Laman Webantu   KM2A1: 2803 File Size: 2.2 Kb *



Buat FAO sahaja - Penulis Yang Berjurai
By Pujangga

17/9/2000 10:45 pm Sun




Kalaulah sampah dapat bercakap, tentunya pelbagai sketsa manis dapat di garap untuk melakar telatah pembuangnya.

Malah, ada juga pembuangnya dari spesis yang tidak kurang juga lebih sampah dari sampah yang dibuangnya. Jika FAO mahu mengukur panjangnya dunia, ia seharusnya bermula dengan pita yang panjang berjela. Sekaligus, jika tulisan mahu ditulis untuk menyembah gaji yang tak seberapa, ia lebih wajar dipaparkan kepada diktator tua kerana ganjarannya sudah cukup untuk membayar ego yang tidak pernah mengenal penghujungnya. Inikan pula persembahan kata yang ditulis bercampur cerca sedangkan sejarah dirimu masih mentah umpama bayi yang lahir yang perlu ditatah kerana asyik menangis mencari perhatian si ibu untuk dibela.

Penulis yang berkaliber tidak menulis untuk memanggil belaian siibu itu. Jauh sekali sebarang pingat dan penghormatan untuk mengejar nama yang terlakar. Sebaliknya mereka dicari pembaca tanpa perlu meraung-raung mencecah sunyi di alam maya. Mereka tidak perlu rumah maya atau majalah cetak yang pelbagai warna kulit hiasannya. Atau prestij laman web yang mendabik dada dengan pelawatnya berbilang bangsa.

Sebaliknya ia tersemat di jiwa setiap pembacanya yang sudah arif dan bercinta dengan gaya dan teknik penulisannya. Biar kemana pun mereka berada, mereka dicari walaupun di laman yang terpaling kurang sambutannya atau di pasar yang FAO sendiri tidak layak menjejakinya. Itulah sebenarnya permata kerana ia meniti dibibir pembaca, bukannya berlagak menghiasai laman yang besar belanja membuatnya!