyarah Akademi Islam Nilam Puri, Universiti Malaya pakar bidang perundangan Islam, turut serta dalam ceramah khas di Selangor bermula semalam, membabitkan 17 kawasan. Siri ceramah itu diketuai Nakhaie.

Beliau mengulas penubuhan pasukan penceramah agama dan ulama yang dianggotai 25 tokoh diketuai Nakhaie, kini Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Semalam, Ketua Penerangan Umno, Datuk Mustapa Mohamed, dilaporkan berkata pasukan itu diarah mengadakan gerakan ceramah di seluruh negara bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai penyelewengan Pas yang menabur fitnah dan menyebarkan dakyah menggunakan agama sehingga memporak-perandakan umat Islam.

Menurut Mustapa, selama ini Umno berdiam diri dan membiarkan Pas menabur fitnah serta berbohong kepada rakyat dengan memainkan isu agama, termasuk mengkafirkan orang Umno bagi menyemai perasaan bencikan kerajaan.

Mohd Nor berkata, menerusi ceramah itu rakyat Kelantan diharap dapat memahami bentuk penyelewengan dibawa Pas selama ini, sehingga menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam.