Laman Webantu   KM2A1: 2805 File Size: 12.9 Kb *



B1: Sorong Papan Tarik Papan
By Wartawan Pencen

18/9/2000 10:12 am Mon

Umumnya pada hari2 cuti terdapat kekurangan berita. Jadi ada baiknya jika kita cuba mengupas (sedikit cuma) isu2 yang telah berlalu yang mungkin menyerlah pula menjelang sehari dua.

Saya masih mengarang rencana sebagai teman KTLBELB Bab 29 yang lalu dan masih terkial2 kerana kesuntukkan masa. Saya sengaja kurang mengulas bab royalti kerana menyimpan idea untuk dikirim sebagai pengalas siri KTLBELB.

Untuk sementara waktu terjumpa pula satu rencana lalu saya terjemahkan di sini. Ianya adalah sebahagian sahaja kerana rencana asal berbahasa inggeris itu agak kurang mutu dan persembahannya. Oleh itu rencana di bawah ini lebih merupakan satu karya di atas karya:


ROYALTI DIREBUS SESUKA HATI

Tindakan baru kerajaan Malaysia pimpinan Mahathir untuk mengawal bayaran royalti minyak bernilai berjuta2, kepada kerajaan negeri Terengganu menjadi satu isu yang tidak boleh dipandang ringan. Ia adalah merupakan antara serangan yang bertalu2 ditujukan kepada kerajaan yang baru itu. Kalau dulunya isu menutup kepala dan cukai kharaj dijadikan peluru, kini amanat yang bertahun lalu serta royalti pula dijadikan bomb untuk memusnahkan pentadbiran negeri itu.

Soalnya apakah serangan2 ini akan memulangkan kemenangan kepada perancangnya ataupun semakin menambahkan malang yang belum serik menimpa rakyatnya yang bertahun2 dibebani hutang dan kemiskinan walau pun sumber aslinya dapat membina menara yang sentiasa menjadi fokus si kanta kamera kerana besarnya huruf "H" (hutang) yang cuba ditayangkan?

YANG MENULIS DAN YANG MENGGURIS

Setengah penulis lebih berminat untuk mentafsirkan gerak geri pemimpin PAS sebagai bermotifkan sokongan. PAS ditulis dan digambarkan seolah2 sebuah parti yang sentiasa mencari peluang dan menggunakan kesempatan untuk kepentingan dirinya sendiri. Maka disebutlah PAS menggunakan ugama sebagai topeng untuk berkuasa dan memungut derma. Apakah benar sebagaimana kata atau hanya menulis untuk mencari populariti yang sampai bila pun tiada penghujungnya?

Apabila kita mahu menegur sesebuah parti kita harus melihat siapakah yang menubuhkannya terlebih dahulu dan apakah acuan serta asas yang menjadi asam garam perjuangan mereka. Inilah ilmu sains politik yang sebenarnya bukan nya sekadar menggarap berita sembarangan untuk diulas sambil menjaja nama penulis merata-rata dengan hiasan bunga dan madah yang panjang berjela. Penulisan ini bukan bermaksud untuk menyokong atau menyondong kepada sesiapa. Tetapi ia mahu setiap yang hak diletakkan ditempat yang sewajarnya.

PERMULAAN ASAS PENILAIAN

Sejak merdeka sudah berpuluh parti yang muncul tetapi tenggelam kemudiannya ditelan gelombang berita dan arus dunia. Ada yang mati tapi hidup semula dengan orang yang sama dengan nama yang berbeda. Ada juga yang terbakar tetapi muncul selepas disambung semula untuk bila dipinang dengan dengan hantaran yang berjanjikan kekata berbunga kuasa.

PAS pernah menang hanya satu kerusi sahaja tetapi tetap berjuang meredah ribut dan segala tofan yang ada. Beberapa pemimpinnya gugur diserang dengan senapang dan senjata tajam tetapi sampai kini penjenayahnya masih bebas menikmati madu ditampuk kekuasaan. Balu2 dan anak2 pemimpin PAS yang meninggal itu pula ditimpa dengan pelbagai duka dan lara yang tidak berkesudahan bila hak mereka dinafikan dengan beribu alasan. Dengan perbicaraan mahkamah yang asyik tidak menemui kesudahan, luka dan sengsara hanyut dan tenggelam dalam suasana yang sunngguh menyayatkan.

Rupa2nya harta2 peninggalan pejuang2 yang gugur ini telah disembunyikan oleh petualang yang kita sendiri tahu sedang bergayut digenting yang penuh dengan kasino sambil dibuai oleh minuman khayalan. Sudah tentu dia tidak menemui haramnya arak kerana khayalnya sudah terlalu mendalam. Begitu juga dengan rakannya yang masih hitam tapi berpura-pura pula menjadi putih memegang jawatan sebagai juara hak-hak kemanusiaan. Bukankah ini semua satu perlantikkan yang cuba memperlekehkan keadilan dan kemanusiaan? Bagaimana pula dengan bos mereka yang masih tebal muka walaupun dikutuk dimerata dunia dan ditendang oleh satu majlis anjuran gabungan persatuan islam di satu benua di saat dia amat memerlukan ?.

SAMSENG YANG TIDAK PUTUS-PUTUS

Alangkah malangnya negeri Terengganu, sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai hasil tetapi muncul pula sebagai negeri yang paling teruk menjadi tamu kepada jenayah koporat yang rugi memanjang walaupun ketika negara tidak diancam merudumnya saham dan ekonomi menjunam. Alasan nilai yen dikatakan penyebab malang walaupun industri lain di negara ini yang bergantung kepada nilai yen masih dapat makmur tanpa hutang dan suntikan dana penyelamatan. (pinjam style MT..:) )

Umno yang telah sekian lamanya berkuasa di situ gagal membuahkan satu formula untuk menghidupkan taraf hidup rakyat yang serba dhaif dinegeri yang banyak rakyatnya bergantung harapan kepada pantai lautnya yang membuahkan industri ikan dan keropok ikan.

Sebaliknya umno menghantar pula formula2 yang meranapkan lagi nasib rakyat Terengganu yang sudah malang itu. Rakyat Terengganu dihadiahkan dengan menghantar Yusof Nor yang kita tahu amat "pandai" bermain wang BaitulMal sehingga berjuta lebur sekelip mata angkara "fatwa" nya yang sampai kini tiada sesiapa yang dapat mendakwa. Atau Wan Mokhtar yang begitu pakar menguruskan wang sehingga banyak anak syarikat kerajaan negeri berhutang keliling pinggang serta "hidup pun segan mati pula tak mahu" umpama nyawa-nyawa ikan.

Tidak lupa juga seorang samseng yang menghilangkan diri bila rakyat menjadi curiga dan pihak akauntan datang memeriksa akaun pejabatnya. Bukankah dia asyik menulis chek untuk dimasukkan ke dalam sakunya sendiri sambil bergaya menulis bil berjuta2 dengan tangan kirinya pula. Sudah pasti ia diiring pula dengan satu ketawa yang amat panjang bunyinya memikirkan betapa mudahnya beliau mengambil wang tanpa perlu bimbang pihak polis atau BPR datang kerana wang yang berbillion itu akan membuatkan mata mereka semua itu terpejam. Kini beliau muncul kembali kerana yang ditakutinya itu sudah pun dihumban ke sel di Sungai Buloh tiada upaya untuk mengesan dan menggeledah dokumen asalnya yang memang pincang.

KRONI PUTRA YANG ISTIMEWA

Apabila misi menyelamatkan Perwaja dilancarkan Eric Chua menjadi orang pilihan kononnya ia pakar membangunkan satu projek yang sudah pengsan. Maka dia begitu senang mendapat wang kerana semua pegawai bank terpaksa akur arahan menjaminnya sakan. Ditambah pula dengan wang royalti yang sentiasa bersedia untuk menyuntik bila tangki akaunnya kering kontang, dia semakin naik minyak sehingga berbillion "hilang tanpa dapat dikesan". Kini wang itu tiba2 diberitakan menyusup di bank Switzerland tetapi mengapa pula makalah umno yang menjadi "polis" untuk dilapurkan penemuan "hebat" BPR itu? Apakah ini seolah2 mahu memberi isyarat awal bahawa perompak itu memang bukan keparat kroni parti kebangsaan sehingga begitu gopoh ia didedahkan? Tidakkah tindakkan ini menggambarkan bukti itu seolah2 sengaja diletak dan dirancangkan sebagaimana Ibrahim Ali menemui kaset "bunuh" di meja sekolah di negeri yang dikuasai pembangkang...


BILA UMNO KECUNDANG

PAS memenangi 2 negeri di pantai timur dan ia kini semakin mendapat sambutan diperingkat kebangsaan. Fenomena ini menghantar satu isyarat loceng amaran kepada pakatan BN yg mana umno adalah salah satu komponennya yg terbesar.

Umno menganggap dirinya sebagai pejuang ketuanan orang melayu. Tetapi keputusan pilihanraya yang lalu menunjukkan umno adalah kumpulan individu yang paling dibenci oleh orang melayu! Ia tumpas di dua negeri yang dominannya pengundi melayu.... namun umno masih tidak mahu merasa malu. Ia merasakan ia lah jaguh pembela nasib melayu padahal ia gagal segagalnya untuk membela timbalan presidennya sendiri dengan berdasarkan satu tuduhan yang tidak laku serta tidak layak disebut disisi Islam kerana pincangnya bukti dan butiran pendakwaan.

SOKONGAN KELAS MENENGAH MELAYU

Malangnya bagi umno, tindakan demi tindakan yang diolah oleh presiden nya semakin menghilangkan kekuatan umno sendiri. Kini umno sudah semakin kehilangan kepercayaan orang Melayu kelas pertengahan pula. Golongan ini dirasakan muncul kerana jasa umno dan program2nya. Apabila Anwar dijatuhkan hukuman, orang melayu semakin memarahi umno secara diam2. Hasilnya perayaan merdeka tempoh hari berlalu tanpa semangat yang tinggi menjulang, sebaliknya satu kesedihan serta perasaan aib yang amat panjang terbenam di lubuk hati yang kelam. Bantahan demi bantahan disuarakan oleh hampir semua pemimpin besar dunia menggambarkan sistem kehakiman negara ini sudah terlalu jijik dan tercemar. Sudah tentu rakyat hakim negara ini yang waras akan menyimpan satu "pukulan" maut bila diberikan kesempatan dan ruang. Maka umno jangan menyesal jika ia kecundang kerana hati rakyat yang terluka ini sudah sukar untuk diubatkan.

UMNO amat bergantung harapan kepada golongan elit dan menengah yang menikmati pelbagai kekayaan serta kemudahan di negara ini. Akan tetapi golongan ini sudah berpaling tadah kepada PAS kerana PAS lebih menyakinkan ketulusannya. UMNO sengaja membunuh dirinya sendiri dengan menukar2 perjanjian sesuka hati sambil meliwat undang2 yang ada dengan pelbagai alasan yang menyebabkan dunia pelabur antarabangsa menggeleng kepala betapa mudahnya ia mencari alasan untuk menghukum barang sesiapa dengan sewenang-wenangnya.

Terdapat beberapa sebab mengapa isu royalti ini membimbangkan analis:


  1. Mahathir bertindak mencemarkan penjanjian dengan alasan prejudis berwajah dendam. Ia bermakna beliau tidak mengiktiraf 2 perjanjian antara kerajaan Terengganu dengan Petronas serta 3 Ordinan berkaitan Hasil Negeri yang jelas memberikan hak kepada kerajaan negeri. Ia juga bererti Mahathir tidak menghormati tanda tangan semua President Petronas, baik yang dahulu, mahupun yang sekarang. Salah seorang dari bekas presiden Petronas itu ialah Tengku Razaleigh sendiri!

  2. Mahathir mahu rakyat mengikut apa yang dia pilih dan tunduk kepada apa yang dia putuskan dengan alasan yang selalunya bertentangan dengan perlembagaan. Beliau telah melakukan eksperimen ini dengan nasihat "tiada pertandingan" serta menunda perhimpunan umno bila dirinya merasa tergoncang. Rencana oleh Sadirah K menggambarkan dengan jelas bagaimana Mahathir tidak mengiktiraf pilihan dari bawahan - baik di dalam umno itu sendiri, mahupun mandat yang diberi oleh rakyat Terengganu yang mahukan perubahan.

    Dia hanya melayan karenah Tengku2 dan Datuk2 yang mengirim beberapa orang "bekas ahli PAS" untuk "bersiar" dimahligai, tetapi berpaling belakang kepada tuntutan satu negeri rakyat yang keluar mengundi pembangkang membantah bukan satu atau dua, malah hampir kesemua dun dinegeri Terengganu tanpa kesian.

  3. Serangan Mahathir ini juga akan menjanakan perasaan simpati rakyat kepada nasib negeri Terengganu yang cuba dinyahkan dari hasil bumi mereka yang dianugerahkan oleh Tuhan. Tentunya mereka belum lupa Lubuk Mandi yang kaya dengan emas itu di nafikan kepada mereka dengan pelbagai alasan yang sengaja direka bertemakan "demi keselamatan".



SORONG PAPAN TARIK PAPAN

Mahathir sewajarnya sedar bahawa rakyat tidak boleh diajar dengan gertakkan wang kerana mereka memang sudah lama tidak berwang! Bukankah hutang kerajaan BN yang lalu itu rakyat Terengannu yang terpaksa tanggungkan?

Belum sejam kerajaan baru BA memerintah di Terengganu, mereka sudah bebas tanpa membayar tol di jalanan! Mereka juga tidak perlu bimbang cukai pintu bertunggak-tunggakkan.

Yang mereka risau hanyalah hutang bertimbun kerajaan BN yang tidak dilangsaikan sedangkan royaltinya mencecah angka beratus jutaan. Yang mereka heran ialah Perwaja yang masih dibela bernyawa walaupun sakit berhutang dan rugi memanjang. Kekayaan negeri dipersiakan dan dicanak sesuka hati oleh datuk2 dan menteri. Apabila Perwaja rugi, tidak ada seorang pun dapat ditangkap hingga ke hari ini walaupun polis malaysia memang terkenal dengan kecekapannya sehingga boleh pengsan atau mati seseorang itu disiasatnya. Sebaliknya ia dibiarkan bernyawa kerana hendak menjaga imej dan nama tuannya yang kini semakin sewel dan hilang siuman.

Nasib Perwaja berakhir dengan bertukarnya tangan supaya pengganasnya dapat bebas dan mencuci tangan sambil tersenyum melambai tangan di awang-awangan.....


(Mungkin bersambung...)