Laman Webantu   KM2A1: 2810 File Size: 7.2 Kb *



TJ: B1 Penubuhan Kerajaan Yang Bersih
By Marhain Tua

19/9/2000 5:28 pm Tue

Fokus Khas;


Awalkata:

Saudara-saudara Ydh:

Saya lakukan bahagian-bahagian terjemahan itu mengikut selera sendiri dengan anggapan para pembaca mungkin mahu membuat salinan dan mengirimkannya kepada orang lain. -MT-


PENUBUHAN KERAJAAN YANG BERSIH
(Clean Government - Lee Kuan Yew: The Singapore Story 1965-2000)




Ketika PAP (The People's Action Party) merangkul kuasa pemerintahan pada 1959, ia telah memberikan keazaman kepada kami untuk mewujudkan satu pentadbiran negara yang bersih. Kami memang merasa mual dengan kelahapan, keadaan korupsi dan kereputan kebanyakan pemimpin di Asia. Inilah para pejuang kebebasan yang memimpin rakyatnya dan kemudiannya bertukar menjadi penyamun khazanah negara. Masyarakat mereka pun menggelonsor ke belakang. Ketika itu kami memang disemarakkan oleh gelombang revolusi di Asia, dan memang berazam untuk menyingkirkan pemerintahan kolonial. Di waktu yang sama kami merasa jengkel dan amat malu dengan perbuatan para pemimpin nasionalis di Asia yang gagal untuk memperkotakan idelisma mereka sehinggakan kami kecewa dengan mereka.

Pernah satu ketika selepas peperangan di England dulu, saya bertemu dengan beberapa pelajar daripada China yang amat bersemangat mahu menyingkirkan pemimpin mereka yang sungguh korup dan tidak cekap mentadbir. Keadaan inflasi di negara mereka sungguh menggunung tingginya dan peristiwa rompakan harta benda yang terus mengganas, menyebabkan ramai pemimpin Nasionalis Cina itu yang melarikan diri ke Taiwan. Sikap para pemimpin yang mudah disuap dan sogokkan wang telah mencetuskan perasaan jijik di kalangan sebilangan besar pelajar sekolah Cina di Singapura sehinggakan ramai yang cenderung kepada perjuangan komunisma. Pelajar-pelajar ini nampak akan contoh-contoh perjungan yang ditonjolkan oleh para pemimpin komunis itu yang amat bersabar, berdedikasi, tidak tamak dan tidak mementingkan diri sendiri sehinggakan perwatakan itu menjadi satu ikutan dan kepercayaan hidup ramai pengkagumnya ketika itu.

Sebelum berlansungnya pilihanraya umum May 1959 kami ada membuat satu keputusan yang penting yang menyerlahkan pendirian kami mengenai korupsi. Kerajaan Lim Yew Hock (1956-1959) sudah menjadi korup ketika itu. Menteri pendidikan beliau, Chew Swee Kee, pernah menerima wang sogok berjumlah S$1 juta daripada sumber yang berasal daripada Amerika sebagai kos memerangi pengaruh komunis dalam pilihanraya umum (pemilu) itu. Terdapat juga beberapa desas-desus betapa adanya sogokkan yang lebih kecil sedikit untuk sebab-sebab yang remeh. Kami memang tidak berapa yakin di pemilu itu kerana kami merasakan belum berapa bersedia dan juga tidak berapa mantap dalam susunan organisasi memerangi pengaruh komunis yang memang dijangka akan mengganyang kami sebaik sahaja kami berjaya menubuhkan sebuah kerajaan. Tetapi kami tidak mahu memberikan ruang kepada sekumpulan penyangak untuk berkuasa semula selama lima tahun lagi kerana mereka suadah pasti akan berjaya mengotori minda pegawai perkhidmatan awam yang masih lagi jujur dalam tugas mereka. Kalaulah perkara ini dibiarkan bererti kami tidak lagi akan berjaya memperbaikki sistem yang tercemar. Kerana itu kami membuat keputusan untuk terus melawan.


Suasana yang menggoda memang terdapat di mana-mana, bukan semestinya di Singapura sahaja. Sebagai contoh, setiap kali seseorang menjejakkan kakinya di negara yang dilawatinya, hubungan rasmi yang terawal dilakukannya tentulah dengan pegawai imigresen dan kastam. Di beberapa lapangan terbang di Asia Tenggara pelancung asing kerap diperlecehkan oleh pihak kastam sehinggalah pelancung itu mengeluarkan wang tunai sebagai imbohan. Amalan menjijikkan yang serupa diamalkan juga oleh para polis trafik apabila menahan seseorang pemandu atas tududan apa yang dikatakan memandu terlalu laju. Pemandu terpaksa menyerahkan lesen memandu mereka beserta harga imbohan yang perlu dibayar mengikut kadar semasa, untuk mengelakkan tindakan lanjutan. Ini adalah disebabkan pegawai yang kanan dalam sesuatu peristiwa itu tidak menunjukkan contoh yang baik. Di beberapa bandar besar di rantau ini, kemasukan seseorang ke dalam hospital memerlukan susulan bayaran sogokan tertentu untuk memastikan rawatan segera. Kuasa yang remeh-temeh apabila diamanahkan kepada manusia yang tidak mampu hidup dengan gaji bulanan yang murahan sudah pasti akan mengundang keadaan kerja yang menyalahgunakan kuasa itu.

Kami mempunyai satu missi yang besar untuk mewujudkan satu pentadbiran kerajaan yang bersih dan berkesan. Ketika mengangkat ikrar sumpah setia pada 1959 itu, kami telah mengenakan pakaian serba putih sebagai lambang kejujuran dan keikhlasan dalam tingkah laku kami secara peribadi dan juga dari segi melayani rakyat. Rakyat memang mengharapkan perkara ini dan kami berazam tidak akan menghampakan mereka. Pihak yang pro-komunis telah mengenakan pakaian yang menayangkan imej carahidup mereka (seluar dan lengan baju yang lusuh), pergerakan mereka adalah dengan menggunakan bas dan teksi, tempat tidur mereka selalunya di bahagian bilik belakang rumah persatuan. Mereka berpendidikan daripada sekolah Cina.


Golongan prokomunis ini kerap mempersendakan keadaan pejabat dan rumah saya yang mempunyai kemudahan hawa dingin,. Begitu juga dengan kereta saya jenis American Studebaker, tabiat saya yang suka bermain golf dan meminum bir. Seterusnya dengan latar belakang keluarga saya daripada kelas marhaen dan pendidikan yang saya terima di Cambridge. Namun mereka tidak berupaya menuduh saya dan rakan-rakan bahawa kami pernah membuat keuntungan daripada usaha membantu para pekerja dan persatuan pekerja yang pernah kami bantu.


Semua menteri kabinet saya, kecuali seorang sahaja, adalah lulusan universiti. Kalau kami tidak menjadi menteri pun memang kami mampu hidup senang lenang dengan kelulusan yang ada pada kami. Memang tidak perlu melakukan kerja-kerja mencari duit sampingan sebagai tangkal di hari tersebut. Yang penting sekali, kebanyakan kami mempunyai isteri yang sedang bekerja yang mampu menyara hidup anak-anak seandainya kami terpenjara. Inilah yang menjadi rukun hidup rakan menteri saya dan isteri mereka. Apabila para menteri menerima keyakinan dan dihormati oleh rakyatnya, pegawai kerajaan pun mampu berkhidmat dengan megah dan membuat keputusan dengan penuh keyakinan. Inilah yang menjadi satu perbandingan yang kritikal dalam usaha kami memerangi pengaruh komunis itu.


>>>>>>>>>>>>>>>Diterjemahkan oleh -MT- <<<<<<<<<<<<<<<<<<<<